“Ayah, bolehlah. Saya Cuma perlukan duit sedikit untuk isi minyak kereta.” Saya merayu pada ayah saya yang sedang duduk di meja makan. Ayah baru sahaja balik dari tempat kerja dan menjamu makan malam. Saya berdiri di sebelahnya dan menggenggam tangan saya bersama.
“Ryan lupa ke apa ayah bagitahu hari itu? Ayah tidak akan bagi kamu duit belanja tambahan! Pandai-pandai Ryan lah hendak hidup macam mana.” Ayah saya masih berkeras. Saya cuba merayu lagi padanya, kali ini saya melutut dan memegang kakinya. Ayah menyuruh saya pergi dan berhenti merayu. Keputusannya muktamad.
“Apa kata Ryan cari kerja sambilan? Kan Ryan sekarang tengah cuti semester?” Kata ibu. Barulah saya teringat.
Shion Bookery!
Tanpa berlengah, saya bagitahu ibu yang saya hendak keluar. Sebab kedai dekat saja dengan rumah, saya memilih untuk jalan kaki untuk ke sana. Sekarang ini pukul 7.30 pagi, mesti kedai sudah dibuka, kan? Saya tidak ingat kedai buka pukul berapa. Saya tidak pernah datang awal seperti ini. Sambil berjalan, saya cuba fikirkan apa yang saya hendak katakan pada kak Raisya. Sudah lama saya tidak singgah di kedai ini. Mesti dia okey dengan saya. Saya kan pekerja dia?
Selepas saya sampai di deretan kedai, saya perasan kedai masih tutup dengan pintu roller shutter. Aduh, terlebih awal pula. Pukul berapa ya kedai buka? Saya cuba ingat semula kalau-kalau kak Raisya ada sebut tentang waktu buka kedai, tetapi saya langsung tidak dapat ingat. Aduh, kenapalah saya tidak catat dalam nota! Tetapi saya tidak pernah catat apa-apa dalam buku nota. Malah, buku nota kecil pun saya tidak pernah bawa ke mana sahaja.
Tetapi saya rasa pelik. Kenapa pintu roller shutter kedai ini dari dalam? Selalunya pintu roller shutter dipasang dari luar kedai. Macam mana kak Raisya hendak buka nanti? Ada pintu belakang ke di kedai ini? Kedai Makan Janda Letop pun pasang pintu roller shutter di luar. Tetapi kedai makan itu bukannya ada cermin kaca seperti kedai buku ini.
Sedang saya berlegar di hadapan kedai, saya terdengar suara kak Raisya. “Rei! Apa awak buat di sini?”
Saya lihat kiri dan kanan saya. Mana kak Raisya? Saya tidak nampak pun.
“Sini!” Saya masih melihat kiri dan kanan saya. Dari mana datangnya suara kak Raisya?
“Atas sini!” Kata kak Raisya. Saya mendongak kepala ke atas. Kak Raisya sedang menjenguk melalui tingkap tingkat atas kedai.
“Kak! Kakak tidak buka kedai ke hari ini?” Tanya saya.
“Hari ini hari Ahad, kedai tutup. Kamu lupa ke?” Balas kak Raisya. Sejak bila pula kak Raisya bagitahu hari Ahad kedai tutup? Dia selalu kata datang sahaja ke kedai pada bila-bila masa.
“Alamak, kak Raisya. Saya perlukan duit sedikit. Saya tidak tahu kedai lain yang sedang mencari pekerja baru.” Kata saya. Kalau adapun kedai lain seperti 7-Twelve, tidak mungkin mereka terus bagi kerja hari ini. Lagipun, mana ada kedai 7-Twelve di sini. Kedai makanan segera pun tidak ada yang berdekatan. Kalau ada pun, saya kena menaiki bas. Duit untuk tambang pergi dan balik pun saya tiada!
