Baki tentera Yaneko yang terselamat di dalam tragedi berhampiran pintu barat Hyperserv kembali semula ke perkampungan mereka di pohon Tamashi. Nun di jauh di puncak, kelihatan berbondong-bondong jelata Yaneko memenuhi ruangan pelantar utama itu. Mereka melakukan ritual peringatan pada kenalan mereka yang terkorban di dalam tragedi malam ini.
Fared dan Estrella berada di pelantar tengah di antara pelantar utama dan pelantar sebelah bawah. Fared sekadar melepaskan keluhan halus. Tiada sepatah kata di antara mereka berdua. Hanya sesekali terdengar keluhan halus yang memberati jiwa masing-masing. Masing-masing diselubungi lamunan masing-masing. Berkocak jiwa mereka dengan perasaan yang bercampur-baur. Untung Fared dan Estrella tiba tepat pada waktunya namun Estrella kesal tidak sudah-sudah kerana terlewat tiba. Jika mereka tiba lebih awal, pasti tiada nyawa Yaneko yang terkorban.
“Eeerr.. Fared..” Estrella bersuara. Fared menyahut hanya dengan seulas senyuman merauti wajahnya ketika memandang ke arah Estrella. Gadis itu sekadar menguntum senyuman halus.
“Saya...minta maaf...Ismail, dia..” Perasaan kesalnya masih terbuku dihati. Fared tergelak kecil.
“Tak apa. Dia bukan kemana-mana. Dia kembali ke dunia asalnya. Dunia manusia.” Fared semenangnya mengetahui tentang perkara itu. Estrella hanya bersimpati.
“Sejujurnya, saya tak tahu apa makhluk yang bawa Ismail pergi.” Meremang roma Estrella apabila mengingat kisah yang diceritakan kepadanya oleh saksi yang melihat kejadian itu.
“Brothome.” Ringkas jawapan Fared. Estrella hanya mendiamkan diri. Sekadar menjadi pendengar sahaja.
“Bro.. apa?” Estrella menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ulah itu membuatkan Fared tergelak kecil. Sejujurnya, Estrella kurang faham tentang makhluk itu.
“Brothome. Nama makhluk yang membawa Ismail pergi. Pulang ke dunia asalnya. Dunia manusia...bukan namanya secara spesifik tetapi lebih kepada nama gelaran yang diberikan oleh entah siapa dan tersebar.. Brothome.” Fared memandang Estrella sekilas.
“Sebab Ismail manusia? Habis, kenapa awak tak dibawa pergi? Kenapa Bro...eerr.. benda hitam tu tak bawa awak pergi? Awak pun manusia biasa” Estrella mula mempersoalkan kejadian itu.
“Brothome adalah makhluk misteri ciptaan Rayfall. Tugasnya cuma satu. Setiap manusia yang masuk ke dunia Hyperserv perlu kekal sebagai manusia tanpa sebarang kuasa elemen sama ada diambil secara sengaja atau tidak sengaja dari dunia ni. Apabila sampai pada waktunya yang hanya Brothome yang tahu, makhluk ni akan mencari manusia-manusia yang memiliki kuasa elemen di dalam tubuhnya dan di bawa keluar pulang ke dunia asalnya. Sebabnya? Setiap rekaan Rayfall di dalam Hyperserv bertindak mengikut apa yang telah di program kan padanya tetapi manusia... seringkali terlupa diri dan gemar mengeksploitasi. Untuk mengelakkan dari manusia-manusia sebegini, Brothome ditugaskan untuk membawa mereka pulang buat seketika.” Panjang lebar huraian Fared.
“Buat seketika? Maknanya Ismail boleh masuk semula?” Estrella tertanya-tanya.
“Ya.. tetapi tempohnya tidak tetap. Rayfall telah menetapkan begitu programnya. Bila Ismail boleh masuk semula, tiada siapa tahu. Entah-entah, dia sendiri yang tidak mahu masuk semula.” Fared mengerling ke arah Estrella yang tetap anggun di kaca matanya.
