Kawasan jajahan Fin Del Mundo, HyperServ
Perkampungan yang memberi igauan ngeri telah lama ditinggalkan.Perjalanan mereka bertiga menuju ke arah selatan.Bentuk muka bumi di permukiman ini ternyata memberikan satu cabaran buat mereka terutama bagi Kirin.Kudratnya agak terbatas memandangkan diantara mereka bertiga, hanya Kirin sahaja yang merupakan kaum Hawa.Meskipun gadis itu bukannya manusia yang berasal dari dunia realiti namun penciptaannya di dalam dunia ini mengambil konsep penciptaan kaum Hawa termasuklah bentuk tubuh, suara, wajah malahan termasuk kudratnya.
Mereka menyimpang dari laluan perjalanan asal.Kirin mengingati laluan di dalam seluruh perhutanan ini.Ingatannya kembali pulih sedikit demi sedikit selepas data Samsul menebak jantungnya tempoh hari yang membuatkannya tidak sedarkan diri.Tidak mustahillah mereka tidak pernah tersesat memandang Kirin dan Leo memiliki kelebihan itu.Mereka adalah manusia A.I yang tercipta bersama dunia Hyperserv ini.Namun, gambaran peta di dalam minda Kirin dan Leo ternyata hanya gambaran kasar dan bukannya gambaran semasa.Kewujudan perkampungan Red Forest menjadi tanda tanya kepada Kirin.Dia sendiri tidak mengetahui kewujudan perkampungan itu.Sama ada tidak dinyatakan di dalam peta yang wujud di dalam mindanya atau sememangnya disembunyikan kewujudannya.
Kawasan permukiman ini mempunyai gunung-ganang yang tinggi.Agak merbahaya untuk didaki.Mereka hanya menelusuri kaki gunung.Kepantasan perjalanan mereka agak perlahan memandangkan Ismail kelihatan masih lemah.Itupun dia berpaut pada bahu Fared sebagai ampu beban tubuhnya.Jika tidak dibantu, Ismail akan kerap terjatuh atau tersadung.
Perjalanan malam hari bukan sesuatu yang mudah.Hanya berpandukan api jamung yang dipegang oleh Kirin sahaja tidak mencukupi.Perkumpulan mereka ibarat harimau kehilangan taring.Meredah belukar tanpa bersenjata.Senjata Fared langsung tidak dijumpai.Kini mereka bertangan kosong.
Pandangan hadapan terlalu gelap.Hanya berpandukan cahaya dari api jamung dan sinaran rembulan.Mereka tiba di sebatang sungai yang cetek dan tohor.Fared semakin mengah dan letih.Ismail pula beberapa kali tersadung dan hampir jatuh.Menyedari situasi semakin larut malam, Fared memutuskan untuk beristirehat di kawasan itu.Kirin segera memacakkan api jamung dan membantu untuk mendudukkan Ismail di atas sebuah bongkah batu.Lantas, Fared segera mengutip kayu-kayu api di persekitaran itu sahaja dan unggun api dihidupkan.Apinya marak menyala-nyala menghangat tubuh yang semakin dicengkam kesejukan malam.
Sesekali nafas Ismail tercungap-cungap dan tersekat-sekat.Terasa sesak didada.Seperti ada sesuatu yang menolak-nolak dari dalam dadanya untuk keluar.Saluran pernafasan terasa sempit.Dadanya terasa tegang.Dia tidak pernah mengalami situasi seperti ini.Kirin cemas.Lantas Fared segera menuju ke arah tebing sungai dan mendapatkan air untuk Ismail.Air sungai ditadah menggunakan daun pokok yang bersaiz lebar cukup untuk seorang minum menghilangkan dahaga.Ismail meneguk sehingga kering.Oleh kerana tidak berdaya, Ismail baring terlentang menghadap dada langit.Kirin dan Fared tidak mampu berbuat apa-apa.Di dunia ini masih terlalu ‘mentah’. Mereka tiada sebarang ilmu berkaitan perubatan herba disini meskipun Fared merupakan penyambung legasi Hyperserv namun masih banyak yang di terokai.
“Saya hairan.Awak kata, awak pernah nampak harimau belang merah banyak kali.Dan dah banyak kali harimau tu selamatkan awak tetapi lepas tu...hilang macam tu saja.Kenapa?” Fared menghuraikan persoalan di mindanya yang lama terpendam semenjak kejadian di Red Forest tempoh hari.Kirin tidak pantas menjawab.Matanya menyelongkar isi dada langit malam yang gelap dan dihiasi bintang-bintang.
