Aku membuang pandang ke luar, memerhati para pelajar lelaki bermain bola sepak di atas padang sekolah. Satu permainan yang aku tidak pernah gemari. Aku sukakan sukan bola jaring. Kerana terlihat lebih feminin.
Tetapi, warna hijau pada rumput-rumput yang terhampar sebagai hamparan padang itu membuatkanku tenang melihatnya. Seolah-olah satu terapi pada penglihatan dan mindaku ini.
Ayahku kata, tidak salah kalau perempuan meminati bola sepak. Mahu bermain bola sepak juga tiada salahnya. Sudah ada sukan bola sepak untuk wanita yang dianjurkan di negara luar. Cuma buat masa ini, di negara kita belum benar-benar meluas lagi. Padahal, pasukan bola sepak wanita sudah ditubuhkan sejak 1974 lagi. Mungkin tahap pemikiran orang kita yang masih mengatakan bola sepak adalah sukan untuk lelaki telah menjadi penyebab kepada penerimaan ini.
“Hoi!” Melati duduk di kerus hadapanku. “Mengelamun jauh. Tengok lelaki pula tu. Ada yang kau berkenan ke kat situ?”
Dia satu-satunya rakan baikku di sekolah ini. Segala rahsia juga kami kongsikan bersama. Baik atau buruk, tiada rahsia di antara kami.
“Apa pula kalau tengok lelaki je, mesti berkenan?” Aku membetulkan dudukku. Lengan kanan yang dijadikan tongkat mengampu di daguku tadi aku ubah posisinya. Kini kedua-dua tanganku berada di sisi buku kulit keras bersaiz A4 di atas meja perpustakaan yang sejuk ini. Kedua-dua jari telunjuk kanan dan kiriku bermain-main dengan bucu tajam buku.
“Ye la, kau asyik tengok budak-budak lelaki tu je dari tadi. Itu yang aku tanya, ada yang kau berkenan ke?”
Aku membuang pandang sekali lagi ke atas padang. Para pelajar tadi sudahpun mula mengutip bola sepak yang digunakan. Jujur, tiada seorangpun yang aku kenal di situ.
Aku gelengkan kepala, “Sorangpun tak ada yang aku kenal. Diorang tu kelas mana?”
Melati juga memalingkan wajahnya ke arah padang, “Aku pun tak tahu kelas mana.”
Kemudian, kami berdua saling berpandangan. Ada ketawa mula meletus, tetapi kami lepaskan perlahan sahaja kerana kami sedang berada di dalam perpustakaan. Kami ketawa kerana masing-masing tidak kenal atau tahu kelas mana yang sedang bermain bola sepak tadi.
***
“Izah, kau tak ada boyfriend ke?” Pertanyaan Melati membuatkan aku tersedak.
Jika dua hari lepas dia menebakku dengan soalan samada aku berkenan dengan mana-mana pelajar yang bermain bola sepak di atas padang sekolah, hari ini dia bertanya soalan ini pula.
Air sirap yang hampir terkeluar semula dari mulutku ini, aku tahan. Aku usahakan juga untuk menelannya kembali. Aku tidak mahu membazir walau sedikitpun. Bukan senang ayah aku mencari duit. Jadi, aku perlu gunakan sebaik mungkin.
“Kau ni, tak habis lagi dengan soalan macam tu? Aku belum ada boyfriend lagi. Aku budak lagi ni.”
“Budak-budak pun, kalau kahwin dah boleh pregnant, tau.”
Aku hampir tersedak lagi. Nasib baik tiada air di dalam mulutku.
“Kau ni, jauh betullah fikirnya.” Aku gelengkan kepala. “Tahun ni kita nak ambil PMR. Tahun depan dah tahun 2000, kau tau?”
Melati pandang aku dengan keningnya dijungkit sebelah.
“Jadi, apa kaitannya hal kau belum ada boyfriend dengan PMR dan tahun 2000?”
Aku senyum sengih kepada Melati.
“Tak ada kaitan sangat. Saja je aku nak cakap, supaya kau sedar yang kau tu baru 15 tahun. Belumpun boleh kahwin dari segi undang-undang.” Aku senyum tutup mulut drngan tapak tangan. Suka sebab dapat kenakan Melati.