“Tapi kan...” Bait bicara Estrella terhenti. Fared menoleh sekilas menunggu bait bicara gadis itu yang seterusnya. Terpancar riak wajah gadis itu menandakan kerisauan bergulir di dalam hati rawannya.
“...awak tak rasa ke yang Bro....eerr.. makhluk hitam tu akan datang semula?” Estrella tertunduk. Fared mengerutkan dahinya.
“Kenapa?” Fared menongkat dagu memandang dan menghadap ke arah gadis itu.
“Awak juga manusia biasa. Dan awak.. memiliki kuasa elemen dari dunia ni. Awak tak rasa ke nanti...makhluk tu pun akan datang dan...bawa awak pergi?” Estrella menatap anak mata Fared. Menyelami jiwa dan perasaan jejaka itu. Dari pandangan mata Estrella, terbit sinar kegusaran yang dapat dihidu oleh Fared. Lelaki itu sekadar senyum bersahaja.
“Brothome akan membawa manusia biasa yang mempunyai kuasa elemen sahaja pergi. Tetapi tidak pada Administrator.” Ringkas hujah Fared. Estrella kelihatan tidak memahami maksud Fared.
“Rayfall telah memprogramkan tiga orang berjawatan Administrator di dalam Hyperserv. Yazaid, saya dan....” Kata bicaranya terhenti apabila teringatkan sahabat baiknya seorang lagi yang telah terkorban. Raut wajah Samsul masih jelas di kaca fikirannya. Estrella memahami isi hati lelaki itu lantas bertindak untuk tidak bersuara. Sekadar mengganggukkan kepalanya sahaja.
“Ini bermakna... ada tiga orang yang berkuasa di dalam Hyperserv yang tidak dapat disentuh oleh program lain di dunia ni. Dan... saya bersama dengan salah seorang yang berkuasa di dalam Hyperserv.” Tanpa diduga, Estrella memeluk lengan Fared sambil tersenyum manis. Terbit rona merah di wajah lelaki itu. Sejak dia memutuskan untuk melatih Estrella tempoh hari, ada ketikanya perangai gadis itu semakin lama semakin manja apabila berbicara dengannya. Entah aneh-aneh sahaja.
“Ehem...” Satu suara menyapa. Kelam-kabut Estrella melepaskan pautannya pada lengan Fared dan tersipu-sipu malu. Fared pula berlagak macho dan cool. Ulah kedua merpati sejoli itu mencuit hati.
“Macam mana latihan kamu, Estrella?” Ma’am Rosalind berjalan perlahan ke arah bersebelahan Estrella.
“Eerr.. baik saja, ma’am.” Fared sekadar tersenyum.
“Saya tahu... kamu sangat istimewa, Estrella. Kamu tidak memiliki keupayaan memanah yang biasa seperti yang lainnya.” Ma’am Rosalind memaniskan rona wajah.
“Apa yang berlaku dalam latihan kau, Estrella?” Satu suara lagi menyapa mereka bertiga. Serentak itu juga ketiga-tiganya mengalihkan pandangan ke arah empunya suara. Athelia bertatih-tatih gerak langkahnya sambil tubuhnya diampu oleh sebatang tongkat. Pantas Estrella mendapatkan sahabatnya itu dan membantunya untuk duduk di sebuah kerusi kayu berbentuk memanjang. Ma’am Rosalind juga turut serta untuk duduk bersebelahan Athelia. Fared dan Estrella mengambil keputusan untuk berdiri berhadapan mereka berdua sahaja.
“Latihan intensif. Untuk membuka block yang menghalang keupayaan sebenar Estrella.” Ringkas Fared berhujah. Athelia memandang ke arah Fared dengan wajah yang berkerut seribu. Fared mengetahui maksud pandangan itu. Pandangan yang mahukan huraian yang lebih lanjut dan spesifik. Fared menarik nafas halus.
