“Rei, jom pergi Kafe Kayamo.” Kata salah seorang rakan saya.
“Maaflah, geng. Saya ada kerja lain hendak buat.” Saya menolak tawaran mereka. Kalau saya tidak ada kerja pun, saya bukannya mampu makan di sana macam selalu. Mereka melambai kepada saya sebelum berjalan pergi. Saya mengeluh. Baik saya pergi Shion Bookery. Lagipun saya tiada kelas selepas ini. Bila difikirkan semula, saya langsung tiada kelas selepas pukul 2.30 petang. Jadi saya tiada masalah untuk datang ke kedai. Tanpa membuang masa, saya terus ke kereta saya untuk pergi ke Shion Bookery.
30 minit kemudian, saya sampai di kedai itu. Saya meletakkan kenderaan betul-betul di hadapan kedai tersebut. Selepas mengunci stereng kereta dan mengunci kereta, saya terus masuk ke dalam kedai. Tidak seperti semalam, kali ini kedai penuh dengan pelanggan. Semuanya merupakan pelajar sekolah. Pada asalnya saya tidak mengenali baju seragam mereka, namun selepas saya melihat dengan teliti lencana sekolah mereka, barulah saya tahu mereka dari sekolah yang sama dengan saya. Mungkin sekolah tukar gaya baju seragam sekolah. Di sana, ada yang sedang membaca sambil berdiri di hadapan rak buku, ada yang sedang membeli rak buku seperti sedang mencari buku, dan ada yang hanya berbual sambil memegang buku. Ada juga yang beratur untuk membuat pembayaran. Pemilik kedai tersebut pula mengimbas buku di kaunter. Dia masih lagi tidak perasan akan kehadiran saya. Saya berjalan ke arah wanita itu.
“Sila beratur ya.” Katanya. Aik? Dia tidak ingat saya ke?
“Uh… Saya datang untuk kerja sambilan.”
“Oh! Kamu rupanya. Sekejap ya, saya kena layan pelanggan dahulu.” Katanya sebelum kembali melayan pelanggan di kaunter pembayaran. Beberapa minit kemudian, barulah dia fokus pada saya.
“Baiklah, uh… Saya belum tahu nama kamu lagi.” Katanya. Baru saya perasan yang kami tidak memperkenalkan diri sendiri lagi.
“Rei. Panggil saya Rei.”
“Baiklah! Hai, Rei. Saya Raisya. Kamu boleh panggil saya kak Raisya atau apa-apa nama lain asalkan nama tersebut bukan membawa maksud yang tidak baik. Kerja kamu mudah saja. Setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 1.20 tengahari pelajar akan datang ke sini untuk belajar atau baca buku hingga petang. Kerja kamu adalah mengemas buku dari troli ke rak yang sepatutnya. Ada masa, pelanggan salah meletakkan buku di rak yang tidak sepatutnya. Jadi kamu kena letak semula ke rak yang betul. Kamu juga kena pastikan pelanggan tidak membawa buku dari aras satu ke aras dua tanpa membelinya terlebih dahulu. Saya tidak mahu buku bercampur. Jika perkara itu berlaku, ingatkan mereka. Akhir sekali, pelanggan dibenarkan untuk membaca buku dari aras satu dan aras dua. Jadi kamu tidak perlu melarang mereka. Tetapi, beritahu saya jika ada pelanggan merosakkan buku. Saya masih lagi tidak memasang CCTV untuk elakkan perkara ini berlaku jadi saya mahu kamu jadi mata saya. Ada soalan?” Jelas kak Raisya. Saya terdiam sekejap untuk proses semua maklumat yang saya dengar.
“Jadi… Saya kena kemas buku, pastikan pelanggan tidak campur buku dari aras satu dan dua, dan pastikan buku tidak rosak.” Saya cuba ulang semula apa yang kak Raisya bagitahu.
“Betul itu! Saya ada tengok jadual yang kamu e-mel pada saya. Kamu tiada apa-apa kelas selepas 2.30 petang, bukan? Jadi kamu tidak ada masalah untuk kerja hingga 11.30 malam?” Saya mengangguk. “Bagus! Kamu boleh mula bekerja. Saya belum tengok lagi keadaan di aras dua. Kamu boleh mula di sana.” Kak Raisya kembali ke kaunter pembayaran dan melayan pelanggan. Huh, bukannya susah mana pun. Cuma kemas buku sedikit, itu saja. Senang, kan?
Salah.
