Selepas kedai buku ini dinaik taraf, pelanggan menjadi lebih ramai. Pelajar sekolah meluangkan masa di tingkat atas hingga tempat duduk di setiap meja penuh. Kewujudan mini bar di tingkat atas merupakan terikan utama mereka. Mereka datang ke sini bukan untuk membaca, tetapi untuk melepak dan berborak sementara menunggu bas sekolah atau ibu bapa mereka datang mengambil mereka. Yang mempunyai rumah berdekatan dengan sekolah, mereka melepak di sana dengan rakan-rakan mereka dan berborak dengan kuat.
Yang saya paling tidak suka, kehadiran mereka menambah kerja saya. Kalau sebelum ini saya hanya perlu menyusun buku yang sudah dibaca di rak yang sepatutnya dan mengelap meja, kini saya perlu buang sampah, cuci pinggan di sinki, lap meja, susun semula kerusi dan meja, dan sapu lantai beberapa kali. Penatnya!
Pada waktu lewat petang, barulah pelajar-pelajar ini keluar dari kedai. Tinggal pelanggan biasa sahaja yang datang dan pergi. Saya terduduk di salah satu kerusi kerana kepenatan. Sudah seminggu saya bekerja di sini, dan setiap hari kerja saya langsung tidak menjadi mudah. Saya penat, kaki saya letih kerana berdiri lama, dan saya masih ada beberapa tugasan yang saya masih tidak dapat siapkan. Ya, saya dapat duit tambahan sedikit selepas bekerja di sini. Tetapi, kerja di sini menyebabkan saya tiada masa untuk mengulang kaji dan menyiapkan tugasan. Ada satu tugasan berkumpulan yang saya masih tidak sentuh. Dalam kumpulan tersebut, saya seorang sahaja yang tidak menyiapkan bahagian saya.
“Penat betul saya tengok awak ni, Rei.” Ashley menegur saya. Dia menghulurkan secawan kopi susu pada saya. Saya mengambil kopi tersebut dan mengucapkan terima kasih sebelum minum.
“Budak-budak ini layan tempat ini macam kedai makan! Ini kedai buku, tetapi saya rasa macam saya bekerja di restoran!” Saya meluahkan rasa tidak puas hati. Saya meneguk kopi sebelum menyambung. “Mana saya tidak penat kalau semua benda saya kena buat seorang diri! Susah hendak jaga kebersihan kedai ini bila pelanggan terlalu banyak di sini. Saya penat, tahu! Awak dan kak Raisya senanglah. Kak Raisya hanya perlu menjaga tingkat bawah dimana dia hanya perlu melayan pelanggan yang betul-betul hendak membeli buku. Dan awak pula hanya perlu berdiri di sana dan buat air. Saya kena bersihkan, lap meja, susun meja dan kerusi di tempat sepatutnya, susun buku yang bersepah, kosongkan troli... Yang paling saya serabut sekarang ini ialah saya langsung tidak mengulang kaji dan menyiapkan tugasan kuliah minggu ini! Lepas balik dari kerja, saya terus tidur sebab terlalu kepenatan.”
“Sebenarnya, bukan senang hendak mengendali kedai. Apa-apa kedai pun sama. Kedai makan, kedai buku, kedai perkakasan. Semuanya ada kesusahannya. Awak ambil jurusan apa?” Tanya Ashley.
“Perniagaan dan pengurusan.” Balas saya.
“Ha! Patutnya awak faham tentang perkara ini! Awak ambil jurusan perniagaan, mesti awak tahu betapa susahnya hendak kendalikan perniagaan.” Kata Ashley. Saya tidak membalas. Susah sangatkah hendak mengendalikan satu perniagaan seperti ini? Saya nampak kak Raisya duduk saja di meja kaunter. Kadangkala dia membaca buku sejarah dan tulis sesuatu di buku nota. Kemudian dia tidak berbuat apa-apa setiap kali saya menjenguknya. Semasa belajar tentang pengurusan perniagaan pun bagi saya ia tidak kedengaran sukar. Jadi apa yang susahnya?
