AKU berdiri tegak di hadapan sekeping cermin yang terlekat pada dinding bilikku. Aku meraut wajahku- kesan lebam kebiruan beransur surut biarpun tidak sepenuhnya. Kepalaku masih lagi berjahit. Parutnya jelas kelihatan kerana rambut pada bahagian luka itu dicukur licin.Sengaja aku merenung imej sekujur tubuh yang bertelanjang untuk aku pastikan kesan yang telah membuatkan hari-hariku yang dirundung mega itu menyingkir pergi.
Hari ini aku masih gagal untuk ke pejabat, walaupun cuti sakit telah berakhir pada hari semalam. Sesekali bermalas-malasan di rumah mungkin dapat menjadi medan terapi untuk merawat rawan.
Aku mencapai iPhone X yang baru dibeli menggantikan Samsung S4 yang telah berkecai. Aku seperti dungu untuk menggunakan aplikasi telefon ini kerana perubahan dari menggunakan android kepada iOS. Aku meneliti senarai nama di dalam contact- separuh berjaya aku pindah dari google account ke dalam iPhone, yang lain kebanyakan disimpan di dalam memory telefon terdahulu. Aku perlu sedikit masa untuk membuat salinan kedalam telefon ini.. Eh..pening aku! Eeeuuuwwwww.... Samsung dah barai!!!
Aku masih lagi teruja meneliti isi dalam iPhone X. Bagaikan beruk mendapat sekuntum bunga tahi ayam. Eh..begitulah perumpamaan buat masa ini. Dipegang dan diletak.. diambil kembali.
Mataku terbuntang melihat nama Nurul Huda masih tertera di dalam iPhone X. Masih lagi ada tersimpan di dalam. Aku mengeluh... berfikir sejenak untuk menghapus terus nama tersebut.
Salamku bersambut dengan lembut. Seperti tiada apa-apa yang berlaku!
"Hariz, awak apa khabar?" suara itu bagaikan tiada resah yang kedengaran. Nyata dia begitu bersahaja.
"Huh! Kau tanya aku apa khabar! Aku baru saje mati.. ni aku bangkit kembali sebab nak selesai perkara yang tertunggak. Antara aku, kau dan Kamal!!" Suaraku menderam. Aku cuba mengawal kemarahan yang meluap-luap.
"Hariz...Saya tak sangka perkara itu boleh berlaku. Saya.. saya tak sangka! Lagipun awak yang salah tetiba.. datang menyerang saya.. " Intonasi suaranya berubah.
"Cis... kau yang curang aku yang salah! Betina jenis apa kau ni.." suaraku semakin meninggi. Baranku mula meningkat.
"Cukup Hariz!! Aku hampir jatuh sayang pada kau.. tapi ternyata kau pun sama!.." Suara Huda meningkah tinggi serentak dia memutuskan talian sekaligus membuatkan aku bertambah geram. Ingin sahaja aku hempaskan telefon ke lantai.. Eh sabar! baru je beli semalam bro, kalau pecah.. mau rabak lagi kantung bulan ni.
Nama yang sebelum mengundang berahi, kini tidak lagi. Berahi yang dicari tetapi kemarahan kian menyapa sanubari.
Aku mencari nama 'Safiyya"... Aku berkira-kira sifir lima untuk membuat panggilan kepada gadis itu. Ya hampir lima hari dia menyepi tanpa khabar berita. Mungkin dia merajuk terhadapku- setelah episod bertembung di stesen Rapid KL, KLCC minggu lepas, ternyata dia seakan menyisih diri daripadaku. Nombor Safiyya sudahpun tertera pada paparan skrin, cuma aku perlu menekan butang panggilan sahaja. Nampak senang bukan.. tetapi.
Deringan telefon memecahkan keheningan pagi yang indah. Melodi common dari sebuah iPhone bergema di udara. Nama seseorang muncul menyisihkan nama 'Safiyya' pada layar telefon.
"Weh adik... kau masuk hospital..sepatah haram kau tak bagi tahu aku! Sekarang kau kat hospital mana?" Suara seorang wanita yang agak perengus menusuk ke telingaku.
"Bukanlah... aku tak ada apa-apa pun. Luka sikit aje. Aku dah keluar tiga hari lepas." Aku berdalih. Pasti Kak Lin akan terus menyoal siasat lagi. Aku akan bersedia dengan pelbagai jawapan nanti.
"Tiga hari? Bertuah punya budak!! Nasib baik papa yang call aku.. Dia minta aku pergi tengok kau.. Kenapa luka? Kau accident? Teruk ke? Hisshh... kau kat mana.. nanti aku dan abang Amar datang lawat kau. Eh mama dah tahu ke? Kenapa kau tak bagitahu aku hah!" Telingaku terpaksa menahan leteran dari satu-satunya kakak yang aku ada.
