Hujan renyai-renyai membasahi bumi Dumung. Suasana senyap sunyi, burung tidak lagi berkicauan seperti kebiasaan dan awan mendung menutupi ruangan angkasa Desa Dumung sejak 3 hari yang lalu. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa memasuki rumah Dato' Sukma yang sedang beristirehat di beranda rumah kayunya.
Muka Dato' Sukma kelihatan sedih, mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu. Asap berkepul-kepul keluar daripada mulutnya. Sudah 5 puntung rokok disedut bagi menenangkan gelora jiwa yang tidak keruan.
Di muka pintu hadapan, anak sulungnya, Andika memerhatikan bapanya yang masih termenung. Sudah 3 hari tidak menjamah sebarang juadah, badan Dato' Sukma sudah kelihatan susut dan tidak bermaya.
"Ayah, tidakkah engkau berasa lemah? Sudah 3 hari tidak menjamah sebarang makanan, hanya minum seteguk dua.." suara Andika memecah kesunyian. Dato' Sukma memalingkan muka dan cuma tersenyum. "Tidak mengapa anakku, ayah sudah tua. Biasalah badan lemah.." ujarnya.
Teriakan bayi jelas kedengaran membuatkan dahi Dato' Sukma berkerut. Wajahnya bertukar suram. 3 hari yang lalu, isterinya melahirkan anak lelaki yang diberi nama Nara. Nama itu dipetik sejak 6 bulan bayi itu berada di dalam perut ibunya. Nara bermaksud perwira, jelas sekali Dato' Sukma dan Datin Kejora mengharapkan bayi tersebut membesar dengan gagah.
Hakikatnya, Nara lahir serba kekurangan. Kedua tangannya lemah, kedua kakinya lumpuh dan sebelah matanya buta. Datin Kejora menyalahkan dirinya kerana melahirkan anak yang pada amatannya seperti Dajal. Dia tidak mahu makan, tidak mahu bercakap; hanya menangis dan termenung jauh ke luar jendela kamarnya.
Apabila Nara menangis, wajah Datin Kejora bertukar takut dan marah. Pernah sekali dibalingnya bantal ke arah Nara sehingga Andika terpaksa masuk dan menenangkan bondanya. Tidak seperti adik beradiknya yang lain, Andika sangat mengalukan kedatangan Nara walaupun dia serba kekurangan.
Bayi itu hanya berhenti menangis di saat dia melihat wajah Andika. Malah ia merenung dengan mata kanan yang terbeliak besar. Mata kirinya berwarna putih dan menurut Tabib tidak mempunyai sebarang fungsi lagi.
Sejak kelahirannya, keadaan di Desa Dumung menjadi suram. Ura-ura mengatakan kehadiran Nara menyebabkan Desa Dumung disumpah dan bakal ditimpa malapetaka besar. Perkara ini telah sampai ke telinga Dato' Sukma sekeluarga, namun Andika tidak patah hati. Dia yakin akan ketentuan ilahi. Pasti ada hikmahnya.
Azan berkumandang di angkasa menandakan telah masuk waktu Maghrib di Desa Dumung. Dato' Sukma dan Andika sedang mengambil wuduk apabila mereka terdengar bisikan orang ramai di belakang berbincang mengenai Nara. Perkara ini meluluhkan hati Dato' Sukma.
Dia tidak pernah membenci Nara. Namun dia berasa kasihan dan takut akan masa depan anaknya. Andika hanya merenung bapanya. Semoga mereka sekeluarga diberi kekuatan untuk bersabar dengan dugaan cacian orang ramai.
Dato' Sukma adalah ketua Desa Dumung yang disegani. Suatu ketika dahulu, semasa beliau hanyalah seorang pemuda desa, beliau telah memimpin gerakan menggulingkan raja wilayah Dumung yang kejam. Anak dara diculik untuk dijadikan gundik raja dan anak kecil diambil untuk dijadikan hamba sahaya.
Mereka yang terlalu tua akan dibunuh kerana tidak boleh diperhambakan. Lelaki muda dilatih untuk menjadi tentera raja bagi mencapai hasrat kejinya.
Hasil pergelutan di antara rakyat melawan raja membuahkan hasil. Raja Sakti digulingkan dan warisnya, Raja Nila mengambil takhta. Baginda merupakan tunggak utama bersama dengan Dato Sukma menentang kezaliman raja. Setelah semuanya selesai, Raja Nila ingin mengurniakan darjah kebesaran dan posisi tertinggi di istana, namun ditolak oleh Dato' Sukma.
