LANGKAH kakiku menonong memasuki ke ruang legar Balai Pelepasan Antarabangsa di KLIA, sambil mataku melilau memerhati ke sekeliling. Hampir setiap wajah wanita, perempuan atau gadis yang lalu-lalang aku cuba perhatikan. Namun wajah Safiyya langsung tidak kelihatan.
Jam 1821 - masih ada masa untukku biarpun tinggal cuma sedetik.
Aku berlegar-legar di dalam ruang menuju ruang pelepasan. Aku cuba mengamati wajah-wajah manusia yang berlegaran di kawasan ini namun wajah yang ingin kulihat tidak kelihatan langsung . Aku terus berusaha supaya aku tidak berputih mata walau hakikatnya peluang ini semakin menipis. Aku masih tak putus-putus memandang skrin-skrin yang memaparkan jadual penerbangan ke serata pelosok dunia. Hampir berpinar kedua biji mataku. Aku masih lagi berharap semoga dapat menjejaki Safiyya sebelum dia berjaya lolos ke dalam boarding area.
Jam 1930 - Tertera pada layar skrin, penerbangan ke Adelaide telah pun berlangsung! Kali ini aku terpaksa akur dan begitu hampa yang pencarian telahpun berakhir. Aku kecewa didalam pasrah. Terasa kaki ini bagai dirantai dengan bebanan yang berkilo beratnya. Namun aku tetap gagahi menuju ke deretan bangku supaya aku dapat melepaskan kelelahan akibat pencarian yang gagal. Aku tersampuk kemurungan buat seketika. Untuk melepaskan dia pergi belum lagi tertulis di dalam hatiku.
Aku bagaikan kesurupan. Termanggu dalam kegalauan. Aku terpaksa pasrah, usahaku telah berakhir. Tiada apa yang perlu dikejarkan lagi melainkan menunggu tiba harinya apabila dia akan kembali. Atau mungkin dia pergi meninggalkan tanah air ini dan sekaligus ingin melupakan diriku. Arghhh.. mana mungkin! Aku tak habis-habis menyangkal bisik hati sendiri.
"Hariz!" aku disapa oleh seseorang. Ketika ini, sedang aku cuba memusatkan fikiran supaya jiwaku kembali tenang.
Aku memusingkan tubuhku. Memandang ke arah yang empunya suara. Serang gadis berwajah polos berdiri berjarak tiga langkah di hadapanku.
"You buat apa kat sini? Beberapa minit I tengok you ke hulu ke hilir seolah-olah mencari sesuatu kat dalam ni." Aku melihat dia mengerutkan dahinya.
" Ya, memang I mencari seseorang. " Aku mendongak sedikit untuk melihat wajahnya. Walaupun sebenarnya aku terlalu enggan untuk menjawab! Berat lidahku untuk berkata-kata.
"Tentu seseorang itu sangat penting untuk you. Sebab I tengok you seperti terlalu gelisah." ujar Dr. Airis seperti dapat meneka kegelisahan yang mula bersarang di dalam jiwaku.
Aku cuba melarikan pandangan- enggan untuk berlawan dengan renungan mata Airis. Pandangan matanya bagaikan anak mata yang bila-bila masa bisa menusuk ke jantungnya. Hakikatnya matanya bukan yang aku inginkan tetapi dengan matanya membuatkan aku membuai kerinduan kepada Safiyya.
"You buat apa kat sini?" Soalku enggan terbuai dengan ilusi lagi. Siapa sebenarnya Dr. Airis ini. Dia muncul di saat kekalutan yang mendesak jiwaku. Renungannya hampir serupa dengan pancaran sirna mata Safiyya.
"Oh.. I ke sini sebab hantar adik untuk naik flight. Baru je berlepas!" Kedengaran suaranya semakin ramah. Cuma aku yang enggan untuk berbual panjang.
Hampir lima minit, kesunyian melanda antara kami. Ruang kejanggalan hampir menguasai pentas bicara. Aku bukan kaget tetapi kelu. Begitu juga dia.
"I thought I would like to drink a cup of coffee... Would you like to have coffee with me?" Dia menjongketkan kening sebelah kiri. Mungkin dia berusaha untuk membunuh kejanggalan yang menutupi ruang bicara ini.
