Bandar Inderapuri, Tahun Infiniti 30XX
Letupan meletus lagi. Situasi semakin meruncing di pertengahan bandar yang dahulunya mewah dan berteknologi tinggi ini. Serangan dari ‘alam’ yang tidak kelihatan ternyata merumitkan lagi keadaan dan menyukarkan pihak keselamatan dan pertahanan untuk melaksanakan tugasan mereka.
Pihak tentera telah mengarahkan orang awam untuk bersembunyi sekali gus membawa mereka ke tempat yang lebih selamat.
Makmal Hyperserv juga telah dikosongkan. Keadaan semakin genting membuatkan mereka yang masih pertahankan jasad sahabat mereka disini membuat keputusan untuk berpindah ke satu lokasi yang dirasakan lebih selamat. Bangunan I.R Federation menjadi pilihan memandangkan bangunan ini mempunyai tingkat bawah tanah yang lebih kukuh dan kebal. Syarikat I.R Federation adalah sebuah syarikat seliaan Ilyas yang membina sebuah program antivirus bersifat Artificial Intelligence atau A.I. Ianya sebuah program yang mampu bertindak dan membuat keputusannya sendiri bergantung kepada data yang diperolehi. Namun sejak keadaan menjadi genting, syarikat gergasi ini menghentikan operasi mereka buat sementara waktu dan bangunan ini dibiarkan kosong tidak berpenghuni. Ini peluang yang diambil oleh Hairuddin untuk menempatkan sahabat mereka disini memandangkan ini sahaja pilihan yang selamat dan satu-satunya pilihan yang mereka ada.
Lima buah katil dengan kelengkapan teknologi disusun secara bersebelahan. Lima jasad bernyawa namun tidak berminda di baringkan di atas katil itu setiap seorang. Jasad Yazaid, Fared, Elizia, Ilyas dan Marshall dipantau rapi oleh beberapa orang kepercayaan Hadif. Manakala Hairuddin dan Irfan sedang meneruskan pencarian mereka untuk menjejaki dua orang hacker paling merbahaya di dunia. Mereka berdua mempunyai teknologi yang melangkaui keterbatasan kemanusiaan. Mereka mampu mengawal minda manusia lain dalam jarak yang jauh tanpa memerlukan peralatan teknologi canggih manusia namun tidak diketahui teknik apa yang mereka gunakan. Mahu dikatakan ianya adalah sihir namun tidak relevan jika diteliti pada situasi seperti ini. Ratusan malahan mungkin ribuan penduduk bertukar personaliti secara mendadak menjadi ganas dan buas. Kemanusiaan itu terbunuh sekali gus membangkitkan naluri kebinatangan di dalam jiwa mereka.
“Tak jumpa apa-apa petanda ni, Hairuddin.” Irfan menyandarkan tubuhnya. Terasa lenguh seluruh urat sendi. Matanya memandang ke arah paparan monitor kaca pandang tembus. Pelbagai turutan kod dan beberapa maklumat terpapar di kaca itu namun tiada satu pun informasi yang dikehendakinya.
“Jangan berputus asa, Irfan. Kalau kita berputus asa sekarang...” Hairuddin menoleh sekilas ke arah Irfan.
“...umpama kita sendiri menyarungkan tali gantung ke leher mereka.” Dia mengalihkan pandangannya ke arah lima orang sahabat mereka yang sedang terbaring di katil itu. Irfan menelan liurnya yang pahit.
Mereka kini telah mengetahui apa yang berlaku di dunia Hyperserv. Serangan dari bangsa Valkazar kini telah merebak luas sehingga menjangkiti dunia manusia. Manusia yang bertindak buas dan ganas itu bukanlah dari mereka sendiri tetapi jiwa bangsa Valkazar telah merasuki tubuh mereka melalui Brainlink yang mereka kalungkan di leher mereka. Apabila jiwa Valkazar telah merasuki tubuh manusia itu, tiada gunanya lagi jika ditanggalkan Brainlink dari leher mereka kerana keseluruhan jiwa Valkazar sudah menjadi tubuh manusia itu sebagai perumah mereka. Perkara terakhir yang mereka boleh lakukan kini adalah mencari dua orang hacker yang sangat dikehendaki itu dan ketika itulah penentuannya sama ada keadaan ini akan berterusan genting sebegini atau perang ini ditamatkan buat selama-lamanya. Hairuddin tidak menunjukkan rasa penat atau lelah. Irfan mengeluh halus lantas bangkit berdiri semula bersebelahan Hairuddin.