Kak Raisya masuk semula ke dalam kedai dan tutup tingkap. Aik? Begitu sahaja dia pergi? Macam mana dengan saya? Saya rasa putus asa, tetapi kemudiannya saya dengar pintu roller shutter dibuka. Kak Raisya muncul di balik pintu kedai. “Masuklah.” Kata kak Raisya selepas dia membuka pintu. Saya terus masuk ke dalam. Kak Raisya bawa kerusi dari tingkat atas ke tingkat bawah. Kak Raisya minta untuk tidak menutup pintu kedai. Dia menjemput saya untuk duduk di hadapan pintu.
“Saya ada soalan untuk kamu.” Kata kak Raisya sambil memeluk tubuh dengan baju kardigan merah jambunya. Kenapa saya rasa berdebar-debar ini? Macam saya ada buat salah pula.
“Apa soalannya, kak?” Kata saya dengan senyuman janggal.
“Awak ada apa-apa masalah ke?” Tanya kakak. Dia kelihatan bimbang. Saya menundukkan kepala dan berdiam diri seketika. Kenapa kak Raisya tanya soalan ini? Apabila nampak saya terdiam, kak Raisya berkata lagi. “Keluarga kamu ada masalah kewangan ke?”
“Eh, tidaklah! Bahagian ‘masalah kewangan’ itu ada betulnya, tetapi bukan keluarga saya. Ini lebih pada masalah pada diri sendiri.” Balas saya sambil mengusap belakang tengkuk. “Ayah saya hadkan duit belanja bulanan saya kepada RM200. Bagi saya, RM200 itu sangatlah tidak cukup. Sebab itulah saya minta untuk bekerja di sini. Dan sekarang ini saya sangat perlukan duit untuk isi minyak kereta. Sebab itulah saya datang ke sini untuk bekerja semula.”
“RM200 kamu kata tidak cukup?” Tanya Raisya. Dia kelihatan terkejut.
“Bagi saya, tidak.” Balas saya. Saya berasa malu apabila kata sebegitu.
“Saya rasa kamu ini tidak tahu bagaimana hendak uruskan duit. Bagi saya, RM200 itu lebih daripada cukup untuk pelajar sepenuh masa seperti kamu. Makanan di universiti kan lebih murah daripada kedai luar. Kamu beli apa sampai rasa tidak cukup?” Kata Raisya. Saya seperti di soal siasat oleh keluarga.
“Saya beli makanan.” Balas saya.
“Dan...?” Tanya kakak lagi.
“Dan... Membeli belah atas talian.” Saya ketawa kecil. Kak Raisya menggelengkan kepala mendengar jawapan saya. Saya berhenti ketawa dan terus menundukkan kepala dengan rasa bersalah.
“Kamu tidak boleh terus sebegini. Lepas kamu habis belajar nanti, kamu akan dapat kerja. Kamu bukan lagi bergantung pada duit mak ayah kamu. Kalau kamu tidak buat simpanan untuk masa depan, duit gaji kamu yang RM3,000 pun kamu akan kata tidak cukup.” Saya hanya tertunduk mendengar kata-kata kak Raisya itu. Apa yang dikatakan olehnya lebih kurang sama dengan apa yang ayah bebel pada saya pada bulan lepas.
“Mungkin sekarang ini kamu tidak nampak. Apa yang kakak cakap ini mungkin masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Kamu tidak dapat faham sebab kamu boleh minta sahaja duit dari mak ayah kamu kalau tidak cukup. Tetapi bila kamu bekerja nanti, kamu tidak boleh sesuka hati minta gaji lebih pada bos kamu. Dan waktu itu pun, mungkin mak ayah kamu sudah pencen. Lagilah mereka perlu berjimat cermat dengan duit yang tinggal.
