Yazaid berdiri menghadap pantai.Meskipun pandangan matanya tidak dapat melihat sejauh mata memandang kerana suasana gelap malam namun telinganya dapat mendengar ceburan air ombak yang menghempas pantai Letrai Bay itu.Hatinya galau bercampur resah.Amarah menjadi kesal.Tubuhnya kehilangan tenaga yang agak banyak akibat hambatan pertarungan maut siang tadi.Sesal dihatinya tidak berkesudahan.
Leo telah menceritakan segala-galanya ketika dia terlantar di bilik pemulihan.Dia tersilap perangkaan.Menuduh sesuka hati mengikut hawa nafsu.Bangsa Letrazie ini ternyata hanya menjalankan tugasan mereka sahaja demi kepentingan keselamatan mereka.Setiap perkumpulan atau mana-mana individu yang mencurigakan pasti akan ditambat apabila mereka memasuki kawasan jajahan Letrai Bay dengan cara serangan hendap terlebih dahulu sebelum disoal siasat.Apabila sudah dipastikan perkumpulan itu bukannya musuh, ada dua perkara yang ditawarkan iaitu datang ke perkampungan Letrai Bay sebagai tetamu terhormat atau bebas untuk keluar meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing tanpa bantahan.
Ternyata Yazaid tersilap menjatuhkan andaian sekali gus memakan dirinya.Andaian yang berasaskan tuduhan itu ternyata tidak kukuh apabila tidak mempunyai hujah yang ampuh.Tanpa soal selidik dan tanpa usul periksa.
Yazaid mengeluh berat. Lebih memberati jiwanya apabila dia menuduh Leo sebagai pengkhianat sedangkan lelaki itulah yang banyak membantunya sepanjang perjalanan.
Anak telinga Yazaid mendengar derapan kaki menginjak pasir di belakangnya.Pantas dia menoleh.Kelihatan susuk tubuh seorang perempuan menghampiri dirinya.Gadis itu memegang sehelai pakaian tebal.
Kawasan perairan Letrai Bay itu diterangi dengan tiang-tiang api jamung yang terpacak sepanjang pantai itu.Kelihatan beberapa buah kerusi batu terbina tidak jauh dari bibir pantai.
“Jauh awak bermenung.Fikirkan apa?” Susuk tubuh itu amat dikenali.Lantas Yazaid melemparkan pandangan jauh ke arah lautan semula.Elizia menyarungkan kain tebal pada tubuh Yazaid.Bagi mengelakkan tubuh Yazaid dari dihambat kesejukan.
“Macam mana saya nak berhadapan dengan Elsa dan Kapten Zayyan? Saya malu tersilap menjatuhkan andaian.” Kedengaran nada Yazaid seakan rajuk.Elizia menarik lengan Yazaid dan membawanya ke bangku batu yang berhampiran.Mereka duduk bersebelahan.Menikmati pandangan dan suasana malam di Letrai Bay.Ternyata amat menenangkan jiwa.
“Leo dah ceritakan segala-galanya.Pada awak, Elsa dan Kapten Zayyan.Pada semua orang.Semua ini cuma salah faham.” Elizia cuba memujuk hati Yazaid yang galau.
“Tapi saya tetap malu.Saya tak tahu macam mana saya mahu berhadapan dengan mereka.” Yazaid melepaskan keluhan halus yang memberati jiwanya.
“Setiap manusia tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan, Yazaid.Setiap kesilapan yang kita lakukan pasti akan mendapat imbalan.Imbalan inilah yang kita jadikan pengajaran dalam kehidupan.” Elizia memaniskan rona wajahnya.Yazaid memandang sekilas.
“Peperangan tidak akan pernah menyelesaikan permasalahan.Lebih mendatangkan kemudaratan.” Keluh Yazaid.Lebih kepada monolog.Dituju ikhlas pada dirinya sendiri.Perjalanan mereka di dunia Hyperserv ini banyak memberikan pengajaran yang tidak pernah diambil peduli ketika berada di dunia manusia.Segalanya dipandang remeh tetapi disini segalanya seakan realiti.Mengajarkan sesuatu yang boleh dijadikan panduan dan peringatan.
