Letrai Bay, La Brecha, HyperServ
Malam semakin larut meninggalkan peredaran masa tanpa menunggu sesiapa.Hampir kesemua marga bangsa Letrazie lena dibuai mimpi namun tidak pada Yazaid.Matanya sukar untuk dilelapkan.Pelbagai andaian bermain di fikirannya.Memikirkan bagaimana untuk keluar dari dunia yang menyesakkan fikiran ini.Bagaimana mahu menyingkirkan penceroboh yang menceroboh dunia ini.Bagaimana mahu memusnahkan kesemua virus yang berleluasa di dunia ini.Bahkan, dia sendiri tidak tahu bagaimana rupa virus yang dimaksudkan kerana ianya langsung tidak kelihatan secara fizikal sehingga kini.Diasak pula dengan kisah-kisah berkaitan bangsa Valkazar yang gemar bermusuhan dan berbunuhan.Pelbagai asakan menghentam akal mindanya.Hatinya jadi terbejat.Keluhan kasar terhembus keras.Oleh kerana tidak tertahan, Yazaid melangkah keluar dari rumah agam milik Tyrel itu.Dia bersiar-siar di luar untuk mengambil angin sekali gus mencuba untuk menyingkirkan kegalauan hatinya.
Yazaid mengitari pandangan.Mengamati suasana malam di perkampungan Letrai Bay ini.Ternyata pemandangan malam disini lebih menenangkan dan terasa damai.
Yazaid menapak ke tengah-tengah perkampungan itu.Kelihatan sebuah patung batu besar yang diukir membentuk susuk tubuh seseorang di kalangan bangsa Letrazie.Yazaid tidak mengetahui siapakah gerangan lelaki yang menjadi mercu tanda Letrai Bay itu.
Imbas kembali..
Beberapa bangsa Letrazie masuk ke dalam dewan dan salah seorang daripadanya adalah seorang perempuan berada di hadapan sekali.Wajahnya ayu dan anggun namun kelihatan tegas.
Dia berjalan melintasi meja makan dan duduk bersebelahan Leo.Matanya langsung tidak memandang ke arah Yazaid selepas menegurnya.Beberapa pengiringnya menempatkan diri di belakang gadis itu.Yazaid tercengang.Dia tertanya-tanya siapakah gerangan gadis yang menegurnya sebentar tadi.
“Yazaid, kenalkan.Itu adalah Elsa.Ketua Batalion A.S.T.” Tyrel memperkenalkan gadis yang baru sahaja masuk ke dalam dewan itu.Yazaid terkedu diam tidak terkata.
“A.S.T?” Ilyas pula menyoal.
“Angkatan Skuad Tempur.” Tenang Tyrel meringkaskan.
“Ohh..kalau dia ketua batalion sekali pun, maknanya dia boleh menyerang hendap kami sesuka hati, begitu?” Yazaid masih lagi terasa hangat di dalam hatinya.
“Dan dia juga anak kepada...” Leo pula menyampuk.
“Tak kisahlah anak siapa pun.Bukan bermakna kau boleh buat sesuka hati kau.Kalau kami terbunuh bagaimana? Menyerang hendap kami begitu?” Yazaid menengking.Memintas percakapan Leo sebelum lelaki itu habis berbicara.Yazaid kelihatan semakin bengang.Hatinya membara kerana seolah-olah dia diperkecilkan oleh sahabatnya.Hanya kerana seorang gadis itu ketua batalion bukan bermakna dia boleh melakukan sesuka hatinya.Itu bukan prinsip Yazaid.
“Jadi, awak mahu terbunuh dengan serangan hendap kami?” Elsa memandang tajam ke arah Yazaid.Pandangan sebegitu menyemarakkan lagi amarah Yazaid yang masih belum reda.
“Kau cabar aku? Baik! Kita bertempur tangan kosong! One by one!” Yazaid hilang pertimbangan sehingga tidak menyedari implikasi yang bakal dihadapi.Elsa sekadar tersenyum sinis.
