Hari ini merupakan hari kedua saya di Shion Bookery. Saya datang lewat sejam kerana perlu hadiri perbincangan dengan ahli kumpulan bagi tugasan kelas. Saya sudahpun menghantar mesej pada kak Raisya yang saya akan datang lewat. Dia tidak membalas mesej saya. Saya Cuma mengagak yang dia sudah baca mesej saya.
Selepas meletakkan kenderaan di tempat yang sama, saya masuk ke dalam kedai. Seperti semalam, kedai penuh dengan pelajar sekolah. Saya berjalan mengelilingi kedai sebelum berjumpa dengan kak Raisya. Saya lihat kali ini kebanyakan pelajar berkerumun di tingkat atas. Jadi, tingkat bawah kelihatan agak lengang. Pelajar berborak dengan kuat hingga boleh didengari dari tingkat bawah. Di bahagian kaunter, kelihatan kak Raisya sedang membaca buku. Saya melihat kulit buku tersebut. Tajuknya “Tamadun Yang Hilang”. Wah, kak Raisya minat sejarah rupanya.
“Assalamualaikum kak.” Saya menyapanya.
“Oh! Lewat kamu sampai kali ini. Ada kelas tambahan ke?” kak Raisya menutup buku yang dibacanya dan meletakkan di atas meja.
“Eh? Kak tidak bacakah SMS saya?”
“Oh, kamu ada hantar SMS ya? Maaf, saya tidak lihat telefon saya.” Katanya. Dia menyambung, “Kerja kamu seperti biasa. Susun buku, bersihkan sampah sarap, pastikan pelajar tidak rosakkan buku di tingkat atas. Macam semalam.”
“Baiklah. Saya akan mulakan kerja sekarang.” Tanpa berlengah, saya terus ke tingkat atas.
Tidak seperti semalam, hari ini saya rasa seperti masa berjalan dengan pantas. Barangkali kerana saya melakukan perkara yang sama seperti semalam. Saya pun tidak tahu kenapa. Saya melihat sekeliling. Ada beberapa muka baru yang datang kali ini. Tetapi kebanyakan pelajar yang datang ialah pelajar yang sama dengan semalam.
“Macam mana dengan soalan nombor empat? Awak tahu ke jawapannya?” Kata salah seorang pelajar pada kawannya di sebelah.
“Saya pun tidak tahu. Saya masih lagi tengah mengira.” Balas rakannya sambil menulis.
Ada pula di meja sebelah tiga orang pelajar sedang duduk sambil berborak sesama mereka. Mereka membawa air mangga yang dibeli di luar perkarangan sekolah. Meja tersebut sangat berselerak dengan buku yang langsung mereka tidak usik. Kadangkala mereka bergelak ketawa dengan kuat. Saya hanya menggelengkan kepala. Selagi pelajar lain tidak mengadu tentang mereka, saya tidak akan buat apa-apa.
Pada malam itu selepas maghrib, semua pelajar sudahpun balik. Tinggal saya dan kak Raisya sahaja di dalam kedai. Kak Raisya sambung membaca buku sejarah tamadun sambil mengelap rak buku di tingkat bawah. Saya pula duduk di tingkat atas sambil membelek buku di rak. Apabila kedai lengang tanpa pelanggan, saya berasa bosan pula. Beginikah kehidupan sehari-hari peniaga? Ada masa pelanggan ramai hingga tidak menang tangan, dan apa pula masa kedai kosong tanpa pelanggan.
Saya mengambil tempat duduk di salah satu meja di tingkat itu. Komputer riba dikeluarkan dari beg galas dan diletakkan di atas meja. Saya memasang pengecas di dinding. Komputer riba dihidupkan. Saya fikir sementara tunggu kedai tutup, baiklah saya buat tugasan yang pensyarah berikan tengah hari tadi. Saya terelalu fokus pada kerja saya hingga saya tidak perasan apa-apa di sekeliling saya. Lagu yang bermain di fon telinga membuatkan saya lebih fokus dengan tugasan saya. Saya memasang lagu-lagu hit 2014 yang di muat turun dari YouTube. Tanpa saya sedar, sudah sejam setengah berlalu.
Saya merenggangkan badan. Melihat skrin komputer pada masa yang lama membuatkan saya rasa penat. Saya mematikan komputer riba saya. Saya cuba berjalan di sekeliling kedai untuk merehatkan mata daripada cahaya skrin. Saya bukanlah seorang yang suka membaca. Kalau saya perlu memilih antara membaca buku dan menonton televisyen, saya akan memilih televisyen. Saya lebih mudah memahami sesuatu apabila saya dengar orang bercakap. Malah, ketika di kelas kuliah saya merakam kelas tersebut untuk di rujuk kemudian. Jangan haraplah kalau hendak nampak saya membaca buku teks yang beratus muka surat itu. Buat saya mengantuk sahaja.
