SERVER 28
Hutan terpencil jajahan Fin Del Mundo, HyperServ
Kepala Fared terasa memberat seolah-olah terdapat batu yang besar ditindih tepat diatas umbun-umbun kepalanya.Terasa berdenyut-denyut.Dia cuba meraih perkara terakhir yang diingatinya.Sedikit demi sedikit imbauan menerjah fikiran.Kali terakhir dia berada di perhutanan sempadan di antara jajahan Fin Del Mundo dan Viento.Terdapat hentakan kasar menepati pada lehernya membuatkan tubuhnya longlai dan rebah ke bumi.Itu sahaja perkara yang dapat diingati oleh Fared.
Lantas dia bangkit namun pergerakannya terbejat dek kerana bisa yang masih menjalar di dalam setiap urat sendi.Dia merasakan tubuhnya bergoyang dan terhuyung-hayang.Seolah-olah dunia berputar ligat.Terasa terbuai-buai.Apabila matanya mulai cerah dan akalnya kembali normal, dia mengamati persekitaran.
Dia berada di dalam sebuah sangkar yang diperbuat daripada kayu-kayu hutan disitu.Kayu yang digunakan untuk membuat kurungan sangkar ini berwarna kemerahan.Fared memandang ke luar sangkar.Aneh.Pandangannya mencarupi pemandangan dari atas puncak pokok.Dapat mengapai pemandangan yang jauh sejauh mata memandang.Belantara tebal menghiasi pemandangan matanya.Aneh sekali.Dia menapak perlahan ke palang-palang kayu dan melihat ke bawah.Matanya terbuntang.Terasa jantung direntap kasar.
Fared memegang palang-palang kayu yang dijadikan kurungan.Sangkar ini tergantung tinggi dan jauh dari tanah.Apabila diamati, sangkar kayu ini digantung dengan menggunakan akar kayu yang menjalar bersaiz tipis namun ketahanannya agak ampuh dan mampu menampung beban yang berat.Sangkar kayu ini sahaja memperlihatkan ciri-ciri ketahanan yang cukup tinggi.Fared menelan liur namun dia tidak mudah melatah.Sebelum membuat apa-apa tindakan dan keputusan, dia lebih gemar berfikir sebelum bertindak.Dia melihat-lihat dirinya.Sekali lagi dihambat kejutan apabila dia langsung tidak bersenjata.Sehelai sepinggang.Dia menelan liur buat sekian kalinya.Dia benar-benar dihambat kejutan.Sangkar kayu itu terbuai-buai apabila disapu angin lintang.Pantas Fared meniarap di lantai sangkar.Kecut perut dibuatnya.Pelbagai andaian yang singgah difikirannya.Mungkin sangkar ini akan jatuh dan nyawanya juga terlerai dari tubuh.Mungkin ada pemangsa kanibal dunia ini yang menangkapnya untuk dijadikan hidangan malam nanti.Pelbagai andaian menusuk-nusuk benaknya.
Tanpa berfikir panjang, Fared menggagahkan diri.Dia menelentangkan tubuh dan merentangkan tangan menahan diri di lantai sangkar serta membengkokkan kedua-dua kakinya.Dengan sekuat tenaga, dia menendang-nendang palang kayu sangkar kurungan itu.Sangkar kurungan bergegar buat beberapa kali namun tidak menunjukkan hasil yang positif sehingga kudratnya lemah.Fared terlentang keletihan.
“Siapa punya angkara.Bajingan!” Fared melepaskan amarah sendirian.
Setelah lelahnya mulai pulih, dia menyambung lagi tendangan pada palang yang sama.Kudratnya tidak segagah sebelumnya.Seolah-olah tenaganya diserap sebanyak yang mungkin.Semakin kuat dia mengerah tenaga, semakin lemah dan longlai tubuhnya.Akhirnya, dia kecundang lagi.Kini nafasnya tercungap-cungap lebih pantas dan mengah yang teramat.Terasa usahanya sia-sia belaka.Palang-palang kayu yang ditendang sekuat tenaga langsung tidak meninggalkan kesan bahkan sedikit retakan pun tiada.Memang benar-benar kukuh.
Dalam keletihan, Fared mengesot ke tepi sangkar.Meninjau-ninjau persekitaran dibawah sana.Hanya semak belukar dan puncak pokok yang kelihatan namun tidak ternampak pada dasarnya.Sangkar ini digantung pada paras yang cukup tinggi.Jika terlepas ke bawah pasti berakhir dengan maut sama sekali.
“Fared! Fared!” Terdengar sayup-sayup kedengaran namanya dipanggil.Fared tertoleh-toleh mencari empunya badan yang memanggil namanya.Puas pandangannya merayap segenap penjuru namun tidak ketemu.Dia mengerutkan dahi.
