SERVER 18
Hyperserv Lab,Inderapuri.Tahun Infinity 30XX
Suasana makmal itu sepi.Walaupun kehadiran beberapa orang kenalan Yazaid dan Fared memenuhi ruang makmal itu namun tiada satu pun suara terlontar memecahkan suasana.Di antara mereka, kelihatan Irfan, Hairuddin dan Hadif turut serta di dalam ‘majlis’ suram itu.Kelihatan wajah mereka sugul.
Ramai di antara mereka berpakaian serba hitam.Begitu juga dengan Irfan dan Hadif namun Irfan memilih untuk berpakaian kasual.Itu adalah gayanya tersendiri.Namun gaya penampilan tidak penting ketika ini.Irfan kelihatan termenung sendirian.Memerhatikan beberapa orang sahabat Yazaid dan Fared mengusung satu jasad ‘kenalan’ mereka.Jasad itu diletakkan di atas sebuah stretcher lalu di tolak keluar daripad makmal itu.Dia amat mengenali pemilik jasad kaku itu.
Serta-merta jaluran imbauan menari-nari di layar minda Irfan mengingati peristiwa di makmal mininya sebentar tadi.Ketika sedang asyik mengendalikan data Yazaid dan Fared di dalam Hyperserv, secara tiba-tiba tanda amaran berbunyi dan memaparkan mesej maklumat yang terkandung di dalamnya.Anak matanya dibuntangkan melihat paparan mesej itu.Urat sendinya terasa terbejat.Jantungnya seakan terhenti.Organ dalamannya umpama lumpuh dari fungsi untuk seketika.Semuanya terbejat.Perasaan hiba menjalar melingkari hati.
Irfan amat meyakini sekiranya Yazaid dan Fared mengetahui hal ini, pasti mereka akan berdendam yang tidak berkesudahan.Walau sekuat mana pun dia menyembunyikan hal ini dari pengetahuan mereka, lambat-laun pasti mereka akan mengetahuinya.Mesej itu memaparkan maklumat urgent yang menyampaikan berita mengenai ‘kematian’.Jasad berlokasi di makmal Hyperserv. Nama : Samsul.
Jaluran ingatan Irfan bersepai berderaian apabila bahunya di sentuh.Sekilas dia berkalih memandang Hadif kemudian mengalihkan pandangan ke arah Hairuddin pula.Wajahnya kelihatan sugul dan hiba.Kemudian dia memandang semula kepada jasad kaku sahabat Yazaid dan Fared diusung keluar oleh beberapa orang sahabat Yazaid dan Fared untuk diuruskan mengikut hukum syarak dan fardhu kifayah yang wajib dilaksanakan sebagai penganut agama Islam.Walaupun projek meragut nyawa ini dirahsiakan namun terdapat beberapa orang sahabat Yazaid dan Fared mengetahui tentang projek ini.Mereka adalah sahabat yang dipercayai oleh Yazaid dan Fared.Mudah untuk mereka berurusan pada masa akan datang sekiranya memerlukan.
“Bersabarlah. Sesungguhnya Dia lebih menyayangi arwah.” Pujuk Hadif. Dia tahu gelombang tsunami kuat yang melanda hati Irfan kala ini.
“Usaha Yazaid dan Fared untuk mengumpulkan data Samsul semula yang bertaburan di dalam Hyperserv tak kesampaian.Hacker perlu bertanggungjawab!” Irfan menekan suaranya di halkum.Hampir tidak kedengaran namun dapat didengar oleh Hadif.Urat dahinya kelihatan timbul.Mukanya merah padam.
“Kita bantu apa yang termampu.Kali ini, lebih serius.” Hadif mengerutkan dahinya.Hyperserv meragut satu nyawa lagi pada hari ini.Namun, kali ini nyawa yang diragut adalah salah seorang daripada pengasas Hyperserv itu sendiri.Umpama istilah makan tuan.
“Samsul merupakan sahabat yang baik namun tegas.Walaupun aku lebih mengenali Yazaid dan Fared tapi kisah mengenai Samsul juga aku ketahui dari mulut mereka sendiri.” Irfan mengeluh sendirian.Dia melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi besi yang memanjang.Dia menekan-nekan dahinya menggunakan kedua tangannya.Terasa seperti berdenyut-denyut.
“Kalaulah aku cepat bertindak.” Irfan lebih menyalahkan dirinya sendiri.Irfan mempunyai akses kebenaran untuk masuk ke dalam makmal Hyperserv ini memandangkan akses itu telah diberikan oleh Yazaid kepadanya suatu ketika dahulu.