Saya pergi ke rak buku sejarah. Saya perasan buku yang kak Raisya baca petang tadi ada di rak ini. Saya berasa ingin tahu apa yang seronok sangat baca buku sejarah ini, jadi saya cuba untuk capai buku tersebut yang berada di rak kedua atas.
Tiba-tiba saya perasan ada tangan kecil yang cuba mencapai buku yang sama. Saya melihat kiri saya. Ada seorang perempuan bermuka bulat yang juga melihat pada saya. Kami bertentangan mata.
“Ah! Maaf! Maafkan saya!” Kata perempuan itu dengan gugup. Mukanya merah padam.
“Tidak mengapa. Salah saya tidak perasan kehadiran awak.” Kata saya. Sebelum saya sempat pergi dari situ, dia bersuara. “Um... Saya hendak minta tolong sesuatu boleh?”
Saya memandang dia. Perempuan itu menuding jari pada buku Tamadun Yang Hilang. “Saya tidak sampai hendak ambil buku itu. Boleh tolong ambilkan?”
“Oh, boleh saja.” Saya terus mencapai buku tersebut dan berikan padanya. “Awak pun sukakan sejarah ke?” Tanya saya.
“Boleh dikatakan begitulah. Saya baru hendak berjinak-jinak hendak membaca buku sejarah seperti ini. Terima kasih tolong ambilkan.” Katanya. Perempuan itu terus pergi ke tingkat bawah. Saya hanya melihatnya berjalan menuruni tangga. Kemudian saya teringatkan sesuatu. Saya melihat jam tangan. Hampir pukul 11 malam. Baik saya mula mengemas barang untuk balik.
Selepas mengemas barang saya di meja sebentar tadi, saya menggalas beg dan turun ke tingkat bawah untuk berjumpa dengan kak Raisya.
“Saya balik dulu, kak.” Kata saya. Tetapi, sebelum sempat saya membuka pintu kaca, kak Raisya memanggil saya. “Oh ya! Tunggu. Saya ada sesuatu untuk bagitahu. Esok kedai buku tidak akan buka selama dua minggu.”
“Eh? Jadi saya perlu datang ataupun tidak?” Saya bertanya.
“Tidak perlu. Nanti saya SMS kamu bila kedai akan dibuka semula.”
Saya terfikir. Kak Raisya ini memang mudah percayakan orang. Saya boleh saja tipu yang saya tidak dapat hadir ke kedai selepas ini. Kata saja saya sibuk dengan peperiksaan atau tugasan kuliah. Tidak pun saya sekat saja nombor dia selepas ini. Kak Raisya tidak terfikirkan perkara seperti ini ke? Saya sendiri tidak faham dengan apa yang kak Raisya fikirkan. Apa yang dia lakukan mesti pelik dan tidak masuk akal bagi saya. Bagaimanalah perniagaan dia kekal selama setahun dengan adanya pemilik kedai seperti ini.
“Baiklah. Nanti kak SMS saya bila kedai akan dibuka semula.” Kata saya. Selepas memberi salam, saya keluar dari kedai dan menuju ke kereta saya.
Tugasan kuliah semakin bertambah. Hal ini membuatkan saya lebih sibuk. Salah satu tugasan kami ialah mengenai saham dua syarikat pilihan sendiri. Kami perlu memilih syarikat patuh syariah dan bandingkan syarikat mana yang terbaik untuk melabur saham. Hakikat bahawa ianya tugasan individu menyebabkan saya lebih berserabut. Saya lebih suka tugasan berkumpulan kerana boleh bahagikan tugas pada ahli kumpulan.
Ding!
Bunyi di telefon menandakan mesej masuk. Saya melihat pada telefon jikalau ianya mesej penting.
‘RM34.68 telah ditolak dari akaun bank anda.’
Saya terkejut. Saya terdiam sejenak memikirkan kenapa perkara ini berlaku. Kemudian, barulah saya teringat.
Saya pernah langgan Netfleks premium.
Dengan panik, saya terus keluar daripada bilik asrama dan berjalan terus ke mesin ATM. Saya tiada masa hendak tunggu bas sampai. Saya perlu lihat berapa duit yang tinggal dari bank saya. Kenapalah saya lupa hendak nyahlanggan? Macam mana kalau duit yang tinggal tidak cukup untuk menampung hidup saya di universiti bulan ini? Ayah sudah beritahu yang dia tidak akan tambah duit belanja walau apapun yang terjadi.
