AKU hempas punggung dengan penuh tatatertib. Dalam majlis korporat ini, semuanya ialah orang berusia atau lebih tepatnya tua dan cuma aku tetamu paling muda disini. Sebab itu, aku betul-betul kena jaga perangai aku, tatatertib aku sebab mereka semua perhatikan aku. Aku membawa nama ayah. Ayah bawa aku datang ke sini dan perkenalkan aku kepada semua orang sebagai pewaris tunggal perniagaan hotelnya, Mar Harosse Hotel. Kerana cuma akulah satu-satu anak dia. Dia gunakan anak gadis dia untuk promosikan keunggulan dirinya sebagai ayah yang berjaya membesarkan seorang puteri yang bijak, cantik dan terpaling perempuan melayu terakhir. Semua orang menyanjung Dato’ Yus Iskandar kerana aku.
Di usia yang sepatutnya aku belajar dan menikmati waktu muda aku bersama kawan-kawan, hancur di tangan ayah. Dia paksa aku belajar untuk jadi pelajar terpaling dekan, kemudian dia paksa aku untuk belajar benda yang aku tak minat. Perniagaan. Bayangkan dari aku yang meminati bidang perubatan pergi ke niaga. Jauh panggang dari api!
Semua perempuan sama ada lelaki yang mengenali aku menganggap aku anak paling bertuah dan bahagia sebab dapat ayah yang baik, penyayang, kaya raya tetapi sebenarnya tidak.
Aku benci segala apa yang aku ada. Termasuk ayah. Bukan ini hidup yang aku mahukan.
“Hello dear!” Satu suara menegurku dan menarik kerusi di sebelahku.
Aku maniskan muka walaupun sebenarnya aku sudah naik menyampah tengok muka-muka tua di sini. Mereka semua sama saja. Yang tinggi disanjung-sanjung, yang rendah dipijak hina.
“Hai datin.” Aku sapa balik. Dia bagi dua patah, aku balaslah dua patah saja.
“You look makin gorgeous dear. Boleh tahu…”
“Hmm?” Aku hampirkan jarak telingaku apabila tangan Datin Alya memanggil aku untuk merapat.
“You dah ada boyfriend?”
Pantang betul aku kena tanya soalan jodoh! Tak habis-habis nak kenenkan aku dengan anak dia orang. Kenapa? Nak mewarisi harta aku bila aku dah mati?
Aku hela nafas perlahan dan kekalkan senyuman di bibir.
“Takde. Tapi ayah dah tentukan siapa bakal suami saya bila dah habis belajar nanti. Yang pastinya, bukan anak datinlah.”
Terus berubah air muka Datin Alya. Ayat terakhir aku itu, aku tak rancang tau. Mulut aku ni kadang-kadang pandai keluarkan ayat-ayat manis. Macam dah anti betul dengan orang-orang yang suka tanya soalan pasal jodoh.
Aku apa lagi. Biarkan sajalah. Takkan mahu minta maaf konon terlepas cakap? Aku suka kut apa yang aku cakapkan.
“Oh really? That is…quite disappointing to hear dear.”
Alamak! Terasa pula dah! Aku memang dah jangka. Itulah yang aku mahukan. Kalau ada setan sebelah aku, rasanya kami sudah bertepuk tampar siap sorak!
“Sorry datin. But, are you okay if I leave you alone?”
“Oh where are you going?”
Banyak soal pula mak cik seorang ni!
“Please excuse me.” Ringkas, padat dan jelas. Kalau mak cik tu masih tak faham, baik bagi aku sajalah title datin itu. Lagi cantik. Datin Ainan Mardhiah binti Dato' Yus Iskandar. Daripada dia…Datin Alya layliya binti Ismail.
Astagfirullah! Aku dah hina nama bapak orang!
“Oh okey silakan…”
Aku angguk dengan senyum dan terus bangun. Langkah aku atur laju ingin ke tandas.
“Ainan!” Langkah aku terhenti. Itu suara ayah memanggil.
