HARI INI bagaikan terlalu panjang untuk ditempuhi. Kesakitan di seluruh anggota badan terutamanya di bahagian perut, pinggang dan pinggul mula beransur-ansur surut. Nasib baik kecederaan yang aku alami tidaklah begitu parah hanya mengalami luka di kepala hingga mendapat empat jahitan. Manakala anggota badan lain sekadar lebam-lebam dek terjahan dan tendangan yang dilakukan oleh lawan.
Sesekali aku berpaling ke kiri dan ke kanan untuk menghilangkan rasa lenguh yang menggigit otot pinggul. Sesekali berpaling, aku hanya mampu melihat kebanyakan pesakit lain enak ditemani oleh sanak-saudara sedangkan aku hanya bersendirian melayan perasaan kecewa. Oh, bukan kecewa kerana cinta di tolak tetapi kecewa tentang sikap aku yang bertindak menyerang lawan tanpa usul periksa. Padan muka aku tak pasal-pasal terperuk di dalam wad.
"Doktor bila saya boleh discharge?" soalku apabila bayangan seorang 'gergasi' melintasi ruangan yang aku diami sekarang ini.
Lelaki yang aku sangka sebagai 'gergasi' itu berhenti dan berpaling ke arahku. Aku tersenyum sendirian apabila memikirkan anggapan pertama aku terhadapnya- Turban aku nampak sebagai serban, lelaki aku sangkakan gergasi. Iyerlah... kepala tengah weng nak buat camane kan!
"Sabar dulu Encik Hariz.. you rehat dulu.. Ikut pada laporan X-Ray petang tadi.. I perlu lakukan sedikit diagnosis lagi. If everything fine maybe petang esok you boleh discharge." Terang lelaki gergasi yang bernama Dr. Ranjeev Singh.
Mataku juga melilau mencari kelibat seseorang- biasanya dia ada untuk mengekori ke mana sahaja langkah kaki 'gergasi' itu berjalan. Namun aku sedikit hampa apabila bayangan si dia langsung tidak kelihatan. Mungkin si dia telah sudah selesai tugasan memandang waktu sudah melewati petang.
Aku sekadar melangut apabila melihat pesakit lain dilayani oleh ahli keluarga. Jam sudah menginjak ke angka 6.45 petang, suasana di dalam wad masih lagi di penuhi oleh manusia-manusia yang menziarahi pesakit-pesakit. Berbaki 15 minit untuk masa lawatan yang dibenarkan.
"Woi, bro.. apa sudah jadi!" Dalam syok melayani perasaan aku dikejutkan dengan suara lelaki yang amat tidak asing lagi menyapa halwa telingaku.
"Aku accident malam tadi!" jawabku berbohong.
"Tengkorak kamu accident konon.. ni muka sampai lebam-lebam bukan sebab accident, tapi kau kena belasah ni. Eh, siapa yang belasah kau sampai macam ni? Dah macam alien aku tengok muka kau.." Zali dengan selamba duduk di birai katil. Aku menepis tangan Zali sebelum dia berjaya mencuit pipiku yang telah menjadi 'tembam helok'. Di belakang Zali, kelihatan Rafael yang turut serta mengunjungi aku.
"Eh, camne korang tahu aku kat sini?" Soalku sedikit sangsi.
"Aikkk... Ernie cakap kau yang bagitahu Puan Su yang kau kena warded kat sini. So kami sebagai kawan yang sangat prihatin lagi berperi- perikemanusiaan ini dengan rela hati datang menziarahi kawan yang telah tewas dalam aksi tinju. Eh, tu la kau.. aku suruh masuk Muay Thai kau tak nak.. dah lunyai aku tengok!" Sindir Zali sambil menepuk-nepuk bahu kiriku. Aku menjungkit bahu menahan kesakitan akibat pukulan yang dilakukan Zali.
"Kau kenal siapa yang pukul kau? Kenapa dia pukul kau? Kau tak buat report polis?" Soal Rafael bertubi-tubi selayak sebagai pegawai penyiasat.
"Malaslah.. aku malas nak kecoh-kecoh. Lagipun aku masih lagi hidup lagi. Polis banyak kerja lain nak kena settle berbanding dengan kes aku yang ciput ni." Aku tersengih. Rafael mendengus keras seolah-olah tersinggung dengan kata-kata aku.