“Hairuddin, boleh aku tanya sikit?” Irfan menyatakan hasratnya tanpa memandang ke arah Hairuddin. Lelaki itu sekadar mengganggukkan kepalanya.
“Kau masih ingat...pada ketika Rayfall mencipta bioserver ni, apa yang jadi kan?” Akal Irfan menerawang. Hairuddin pula kedengaran mengeluh halus.
“Mana mungkin aku lupa, Irfan. Saat Maisarah meninggal dunia masa tu pun...aku masih ingat jelas. Rayfall masih berada di dunia dia. Dunia pembunuh ni.” Jaluran memori mengimbau masa lalu ketika Hairuddin masih berdarah muda.
Imbas kembali...
Seorang perempuan sedang tenat terbaring lesu di katilnya. Hairuddin dan Irfan berada disisinya pada ketika itu. Kelihatan sebuah lagi katil kecil untuk bayi berada bersebelahan dengan katil wanita itu. Seorang bayi yang masih kecil lena diulit mimpi tidak tergugah.
Pada ketika itu, satu wabak misteri melanda seluruh dunia. Bahkan seluruh perumahan diwajibkan untuk memasang sistem vaksinasi automatik di setiap rumah dan tiada rongga yang dibenarkan terbuka. Semuanya perlu ditutup sepenuhnya. Sistem pengudaraan yang canggih juga wajib dipasang di setiap rumah.
Namun untuk mendapatkan teknologi sebegitu memerlukan perbelanjaan yang tinggi sedangkan keluarga Rayfall bukannya dari golongan orang senang. Begitu juga dengan Hairuddin dan Irfan.
Wanita itu menoleh ke arah Hairuddin dan Irfan. Mereka berdua mengerti akan pergerakan tubuh wanita itu. Lantas mereka berdua menghampiri wanita itu.
“Hai..ruddin. Mana suami...saya..Rayfall?” Suaranya tersekat-sekat. Irfan menahan sebak melihat situasi isteri pada Rayfall semakin tenat.
“Dia ada...Dia selamat di dunia sana. Saya yakin...dia akan pulang dalam masa terdekat. Kami akan cuba menguhubunginya.” Persahabatan yang begitu akrab di antara mereka tidak menggugah kepercayaan mereka. Mereka berempat telah lama bersahabat.
“Dia....janji pada saya...dia akan bawa...saya dan Ilyas...ke sana.” Nafas Maisarah tertahan-tahan. Air matanya bergenang dalam keadaan tersenyum. Itu menambahkan lagi sebak di dada Irfan dan Hairuddin melihat keadaan isteri sahabatnya.
“Ya. Dia akan bawa kamu ke sana...bersama anak lelaki kamu berdua.” Hairuddin menoleh sekilas ke arah bayi yang sedang lena diulit mimpi.
“Tapi...saya rasa tak...sempat...tolong sampaikan...salam sayang saya...pada dia..” Keadaan Maisarah makin tenat.
“Jangan begitu, Maisarah. Saya yakin, Rayfall akan balik. Tunggu sedikit masa lagi...Saya pergi panggilkan dia sekarang.” Sebaik sahaja Irfan bangkit, lengannya dipaut oleh Hairuddin dan lelaki itu menggelengkan kepalanya. Irfan mengeluh kasar. Rayfall tidak patut buat sebegini. Memberi harapan yang terlalu tinggi sedangkan dia tidak berupaya untuk menunaikannya. Ketika ini, Rayfall sedang berada di bilik sebelah. Jasadnya kaku namun mindanya berada di dalam sebuah dunia ciptaannya iaitu Hyperserv. Dia sedang melaksanakan misi untuk menyempurnakan dunianya itu dan berjanji akan membawa isteri dan anaknya bersama ke dunia itu. Dia menjanjikan sebuah dunia yang lebih baik dan sempurna dari dunia manusia sedangkan dia lupa bahawa manusia itu sendiri ciptaan Allah S.W.T yang banyak kekurangannya. Mana mungkin manusia mampu mencipta ciptaan yang sempurna sedangkan manusia itu sendiri terlalu banyak silap dan kurangnya.
