Gua Grotte Bardtan, Fuego, HyperServ
154Please respect copyright.PENANAKiTaDFYhEI
Tidak seperti permukaan atas bumi Hyperserv ini, suasana disini jauh lebih menyeramkan dan suram. Bunyi-bunyian makhluk yang aneh bersilih ganti dikelilingi dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan yang boleh dianggap pelik sama ada dari segi warna mahupun rupa bentuknya.
Namun pada hari ini ternyata berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Makhluk bangsa Valkazar berbondong-bondong mengerumuni di satu pintu gerbang yang agak besar tidak jauh dari istana Raja Raa. Dibarisan paling hadapan kelihatan beberapa makhluk yang bertubuh lebih sasa termasuk Raja Raa sendiri.Mereka merupakan antara pasukan-pasukan elit dikalangan bangsa ini.
Dan dari kalangan mereka, kelihatan satu susuk tubuh bersaiz manusia yang ternyata jauh lebih kecil dari makhluk Valkazar ini, Zaragas!
Walaupun tubuhnya jauh lebih kecil dari bangsa Valkazar yang lain namun keampuhannya melebihi bangsa itu sendiri. Zaragas mampu membunuh lebih dari sepuluh makhluk bangsa Valkazar dalam sekelip mata. Pergerakannya jauh lebih pantas dan pergerakannya umpama bayang.Sekilas lalu umpama angin.Sepintas lalu umpama cahaya. Tidak ada satupun dikalangan makhluk itu yang sanggup bertempur dengan Zaragas.
Satu gulungan api gergasi berlingkar-lingkar di udara lalu menjunam turun tepat di hadapan Raja Raa.Dari gulungan api yang berlingkar-lingkar dan marak itu bersatu menjadi satu susuk tubuh.
“Bagus kerja kau, Xeados.” Raja Raa memuji keupayaan Xeados selaku penjaga pintu masuk ke Grotte Bardtan.
“Aku telah perluaskan pintu gerbang ini untuk tuanku Raja Raa.” Xeados mengundur sedikit kebelakang membuka laluan ke arah pintu gerbang yang teramat besar itu.
Namun Raja Raa tidak berganjak. Dia mengangkat jari telunjuknya lalu dihayunkan ke hadapan. Daripada barisan hadapan tentera Raja Raa, salah satu pahlawan bangsa mereka terlambung ke hadapan dan terseret sehingga kaki Raja Raa.
“Kau! Maju ke gerbang itu dan keluar dahulu. Kau mendahului.” Raja Raa memberi arahan ringkas namun menjanjikan maut sekiranya diingkari.
Mahu ataupun tidak, salah satu pahlawan tentera Raja Raa hanya menurut tanpa kerenah.Dia melangkah kaki menuju ke gerbang itu sehingga tubuhnya betul-betul berada di pintu gerbang itu.Dia cuba melangkah meneruskan pacuan kakinya.
Belum sempat kakinya menginjak ke kawasan dalam, tubuhnya terlebih dahulu seolah-olah direnjat satu tenaga yang tidak kelihatan.Pahlawan terpilih Raja Raa itu mengerang kesakitan teramat sehinggalah tubuhnya mula mengembung lalu meletup.
“Benar. Dinding itu masih berpagar. Rayfall keparat itu benar-benar membina tembok yang sangat utuh. Menghalangi bangsa kita untuk bebas keluar.” Raja Raa menderam sendirian. Runaan dan Draxol yang berada bersebelahan Raja Raa hanya sekadar memerhati. Draxol menyoroti pandangan ke arah Zaragas.Dia mengerling pandangan ke arah lengan kanan Zaragas. Kelihatan ikatan kain kemerahan tanda perjanjian masih utuh berada ditempatnya. Ternyata perjanjian masih terikat kukuh tanpa terputus. Wajahnya menyerigai. Dendamnya membara.Jika mempunyai peluang untuk membunuh Zaragas, pasti tidak akan dilepaskan sama sekali.