“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan.Semua ni kehendak Ilahi.Dia lebih mengetahui dari apa yang kita ketahui.” Hairuddin pula bersuara.Ternyata dia lebih berfikiran matang sedangkan nyawa anaknya juga turut diancam bahaya.Minda Ismail masih berada di dalam Hyperserv.Hairudding lebih bersikap terbuka dan bertindak berlandaskan iman yang tetap teguh bertakhta di jiwa.
Irfan sekadar mendiamkan diri.Dia bungkam.Dia perlu mencari jalan.Hacker adalah puncanya.Mereka perlu bertanggungjawab!
BlackServ Lab. Inderapuri. Tahun Infinity 30XX
Zie menarik nafas sedalamnya.Anak matanya tergerak-gerak. Akalnya ligat mentafsir keadaan.Pandangannya terhala ke satu paparan maklumat mengenai situasi semasa di dalam Hyperserv ketika itu.Butirannya amat memeranjatkan Zie.
Satu fenomena ganjil berlaku di dalam dunia Hyperserv dan berlokasi berdekatan dengan Tajima dan Zaidi yang kelihatan tidak jauh daripada lokasi kejadian.Setahunya, dia masih belum mengaktifkan virus yang dimuatnaik tempoh hari tetapi fenomena yang dilaporkan agak ganjil aktivitinya.
Zie beralih ke arah sebuah paparan monitor hologram bersebelahan dengannya.Dia merencanakan sesuatu.Oleh kerana Hyperserv mengunci sistemnya sendiri, Zie tidak berupaya untuk berhubung dengan Tajima dan Zaidi yang berada di dalam sana.Dia perlu melaporkan kepada mereka situasi itu.Mahu atau pun tidak, dia terpaksa menutup gelombang pemusnah yang memusnahkan sistem induk utama sekali gus memberi ruang untuk dia berkomunikasi dengan mereka di dalam sana.Dan dengan itu juga, sistem Hyperserv akan kembali online untuk talian komunikasi sahaja namun minda mereka masih tidak dibenarkan keluar dari dunia kejam itu.Hanya komunikasi dua hala sahaja yang dibenarkan. Itu juga merupakan langkah berjaga bagi sistem keselamatan Hyperserv.Ianya telah diprogramkan.Selagi adanya virus, selagi itu Hyperserv mengunci sistemnya.
Walaupun penutupan gelombang pemusnah itu berjaya dilakukan, sistem induk utama tidak akan dapat beroperasi dengan baik memandangkan keseluruhan sistemnya turut musnah sama sekali.Hyperserv menggunakan laluan ‘kod rahsia’ yang lain.
Permukiman Fuego,HyperServ
Membulat anak mata Fared memandang ke arah Batu Prasasti Dunia itu.Pergerakannya seolah-olah lumpuh.Terbejat serta-merta.Ismail dan Kirin menuruti Fared.Mereka juga sebegitu.Terperanjatnya bukan kepalang memandang Batu Prasasti Dunia itu.Mereka bertiga terkaku.Seolah-olah kaki mereka dipaku terus ke bumi Hyperserv.Apa yang disaksikan mereka saat itu amat memeranjatkan mereka sama sekali terutama pada Fared.
Batu Prasasti Dunia itu tidak lagi berada pada tempatnya.Batu itu telah tiada namun terdapat sekujur susuk tubuh yang sasa bercahaya kemerah-merahan berdiri tegap tidak mencecah tanah di atas tapak batu itu.Seolah-olah batu itu menjelmakan dirinya membentuk sekujur tubuh manusia yang bercahaya kemerahan yang meliputi seluruh tubuhnya.
Mata Fared kemerahan.Kelopak matanya tidak berkerdip memandang gerangan pemilik susuk tubuh lelaki sasa yang berdiri di hadapannya itu.Wajahnya amat dikenali.Sangat dikenali!
“Sam…Samsul?” Nama sahabat baiknya yang berada di ambang maut itu disebut perlahan.Dia tidak mengetahui bahawa sahabatnya itu sudah pergi buat selamanya namun mindanya masih di sini.Masih di Hyperserv.Masih terawangan.Sememangnya teknologi membatasi kemanusiaan.Mencipta kemewahan dan kemudahan kononnya untuk mempermudahkan urusan sedangkan tindakan mereka sekadar menempah nama mereka di dalam kemusnahan.Membatasi hukum alam.Roh yang meninggalkan jasad sama sekali tidak akan kembali.Itu peraturan yang tidak dapat disanggah oleh mana-mana makhluk sekali pun.
