Perkampungan Letrazie ternyata sebuah perkampungan yang bukan seperti yang dibayangkan. Hanya namanya sahaja bermula dengan ‘Perkampungan’ namun keluasannya meliputi permukiman. Jika ditafsirkan di dalam dunia realiti, ianya bukan lagi perkampungan tetapi lebih kepada sebuah kawasan jajahan dan setaraf bandar.
Lokasi dimana Yazaid dan sahabat-sahabatnya bermalam untuk tempoh yang lama itu dijadikan pusat utama perkampungan Letrazie. Disitu jugalah terletaknya ibu pejabat utama pasukan AST, Kapten Zayyan, Elsa dan lain-lainnya.
Sejak awak pagi lagi, Yazaid dan Elsa sudah berada di gelanggang tempur perkampungan itu. Mereka berlatih tanpa henti demi mengukuhkan kekuatan masing-masing. Mereka sudah pun dimaklumkan tentang terlepasnya satu bangsa pembunuh yang paling digeruni sepanjang sejarah penciptaan Hyperserv.
Dentuman bersilih ganti. Penggunaan kuasa System Call ternyata banyak memakan tenaga dalaman yang agak banyak jika tidak dilatih sebaik mungkin. Kuasa dalaman dapat dijimatkan penggunaannya kepada lebih efisien sekiranya banyak latihan yang dilakukan untuk mengawal aliran kuasa dalaman yang digunakan di dalam serangan System Call.
Yazaid dan Elsa mula mengah setelah berlatih berjam-jam lamanya. Meskipun dirasakan latihan mereka masih kurang namun rehat secukupnya amat diperlukan. Sia-sialah latihan mereka selama ini jika kudrat memudar di pertengahan medan tempur.
Yazaid dan Elsa mengambil keputusan untuk berehat seketika di bawah sepohon pokok yang agak aneh rupa bentuknya. Ianya seolah-olah dua pohon pokok bersatu menjadi satu pokok yang sama. Dua dahan utama berkongsi akar yang sama dan bercantum semula pada pucuk di sebelah atas. Yazaid melangoi pandangan. Saiz pokok ini boleh dikatakan sangat besar. Tanpa banyak memikirkan tentang pokok aneh itu, Yazaid menghempaskan tubuhnya bersebelahan Elsa yang nafasnya masih tersekat-sekat.
“Awak dah banyak kemajuan, Yazaid. Lebih pantas dari apa yang saya jangkakan. Sedangkan awak cuma manusia biasa. Bagaimana awak boleh memantapkan kemahiran System Call dalam tempoh masa yang singkat?” Nafas Elsa masih mengah. Yazaid sekadar tersengih-sengih.
“Saya banyak berlatih pada waktu malam ketika semua orang telah tidur. Selama saya disini, tidak ada satu malam pun saya terlepas dari latihan rutin saya.” Elsa kelihatan terkejut mendengar penjelasan Yazaid. Dia tidak menyangka bahawa lelaki itu begitu tekad dalam melaksanakan latihan rutinnya.
“Elizia tahu awak buat latihan setiap malam?” Elsa bertanya lagi.
“Tidak. Tapi mungkin dia dapat melihat perubahan saya sejak kebelakangan ini. Mungkin perubahan kekuatan saya nampak ketara juga. Dengan kekuatan ini, bolehlah saya melindungi Elizia dari sebarang ancaman bahaya.” Yazaid tampak bersemangat. Dia mengepalkan penumbuknya. Elsa sekadar memandang sepi ke arah Yazaid tanpa sebarang reaksi sehingga Yazaid sendiri tersedar bahawa dirinya direnung oleh Elsa.
“Elsa, kenapa?” Yazaid kehairanan. Apabila pandangan mata mereka bertaut, lekas-lekas Elsa mengalihkan pandangannya dan terlontar ke arah lain. Rona wajahnya kemerahan.
“T...Tak. Tak ada apa-apa.” Nafas Elsa tertahan-tahan. Wajahnya terasa hangat. Dia sendiri tidak tahu apa yang difikirkannya ketika ini. Lantas Yazaid bangkit dari pembaringan.
“Elsa... Ada apa-apa tak kena?” Yazaid tidak berpuas hati. Elsa tidak berkalih memandang ke arah Yazaid sama sekali. Pandangan terlontar jauh ke hadapan.
“Awak... dah lama berkawan dengan Elizia?” Elsa mengajukan persoalan yang kedengarannya agak janggal dan jarang didengari oleh Yazaid. Pandangan mata Elsa masih tidak bergerak dari tempat yang sama. Yazaid mengerutkan wajahnya kehairanan.