“Sejujurnya..saya pun tak tahu.Tetapi apa yang saya perasan, apabila saya di dalam kesusahan pasti harimau tu akan datang.Selepas tu...hilang...tanpa dapat dikesan.” Kirin mengeluh halus.Dia sendiri tidak pasti matlamat dan tujuan harimau berbelang merah dan bertanduk tempoh hari.Sudah beberapa kali dia terlihat kelibat harimau itu dan beberapa situasi dimana harimau itu jugalah yang menyelamatkannya.
“Itulah yang saya hairan.Saya tak pernah nampak spesis harimau tu sebelum ni.” Fared menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Kirin menoleh sekilas ke arah Fared.
“Spesis haiwan yang lain disini, awak pernah nampak ke di dunia manusia?” Kirin mengerling sinis kepada Fared.Tersenyum kecil.
Wajah Fared kemerahan.Terasa ada tangan ghaib menyinggah ke mukanya.Tersentak mendengar bait persoalan dari Kirin.Ada benarnya kata-kata Kirin.Spesis haiwan disini ternyata unik dan tidak kedapatan di dunia manusia.Spesis haiwan yang mendiami seluruh perhutanan disini adalah hasil rekaan Rayfall suatu ketika dahulu ketika membina dunia Hyperserv ini.Namun, bentuk dan rupa haiwan-haiwan di sini berdasarkan pada haiwan di dunia manusia.Bezanya, ia diubah suai sedikit sahaja untuk mendapatkan kelainan dan keunikan di dunia ini.Jika difikir secara logik, ternyata mustahil untuk menjumpai spesis harimau bertanduk, makhluk gergasi, harimau kumbang bersayap dan pelbagai lagi yang unik dan aneh.Namun, segala-galanya dipulangkan semula kepada Allah Yang Maha Esa.Pencipta yang mengetahui segala-galanya termasuk segala isinya.Merangkumi seluruh alam.Pencipta yang sebenar-benar pencipta.Tiada satu pun ciptaan-Nya yang disia-siakan.Segala penciptaan-Nya ada maksud dan tujuan.
Seketika mereka beristirehat dan hampir melelapkan mata, Kirin tiba-tiba bangkit berdiri.Anak telinganya dapat menangkap bunyi yang datang dari arah belukar.Fared segera berdiri dan melindungi Ismail yang sudah lena akibat dihambat keletihan dan ketidakupayaan.Dahinya berkeringat.Bimbang makhluk bangsa Piel Roja yang berbaki masih memburunya sehingga ke sini.
Kedengaran semak belukar dikuak-kuak dan kedengaran juga tapak kaki memijak ranting-ranting.Bunyi berdetak yang sengaja tidak disembunyikan.Bunyi itu datang dari keserata arah.Fared dan Kirin melilaukan pandangan.
Bilah belati digenggam kejap.Fared menjadi benteng paling hadapan.Kirin berada di bahagian belakang sekali dengan berbekal senjata bilah belati yang diberikan oleh Fared.
Beberapa kelibat muncul dari balik semak-samun menghampiri mereka.Tubuh dan wajah mereka tidak kelihatan kerana diselubungi kegelapan.Hanya kelihatan mata mereka sahaja yang berkilau-kilau dibiasi cahaya unggun api.Fared semakin cemas.Bersedia untuk menyerang apabila diserang.Kejadian di perkampungan Red Forest tidak akan berulang lagi.Kali ini dia lebih bersedia dan bersiaga.
Mereka semakin menghampiri sehingga wajah mereka terserlah.Fared dan Kirin kelihatan terkejut melihat mereka.Ternyata mereka bukanlah bangsa Piel Roja yang memburu mereka.Salah satu daripada mereka tampil ke hadapan.
“Kalian adalah manusia?” Persoalan pertama diusulkan oleh susuk tubuh itu.Fared memandang sekilas ke arah Kirin.
“Ya.Aku dan lelaki itu adalah manusia.Perempuan itu berasal dari dunia ini.Kau siapa?” Fared tetap berwaspada meskipun reaksi mereka tidak seperti tindakan mahu menyerang.
Setiap satu daripada mereka memiliki sepasang telinga yang mencanak ke atas di atas kepala seperti kucing.Mata mereka juga seperti kucing malahan mereka mempunyai ekor yang panjang.Pakaian mereka kelihatan aneh malahan seperti pakaian pahlawan bangsa mereka.Kesemua diantara mereka menggunakan busur dan anak panah.Jika dilihat dari andaian mata kasar, mereka agak mahir memburu dalam jarak jauh memandang kemahiran mereka adalah memanah.
Salah satu daripada mereka yang tampil kehadapan berpakaian agak berlainan dengan yang lain.Pakaiannya berwarna kemerahan sedangkan yang lainnya berwarna kehijauan.Paling mengejutkan, kesemua mereka yang tampil ini adalah perempuan dan tiada satu pun di kalangan mereka dari golongan lelaki.