Dengan malas aku pusing dan mencari keberadaan ayah. Dia sedang berdiri bersama seseorang yang seumur dengannya dan seorang lelaki yang aku agak berumur 30-an?
Boleh tahan juga. Dengan sut lengkap berwarna biru laut dan rambutnya ditata rapi. Nampak berkilau apabila disinari cahaya chandelier di atas kepalanya. Entah berapa banyak pomade agaknya dia sapu atas kepala. Berkilau sampai silau mataku.
Drama lebih kau ni, Ainan.
Ketiga-tiga lelaki itu pandang aku. Aku apalagi, automatik bertukar kepada gadis melayu terakhir dan melangkah penuh ayu kepada mereka. Ayah sudah jegil mata.
Aku tarik bibir membentuk senyuman manis. Aku tahu, ayah mesti lepas berlagak dan bercerita pasal aku kepada rakannya.
Sampai mendekat ke ayah, ayah tarik tubuhku merapat. Tangannya di lengan kiriku. Konon ayah mithali.
“Perkenalkan anak aku, Ainan.”
“Wow, dah besar anak kau Yus. Cantik pula tu. Dulu aku rasa, satu tangan aje aku gendong anak kau. Sekarang…sama macam mak dia. Anggun, jelita.” Lelaki yang merupakan teman ayah itu memuji aku habis-habisan.
Aku direnungnya atas bawah. Aku tak selesa. Rasa mahu keluar dan lari dari sini. Pandangan mata itu…aku paling benci. Mahu saja aku cucuk garfu dalam mata tu.
Tiba-tiba ayah mencengkam lenganku kuat dan berbisik.
“Tegur dan maniskan sikit muka tu.” Mencerun tajam matanya menikam penglihatanku.
Aku balas dengan kerutan. Makin tajam matanya namun ayah tersenyum kembali seperti tiada apa-apa yang berlaku. Cengkaman di lenganku dilonggarkan.
“Hai dato…”
“Panggil uncle saja. Lagipun, tak lama lagi Ainan akan jadi menantu uncle.”
Bumm!
Aku rasa macam ada petir sambar belakang kepala aku sekarang. Telinga aku jadi pekak pula tiba-tiba. Berdesing tepat sesaat perkataan keramat itu disebutkan. Menantu.
Mulutku melongo. Memandang teman ayah dengan riak tidak percaya.
“Menantu?”
“Ayah, apa ni?” Aku pinta ayah jawapan. Ini mengarut! Aku masih belajar kut! Kerja pun belum tiba-tiba buka topik pasal kahwin.
Aku taknak kahwin!
Ayah senyum saja. Tapi penuh makna. Tiada penolakan. Segala-galanya sudah muktamad.
Kini, aku pandang teman ayah dan anaknya bersilih-ganti. Bermakna, lelaki bersut biru laut itu, bakal suami aku?
Otak aku tak boleh terima. Sudah cukup hidup aku diatur dan ditentukan segalanya oleh ayah, jodoh pun sama juga? Aku tak dapat terima. Ini hidup aku. Cukuplah impian aku dihancurkan oleh ayah, kehidupan aku dikongkong, jadual hidup aku ditentukan setiap hari. Jodoh pun sama juga? Aku patut jangka hal ini lebih awal tapi bila tiba waktunya, tetap aku tidak boleh terima.
Aku tenung anak teruna orang. Bagus juga kejadiannya. Patut ayah berkenan.
Mungkin sedar atau tidak selesa dengan renunganku, lelaki itu bersuara mematikan lamunanku.
“Adrian. Nice to meet you, Ainan.” Bibirnya menguntum senyum ikhlas kepada aku. Matanya tenang dan penuh keasyikan jika ditatap lebih lama.
Alah! Peduli apa aku! Aku tak kenal dia dan aku tak nak kahwin!
