Selepas selesai kuliah pagi ini, saya tercegat di hadapan pintu dewan kelas. Kepala saya sangat kusut sejak akhir-akhir ini. Saya berjalan ke arah sebuah kereta putih Perodua Myvi yang terletak di antara kereta-kereta yang lain. Kunci kereta dikeluarkan dari poket seluar. Saya membuka kunci pintu kereta dan terus mencampak beg saya ke tempat duduk di belakang. Saya termenung di tempat duduk pemandu buat seketika. Sejak akhir-akhir ini, saya sering termenung. Dalam kelas pun sama. Masalah kewangan membuatkan saya serabut.
“Mulai hari ini ayah tidak akan berikan elaun bulanan yang banyak pada Ryan!” Ucapan ayah beberapa hari lepas masih terngiang-ngiang di telinga. Manakan tidak, saya sekarang kena hadkan perbelanjaan saya disebabkan itu. Saya sudah terbiasa makan di restoran yang ada kelas, minum air kopi dari kedai ternama dan lepak di kafe selepas kelas. Dulu, saya berbelanja hampir RM50 setiap hari. Tetapi, disebabkan perbalahan antara saya dan ayah, saya hanya dapat RM200 sahaja sebulan! Apa saya boleh buat dengan RM200? Ia langsung tidak dapat menampung kehidupan mewah saya.
Saya cuba menelefon ayah lagi pada pagi ini untuk meminta maaf. Saya kena turunkan ego saya kalau saya mahukan jumlah elaun bulanan asal saya. Tetapi, ayah tidak mengangkat panggilan saya. Saya mengusap kepala saya membuatkan rambut saya kusut. Kepala saya lebih serabut dari rambut saya sekarang ini. Di mana pula saya hendak cari duit?
Saya menghidupkan enjin kereta dan terus memandu. Saya tidak tahu hendak pergi mana. Yang pasti, saya mahu tenangkan fikiran. Lagipun, saya tidak ada kelas selepas ini. Biarlah saya keluar dari kawasan kampus buat sementara. Mungkin saya akan balik terus ke rumah saya dan tidur di sana. Lagipun jarak antara universiti dan rumah tidak jauh manapun. Hanya mengambil masa 30 minit sahaja.
Apabila saya sampai di rumah, barulah saya perasan akan sesuatu.
Kunci.
Bagus, Rei. Awak lupa bawa kunci. Saya menepuk dahi saya. Macam manalah saya terlupa untuk ambil kunci di inasis sebelum datang ke sini. Rasa tidak berbaloi langsung datang ke sini. Ibu pun tidak ada di rumah, jadi tidak boleh minta dia bukakan kunci pagar. Saya tahu ibu tidak ada di rumah kerana motornya tidak ada. Jadi, saya memandu ke deretan kedai berdekatan dengan rumah saya. Alang-alang saya di sini, saya mahu pergi ke kedai makanlah. Lagipun, saya tidak bersarapan pagi tadi kerana bangun lewat.
Tidak sampai lima minit saya sudah sampai di deretan kedai yang terletak berdekatan dengan sebuah sekolah menengah. Ada enam lot kedai kesemuanya. Dulu, setiap kali habis sekolah saya akan meluangkan masa di kedai runcit di sini dan beli makanan ringan atau majalah komik Kraker. Saya bukannya beli majalah itu pun, tetapi saya curi-curi baca tanpa pengetahuan pemilik kedai. Masa itu, ayah hanya kerja sambilan di kilang dan ibu pula tidak bekerja. Jadi saya tidak sesuka hati beli barang kehendak kecuali makanan.
Saya meletakkan kenderaan saya di tempat yang betul. Kemudian, saya berjalan untuk ke Kedai Makan Janda Letop. Pada asalnya saya mahu parkir berdekatan dengan kedai makan tersebut, tetapi saya tidak jumpa kotak kosong. Jadi saya terpaksa meletakkan kereta jauh dari kedai tersebut.