“Beberapa minggu lalu, aku berkenan untuk melatih Estrella memanah sedangkan aku sendiri tak ada basic asas dalam persenjataan memanah, betul?” Ketiga-tiga yang lainnya sekadar mendengar tanpa membalas walau sepatah pun perkataan.
“Ini kerana, aku terlihat sesuatu pada anak panah Estrella sewaktu dia melepaskan anak panah dari busur. Pada malam pertandingan tu lagi, aku dah dapat tangkap sesuatu pada anak panah Estrella.” Athelia teringat semula kejadian malam ketika pertandingan memanah antara bangsa Yaneko yang disertai oleh Fared.
“Setiap kali Estrella melepaskan panah, anak panahnya diselaputi satu cahaya kebiruan yang sangat malap. Sukar untuk dilihat jika tidak diamati dengan betul. Kerana cahaya itu jugalah, anak panah Estrella menyasar dan menebak ke pelbagai arah.” Fared memeluk tubuhnya.
“Jadi, apa bendanya tu? Apa kena-mengena latihan kau dengan Estrella?” Athelia kurang sabar menunggu huraian dari Fared. Ma’am Rosalind dan Estrella sekadar menjadi pendengar setia.
“Estrella mempunyai satu keistimewaan. Dimana, apa sahaja senjata yang digunakan oleh dia, akan mampu bergerak sendiri dan dikawal olehnya hanya dengan menggunakan minda dan fikirannya sahaja. Jika dia memegang pedang, pedang itu mampu mencantas musuh tanpa henti mengikut kehendak fikiran Estrella.” Hujah Fared mengejutkan Athelia dan Ma’am Rosalind.
“Itu sebab kenapa setiap kali tujahan panah yang dilancarkan oleh Estrella kerap kali tersasar dan terbang kemana-mana arah yang tidak tepat seolah-olah bermata tetapi buta. Kerana sebelum ini dia tidak pernah merasa yakin dengan dirinya sendiri. Ditambah pula dengan tiada sokongan dari orang lain membuatkan dirinya terus merasa kurang berkeyakinan. Gangguan emosi begitu membuatkan kawalan minda dan akalnya menjadi celaru dan berkecamuk. Sedangkan pada ketika anak panahnya dilepaskan, senjata panah itu sendiri sudah dikawal oleh minda dan fikirannya yang bercelaru dan memberontak. Sebab itu... anak panah Estrella bergerak dengan pergerakan yang aneh. Menyasar entah kemana-mana tanpa hala tuju.” Panjang lebar hujah Fared membuatkan Athelia ternganga. Ma’am Rosalind tersenyum sambil terangguk-angguk.
“Jadi...selama ni...” Athelia memandang ke arah Estrella. Baru dia tahu keupayaan sebenar Estrella yang hakikatnya jauh lebih kuat dan merbahaya dari dirinya. Estrella hanya tersenyum sambil mengeluar anak panah dari penyandang di belakangnya. Agak aneh apabila seseorang yang menyandang anak panah di belakang namun tidak membawa busur panah tetapi tidak pada Estrella. Satu anak panah sahaja sudah cukup untuk membunuh keseluruhan pasukan batalion.
Estrella memegang anak panah itu dan dilemparkan ke udara. Serentak itu juga, ketiga-tiga yang lainnya hanya memandang. Athelia dan Ma’am Rosalind memandang dengan penuh keterujaan untuk menyaksikan kehebatan Estrella yang diceritakan oleh Fared.
Tanpa diduga oleh Athelia dan Ma’am Rosalind, anak panah yang diselaputi oleh cahaya kebiruan yang tersangat malap itu terbang pantas menuju ke angkasa lalu membuat putaran. Hasil dari pergerakan kelajuan bunyi itu menghasilkan bunyi desingan halus akibat geseran besi dan angin dalam kelajuan yang sangat tinggi. Lantas, panah itu terbang membelah udara menuju ke arah mereka berempat dan berhenti betul-betul di atas kepala Estrella. Panah yang terapung-apung itu dipandang oleh Athelia dan Ma’am Rosalind dalam sinar mata penuh keterujaan. Fared hanya tersenyum. Sepanjang latihannya, dia sudah menyaksikan perkara itu berulang-ulang kali. Dia tidak berhasrat menceritakan proses latihannya bersama Estrella.
