SERVER 12
Pinggir Bandar Inderapuri,Tahun Infiniti 30XX…
Hairuddin memacu kereta lama miliknya untuk menuju ke satu destinasi di Bandar Inderapuri.Hairuddin gemar mengumpul dan menggunakan barangan lama.Kereta yang dipacunya ini pun masih menggunakan petrol sebagai sumber tenaga namun pengubahsuaian dilakukan sendiri oleh Hairuddin.Dia memuatkan sebuah enjin elektronik yang dipacu menggunakan kuasa bateri sebagai pacuan tenaga kedua selepas enjin petrol.Hairuddin mendapatkan bekalan petrol daripada sahabat sekampungnya.Di zaman ini agak susah untuk mendapatkan bekalan petrol terutama di bandar-bandar besar kerana hampir keseluruhan kenderaan dipacu menggunakan kuasa bateri sahaja.
Kelihatan jalan utama menuju ke Bandar Inderapuri agak sesak.Sesaknya agak luar biasa.Hairuddin kebingungan.Jarang sekali jalan utama sesak sebegini.Pastinya ada kemalangan atau apa-apa yang menghalang jalan.Dia keluar rumah sejak awal pagi tadi lagi.Sehingga kini dia masih belum sampai ke Bandar Inderapuri walaupun hari sudah menginjak ke petang.Sesaknya agak luar biasa.Segala-galanya umpama lumpuh.
Pergerakan kenderaan terhenti apabila semakin menghampiri bandar.Bunyi hon yang membingitkan saling tingkah-meningkah antara satu sama lain.Malahan ada juga pemandu yang hilang sabar dan keluar dari kenderaan sambil memarahi kenderaan lain.Hairan.
Hairuddin mengeluarkan telefon bimbit lama miliknya.Dia juga mengubahsuai model telefon bimbit lama miliknya ini supaya serasi dengan gelombang komunikasi pada zaman ini.Dia jarang menggunakan BrainLink walaupun ada memilikinya.Brainlink sudah menggantikan telefon bimbit pada zaman sekarang.Hairuddin menghubungi seseorang namun gagal.Talian terputus.Berkerut dahinya.
Hairuddin hampa.Mahu tidak mahu dia terpaksa akur.Tersangkut di dalam kesesakan teruk yang luar biasa ini.Bukan sahaja jalan utama menuju ke Bandar Inderapuri sahaja malahan jalan utama bersebelahan juga turut mengalami perkara yang sama.Sesak teruk menuju ke luar Bandar Inderapuri.Hairuddin menoleh kebelakang.Kelihatan berpuluh-puluh atau mungkin jejak ke ratusan kenderaan beratur panjang dari kedua-dua arah.Hairuddin kehairanan.
Dikejauhan, kedengaran deruman enjin motosikal berkuasa tinggi laju menghampiri kereta yang dipacu oleh Hairuddin dan berhenti bersebelahan keretanya.Kelihatan seorang lelaki mengenakan topi keledar cermin gelap memandang Hairuddin yang berada di dalam perut kereta.Hairuddin mengerutkan dahi.Lelaki itu membuka cermin topi keledarnya.
“Tuan Hadif! Tuan..nak kemana ni?” Ternyata Hairuddin amat mengenali lelaki itu.
“Panjang ceritanya.Kita ada masalah besar.Tinggalkan kereta disini.Parking tepi.Kunci semuanya.Ikut saya.Nanti saya minta tolong orang saya uruskan kereta ni.” Hadif memberi arahan ringkas.Hairuddin tidak banyak membantah.Dia hanya melakukan apa yang diarahkan oleh Hadif.Semestinya ia satu perkara yang sangat buruk.