“Eee… Kau ni…” Melati tampar lengan aku. Dia buat-buat merajuk. Ah, tak kuasa aku nak pujuk. Baik aku habiskan air sirap ni sebelum ais habis. Bila dah tak sejuk, tak sedap.
***
Aku berbaring di atas padang tepi bangunan sekolah sehinggakan hampir tertidur. Redup bayang yang terhasil dari pokok besar ini benar-benar buatkan aku terasa mengantuk.
Perjumpaan kelab pada petang ini dibatalkan kerana guru kelab perlu menghantar seorang pelajar lelaki yang jatuh longkang. Mungkin kakinya terseliuh.
“Wei, Izah! Kau tak takut baju kau kotor ke?” Soal Melati. Dia tidak baring, hanya duduk memeluk lutut sambil tangan kanannya mencabut rumput-rumput kecil yang ada di sekitarnya. Dia cantik hari ini. Tudung berwarna krim yang dipakainya benar-benar menaikkan seri wajah. Aku suka pandang wajah dia begitu.
“Tak pun. Balik nanti basuhlah. Kau tu, kenapa tak nak baring? Control ayu ke?” Aku sengaja provoke Melati.
“Taklah. Aku segan nak baring. Malu kalau ada orang tengok badan aku tengah baring macam tu.”
“Oh, kau malu kalau orang tengok bukit kecil kau tu ke?” Aku usik Melati sambil muncungkan mulut ke arah buah dadanya. Saiz standard remaja 15 tahun, tak adalah besar mana. Badan pun masing-masing masih keding lagi.
“Oi! Mulut kau ni, tak ada insurans ke? Sedap-sedap je cakap tetek aku kecik. Tetek kau tu, sama je saiz dengan aku. Entah-entah dalam bra kau tu kosong.” Melati ketawa gelihati. Suka betul dia dapat menyakat aku.
“Kau nak tengok ke? Kalau nak tengok, aku nak tunjuk.” Aku bersedia memegang hujung t-shirt sekolah yang dipakai.
“Berani ke?” Melati mencabar aku.
Aku tarik perlahan-lahan. Tetapi, sesampai sahaja di perut, Melati menyentuh tangan aku, memberhentikan aku daripada terus menarik baju.
“Tak apalah, simpan je la tetek kau tu dalam bra. Balik nanti kau beleklah puas-puas depan cermin. Tak kuasa aku nak tengok tetek kau. Aku punya pun ada.” Sekali lagi Melati ketawa.
Aku ambil kesempatan menggeletek pinggang dan perut Melati. Dia ketawa kegelian sambil tangannya berusaha menepis tanganku.
Akhirnya, kami terbaring keletihan. Melati meletakkam kepala beratnya di atas pahaku. Aku terasa sangat bahagia dengan keadaan begini.
***
Cuti hujung minggu Melati mengajakku keluar ke bandar yang jauhnya sekitar 8 kilometer dari kampung kami. Berkali-kali Melati ingatkan dalam perjalanan pulang sekolah semalam, pukul 2 mesti kena ada di hentian bas kat tepi jalan di pekan kampung ini. Tak boleh lambat. Pagi tadi pun Melati hubungi telefon rumah aku sekali lagi untuk mengingatkan.
Sebenarnya, akulah yang paling teruja untuk keluar dengannya pada hari ini. Bukan selalu dapat keluar jalan-jalan dengannya di bandar, walau di bandar tiada pun shopping mall besar-besar. Yang ada hanyalah dua buah pasar raya.
Aku melihat-lihat rupaku pada pantulan cermin di hadapanku. Cermin besar yang ayah aku bawa pulang dari rumah pelanggan yang dia sedang bina. Katanya, daripada dibuang, lebih baik dia bawa pulang untuk kegunaan keluarga. Dia faham, anak perempuan mesti mahu gunakan cermin besar begini.
Aku gayakan tudung merah jambu dengan baju lengan panjang berwarna merah jambu cair dan ada sedikit warna putih serta skirt jeans panjang.
Kata-kata Melati mengenai bra kosong semalam terngiang-ngiang di telingaku. Aku hampir mahu memasukkan gumpalan tuala ke dalam bra untuk buatkan buah dadaku ini kelihatan besar. Tetapi, aku batalkan. Sejujurnya, kalau ada cara untuk buatkan dua bukit kecil ini tidak kelihatan, itu lebih baik. Aku rimas apabila ada sahaja mata lelaki yang singgah ke dadaku ini, padahal ia kecil sahaja. Lainlah kalau besar, memang jadi tarikan.