“Nice to meet you too, Adrian. Saya Ainan. Ainan Mardhiah.” Senyum segaris kepadanya. Kepala menangguk hormat sebab dia lebih tua dariku. Dia juga senyum segaris enam sentimeter. Agak-agak dia suka aku tak? Ke terpaksa juga macam aku? Mahu saja aku tanya jika aku dapat berduaan dengan dia.
Kemudian, sunyi sekejap. Mungkin ayah dan Dato’ itu mengharapkan kami akan berbual lebih tapi memang taklah! Cengkerik pun tak sudi nak berbunyi.
“Err…ayah. Ainan nak pergi tandas dulu.” Aku bisik pada ayah. “Please excuse me,” ucapku kepada dua manusia depanku. Pantas macam lima saat saja aku guna untuk berinteraksi dengan tiga Adam ni.
“Ainan.” Ayah tangkap tanganku. Padahal aku baru selangkah. Ayah merenungku tidak puas hati.
“Jangan lari.” Matanya membesar seolah-olah memberi amaran. Tapi aku sudah biasa.
“Ainan emergency ni ayah! Sorry!” Aku rentap tanganku dan terus berlari anak meninggalkan mereka.
Aku tahu ayah tengah sakit hati. Sebab aku dah malukan dia dengan berlari macam ketam. Acah nak terkucil. Memang hancurlah imej wanita melayu terakhir aku di mata tetamunya. Haha. Evil laugh!
Langkahku atur menuju ke atap bangunan ayah ini. Angin pantas menampar laju wajahku tatkala pintu kubuka.
Angin ni dendam dengan aku ke apa? Ke santau angin?
Pintu kututup kembali dan menghampiri tembok. Bangunan setinggi 40 tingkat ini aku jelajah sampai ke bawah. Kalau terjun memang innalillah. Tiadanya malaikat maut sedia nak sambut.
Well, sekarang aku tengah stres.
Jangan overthinking! Aku takkan bunuh diri. Kewarasan aku masih ada walau tak seratus peratus. Rasa nak cuba memang ada, tapi kalau tak innalillah, cacat seumur hidup jadi beban keluarga?
Alhamdulillah aku masih waras!
Kaki sebelah aku naik ke tembok. Memanjat tembok itu dengan berhati-hati. Hujung kain sudah terangkat hingga hampir mendedahkan pehaku.
Lantak apa nak malu. Bukan aku tengah buat show! Aku seorang diri saja.
“Yahoo!” Akhirnya! Aku berjaya duduk di atas tembok dan menikmati angin sejuk dengan pakej pemandangan bandar yang penuh cahaya lampu dimana-mana. Dengan kereta yang lalu-lalang di bawah. Tak jauh dariku juga terdapat laut yang bersinaran seperti bintang-bintang apabila disinari cahaya kapal-kapal kargo dan bot nelayan yang berlayar.
Betulkan kain dan menyandarkan kedua belah tanganku ke belakang.
“Oi!”
Aku paling kepalaku ke belakang. Terhenjut sedikit tubuhku. Hampir terjun kuak kura-kura. Entah malaun mana sesat naik atas rooftop bapa aku ni. Dia ingat ni bangunan bapak dia punya boleh jelajah suka hati?
Aku pandang dia dengan muka bengang. Lelaki. Ya aku dah tahu sejak mendengar suaranya tadi.
Dia buat muka selamba lepas buat aku hampir tersungkur dari atas tembok ini.
“Nak bunuh diri ke cik adik?” Dia soal aku. Tak, ini bukan soal. Tapi serkap jarang. Guna jala ikan kut itu yang keyakinan penuh di dada tuduh aku nak membazir nyawa. Macamlah nyawa aku ada sembilan.
“Kalau ya, kau nak halang?” Kita main gurau serius. Dia dah serkap jarang aku, kita play along lah sekali.
“Hah?” Lelaki itu mencabut sebelah earphone dari lubang telinganya. Dia angkat kening. Minta aku ulang semula.
Fuh! Rasa nak buat sirap. Buat simbah lelaki itu.
“Kalau aku cakap ya, kau nak halang ke cik abang?” Aku pulang paku buah keras.
