Aku mematikan telefon bimbit yang berada di tangan. Tadi, aku membaca novel karya TheGirlNextCurtain. Sebuah novel ringan tentang seorang wanita bersuami dan mempunyai rakan perempuan bernama Lily. Novel itu aku dapatkan di Google Play. Membacanya juga aku gunakan aplikasi Google Play.
Mataku sedikit berair. Aku lap dengan hujung lengan baju kurung. Cuaca yang panas memang selalu buatkan mata aku jadi berair. Kalau aku ini puteri lilin, rasanya sudah terbakar kulitku dan jadi kehitam-hitaman.
“Hmmm…” Aku mengeluh kecil. Sebenarnya sudah dari 20 minit tadi aku menunggu pelayan kafé menghantar kopi yang aku pesan. Tetapi, masih belum sampai ke meja ini. Nasib baik aku tidak dahaga, hanya sekadar mahu menghabiskan waktu di petang yang indah ini. Kalau tidak, mahu juga aku marah-marah. Tapi, risau juga hilang keayuan nanti.
“Maaf, cik. Tadi barista tersilap tengok order cik. Itu yang jadi lambat sikit.” Kata gadis comel bertubuh kecil di hadapanku ini. Senyumannya manis, ditambah dengan gigi putihnya yang tersusun rapi, membuatkan aku terpesona memandangnya.
“Tak apa. Saya pun tak kisah sangat. Tekak belum haus lagi.” Aku balikkan senyuman manis juga kepada pelayan cantik tersebut.
Si gadis genit yang berdiri di hadapanku dengan dulang di tangan masih tersenyum. Indah sekali suasana hari ini. Mungkin inilah sebabnya Tuhan gerakkan aku datang ke kafé untuk menghabiskan sisa-sisa hariku; ada keindahan untuk dinikmati.
“Oh, ya. Cik nak order kek? Kek kat kafé kami ni sedap.” Pelawa pelayan tersebut dengan senyuman manis yang menampakkan giginya kepadaku.
Ah, aku kalah. Aku akan kalah dengan senyuman manis begini. Aku tukar kedudukan kaki yang disilangkan sejak aku duduk membaca tadi. Sambil membetulkan kedudukan baju yang dipakai, aku menjawab pelawaan gadis tersebut, “Awak pilihkan satu yang paling awak suka untuk saya cuba”.
Gadis pelayan itu mengangguk penuh bersemangat dan kemudiannya memusingkan badannya daripada pandangan mataku.
Dia memakai seluar jeans biru gelap dengan potongan rendah pada bahagian pinggang. Sudah lama aku tidak melihat perempuan memakai jeans jenis itu. Selera setiap zaman berbeza-beza. Namun, apabila ada yang berbeza pada zaman tersebut, itulah yang menjadikannya bertambah menarik.
Rambut ponytail si gadis yang disanggul dengan hair net kecil di belakangnya kelihatan terhenjut-henjut dan bergoyang ke kiri dan ke kanan semasa dia berjalan. Daripada perwatakannya, aku pasti, umurnya di awal 20-an.
Aku melamun ketika si gadis tadi kembali semula dengan piring kek yang aku tidak tahu nama kek itu. Ada taburan coklat dan lapisan keju. Mungkin kek coklat keju?
“Rasalah. Yang ni baru buat pagi tadi. Fresh dari tangan owner kafé ni.” Dia senyum lagi, sangat manis. Kemudian sekali lagi dia memusingkan badannya dan berjalan gembira seperti sedang menari-nari.
Sungguh, aku sangat bahagia pada petang ini.
***
Hari kedua aku di kafé yang sama. Tidak pernah aku buat, datang ke kafé yang sama dua hari berturut-turut. Entah kenapa, selepas sahaja aku bersiap tadi, terlintas bayangan kafé ini di fikiran. Terus aku sambar beg tangan, rapikan rambut, pastikan midi skirt yang aku pakai tidak senget dan aku capai kasut tumit berwarna putih, sepadan dengan baju dan skirt yang aku pakai.
Hari ini aku pesan machiato ais dan juga kek red velvet. Gadis semalam sedang membersihkan meja. Dia angkat tangan menegurku dari jauh. Aku juga membalas lambaiannya, juga dengan senyuman.
Hari ini aku memilih meja yang berada di bahagian tepi kafé. Sedikit tersorok dari bahang mentari yang menerjah ke dalam jika mahu dibandingkan dengan meja pilihanku semalam.
“Hai, kak. Awal datang hari ni?” Gadis semalam sudah memanggilku dengan panggil ‘kak’. Aku sedikit ‘turn off’ mendengarkan panggilan itu. Semangat membara yang hangat tadi, terasa sejuk tiba-tiba. Dia letakkan pesanan aku di meja.
“Awal sikit. Nak tengok awak.” Kataku, sengaja buatkan seperti kedengaran sedang bergurau dengan ketawa kecil di hujungnya.
Dia tersenyum sipu. Dapat aku lihat pipinya menjadi kemerah-merahan. Kulitnya yang cerah itu tidak dapat menyembunyikannya. Aku suka melihatnya begitu.
“Enjoy your cake, cik.” Kali ini dia panggil aku ‘cik’ pula. Mungkin hanya memanggilku mengikut skrip harian yang sudah dihafal.