“Fared! Sini! Sini!” Sekali lagi namanya dipanggil.Kali ini Fared mengecilkan matanya memandang ke satu arah yang dipercayai arah suara itu datang.Dari kejauhan di bawah sana, terdapat dua lagi sangkar kurungan mirip dengan kurungan dimana Fared berada sekarang.Kelihatan dua orang yang berada di dalamnya.Seorang lelaki dan seorang perempuan.Diamati sepenuh perhatian.Keringat mula berjejeran.Ternyata lelaki itu adalah Ismail dan perempuan itu adalah Kirin.Ismail kelihatan melambai-lambai tangan kanannya ke arah Fared manakala Kirin sekadar menjengah ke atas sambil kedua-dua tangannya memegang sangkar.Kedua-dua sangkar itu terletak di atas tanah.Fared merengus kasar.Dia tertanya mengapa hanya sangkar kayunya sahaja yang tergantung jauh tinggi dari tanah.Hatinya merusuh.Jika dia mengetahui siapa punya angkara, pasti lumat dikerjakan.Sedikit simpati pun tidak akan dibenarkan singgah dihati.Hatinya membengkak.Terasa tidak adil.
Secara tiba-tiba, sangkar kayu Fared bergegar.Sangkar itu terhuyung-hayang.Semakin lama, semakin merendah.Sangkar kayu itu diturunkan oleh seseorang.Perlahan-lahan menghampiri hamparan bumi.Permukaan tanah semakin jelas kelihatan.Fared sekadar memegang palang-palang kayu sangkar yang cukup utuh itu.Dia tidak mampu mengambil apa-apa tindakan.Semakin dia meronta, tubuhnya semakin lemah.Semakin dia melawan, dia semakin kehilangan kudrat.Umpama kayu-kayu yang digunakan untuk membina sangkar itu meresap seluruh tenaganya dengan pantas jika mangsa kurungan cuba untuk meloloskan diri.Akhirnya, Fared sekadar mengerah idea.
Kurungan Fared menyentuh tanah namun tidak kelihatan sesiapa pun di kawasan itu.Kurungan Ismail dan Kirin hanya beberapa meter sahaja dari kurungannya.Fared semakin longlai.Tenaga yang hilang tidak mudah untuk dijana semula.Ia memakan masa yang agak lama untuk pulih dan cergas semula.Anak matanya mengitari pandangan.Mengamati persekitaran.
“Fared! Sini! Sini!” Ismail melambai-lambai tangannya ke arah Fared.
“Iyaa...aku nampaklah.Tak payahlah jerit.” Fared meningkah.Ismail menunduk sedikit sambil telapak tangan kanannya menutup mulut.Kirin sekadar menjadi pemerhati.
Anak mata Fared meneliti setiap apa yang dicarup oleh pandangannya.Dia mengamati persekitaran sekeliling.Aneh baginya.Hampir setiap hidupan di permukiman ini berwarna merah yang pelbagai tona.Bahkan, setiap pokok yang hidup di kawasan ini juga berwarna merah dengan tona cerah.Kayu pokok bermula dari akar sehingga ke dahan berwarna merah hati yang agak gelap.Dedaunannya juga berwarna merah namun memiliki tona yang cerah.Urat daunnya berwarna merah pekat.Tanah disini juga berwarna merah coklat.Percampuran warna dari warna coklat asal tanah dengan warna merah hati.Mengerut juga dahi Fared memikirkan tumbuhan disini.Dia yakin, bahan asas kayu untuk dijadikan sangkar kurungan ini juga berasal dari pokok yang tubuh meliar dipersekitaran ini juga memandang warnanya juga sama.
“Aku mendapat tahu, kalian mencerobohi jajahan kami.Benar?” Kedengaran suara serak-serak parau menegur mereka bertiga yang masih di dalam sangkar kurungan.Ketiga-tiga mereka menoleh serentak ke arah suara itu.
Fared, Ismail dan Kirin agak terkejut melihat penampilan empunya suara.Kelihatan sekumpulan penduduk kampung mengerumuni kawasan itu.Mereka muncul dari semak belukar yang entah dari mana.Salah seorang dari mereka berjalan paling hadapan.Kelihatan tersangat tua sehingga bongkoknya seolah-olah orang menundukkan badan ke hadapan dan tangan kanannya memegang sebatang tongkat.Apa yang membuatkan mereka terkejut bukanlah kemunculan penduduk kampung disitu secara tiba-tiba tetapi apa yang mengejutkan adalah penampilan mereka.