"Sorry, I think I would cancel the offer." balasku selamba. Aku mengangkat punggung lalu melangkah meninggalkan doktor muda itu yang terkebil-kebil. Sekilas aku melihatnya dia seakan menggigit bibirnya sendiri. Arghh.. biarkan ini semua berlalu!
33 hari telah berlalu.....
🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗🚗
"Tahniah! Akhirnya demo dengan MekNa selamat menjadi suami isteri." Aku turut teruja menepung tawar pasangan mempelai yang duduk di singgahsana pelamin sebentar tadi. Kedua-dua merpati sejoli itu kelihatan amat cantik dan sama padan.
"Weh, demo buat facial kat mana? Flawless giler muka!" Sempat aku mengusik Pojie yang tersenyum kambing yang berjalan singgah ke bahagian meja tetamu.Jerawat yang bertempek-tempek di wajah Pojie langsung tidak kelihatan.
"Semua ni MekNa punya angkara! Kawe ikut sajo.. Mujur dio nok jadi bini kawe, kawe pun nok juga jadi tok laki dio .. " balas Pojie sambil menjeling kepada isterinya yang wajahnya berseri-seri. Kejelitaan Mek Na makin terserlah dengan gaun penganti serba hijau gelap.
"Siaplah mung male ni, MekNa!" Aku cuba mengusik MekNa yang tersipu-sipu malu berdiri di samping suaminya. Suaminya tersengih lebar dan satu cubitan hinggap ke lengannya. Aku turut terhibur dengan gelagat mereka berdua-spontan namun manis sekali. Meraikan pasangan pengantin baru ini membuaktkan hatiku terdetik, andainya dia kembali pasti aku akan menyuntingnya sebagai teman hidupku. Aku berjanji!
******
Desiran angin menderu menyapa seluruh tubuhku. Aku berdiri memerhati alunan ombak yang membadai tepian pantai. Menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa boleh mendamaikan jiwa yang bercelaru. Sesungguhnya aku adalah insan yang sering lupa dan alpa dengan nikmat yang telah dikurnia oleh-Nya. Lebih sebulan, aku hilang khabar berita dari Safiyya, tetapi hari ini seseorang yang namanya telah luput dalam hatiku kembali munculkan dirinya.
"Hariz, maaf kerana buat awak menunggu." Aku berkalih sedikit. Tanpa memandang akan wajah itu aku yakin bahawa dia telah muncul seperti yang dijanjikan. Kali ini aku sudah muka untuk menaruh sebarang harapan. Dengan tragedi yang telah berlaku lebih sebulan yang lalu telah menyedarkan siapa diri Huda yang sebenarnya.
Beberapa detik berlalu barulah aku menoleh untuk memandang ke arah gadis yang bertudung biru muda. Riak wajahnya terlalu biasa malah amat tenang. Atau disebabkan bahagian matanya yang dilindungi oleh kaca mata membuatkan aku gagal untuk menebak reaksi sebenar wajahnya.
"Tak mengapa! Dah lama saya resign jadi penunggu pokok," balasku seperti membuat lawak walaupun hambar. Barangkali hanya aku seorang yang faham.
"Awak masih marah pada saya?" tanyanya dengan intonasi suara yang perlahan. Aku masih gagal membaca isi hatinya disebalik wajah. Aku bersahaja menguis-nguis pasir dengan hujung kakiku seperti jawapan akan tertera pada pasir tepian pantai ini.
Aku mengelengkan kepala kemudian pantas menggangguk pula. Seperti aku juga gagal menafsirkan isi hatiku yang sebenarnya.
"Nampak awak masih lagi keliru.. tentu awak masih lagi marah pada saya kan!" Huda semakin ingin menduga hatiku lagi.
"Kalau saya masih marah pun bukan saya dapat apa pun! Luka di kepala saya pun dah lama sembuh, cuma parut je yang masih berbekas." Aku menyindirnya. Sekilas aku memandang ke wajah yang pernah aku idamkan.