Beberapa kali Rafael mendesak supaya aku membuat laporan kepada pihak polis namun aku masih berkeras untuk tidak berbuat demikian. Pada fikiranku, biarlah perkara ini berakhir di sini. Ternyata Rafael seolah tidak berpuas hati dengan pendirian aku yang tidak mahu memanjang kes ini.
"Kau dah makan?" Seraya Zali meletakkan 'seketul' sandwich daripada Subway di atas meja. Bagusnya kawan aku ini, dapat juga aku mengisi perutku yang semakin memberontak. Tanpa segan silu, aku mencapai roti yang diisi dengan kepingan 'chicken's slice' dan sayur-sayuran lalu disumbat ke dalam mulut ku.
"Amboi... makan tu jangan gelojoh sangat!" Belum sempat aku mengunyah akan roti itu, telingaku disapa oleh satu suara yang cukup lunak.
Aku mengalih pandangan ke arah sang pemilik suara emas itu. Begitu juga Rafael dan Zali turut sama berbuat demikian. Aku menjadi kelu seketika- antara nak menelan atau meluahkan makanan yang memenuhi rongga mulutku.
Sang pemilik suara itu hanya memeluk tubuhnya pada masa yang sama mencerlung mata ke arahku.
"Encik Hariz, Doktor Ranjeev mengesyaki yang awak mengalami kecederaan pada usus. Mungkin disebabkan hentakan atau tumbukan kuat yang berulang-ulang pada bahagian perut encik. Untuk bantuan lanjut saya syorkan encik dirujuk pada unit dietetik nanti." Suaranya lembut tapi terselit ketegasan.
Aku berhenti mengunyah dan seperti ingin aku luahkan kembali isi mulutku. "Tapi saya tak kata yang awak tak boleh makan roti tu, cuma awak perlu kunyah betul-betul ..biar hancur barulah telan." Sambung gadis yang berambut perang potongan bob itu lagi.
Kali ini, barulah aku dapat melihat sepenuhnya akan raut wajahnya. Aku bagaikan terpegun apabila melihat akan wajahnya dan pada masa yang sama otakku mula memproses sesuatu. Otakku bagaikan sistem komputer melakukan operasi searching di dalam ruang memori pemacu keras untuk mendapatkan data pengenalan gadis ini- wajahnya seperti pernah ku lihat sebelum ini tapi di mana ye!
"KLIA!" Nama tempat itu terpancul dalam mulutku yang masih dipenuhi dengan makanan.
Doktor muda menjongketkan keningnya sambil memandang ke arahku. Aku rasakan dia mendengar apa yang aku sebutkan tadi. Aku berjaya mengimbas seraut wajahnya dan dipadankan dengan wajah seorang gadis yang telah melanggarku. Ya otakkau berjaya mengingat kembali wajah gadis memakai snowcap sedangkan di negara ini langsung tiada sebutir salji.
"Doktor Airis.. teruk tak sakit kawan saya ini? Saya minta dia buat laporan polis tapi dia enggan. Degil betul!" Rafael sempat mencelah kedudukan di antara Dr. Airis denganku. Sempat aku melihat pandangan mata mereka bertemu da nada garis senyuman yang terukir pada bibir doktor muda terhadap pegawai polis berpangkat inspektor yang kini berdiri betul-betul sebelah bahuku.
"Selain lebam-lebam kat muka dan tubuhnya, dia mendapat empat jahitan di kepala sebelah kiri. Tiada tulang yang patah tapi mungkin terdapat luka kecil pada organ dalam perutnya. Tapi pihak kami belum kenalpasti tahap kecederaan yang kawan awak alami."
"Kau dengar tu Hariz, kau nak biarkan orang yang pukul kau tu terlepas begitu saje." Kini giliran Zali pula membebel.
"Alaa.. aku tak nak kecoh-kecoh bro.. biarlah aku rasa tak ada-apa pun. Sakit sedikit sahaja. Esok lusa aku sihat walafiat.. Nanti aku pergi belajar tomoi dengan kau Rafael." Ujarku setelah makanan Berjaya aku telan sepenuhnya. Sekaligus menaikkan rasa perit dalam kerongkongku.