“Eemm... lama juga. Sejak dari zaman kami belajar bersama-sama di universiti. Kenapa awak tanya?” Rasa ingin tahu Yazaid membuak-buak. Dia kehairanan melihat tingkah laku Elsa yang berubah. Ini bukan seperti Elsa yang dikenalinya sebelum ini. Elsa yang dikenalinya lebih tegas dan apabila dia membuka mulut, hanya perkara yang penting sahaja terluah dari bibirnya.
“T..Tak. Tak ada apa-apa. Saja tanya.” Elsa memaniskan wajahnya. Dia memandang ke arah Yazaid seimbas lalu dan melemparkan pandangannya semula ke arah lain tanpa mahu bertentangan mata dengan Yazaid. Dia mengeluh halus pernafasannya. Yazaid mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan tanpa banyak bertanya itu dan ini. Lantas dia bangkit semula lalu dia menarik tangan Elsa untuk bangkit bersamanya. Elsa menjadi terkedu apabila tangan mereka bersentuhan dan digenggam oleh Yazaid sebegitu rupa. Tubuhnya terlonjak bangkit berdiri mengikut daya tarikan dari Yazaid. Rona wajahnya berona kemerahan semakin jelas kelihatan apabila lonjakan tubuhnya yang ditarik ke arah Yazaid dan terhenti berdekatan dengannya. Kedudukannya begitu hampir dengan kedudukan lelaki itu.
“Dah, jom sambung latihan. Kita tak banyak masa untuk dibazirkan.” Lantas Yazaid mengambil tempat dan posisinya. Elsa masih terdiam yang bungkam sebelum bangkit lalu menyertai latihan selanjutnya.
Kesemua pasukan dari perkumpulan AST dan pasukan-pasukan yang dipecahkan oleh Kapten Zayyan telah pun berangkat menuju ke destinasi masing-masing sejak awal pagi lagi.
Hanya perkumpulan Yazaid sahaja yang masih berada di perkampungan itu. Sejak awal pagi lagi, Yazaid sudah meminta kebenaran daripada Kapten Zayyan untuk menangguhkan sehari lagi sebelum mereka bertolak menuju ke kawasan paling selatan Grand Southgate itu untuk mencari Master Orb. Mereka perlukan latihan yang lebih terutamanya Yazaid yang kini sedang dilatih oleh Elsa. Leo pula menuju ke arah perhutanan untuk melakukan latihan intensif untuk dirinya sendiri. Ternyata Leo mempunyai teknik-teknik tertentu dengan gayanya tersendiri. Ini bermakna, mereka mempunyai masa kurang dari sehari lagi untuk memantapkan teknik masing-masing.
Sepanjang hari Yazaid dan Elsa melakukan latihan fizikal dan teknik System Call namun Elsa kelihatan kurang bersemangat dan wajahnya kelihatan murung. Tidak seperti awal pagi tadi dimana semangat Elsa membara-bara. Yazaid kehairanan dengan perubahan kelakuan Elsa selaku gurunya. Gadis itu ternyata kelihatan murung seharian ini.
Garis merah muncul dari ufuk langit menandakan malam bakal melabuhkan tirainya. Yazaid berbaring di pohon aneh itu sambil melepaskan lelahnya. Elsa turut menyertai Yazaid untuk berehat seketika sebelum mereka berdua pulang ke kediaman masing-masing. Elsa masih begitu. Sekadar mendiamkan diri tanpa sebutir perkataan pun terluah dari bibirnya. Meskipun dia seorang yang tegas dan bercakap jika perlu namun bagi hubungan mereka berdua semakin pulih. Elsa lebih banyak bercerita itu dan ini kepadanya. Yazaid pula semakin senang dengan perubahan Elsa yang kelihatan lebih ceria berbanding dari hari pertama mereka bertemu. Namun hari ini perubahan Elsa kelihatan sangat ketara. Secara tiba-tiba sahaja dia menjadi seorang yang pendiam. Sepatah yang ditanya, sepatah juga yang dijawabnya.
“Elsa... Awak ok ke? Hari ni awak lebih banyak senyap berbanding sebelum ni. Ada apa-apa masalah?” Yazaid bangkit dari pembaringan dan duduk bersebelahan Elsa yang menyepi sedari tadi.
“Tak... tak apa-apa masalah. Kenapa?” Elsa menoleh sekilas ke arah Yazaid lalu melemparkan pandangan ke arah lain.
“Selalunya awak banyak bercakap. Itu dan ini. Itu tak betul, ini tak betul. Itu salah, ini salah. Tapi hari ni...awak macam tak berapa bercakap dengan saya. Saya ada buat silap ke?” Terasa bersalah pula di dalam hati Yazaid. Dia bimbang jika dia ada tersinggung perasaan Elsa.
“Awak tak ada silap apa-apa pada saya. Saya yang berbuat kesilapan dengan diri saya sendiri.” Elsa melepaskan keluhan halus yang memberati dadanya. Yazaid kelihatan terpinga-pinga. Langsung tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh Elsa.