Beliau hanya ingin hidup di kampung, bercucuk tanam dan membesarkan wira-wira yang bakal menerajui kepimpinan Dumung. Andika merupakan permata pertama Dato' Sukma dan Datin Kejora.
Andika mempunyai tubuh badan yang sasa ditambah pula dengan raut wajah yang tampan. Dia adalah seorang lelaki yang sangat mengutamakan keluarga dan sanggup mati demi mempertahankan kedaulatan negara dan agama.
Bersama dengan adik keduanya, Sakti, mereka telah menyertai lebih daripada 10 peperangan besar melindungi Dumung daripada ancaman wilayah sekeliling seperti Dandi, Garuda, Bahya, Samudera dan sebagainya. Mereka telah membunuh beribu tentera dan tidak sedikitpun gentar sekiranya berhadapan dengan bala tentera yang lebih besar.
Darah pahlawan di dalam diri Dato' Sukma melahirkan semangat dan kekuatan perwira di dalam tubuh anak-anaknya. Maka, dengan kelahiran Nara, ia bukan sahaja mengancam kenyataan tersebut, malah menyebabkan beliau merenung, adakah ini satu ujian atau balasan terhadap dirinya.
Setelah kelahiran Nara, terdapat pelbagai perkara aneh yang berlaku di Desa Dumung. Kawasan kampung dan di setiap penjuru desa dihuni oleh beberapa ekor ular hitam berbisa. Di semak-semak, ladang, sawah dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan pekerjaan penduduk menjadi sukar.
Sudah tentu sahaja mereka akan menemplak Nara sebagai punca kepada kecelakaan ini. Keluarga Dato' Sukma disisihkan dan lebihan hasil ekonomi Desa tidak diagihkan kepada mereka sebagai penerima yang berhak.
7 tahun berlalu, Nara sudahpun membesar dengan sihat. Andika menyayangi adiknya lebih daripada adik beradik yang lain. Ke mana sahaja Andika pergi akan dikendong adiknya di belakang.
Oleh sebab Nara tidak boleh berjalan dan tidak mempunyai kekuatan belakang yang kuat, Andika telah mencipta kerusi roda diperbuat daripada kayu dengan sokongan tulang belakang bagi memudahkan Nara untuk bergerak.
Kasihnya terhadap Nara tiada tolok bandingnya. Perkara ini menyebabkan adik beradiknya yang lain iri hati. Sering sahaja Nara dibuli dan dilayan buruk oleh yang lain.
"Kenapa aku dilahirkan sebegini? Tidakkah lagi mudah sekiranya aku mati atau ada yang membunuhku", keluh Nara.
Andika memandang adiknya sayu "Kenapa Nara? Apa yang membuatkan dikau berkata sedemikian? Tidak cukupkah kasih sayang yang telah kucurahkan selama ini?"
"Lebih daripada batasnya. Aku berasa tidak layak menerima kasihmu. Aku tidak dapat berbuat apa-apa. Aku tidak mempunya kaki selaju Sakti, tidak segagah mu, tidak sepintar Lestari, tidak selicik Jentayu, tidak setampan Arjuna dan tidak sekeras Budi." Nara tunduk. Matanya sebelah buta dan sebelah lagi kabur. Tidak terbayang olehnya akan keindahan dunia.
Andika membisikkan ke telinga Nara "Tetapi hatimu lebih suci daripada kami semua". Terkedu Nara mendengarnya.
Andika tersenyum melihat muka adiknya yang keliru. Lalu ditolak kerusi roda adiknya pulang ke rumah.
Perbualan itu didengari oleh Adiratna, anak kepada pesawah padi di Desa Dumung. Berbeza dengan penduduk yang lain, Adiratna mengasihani Nara. Kelahirannya tidak sepatutnya dikaitkan dengan perkara sial yang melanda kampung.
Adiratna melihat Andika menolak kerusi roda Nara dari jauh.
"Oh Nara, bertabahlah engkau. Sesungguhnya ada matlamat yang lebih besar yang hanya boleh dikecapi olehmu kelak."
Adiratna mengambil daun kering yang bertaburan lalu meniupkannya ke arah Andika dan Nara. Semoga mereka dirahmati.