Aku memandangnya berlalu ke dalam kaunter. Dia sungguh ceria dan girang sekali. Kemudian, dia dapatkan rakannya yang berada di belakang kaunter, memberitahu sesuatu dan kedua-duanya ketawa kecil selepas membuang pandang ke arahku.
Aku pasti, mereka sedang bergosip perkara yang aku baru katakan tadi kepada si gadis.
Hari ini, aku menyambung pembacaan novel bertajuk My Love Apartment daripada TheGirlNextCurtain.
***
“Hai, Yana.” Tegurku sebaik melangkah masuk ke dalam kafé.
Hari ini hari ketiga berturut-turut aku datang ke sini. Semalam, aku sudah mencapai satu kejayaan kecil, aku sudah mengetahui nama si gadis semasa membuat bayaran. Adik cashier yang menyantuniku memberikan nama si gadis tersebut.
“Hai!” Si gadis melambai ke arahku dengan penuh semangat. Dia lemparkan juga senyuman yang aku sukai itu. Ya, senyumannya sungguh membahagiakanku.
Aku memesan cappucino panas hari ini bersama dua keping biskut.
Ketika Yana menghantar pesananku, aku mengajaknya duduk berbual. Sebab, aku melihat-lihat sekeliling yang tiada pelanggan lain kecuali aku seorang. Jadi, aku fikir mungkin tiada masalah jika dia duduk berbual sebentar.
Yana tidak duduk. Tetapi dia hanya berdiri berdekatan mejaku. Aku mengerti, mungkin polisi kerjanya yang melarang dia duduk berbual dengan pelanggan.
Tidak mengapa, asalkan aku dapat melihat dirinya yang manis itu sedang bercakap-cakap dengan penuh gembira dan ceria begini pun sudah cukup.
Yana memberitahuku, dia sudah bekerja di sini selama setahun. Asalnya mahu bekerja sementara sahaja selepas belajar di kolej. Tapi, dia suka dengan suasana di kafé ini. Sebab itulah dia masih kekal bekerja di sini.
Aku mendengar setiap patah katanya dengan penuh minat. Aku juga sedang bahagia kerana dapat berkenalan lebih lanjut dengan gadis cantik ini. Umur juga tidak terlalu jauh beza, hanya muda lima tahun daripadaku.
Petang hari ketiga ini sungguh membahagiakan.
***
Aku mencicip lagi air mocha yang dicampur karamel ini. Sudah 15 minit aku berada di kafé sambil memandang kosong ke arah jalan raya. Hari ini hari keempat dan Yana bercuti. Aku sedikit kecewa.
Tetapi, mataku tiba-tiba menangkap kelibat Yana, si gadis cantik yang aku mahu bertemu sedang berjalan masuk ke dalam kafé. Hatiku jadi berbunga-bunga dan keceriaan seperti baru meresap masuk ke dalam tubuhku.
Yana terpandang aku yang duduk berseorangan di meja biasaku.
Dia angkat tangan, melambai ke arahku dengan senyuman manis, “Hai, kak!”
Aku balas senyuman dan lambaiannya dengan begitu gembira.
Yana pergi ke kaunter sebentar, mengambil sesuatu dan kemudian dia menapak ke arahku. Aku perasan, ada seorang lelaki yang membontotinya.
“Hai, kak. Maaflah, tak dapat serve akak hari ni. Yana cuti. Tapi, esok Yana kerja balik macam biasa.” Beritahu Yana sebaik berada di sebelah mejaku.
“It’s not a problem.” Kataku pendek. Aku ukirkan senyuman kegirangan kerana wajah cantik itu sudah berdiri di hadapanku. Tetapi, siapa lelaki yang berada di belakang Yana?
“Okay, kak. Yana nak pergi daftar kursus kahwin.” Serta-merta aku berasakan seperti ada petir yang sedang menyambar. Emosiku jadi tidak keruan. Yana menarik tangan si lelaki di belakangnya, bertaut kemas pegangan mereka. “Inilah tunang Yana.”
Sekali lagi aku rasakan petir menyambar diriku di petang ini. Hatiku terasa seperti tersiat-siat.
“Oh…” Kata-kata yang terbit secara spontan dari belahan dua bibirku.
Aku menyambut salam yang dihulur si lelaki itu dengan penuh perasaan bercampur-baur. Namun, aku sedar. Aku hanyalah seorang wanita yang tidak mungkin dapat memikat si gadis yang sudahpun bertunang dengan si lelaki di hadapanku ini. Aku redha.
Yana dan tunangannya berlalu dari mejaku. Sempat dia lambaikan tangannya ke arahku sebelum melangkah keluar dari kafé.
***
Hari kelima.
Sejak habis mandi tadi, aku hanya berkemban sahaja di hujung katil. Jam sudahpun menunjukkan pukul 3.30 petang.
Aku tiada rasa mahu pergi ke kafé dan melihat si gadis cantik yang telah membuatkan aku jatuh hati sejak beberapa hari lalu. Hatiku sudah remuk pada saat ini. Aku tidak mahu bertambah remuk apabila melihat wajahnya.
Aku memejamkan mata dan merebahkan badan ke tilam. Satu keluhan kecil aku lepaskan.
Biarlah aku menghabiskan sisa petang kelima ini di atas katil sahaja. Hanya ada aku dan diriku sendiri, seperti biasa.
61Please respect copyright.PENANAilg2fV4oUX