Sedang saya meneguk kopi yang tinggal sedikit, saya perasan ada seorang pelanggan menaiki tangga ke tingkat kami berada. Ashley bangun dan kembali pada mini bar. Saya hanya memandang pelanggan tersebut sambil minum. Pelanggan itu merupakan seorang perempuan melayu berbadan kecik dan bermuka bulat. Rasanya saya pernah nampak dia, tetapi di mana ya? Mungkin sangkaan saya sahaja.
Air kopi sudah habis diminum. Saya Cuma duduk sahaja di situ dan mengamati suasana sunyi ini. Sesekali saya memandang pelanggan tadi. Dia sedang melihat setiap buku yang ada di setiap rak. Dari rak kamus, rak pelajaran, rak sejarah hinggalah ke rak keagamaan dia melihat. Dia seperti sedang mencari sesuatu. Perlu ke saya pergi tanya pada dia apa yang dia cari? Ah, malaslah. Biar sajalah dia melihat rak-rak tersebut. Saya tahu ada pelanggan yang tidak suka staf kedai mengikutinya semasa mereka meninjau barang jualan.
Selepas beberapa minit perempuan itu meninjau, tiba-tiba dia berjalan ke arah saya.
“Um... Awak staf di kedai ini ke?” Tanya dia.
Saya mengangguk. “Ya, betul.”
Perempuan itu kelihatan seperti hendak mengatakan sesuatu, tetapi mulutnya seperti dikunci. Dalam seminit kami berdua berdiam diri.
“Cik ada apa-apa lagi ke hendak tanya?” Saya memecah kesunyian dengan mengajukan soalan. Dia seakan terkejut apabila saya berkata.
“Uh... M—maaf... Saya pergi dulu...” Perempuan itu terus berjalan dengan cepat ke arah tangga. Saya masih berasa keliru apa yang dia mahu tanya sebenarnya, tetapi saya memilih untuk tidak fikirkan tentang perkara tersebut. Buat pening kepala saya saja. Masalah sendiri pun belum selesai lagi.
Ah, selesanya katil asrama ini! Rasa penat sangat. Belajar pada waktu siang, kemudian kerja pada waktu petang. Duit upah dapat membantu serba sedikit untuk menampung hidup saya. Sudah lama saya tidak makan di kafe Kayamo. Saya rindukan kek red velvet mereka. Macam mana kalau saya beli kek itu esok? Lagipun duit saya cukup untuk beli satu. Atau mungkin dua? Ah, fikirkan tentang kek itu pun sudah buat saya terliur. Saya dapat bayangkan rasanya. Nasib baik rakan sebilik saya tiada. Kalau tidak, dia pun pelik lihat saya berangan seperti ini.
Ding!
Bunyi pemberitahuan dari telefon membuatkan saya terjaga dari angan-angan saya. Saya mengambil telefon dari poket seluar.
“Satu (1) mesej dari ‘Liam – Group Assignment Finance’.”
Kenapa dia mesej pada waktu tengah malam? Saya berdebar-debar. Tanpa berlengah, saya buka mesej tersebut.
“Ryan. Sudah tiga kali awak tidak hadir sesi perbincangan. Sekarang ini tinggal kerja bahagian awak sahaja. Kami bersepakat untuk laporkan pada pensyarah kalau awak tidak siapkan bahagian awak esok pagi. – dari Liam dan ahli kumpulan lain”
Alamak! Macam mana sekarang? Saya kena siapkan sebelum pagi esok! Dari berat rasanya kelopak mata layu sebentar tadi terus tercelik. Saya kena siapkan sekarang!