Hadif membonceng Hairuddin.Motosikal berkuasa tinggi miliknya laju meredah angin.Hadif juga salah seorang daripada pengumpul barangan lama dan antik.Motosikal berkuasa tinggi miliknya juga salah satu daripada koleksinya.Motosikal ini masih menggunakan petrol sebagai bahan api walaupun berteknologi tinggi hampir menyerupai motosikal elektronik pada zaman ini.Bezanya tiada sebarang pengubahsuaian rangka dilakukan pada motosikalnya.Hairuddin pernah menawarkan khidmatnya untuk mengubahsuai enjin motosikalnya supaya enjin motosikalnya itu turut boleh dioperasikan menggunakan bateri namun tawaran itu ditolak secara baik.Hadif lebih gemarkan barangan ‘antik’ itu dalam keadaan seperti asal.
Hulu Permukiman Viento,HyperServ
Tajima dan Zaidi berhenti rehat di satu kawasan yang memiliki anak sungai yang bersambung dengan sungai utama.Tajima lebih gemar bersendirian.Mengelamun memerhatikan gerakan aliran perlahan sungai mengalir ke hilir.Dia tahu semua ekosistem disini adalah rekaan program semata-mata dan ini bukanlah realiti namun demi mengejar cita-citanya untuk membolot kesemua kemewahan yang digambarkan, disanjungi oleh semua warga dunia, dia sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa memusnahkan ekosistem dunia HyperServ.Tambahan pula, ini bukan hasil rekaannya.Pasti mudah sahaja untuk memusnahkan hasil kerja orang lain sedangkan diri sendiri tidak mempunyai apa-apa pencapaian yang mampu dibanggakan.
Zaidi pula lebih gemar memikirkan strategi.Bagaimana mahu memintas perjalanan Yazaid dan mengambil BrainLink milik Yazaid.Alat itu merupakan salah satu daripada kunci kemusnahan dunia HyperServ.Dia hanya memerlukan setiap data yang ada di dalam alat itu.Bukan hanya BrainLink milik Yazaid seorang sahaja malahan mereka ada 3 pilihan.BrainLink milik Yazaid atau Fared atau Samsul.Ketiga-tiga mereka ini merupakan pengasas kepada HyperServ.Data di dalam salah satu daripada alat itu merupakan kunci kemusnahan kepada HyperServ dan kejayaan besar bagi BlackServ.
Secara tiba-tiba, tanah terasa bergegar.Getaran itu agak perlahan dan sekata.Sesekali gegeran kecil itu akan berhenti untuk beberapa minit dan gegaran itu akan sekali lagi terasa.Tajima dan Zaidi memandang sesama sendiri.
“Zie dah mulakan serangan dari luar.Program Pemusnah Sistem berjaya diubahsuai untuk pengaktifan.” Zaidi membelek-belek data pada paparan hologram miliknya.
“Bagus.” Tajima sekadar tersenyum puas.Kini tiba giliran mereka untuk menghancurkan HyperServ dari dalam sementara Zie memusnahkan daripada luar.Program Pemusnah Sistem digunakan pada dunia luar untuk melumpuhkan keseluruhan sistem di dunia manakala mereka akan menghancurkan HyperServ dari dalam.Serangan dari 2 penjuru ternyata amat berat sebelah bagi dunia ini.
Imbas kembali,BlackServ Lab.Tahun Infinity 30XX
Tajima mengendalikan sebuah program.Paparan monitor hologram memaparkan pelbagai data-data yang berselirat.Zaidi yang telah tersedar dari pengsan masih berehat.Dia memerlukan sedikit masa untuk mengerah tenaga semula.Zie pula masih berada di dalam bilik khas yang lain menyiapkan program seterusnya.
Jemari Tajima ligat mengatur kod-kod yang sukar difahami namun hanya boleh dimengerti oleh hacker sahaja.Tajima tersenyum lebar.Umpannya mengena.Mangsa berada di dalam kawasan jajahan.Zie pula keluar dari bilik khas itu menapak perlahan menuju ke arah Tajima.
“Ikan dah masuk jerat?” Zie berkias.
“Bukan ikan biasa.Ini ikan emas.” Tajima menyusun fail program yang bakal dilancarkan sebentar lagi.