Semasa saya berjalan melalui deretan kedai tersebut, saya perasan ada sebuah kedai baru betul-betul di sebelah kedai runcit yang saya selalu pergi. ‘Shion Bookery’. Itulah nama kedai yang terpampang di hadapan kedai tersebut. Saya tidak ingat pula ada kedai buku berdekatan kawasan sini. Dan bila saya fikirkan semula, bandar ini memang tiada kedai buku. Kerana ingin tahu, saya singgah di kedai buku itu. Loceng di atas pintu masuk berbunyi apabila saya membuka pintu.
Suasana di kedai sangat sunyi. Tiada orang kelihatan. Pemilik kedainya tidak ada ke? Saya melihat kiri dan kanan. Kosong. Pemilik kedai tidak risau ke kalau ada orang mencuri? Saya berjalan perlahan ke setiap rak buku. Setiap buku disusun mengikut genre. Ada fiksyen remaja, fiksyen umum, fantasi, kisah cinta, dan banyak lagi. Tetapi saya baru perasan. Tiada satu pun rak buku untuk genre bukan fiksyen.
Selepas habis meronda setiap rak buku, saya perasan ada tangga yang menuju tingkat atas. Ada sebuah penanda yang tertulis “Sudut membaca” dengan penunjuk arah menunjuk ke atas. Dengan berasa ingin tahu, saya pun menaiki tangga.
Di tingkat atas, ruangannya kelihatan lebih besar. Semua rak buku tersusun di dinding. Ruangan di tengah diletakkan beberapa meja dan kerusi. Sekali lihat, suasananya seperti sebuah perpustakaan. Jadi, inilah yang dimaksudkan “sudut membaca”. Tetapi bukan ke selalunya kedai buku melarang pelanggan untuk membaca atau melepak di dalam kedai?
Saya berjalan ke arah sebuah rak. Saya lihat sekeliling. Sini rupanya buku bukan fiksyen terletak. Kebanyakan buku di sini ialah buku rujukan untuk sekolah rendah dan menengah. Ada juga buku lain seperti buku motivasi, buku teknik belajar, dan buku komunikasi bahasa Inggeris. Ada satu rak khas yang saya nampak. Rak tersebut lain daripada lain. Seni binanya kelihatan vintaj. Saya pergi melihat dengan lebih dekat. Rupanya ianya merupakan tempat terletaknya kamus. Ada beberapa kamus dwibahasa yang tersusun cantik di rak itu. Entah kenapa, saya berasa teringin mahu pegang salah satu buku itu. Saya mengambil kamus bahasa Mandarin di rak tersebut dan membeleknya.
Bam!
Tiba-tiba bunyi pintu ditutup dengan kuat membuatkan saya terkejut. Dan disebabkan saya terlalu terkejut, saya terlepaskan buku kamus itu. Buku tersebut jatuh di kaki kanan saya. Saya mengerang kesakitan.
“Kenapa itu?” Kedengaran suara seorang wanita di belakang saya. Saya menoleh ke belakang sambil mengusap kaki kanan dan berdiri dengan kaki kiri. Seorang wanita bertudung merah jambu terang dan berbaju ungu berdiri betul-betul di belakang saya. Dia kelihatan risau melihat saya.
“Maaf, saya cuma terkejut.” Kata saya. Saya berdiri seperti biasa semula. Walaupun kaki kanan masih berdenyut kesakitan, tetapi saya cuba sorokkan rasa itu.
“Okey ke?” Tanya wanita itu.
“Ya, ya. Saya okey. Saya masih boleh berjalan. Tiada masalah pun.”
“Maksud saya kamus itu.” Katanya.
Saya baru perasan. Oh, ya! Kamus tadi! Saya lihat di bawah kaki saya. Kelihatan beberapa muka surat kamus tersebut koyak. Alamak, matilah!
Wanita itu mengambil kamus itu beserta muka surat yang terkoyak dengan perlahan. Dia terdiam melihat keadaan buku itu. Yang peliknya, dia kelihatan tenang?