“Hebat... sangat hebat.” Athelia kagum. Terkuntum senyuman di riak wajah ayu Estrella. Sesekali gadis itu mejeling ke arah Fared yang mempercayainya sejak dari awal lagi. Lelaki itu banyak membantunya meskipun latihannya agak keras dan berat.
“Ma’am... Athelia... Kirin dah menuju ke Master Orb bersama siapa?” Tiba-tiba persoalan itu muncul dibenak fikiran Fared lantas terus diajukan.
“Bersama Ariana dan pasukan dari bangsanya yang lain.” Ringkas jawapan Ma’am Rosalind.
“Siapa Ariana?” Fared tidak mengenali pemilik nama itu.
“Ariana merupakan salah seorang daripada wira bangsa Ensis. Salah satu bangsa yang sangat mahir bermain senjata tombak dan pedang. Mereka mendiami kawasan pergunungan Mountain of Guardian.” Ringkas penerangan Ma’am Rosalind.
“Gunung ais tu? Gunung tertinggi di Hyperserv? Diorang buat apa berkampung bawah tu?” Fared menjengah melemparkan pandangannya jauh ke arah selatan namun kelibat pergunungan tertinggi itu tidak kelihatan kerana pekatnya malam meskipun mereka berada di paras tinggi di pohoh Tamashi ini. Dia teringatkan terdapatnya bangkai sebuah robot labah-labah gergasi yang terdampar di puncak gunung Mountain of Guardian itu. Kelapan-lapan kaki bangkai robot gergasi itu terjuntai sehingga mencecah ke kaki pergunungan dan sebahagian darinya melingkar. Pasti ada sejarahnya yang tidak diketahui oleh sesiapa pun bahkan Fared juga tidak mengetahuinya. Serentak itu juga, dia teringatkan sahabatnya Yazaid yang berada entah dimana. Pertengkarannya dua sahabat tempoh hari menumbuhkan rasa kesal di hati masing-masing. Cuma ego yang menguasai diri menghalang kebaikan untuk dilaksanakan. Namun kali ini dia bertekad bahawa dia akan menjejaki semula Yazaid dan membantu sedaya upayanya yang termampu.
“Bangsa Ensis bukan calang-calang bangsa. Mereka juga bangsa perwira susur galur yang sama dari bangsa Yaneko. Pendek kata, kewujudan bangsa Ensis juga terlahir dari susur galur bangsa Yaneko yang terlebih dahulu wujud di Hyperserv.” Ringkas Athelia pula berhujah. Fared mengganggukkan kepalanya tanda memahami butiran huraian itu.
“Baik! Aku dan Estrella akan menuju ke Master Orb. Aku perlu bantu sahabat aku yang aku percaya mereka menuju ke sana. Aku juga akan support Kirin yang merupakan elemen penting untuk memenangi peperangan ni.” Fared bersemangat. Tidak kurang juga Estrella. Athelia cuba bangkit berdiri namun ditegah oleh Ma’am Rosalind. Athelia melepaskan keluhan kasar. Dia juga mahu berjuang bersama mereka.
“Kau perlu berehat dahulu.” Ma’am Rosalind memujuk lembut.
Guliran waktu tidak bertangguh walaupun sesaat. Malam itu juga Fared dan Estrella berangkat menuju ke lokasi Master Orb yang terletak di bahagian paling selatan benua ini juga berlokasi di dalam daerah yang sama, Fin Del Mundo. Daerah yang penuh liku dan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang serta berbukit-bukau. Perjalanan pada waktu malam semesti sukar untuk dilalui terutamanya sekali meredah belantara yang liar ini. Itu belum diambil kira faktor ‘penghuninya’ yang terkenal dengan sifat buasnya lagi. Namun, Fared telah menguasai ilmu perhutanan ketika di dalam tempoh latihannya sejak beberapa minggu disamping Estrella meneruskan latihannya bagi menajamkan kelebihan yang ada pada dirinya.