Raja Raa mampir ke hadapan sehingga tubuhnya betul-betul berdiri di hadapan gerbang keluar bagi bangsa itu.Dia sendiri yang akan mencubanya kali ini. Runaan menghampiri Raja Raa.Bimbang jika berlaku apa-apa kepada raja mereka.Namun jauh disudut hatinya jika Raja Raa mati, dia akan merampas takhta pemerintahan bangsa Valkazar ini.
“Mari kita lihat, Rayfall. Sejauh mana kekuatan dinding yang kau bina ini mampu menahan aku kali ni.” Raja Raa mengacukan tombak tiga matanya itu ke arah gerbang yang terbuka luas. Sejurus dihayun ke hadapan, sambaran petir yang memekakkan telinga menyambar-nyambar ke arah pintu gerbang itu namun aliran renjatan itu tidak terarah ke dalam sama sekali.Seolah-olah ada dinding halimunan yang menghalanginya.
“Mari, Rayfall! Selama ini aku cuba beratus kali hasilnya tetap sama! Tetapi tidak pada hari ini, Rayfall!” Raja Raa seolah-olah melepaskan amarahnya.Kekuatan sambaran petir dari tombaknya menggegarkan tanah.Sambaran yang tersasar dari sasaran sesekali terkena pada barisan hadapan tenteranya sendiri lalu mereka terkena renjatan sekali gus maut disitu juga.
Beberapa ketika Raja Raa mencuba namun langsung tidak menggugah dinding halimunan itu.Akhirnya Raja Raa berhenti. Runaan menghampirinya.
“Tuanku, tuanku telah mencuba banyak kali tidak terhitung banyaknya. Hasilnya tetap sama, tuanku.Jika boleh, simpan tenaga tuanku.Pertempuran sebenar berada di atas sana.” Runaan menasihati raja mereka yang agung itu.
“Aku tahu.Aku sekadar mahu melepaskan amarah aku.Itu sahaja... Zaragas!” Raja Raa memanggil Zaragas dengan kasar. Sepantas kilat, Zaragas melompat tinggi lalu mendarat bersebelahan Raja Raa.
“Tugas kau, Zaragas. Bukakan pintu gerbang ini untuk kita semua. Kita akan bebas sebentar lagi!” Raja Raa menjulang tombaknya sekali gus memancar-mancar petir dari tombaknya. Tentera-tentera Raja Raa menjulang senjata masing-masing dan menghamburkan kuasa-kuasa elemen mereka merata-rata tanda semangat juang yang berpalu rancak.
Zaragas tidak banyak kerenah.Dia menapak perlahan menghampiri pintu gua itu.Sebaik sahaja tubuhnya tersentuh dinding halimunan itu, satu renjatan kuat mengena pada tubuhnya. Desiran seakan-akan bunyi renjatan elektrik dan dentingan seakan-akan bunyi rantai dipalu bertalu-talu bersatu menjadi satu bunyi yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Tubuh Zaragas bergetar namun tidak menggugah kakinya menunjang bumi. Wajahnya menyerigai. Liurnya berjejeran.Raja Raa hanya memerhati. Draxol dan Runaan terkedu. Makhluk dikalangan mereka yang jauh lebih besar saiz dan kudratnya ternyata akan mati jika terkena renjatan itu namun tidak pada Zaragas. Ternyata kekuatannya jauh lebih dari kebiasaan.Jauh lebih ampuh keampuhannya walaupun tubuhnya tiga kali ganda lebih kecil.
“Aaaaaaaaarrrggghhhhh!” Ngauman Zaragas bergema menggegar bumi. Batu-batu kecil yang berhampiran bertebaran. Raja Raa mengundur setapak kebelakang. Kelihatan Batu Valkarie yang berada di dahi Zaragas mula mengeluarkan cahaya kebiruan. Tanah disitu seolah-olah dilanda gempa bumi. Gegaran boleh dirasai sehingga ke permukaan. Pokok-pokok yang tumbuh di atas permukaan mula goyah dan ada sebahagian daripadanya telah tumbang.Tanah di bahagian permukaan atas Grotte Bardtan seolah-olah digembur-gembur.Meledak disana-sini.Ternyata dinding yang memisahkan dunia permukaan Hyperserv dengan makhluk pemusnah Valkazar sangat ampuh dan utuh.Namun tidak pada hari ini. Mereka cuba mencipta sejarah hanya kerana dua manusia yang berlagak angkuh terjerat di dunia mereka dan mereka menungganginya.Tidak ubah seperti syaitan yang direjam.Sentiasa menunggangi anak-anak Adam yang kufur dan berpaling dari Allah S.W.T.Akhirnya, golongan ini akan tercampak ke dalam neraka Jahanam yang sudah disediakan untuk mereka.