“Oh..kau boleh masuk sekejap lagi.Buat serangan.” Zie memberi cadangan.Tajima sekadar tersenyum tanda bersetuju.Itulah yang akan dilakukannya.
Tajima mengejutkan Zaidi.Rancangan perlu diteruskan.Tidak boleh bertangguh sementara musuhnya, Yazaid berada di dalam HyperServ.Tajima dan Zaidi bersedia untuk Log In.
“Zie, selepas kami masuk ke dalam aku nak kau aktifkan Program Pemusnah Sistem yang kau dah ubahsuai tu.Aktifkan.Faham!” Tajima memberi arahan kepada Zie.
“Eerr..tapi kau dah masukkan virus.Tak cukup?” Zie mempersoalkan tindakan Tajima.Kejadian aneh kemunculan awan hitam gemitam di HyperServ salah satu daripada serangan Tajima.Virus yang dimuatnaik ternyata mengaktifkan amaran pertama HyperServ yang mengakibatkan sistem Hyperserv mengunci separuh daripada sistemnya.Dia perlu mengaktifkan amaran kedua bagi membolehkan HyperServ ‘mengunci’ sistemnya sendiri secara keseluruhan.Sebenarnya tindakan mereka mampu meragut nyawa mereka yang tidak bersalah termasuk nyawa mereka sendiri.Orang awam yang menggunakan Brainlink terpilih secara rawak akan memasuki ke dalam Hyperserv tanpa sengaja.Ianya merupakan ralat sistem itu sendiri yang perlu diatasi.
“Itu langkah pertama.Ini langkah kedua.Ingat! Selepas kau muatnaik Program Pemusnah Sistem tu, HyperServ akan mengunci sistem.User boleh masuk tetapi tak boleh keluar.Itu lagi bagus.Kau musnahkan dari luar, aku hancurkan dari dalam.” Tajima tersenyum puas.
“Eerr..bukan ke Program Pemusnah Sistem tu akan jadikan seluruh dunia menjadi lumpuh? Hyperserv tak mampu berhubung dengan dunia digital sekarang.” Zaidi pula mempersoal.
Zie sekadar mengangguk.Ketika ini, seluruh dunia terlalu bergantung kepada teknologi bahkan kenderaan tidak bertayar juga menggunakan digital untuk bergerak.Semuanya terlalu bergantung kepada sistem.Arus teknologi yang terlalu maju kadangkala memberikan kemudaratan kepada ketamadunan manusia.Apa sahaja perkara atau benda yang bergantung kepada sistem pasti akan lumpuh selepas Program Pemusnah Sistem dimuatnaik sebentar lagi.Bahkan, program pertama yang sudah dimuatnaik telah pun melumpuhkan seluruh bandar dan perlahan-lahan menjangkiti ke peringkat global.
Semestinya HyperServ juga tidak terlepas dan ianya akan mengaktifkan amaran kedua HyperServ.Amaran kedua itu akan membuatkan HyperServ mengunci keseluruhan sistemnya sendiri sedangkan Tajima dan Zaidi sudah menyelinap ke dalam.Mereka pula akan melakukan kehancuran dari dalam.Selepas semua berhasil, BlackServ akan menempa nama.Menjadi ‘penawar’ kepada semua masalah.Kononnya menjadi ‘hero’ ciplak.
Tajima tersentak dari lamunan yang panjang.Dia mengimbau ingatan ketika sebelum masuk ke dalam HyperServ.Gegaran di tanah yang lebih kuat menghancurkan imbauannya.Zaidi berkalih kepada Tajima.
“Tajima..Kita bergerak sekarang.Isyarat salah seorang pengasas HyperServ semakin hampir.” Zaidi memberikan gambaran data kepada Tajima.Tajima mengerutkan dahinya.Dia membelek-belek kedudukan isyarat itu dan mencarup kedudukan peta.Dia mengira-ngira kedudukan.
