Hamdi merenung ke luar tingkap kondominium mereka yang baru. Di hadapannya, pemandangan ibu kota yang penuh cahaya neon seolah-olah bernafas di malam yang gelap. Bunyi hon kereta dan suara riuh rendah dari jalanan mengisi ruang sepi yang asing baginya dan Sarah.
Mereka baru berpindah ke sini, meninggalkan kampung halaman untuk memulakan hidup baru sebagai suami isteri—suatu keputusan yang bukan datang dari hati mereka sepenuhnya, tetapi dari restu kedua belah keluarga, yang sudah sekian lama mengenal satu sama lain.
Sarah memandang sekeliling dengan rasa janggal yang cuba disembunyikan. Dapur yang modern dengan kabinet berwarna putih, ruang tamu yang dilengkapi sofa elegan menghadap smart tv bersaiz 60", dan balkoni yang menghadap panorama bandar, semuanya mengundang rasa kagum dalam diri Sarah.
Namun, dia juga merasakan sedikit tekanan. Seumur hidupnya, jarang dia meninggalkan kampungnya yang aman dan jauh dari hiruk-pikuk kota
Pemandangan bangunan tinggi, bunyi deruan kereta yang tiada henti, serta lampu-lampu neon yang terang benderang seolah-olah membisikkan sesuatu yang asing dan penuh teka-teki. Bagi Sarah, kehidupan bandar adalah sesuatu yang hanya dilihatnya di kaca televisyen.
Hamdi, sebaliknya, kelihatan lebih selesa. Pengalamannya selama beberapa tahun belajar di luar negara telah membiasakannya dengan persekitaran moden dan kehidupan bandar.
Matanya bersinar dengan rasa teruja dan semangat baharu untuk membina kehidupan dengan Sarah. Walaupun perkahwinan mereka bukanlah berdasarkan cinta tetapi atas pilihan keluarga, Hamdi menerimanya untuk tidak mengecewakan kedua ibu bapanya yang sudah banyak berkorban untuk dirinya.
"Penat?" Hamdi menoleh ke arah Sarah yang sedang mengemas kotak di ruang tamu.
Sarah tersenyum nipis, menarik nafas panjang. "Penat, tapi seronok. Tempat ini cantik. Lain sangat dari kampung," jawabnya sambil memandang sekeliling rumah yang masih berselerak dengan kotak-kotak berpakaian, buku, dan perabot kecil.
"Ini peluang kita nak kenal satu sama lain dengan lebih baik," Hamdi berkata dengan penuh lembut.
Sebagai jurutera di Tenaga Nasional Berhad (TNB), Hamdi sudah terbiasa dengan cabaran, namun perkahwinan adalah satu hal baru yang mencabar dari segi emosi dan tanggungjawab.
Sarah mengangguk perlahan, namun di sudut hatinya masih ada rasa canggung. Sebagai seorang ustazah, hidupnya banyak dihabiskan dalam suasana yang tenang, dikelilingi pelajar dan rakan sekerja yang sependirian.
Hidup di kota besar ini adalah sesuatu yang benar-benar baru baginya. Dalam diam, dia berdoa agar Hamdi dapat memimpin keluarga mereka ke arah yang baik.
"Awak, kita cuba buat yang terbaik ya?" Sarah berkata lembut, berharap kata-katanya akan memberikan sedikit kekuatan pada suaminya.
Hamdi tersenyum, namun sebelum sempat dia membalas kata-kata Sarah, pintu utama diketuk dari luar.
"Eh, siapa pula tu?" mereka saling berpandangan sebelum Hamdi melangkah ke pintu, membukanya perlahan dan di hadapannya berdiri sepasang suami isteri yang tampak ramah.
Wanita itu, Intan, seorang wanita cantik yang ceria dengan senyuman yang mempesona, sambil memegang sebuah bakul kecil berisi kek, memperkenalkan dirinya sebagai jiran di unit sebelah.
"Hai! Nama saya Intan. Saya tinggal di unit sebelah. Selamat datang ke kondominium ini!" katanya ceria. Suaminya, Reza, seorang lelaki tampan dan berkarisma, turut tersenyum menyambut mereka.
Sarah dan Hamdi saling berpandangan, sedikit terkejut dengan keramahan wanita itu. Intan memperkenalkan dirinya sebagai seorang konsultan media yang bekerja di syarikat penerbitan terkenal, manakala suaminya, Reza, adalah seorang usahawan muda dalam industri fesyen.
Hamdi segera membalas dengan senyuman lebar. Sarah, yang sedikit gugup, hanya membalas dengan senyuman kecil. Sejak dari mula, dia dapat merasakan perwatakan pasangan itu berbeza – mereka nampak sangat terbuka dan peramah, malah seolah-olah seakan sudah lama mengenali mereka.