Tidak semena-mena, dinding halimunan itu berkecai seribu.Seolah-olah serpihan-serpihan kaca bertebaran jatuh ke tanah dalam keadaan berjumlah yang tidak terkira banyaknya lalu serpihan itu menghilang. Zaragas mula melangkah masuk ke dalam gerbang itu.
Raja Raa pula mencuba.Dihulurkan tombaknya terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati.Apabila melihat tombaknya melepasi benteng itu, barulah Raja Raa cuba melangkah keluar.Kini tubuhnya berada di dalam laluan gua itu. Raja Raa tersenyum puas.Dinding halimunan yang menghalangi bangsa mereka kini sudah tiada.Lenyap sama sekali.
“Hahahaha!! Kau lihat, Rayfall! Benteng yang kau bina sudah tiada! Hari ini aku berkuasa! Kembali berkuasa di dunia kau ini! Kau dengar, Rayfall! Hahahaha!” Raja Raa tergelak besar dengan kejayaan pertamanya ini.Lalu diorakkan langkah bertenaga meneruskan perjalanan diikuti oleh Draxol, Runaan dan tentera-tenteranya yang bersorak sorai memacu semangat perang.
Zaragas mendahului perjalanan mereka.Raja Raa beberapa meter di belakang Zaragas. Wajahnya menyerigai. Seluruh tubuhnya mula mengalirkan arus elektrik bervoltan tinggi tanda keterujaannya untuk berperang.Sudah sekian lama dia tidak merasa darah berhamburan di permukaan bumi Hyperserv itu. Runaan memegang erat pedang bermata dua miliknya. Wajahnya terasa hangat sehingga mengeluarkan kepulan asap dan debu-debu lava.Keterujaannya mendahului keinginannya untuk memerintah Valkazar.
Pergerakan Zaragas terhenti.Anak matanya tertancap ke arah hadapan yang gelap gelita. Raja Raa dan yang lainnya juga turut terhenti. Raja Raa menghampiri Zaragas.
“Ada apa, Zaragas?” Raja Raa bertanya dalam bersiaga namun tidak disahut oleh Zaragas yang ternyata kejam dan buas. Anak matanya tertancap ke arah hadapan.
Dari balik kegelapan laluan gua itu, muncul satu susuk lembaga yang aneh rupanya.Tubuhnya hitam gemitam.Pergerakannya menjalar-jalar di dinding-dinding laluan gua itu namun tidak menyerang sama sekali.Makhluk itu sekadar melingkar-lingkar ditempatnya.
“Makhluk apa itu?” Runaan bersiaga.
“Runaan! Habisinya. Aku tidak mahu ada halangan dalam perjalanan kejayaan kita ini.Ayuh!” Arahan Raja Raa tidak boleh dirunding.Setiap bait katanya adalah mandatori.Keputusannya tetap tiada bantahan.
Sepantas kilat Runaan melonjakkan kakinya melepasi Zaragas jauh ke hadapan. Mata pedangnya bersinar-sinar kemerahan.
Runaan mencantas makhluk hitam gemitam itu menjadi serpihan-serpihan yang paling halus untuk dilihat dengan mata kasar.Pergerakan Runaan ternyata terlalu pantas.Dalam sekelip mata sahaja makhluk itu hilang dari rupa asalnya menjadi serpihan-serpihan halus.
Runaan mendarat dengan kemas.Pedangnya disisipkan kembali ke pinggangnya lalu membuka laluan kepada bala tentera Raja Raa.
“Bagus, Runaan.” Sekali lagi Raja Raa memuji keupayaan Runaan membereskan perintahnya namun kejayaan kecil itu tidak lama.