Berbekalkan api jamung, Fared dan Estrella meredah belukar dan belantara ini dengan penuh waspada. Kali ini, Estrella menggunakan dua anak panah sebagai senjatanya. Satu pengawasan di hadapan dan satu lagi berwaspada di belakang. Anak panah yang diselaputi aura kebiruan malap itu terapung-apung seolah-olah mengawasi tuannya sedangkan ianya dikawal oleh Estrella sendiri hanya dengan menggunakan akal dan nalurinya sahaja. Ketajaman naluri Estrella kini bukan calang-calang. Gerak hatinya kini jauh lebih tajam dan nalurinya kini jauh lebih ampuh. Kerana itu dia meletakkan satu anak panah untuk menjagai di bahagian belakang yang tidak terlihat oleh Estrella. Ia hanya akan bertindak dengan gerak naluri Estrella sahaja. Estrella mampu merasai getaran bahaya yang datang dari belakang meskipun tiada sebarang bunyi terhasil dari marabahaya itu.
Perjalanan pada waktu malam ternyata kurang menggunakan tenaga berbanding pada waktu siang. Namun jauh di sudut hati Fared, dia dapat merasakan sesuatu yang kurang enak. Malam ini terlalu sepi. Sepi yang teramat sedangkan belantara di daerah ini tidak pernah sunyi dari pelbagai bunyian haiwan dan penghuni di sini yang terkenal dengan sifat buasnya.
“Kita berhenti disini. Buat unggun api di tanah, kita berehat di dahan pokok atas. Lekas!” Tiba-tiba Fared memberi arahan tanpa sebarang sebab. Estrella tidak banyak meningkah. Unggun api dinyalakan jauh dari pangkal pokok dan kedua-duanya memanjat ke atas pokok dan mencari dahan yang kukuh setiap seorang. Akar pokok yang menjalar dijadikan tali pengikat tubuh dan kaki mereka. Ini kerana untuk mengelakkan mereka dari terjatuh ke tanah apabila sedang tidur.
Selesai perkara yang harus dilakukan, kedua-dua menyepikan diri. Bukan kerana tertidur tetapi bersiaga. Kedua-dua anak panah Estrella terapung mengitari gadis itu dalam pola pergerakan yang perlahan. Fared bernafas halus.
Agak lama mereka berkeadaan sebegitu namun tiada apa yang berlaku membuatkan mata Fared dan Estrella semakin layu dan mengantuk. Akhirnya Estrella tewas dan hanyut dibuai mimpi. Kedua-dua anak panahnya masih begitu. Mengitari gadis itu seolah-olah mengawasi tuannya meskipun Estrella telah terlelap. Ini kerana lelapnya Estrella hanya pada zahir namun naluri waspadanya masih ‘terjaga’.
Hampir sahaja Fared berlayar ke alam mimpi, gegendang telinga menangkap satu bunyi deraman aneh tidak jauh dari lokasi mereka. Membulat serta-merta anak mata Fared. Sekilas dia memandang ke arah Estrella yang sedang nyenyak tidur namun anak panahnya berhenti dan tertancap ke satu arah mengunjur ke bahagian belakang Estrella. Ini bermakna ‘sesuatu’ sedang bersembunyi di sebalik kegelapan malam berhadapan dengan Fared.
Bunyi deraman berdengung bercampur bunyi seolah-olah kokokan ayam yang perlahan. Fared menajamkan pincingan anak matanya. Semak belukar bergerak-gerak. Ditolak dan dikuak secara perlahan. Derapan kaki semakin jelas terasa. Bunyi derapan kaki itu kedengaran seperti ‘makhluk’ berkaki dua sedang berjalan dan bunyi impak derapan itu pula menandakan saiz ‘makhluk’ itu bersaiz yang agak besar. Fared bernafas halus. Mengawal pernafasannya seperlahan mungkin. Sesekali dia mengerling ke arah Estrella dan anak panahnya yang bersiaga.