Tajima tersenyum.Ada satu strategi bernas terlintas di benaknya. “Jangan ikut isyarat ni.Kita ikut jalan sana.”
Zaidi tercengang.Dia tertanya-tanya sedangkan apa yang diburu ialah BrainLink milik Yazaid.
Gegaran di tanah sesekali terasa dan terhenti.Seolah-olah ada ‘sesuatu’ yang besar sedang bergerak di bawah tanah.Getarannya berselang-seli.Selang 5 hingga 10 minit, ia akan bergegar semula.
Tajima bangkit meneruskan perjalanan.Zaidi terkocoh-kocoh mengekori langkah Tajima yang kelihatan lebih bertenaga.Hasrat hatinya membuak-buak.Terbayangkan BlackServ bakal disanjung, dikenali seluruh dunia.Semua manusia di dunia ini akan menyanjungi kehebatan BlackServ.
Permukiman Fuego,HyperServ
Ismail ternganga.Kirin sekadar berwajah selamba.Batu Prasasti Dunia bersaiz gergasi itu berada dihadapannya namun tidak tercapai dek tangan.Ismail memandang ke bawah.Satu jurang yang amat dalam mengelilingi Batu Prasasti Dunia itu.Batu itu sekadar terletak di atas tanah berbentuk bulatan yang sekadar memuatkan batu itu sahaja manakala kedudukannya dikelilingi oleh jurang sejauh 15 meter jaraknya dan kedalamannya tidak diketahui.Ianya seakan sebuah pulau.
“Macam..macam mana kita nak seberang sana?” Ismail kehairanan.
Kirin sekadar mendiamkan diri.Dia memandang kekiri dan kekanan.Seingatnya, jurang ini tidak pernah ada disini.Bagaimana kedudukan batu itu terpisah dari tanah utama.Dia ingat-ingat lupa.
Batu Prasasti Dunia ini merupakan salah satu daripada 5 Batu Prasasti yang ada di dalam dunia HyperServ.Kelihatan tulisan berbentuk kod unik yang tidak difahami terukir di keempat-empat permukaan batu itu.Seperti sebuah mantera.Seperti satu arahan.
Batu Prasasti Dunia ini mempunyai kuasa sebagai salah satu daripada pelindung kepada HyperServ.Sesiapa yang dapat memiliki kuasanya, dia akan mampu untuk mengawal gerak keluar dan masuk user dan gerakan data dan elemen di dalam HyperServ malahan mampu mengawal separuh daripada HyperServ.Namun, jika jatuh ke tangan mereka yang berhati busuk semestinya mengundang kemusnahan. Namun bukan semua orang boleh memilikinya.
Kirin bersila di atas tanah.Ismail sekadar memandang perlakuan Kirin.Kelihatan Kirin memejamkan matanya seperti seseorang yang sedang bertapa.Kirin menarik nafas sedalamnya dan menghembuskan secara perlahan dan mendatar.Ismail termangu.Dia tidak ketahui apa yang cuba dilakukan oleh Kirin.
Gegaran di tanah terasa lagi.Kali ini lebih kuat berbanding sebelumnya.Ismail memandang kekiri dan kekanan.Sesekali dia memandang ke arah Kirin.Dia menjadi buntu.Tidak tahu apa yang boleh dilakukan.Akhirnya Ismail mengalah.Dia turut bersila bersebelahan Kirin.Cuba meniru apa yang dilakukan oleh Kirin.
Secara tiba-tiba, ukiran tulisan kod unik pada permukaan yang menghadap ke arah mereka mengeluarkan cahaya kebiru-biruan.Tubuh badan Kirin juga turut mengeluarkan cahaya kebiru-biruan.Ismail kaget.Dia tidak tahu apa yang berlaku.
Entah bagaimana, ukiran tulisan kod unik yang bercahaya itu mengeluarkan cahaya kebiruan yang lebih terang.Satu pancaran cahaya secara tiba-tiba memancar ke arah Kirin.Seperti sebuah laser warna kebiruan menembak ke arah musuh.Tubuh badan Kirin yang turut bercahaya kebiruan bersambung dengan pancaran cahaya dari Batu Prasasti Dunia itu.