Seluruh penduduk kampung itu memiliki warna kulit yang sama iaitu berwarna merah hati bertona cerah.Telinga meruncing ke atas.Hidung tidak mempunyai tulang pada bahagian tengah.Jari-jemari mereka hanya ada empat jari sahaja bagi satu tangan.Empat jari di tangan kanan dan empat jari di tangan kiri.Masing-masing berpakaian agak pelik seolah-olah berpakaian ritual dan memuja-muja sesuatu.Mata mereka hitam keseluruhannya dan merah gelap berbentuk runcing tajam umpama mata seekor kucing berada ditengah-tengah.Gigi mereka runcing tajam dan bergerigi.Lidah mereka mempunyai cabang.Tercengang Fared melihat makhluk yang berada di hadapan mereka.
“Aku masih menunggu jawapan.Benar kalian menceroboh jajahan kami disini?” Makhluk yang paling tua dikalangan mereka menghampiri kurungan Fared.Bagi makhluk aneh itu, diantara kalangan mereka bertiga semestinya Fared yang mengetuai memandangkan Fared kelihatan lebih matang dan bertubuh sedikit kekar berbanding Ismail.
Ismail dan Kirin sekadar memandang dari dalam sangkar kurungan mereka tanpa meningkah apa-apa.Fared menelan liur.
“Eerr..tidak.Kami hanya melalui kawasan ini.Menuju ke satu tempat bernama..eerr..” Fared kehilangan kata.Dia terlupa nama destinasi mereka akibat dihambat kejutan yang aneh.
“Selatan Fin Del Mundo.Kami mencari...” Kirin mencelah.
“Diam!Aku tak bertanya pada kau!” Entah bagaimana, suara serak parau makhluk yang kelihatan lebih tua berbongkok itu bertukar gema yang membingitkan.Tanah terasa bergetaran akibat dengungan yang memetir.Kirin menekup kedua-dua telinganya akibat terkejut.Ismail tertiarap di lantai kurungan.
“Kau! Jangan biadap.Aku bertanya pada kau, bukan kawan-kawan kau.Kau yang harus menjawab.Bukan mereka.” Makhluk berbongkok itu berpaling memandang Fared semula.
“Kenapa kau tanya aku?” Fared meningkah antara berani dan tidak.
“Sebab kau ketua mereka.Dalam perkumpulan kau, kau lebih matang.” Makhluk tua berbongkok itu membidas.
“Aku bukan ketua mereka.Tiada istilah ketua di antara kami.Kami saling memerlukan.Kami bersahabat.Bergalas bahu bersama-sama.” Fared menyatakan pendiriannya.
“Aku bukannya budak hingusan, wahai manusia.” Makhluk tua berbongkok berpaling ke belakang.Bercakap dengan pengikutnya yang kelihatan lebih perkasa dan tegap tubuhnya.Mereka berbicara dalam bahasa yang tidak difahami.Lantas, makhluk tua berbongkok berpaling semula ke arah Fared.
“Malam ini, kami akan mengadakan ritual korban kepada Crone Naga Batu.Kalian, akan dijadikan sembahan kepada Crone Naga Batu.” Habis bicara, makhluk tua berbongkok pantas berkalih dan meninggalkan mereka.Sebahagian pengikut-pengikutnya mengekori makhluk yang dianggap penghulu disitu dan sebahagian lagi menarik ketiga-tiga sangkar kayu ke satu tempat persiapan ritual untuk malam nanti.Ismail dan Kirin kecut perut mendengar perkataan ‘korban’. Fared mengerah akalnya yang terbejat.Akalnya umpama berkarat.Langsung tidak mampu berfikir apa-apa atau cara untuk melarikan diri.Segala usahanya umpama di kunci oleh kurungan kayu itu.Seolah-olah ada tenaga luar biasa.
Makhluk-makhluk itu tidak banyak bertingkah.Berbual sesama mereka pun tidak.Fared melihat mereka dengan penuh kehairanan.Sangkar kurungan mereka disusun secara bersebelahan namun dalam lingkungan jarak beberapa meter.Kelihatan tiga ekor makhluk bangsa itu berjaga di setiap kurungan.Senjata mereka agak unik.Ianya umpama lembing namun diperbuat daripada besi dengan rekaan moden dan unik.Apa yang menariknya, bilah lembing itu dilengkapi dengan sebilah pedang di bahagian bawah hujung lembing bersambung sehingga ke pemegang hulunya.Lebih menarik lagi, bilah yang tajam itu kelihatan menyala merah membara.Ianya seolah-olah dipanaskan dan melebur namun tidak pula mencair.