"Awak berhak marah pada saya. Dan saya mengaku saya telah buat salah pada awak. Saya nak minta maaf pada awak atas apa yang telah terjadi."
"Maaf!" Aku mencebik. Aku berasa jengkel dan juga terhina dengan permohonan maafnya.
"Kalau awak tak memaafkan saya, itu hak awak. Tapi sekurang-kurang saya dah memujuk hati saya ini." Suaranya kedengaran sayu.
Ketika ini, entah kenapa mataku lebih selesa memandang ke arah lautan China Selatan yang terbentang luas berbanding memandang seraut wajah yang pernah membuatkan hatiku tertawan dahulu. Aku menghela nafas dalam pada masa yang sama mulutku terkunci rapi. Hilang semua kata-kata yang aku rancang untuk dihamburkan pada gadis ini. Entah apa yang dimiliki oleh gadis ini sehinggakan api kemarahan yangmarak membara, boleh terpadam dengan tiba-tiba.
"Hariz, awak memang seorang yang baik. Cuma saya yang terkhilaf kerana telah mengkhianati awak. Saya menolak cinta awak bukan bermakna saya benci pada awak. Tetapi, saya tak sanggup lagi mempermainkan perasaan awak." Dia melontarkan pandangan ke arah laut yang terbentang luas. Sedikit dia tidak menoleh ke arahku. Dia seperti berbicara dengan ombak dan pantai di sana.
"Huda apa yang sebenarnya awak nak cakap! Saya tak faham!" Aku mendengus bukan kerana marah. Aku dan dia sama-sama berdiri seiring menghadap laut. Aku atau mungkin juga dia cuba mengelak dari berada dalam keadaan berhadapan antara satu sama lain.
"Maafkan saya.. Dari awal lagi saya katakan saya tak mampu menyintai awak sepenuh hati. Saya tak layak untuk awak.. " sambungnya lagi.
"Huda... Salahkah saya sebab jatuh cinta pada awak?" Aku cuba merungkai simpulan yang membelit jiwaku. Mengeluh tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya aku tidak dapat meluahkan apa yang terbuku di dalam dada.
"Hariz, biarlah saya berterus-terang dengan awak." Sekilas aku menoleh ke arahnya ketika dia menundukkan wajahnya. Rasa sebal di dalam hati telah beransur hilang walaupun tragedi tempoh hari telah meninggalkan parut di dalam hati ini. Mungkin ini kesempatan yang terbaik untuk aku mendengar penjelasan yang setulus hatinya. Dan aku harap ini dapat merungkai segala persoalan yang sering bermain di dalam benakku. Persoalan antara aku dan dia.
"Pertama kali saya lihat awak. Naluri saya mengatakan awak seorang yang sangat naif.. namun saya tak menyangka dengan kenaifan awak itu menjerat saya. Terus-terang saya cakap.. ketika itu saya sebenarnya amat berdendam dengan lelaki.. lelaki lah yang merosakkan diri dan hidup saya.. Dan awak hadir ketika dendam saya sangat kuat.. Selama ini saya serik dipermainkan oleh cinta seorang lelaki. Kemudian, saya telah terhasut untuk mempermainkan lelaki seperti awak!"
"Awak hadir pada waktu yang salah.. saya telah permainkan cinta awak ....saya gunakan awak untuk membalas dendam ..tapi apa yang dapat? Semua yang berlaku membuatkan diri saya bertambah hanyut dalam dosa.Maafkan saya Hariz!" Ada juraian air mata yang membasahi pipinya.
"Huda, saya telah terima hakikat yang awak tak akan balas cinta saya. Biarlah semua yang berlaku mungkin ada hikmah disebaliknya. Lagipun, saya merasakan bahawa awak tentu memilih Kamal." Aku bagaikan menerima penjelasan yang keluar dari mulut Huda. Aku sudah rasakan bahawa hubungan bersama Huda telah lama berakhir.