Baru saja sejam berada di sini, saya berasa penat. Budak-budak sekolah ini langsung tiada adab! Mentang-mentang mereka boleh baca buku tanpa membelinya, mereka buat sepah macam ini rumah mereka! Buku yang sudah dibaca berselerak di atas meja. Walaupun ada tanda tertulis ‘Letak Buku Di Sini’ pada troli, namun mereka tetap letak di rak yang tidak sepatutnya. Buku dari aras satu dan dua bercampur. Ada juga pelajar yang melipat buku walaupun mereka tidak membelinya. Ada juga pelajar yang membawa air dari Kedai Makan Janda Letop membuatkan meja basah. Bagaimana kedai seperti ini buat untung? Apa yang saya nampak hanyalah bencana! Perosak buku! Pelajar tidak bertanggungjawab!
Saya terduduk di lantai kerana penat melayan karenah pelajar-pelajar ini. Kalaulah ada tempat khas untuk saya rehatkan diri dari melayan mereka seperti bilik staf. Tetapi saya yakin bilik seperti itu tidak wujud dalam kedai seperti ini.
“Ish, budak-budak ini! Orang sudah letak tanda di mana tempat letak buku pun masih lagi salah letak buku! Mentang-mentang mereka boleh baca secara percuma.” Saya bersungut sambil mengemas rak buku di aras dua. Saya tidak kisah kalau mereka dengar. Bukannya mereka peka pun dengan keadaan sekeliling.
Pada pukul 4.00 petang, saya pergi ke tingkat bawah untuk bertemu dengan kak Raisya.
“Kak, macam mana akak dapat untung dengan buka kedai buku macam ini? Akak tidak rasa ke yang sistem seperti ini cuma merosakkan perniagaan akak?” Kata saya.
Kak Raisya tidak menjawab persoalan saya, sebaliknya dia memberikan soalan pada saya. “Kamu bukan dari kawasan sini ke?”
“Saya duduk berdekatan kawasan sini. Tetapi dua bulan lepas saya mula duduk dekat universiti.” Balas saya.
“Ah, kamu mesti tidak perasan. Saya sudah berada di sini hampir setahun.” Kak Raisya ketawa kecil.
“Setahun?! Tetapi saya langsung tidak perasan kewujudan kedai ini!”
“Mungkin kamu jarang lalu kedai ini. Sebab itu kamu tidak perasan.”
“Kak, saya menetap di bandar ini sejak kecil lagi. Saya peka dengan kawasan di sekeliling saya. Dan saya seringkali ulang alik dari universiti dan rumah tahun ini. Macam mana saya boleh terlepas?” Saya masih tidak puas hati. Kelihatan kak Raisya hanya tersenyum buat seketika sebelum membalas.
“Nanti kamu akan tahu kenapa kedai ini ghaib di mata kamu sebelum ini.” Katanya sebelum sambung membuat kerjanya di kaunter pembayaran. Dia seperti sedang menulis sesuatu pada buku nota. Saya tidak pasti apa yang dia tulis. Mungkin hal-hal penting seperti rekod jualan. Saya meregangkan badan. Tulang belakang saya menghasilkan bunyi. Saya tidak biasa kerja-kerja aktif seperti ini. Malah, saya tidak pernah bekerja. Yuran universiti dan kolej pun tanggungan ayah.
“Berapa lama lagi saya kena berada di sini?” Saya bertanyakan soalan.
“Sampai pukul 11 malam. Boleh?” Kak Raisya cepat memberi respon.
“Hmm, bolehlah. Lagipun seminggu saja saya kena bekerja tanpa gaji macam ini.” Kata saya. Saya kembali semula ke tingkat atas untuk melihat keadaan di sana.
Apabila saya sampai, barulah saya perasan tiada lagi pelajar sekolah yang meluangkan masa di sini. Mungkin mereka sudah balik sewaktu saya berbual dengan kak Raisya sebentar tadi. Suasana menjadi sunyi sama seperti sewaktu saya datang pada hari pertama. Saya duduk di kerusi dan lihat keadaan sekeliling. Kebanyakan kerusi tidak disusun cantik. Ada bahagian meja yang basah, barangkali kerana ada pelajar yang bawa air sejuk. Masih ada beberapa buku yang diletakkan di rak yang salah. Walaupun saya tahu saya kena kemas semua ini, tetapi saya mengambil masa untuk rehat dan tarik nafas, menikmati kesunyian tempat ini.
Apa kena dengan kedai buku ini sampai saya tidak perasan akan kewujudannya sebelum ini? Apa istimewanya tempat ini sampai kak Raisya tidak menjawab apapun soalan saya? Rasa seperti ada sesuatu yang tersimpan tentang kedai ini, tetapi saya tidak pasti apa bendanya.
Ish, apa kena dengan saya? Tidak pernah saya fikir sedalam ini tentang sesuatu. Malaslah hendak fikir. Selepas seminggu saya tidak akan datang ke sini lagi.
ns 15.158.61.54da2