Fared mendekati perlahan-lahan ke arah susuk tubuh yang disangka sahabatnya itu.Raut wajahnya kelihatan bersahaja memandang ke arah Fared yang mendekatinya lalu dia tersenyum.
“Samsul…kau ke tu?” Fared masih tidak berpuas hati.
Samsul mengangguk perlahan sambal tersenyum sambil memerhatikan sahabatnya itu.Dia tahu, adalah mustahil untuk dia meneruskan hidup disini mahupun diluar sana.
“Macam mana…kau boleh..” Sebak hatinya menerjah-nerjah ruang jiwanya.Takungan mata seakan membanjiri namun tidak melimpah.
Raut wajah Samsul kelihatan tenang.Tubuhnya yang sasa bercahaya kemerahan menjadi tanda tanya.Lalu dia menarik nafas perlahan.Bersedia untuk berkata-kata.
“Fared…Mana Yazaid?” Samsul bertanya kepada Fared dalam nada yang perlahan.Suara direngkongan tertahan-tahan.Fared terdiam.Tidak terjawab soalan yang diajukan.Samsul seolah-olah mengerti.
“Fared…Sampaikan salam aku pada Yazaid.Maaf..Perjuangan aku terhenti disini tapi aku sentiasa ada disini.Aku bantu apa yang termampu mulai saat ini.” Samsul memandang ke arah Fared yang kelihatan terkejut sama sekali.
“Apa?Aku tak faham.” Fared mengerutkan dahinya yang berkeringat.Jantungnya bagai mahu pecah.Pencarian data minda Samsul terlalu besar rintangan yang perlu mereka hadapi.Apabila lelaki itu muncul, semudah itu dia menghentikan usahanya.Akalnya keliru.
“Aku dah tinggalkan dunia di sebelah sana.Tubuh aku tak mampu bertahan lama.Tugas kau dan Yazaid dah selesai.Tak perlu cari data minda aku lagi.Semuanya dah tamat. ‘Nyawa’ aku hanya wujud di sini.” Ringkas Samsul berkata merujuk kepada Hyperserv..Fared terkedu.Jantungnya bagai mahu terkeluar dari rusuk kirinya.
Sekilas Samsul memandang ke arah Kirin lalu tersenyum.Perempuan itu terundur setapak kebelakang.Ismail pula menganjak kedepan sedikit.Raut wajahnya serius mempertahankan Kirin namun jantungnya agak gentar.Melihat susuk tubuh lelaki yang bercahaya kemerahan itu bagaikan satu mimpi.Hanya ilusinasi.Hanya wujud di dalam imaginasi.
“Kirin.” Samsul memanggil gadis itu.Dia melambaikan tangan kanannya memanggil Kirin untuk mampir ke depan.Perlahan-lahan Kirin menapak perlahan menghampiri Samsul.Dia berdiri bersebelahan Fared yang terkaku.
Samsul mengukir senyuman. “Kirin… Kau dan Leo adalah salah satu daripada program rekaan aku.Kau berdua perlu mempertahankan Hyperserv ini hingga akhir nafas kau.Kau adalah kunci dan Leo adalah pagar.Sebahagian daripada data aku ada di dalam tubuh kau dan Leo.Pertahankan Hyperserv!” Kirin terdiam.Ternyata dia tidak mengingati apa-apa.Samsul mengerti.Dia akan lakukan sesuatu selepas ini untuk meraih semula kekuatan Kirin yang asal.Semasa percubaan pertama Samsul berada di sini suatu ketika dahulu, dia sempat memprogram dua data keselamatan berasingan.Kirin dan Leo tercipta.
“Musnahkan penceroboh Hyperserv seberapa segera.Nyawa kamu semua diambang maut.Ada sesuatu yang lebih dasyat akan menimpa Hyperserv tak lama lagi jika tidak dicegah.” Samsul menambah lagi.Ternyata dia lebih mengetahui perihal dunia kejam ini berbanding kedua sahabatnya.
“Selepas tu, kami boleh keluar dari sini?” Fared pula bersuara.Dia juga memikirkan perihal itu sedari tadi.Terkurung di dunia kejam ini umpama menyerahkan tengkuk sendiri ke tali gantung.
Lantas Samsul menggelengkan kepalanya tanda menafikan.Fared terdiam.Dahinya mula berkeringat.Umpama tidak ada jalan keluar buat selamanya.