Riak wajah Tyrel dan Leo berubah serta-merta.Bangsa Letrazie tahu akan keupayaan dan kemahiran Elsa dalam bertarung terutama sekali dalam pertempuran tangan kosong.Elsa bukannya gadis yang kosong-kosong dan bukannya gadis yang lemah.Dia mampu menumbangkan beberapa orang lelaki Letrazie perkasa dalam satu masa.Keampuhannya bertarung tidak boleh disangkal lagi.Mereka sendiri pernah menyaksikan ketangkasan Elsa di dalam medan tempur.Oleh kerana itu, dia dilantik menjadi ketua batalion A.S.T. Di dalam dunia Hyperserv, hanya bangsa Letrazie yang memiliki sistem ketenteraannya sendiri lengkap dengan nama khas unitnya.
“Baik.Esok pagi di gelanggang tempur.Kita lihat siapa yang menumbangkan siapa.” Elsa menyahut cabaran.Yazaid juga bukan calang-calang orangnya.Dia juga memiliki keampuhannya tersendiri di dalam bertempur.Dia adalah penyambung legasi Rayfall.Tidak mungkin dia akan ditewaskan oleh ciptaan Rayfall.Bermegah-megah dengan kekuatan pasti akan mengundang kekalahan.Menongkah angin naik ke angkasa namun apabila menyembah bumi pasti hancur sama sekali.Itulah ibaratnya ego.Itulah istilahnya bongkak dan takabur.Bermegah dengan kekuatan diri sendiri ternyata bertentangan dengan ajaran Islam yang lebih menekankan aspek merendah diri dan memulangkan semula setiap kelebihan kepada-Nya.Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya juga kita akan kembali.
“Yazaid.” Imbauan ingatan Yazaid bersepai.Jaluran ingatannya bertebaran umpama ditiup angin.Dia tersentak apabila ada satu suara yang menegurnya.Pantas dia berkalih.Kelihatan Tyrel datang menghampirinya.Keluhan kasar terhembus.
“Maafkan aku, Tyrel.Kerana bersikap kurang sopan.” Yazaid menundukkan pandangan.Leo telah menceritakan segala-galanya.Dia tersilap perkiraan.Tersalah sangka kepada bangsa Letrazie yang dianggap sebagai musuh.
“Tidak mengapa, Yazaid.Tentang aku, kau jangan risau.Sepatutnya kau minta maaf pada Elsa.” Tyrel menempatkan dirinya bersebelahan Yazaid.Cahaya menyinari persekitaran disini ternyata memberikan ketenangan.Kesunyian malam menambahkan lagi suasana harmoni.
“Elsa.Perempuan yang berlagak tu?” Yazaid ketawa kecil.Memandang rendah terhadap ‘lawannya’ yang bakal digempur keesokan hari.Baginya, Elsa hanya seorang gadis biasa.
“Dia bukannya perempuan berlagak, Yazaid. Sifatnya memang pantang dicabar. Lagipun, dia bukan calang-calang.Kau yang cabar dia.Hanya kau yang boleh tarik balik cabaran tu.” Tyrel kedengaran agak mengeluh.Memandang ke arah Yazaid dengan harapan lelaki itu akan mendengar nasihatnya dan memohon maaf kepada Elsa.
“Sekali aku melangkah, aku takkan berpatah balik.Biar aku ajar dia.” Yazaid menongkat ego tinggi melangit.Meyakini bahawa dia akan menumbangkan Elsa dengan mudah sekali.Tyrel kelihatan hampa lalu meninggalkan Yazaid berseorangan di situ.Yazaid tetap betah disitu menikmati pemandangan malam.Menghuraikan segala kekusutan yang menyesakkan akal mindanya kala ini.Namun tanpa disedari olehnya, ada sepasang mata memerhatikan gerak-gerinya dari kejauhan.Langsung tidak menampakkan susuk tubuhnya.
Masa semakin berganjak.Rembulan bersedia untuk kembali ke tempat asalnya.Mentari mula menyinari di ufuk timur.Biasan cahayanya menerbitkan garis merah yang kelihatan indah dan menenangkan.Suasana sejuk sehingga menerbitkan kabus menghiasi suasana perkampungan Letrai Bay.Dikejauhan, kelihatan lautan yang terhampar luas.Teluk itu sering kali menjadi lokasi riadah bagi bangsa ini untuk beristirehat selepas penat mengerah tenaga untuk bekerja.