Malam mula mengambil alih tugasnya.Tirai kegelapan mula diturunkan perlahan-lahan.Mentari kembali beradu.Dua bulan perlahan-lahan menonjolkan wajah masing-masing di angkasa bumi Hyperserv ini.Dada langit dihiasi kerdipan bintang-bintang.Fared dan Ismail melangoi ke atas memandang keindahan malam.Mereka terlupa seketika bahawa keindahan yang disaksikan itu hanyalah sekadar tiruan semata-mata.Ianya adalah hasil ciplak dari ciptaan Allah yang lengkap serba-serbi dari dunia realiti.Ternyata tiada yang sempurna melainkan Allah yang kekal abadi selamanya.Tiada permulaan dan tiada pengakhiran.Dialah selama-lamanya.
“Fared..Kita akan mati malam ni? Aku tengok, makhluk tu semua macam..kanibal.” Ismail mengeluh.Bulu romanya merinding.Takungan matanya mula bergenang.Dia terlalu merindui keluarga tercintanya.Sejak Hyperserv mengunci sistemnya dahulu, dia langsung tidak berupaya melakukan apa-apa bahkan terputus hubungan dengan dunia luar.Kirin telah menceritakan salasilah penuh tentang dunia ini.Apa yang terjadi diluar sana pun, tiada siapa yang tahu.
“Entah..Aku pun pening ni.Kayu-kayu ni.Benda ni macam serap tenaga aku bila aku melawan.Semakin kuat aku melawan, semakin banyak tenaga aku hilang.” Fared kebuntuan.Kali ini benar-benar buntu.
Dikejauhan, kedengaran riuh-rendah mengamatkan suasana.Api menjulang besar.Walaupun ianya terselindung dari balik pokok-pokok yang merimbun namun cahayanya mampu dilihat sehingga ke sangkar kurungan mereka.Ismail menelan liur.Fared mengerutkan wajah.Kirin banyak mendiamkan diri tanpa bersuara sejak awal lagi.Mereka benar-benar terhambat kali ini.Namun, kali ini mungkin lebih merbahaya.
Tidak lama kemudian, sekumpulan makhluk bangsa itu datang ke perkarangan kurungan.Berbondong-bondong mereka mengerumuni kurungan.Dari antara celah-celah mereka, muncul makhluk tua berbongkok itu.Penampilannya tidak ubah seperti penghulu dukun penyembahan.
Penghulu tua berbongkok itu berkata-kata dalam bahasa yang tidak difahami kepada tiga ekor penjaga sangkar.Sesekali mereka terangguk-angguk dan memandang sekilas ke arah Ismail dan Kirin.Manakala makhluk tua berbongkok itu memandang Fared agak lama sambil bibirnya berkata-kata memberi arahan.Raut wajahnya kelihatan tegang.Letupan api bergulung-gulung dari kejauhan mula kedengaran.
Tanpa amaran, dua daripada penjaga kurungan mendapatkan Kirin dan Ismail.Kirin tidak banyak meningkah.Mahu melawan juga tidak mampu umpama sudah menyerah nyawa.Tangan diikat kebelakang dan seutas tali diikat di leher yang hujungnya dipegang oleh dua orang penjaga.Ia bertujuan menjerut leher mangsa jika mangsa cuba melawan.Namun, tidak pada Ismail.Dia tidak mengalah.Ismail cuba melawan.Dipraktikkan ilmu persilatannya.Dua penjaga kurungan itu tersungkur jatuh.Dua jatuh, tiga datang menghadap lalu dua yang jatuh kembali bangkit.Ismail berhadapan lima musuh dalam satu masa.Kali ini, tiga penjaga tambahan kelihatan lebih tangkas.Akhirnya, Ismail tewas.Tubuhnya dihempas-hempas ke tanah.Diperlakukan seumpama binatang.Darah tersembur keluar dari mulutnya akibat hentakan kuat.Fared mengetap bibir menahan amarah.
Pintu kurungan Fared ditolak dari luar.Beberapa makhluk masuk ke dalam mendapatkan Fared dan diikat seperti Kirin.Ismail ditambat pada sebatang kayu lalu diusung.Mereka bertiga diarak sehingga ke pertengahan perkampungan mereka.Fared meliarkan pandangan.Memandang sekeliling.Hanya kegelapan malam menghiasi suasana.
Setiba ditempat yang dikatakan lokasi pengorbanan, Ismail dan Kirin didudukkan ditempat khas.Ianya sebuah platform kayu.Fared pula dibawa berhadapan dengan gulungan api yang menjulang-julang.Terasa bahang panas menampar wajah.Dahinya berkeringat.
Makhluk tua berbongkok mendekati Fared.Tali yang mengikatnya dileraikan.Fared kehairanan.
“Kau akan bertempur sampai mati.Kau pembuka ritual Crone Naga Batu.” Ternyata ianya memeranjatkan Fared.Ismail tercopong.Kirin memandang sayup.Tragedi berdarah bakal tumpah pada malam ini.Pengorbanan diperlukan.
>>Bersambung [Server 29]
ns 15.158.61.17da2