Zap! Zap! Zap!
Kedengaran bunyi sepakan batang pisang di belakang rumah Dato' Sukma. Di sudut halaman, kelihatan Andika sedang melakukan latihan rutin. Sebagai seorang perwira, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengekalkan kekuatan fizikal dan melatih kekuatan mental.
Nara duduk dibawah pondok berhampiran tempat Andika berlatih. Sedang dia ralit mendengar abangnya menyepak batang pokok pisang, terasa sesuatu menjalar di belakang lehernya.
Nara memegang haiwan tersebut yang tanpa disedari merupakan seekor ular hitam berbisa. Andika tidak menyedari akan hal itu dan terus berlatih. Apa yang lebih menghairankan adalah, ular tersebut tidak menggigitnya langsung.
Nara membelai dan mengusap badan ular tersebut. Memandangkan matanya sebelah buta dan sebelah kabur, tidak terlintas olehnya bahawa apa yang dipegangnya sangat berbisa.
Nara!!!!
Jerit Andika lantas berlari ke arah Nara. Ular tersebut secara tiba-tiba mengigit leher Nara dan terus menyelinap pergi. Nara terasa sakit dan wajahnya mula menjadi pucat. Andika segera mengangkatnya dan berlari ke rumah Tabib berhampiran.
"Tabib! Tolonglah adikku. Dia digigit ular hitam sewaktu aku sedang berlatih tadi" beritahu Andika dengan nada cemas sambil meletakkan Nara di atas tilam.
"Di manakah tempat ia digigit?"
"Di tengkuknya, tabib".
Muka tabib berubah pucat.
Bapanya datang beberapa ketika kemudian. Tabib tersebut hanya boleh menggelengkan kepala. Dia tidak dapat berbuat apa-apa. Terdapat banyak kes orang dewasa digigit ular sedemikian di Desa Dumung.
Jika terkena pada kaki atau tangan masih boleh dirawat. Namun, gigitan pada leher akan mempercepatkan kesan bisa.
Suhu badan Nara semakin panas dan tubuhnya menggeletar seperti sawan. Tiba-tiba ia mengejang dan matanya terus tertutup.
Andika dan bapanya menangis. Tabib hanya boleh menundukkan kepala.
Saat itu, Sakti dan Arjuna baru sahaja tiba. Wajah mereka juga terkejut. Benar, mereka tidak menyukai Nara, namun itu tidak bermaksud mereka tidak menyayanginya.
Mereka tertunduk seketika dan Dato' Sukma mula membacakan ayat suci Al-Quran.
"Ayah? Andika?"
Semua yang ada di situ terkejut. Nara membuka matanya dan tersenyum.
"Apa yang terjadi?" soal Nara, seolah-olah dia lupa digigit ular.
Tabib dengan segera memeriksa luka gigitan ular dibelakang lehernya. Lukanya sudah hilang!
Apa yang sudah berlaku? Masakan luka ular berbisa boleh hilang sekelip mata. Andika memeluk adiknya meminta maaf. Raut wajah bapanya kehairanan, Sakti dan Arjuna masih lagi terpana dan tabib sedang membelek kitab-kitabnya.
Terdapat satu ramalan yang mengatakan akan lahirnya seorang Putera Dumung, daripada susur galur generasi ke 7 keturunan Laksamana Indrapura. Kehidupannya disumpah oleh seorang dukun yang ingin mencela wilayang Dumung suatu ketika dahulu.100Please respect copyright.PENANALq72hc8woN
Wilayah Dumung akan menjadi porak peranda di saat kelahirannya dan bakal ditimpa kecelakaan besar. Dumung itu sendiri membawa maksud ular hitam berbisa.
Tabib merenung Nara yang kelihatan sudah sihat daripada bisa yang seperti akan membunuhnya beberapa ketika yang lalu.
Sekiranya budak ini adalah putera Dumung, maka sudah semestinya dia tidak akan lut akan bisa dumung.
Jika ini betul, maka budak ini akan membawa kecelakaan kepada Desa Dumung!
Wajah tabib bertukar pucat lesi tatkala Andika, Dato' Sukma, Sakti dan Arjuna memandangnya.
Adakah ini benar?!
100Please respect copyright.PENANA9OuOENxTX8
100Please respect copyright.PENANAQtgNNlI8l6