Namun, hari ini teluk itu kelihatan sedikit lengang.Begitu juga dengan kawasan lapang berhadapan dengan patung arca bangsa itu.Laluan pejalan kaki juga tidak terkecuali.Pagi ini bukan seperti kebiasaan.Suasana agak lengang.Setiap hari, laluan pejalan kaki dan serata kawasan sudah mula sesak seawal pagi lagi.Masing-masing memulakan urusan masing-masing pada awal pagi.Kebanyakannya mereka bekerja.Ada yang berniaga, ada yang masuk ke hutan mencari sumber hutan yang boleh diperolehi dan ada juga yang masuk ke hutan untuk berburu.Mereka masih menggunakan sistem pertukaran barang di dalam urusan sehari-hari.Namun, hari ini dirasakan berlainan sekali.Suasana lengang di persekitaran ini namun tidak pada gelanggang tempur yang berada di pinggir perkampungan itu.
Hampir keseluruhan penduduk berkumpul di gelanggang tempur milik A.S.T. Kebiasaannya mereka menjalani latihan disini setiap hari.Penduduk-penduduk bangsa itu memenuhi ruangan sekeliling gelanggang itu.Suara mereka bertingkah-tingkah antara satu sama lain menjadikan suasananya gamat dan riuh.Hari ini mereka akan menyaksikan pertempuran paling bersejarah di dalam hidup mereka.
Ilyas, Marshall dan Elizia ditempatkan di tempat khas untuk tetamu istimewa.Mereka mendapat tempat duduk di bahagian paling hadapan sekali.Tyrel dan Leo juga turut menemani mereka.Menyaksikan pertempuran yang mungkin akan meruntuhkan ego Yazaid ataupun sebaliknya.
Elizia resah.Dahinya berkeringat.Jantungnya berdegup pantas.Pandangannya meliar pandangan mencari-cari kelibat Yazaid namun tidak kelihatan.Dia menjadi risau apabila Yazaid bertindak sebegitu rupa malam tadi.Seolah-olah dia sengaja menempah maut dan menyarungkan tali gantung ke lehernya sendiri.
Bangsa Letrazie ini kelihatan berhemat terhadap mereka bahkan mereka disambut tanpa rasa curiga mahupun sangsi.Malahan, mereka disambut dengan meriah.Jamuan khas diadakan pada malam semalam sempena meraikan kehadiran mereka ke perkampungan itu.Namun, tindakan Yazaid dianggap sebagai kurang sopan dan tidak beradab.Tidak menghormati mereka selaku tuan rumah.Oleh kerana tuduhan tidak berasas, Yazaid mencabar salah seorang pahlawan bangsa ini dengan harapan dapat menundukkan Elsa dan mengaku silapnya kerana menyerang hendap mereka pada malam tempoh hari.Ego yang tidak sudah-sudah.
Yazaid mempersiapkan diri di bilik persalinan khas yang telah disediakan.Tiada sebarang protokol khas di dalam etika berpakaian ketika bertempur.Yazaid cukup mengenakan pakaiannya sehari-hari.Dia sedang melakukan gerakan pemanasan badan.Meregangkan setiap sendi dan otot.Sudah agak lama dia tidak beraksi.Hari ini menjadi sejarah buatnya.
Setelah agak lama disitu, telinganya mendengar sorakan dari luar.Riuhnya gegak gempita seolah-olah sedang meraikan sesuatu.Yazaid mengerutkan dahi.Tidak lama kemudian, daun pintu bilik itu dikuak dari luar.Seorang bangsa Letrazie muncul dihadapan muka pintu.
“Yazaid, sila ke gelanggang.Pertempuran bakal bermula.Mari saya iring keluar.” Bangsa ini masih menunjukkan hematnya walaupun dia mengetahui Yazaid yang mencabar Elsa terlebih dahulu.Tindakan itu dianggap sebagai angkuh dan tidak berwibawa.Yazaid melepaskan keluhan kasar lantas melangkah keluar.Jantungnya berdegup pantas.Darah menerpa di setiap urat sendi di dalam tubuhnya menandakan dia sudah bersedia.
Apabila Yazaid muncul di gelanggang, sorak-sorai bergempita lagi seolah-olah bersorak kepadanya memberikan semangat.Yazaid mengitari pandangan.Jumlah penduduk yang menyaksikan pertempuran bersejarah ini ternyata agak ramai.Yazaid menapak perlahan sehingga ke tengah gelanggang lalu menghadap ke arah sebuah pentas astaka yang dilengkapi dengan kerusi dan khemah khas yang dibina disitu.Tempat itu kelihatan agak mewah dan penuh beristiadat.Dia yakin, itu adalah tempat untuk ketua kepada bangsa Letrazie ini.