"Terima kasih, Intan, Reza. Kami memang baru pindah hari ini. Salam perkenalan," Hamdi membalas sambil menghulur tangan ke arah Reza untuk bersalaman.
"Ah, tak ada masalah. Kita pun seronok dapat jiran baru! Kalau ada apa-apa, jangan malu-malu ya? Kami selalu ada di rumah," ujar Reza menyalam, sambil tersenyum memandang Sarah. Ada sinar misteri di matanya yang Sarah tidak dapat tafsirkan, namun dia memilih untuk mengabaikannya.
Intan dan Reza menjemput mereka berdua untuk makan malam di rumah mereka, memandangkan rumah mereka masih lagi belum kemas sepenuhnya, dan itu juga akan menjadi peluang yang baik untuk mereka lebih mengenali, dan sesi perkenalan kecil-kecilan bersama beberapa jiran tetangga lain.
Meskipun Sarah agak segan, Hamdi kelihatan teruja dan segera menerima undangan tersebut. Hamdi tersenyum sambil mengangguk, memandang Sarah yang kelihatan sedikit ragu-ragu.
"Apa salahnya, kan?" Hamdi berkata perlahan pada Sarah. "Mungkin kita boleh dapat kawan baru di sini."
Sarah teragak-agak, tetapi akhirnya bersetuju. "Baiklah, mungkin tak salah kita mencuba."
Malam itu, Hamdi dan Sarah menyiapkan diri untuk menghadiri makan malam santai yang diaturkan oleh Intan dan Reza di rumah mereka. Bagi Sarah, ini adalah kali pertama dia berhadapan dengan suasana sebegini sejak berpindah ke kota.
Pakaian yang dipilihnya adalah sederhana dan sopan – baju kurung labuh berwarna pastel, seperti kebiasaannya ketika mengajar. Hamdi mengenakan kemeja kasual dengan seluar panjang yang rapi, tampak sederhana namun sesuai dengan suasana malam itu.
Setelah berjalan beberapa langkah menuju rumah jiran mereka, pintu terbuka lebar, dan kelihatan beberapa pasangan yang telah sampai lebih awal. Intan menyambut mereka dengan senyuman lebar, diiringi Reza yang turut kelihatan gembira dengan kehadiran pasangan baru itu.
"Selamat datang! Sarah dan Hamdi, silakan masuk," ujar Intan, menjemput mereka masuk dengan mesra. Di dalam, ruang tamu itu telah dihiasi dengan gaya moden dan kemas, suasana yang cukup nyaman dengan lampu yang redup. Bau harum makanan yang disediakan melatari suasana, menambah rasa akrab dan hangat dalam pertemuan malam itu.
Hamdi dan Sarah mendapati diri mereka dikelilingi oleh beberapa pasangan yang belum pernah mereka kenali. Intan memperkenalkan mereka satu per satu. Di sebelah kanan, ada seorang wanita anggun persis seorang pelakon bernama Irma, duduk bersama suaminya, Man, seorang lelaki berperwatakan tenang dan sedikit pendiam.
Di sebelah mereka pula, kelihatan sepasang suami isteri yang mesra – Kelvin dan Elizabeth. Hamdi terkejut apabila mengetahui bahawa Kelvin adalah seorang graduan universiti yang sama dengannya, walaupun mereka tidak pernah berjumpa sebelum ini.
"Oh, awak dari universiti yang sama dengan Kelvin? Itu menarik!" ujar Elizabeth dengan nada gembira, sambil memandang Hamdi yang turut tersenyum.
"Ya, ya! Saya dalam bidang kejuruteraan juga, tapi saya fokus pada bidang minyak dan gas. Kebetulan betul kita berjumpa di sini. Hamdi, kau ambil kejuruteraan elektrik, kan?" Kelvin bertanya sambil menyambut salam Hamdi dengan hangat.
"Betul! Saya baru habis pengajian dan mula bekerja di TNB. Tak sangka pula kita boleh berjumpa di sini," jawab Hamdi, kelihatan teruja dengan kebetulan ini.
Seterusnya, mereka diperkenalkan dengan Kak Joe, seorang wanita ceria yang lebih matang daripada yang lain. Suaminya, Ayie, adalah seorang lelaki yang santai dan penuh dengan humor, sering membuatkan yang lain ketawa dengan gurauannya yang bersahaja.
Anak mereka yang berusia empat tahun, Firas, bermain di sudut bilik bersama seorang kanak-kanak perempuan kecil yang kelihatan seperti anak kepada Kelvin dan Elizabeth.