"Tidak! memang dahulu saya sangat cintakan Kamal.. Tetapi cinta saya telah berubah menjadi dendam. Dia punca saya berdendam. Kamal adalah lelaki yang telah mengkhianati cinta saya..malah menodai saya... Dendam saya pada kamal bukan dengan awak.. awak hanyalah mangsa keadaan. Ketika itu, awak muncul malah menghulurkan cinta pada saya. Saya keliru.. saya keliru antara cinta, dendam dan nafsu. Akhirnya, saya fikir lebih baik mengkhianati daripada saya akan menderita lagi." Huda terduduk di atas pasir pantai. Dia menanggalkan cermin mata lalu menyembamkan wajahnya ke atas lututnya.
"Tergamak awak Huda... Awak tak fikir ke yang awak tu perempuan... Arggh.. menyerah diri pada lelaki untuk ditiduri lelaki adalah kerja yang bodoh bukan!" Aku menempelaknya. Terasa jengkel mendengar lafaz dari bibirnya.
"Memang saya bodoh Hariz!! Saya hanyut dengan keseronokan nafsu serakah saya .. Bukan cinta yang saya kejar tapi nafsu.. Arghhh... saya benci ! Saya sungguh bodoh ketika itu!" Suaranya berubah nada, tangisan mula bergema.
Aku kaget. Serba-salah apabila seorang perempuan mula meratap hiba di sebelahku. Dengan keadaan yang terbuka aku tidak betah melakukan apa-apa untuk menenangkan dirinya kecuali memujuk dengan kata-kata sahaja.
"Awak tak faham Hariz... Awak tak akan faham situasi saya! Dia telah merosakkan hidup saya.. Sehinggakan saya fikir tiada lelaki lain yang layak untuk saya.. Saya perempuan kotor!" Huda masih lagi menagis tersedu-sedan. Mujurlah kawasan pantai ini sedikit terasing dari pandangan khalayak awam.
Aku turut bersedih walaupun aku sukar menerima alasan yang diberikan olehnya. Membalas dendam dengan merosakkan diri. Manusia memang pelik bukan?
"Saya patut juga minta maaf pada awak Huda. Saya pun sama seperti Kamal. Saya telah mengambil kesempatan pada awak. Saya sepatutnya tidak buat perkara itu dengan awak." Aku meraup wajahku yang mula dibasahi keringat. Ternyata tiupan angin tidak mampu menyejukkan bahang yang kian dirasai.
"Awak tahu bahawa Kamal dah bercerai dengan Laila. So, awak akan kembali pada dia?" Soalku setelah tangisan Huda sedikit reda.
"Tidak! Saya minta dia kembali kepada Laila.. Saya dah tak sanggup untuk melihat orang lain menderita. Laila itu kawan saya, saya tahu yang dia mengalami depression. Saya bersalah kerana telah meruntuhkan rumahtangga kawan baik saya. Saya amat menyesal atas apa yang berlaku." Aku dapat melihat Huda menyeka matanya yang merah. Kemudian dia melontarkan pandangan ke arah lautan luas. Mungkin sekadar melepaskan kekalutan yang melanda fikirannya.
"Apa yang telah berlaku pada awak dan pada saya ini mungkin satu ujian Tuhan. Kita manusia memang tak lepas dari melakukan kesalahan. Cuma kita perlu memohon ampun.. bertaubat di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Saya juga berdosa pada awak Huda. Awak boleh maafkan saya. Dan mula hari ni, saya telah maafkan segala kesalahan awak terhadap saya. Bagi saya awak tak pernah lakukan apa-apa salah pada saya." Aku mengambil duduk berhampiran dengannya. Sama-sama mendiami di atas pasir pantai yang memutih ini.
"Awak seorang lelaki yang baik Hariz." Akhirnya Huda menguntum satu senyuman yang boleh mendamaikan jiwa. Dari riak wajahnya aku dapat rasakan dia jujur.
"Awak pun sama Huda. Awak perempuan yang sangat istimewa! Apa yang telah berlaku membuatkan saya sedar bahawa cinta itu perlu lahir dari hati yang tulus dan bukan mengikut nafsu." Aku membalas senyuman itu. Firasatku kuat mengatakan bahawa tak mungkin hubungan antara dia dan aku akan kembali terjalin kerana aku mulai yakin bahawa cintaku telahpun beralih arah...1334Please respect copyright.PENANAk8KJJdGZPI