“Izah pergi dulu, mak!” Laungku sambil mendorong basikal menuju ke tepi jalan tanah merah berbatu di hadapan rumah. Aku memakai seluar di dalam skirt. Jadi, aku hanya tarik sahaja skirt ke paras lutut semasa mengayuh basikal.
“Izah! Jangan laju sangat!” Melati jerit dari arah belakangku secara tiba-tiba. Sangkaku, dia sudah ada di hentian bas. Rupa-rupanya keluar pada waktu yang sama denganku.
Kami mengayuh basikal secara beriringan.
Kurang lima minit kami berada di pondok hentian bas, bas pun tiba.
“Izah, hensemnya abang yang duduk belakang kita ni.” Bisik Melati kepadaku. “Kau berkenan tak?”
Aku mencubit lengan Melati, sebagai isyarat supaya dia jaga perlakuan.
“Takkan kau tak nampak dia hensem kot, Izah? Cair aku bila tengok dia.” Melati bisik lagi ke telingaku.
Aku gelengkan kepala.
“Hmmm… Kau tak minat lelaki ke, Izah?”
Aku geleng kepala spontan.
Melati kelihatan terkejut dengan gelengan kepalaku. Mulutnya kelihatan ternganga dan matanya bulat memandang tepat ke arahku.
“Kau… Kau minat perempuan ke?” Dia bertanya tergagap-gagap.
Aku lemparkan senyuman sahaja kepadanya.
Kami menapak turun setelah bas berhenti di hentian besar. Tempat berkumpulnya bas-bas awam dari tiga buah negeri.
Lokasi pertama yang kami tuju semestinya restoran makanan segera yang menghidangkan ayam goreng sebagai menu utamanya. Bukan senang mahu makan makanan ini. Sebulan sekalipun belum tentu lagi.
Melati menggigit paha ayam goreng dengan lahapnya.
“Izah, kau ni biar betul. Kenapa kau minat perempuan? Perempuan tak ada apa-apa ekstra pun. Apa yang ada kat kau, perempuan lain pun ada. Kalau lelaki, lainlah. Tengok dalam buku teks sains yang kita belajar awal tahu hari tu, kau tak rasa tertarik ke?” Panjang lebar Melati bercakap walau mulut sedang mengunyah daging ayam.
Aku tidak menjawab. Hanya senyum dan geleng kepala.
“Peliklah kau ni, Izah. Punya banyak lelaki hensem, badan ketak-ketak, macho, perempuan juga kau minat. Memang pelik.” Melati habiskan sisa daging ayam pada tulang paha di tangannya. Kemudian, dia ambil pula seketul lagi ayam di atas pinggan putih di hadapannya.
Aku tidak banyak cakap. Sudah jadi kebiasaan untuk habiskan makanan dahulu kalau mahu bercakap atau berbual-bual. Aku layankan sahaja setiap butir bicara Melati dengan senyuman, anggukan dan gelengan kepala.
Kami keluar dari restoran dan duduk sekejap di bangku taman depan restoran, masing-masing ada ais krim di tangan. Agak redup walau cahaya matahari membahang.
“Siapa perempuan yang kau minat tu, Izah? Kongsilah info dengan aku.” Melati bertanya untuk kali kedua. Tadi, dia sudah bertanya semasa kami berjalan keluar dari restoran.
“Kau nak tahu ke?” Aku balas pertanyaan Melati dengan pertanyaan juga.
Melati angguk laju.
Aku berikan senyuman yang paling manis dan letakkan tapak tangan aku atas skirt panjang berkain cotton tiga layer yang dipakai Melati.
“Kau.”
Melati terlongo. Rahangnya seakan-akan tidak dapat tertutup kembali.
Aku lega. Akhirnya perasaan yang aku pendam selama ini, sudah aku luahkan. Aku sudah beritahu kepada Melati, dia adalah orang yang aku sukai dan sayangi. Perasaan aku kepadanya bukan sekadar kawan. Malah, mungkin lebih daripada cinta. Aku mahu menyayangi dan menjaganya sebaik mungkin dan aku juga mahu banjirkan hidupnya dengan penuh kasih sayang.
“Melati, aku cinta padamu.”
===== TAMAT =====
Baca karya saya yang lain di SINI
ns 15.158.61.45da2