“Lagi satu, kamu tidak boleh berperangai seperti ini. Bila tidak ada duit, datang minta kerja. Bila ada duit, terus tidak datang kerja. Ada majikan tidak suka dengan pekerja seperti ini.Bagi mereka lebih baiklah buang sahaja pekerja seperti kamu ini. Kakak masih ingat lagi sewaktu kamu berhutang dengan kakak lagi lima hari, kamu hilang begitu sahaja. Kakak SMS kamu pun tidak balas. Tetapi, bila kamu tiada duit barulah kamu datang semula untuk bekerja di sini semula. Kakak terima kamu pun sebab saya sangkakan kamu ini orang susah. Tetapi selepas dengar tentang pengurusan wang kamu ini, kakak rasa kamu sendiri yang buat kan hidup kamu susah.
“Kakak harap sangat kamu muhasabah diri lepas dengar kata-kata kakak ini. Kalau kamu masih hendak bekerja di sini, kakak bagi. Tetapi jangan menghilangkan diri dan sekat nombor kakak macam itu sahaja. Bagitahu kakak kalau kamu tidak boleh datang bekerja.” Sepanjang kakak bercakap, saya hanya mendiamkan diri. Dari cara kak Raisya bercakap, saya boleh agak yang kak Raisya betul-betul mengambil berat tentang saya walaupun selepas apa yang saya lakukan. Apa yang kak Raisya cakap tentang etika kerja saya pun betul-betul menusuk ke dalam jiwa saya. Saya rasa sangat bersalah mendengar kata-katanya.
Kami berdua diam buat seketika sebelum saya membalas. “Saya minta maaf atas kesilapan saya. Dan terima kasih kerana masih menerima saya untuk bekerja di sini.” Saya menundukkan kepala tanda hormat. Saya dapat lihat kak Raisya senyum sedikit.
Saya mengucapkan salam sebelum keluar daripada kedai. Walaupun saya rasa sedih kerana saya tidak dapat bekerja di kedainya, namun kata-kata kakak menusuk kalbu. Kata-katanya tegas tetapi tidak melenting. Dia betul-betul tunjukkan rasa ambil berat pada saya. Sepanjang saya berjalan untuk balik ke rumah, saya hadam betul-betul apa yang kak Raisya katakan. Setiap isi penting yang dikatakan saya cuba fahamkan. Saya juga mula muhasabah diri selepas mendengar tegurannya.
Esoknya, saya pergi ke Shion Bookery lagi. Saya memberi salam pada kak Raisya yang sedang menyapu lantai di tingkat bawah. Dia melambai tangan dan senyum pada saya. Kak Raisya menerangkan skop kerja saya seperti biasa. Saya mengangguk dan terus ke tingkat atas untuk mula bekerja. Saya mulakan dengan lap meja dan sapu lantai terlebih dahulu.
Pada waktu pagi tingkat atas sentiasa lengang, jadi saya rasa agak bosan duduk di tingkat atas lama-lama. Saya berjalan-jalan melihat buku yang tersusun cantik. Tetapi ada satu bahagian kedai yang saya masih tidak terokai. Di hujung ruang di sebelah kiri mini bar, ada satu koridor panjang. Saya berjalan ke arah koridor tersebut. Apa agaknya yang ada di sana?
Di koridor tersebut ada 3 pintu. Satu pintu di bahagian kanan mempunyai penanda pintu tertulis “Toilet”. Saya tidak tahu pula ada tandas di sini. Saya lihat pula pintu yang bertentangan. Ianya tiada label. Dengan rasa ingin tahu, saya cuba memusing tombol pintu tetapi ianya dikunci. Saya lihat pula bersebelahan dengannya. Pintu tersebut ada penanda yang tertulis “Staff only”. Saya staf di kedai ini, kan? Jadi bolehlah saya masuk bilik ini. Saya pun memusing tombol pintu. Ianya tidak dikunci.
Rupanya ianya sebuah pantri. Baru saya tahu ada pantri di sini. Saya melihat sekeliling. Namun suara kak Raisya daripada belakang mengejutkan saya. “Oh, kamu jumpa pantri.”