“Sekejap aku tak dengar.” Cermin mata dari celah butang bajunya yang terbuka dipakai. Barulah kepalanya dongak pandang muka aku dekat-dekat. Muka aku bagai discan dengan matanya. Ambil masalah juga beberapa saat kami bertentang mata.
Sekarang dia buat sirap aku mendidih. Siap dengan bunyi cerek tenat nak hangus.
“Dah pekak, buta pula,” perliku. Gila tak geram. Dia sengaja buat-buat palau aku! Aku tahu! Dia sengaja nak main-main dengan aku, nak buat aku marah, geram sampai nak hempuk kepala dia supaya aku tak jadi bunuh diri. Kononnya lah.
Lelaki itu tetap diam dan pandang aku. Kemudian dia pakai balik sebelah earphonenya dan panjat tembok sebelah aku.
Refleks aku menjauh. Mana tahu dia nak bunuh aku sebab kutuk dia tadi.
Dia panjat, pusing tubuh dan lunjurkan kaki ke bawah sama seperti aku sekarang. Dia tak marah ya?
“Well, kalau nak terjun, terjunlah. Request kuak lentang olimpik.” Kepalanya teleng menoleh aku.
Aku rasa nak tersembur nasib takde air dalam tekak. Dia…sebenarnya ajak aku berguraukan? Bukan dia serius mana pun nak hentikan mangsa bukan cubaan bunuh diri ni.
Bingung.
“Saya terjun betul-betul!” Mari kita ugut dia. Dia nak sangat bergurau dengan akukan. Memang dia silap orang.
Lelaki itu mencebir. Tak kisah langsung!
“Kalau kau berhajat sangat nak terjun lubang jahannam, teruskan. Go ahead. Aku boleh sorakkan. Terjun! Terjun! Terjun! Neraka jahannam!” Tangannya ikut bersorak seolah-olah sedang menonton pertandingan bola keranjang gadis jepun. Mukanya kemain seronok!
“Fine! Nak sangat tengok aku terjunkan? Kalau polis tanya, kau saksi aku!”
“Terjun! Terjun!” Makin semangat pula dia bersorak!
Aku seret tubuh hingga ke betul-betul tebing tembok. Kalau aku lepaskan tangan aku sekarang, memang aku akan tergelongsor ke bawah dan menuju tak terbatas.
Seketika perasaan resah menyelubungi diri. Takut juga. Bagaimana kalau aku betul-betul terjun? Maksudnya matilah kan? Merasalah juga dikafan dan dikubur dalam tanah. Kena soal dengan malaikat Mungkar dan Nakir.
“Tunggu apa lagi?” Dia provok lagi. Aku tak tahan! Dia sendiri offer diri untuk jadi saksi kes bunuh diri viral di hotel mewah terkemuka Mar Harosse Hotel ini. Tapi, jauh di lubuk hati aku, aku juga mahu tamatkan jalan cerita ini. Sampai di sini saja. Biar jadi pedoman kepada ayah untuk anak barunya nanti. Aku sudah cukup sengsara. Aku bukan anak patung kegemaran ayah. Dipuji bila takdir berjalan sesuai kemahuannya, dicaci hina bila takdir melenyapkan impiannya dan dipijak lenyek bila aku tidak berguna di matanya.
Aku memang sudah hidup dalam neraka buatan ayah. Apalagi?
Aku pandang dia sekejap. Inilah wajah terkacak yang pernah aku lihat dalam hidup aku.
kan kukenang sampai bila-bila. Sehingga ke hujung nyawa.
“Alhamdulillah!” Dia tersenyum riang. Bak seorang psikopat yang berjaya memanipulasi seorang anak polos yang mudah dihasut.
Musibat.
108Please respect copyright.PENANAREhRbnFcla
❛🥀﹏ bersambung...
108Please respect copyright.PENANAXs9E8Bn7um
Hello there! Please do like my story and leave a comment 😻 Thank you for reading and have fun 🌷
ns 15.158.61.20da2