Sepulangnya Ustazah Salwa daripada sekolah menunggu kepulangan suaminya, bermacam-macam perkara yang difikirkan. Apakah beliau seharusnya menerima cadangan Guru Besar supaya mengiringi rombongan murid-murid sekolahnya ke Kuala Lumpur? Atau meminta supaya tempat tersebut yang dikosongkan oleh guru pengiring asal digantikan dengan orang lain.
Namun begitu, beliau nekad akan menyuarakan juga kepada suaminya dengan harapan agar suaminya dapat memberi pandangan seterusnya merestui atau tidak merestui cadangan guru besar tersebut.
Hampir jam 6.00 petang, motosikal suami Ustazah Salwa memasuki perkarangan rumah kampungnya yang tidak jauh daripada sekolah. Sebaik sahaja Ustazah Salwa mendengar deruman motosikal suaminya tiba dan dimatikan enjinnya, beliau terus membuka pintu rumah dan menunggu suaminya memasuki rumah. Lalu dihulurkan tangan lembutnya dan dikucup tangan suaminya.
Lantas Ustazah Salwa menyambut beg dan barang-barang keperluan dapur yang dibeli suaminya di kedai semasa dalam perjalanan pulang daripada kerja. Namun begitu, Ustazah Salwa telah siap menghidangkan makanan yang telah dimasaknya selepas balik daripada sekolah tadi. Mereka berempat sama-sama menikmati makan malam dengan nasi biasa dan beberapa jenis lauk yang sempat dihidangkan Ustazah Salwa.
"Abang, Sal nak tanya boleh?" soal Ustazah Salwa.
"Nak tanya apa Sal? Macam ada soalan penting je," jawab suaminya.
"Macam ni, tadi GB panggil Sal masuk opis dia. Katanya, Sal kena ikut rombongan budak-budak sekolah Sal ke KL minggu depan," jelas Ustazah Sal kepada suaminya.
"Ma, nak ikut. Ma, nak ikut," sampuk kedua anak-anaknya serentak.
"Macam mana ni Sal? Tu tengok dua-dua orang ni nak ikut," kata suaminya kepada Ustazah Salwa.
"Along, adik, macam ni. Sebenarnya bukan Ma tak nak ajak along dan adik ikut sama. Kalau along dan adik boleh ikut lagi best. Ayah pun kalau boleh ikut lagi seronok. Tapi guru besar sekolah mama cakap semua tempat duduk dalam bas sudah penuh. Dia pun offer kat mama lewat sebab ganti cikgu yang tak boleh pergi. Sorry sangat-sangat anak-anak mama OK?" pujuk Ustazah Salwa kepada dua orang anaknya.
"OK ma, takpe," jawab kedua-dua anaknya dengan sedih dan pilu.
"Abang, sebenarnya GB bagitau asalnya cikgu lain yang kena pergi. Tapi, kebetulan cikgu tu kena pergi berkursus kat JPN minggu depan. GB pun cadanglah nama Sal. Katanya dia orang dah mesyuarat. So macam mana bang?" tanya Ustazah Salwa meminta kebenaran.
"Berapa orang guru yang join rombongan tu Sal?" tanya suaminya.
"Setakat ni GB bagitau ada dua orang je. Sal dengan Cikgu Razali. Cikgu Razali tu ketua rombongan sebab dia yang buat cadangan hari tu bila sekolah Sal dapat anugerah sekolah cemerlang," jawab Ustazah Salwa.
"Abang tak kisah kalau itu dah cadangan Guru Besar. Kalau tak ikut nanti ada kesan pada prestasi Sal pula. Pasal anak-anak kita ni along dan adik, Sal jangan risau. Abang boleh jaga," balas suaminya.
"Ye ke Abang? kalau macam tu, terima kasih Abang. Sebenarnya pada mulanya Sal keberatan jugak nak pergi kot-kot abang tak sempat nak uruskan along dan adik ni. Tapi kalau abang dah setuju, nanti Sal maklumkan kepada GB pasal keputusan ni," beritahu Ustazah Salwa dengan gembiranya.
Mereka pun terus menikmati juadah makan malam sehingga selesai. Perasaan Ustazah Salwa berasa lega dengan restu yang diberikan oleh suaminya untuk mengikuti rombongan tersebut. Beliau juga menyimpan seribu harapan agar perjalanannya akan selamat dan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai guru pengiring sepanjang perjalanan rombongan tersebut.