“Tapi cara awak fight siang tadi buat saya jatuh hati pula.Memang handal.” Elizia berkata dengan nada memujuk.Yazaid sekadar tersenyum.Hatinya terubat sedikit.
“Tapi...saya perasan sesuatu.Setiap kali Elsa melancarkan serangan pelik tu, dia macam ada baca sesuatu.Macam...mantera.Awak perasan tak?” Yazaid mengerutkan dahinya.Elizia berfikir-fikir lalu menggelengkan kepalanya tanda tidak menyedari kejadian yang dimaksudkan oleh Yazaid.
“Ya saya yakin.Elsa ada baca sesuatu sebelum melancarkan serangan.Benda tu macam...jampi serapah.Macam...teknik sihir, mungkin?” Yazaid menduga-duga.Elizia sekadar mendiamkan diri menjadi pendengar setia.
“Itu bukannya sihir seperti yang ada di dunia manusia.” Satu suara menyapa dari belakang.Yazaid dan Elizia berkalih memandang ke arah empunya suara itu.
Kapten Zayyan berjalan perlahan melintasi mereka berdua dan berdiri agak meminggir.Memandang jauh ke arah tengah lautan.Yazaid bingkas bangkit dan menuju ke arah Kapten Zayyan.Elizia mengambil keputusan untuk balik ke biliknya untuk berbincang sedikit perkara dengan Elsa.Meninggalkan Yazaid berdua dengan Kapten Zayyan.Pasti ada perkara yang mahu dibincangkan diantara mereka berdua.Pastinya mustahak.
“Tapi, Kapten.Saya mendengar Elsa membaca sesuatu sebelum melancarkan serangan pelik tu.Di dunia manusia, ianya adalah sihir.” Yazaid menegakkan hujahnya.Kapten Zayyan tergelak kecil sambil mengurut-urut janggutnya yang panjang dan berwarna putih itu.
“Kau perlu ingat, Yazaid.Di dunia manusia, tiada perkara seperti yang kau lihat di dunia ini.Di dunia manusia, segalanya berlandaskan logik akal.Segalanya berlandaskan kehidupan realiti.” Kapten Zayyan bersuara serak-serak basah itu berhujah.Yazaid sekadar mendengar tanpa mahu mencelah.Dia mahu mendengar jawapan dari pahlawan lagenda itu.
“Di dunia ini, setiap perkara boleh terjadi dan berlaku.Segalanya adalah aliran pangkalan data.Ianya sekadar sebuah program.” Kapten Zayyan ringkas memberi hujah.
“Program?” Yazaid umpama tersedar dari mimpi yang panjang.Dia tidak menyedari bahawa keberadaannya di dunia digital ini sudah terlalu lama sehinggakan terlupa akan jasadnya yang terbaring kaku di luar sana.Dia meraup wajahnya.Keluhan halus terhembus.
“Hyperserv diserang ketika ini tetapi virus itu masih tidak kenampakan.Menunggu masa yang sesuai untuk menyerang.Masa Valkazar semakin hampir untuk terlepas dari penjaranya.Penceroboh menyelinap masuk ke dunia ini tanpa izin.” Kapten Zayyan tidak mengubah reaksi wajahnya namun kelihatan serius.Dia memandang Yazaid sekilas.
“Kapten...tahu tentang semua perkara tu?” Yazaid semakin bingung.Kapten Zayyan tergelak kecil melihat ulah Yazaid.
“Kau tidak seperti guru kau, Yazaid.Lelaki itu lebih hebat.Lebih licik.Lebih berpengaruh.Tapi aku tak salahkan kau.Kau hanya penyambung legasi Rayfall sahaja.Tetapi itu bukan bermakna kau tidak boleh jadi sehebat Rayfall.Itu bukan batu penghalang.” Kapten Zayyan memandang tajam ke arah Yazaid.Kelihatan Yazaid semakin keliru.
