Gua Grotte Bardtan, Fuego, HyperServ
Buat sekian kalinya, Tajima dan Zaidi di kurung di dalam sebuah kurungan batu bersaiz sederhana besar bersesuaian dengan manusia.Satu pengawal bangsa Valkazar dapat menangkap mereka berdua ketika mereka berdua menyelinap masuk ke dalam bilik yang didakwa memiliki timbunan emas.
Mereka berdua dibawa ke sebuah bilik yang tidak diketahui lokasinya.Kurungan mereka dibungkus dengan sehelai kain hitam dan hanya dibuka apabila mereka tiba di sebuah bilik yang agak suram dan gelap.Di satu sudut bilik itu, terdapat satu susuk tubuh bangsa Valkazar yang duduk bersila dengan kaki bersilang memerhatikan gelagat mereka berdua di dalam kurungan ini.Wajahnya tidak kelihatan kerana ditutupi kegelapan.
“Kau siapa?” Zaidi kelihatan lebih berani menengking berbanding Tajima yang lebih banyak berdiam diri memikirkan cara untuk melepaskan diri.
“Kalian bangsa manusia yang tak pernah serik.Sering kali berbunuhan sesama sendiri demi kekayaan.” Sindir sinis makhluk itu.
“Kami bukan memburu kekayaan.” Zaidi cuba berselindung.Tajima memincingkan matanya cuba mengamati susuk tubuh bangsa Valkazar itu.
Lantas susuk tubuh itu bangkit berdiri dan menapak ke arah mereka.Suasana bilik itu agak menyeramkan.Ianya hanya diterangi dengan sebatang api jamung sahaja yang terlekat membelakangkan kurungan batu Tajima dan Zaidi.
Apabila sinaran api jamung menyimbahi wajah makhluk Valkazar itu maka terserlahlah wajahnya.Tajima membulat matanya.Wajah itu dikenali.
“Kau...kaulah pengawal yang suruh aku meminta kekuasaan daripada kekayaan,kan? Kau pengawal yang mengusung sangkar batu kami masa kami belum masuk ke istana?” Tajima menudingkan jari ke arah bangsa Valkazar itu lalu makhluk itu tergelak dengan suara yang parau dan berdengung-dengung.Tajima mengingati saat ketika mereka berada di luar istana.Ada satu pengawal yang mengingatkan dirinya supaya mengambil kekuasaan berbanding kekayaan.Dan pengawal itulah yang menangkap mereka di bilik emas itu.
“Ingatan kau memang baik.Memang aku yang sarankan untuk kau memilih kekuasaan berbanding kekayaan apabila kau berhadapan dengan Raja Raa esok.” Makhluk itu berjalan mengelilingi kurungan batu mereka.Menderam-deram direngkongam umpama singa yang kelaparan.
“Siapa nama kau? Makhluk hodoh?” Zaidi menyoal.Namun, secara tiba-tiba kurungan batu mereka ditolak kasar dan jatuh ke lantai.Tajima dan Zaidi terpelanting ke serata arah.Batang tubuhnya terhambat ke palang-palang batu.Sakitnya bukan kepalang.
“Jangan kau permainkan nama aku,faham?! Itu bukan soalan yang tepat!” Makhluk itu menjerkah keras.
Kedua-dua mereka tidak terkata apa-apa.Hambatan keras membejatkan seluruh urat sendi mereka.Terasa tulang-belulang patah riuk.Lalu, kurungan batu mereka diangkat semula dan diletakkan di atas sebuah meja batu.Wajahnya yang hodoh dan mengerikan didekatkan ke palang-palang batu mereka berdua.Matanya terjengil keluar.Kedua-duanya terbeliak kemerahan.Tanduknya meruncing ke belakang.