"Kau nak belasah orang tu pula?"
"Mungkin!" jawabku serius.
Dr. Airis dan Rafael menggelengkan kepalanya serentak. Sekali lagi mereka saling berpandangan dan berbalas senyuman. Seperti wujud irama dan lagu yang sangat harmoni melingkari sempadan mereka berdua.
***
Dua hari satu malam aku menginap di 'hotel' ini dan akhir aku berjaya 'checked out' dengan begitu bahagia. Kesakitan yang aku alami hanyalah bersifat sementara.
Aku memanjatkan syukur ke hadrat Illahi kerana kecedaraan di dalam perut tidaklah memudaratkan kesihatanku. Menurut Dr. Ranjeev Singh, usus besar mengalami bengkak dan luka kecil akibat tumbukan yang telah aku terima. Mungkin ini adalah hukum karma yang harus aku tempuhi atau mungkin Yang Maha Esa ingin menjentik diriku agar tidak terus hanyut dalam noda dan dosa.
Bengkak dan lebam pada muka beransur-ansur surut, luka dikepala perlahan-lahan kering. Namun luka di hati hanya aku yang tahu ia lagi masih bernanah. Perasaan cinta pada Huda akan ku singkir dan ku hapuskan, biar tiada sebarang jejak yang tersisa lagi.
Bak kata pujangga cinta 'Luka di jari nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu.' Entah dari mana bait-bait jiwang itu melekat di dalam benakku. Adakah kenangan bersama gadis itu berjaya untuk aku singkirkan. Ataupun ia akan terus mengganggu mimpi-mimpi ku lagi.
"Thanks doktor kerana merawat saya.. " ujarku sambil tersenyum. Melihat doktor muda tersenyum seolah mampu memulih kelukaan yang aku alami.
"Itu telah menjadi tugas dan tanggungjawab saya. Saya merawat semua orang tak kira siapa." Katanya bersahaja. Seorang jururawat yang sedang menanggalkan insert branula hanya menjeling mendengar perbualan kami.
"Encik dah boleh discharge." kata jururawat lalu menyerahkan beberapa keping kertas yang berkenaan bil hospital dan salinan preskripsi untuk mendapat bekalan ubat di bahagian farmasi.
Aku memerhati keseluruhan isi kandungan dokumen- tertera nama Dr. Airis Syafiqa Bt Abdul Majid , Pegawai Perubatan U41 berserta tandatangan pada prekripsi tersebut.
"Tapi Dr. Airis Syafiqa yang menjahit luka kepala saya kan.. so, saya perlu berterima kasih banyak pada cik doktor yang cantik menawan ni. Kalau bukan doktor, mungkin isi kepala saya ni terburai keluar.. Jadi, sebagai perhargaan saya nak belanja coffee bila-bila doktor free. " Aku sengaja memujinya malah turut untuk mencuba nasib. Manalah tau kan!
"Dah jadi tugas saya... tapi saya rasa saya tertinggal satu prosedur yang sepatut dibuat kepada awak."
"Prosedur apa?" aku bertanya kerana tidak mengerti.
"Prosedur CT scan.. mungkin ada kecederaan pada saraf otak yang menyebabkan awak tidak berfikir dengan betul. Mungkin juga ada wayar kat dalam otak awak tu dah putus!" Dr. Airis mencebik.
"Pandai doktor bergurau ye.. Tapi, kalau awak tak keberatan.. Tawaran saya terbuka pada bila-bila masa." Aku ingin menunjukkan sikap yang bersungguh-sungguh kepada gadis itu.
"Maaf, simpanlah tawaran awak pada orang lain.. Hurm..by the way.. semasa awak tak sedar diri.. Saya dengar nama Safiyya berulang-kali keluar dari mulut awak.. Girlfriend awak ke?" Dia membulatkan matanya. Seiras dengan bentuk mata milik Safiyya. Mata itu membuatkan aku menjadi pegun. Ada kerinduan yang menyelinap masuk. Adakah dia mengetahui perkhabran tentang diriku yang terlantar di sini? Atau mungkin dia tidak lagi peduli tentang diriku lagi.