“Virus telah berada disini.Di dunia ini.Musnahkan penceroboh untuk mengelakkan daripada perkara buruk berlanjutan.Selepas itu, kamu semua perlu memusnahkan virus itu pula.” Ringkas Samsul menerangkan.Ternyata Fared menjadi buntu.Sedangkan dia sendiri tidak mengetahui tentang kedatangan tetamu tidak diundang itu.Inikan pula tentang ada virus yang menyerang dunia itu menyebabkan mereka terperangkap disini.Dia menjadi buntu.Tidak tahu apa yang perlu dilakukan.Hyperserv masih terlalu baru.Banyak perkara misteri disini yang belum terungkai sepenuhnya.
Lantas Samsul mendongak ke atas memandang ke arah awan hitam kemerahan yang berada di atas kepala mereka.Lalu dia memandang semula ke arah Fared dan Kirin.
“Kirin..Cari Leo.Selepas ketemu, kamu berdua perlu pergi bersama menuju ke arah paling selatan perhutanan ini.Perjalanan agak jauh.Di sana, cari sebuah pondok batu di kaki pergunungan Fin Del Mundo.Cari Master Orb yang terletak di bawah tanah.Satu-satunya cara untuk memusnahkan virus.” Tubuh Samsul sesekali kelihatan mula terurai.Serpihan-serpihan kecil mula terawangan meninggalkan susuk tubuh itu dan mula menghilang sedikit demi sedikit.
Fared cuba mengapai sahabatnya itu.Pelukan talian persaudaraan yang terakhir.Selepas daripada ini, mereka tidak akan bertemu lagi.Misi yang disampaikan oleh Samsul terlalu ringkas dan memerlukan keligatan akal untuk mentafsir.Banyak perkara yang belum diketahui.
Belum sempat Fared mendakap sahabatnya itu, tubuh Samsul terurai sepenuhnya.Tubuhnya bersepai menjadi serpihan kecil kemerahan menerawang ke udara dan naik ke atas hampir serentak.Fared hanya memandang dengan pandangan sayu.Kehilangan sahabatnya itu pasti mengusarkan jiwanya yang masih memerlukan petunjuk untuk menerokai dunia kejam ini.
Di atas sana, serpihan cahaya kemerahan itu bersatu menjadi satu kelompok cahaya kemerahan yang lebih besar.Membentuk seperti sebiji bola sfera bercahaya kemerahan.Secara tiba-tiba, aliran angin menjadi kencang.Pantas menderu dikawasan itu sehingga memaksa mereka bertiga menundukkan badan masing-masing untuk mengelakkan diri daripada terhumban tanpa arah akibat tujahan angin kencang umpama ribut taufan itu.
Awan hitam kemerahan itu mula berpusar-pusar mengelilingi bola sfera cahaya itu.Pusarannya agak laju.Seolah-olah ribut menganas di atas sana.Mereka bertiga mencari batang pokok untuk mereka bertaut.Menahan diri daripada hambatan angin kencang itu.
Entah bagaimana, satu letupan yang mengegarkan jantung mereka bergema.Satu letupan gegak gempita umpama letupan supernova.Cahaya kemerahan itu umpama meletupkan dirinya sekali gus mengusir pusaran awan hitam kemerahan itu.Awan itu terpecah berserakan ke mana-mana arah.Lantas cahaya sfera kemerahan itu berpecah kepada dua.Satunya bergerak pantas ke satu arah yang tidak diketahui oleh mereka dan satu lagi pantas bergerak umpama kepantasan sambaran kilat menyasar ke arah Kirin.
Akibat impak panahan cahaya itu, Kirin terpelanting ke belakang beberapa meter jauhnya dan tidak sedarkan diri.Pantas Ismail mendapatkan Kirin.Fared menjadi kaget.Deruan angin ribut sudah reda.Hanya bayu sepoi-sepoi bahasa sahaja yang mengitari suasana.Fared melangoi ke atas memandang dada langit Hyperserv.Cerah seperti biasa.Awan hitam kemerahan sudah tidak berada di situ lagi.Dia mengeluh berat.
Kemunculan Samsul buat kali terakhir sekali gus membawa misi mereka yang seterusnya.Dia perlu mencari seorang lelaki bernama Leo untuk dibawa bersama Kirin ke arah paling selatan perhutanan ini.Sekali gus dia juga terpaksa mencari Yazaid yang berada di dunia nan luas ini.Persoalannya, dimana titik permulaannya.Fared mengerutkan dahi.Akalnya seolah-olah terbejat.Hambatan perasaannya sendiri melumpuh seluruh tubuhnya dan akalnya.Dia tidak tahu apa yang terjadi di luar sana dan apakah nasibnya disini selepas ini.Mungkin bertemu dengan lelaki bernama Leo itu atau...mati disini.
>>Bersambung [Server 19]
ns 15.158.61.17da2