Tajima dan Zaidi terkejut apabila tersergah sebegitu.Lalu makhluk itu tergelak sinis menderam-deram.Makhluk itu berpeluk tubuh dan berjalan berlegar-legar disekeliling kurungan batu mereka.Tajima mengerahkan akalnya.Bagai ada sesuatu yang diingini oleh makhluk Valkazar ini.Bangsa ini begitu licik.Mereka boleh mempergunakan kesempatan yang ada demi meraih apa yang dihajatkan meskipun terpaksa berkorban nyawa.
“Apa yang kau nak?” Tajima bangkit perlahan-lahan.Menahan kesakitan di bahagian pinggang.Terasa tubuhnya memberat seolah-olah anggota tubuhnya diikat dengan batu dan ditarik ke bawah.Sejurus sahaja Tajima bertanya, makhluk itu ketawa sinis lagi.Semakin lama semakin garau.
“Ya..Itu soalan yang patut kau tanya, wahai manusia.” Makhluk Valkazar itu berjalan menapak berhadapan dengan Tajima.
“Aku mahukan kuasa.Sebab itu aku suruh kau, minta kekuasaan berbanding kekayaan.” Makhluk itu menyerigai.
“Bukan ke kau dari bangsa ini? Kau sememangnya sudah ada kuasa yang kami tak ada?” Tajima mengerutkan wajah.
“Kau jangan hina aku!” Makhluk itu menjerkah.Tajima dan Zaidi menekup kedua-dua telinganya.Jerkahan makhluk itu umpama halilintar yang membelah bumi.Memecahkan gegendang telinga terutama apabila dijerkah dalam jarak yang sebegini dekat.
“Aku tiada apa-apa kuasa di sini.Bukan disini.Tetapi di luar sana aku akan jadi berkuasa.Lebih berkuasa dari Raja Raa sendiri.Aku yang memerintah.Aku yang berkuasa.Faham!” Makhluk itu membentak-bentak.Sesekali tubuhnya mengeluarkan percikan api tanda hatinya dibakar amarah.
“Kau..tak boleh minta kuasa itu sendiri dari Raja Raa?” Tajima memberanikan diri untuk bersoal jawab.
“Valkazar yang lain pernah meminta kekuasaan dari Raja Raa sebelum ini.Dan selepas itu, mereka...mati.” Makhluk itu menderam-deram.Tajima dan Zaidi terkedu mendengar perkataan ‘mati’.
“Bagaimana?” Zaidi pula bertanya.
“Dibunuh!” Makhluk itu menjengilkan matanya yang merah menyala.Tajima dan Zaidi terundur beberapa tapak ke belakang.
“Raja Raa tidak membenarkan sesiapa pun dikalangan bangsa kami memiliki secebis pun dari kekuasaan yang dia ada kecuali mereka yang Raja Raa kehendaki seperti Runaan dan Xeados.Selebihnya, akan mati di tangan Raja Raa.Dibunuh sendiri oleh Raja Raa kemudian kuasa itu akan diambil semula.” Makhluk menderam-deram kemarahan.
“Kau berdua! Akan memiliki kekuasaan yang akan diberikan oleh Raja Raa.Kemudian, serahkan pada aku.Nescaya kau berdua akan aku lepaskan dari dunia ini.Keluar dari sini hidup-hidup.Aku sendiri yang akan menghantar kau berdua pulang ke tempat asal kau.Tentang Xeados, biar aku uruskan.” Makhluk itu menawarkan ‘jalan belakang’ untuk pulang dengan selamat.
“Kalau kami enggan?” Persoalan Zaidi ternyata membawa bala.Tajima memandang Zaidi dengan penuh rasa amarah.Makhluk itu memandang bengis ke arah Zaidi.
“Jika kalian enggan, kalian hanya akan tinggal nama sahaja! Mayat kalian juga tidak akan dijumpai oleh sesiapa pun sampai bila-bila.Kalian juga tidak akan sempat bertemu dengan Raja Raa esok hari kerana malam ini adalah malam terakhir nyawa kalian menakungi jasad! Faham!” Makhluk menawarkan detik kematian kepada Tajima dan Zaidi jika mereka berdua enggan memberi kerjasama.Ternyata ini umpama salah satu daripada perjanjian syaitan yang tidak pernah berhenti untuk menyesatkan manusia sejagat.