Sebelum itu, saya pergi membersihkan diri dan menukar baju-T. Kemudian, saya terus buka komputer riba saya. Tanpa berlengah lagi, saya buka Google Drive dan mula bekerja. Sepanjang malam itu, saya tidak tidur. Disebabkan ada bahagian yang saya tidak jelas, tugasan yang sepatutnya sekejap sahaja siap mengambil masa yang agak lama pada saya. Kenapalah saya dapat bahagian yang paling susah? Banyaknya bahagian yang saya tidak faham!
Pada pukul 7.30 pagi, barulah saya dapat siapkan bahagian saya. Saya menekan “save” dan menghembus nafas lega. Penatnya, saya mahu baring sebentarlah. Lelap sekejap saja. Selepas saya setkan jam loceng pada pukul 8 pagi, saya terus baring dan tidur sebentar.
***
“ALAMAK!!! SAYA TERLEBIH TIDUR!” Saya terbangun dari tidur. Saya terus capai telefon bimbit saya untuk lihat pukul berapa sekarang.
6.40 P.M.
Sudah petang. Kuliah dan kerja terlepas. Solat pun entah ke mana. Apa kena dengan awak, Rei? Sayang terbaring mengenangkan nasib saya sekarang. Kuliah entah ke mana, tugasan entah ke mana, kerja entah ke mana. Banyak sangat komitmen saya menyebabkan hidup saya kucar-kacir. Saya penat, kerja saya langsung tidak berjalan, dan saya sudah lama tidak mengulang kaji. Saya tidak tahu kalau saya boleh lulus semester ini dengan keadaan seperti ini.
Saya dail nombor telefon kak Raisya di telefon. Saya kena beritahu kak Raisya kenapa saya tidak hadir ke kedai. Apabila kak Raisya mengangkat telefon, saya terangkan padanya kenapa saya tidak hadir.
“Tidak mengapa. Saya faham kamu masih lagi pelajar. Nanti bila kamu sudah ada masa lapang kamu datanglah ke sini.” Balasnya. Saya bersyukur kerana mempunyai majikan yang memahami seperti dia. Saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak padanya sebelum memutuskan panggilan. Kak Raisya beri izin pada saya untuk tidak datang ke kedai buat sementara waktu, jadi saya gunakan masa yang lapang ini dengan mengejar perkara lain. Saya sangka yang saya akan rehat buat seketika, namun saya tidak tahu bahawa saya tidak menghubungi atau kembali ke kedai buku itu sehingga saya menamatkan peperiksaan akhir saya.
Sepanjang ketiadaan saya, kak Raisya pun tidak menelefon saya. Saya seperti lupa tentang kerja sambilan saya di sana. Tetapi, disebabkan saya tidak tahu bagaimana untuk menguruskan masa saya dengan baik, tugasan kuliah saya masih ada yang tidak siap. Saya banyak menghabiskan masa dengan menonton video di YouTube dan menatal siaran di Facebook. Perkara ini berlarutan hinggalah pada hari terakhir peperiksaan.
Selepas keluar dari dewan, saya meraikan dengan makanan di Kayamo. Tetapi saya terhenti apabila saya dapat tahu bilangan wang yang ada dalam dompet.
Tanpa berlengah, saya pergi ke kereta saya. Di dalam kereta, barulah saya perasan bilangan minyak kereta yang tinggal. Minyak yang tinggal tidak cukup untuk perjalanan ulang alik! Alamak, bagaimana sekarang? Ish, apa jadi dengan awak, Rei? Macam-macam masalah betul. Baik saya isi minyak terlebih dahulu. Saya lihat di dalam dompet saya.
“Lah, ada RM10 saja? Apa saya nak makan dengan RM10?” Saya mengeluh panjang. Hilang mood terus hendak raikan di kafe Kayamo. Minyak tinggal sedikit, duit pun sama. Lepas fikir sejenak, saya merancang untuk tidak pergi ke kafe dan simpan minyak untuk perjalanan balik ke rumah esok.
ns 15.158.61.20da2