“RM34.”
Huh?
“Harga buku ini RM40. Ini merupakan kamus edisi terhad. Boleh bayar di kaunter ya.” Kata wanita itu sambil tersenyum.
Alamak, saya tidak ada duit sebanyak itu! Mungkin harga itu kedengaran murah untuk sesetengah pihak, tetapi bukan saya. Ianya mahal! Elaun bulanan saya pun RM200 saja sebulan.
“M… Maaf puan. Saya tidak ada duit sebanyak itu. Boleh saya tangguh pembayaran?” Saya menunduk beberapa kali sambil meminta maaf.
“Tidak mengapalah kalau begitu.”
Fuh, nasib baik.
“Bila awak boleh masuk kerja?”
Eh?
“Buku ini edisi terhad. Susah hendak dapatkan salinan baru. Jadi sekurang-kurangnya yang awak boleh buat ialah bekerja di sini hingga hutang awak dilangsai.” Katanya sambil tersenyum.
Saya terdiam seketika. Maksudnya saya bekerja tanpa gaji ke? Berapa lama?
“Seminggu saja awak perlu bekerja tanpa gaji. Kalau tidak mahu, awak kena bayar RM40. Pilih salah satu.” Katanya. Dia seperti boleh baca fikiran saya pula.
“Tetapi, saya masih belajar di universiti.” Saya berikan alasan. Memang betul pun. Saya nanti sibuk dengan tugasan kuliah dan kelas tutorial. Macam mana kalau saya tidak boleh berikan komitmen?
“Kedai ini dibuka dari 7.00 pagi hingga 11.30 malam. Berikan jadual kelas pada saya. Awak boleh datang ke sini pada waktu lapang. Saya minta maaf sangat, tetapi saya tidak boleh lepaskan awak begitu saja. Buku-buku di rak ini semuanya edisi terhad. Hendak tunggu cetakan baru pula bukannya sekejap.” Katanya. Dia masih mengekalkan raut wajah yang tenang. Ia membuatkan saya rasa serba salah. Aduhai, kenapalah perkara seperti ini berlaku pada saya? Mula-mula ayah memilih untuk kurangkan elaun bulanan saya. Sekarang saya kena bekerja tanpa gaji? Apa lagi yang saya kena hadap selepas ini?
Kemudian saya terfikir. Macam mana kalau saya menipu dia? Kata sajalah yang saya setuju. Selepas itu, saya terus menghilangkan diri dan tidak akan datang ke sini lagi.
“Baiklah, saya setuju untuk bekerja di sini. Esok boleh?” Kata saya.
“Baiklah kalau begitu. Berikan nombor telefon dan e-mel kamu.” Kata wanita itu sambil menghulurkan buku nota dan pen. Okey, saya boleh bagi saja e-mel dan nombor telefon palsu. Tanpa teragak-agak, saya menulis nombor telefon yang rawak dan alamat e-mel palsu pada buku tersebut dan berikan semula padanya.
“Nanti dulu.”
“Y… Ya?” Saya tergagap apabila wanita itu menghalang saya untuk pergi dari situ. Dia mengeluarkan sebuah telefon butang Nokia dari poket baju panasnya. Oh, tidak! Adakah dia akan cuba menelefon nombor itu?
“Se… Sekejap!” Saya akhirnya mengalah. Saya tidak sampai hati untuk menipu dia. Saya teringatkan ibu saya. Bukan mudah kendalikan perniagaan sendirian. Saya tahu kerana ibu juga adalah peniaga. Saya dapat melihat dengan mata saya sendiri kesusahan yang ibu hadapi sepanjang dia mengendalikan perniagaan kecilnya.
Saya mengambil buku nota dan pen tadi dan menulis e-mel dan nombor telefon yang sebenar. Kemudian, saya berikan semula pada wanita itu. Dia tersenyum pada saya.