"Papa yang bagitau kau?! Camne papa tahu?" Aku sedikit kehairanan.
"Nasib baik papa tahu.. Kalau tak, kami semua tak tahu kan.. Kau pun satu buat macam takde keluarga kan.. Papa, mama dan aku haram kau tak telefon! Weh.. papa nak jumpa kau. Kau pun..tak baiklah nak bergaduh dengan papa.. Walaupun siapa pun dia.. dia tetap papa kita. Ayah kita.. Kau faham tak!" Kak Lin masih lagi menyinga. Aku tahu dia teramat geram dengan sikap biadapku terhadap papa. Aku bukan berdendam tetapi sakit hati.
Adeh!! pagi-pagi dah kena sekolah daripada kakak yang satu. Kekadang boleh tahan juga mulut dia.. tajam seperti laser mengalahkan Pedang lightsiber kepunyaan Luke Skywalker.
"Nantilah..kalau ada masa aku pergi pergi mengadap 'Tuanku Raja'. Tapi, tengoklah bila..aku tak pasti.." kata-kataku sinis untuk memadamkan api yang bakal terpercik sekiranya soal ini berlarutan tanpa jawapan. Tetapi yang menjadi kemusykilan aku- bagaimana papa tahu yang aku di tahan di hospital?
Kak Lin meletakkan ganggang telefon - mungkin dia juga penat untuk bertelagah denganku. Aku mengeluh berat. suatu hari nanti- pasti aku akan berbaik dengan papa dan aku terlalu inginkan sebuah keluarga yang bahagia. Mungkin suatu hari nanti.
******
AKU berjalan menyelusuri deretan-deretan kedai- mataku melilau mencari-cari sesuatu yang mungkin menjadi alat untuk 'mematahkan hati' seseorang yang sedang dirundung rajuk. Aku hanya mengagak seandainya dia betul-betul 'patah hati' padaku.
Aku tahu selalunya rajuk si dia tak pernah lama..paling panjang dua hari. Tapi kali ini, dah lima hari tiada sebarang pangilan telefon darinya. Malah SMS dan whatsapp tidak berjawab. Bobo kat mana? Eh.. baby kat mana? Adakah aku merinduinya? Erk..?
Dari jauh aku memandang ke arah bangunan berkembar pencakar langit yang tersergam indah di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Bukan bangunan tersebut untuk aku hayunkan langkah. Tetapi sebuah bangunan yang tidak jauh dari KLCC itu
Aku menutup kepala dengan hud baju yang dipakai untuk melindungi luka pada sebelah kiri di atas telinga. Dengan cermin mata Ray-ban Wayferer untuk sembunyikan eyebag yang masih lagi bengkak. Beberapa kali aku berlegar di ruang lobi ini, sambil pandangan masih mengawasi sekeliling.
Sepuluh minit berlalu sudah cukup untuk aku menenangkan hati yang sering berbolak-balik. Aku menyusup masuk ke kotak lift pantas menuju ke tingkat 8. Sebuah pejabat yang dihuni oelh seseorang menjadi destinasiku pada waktu ini.
"Boleh saya jumpa Cik Safiyya." Aku mendekatkan diri pada kaunter setinggi 4kaki.
"Encik ni siapa? Ada appointment dengan Cik Safiyya" Soalan standard mengetuk halwa telingaku.
"Err..saya Hariz.. Kawan Safiyya." Aku tidak betah memperkenalkan diriku yang sebenarnya.
"Maaf cik.. Cik Safiyya dah keluar dari awal pagi tadi.. Ikutkan dia kena hadir meeting di Sepang pagi tadi kemudian dia terus ke KLIA."
"Eh.. Kenapa dia ke KLIA?" Aku mulai sangsi.
"Dia pergi bercuti.. Katanya dalam dua minggu." Gadis bercermin mata itu memandang ke arahku bagaikan seorang penyiasat.
"Bercuti? Dia pergi mana?" hatiku bertambah resah. Aku menebak andainya Safiyya benar-benar mahu menghilangkan diri dariku.
"Maaf encik Hariz.. Saya kurang pasti di bercuti ke mana... Eh, kenapa tak tanya dia sendiri. Kata kawan kan!" balas gadis itu tersenyum sinis. Aku pula tersungging kelu.
***
"Sandra... kau boleh tolong aku tak?" Sapaku kepada Sandra yang leka mengelap meja di ruang tengah kafe milik Chaq. Sebelum ini beberapa aku dan Safiyya mengunjungi kafe yang berkonsepkan hipster ini.