“Nama saya Athelia.Saya merupakan ketua kepada bangsa kami.Bangsa Yaneko.” Perempuan bernama Athelia itu memaniskan rona wajahnya bagi meredakan ketegangan yang dikesan pada riak wajah Fared.Genggaman bilah belati yang digenggam oleh Fared boleh membunuhnya dalam sekelip mata.Bilahnya yang tajam itu berkilau-kilau kerana pantulan cahaya unggun api yang marak.Tidak sukar bagi bangsa Yaneko membunuh kesemua manusia dihadapannya ini kerana kepantasan memanah mereka terlalu ampuh dan tersangat tangkas.Pergerakan mereka tidak dapat diekori oleh pergerakan anak mata manusia.Terlalu pantas.Pergerakan mereka umpama kilat.
“Saya lihat, kalian berada disini pada waktu sebegini.Agak merbahaya.Kalian perlukan tempat perlindungan.” Athelia menawarkan tempat untuk mereka berteduh.Fared kelihatan curiga namun perasaannya berbelah bahagi apabila melihat Kirin dan Ismail yang kelihatan tidak berdaya dan keletihan.Fared melepaskan keluhan halus.Mahu atau tidak, mereka memerlukan tempat berlindung untuk sementara waktu namun dia lebih berwaspada.Meskipun wajah ayu Athelia tidak menunjukkan sebarang kecurigaan tentang niatnya namun adalah lebih baik untuk mereka bersiaga.
“Jangan bimbang.Kami bukan berniat jahat.Kami mahu membantu kalian.Lagipun, kalian berada di dalam kesukaran selepas merempuh saat tragedi di Red Forest tempoh hari.Sekarang, kalian perlukan rehat secukupnya.” Athelia menambah lagi bagi meyakinkan Fared.Namun, apabila mendengar perkataan ‘Red Forest’, dia membuntangkan anak matanya.
“Kau tahu dimana Red Forest? Kau memerhatikan kami diseksa?” Timbul lagi rasa curiga di dalam hati Fared.Bangsa Yaneko memerhatikan mereka dari kejauhan ketika mereka diseksa di dalam perkampungan Red Forest namun langsung tidak cuba untuk membantu.
“Sabar dulu, manusia.Mari kita pulang jutaku dahulu.Disana, saya akan ceritakan setiap perincian.” Bangsa Yaneko menyebut kawasan kediaman mereka sebagai jutaku.Fared dan Kirin tidak memahami istilahnya namun memahami apa yang dimaksudkan oleh bangsa Yaneko itu merujuk kepada tempat kediaman mereka.
Athelia memberi isyarat kepada pengikutnya yang lain.Tanpa banyak bicara beberapa pengikutnya melompat tinggi melepasi paras puncak pokok dan hilang entah ke mana.Fared dan Kirin tergamam.Selebihnya, mereka bersama Athelia untuk mengiring tetamu mereka ke tempat kediaman mereka.Tiga orang pengikut Athelia mendapatkan mereka bertiga lalu diarahkan untuk memeluk tubuh mereka dari belakang dengan berpaut pada bahu.Ismail yang tidak sedarkan diri diangkat sendiri oleh salah seorang perempuan bangsa Yaneko.Tiada masalah oleh Kirin kerana dia adalah seorang perempuan dan bangsa Yaneko juga adalah dari kaum Hawa.
Namun, wajah Fared berubah merah padam.Dia juga diarahkan untuk berpaut pada belakang tubuh salah seorang perempuan bangsa Yaneko itu.
Athelia sekadar memandang sambil tersenyum.Dia mengerti akan reaksi itu.Tidak ubah seperti seseorang yang amat dicintainya suatu ketika dahulu ketika seseorang itu mula-mula sampai ke perkampungan mereka namun segalanya sudah berlalu dan tertinggal di belakang waktu.
“Kalian perlukan kami untuk sampai ke jutaku kami.Kalian semua tidak akan dapat mencapainya dengan tenaga sendiri.” Athelia menudingkan jarinya ke atas.Fared melangoi pandangan.Baru dia mengerti bahawa kediaman bangsa Yaneko ini dibina di atas pokok yang tinggi melampai.Tidak terjangkau dek pandangan mata kasar kerana ianya dibina hampir-hampir ke puncak pokok yang terpilih.
Mahu atau tidak, Fared terpaksa akur.Perlahan dia memaut tubuhnya kepada salah seorang perempuan bangsa Yaneko.Gadis itu memandang sekilas ke belakang menjeling Fared pada ekor mata.Dia tersenyum melihat reaksi Fared yang malu-malu.Wajah Fared merah padam.Bau wangian tubuh gadis itu menusuk rongga hidungnya.