Akibat panahan cahaya yang terlalu terang, Ismail melindungi matanya menggunakan tangan kanannya sambil matanya terpejam.Dia tidak tahu apa yang terjadi.Bunyi berdesing menghiasi suasana hutan.Ternyata Ismail langsung tidak mengetahui apa yang sedang berlaku.
Suasana kembali tenang.Cahaya itu beransur pudar dan menghilang.Ismail membuka kelopak matanya perlahan-lahan.Dia memandang persekitaran dan berkalih memandang Kirin.Cahaya pada tubuh badan Kirin juga semakin memudar dan menghilang.
Kirin membuka kelopak matanya.Dia memandang ke arah Ismail dan tersenyum lalu bangkit dari duduknya menuju ke sebelah kanan permukaan Batu Prasasti Dunia itu pula.Ismail kehairanan.Dia memandang permukaan batu yang mengeluarkan cahaya itu.
Ismail ternganga lagi.Tulisan ukiran kod unik pada permukaan batu itu telah hilang.Seakan semuanya sudah diserap oleh Kirin.Batu itu mempunyai 4 permukaan yang mempunyai tulisan ukiran kod unik.Satu daripadanya sudah diresap ke dalam badan Kirin.Ismail kehairanan.Dia tidak mengetahui apa fungsi batu itu.
Kirin kelihatan melakukan perbuatan yang sama seperti tadi.Ismail menjauhi Kirin.Dia tahu apa akan berlaku.Panahan cahaya yang amat menyilaukan menyakitkan matanya.Kirin melakukan perkara yang sama di sebelah kanan permukaan batu itu sehinggalah ianya mengeluarkan cahaya kekuningan pula.Ismail melakukan perkara yang sama.Dia mengelak pandangan terus kepada Kirin.Kali ini cahaya kekuningan memancar terang.Rupanya setiap permukaan ada warna yang berbeza dan kod yang berbeza, fikir Ismail.
Ismail duduk agak meminggir jauh dari Kirin.Dia berjalan perlahan-lahan.Dia membuka kelopak matanya sedikit untuk melihat ke tanah ketika bergerak.Takut tersadung jatuh.Pancaran cahaya kekuningan ini amat menyakitkan matanya.
Lama-kelamaan, cahaya itu semakin memudar dan menghilang.Ismail mengetahui proses aneh ini sudah tiba ke penghujung.Ada lagi 2 permukaan.Seperti yang diduga.Tulisan ukiran kod unik pada permukaan sebelah kanan batu itu juga turut hilang.Kirin membuka kelopak matanya.Dia terasa mengah.Kepalanya berpinar.Dunia seakan berputar ligat.Tidak semena-mena, Kirin terlentang ke belakang tidak sedarkan diri.Ismail kaget.Pantas dia mendapatkan Kirin.Dia memangku tubuh Kirin di pangkuannya.Dia memandang kekiri dan kekanan.Dia bungkam.Tidak tahu apa yang terjadi.Tidak tahu pada siapa harus dia meminta pertolongan.Hanya dia dan Kirin sahaja di hutan ini, fikirnya.
Pantas dia memapah tubuh kecil Kirin dibawa menjauhi batu aneh ini.Baru sahaja 2 permukaan, Kirin sudah tidak sedarkan diri.Kuasa yang ada pada batu itu tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh satu badan sahaja atau hos.Ianya memerlukan dua hos.Kerana itulah wujudnya Kirin dan Leo sebagai A.I. Namun mereka tidak mengetahui bahawa kini batu itu juga ada menyimpan satu kuasa pemilikan Hyperserv yang tidak akan dapat ditampung oleh sesiapa.Hanya yang terpilih akan memilikinya dan hanya masa yang bakal menghuraikan misteri itu.
..Bersambung >> Server 13
ns 15.158.61.44da2