Sampai sahaja di mesin, saya terus masukkan kad debit dan menyemak baki.
RM25.
Saya terduduk di situ. Macam mana hendak bertahan dengan hanya RM25 bulan ini? Duit makan, duit minyak kereta... Orang sekeliling melihat saya namun tidak menegur. Saya terlalu terkejut dengan jumlah duit yang saya ada. Hanya satu benda yang boleh menolong saya. Saya perlu cari kerja sambilan. Pada masa itu, saya teringat akan sesuatu.
Shion Bookery.
Saya masih lagi ada ‘hutang’ yang belum dilangsaikan. Bagaimana kalau saya mula bekerja di sana terus? Dapatlah beberapa ringgit tambahan untuk tampung hidup saya di universiti. Baiklah, saya nekad akan bekerja di sana.
Esoknya, saya datang ke sana. Memandangkan saya tiada kelas pada hari itu, saya fikir baiklah saya menghabiskan masa di sana. Tetapi bagaimana agaknya reaksi kak Raisya? Sudah lebih dua minggu saya tidak datang ke sana. Pada asalnya, saya mahu mengelak dari bekerja di sana. Saya juga sudah sekat dan buang nombor kak Raisya dari telefon bimbit saya. Bagaimana kalau kak Raisya tidak menerima saya?
Ah, nantilah saya fikirkan! Kalau saya tidak dapat bekerja di sana, saya boleh saja bekerja di Kedah Fried Chicken. Tetapi bila difikirkan balik, tiada Kedah Fried Chicken yang terdekat di sini.
Saya menggelengkan kepala. Baik fokus pada benda penting sekarang ini. Jumpa kak Raisya dan minta maaf.
Sesudah sampai di kedai buku itu, saya terkejut. Betul ke ini Shion Bookery? Saya cuba berjalan kebelakang untuk lihat papan kedai. Labelnya masih sama. Luaran kedai kelihatan sungguh berbeza. Dari luar, ia seperti kedai buku Eropah. Saya membaca bismillah sebelum membuka pintu masuk. Apabila saya lihat suasana di sekeliling kedai, saya berasa kagum. Wah, lain sungguh kedai ini sekarang! Susunan buku di tingkat bawah sangat lain. Suasananya seperti kedai buku lama. Rak-rak buku yang tinggi tersusun cantik di dinding dan di tengah-tengah ruang tersebut. Penanda yang memberitahu genre buku ditampal pada rak-rak tersebut. Kayu ditampal pada dinding dan siling untuk memberi ilusi seperti kedai itu dibina dengan kayu, walaupun hakikatnya ianya konkrit. Lampu yang digunakan juga ialah lampu vintaj yang tergantung di siling kedai.
Di meja kaunter, kak Raisya sedang khusyuk menulis dan membelek buku. Barangkali ianya buku kerja untuk kedainya. Dengan perlahan, saya berjalan menuju ke meja kaunter dan menegurnya.
“Assalamualaikum...” Saya menyapa. Kak Raisya terus mendongak ke atas. “Oh! Awalnya kamu sampai?” Katanya.
Eh? Dia tidak marah ke? Dia langsung tidak menunjukkan reaksi marah apabila melihat saya. Sebaliknya, dia tersenyum sepertimana dia memandang pelanggan dia.
“Uh... Saya datang sini hendak minta maaf kerana tidak hadir beberapa hari lepas.” Saya tebalkan muka untuk meminta maaf padanya. Saya tertunduk semasa berkata. Malu hendak lihat mukanya.
“Tidak mengapa, saya maafkan.”
Eh? Saya salah dengar ke? Macam itu saja dia maafkan saya? Bagaimana pula dengan hutang saya? Saya tidak berani hendak sebut tentang hutang itu. Saya datang sini kerana hendak bekerja di sana.
“Uh... Boleh saya tanyakan soalan?” Saya mengusap bahagian belakang kepala saya. Saya masih tertunduk.
“Boleh. Apa soalannya?” Katanya.
“Kalau saya mahu kerja sambilan di sini, boleh?”
Kak Raisya mencubit dagunya dan berfikir sebelum menjawab. “Okay, saya terima kamu bekerja di sini. Upah mengikut berapa jam kamu bekerja. Setuju?”
Saya terus menaikkan kepala dan memandang kak Raisya. “Betul ke?”
“Ya.” Balasnya. “Kedai ini dibuka setiap hari secuali hari Ahad dari pukul 7 pagi hingga 11.30 malam. Kamu boleh datang pada bila-bila masa. Hendak kerja sekarang pun boleh.”