"Kau hidup lagi! apasal la mamat tu tak hentam muka kau biar lunyai. Baru puas hati." Permintaanku dijawab dengan sinis oleh gadis tinggi lampai ini. Ada sesuatu yang tersimpan di dalam hatinya.
"Eh, kenapa kau tiba-tiba marah pada aku?!" Aku melepaskan keluhan. Tiba-tiba aku jadi blur.
"Mungkin otak kau dah tak betul kan! Luka sikit dah jadi tak betul.. Kau dah lupa ke? Aku dah warning kau awal-awal lagi kan.. Kalau kau lukakan hati Fiya.. aku pastikan aku ajar kau cukup-cukup.. Tapi belum sempat.. sudah ada mamat mana entah pukul kau kan?! Padan muka kau! Tapi eee... aku masih lagi nak cepuk muka kau ni." Sandra mencekak pinggang sambail menjegilkan mata dihadapanku.
"Kau tahu aku kena pukul.. Dari mana kau tahu? Jadi, Safiyya pun tahu juga kan! Tapi mana dia? Kau tahu dia kat mana kan?" Aku semakin resah. Nampaknya Safiyya mengetahui apa yang terjadi terhadapku.
"Dari mana kami tahu itu tak penting.. Yang aku tahu..memang aku nak ganyang kau ni..Eiii... besar kecik..besar kecik aku tengok kau nih..." Sandra membebel tidak berpuas hati lagi. Dia mengepal-ngepal penumbuknya seperti bersedia untuk menghayun satu tumbukan terhadapku. Aku langsung tidak gentar dengan isyarat ancaman itu kerana itulah hukuman yang bakal aku raih nanti.
"Aku perlu jumpa Safiyya.. Aku nak terangkan segalanya.. Mungkin korang salah maklumat. Aku akan jelas segalanya! Aku dapat tahu dia ke KLIA.. Kau tolonglah aku.. Aku call dia..langsung tidak berjawab." Aku memujuk gadis itu sambil tak putus-putus membuat panggilan kepada Safiyya.
"Dia takkan jawab! Aku tahu dia kecewa dengan sikap kau Hariz.. Kau tau tak? Dia betul-betul sayangkan kau.. tetapi kau tu buta! Tak nampak segala yang dia lakukan pada kau. Semuanya untuk kau.. Kau tak rasa dia telah menjadi terbaik untuk kau.. Kau nak apa lagi hah! Entah apa aku nak cakap pada kau yang tak pernah sedar diri ni. Kau memang tak gunalah Hariz!"
Aku sekadar menadah telinga menerima herdikan dari Sandra. Memang selayaknya aku mendapat pengajaran hari ni. Oh, sungguh hari ni aku 'disekolahkan' oleh dua orang perempuan. Kak Lin dan Sandra. Walaupun cuping telingaku kian berdesing, namun aku pasrah untuk mendengarnya.
"Sandra, please! Kau bawa aku jumpa Safiyya sekarang! Aku tahu aku banyak buat salah padanya.. Aku merayu pada kau Sandra.. Aku perlu jumpa Fiya!" Aku merayu malah aku sanggup melutut di hadapan gadis ini. Aku mahu tunjukkan bahawa aku benar-benar bersungguh-sungguh ingin bertemu Safiyya.
"Dia dah pergi Hariz.. tak perlu kau kejar dia lagi." Intonasi suara Sandra mulai berubah perlahan. Wajahnya yang tadi tegang dikendurkan.
Patung teddy bear bersama sekuntum bunga hampir terlerai dari genggamanku. Aku terduduk bersandar ke kerusi. Aku melepaskan keluhan yang begitu panjang. Nyata dia sudahpun pergi untuk meninggalkan aku.
Aku memejamkan mataku.. Hanya itu yang mampu aku lakukan.
Jeda.
"Hariz.."
"Betul kau sayang pada Safiyya?" Soal Sandra yang mengambil duduk bertentangan denganku.
"Memang aku sayangkan dia." Jawabku dengan luhur ketika ini. Barangkali perasaan sayang terhadap Safiyya marak dirasakan apabila dia mula menjauhkan diri.
"Kau tak tipu aku?"
Aku menggelengkan kepala.
"1930 dia akan flight ke Adelaide.. Aku rasa masih sempat untuk kau bertemunya.. Dan aku harap kali ini bukan yang terakhir buat korang ye." Ujar Sandra sambil mengukir sebuah senyuman.1301Please respect copyright.PENANA4DhOYAvvET