Secara tiba-tiba, satu tujahan senjata tajam menembusi tubuh Runaan tepat pada bahagian perut. Raja Raa terkejut.Ternyata senjata tajam itu datangnya dari serpihan-serpihan makhluk yang bersepai itu.Serpihan-serpihan itu bercantum semula sehingga menjadi susuk tubuhnya yang asal lalu senjata tajam yang menembusi tubuh Runaan bercantum dengan tangan susuk tubuh makhluk itu. Runaan mengerang kesakitan.Dia cuba menyerang dengan melibaskan mata pedangnya namun berjaya ditepis oleh makhluk itu.
Runaan dilemparkan ke arah hadapan Zaragas yang berdiri diam sekadar memerhati.Runan mengalami pendarahan yang agak teruk namun sembuh dengan pantas.
“Kalian! Bangsa Valkazar! Hapus!” Makhluk itu bersuara garau.
“Kau siapa, wahai makhluk terkutuk!” Raja Raa bertanya dalam intonasi menghina.Tombaknya sentiasa bersedia walaupun sekadar tersisip disisinya.
“Nama aku, Djasuk. Kalian tidak dibenarkan melepasiku.” Makhluk hitam gemitam itu menderam-deram.Tubuhnya boleh berubah-ubah rupa bentuknya mengikut keinginannya.Dia hanya bergerak di dalam gelap berupa bayang-bayang.
“Apa kau yakin kau mampu menumbangkan aku? Siapa kau untuk menghalangi aku untuk keluar dari sini?!” Raja Raa sengaja memprovok makhluk itu supaya memulakan serangannya terlebih dahulu.
“Kau Valkazar! Tidak dibenarkan sama sekali menginjakkan kaki kalian di permukaan!” Djasuk merubah bentuk kedua-dua tangannya kepada senjata tajam.
“Oh, kau binatang tunggangan Rayfall. Berapa lama kau setia menunggu kehadiran aku disini? Apa kau tidak tahu Rayfall sudah mati?” Raja Raa menambah-nambahkan provokasinya terhadap makhluk itu.
“Aku hanya memikul amanah walau benar sekalipun tuan telah tiada.Amanah tidak akan mati sehingga aku yang mati.” Djasuk bersedia untuk menggempur.
“Jika begitu, kau akan mati disini... Runaan!” Raja Raa bertempik. Tanpa berlengah, Runaan menghunuskan mata pedangnya ke arah Djasuk dengan niat membunuh.Pergerakannya sepantas kilat tidak mampu diekori oleh anak mata manusia biasa.
Pertempuran berlanjutan seberapa lama.Dentingan besi bertemu besi membingitkan anak telinga. Draxol hanya memerhatikan pertarungan itu dari kejauhan.Dia tidak menafikan bahawa panglima bangsa Valkazar itu cukup hebat dan ampuh.Ketangkasannya cukup ligat namun tidak kurangnya Djasuk. Makhluk hitam gemitam itu seolah-olah mampu meniru setiap teknik yang dilancarkan oleh Runaan. Setiap cantasan ditangkis dengan kemas.Setiap hunusan mata pedang diserongkan sasarannya.
Akhirnya, Runaan sendiri cedera parah namun tidak pada tubuh Djasuk. Runaan berdiri dalam keadaan terketar-ketar meskipun dia mampu sembuh dengan pantas. Raja Raa membengiskan wajahnya yang sudah sedia menyerigai. Sambaran petir dilepaskan ke arah Djasuk namun langsung tidak mengena.Tubuh hitam gemitam milik Djasuk ternyata jauh lebih fleksibel.
“Kau Valkazar! Berundur kalian jika tidak mahu mati!” Amaran keras oleh Djasuk tidak diendahkan oleh Raja Raa lalu dia mengeluarkan sesuatu dari belakangnya.
“Runaan!” Raja Raa mencampak sebotol cecair berwarna kekuningan lalu disambut kemas oleh Runaan. Tanpa berlengah, Runaan menogak cecair itu.