“Saya cakap awak jangan marah, ya. Bagi saya... saya dah anggap awak lebih dari...” Belum sempat Elsa menghabiskan bait bicaranya, satu dentuman yang menggegarkan bumi mengganggu perbualan mereka. Lantas Yazaid dan Elsa berdiri serentak. Mereka agak terkejut dengan dentuman yang menggegarkan itu. Bumi terasa bergegar.
“Apa benda tu?” Yazaid menyoroti pandangannya ke satu arah yang jauh dari perkampungan mereka. Nun dikejauhan di tengah-tengah hutan belantara, kelihatan satu cahaya yang memancar ke langit sehingga tidak terjangkau dek mata untuk melihat ketinggiannya.
Lama-kelamaan, kedengaran seperti satu dengungan. Gelombang ledakan berpusat dari pancaran cahaya itu bergerak seakan-akan gelombang ombak menghempas pepasir di pantai. Gelombang itu menghempas perkampungan mereka. Elsa tertolak ke belakang akibat gelombang ledakan itu yang ternyata terlalu kuat. Mujur Yazaid sempat memaut batang tubuh Elsa dari terlambung ke belakang. Beberapa bangunan yang rapuh mula roboh. Pokok-pokok renek habis musnah kesemuanya. Kelihatan ada beberapa pokok yang bersaiz besar telah menyembah bumi. Pergerakan gelombang angin itu ternyata kuat dan pastinya pancaran cahaya itu juga lebih kuat dari itu.
“Yazaid! Elsa!” Satu suara jeritan memanggil mereka. Leo menuju ke arah mereka berdua. Yazaid dan Elsa menoleh serentak. Kelihatan Kapten Zayyan juga menuju ke arah mereka berdua.
“Valkazar! Pasukan mereka berada di sana.” Leo menudingkan jari ke arah pancaran cahaya yang menembak ke langit itu. Pancaran itu tidak menghilang bahkan terus kekal begitu. Bunyi berdengung yang bergaung-gaung terus bergema.
“Apa benda tu? Cahaya apa?” Yazaid kehairanan. Dia tidak tahu dari manakan punca cahaya itu dan apa kegunaannya. Bahkan dia sendiri tidak tahu bahawa bangsa Valkazar akan melancarkan perang dalam tempoh masa secepat ini.
“Itu kita akan siasat kemudian. Sekarang kamu semua perlu berangkat malam ini juga. Jika tidak, mungkin kamu tidak sempat bertemu dengan hari esok. Lekas!” Kapten Zayyan memberi arahan. Wajahnya membengis memandang ke arah pancaran cahaya itu dari kejauhan. Meskipun jarak mereka dengan pancaran cahaya ke langit itu terlalu jauh namun gegarannya boleh dirasai bahkan bunyi dengungan terus membingitkan telinga.
‘Realm Bridge! Tak salah lagi.’ Kapten Zayyan menduga-duga. Elsa dan Leo tidak berlengah. Lantas mereka mempersiapkan diri untuk ke destinasi yang telah ditetapkan. Hanya Yazaid yang masih berada disitu. Gegaran di tanah semakin terasa. Dia mengenali pancaran cahaya itu. Kali terakhir dia melihatnya adalah ketika Rayfall yang mengaktifkannya. Dia sendiri menyaksikan kehebatan itu namun untuk mengaktifkannya bukan mudah. Ia memerlukan jumlah tenaga dalaman yang terlalu banyak dan ianya dikendalikan lebih dari seorang penyeru yang ditugaskan untuk mengaktifkannya. Hanya Rayfall sahaja yang boleh mengaktifkannya seorang diri tanpa memerlukan sokongan. Kini lagenda itu sudah tidak ada lagi sejak sekian lama.
“Kapten, apa cahaya tu?” Kapten Zayyan terkejut lantas menoleh sekilas ke arah Yazaid. Dia menyangkakan Yazaid turut serta bersama-sama Elsa dan Leo untuk mempersiapkan diri namun tidak pula dia menghalaunya. Dia yakin Yazaid mempunyai hak untuk mengetahui tentang perkara itu memandangkan Yazaid dan seorang lagi sahabatnya adalah penyambung legasi Rayfall untuk membina dunia ini sehingga lengkap sepenuhnya.
“Itu adalah Realm Bridge!” Jawapan ringkas yang tidak memuaskan hati Yazaid. Dia mahukan penjelasan lanjut.
“Realm Bridge merupakan satu teknik yang terlarang. Ia dapat menghubungkan dunia Hyperserv dengan dunia luar. Erti kata lain, dunia Hyperserv boleh terhubung dengan dunia manusia di luar sana secara haram. Itu adalah dunia kamu, Yazaid. Dunia kamu mungkin turut di dalam bahaya!” Kapten Zayyan mengerutkan wajahnya. Hatinya mula bimbang.