“Baik! Kami setuju jika kau boleh berikan kami sedikit dari kekuasaan dan kekayaan untuk kami bawa pulang.Setuju?” Tajima bijak mengatur strategi.Meskipun kedengaran agak mustahil namun demi kelangsungan hidup, dia terpaksa tawar-menawar.Kedua-dua pihak merasai keuntungan masing-masing.Makhluk itu menderam-deram lalu tergelak kecil bersuara garau.
“Kau memang bijak, manusia.Kau memang bijak.Memandangkan aku yang menangkap kalian menyelinap masuk ke bilik emas Raja Raa, jadi hanya kita bertiga sahaja mengetahui perbincangan kita ini.Jika kalian mengkhianati, kalian berdua akan aku hapuskan serta-merta.Tanpa simpati!” Makhluk itu memberi amaran keras.Ternyata makhluk itu bijak bermuslihat.Sengaja dia membiarkan kedua-dua manusia itu menyelinap ke bilik emas Raja Raa dan memerangkap mereka disana.Ini bermakna pilihan hidup atau mati Tajima dan Zaidi bergantung pada tangan makhluk itu.
“Setuju atau tidak?” Tajima tidak terjerat.Dia menunggu bait kata putus dari makhluk pembelit itu.Makhluk itu menyedari muslihatnya tidak mengena dan menderam-deram kemarahan.Jika dihapuskan nyawa keduanya maka dia tidak akan dapat memiliki kekuasaan dari Raja Raa.Mahu atau tidak, dia terpaksa bersetuju.
Tajima dan Zaidi berpandangan sesama sendiri.Cuba untuk mendapatkan persetujuan dari makhluk Valkazar yang licik ini ternyata bukan mudah.
“Baik.Aku setuju.” Makhluk Valkazar itu menderam-deram menahan amarah.Perlahan-lahan dia menapak menuju ke arah kurungan batu yang mengurung Tajima dan Zaidi.
“Jika aku terhidu sebarang pengkhianatan, kalian tidak akan mampu bernafas lagi. Faham!” Ternyata makhluk itu terlalu menginginkan kuasa dari Raja Raa.Tanpa disedari, dia juga berhasrat untuk membuat khianat terhadap kerajaan Valkazar itu sendiri dengan mempergunakan Tajima dan Zaidi.
Lalu dia menutup semula kurungan batu Tajima dan Zaidi dengan sehelai kain berwarna gelap.Kurungan batu mereka terasa bergoyang apabila diangkat.Tajima dan Zaidi lekas-lekas duduk di atas lantai kurungan itu bagi mengelakkan diri mereka dari terhumban ke mana-mana arah ketika makhluk itu membawa mereka ke satu tempat yang lain.
Sesekali mereka terdengar hilai tawa bangsa itu yang berdekah-dekah.Tidak kurang pula ada suara seolah-olah mereka bergaduh sesama mereka.Makhluk yang membawa kurungan mereka itu melewati dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain.Menyelinap di antara bangsa Valkazar yang buas itu.
Apabila tiba di satu tempat yang lain, kedengaran daun pintu bilik dikuak dan dikatup kembali.Serta-merta kurungan mereka bergegar seolah-olah dihempas ke lantai.Kain hitam yang menyelubungi kurungan mereka disingkap.Tajima dan Zaidi memandang ke serata arah.Mereka sudah berada di bilik mereka.
Pintu kurungan dibuka lalu mereka berdua dibenarkan keluar.Makhluk itu lantas berdiri dan menyeluk beg kecil di bahagian belakang tubuhnya.Di tangannya kelihatan ada seutas tali yang lebar lalu dipotong menjadi dua bahagian yang pendek.Satu utas di serahkan kepada Tajima dan seutas lagi diserahkan kepada Zaidi.Mereka berdua berpandangan sesama sendiri.