“Rayfall membina dunia ini dahulu.Dia bercita-cita tinggi untuk mencipta dunia ciptaannya sendiri.Segalanya berlandas logik akalnya.Setiap apa yang terlihat disini adalah logik Rayfall.Haiwan dan hidupan disini adalah rekaan semata-mata.Kami juga tidak terikat dengan masa.” Kapten Zayyan berhujah seolah-olah dia pernah hidup sezaman dengan Rayfall.Hati Yazaid memberontak untuk mengetahuinya.
“Tidak terikat dengan masa?” Yazaid meluahkan persoalan.
“Usia kami.Ada yang mengatakan usia kami ribuan tahun.Ada juga yang mengatakan usia kami ratusan tahun.Dan paling tidak logik, ada juga yang mengatakan usia kami jutaan tahun.” Kapten Zayyan tergelak kecil.Yazaid tetap mendiamkan diri.
“Sejujurnya, kami hidupan disini tidak terikat dengan masa di dunia realiti. Pergerakan masa di dunia ini tidak terhitung.Usia dunia ini juga tidak diketahui.Rayfall tidak menetapkan talian masa pada dunia ini dan merahsiakannya.Rahsia itu juga hilang bersamanya.” Nada Kapten Zayyan semakin mengendur.Wajah tuanya bermuram durja.Seolah-olah mengimbau kembali kenangan-kenangan pahit dilayar memori.Yazaid mengesan perubahan itu lalu tidak bertanya lanjut.
“Kau selaku penyambung legasi Rayfall.Kau mampu untuk menjadi sehebat dia.Kau mampu mengantikannya sebagai pemerintah dunia ini.Menyambung legasi zaman kegemilangannya, Yazaid.” Kapten Zayyan memandang Yazaid dengan mata yang berbinar penuh pengharapan.Yazaid terkedu tidak terkata.
“Aku akan ajarkan kau beberapa teknik peperangan yang mungkin Rayfall mahu kau warisi.Valkazar lebih dahsyat daripada apa yang kau bayangkan.Kau perlu bersedia.Jika kau bertempur dengan Valkazar dengan kemahiran kau sekarang, aku yakin kau akan mati.” Kapten Zayyan berkalih memandang Yazaid lalu berjalan meninggalkan Yazaid dibelakang.Yazaid mendapatkan Kapten Zayyan semula.
“Kapten nak ajar saya?Ajar teknik berperang?” Yazaid menjadi bersemangat.Kapten Zayyan tergelak kecil dengan suara yang tertahan-tahan dihalkum.
“Bukan aku yang ajarkan kau tetapi anak aku.Dia lebih mahir dan arif dalam bab perguruan tempur.Aku sudah berusia.Tak larat untuk lakukan semua perkara.” Kapten Zayyan terbatuk yang dibuat-buat sambil matanya mengerling ke arah Yazaid.Membulat anak mata Yazaid.Dia tidak pernah mengetahui Kapten Zayyan ada memiliki zuriat.
“Anak Kapten? Siapa?” Yazaid mengerutkan dahinya.Kapten Zayyan memandang sekilas ke arah Yazaid sambil tersengih-sengih.
“Elsa. Satu-satunya anak perempuan aku.Ketua batalion AST bangsa kami.Dia yang akan ajarkan kau banyak perkara kemudian nanti.Aku akan berbincang dengan Elsa.Kau hanya bersedia esok pagi di gelanggang.Kita tidak ada banyak masa untuk dibazirkan.” Kapten Zayyan meninggalkan Yazaid yang kelihatan terkejut bukan kepalang dan terpinga-pinga.
“Serius lah!!” Yazaid separuh melaung.Dia tidak menyangka Elsa merupakan anak gadis kepada Kapten Zayyan.Yazaid mula terfikir sendirian.Anak gadisnya sahaja sudah berupaya untuk membunuh musuh dengan teknik-teknik yang aneh namun ampuh malahan keupayaan teknik tempurnya begitu hebat.Kepantasannya tidak terduga malahan tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.Geraknya umpama bayang.Tidak dapat dibayangkan jika Kapten Zayyan menunjukkan kekuatan sebenarnya.Meremang roma Yazaid apabila memikirkannya.