Aku terdiam seketika. Betulkah nama Safiyya yang sering aku sebut ketika aku pengsan? Aku menggarukan kepala yang tidak gatal. Mulut doktor muda itu seperti mengomel sesuatu yang aku tidak dengar butir bicaranya.
"Dia tak datang ke? Tentu she is someone special for you kan? Kalau tak, mana mungkin nama itu muncul berulang-kali." Dia membulatkan matanya.
"Dr. kenal Safiyya?" Soalku sekadar bertanya dan mungkin ingin menduga.
Dia sekadar menjongket bahunya. Aku menebak mungkin dia menafikan akan pertanyaanku.
"Doktor kenal Puan Suhana? Atau awak ni anak dia?" Aku cuba merungkai persoalan yang sedang bermain di fikiran.
Dia menjongket bahunya sekali lagi. Mungkin enggan membuatkan penjelasan.
Ahhh... respons yang ditunjuknya membuatkan aku berasa...arghhh... sungguh dipermainkan dengan keenganannya untuk menjawab persoalan dariku.
"Siapa Puan Suhana?" Soalnya padaku.
"My boss. Betul awak tak kenal?" jawabku pendek. Aku soal dia , dia soal aku balik. Soalan berbalas soalan..Sampai ke esok tak akan ada jawapan babe!
"Kita pernah berjumpa di KLIA. Tak silap doktor yang melanggar saya dengan troli. Dan saya lihat yang doktor berjumpa dengan Puan Suhana." sambungku cuba untuk mengesahkan bahawa Dr. Airis adalah orang yang bertembung denganku sebelum puasa itu.
"Maaf saya tak dapat cam awak! Tapi memang saya pernah terlanggar seorang lelaki yang memakai hud kepala.. Kalau begitu saya minta maaf sebab memang saya betul-betul tak sengaja." Wajahnya nampak seperti bersalah. Dan ini merupakan satu kesempatan bagiku kelak...
"Maaf awak diterima sekiranya awak sudi menerima pelawaan saya untuk minum coffee berdua." Aku terus ingin mencuba sambil aku mengusik. Entah mengapa aku begitu selesa untuk bergurau dengannya sedangkan baru dua hari kami berkenalan secara tidak rasmi.
"Hishh...tak mungkin! Terima kasih sajalah.. Saya anggap maaf saya telah diterima... Kaki awak ada luka atau patah? Tak kan!! kaki awak tak cedera pun...lagipun saya dah ubatkan kepala awak tu." Dia memeluk tubuhnya. Wajahnya didongak ke atas sedikit. Seperti kelihatan angkuh sekali.
"Dr. Airis nak mengungkit tentang tugas dan tanggungjawab sebagai doktor ke?" Aku merenung wajahnya yang mula kemerah-merahan- tidak, itu terlalu klise! Tetapi wajahnya seakan berubah riak. Mungkin dia sedang menahan geram.
Dia mengetap bibir dan menjeling tajam kepadaku. Nampaknya dia seperti tak ingin mengalah. Dan buat pertama kali, aku menyukai seorang perempuan yang gemar 'berlawan kata' denganku. Aku tersengih selamba....
"Huh! dari saya terus melayan awak yang sakit ni.. kat sana ramai pesakit yang sedang menanti rawatan dari saya." Dia mula mengatur langkah. Wajahnya kelihatan jelas mencuka! Huh.. biarkanlah ... Aku tertawa bagaikan digeletek. Gembira menyakat seorang yang aku tidak kenali. Dan ini bukanlah sifatku yang dahulu. Mungkin betul kata Dr. Airis bahawa wayar kepalaku banyak yang putus...
"Tapi Dr. Airis.. saya akan tuntut dari awak lagi! Coffee for two!! " Laungku separa kuat sehinggakan mendapat renungan tajam dari beberapa orang jururawat yang bertugas di dalam wad ini. Aku buat-buat tersengih. Lantaklah yang penting.. aku puas menjadi 'hantu' di dalam wad ini pada hari ni.. dan aku tak ingin untuk kembali lagi.... Kerana seorang perempuan aku terperuk di sini, dan perempuan jugalah yang gigih datang untuk merawat.1462Please respect copyright.PENANABieZ2PTdVG