“Baik! Mari!” Athelia memberi arahan.Dengan sepantas kilat, bangsa Yaneko itu melompat tinggi ke udara dan mendarat di atas sebatang dahan pokok setiap seorang.Kemudian, mereka melompat lagi ke dahan yang lain.Pergerakan mereka tidak ubah seperti ninja.Melompat dari dahan ke dahan dan semakin naik tinggi ke puncak pokok.
Fared terasa gayat.Dahinya berkeringat.Matanya terpejam.Rangkulan tangannya pada bahu gadis bangsa Yaneko itu dieratkan.Gadis itu tersenyum.Dia mengerti bahawa manusia tidak biasa bergerak dengan keadaan begini berbanding mereka yang sudah menjadi kebiasaan.Gadis itu memegang kedua-dua lengan Fared yang merangkul bahunya.Digenggam erat bagi menambahkan keyakinan Fared supaya tidak terasa terlalu gayat.
Dari dahan ke dahan.Mereka melompat tinggi dan mendarat di dahan tanpa tergelincir sedikit pun malahan kedua-dua kaki mereka kukuh menongkat tubuh.Kemahiran mereka sangat dikagumi.Paling mengagumkan adalah mereka mampu melompat tinggi dan mendarat di dahan pokok tanpa tersasar dengan situasi kegelapan malam.Pandangan mata mereka sangat peka kepada cahaya dan mampu melihat dengan jelas pada waktu malam.Namun begitu, Fared tetap merasa gayat kerana pergerakan mereka menongkah angin meredah perhutanan bukan dengan cara kebiasaannya.
Athelia mendahului mereka jauh kehadapan.Laluan perhutanan ini sudah menjadi kebiasaan baginya bahkan mereka juga sudah arif di perhutanan ini.
Mereka tiba di sebatang pohon yang begitu besar dan bersaiz gergasi berbanding pokok-pokok yang berada disekelilingnya sehingga boleh dilihat dari jauh.Apabila tiba berhampiran pokok itu, mereka mendarat di bahagian akarnya.Suasana sunyi sepi dan gelap gelita.Fared dan Kirin tidak dapat melihat apa-apa kerana diselubungi kegelapan malam namun tidak bagi bangsa Yaneko.
Sinaran rembulan sedikit sebanyak memberi simbahan cahaya bagi menerangi persekitaran.Fared mengecilkan anak mata cuba untuk mengamati persekitaran.Pandangannya berbalam-balam.Athelia tersenyum melihat ulah manusia itu.Dia amat mengerti jika manusia tidak mampu melihat dengan jelas di dalam kegelapan seperti bangsanya.Athelie memberi isyarat untuk naik ke atas.
Tanpa berlengah, mereka melompat ke dahan utama dan memanjat ke atas.Kirin terjerit kecil akibat terkejut dengan lompatan bangsa Yaneko yang melonjak secara tiba-tiba.
Pergerakan mereka begitu pantas.Dalam masa beberapa minit sahaja mereka sudah hampir sampai ke puncak pokok gergasi itu.Fared melangoi pandangan ke atas.Dari kejauhan, kelihatan cahaya api jamung di sebalik rimbunan daun pokok gergasi itu.
Apabila mereka mendarat di atas pelantar kayu kediaman bangsa Yaneko itu, Fared membuntangkan anak matanya.Kagum dengan apa yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri.
Binaan-binaan rumah yang tergantung pada dahan utama itu menarik perhatian.Kediaman mereka disinari cahaya api jamung yang terpacak di mana-mana.Keseluruhan binaan rumah mereka dibina menggunakan kayu dan papan sahaja namun pergerakan mereka dari rumah ke rumah menggunakan cara yang agak unik.Untuk turun ke bawah, mereka menggunakan tali yang merintang dari atas ke bawah dan mereka berpaut pada tali itu lalu menggelungsur turun ke bawah.Untuk naik ke atas pula, mereka menggunakan sistem lif dengan pemberat pada hujung tali yang membolehkan mereka naik ke tempat lebih tinggi.
Lebih menarik perhatian, seluruh bangsa Yaneko itu adalah dari kaum Hawa.Tiada seorang pun dikalangan mereka dari kaum lelaki.Pandangan mata mereka terarah kepada Fared, Kirin dan Ismail.Kehadiran mereka menarik perhatian terutama Fared dan Ismail yang terdiri daripada kalangan bangsa manusia.Athelia sekadar tersenyum.
[To Be Continued >> Server 40]
ns 15.158.61.44da2