Sangkaannya tepat apabila seseorang muncul dari tepi khemah itu lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi itu.Dia mengenakan pakaian yang agak kasual dan ringkas namun wajahnya serius dan kelihatan tegas.Janggut pada dagunya agak panjang sehingga mencecah paras pinggang dan berwarna putih keseluruhannya.Rambutnya panjang dilepaskan mengurai melepasi paras bahu dan juga berwarna putih.Pengiringnya pula menempatkan diri di bahagian belakang kerusi itu.Yazaid tetap berdiri tegak menghadap lelaki tua itu.
Nafasnya kedengaran agak kasar.Sinaran mentari semakin meninggi dan membahang.Panasnya tujahan mentari sepanas hatinya.Hatinya masih membengkak apabila Elsa tidak mengakui kekhilafannya menyerang hendap mereka pada malam itu sehingga menerbitkan perkelahian.Amarah di dalam hati sengaja dibangkitkan.Menggelegak umpama aliran lava yang memusnahkan apa sahaja yang berada di dalam laluannya.
Lelaki tua itu bangkit berdiri dan mengangkat kedua-dua tangannya.Serta-merta suasana menjadi sunyi sepi.Sorak-sorai penduduk mula mengendur.
“Hari ini, pertama kali di dalam sejarah.Bangsa manusia akan bertempur dengan bangsa Letrazie.Gelanggang ini menjadi saksi kepada perlawanan persahabatan ini.Mengukuhkan lagi pertalian persahabatan yang sudah terjalin sekian lama.” Lelaki tua itu berucap lantang.
“Yazaid! Pahlawan dari kalangan bangsa manusia.Sahabat kita.” Lelaki tua itu merujuk kepada Yazaid yang berdiri tegak di tengah-tengah gelanggang.
“Elsa! Pahlawan dari kalangan bangsa Letrazie.Kekuatan kita.” Lelaki tua itu mengunjurkan tangan ke belakang Yazaid lantas Yazaid menoleh ke belakang.Kelihatan seorang gadis anggun memasuki arena pertempuran dengan langkah yang tenang namun tampak berbisa.Setiap langkahnya menerbangkan debu-debu tanah.
“Saya! Kapten Zayyan! Dengan ini, memberi izin untuk perlawanan persahabatan ini diteruskan.” Semua mata tertumpu kepada Kapten Zayyan.Yazaid menoleh ke belakang menghadap lawannya.Pedang terselit kemas dipinggangnya ditarik keluar dan digenggam erat.Elsa tidak membuat sebarang pergerakan mahupun persediaan.Sekadar memandang tajam ke arah Yazaid.
“Mulakan!” Kapten Zayyan memberi isyarat.Serentak itu juga, sorak sorai penduduk kembali bergempita.Yazaid tidak menungga lama.Lonjakan kaki kanannya menolak tubuh terawang ke udara menerpa ke arah Elsa.Wajahnya membengis.Bersedia untuk menetak tubuh lawannya.Kilauan mata pedang itu ternyata menyilaukan pandangan.Sorak sorai penduduk bergemuruh.Tetakan membelah angin.Geseran besi dan angin mengeluarkan bunyi yang berdesing.Ternyata gerakan Yazaid juga bukan calang-calang.
Elsa hanya sekadar mengelak ke tepi apabila tetakan pedang Yazaid menghampiri bahagian kepalanya.Pedang Yazaid membelah angin dan menetak tanah.Debu tanah berselerakan dan terawang di udara.Bunyi dentuman kedengaran.
Ilyas, Marshall dan Elizia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Yazaid namun tidak pada Tyrel dan Leo.Mereka berdua lebih menumpukan perhatian kepada Elsa.Cuma getaran hati mereka sahaja yang berbeza.
Pertembungan persahabatan ini ternyata menjadi rentetan peristiwa yang bakal tercatat di dalam lembaran sejarah bangsa Letrazie.Pertempuran di antara Yazaid dan Elsa.Yazaid dari kalangan bangsa manusia selaku penyambung legasi Hyperserv dan Elsa dari kalangan bangsa Letrazie yang menghormati dan menyanjung bangsa manusia.Semuanya kerana sebuah peristiwa sejarah yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat bangsa ini.
[To Be Continued >> Server 41]
ns 15.158.61.44da2