“Ish, kak Raisya ini! Jangan buat saya terkejut macam ini.” Kata saya sambil mengurut dada.
“Saya lupa hendak bagitahu kamu. Petang nanti, saya hendak minta kamu bersihkan tandas. Itu pun kalau ada pelanggan yang pergi ke tandaslah.” Kata kak Raisya. Saya mengangguk. “Boleh sahaja.” Balas saya.
Seperti biasa, apabila tamat sesi persekolahan pelajar-pelajar sekolah datang meluangkan masa di kedai ini. Tetapi kenapa bilangannya sedikit? Buku-buku yang dibaca diletakkan dalam troli, tiada lagi sisa air tumpah seperti sebelum ini, dan pelajar-pelajar ini pun datang untuk belajar sahaja. Saya pelik kenapa perkara ini terjadi. Kemudian, sebelum pukul 4.00 petang, pelajar-pelajar ini terus balik.
“Sedikitnya bilangan pelajar kali ini.” Kata saya pada Ashley. Saya bersandar pada meja sambil melihat sekeliling ruangan tingkat atas.
“Memanglah. Raisya pergi mengadu dekat pengetua sekolah yang pelajar-pelajar ini buat sepah dekat kedai. Mungkin pengetua sekolah nasihatkan mereka lepas dapat aduan itu.” Balas Ashley sambil mengelap jar.
Saya menuruni anak tangga dan pergi ke luar untuk menghirup udara segar. Saya melihat suasana sekeliling. Saya perasan seseorang sedang menghendap di balik kereta. Saya berjalan perlahan untuk lihat siapakah orangnya. Dari belakang, saya menegur orang tersebut.
“Awak cari apa?” Orang tersebut terkejut dan melatah. Orang tersebut adalah seorang perempuan Saya rasa saya pernah nampak dia ini.
“M—maaf!” Kata perempuan itu tergagap. Dari cara percakapan dia, barulah saya ingat di mana saya pernah jumpa dia.
“Oh, awak pelanggan yang datang hari itu!” Saya memetik jari. Perempuan itu tersipu-sipu malu. Dia cuba untuk melarikan diri. “Nanti dulu!” Saya memanggilnya. Dia tidak berhenti ataupun berpaling muka. Saya pelik dengan kelakuan dia. Bagi saya, dia meragukan. Saya pasti dia ada kaitan dengan kedai buku ini. Mungkin saya kena tanya kak Raisya.
Saya masuk ke dalam kedai dan mencari kak Raisya. Dia seperti sedang mengira sesuatu di rak buku, barangkali dia sedang mengira stok buku yang ada.
“Kak, saya ada soalan.” Saya memanggilnya. Kak Raisya memberikan isyarat tangan ‘tunggu’ pada saya dan sambung mengira. Seminit kemudian, barulah dia memandang saya.
“Ya? Kamu hendak tanya apa?” Katanya.
“Saya perasan ada seorang perempuan pelik asyik mengintai kedai ini sebentar tadi.” Saya menuding jari pada tempat perempuan tersebut menyorok. Kak Raisya kelihatan keliru. “Perempuan mana pula? Pelajar sekolah ke?”
“Saya tidak pasti. Tetapi saya tengok dia itu pelik semacam. Mengintai kedai macam pencuri pula.” Kata saya. Kak Raisya mengangkat bahu. “Entahlah. Mungkin dia syok dengan kamu kot. Muka dia merah padam ke masa nampak kamu?”
Saya terkejut. Muka saya terasa panas. Dia syok dekat saya ke? Kami pernah berjumpa ke sebelum ini? Tetapi, bila ingatkan semula muka dia, ada kemungkinan juga. Berfikir tentang ini membuatkan saya berasa malu.
“Hahaha... Mungkin betullah sangkaan kakak.” Kak Raisya ketawa kecil. Saya berasa malu apabila dia mengusik saya, jadi saya terus lari ke tingkat atas.
ns 15.158.61.19da2