Bagus juga. Apa kata saya kerja sekarang? Lagipun saya tiada kelas hari ini.
“Baiklah. Kalau macam itu hari ini juga saya mula bekerja. Terima kasih banyak-banyak, kak Raisya!” Saya menundukkan kepala tanda hormat. Alhamdulillah, senang saja urusan saya.
Saya kembali ke kereta untuk mengambil beg galas kalau-kalau saya dapat siapkan tugasan kuliah pada masa lapang. Kemudian, saya naik ke tingkat atas. Suasana di tingkat atas pun kelihatan lain. Dekorasi ruang tingkat atas lebih kurang sama dengan tingkat bawah, kecuali satu benda.
Ada kaunter lagi?
Di hujung ruang bertentangan dengan tangga, ada satu meja kecil dengan beberapa pencuci mulut, mesin membuat kopi dan beberapa mesin lain.
“Ya, hendak pesan apa?”
Seorang wanita cina berambut hitam potongan rambut bob muncul dari bawah, barangkali dia sedang membetulkan sesuatu atau menyusun almari di bawah meja. Lesung pipit terbentuk apabila dia senyum pada saya.
“Ah! Maaf, saya Cuma mahu lihat saja.” Kata saya sambil menundukkan kepala sedikit. “Saya bekerja sambilan di sini. Nama saya Ryan, tetapi boleh panggil saya Rei. Sejak bila ada kafe dalam kedai buku ini?”
“Oh, saya sewa tempat ini! Nama saya Ashley, seorang barista.” Wanita itu memperkenalkan diri.
“Selamat berkenalan, kak Ashley.”
“Tidak perlulah panggil saya ‘kakak’. Panggil saja Ashley. Lagipun awak pun staf di sini. Tidak perlulah formal sangat.” Kata Ashley dengan kuat sambil melibaskan kain putih pada lengan kiri saya sambil ketawa. Saya mengusap lengan kerana sakit.
“Baguslah saya nampak kamu berdua berkawan. Ashley, ini Rei. Dia tolong saya sedikit untuk kendalikan kedai ini. Rei, awak lap meja dan buang sampah di tong sampah di luar kedai nanti bila pelanggan sudah minum dan makan di sini. Dan seperti biasa, susun buku selepas pelanggan membaca. Oh, dan tolong sapu kedai. Penyapu ada di stor tingkat bawah.” Kata Raisya. Saya mengangguk dan terus ke tingkat bawah untuk mengambil penyapu dan mulakan kerja. Saya rancang untuk sapu tingkat atas dahulu memandangkan ianya merupakan hotspot apabila habis sekolah nanti. Tingkat bawah boleh buat kemudian.
Saya kembali ke tingkat atas dengan penyapu dan penyodok. Sambil menyapu lantai kayu, saya terdengar perbualan kak Raisya dan Ashley.
“Awak kata tidak mahu ambil pekerja?” Kata Ashley.
“Dia ada hutang dengan saya. Tetapi, sebab dia tidak mampu untuk bayar hutang, dia kena kerja di sini secara percuma.” Balas kak Raisya. Baru teringat yang saya masih ada saki baki ‘hutang’ yang saya kena langsaikan. Saya Cuma tertunduk seperti saya sedang fokus pada kerja saya.
“Oh, begitu. Lagi satu, saya ada soalan. Harap awak okey dengan soalan saya.” Kata Ashley sambil mendekatkan dirinya pada muka kak Raisya.
“Apa soalannya?” Tanya kak Raisya.
“Saya sudah lama hendak tanya soalan ini pada awak. Saya mahu tahu kenapa awak memutuskan untuk buka kedai sedangkan awak ada sebut yang awak selesa dengan kerja pejabat awak.” Kata Ashley. Dia perlahankan suaranya, namun saya masih dapat mendengar soalannya.
Kak Raisya membisu seketika sebelum membalas. Saya tidak dapat mendengar jawapannya kerana suaranya sangat perlahan. Ashley membalas dengan perkataan “Ooooh...” dengan panjang. “Awak lupakan sajalah dia. Awak tidak patut buat semua ini untuk dia. Awak kena move on.” Balas Ashley.
Lagi sekali saya masih tidak mendengar apa yang kak Raisya balas. Aduh, suspen betullah! Saya baru hendak tahu apa yang kak Raisya balas. Suaranya betul-betul perlahan, berbeza pula dengan suara Ashley yang kuat walaupun dia berbisik.
Saya menggelengkan kepala. Lebih baik saya fokus pada diri sendiri daripada sibuk dengan hal kak Raisya.
ns 18.68.41.146da2