Beliau juga menyimpan perasaan yang sangat gembira sebab beliau amat jarang sekali menjejaki kakinya ke ibukota Kuala Lumpur sama ada bersama keluarga ataupun dalam rombongan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.
Pada keesokannya, Ustazah Salwa pergi sekolah seperti biasa dan mula memasuki kelas seawal jam 7.40 pagi. Beliau mempunyai masa rehat pada jam 10.30 pagi semasa murid-murid semua keluar ke kantin untuk makan dan minum. Pada masa itulah Ustazah Salwa berjalan menuju ke bilik Guru Besar yang terletak selang beberapa bilik daripada bilik guru. Sewaktu beliau berjalan, beliau terserempak dengan Cikgu Zali.
"Alamak, Cikgu Zali. Nak cakap apa ye?" Getus hati Ustazah Salwa.
"Assalamualaikum Ustazah," kata Cikgu Zali menyuakan ucapan salam.
"Waalaikumussalam Cikgu. Nak ke mana ni?" tanya Ustazah Salwa.
"Saya nak jumpa semua ketua kelas tahun enam yang nak pergi ke KL tu. Ustazah jadi ke join kita orang?" soal Cikgu Razali.
"Saya tak boleh buat keputusan lagi. Harapnya ada orang lain boleh gantikan. Cikgu berilah cadangan kat GB. Carilah orang lain, OK?" jawab Ustazah Salwa.
"Owh macam tu. Takpe, nanti saya bincang dengan GB," balas Cikgu Razali.
Ustazah Salwa terus berlalu meninggalkan Cikgu Zali dengan haluannya. Setibanya di hadapan bilik Guru Besar, beliau terus bertanyakan PA Guru Besar sama ada dia ada atau tiada dalam pejabatnya.
"Ustazah, masuklah. Tadi GB ada tanya akak, nampak tak Ustazah. Saya kata belum jumpa lagi. Dia pesan, kalau jumpa Ustazah, suruh Ustazah jumpa dia secepat mungkin," pesan PA Guru Besar tersebut.
"Owh ye ke? OK la, saya jumpa dia sekarang la kak. Terima kasih," balas Ustazah Salwa.
"Assalamualaikum," kata Ustazah Salwa mula melangkah masuk ke dalam pejabat Guru Besar.
"Waalaikumussalam Ustazah Salwa, silakan duduk," balas Guru Besar yang sentiasa kelihatan tegas tapi sangat baik hati orangnya.
"Macam mana? Ustazah jadi join ke rombongan sekolah kita ke KL? Saya tak paksa, cuma mengharap tu ada la. So macam mana? Dah bincang dengan suami?" soal Guru Besar kepada Ustazah Salwa.
"Macam ni tuan, saya dah bincang dengan suami semalam. Asalnya saya keberatan juga nak beri kesanggupan ni walaupun suami saya dah izinkan sebab anak saya yang dua orang tu nak ikut. Kesian jugak, tapi saya rasa boleh je saya tinggalkan mereka pada suami saya," jawab Ustazah Salwa.
"Alhamdulillah, so Ustazah bersetuju la untuk ikut serta ye? Nanti saya akan keluarkan surat lantikan sebagai guru pengiring. Ustazah tak perlu risau tentang dokumen-dokumen yang perlu disiapkan, nanti saya akan minta kerani yang uruskan," balas Guru Besar.
"Terima kasih tuan dan saya pun tak beritahu kat siapa-siapa lagi pasal keputusan ni. Kat Cikgu Razali pun saya tak bagitau. Nanti dia akan tahu juga tu kan tuan?" tanya Ustazah Salwa.
"Betul. Saya bagi pihak sekolah amat bangga dengan keputusan Ustazah untuk memberi sokongan kepada rombongan murid-murid kita. Paling tidak, Ustazah dapat memastikan mereka sentiasa mengikut arahan ketua rombongan, dan yang paling penting Ustazah dapat memastikan mereka tak tinggal solat kan?" soal Guru Besar lagi.
"InsyaAllah tuan. Saya cuba setakat yang termampu. Terima kasih juga daripada saya atas kepercayaan yang tuan berikan. Doakan keselamatan kami pergi dan balik," balas Ustazah Salwa.
"InsyaAllah Ustazah," kata Guru Besar.
"OK tuan, saya mintak diri dulu nak ke kantin. Belum minum lagi lepas habis kelas jam 10.30 tadi," balas Ustazah Salwa lalu Ustazah Salwa keluar dan mengucapkan terima kasih kepada PA Guru Besar sebelum menuju ke kantin untuk mengisi perut yang sudah kosong.
ns 15.158.61.48da2