Irfan kembali ke tempat duduknya. Dia faham maksud Hairuddin. Jika dikejutkan Rayfall pada ketika ini sedangkan mindanya masih berada di dalam dunia Hyperserv, kelak data mindanya akan bersepai akibat terputus hubungan. Akibatnya, jasadnya di dunia manusia ini akan mati serta-merta. Itu lebih membimbangkan. Mahu atau tidak, mereka berdua terpaksa menelan pahitnya memori ini.
“Dunia...yang Rayfall cipta...saya percaya...akan sempurna...tapi..bukan untuk...saya.” Maisarah menoleh lambat-lambat ke arah bayinya.
“...untuk...Ilyas.” Air matanya tumpah lagi. Wajahnya tersenyum. Dia percaya bahawa ayah Ilyas akan menyempurnakan dunia ciptaannya dan akan membawa mereka berdua ke dalam dunia itu suatu hari nanti. Namun, segala-galanya bergantung kepada Allah S.W.T dan Dia jugalah yang Maha Perancang dan sebaik-baik perancang. Nampaknya, hanya Ilyas sahaja yang berpeluang untuk melihat dunia ciptaan ayahnya. Maisarah pasrah. Cukuplah sekadar anak dan suaminya selamat. Dia masih percaya bahawa suaminya akan menyempurnakan hasratnya untuk memberi peluang kepada Ilyas melihat dunia itu. Memberi peluang kepadanya untuk merasainya sendiri. Hakikatnya, dunia yang banyak kesilapan dan serba kekurangan ciptaan manusia.
“Saya masih menunggu... Rayfall pulang...tapi masa tidak ...mengizinkan. Sampaikan...salam sayang...saya padanya. Kata pada..dia...” Hairuddin dan Irfan tidak dapat menahan sebak. Air mata lelaki mereka tumpah jua. Cuma esakan tangisan mereka ditahan-tahan. Sebuah peranti rakaman hologram berbentuk bulat dihidupkan oleh Hairuddin.
“...saya minta maaf...sebab...tak dapat menyambut...kepulangannya....seperti biasa...maafkan Maisarah....abang..” Wanita itu tertahan-tahan nafasnya.
“....maafkan Maisarah...sebab bagi tanggungjawab... anak kita...pada abang seorang...Tolong...jaga anak...kita..” Buat kali terakhir, wanita itu mahu melihat bayi kesayangannya. Air matanya membasahi pipinya. Wajahnya tidak lepas dari senyuman ketika nyawanya sudah berada diumbun-umbun.
“Ilyas....jadi anak yang...baik...Jagakan ayah...untuk ibu.....ya, sayang?” Suaranya semakin perlahan. Matanya semakin memberat. Bayangan anak lelakinya semakin kabur namun cuba ditahan.
“Abang...bawalah anak kita....ke dunia...yang abang percaya...lebih....sempurna..” Irfan menoleh ke arah lain. Diseka air matanya. Hairuddin pula dalam keadaan bertahan. Mendengar dengan teliti apa yang Maisarah katakan untuk disampaikan pada Rayfall nanti.
“Tunaikan hasrat...Maisarah ni...ya, abang? Maisarah...percayakan...abang.” Pandangannya mula berbinar.
“Selamat...tinggal...abang...jaga diri...baik-baik...Maisarah...sayang...abang.” Lantas ungkapan syahadah diungkap sebagai jati diri sebagai seorang muslimah dan sebagai seorang mukmin. Usai lafaz syahadah terungkap Maisarah menarik nafas panjang yang tertahan-tahan lantas dihembuskan perlahan-lahan. Itulah hembusan nafasnya yang menunjangi nyawanya selama ini. Dia memegang kepercayaan terhadap janji suaminya sehingga ke nafas yang terakhir dan pada ketika itu, dia masih mempercayainya saat rohnya dilepaskan dari jasad yang semakin hampir ke masa luput.
Hairuddin dan Irfan tenggelam dalam sendu. Tiada lafaz yang terluah melainkan ungkapan innanillah saat pemergian roh Maisarah meninggalkan jasadnya dan kembali ke pangkuan Ilahi. Memori itu sentiasa segar di dalam jaluran ingatan mereka sehingga ke akhir hayat. Selepas dari itu, hanya Hairuddin dan Irfan sahaja yang mengetahui apa yang berlaku pada Rayfall dan tanpa pengetahuan sesiapa melainkan Allah S.W.T yang Maha Mengetahui.
132Please respect copyright.PENANALIMFWFS3Uh
>>Bersambung Server 66
ns 15.158.61.17da2