Alangkah terkejutnya Fared apabila menyaksikan susuk lembaga yang muncul dari balik semak itu. Cahaya yang terbias dari unggun api itu menyelerakkan pencahayaan membuatkan rupa makhluk itu jelas kelihatan.
Tanggapan makhluk bersaiz besar itu meleset sama sekali. Makhluk itu bertubuh kurus kerempeng namun ketinggiannya sama tinggi dengan paras dahan yang mereka duduki. Oleh kerana itu Fared dapat melihat wajah makhluk aneh itu dengan sangat jelas kerana paras kepalanya sama tinggi dengan paras ketinggian dahan tempat mereka beradu. Fared menelan liurnya yang terasa pahit yang teramat. ‘Ini kalau dia ngap sekali ni, selamat jalanlah aku’ getus hati kecil Fared. Keadaannya yang terikat di dahan pokok itu membuatkan peluang untuknya melarikan diri jika diserang ternyata teramat tipis.
Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Makhluk yang tinggi melampai itu hanya berjalan dan berhenti betul-betul di hadapan antara Fared dan Estrella. Fared dapat melihat kepala dan wajah makhluk itu dengan jelas betul-betul berada di hadapannya. Nafasnya tertahan-tahan dan dikawal sebaik mungkin.
Wajah makhluk itu ternyata menyeramkan. Berkepala botak, keseluruhan giginya tajam meruncing dengan mulut yang ternganga, tidak mempunyai hidung, liurnya berjejeran, mempunyai sepasang telinga yang capang dan meruncing di bahagaian atas, matanya putih tidak beranak mata. Hanya putih semata. Sesekali wajah makhluk itu memandang ke arah Fared namun tidak diendahkan. ‘Makhluk ni…buta?’ duga Fared membuat andaian.
Makhluk itu sekadar mengitari unggun api yang akan menjadi bara sedikit masa lagi. Bunyian api dan rekahan kayu membuatkan sesekali kepala makhluk itu tertoleh-toleh ke arah unggun api. ‘Sah…makhluk ni buta’. Fared melepaskan keluhan yang teramat halus. Ternyata ianya amat mustahil untuk didengari oleh sesiapa pun.
Tidak semena-mena, makhluk menoleh pantas ke arah Fared dan perlahan-lahan mendekatinya dengan deraman yang lebih keras. Fared kaget lantas dia menahan nafas semampunya.
Kepala makhluk itu sesekali tertoleh-toleh. Telinganya yang meruncing pada bahagian atas tergerak-gerak seolah-olah cuba mencakupi sebarang bunyi. Fared masih menahan nafasnya yang semakin pendek. Dia memejamkan matanya kerana menahan nafas yang semakin berkurangan oksigen dalam tubuhnya.
Setelah beberapa minit, makhluk itu perlahan-lahan meninggalkan kawasan itu. Setelah dipastikan selamat, Fared menarik nafas sedalamnya sepuasnya. ‘Makhluk yang buta tetapi mempunyai pendengaran yang luar biasa peka’.
Malam semakin beranjak meninggalkan waktu yang tidak pernah menunggu walau sesiapa pun. Malahan setiap detik itu berlalu mengikut ketentuan yang telah ditetapkan olehNya.
Malam yang dingin itu membuatkan Fared dan Estrella terlelap bagaikan tidak bernyawa. Lenanya terpagut dan minda mereka terhumban ke alam mimpi. Tanpa sedar, hakikatnya mereka sedang diekori dan diperhatikan dari balik kegelapan malam. ‘Dia’ hanya perlu menunggu waktu yang sesuai untuk bertindak.
116Please respect copyright.PENANAWqUeGbKNYe
HYPERSERV : BEGINNING
𝐄𝐩𝐢𝐬𝐨𝐝𝐞 𝐜𝐨𝐦𝐢𝐧𝐠 𝐫𝐢𝐠𝐡𝐭 𝐮𝐩 : Server 70
ns 15.158.61.17da2