“Ikat tali itu di pangkal lengan kanan kalian.” Makhluk itu memberi arahan selanjutnya.Tanpa banyak bicara, Tajima dan Zaidi mengikat tali yang diserahkan oleh makhluk itu kepada mereka pada pangkal lengan kanan berhampiran dengan ketiak.Kemudian, makhluk itu membaca sesuatu dalam bahasa yang tidak difahami.Tajima dan Zaidi kehairanan.
Tidak semena-mena, simpulan ikatan tali tersebut terlerai dan bercantum hujung dengan pangkal seolah-olah tidak pernah terpotong.Malahan, ikatan tali itu menjadi ketat pada pangkal lengan.Tajima cuba menanggalkan tali itu namun gagal.Ikatan semakin ketat.
“Itu adalah jalur perjanjian.Selagi perjanjian kalian pada aku tidak tertunai, ikatan itu tidak akan terlerai dan semakin kelamaan kalian menangguh, ikatannya semakin ketat sehingga menghalang laluan urat darah ke seluruh lengan.Pada akhirnya jika perjanjian kalian tidak tertunai, ikatan yang ketat itu bertambah ketat sehingga kalian kehilangan lengan kanan kalian. sekali gus menusuk bisa beracun ke jantung kalian.” Makhluk itu mengenakan tali lebar itu pada lengan kanannya.Jampi serapah dibaca dan tali itu bersambung dengan sendiri hujung dengan pangkal.Ikatannya pada lengan kanannya juga mengetat.
“Sekarang, kita bertiga mempunyai perjanjian.Kalian berdua akan memperolehi kekuasaan dari Raja Raa dan akan menyerahkan kuasa itu pada aku.Dan aku memegang janji untuk menyerahkan sedikit kekuasaan kepada kalian selepas kalian memperolehi kekuasaan dari Raja Raa.Dan aku akan serahkan sedikit kekayaan Raja Raa kepada kalian.” Makhluk itu mengunjurkan tangan kanannya dengan mengepalkan tangannya.Tajima dan Zaidi juga turut membuat perkara yang sama.Digenggamkan kepalan tangan kanan lalu diunjurkan ke hadapan.
Secara tiba-tiba, tali yang mengikat lengan kanan masing-masing mengeluarkan cahaya kemerahan lalu menghilang.Tanda perjanjian termeterai.Perjanjian yang membawa maut atau sebaliknya.Perikatan yang tidak membawa keuntungan pada kedua-dua pihak.Sekadar untuk kepentingan diri dan memuaskan hawa nafsu semata.
Tajima dan Zaidi tersenyum lebar.Terbayang pada mata mereka kekuasaan yang bakal mereka perolehi serta kekayaan yang telah dijanjikan oleh makhluk Valkazar yang mengikat janji itu.Perilaku Valkazar tidak ubah seperti syaitan dan iblis.Perjanjian yang membawa mati.Mati yang sia-sia dan tidak pernah mendatangkan kebaikan.Lebih mementingkan keuntungan untuk diri mereka sendiri.
“Nama kau siapa?” Zaidi masih bertanyakan soalan maut itu.Wajah Tajima pucat lesi.Hanya kerana soalan itu tadi menyebabkan mereka hampir terbunuh.Kini, persoalan yang sama diulangi oleh Zaidi.Ternyata Zaidi tidak menghargai nyawa berbanding kekuasaan dan kekayaan.Makhluk itu menderam-deram.Wajahnya membengis.
“Draxol.” Pantas makhluk bernama Draxol itu meninggalkan mereka.Zaidi tersenyum puas.Kekayaan yang bakal diperolehi akan ditinggalkan disini untuk sementara.Dengan kekuasaan yang ada akan disemarakkan lalu masa menjatuhkan Hyperserv semakin hampir.Terbayang kejayaan demi kejayaan jahat mereka menari-nari di layar minda.
[To be Continued >> Server 44]
ns 15.158.61.17da2