“Dua dunia mampu terhubung. Ini bermakna, saya boleh pulang semula ke dalam jasad saya. Mungkin...saya boleh beri amaran pada manusia untuk berjaga-jaga. Saya boleh menutup Realm Bridge dari sana.” Yazaid memberikan buah fikiran namun dipandang sepi oleh Kapten Zayyan.
“Itu lebih merbahaya, Yazaid. Memang benar, dengan Realm Bridge kamu boleh pulang ke dalam jasad kamu semula tapi jangan lupa. Apabila dua dunia ini terhubung, ini bermakna apa sahaja yang berada disini mampu keluar ke dunia kamu. Dan apa sahaja di dunia kamu mampu masuk ke sini. Situasi sekarang, Valkazar telah bebas! Bebas bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka ingini. Saya khuatir, mereka jugalah yang mengaktifkan Realm Bridge itu untuk keluar ke dunia kamu.” Penjelasan Kapten Zayyan ternyata memberi hambatan keras pada Yazaid.
“Biar saya ke sana. Saya akan musnahkan mereka sekali dengan Realm Bridge tu!” Belum sempat Yazaid melompat tinggi, lengannya ditarik oleh Kapten Zayyan tanda menegah.
“Jangan! Teruskan misi kamu. Rank kamu tidak sama dengan mereka yang mengaktifkan Realm Bridge itu. Mereka mempunyai Rank yang lebih tinggi. Kamu akan terbunuh dengan mudah.” Kapten Zayyan mempunyai perangkaannya tersendiri.
“Rank? Dalam dunia ni wujudnya sistem Rank?” Yazaid bingung. Selama dia berada di dunia ini, dia tidak pernah mengetahui tentang sistem Rank yang diguna pakai.
“Elsa akan terangkan pada kamu kemudian. Sekarang, teruskan misi kamu dengan yang lainnya. Jika terserempak dengan pasukan lain, pastikan kamu saling berganding bahu. Jika terserempak dengan Valkazar, tempur jika mampu. Nyawa lebih penting dari itu. Utamakan misi kamu terlebih dahulu. Jangan tertarik pada mana-mana pertarungan. Misi kamu semua antara misi paling penting! Master Orb perlu kamu lindungi. Jika tidak... dunia manusia dan dunia Hyperserv musnah sama sekali!” Kapten Zayyan memberi amaran tentang aral yang bakal ditempuhinya di sepanjang perjalanannya kelak. Yazaid menelan liurnya.
“Habis, siapa akan tutup Realm Bridge tu?” Yazaid terasa susah hati.
“Saya akan uruskannya. Kamu pergi turut serta dengan yang lain-lainnya.” Tanpa berlengah, Yazaid dengan pantas menuju ke satu arah dimana Elsa dan Leo berkumpul. Hanya beberapa langkah sahaja, Kapten Zayyan memanggil Yazaid semula. Sekilas Yazaid memandang.
“Tolong... jagakan Elsa kalau saya tak ada.” Usai ungkapan itu terucap, Kapten Zayyan melompat tinggi dan menghilang. Yazaid menjadi kehairanan. Tanpa mahu berfikir panjang, dia terus menuju ke lokasi dimana Elsa dan Leo sedang menunggunya. Meskipun hatinya terasa berat dan pelbagai persoalan menujah fikiran namun dia perlu memikirkan strategi yang lebih baik untuk mendapatkan Master Orb secepat mungkin.
Dia mahu menyelesaikan segala-galanya sepantas yang mungkin. Dia tidak sabar untuk pulang ke jasadnya yang entah tidak tahu akan keadaannya. Meskipun jasad yang bernyawa itu ditunjangi oleh mesin untuk meneruskan hayat namun tanpa minda yang berada di dalam tubuh mana mungkin ia akan bertahan lama. Dia dan sahabat-sahabat manusianya tidak boleh mati di sini. Mati sini bermakna mati juga disebelah sana. Elizia ada bersama-sama dengan penduduk-penduduk bangsa Letrazie ini dalam keadaan yang selamat. Mereka bersembunyi di tempat khas yang dibina oleh Kapten Zayyan jika bahaya menghampiri dan tempat perlindungan itu dikukuhkan lagi dengan teknik-teknik yang dihasilkan oleh Kapten Zayyan dimana Elsa sendiri pun tidak mengetahui cara membuatnya. Teknik itu bertentangan sekali dengan System Call. Walau apa pun berlaku, Yazaid tidak mengizinkan nyawa sahabat-sahabatnya melayang sama sekali. Dia perlu menghabiskan urusan disini sehingga ke titisan darah yang terakhir. Dia perlu melunaskannya secepat mungkin.
129Please respect copyright.PENANA67SySgSfXD
>>Bersambung Server 61
ns 15.158.61.44da2