“Baiklah, jumpa kamu esok. Terima kasih kerana tidak jadi menipu saya.” Katanya. Alamak! Macam mana dia tahu yang saya hendak menipu dia? Muka saya merah padam. Saya tertunduk sambil berjalan keluar dari sana.
Saya kembali ke rumah. Perut masih berbunyi kerana saya tidak jadi untuk singgah ke Kedai Makan Janda Letop. Daripada saya beli makanan di luar, baiklah saya makan di rumah. Saya sangkakan yang ibu saya sudah balik ke rumah pada waktu seperti ini.
Kelihatan sangkaan saya betul. Motor ibu berada di luar rumah. Tanpa membuang masa, saya menekan loceng dan menunggu ibu buka pintu gelangsar. Beberapa minit kemudian, barulah ibu muncul. Ibu memakai baju kelawar dengan stokin lengan berwarna hitam dan tudung sarung berwarna perang.
“Eh? Ryan? Kenapa kamu datang sini?” Kata ibu sambil dia membuka kunci mangga di pagar.
“Lah, Ryan tidak dibenarkan untuk datang ke rumah sendiri ke?” Kata saya. Selepas ibu membuka pagar, saya salam tangannya. Tangan ibu berbau tepung. Barangkali ibu sedang memasak tadi.
“Sebelum ini kamu jarang datang ke rumah kecuali waktu cuti. Kamu hendak minta apa?” Sindir ibu. Saya memuncungkan mulut. “Ish, ibu ini. Saya saja hendak datang jenguk ibu. Tidak bolehkah?”
Kami berdua masuk ke dalam rumah. Sambil ibu menutup pintu gelangsar, dia bertanya. “Kamu sudah makan ke belum?” Sebelum saya sempat menjawab, perut saya berbunyi kuat. Saya hanya tersengeh. Ibu hanya menggelengkan kepala dan menyuruh saya tunggu di ruang tamu sementara ibu sedang memasak ayam goreng. Sambil menunggu ibu, saya membuka televisyen dan menukar siaran hinggalah saya jumpa siaran yang menarik.
Ibu kembali dari dapur dengan sepinggan cucur udang. “Ryan tidak berkecil hati dengan ayah. Dia Cuma mahu Ryan belajar untuk menyimpan.” Kata ibu. Dia seperti tahu-tahu saja apa yang mengganggu fikiran saya sekarang ini. Dan terpaksa bekerja di kedai buku tanpa gaji hanya menambah masalah dalam hidup saya.
Saya cuma berdiam diri. Saya tidak katakan apa-apa. Selepas senyap buat seketika, ibu bersuara lagi. “Ryan tahu kan yang Ryan sangat boros. Sebulan sahaja Ryan minta duit hingga RM500, itupun Ryan kata ianya tidak cukup lagi dua minggu kemudian. Bukan itu saja, Ryan menipu kami untuk dapatkan RM1,600 dengan alasan yuran universiti bertambah. Sedangkan, Ryan sebenarnya hendak beli tablet baru. Apa kurangnya dengan tablet Ryan sedia ada?
Kami bukan apa, kami Cuma mahu Ryan belajar menyimpan. Kalau masa zaman belajar lagi Ryan boros, mesti bila Ryan bekerja nanti Ryan boros juga. Ya, keluarga kita bukannya miskin. Kita mampu untuk hidup mewah. Tetapi kami memilih untuk menyimpan untuk kemudian hari. Kita tidak tahu apa akan jadi pada masa depan, entah sihat atau sakit di kemudian hari. Dan kami mahu Ryan buat perkara yang sama. Belajar menyimpan.”
Ibu lain daripada ayah. Dia seorang yang lemah lembut. Cara dia menegur saya sangat lembut. Lain pula dengan ayah. Ada saja yang tidak kena dengan saya. Cuma dua hari lepas pertama kali ayah menghukum saya. Saya hanya mendengar kata-kata ibu sambil menyuap cucur udang di mulut. Tanpa sedar, sudah separuh cucur udang saya habiskan sepanjang ibu membebel pada saya.
ns 15.158.61.23da2