Runaan mengeliatkan tubuhnya.Luka-luka pada tubuh Runaan mula bercantum semula lebih pantas dari biasa. Tenaganya pulih serta-merta.Tangan kirinya yang terputus mula tumbuh semula. Bahkan kekuatannya sepuluh kali ganda lebih tinggi dari sebelumnya. Runaan menyerigai bersedia untuk menyerang.Mata pedangnya kembali bersinar.Djasuk langsung tidak berganjak dari kegelapan itu.Runaan mula membuka langkah.
Belum sempat Runaan melonjakkan kakinya, terlebih dahulu Zaragas menghalangi Runaan lalu susuk tubuh kecil Zaragas bergerak ke hadapan mendekati Djasuk.
“Zaragas! Siapa suruh kau bergerak?! Tugas ini aku serahkan pada Runaan!” Raja Raa bertempik marah namun Zaragas bersahaja seolah-olah Raja Raa juga dia mampu tumbangkan dengan mudah. Langsung tidak gentar sama sekali. Cuma setianya pada Raja Raa tidak berbelah bahagi.
“Djasuk terlalu ampuh untuk Runaan.Biar aku selesaikan.Aku tak mahu buang masa disini menyaksikan pertempuran yang menjanjikan kekalahan.” Zaragas bersuara garau dengan suara yang berlapis-lapis.Bait katanya ternyata umpama sembilu yang memedihkan ulu hati Raja Raa.Jika diturutkan hatinya, mahu sahaja dia menamatkan riwayat Sang Zaragas itu namun dipendamkan hasratnya kerana Zaragas merupakan salah satu daripada barisan tenteranya yang paling ampuh selain Runaan.
“Kau makhluk kecil! Berundur kamu jika tidak mahu mati!” Djasuk memberi amaran keras. Bilah-bilah tajam muncul dari kedua-dua tangannya seperti tadi.
“Djasuk, berapa lama kau sudah berada disini?” Zaragas berhenti betul-betul dihadapan makhluk hitam gemitam itu.
“Sudah bertahun lamanya menunggu kemampiran kalian mendekati aku.” Djasuk tidak berselindung.
“Mahukah kau aku tawarkan satu tawaran?” Zaragas seolah-olah berunding dengan makhluk itu.
“Tiada rundingan dengan makhluk seperti kamu Valkazar! Mati buat kalian adalah tetap!” Djasuk bersedia untuk menyerang.Tubuhnya berlingkar-lingkar.
Dalam sekelip mata, Zaragas sudah melepasi sempadan Djasuk. Pergerakannya tidak mampu diekori mahupun bagi Raja Raa sendiri.Zaragas sudah berdiri disebelah sana melepasi Djasuk namun makhluk hitam gemitam itu tidak bergerak seolah-olah kaku lalu rebah menyembah bumi.Langsung tidak bergerak selepas itu.Tubuhnya seolah-olah mencair dan bersepai.
Runaan terbejat melihat kepantasan Zaragas.Matanya terbelalak.Ternyata Zaragas bukan lagi tandingannya malahan melebihi daripadanya. Jika sebelum ini, dia merupakan panglima teragung bagi bangsa Valkazar.Namun kini, takhta itu kelihatan memudar dan terpindah kepada Zaragas yang bertubuh lebih kecil dari bangsanya sendiri.
Makhluk yang seampuh Djasuk sahaja memerlukan masa untuk ditewaskan olehnya namun Zaragas hanya mengambil masa sekelip mata untuk menamatkan riwayatnya.
Tanpa berlengah, Raja Raa segera mengorakkan langkah angkuhnya meneruskan perjalanan. Runaan menapak mengikuti pergerakan Raja Raa dengan hati yang membengkak. Draxol menyedari perubahan itu namun hanya didiamkan sahaja. Dia perlu memasang strategi terlebih dahulu untuk menyingkirkan Zaragas yang ternyata lebih berkuasa dari bangsa Valkazar sendiri. Kini, Zaragas merupakan ancaman terbesar selain Raja Raa sendiri buat penghuni dunia Hyperserv mahupun manusia yang mendiami dunia realiti. Bala tenteranya semakin menghampiri permukaan menuntut kebebasan mereka dimana hakikatnya adalah kehancuran dunia.
154Please respect copyright.PENANA9Gq6gH6DM3
>> Bersambung Server 55
ns 15.158.61.17da2