Kapten Zayyan tersenyum sinis meninggalkan Yazaid berseorangan melayani perasaannya sendiri.Baru siang tadi dia bertempur hebat dengan Elsa.Kini, dia perlu berguru dengan anak gadis Kapten Zayyan itu.Regu yang sama di gelanggang yang hendak dibunuh olehnya siang tadi.
Akal Yazaid terbejat.Seolah-olah dunia berhenti berputar.Dirasakan tubuhnya terawang-awang.Gadis yang mahu membunuhnya itu adalah gurunya kelak.Seolah-olah akalnya menidakkan realiti.Tidak mampu dihadam oleh mindanya.
Angin malam yang berembun tidak mampu menyejukkan hatinya yang bergalau dan bergelora.Kakinya seolah-olah kaku tidak bergerak.Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaannya pada pagi keesokan hari.
Masa kian berganjak meninggalkan jejak peredaran waktu.Siang berganti malam dan malam berganti siang.Mengikut laluan peredaran yang tidak pernah tersasar dari aturan yang telah ditetapkan.Perguliran waktu yang pasti memamah usia sedetik demi sedetik.
Hening pagi itu tidak seperti hening pagi semalam.Ruang kerusi penonton kelihatan kosong dan sepi.Tiada satu pun kelibat susuk tubuh berada di situ.Suasananya begitu hening.Tidak seriuh pagi semalam.
Elsa berada di tengah-tengah gelanggang menantikan kehadiran Yazaid.Berita itu disampaikan sendiri kepadanya oleh Kapten Zayyan.Meskipun dia membantah sekeras-kerasnya namun atas alasan Kapten Zayyan tersendiri, dia terpaksa akur untuk mengambil Yazaid sebagai anak muridnya buat masa ini.Elsa terkenal dengan sikap keras kepalanya.Sering kali melanggar arahan Kapten Zayyan namun tidak pada arahan ini.Kapten Zayyan kelihatan tegas sekali.Sesekali terdengar keluhan halusnya terhembus.Terbayang pelbagai kenangan dan peristiwa sepanjang menjalani kehidupan bermain-main dilayar minda.Oleh kerana asas latihan oleh Kapten Zayyan sendiri yang begitu tegas dan berdisiplin tinggi, dia berjaya melayakkan dirinya meraih jawatan sebagai ketua batalion pasukan AST bagi bangsa Letrazie ini.Dia berhasrat untuk berkhidmat di bawah naungan AST.Menumpahkan bakti pada perkampungannya ini.
“Elsa.” Satu suara menyapa.Elsa memandang sekilas ke arah suara itu.Yazaid berjalan beriringan bersama Elizia.Yazaid tampak lebih bersemangat pada pagi ini.Lelaki itu telah berjumpa dengan Elizia dan membincangkan tentang hal ini.Pasti Elizia berjaya memujuk gelora di dalam hati Yazaid.Namun, riak wajah Yazaid tampak kelihatan risau.
“Aku tak akan bersimpati di dalam latihan aku.Kau kena dengar setiap arahan yang aku berikan dan kalau kau ingkar, kau perlu menerima hukuman.Faham?” Elsa kelihatan tegas didalam berbicara.Yazaid sekadar mengganggukkan kepalanya.Elizia meminggirkan diri dan mengambil tempat di bahagian penonton.Sekadar menjadi pemerhati kepada latihan yang bakal ditunjukkan oleh Elsa.
“Aku tak akan ajar kau teknik bertempur fizikal.” Elsa mengulas ringkas tentang sesi pembelajarannya ini.Yazaid kelihatan bingung.
“Aku akan ajar kau, teknik menggunakan system call.” Elsa merentangkan kedua tangannya.Yazaid terkedu tidak terkata.Dalam pertempurannya tempoh hari, Elsa menggunakan teknik itu dan kini dia bakal mempelajari teknik itu dari ‘musuh’nya.
193Please respect copyright.PENANAkLjSDdDD0w
[To be continued >> Server 46]
ns 15.158.61.44da2