Sarah perasan bahawa hampir kesemua wanita di situ berpakaian moden – mereka mengenakan blouse, skirt, atau dress yang tampak kemas dan kontemporari, pakaian mereka jauh berbeza dengan baju kurung labuh yang dipakainya.
Walaupun Sarah merasa sedikit janggal, dia cuba membiasakan diri, cuba melupakan perasaan tidak selesanya dan memberi perhatian pada perbualan yang berlangsung.
Perbualan semakin rancak, dipenuhi dengan gelak tawa dan cerita-cerita menarik dari kehidupan mereka di kondominium tersebut. Intan dan Reza bertukar pandangan ceria dengan pasangan lain, menurutnya ada beberapa lagi pasangan tidak dapat hadir, memandangkan ada antara mereka yang bercuti keluar negara.
Man turut berkongsi kisah tentang kesibukan kerjayanya sebagai arkitek, sementara Elizabeth menceritakan tentang kehidupannya sebagai seorang pereka fesyen. Hamdi sekali sekala memandang ke arah Irma, dia sangat mengagumi kecantikan nya. Man yang seakan mengetahui perbuatan Hamdi itu, hanya tersenyum, sambil dicubit manja oleh isterinya.
"Sarah, awak nampaknya pendiam orangnya," ujar Kak Joe sambil tersenyum lembut ke arah Sarah. Cuba untuk mengajak nya masuk kedalam perbualan mereka.
Sarah tersenyum kecil. "Maaf, Kak Joe. Mungkin sebab saya masih baru di sini... tak biasa lagi dengan suasana bandar ni," balasnya dengan nada rendah, tetapi ada keikhlasan dalam ucapannya.
"Tak apa, lama-lama nanti awak akan rasa selesa. Kami semua di sini macam keluarga. Apa-apa masalah, awak boleh je datang rumah. Saya selalu ada di rumah, lagipun anak saya ni perlukan teman bermain," jawab Kak Joe sambil mengusap lembut kepala anaknya yang sedang bermain.
Hamdi dan Sarah merasa lega apabila mengetahui bahawa komuniti di kondominium ini saling menyokong dan mesra. Bagi Hamdi, ini adalah suasana yang diinginkannya – tempat yang membolehkan Sarah membuka dirinya dan perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan gaya hidup bandar.
Sementara itu, Reza yang duduk di sudut lain mula berkongsi cerita lucu tentang dirinya dan Intan ketika mereka pertama kali berpindah ke kondominium tersebut. "Masa tu, saya ingat tempat ni macam sunyi, kejiranan pun agak membosankan mula-mula tu! Tapi akhirnya, Intan yang berjaya yakinkan saya... sekarang rasa macam selesa sangat!" katanya sambil ketawa kecil.
Sesi makan malam berlangsung dengan lancar, dan suasana bertambah hangat. Sarah semakin selesa dan mula bercerita sedikit tentang latar belakangnya sebagai ustazah. Ceritanya tentang pengalaman mengajar anak-anak yang mencabar mencuit hati mereka yang mendengar.
"Wah, awak mesti sangat sabar, Sarah," ujar Elizabeth kagum. "Saya sendiri tak dapat bayangkan mengajar kanak-kanak... kadang-kadang anak saya sendiri pun dah cukup menguji kesabaran!" Mereka ketawa bersama.
Hamdi memandang Sarah, bangga dengan usahanya untuk bergaul dan beramah mesra. Malam itu berakhir dengan penuh keakraban, meninggalkan kesan yang mendalam buat Hamdi dan Sarah.
Mereka menyedari bahawa kehidupan baru di kota ini tidaklah seasing yang disangka, malah diisi dengan wajah-wajah yang ramah dan sahabat-sahabat yang mungkin akan menjadi sebahagian penting dalam perjalanan hidup mereka.
Sebelum berpisah, Intan berbisik lembut kepada Sarah, "Tak perlu malu-malu ya, Sarah. Kami semua dah anggap awak sebahagian daripada keluarga. Nanti bila-bila kalau nak bersembang, jangan segan singgah rumah."
Sarah hanya tersenyum dan mengangguk, rasa lega membanjiri dirinya. Perlahan-lahan, Sarah mula merasakan bahawa di sini – di tempat yang baru ini – dia mungkin akan menemui sesuatu yang lebih daripada sekadar rumah, tetapi juga persahabatan dan sokongan yang akan menemaninya dalam perjalanan perkahwinan yang baru bermula ini.
132Please respect copyright.PENANAOWOKEwUoNJ
132Please respect copyright.PENANAkdOjSKBcIh