SERVER 15
Imbas kembali, Bandar Inderapuri,Tahun Infiniti 30XX
Disebalik keriuhan dan kemegahan Bandar Inderapuri, sifat ketamadunan manusia ketika itu semakin lusuh dan terpadam.Masing-masing tidak mempedulikan perihal orang lain.Sibuk dengan hal sendiri sehingga terlupa bahawa manusia perlu bergantung sesama mereka disamping menjadikan pegangan agama sebagai paksi memacu kehidupan.Begitulah saban hari dan setiap masa.
Fared duduk termenung di dalam sebuah restoran kegemarannya, Restoran Ray-Fall sambil menikmati secawan kopi Capuccino kegemarannya.Baginya, kopi itu mampu menjadi ‘penawar’ hatinya yang masih hangat membara.Dia berseorangan kali ini tanpa ditemani oleh Yazaid.Pertengkarannya dengan sahabat baiknya itu meninggalkan bara api yang cukup untuk membakar jiwa yang penuh dengan ego yang tidak pernah lurus.Terngiang-ngiang hamburan kata-kata pedih dari Yazaid.Hatinya semakin membengkak.Panas membuak-buak.Dahinya berkerut seribu.Nekadnya kali ini agak tekad.Dia mahu menarik diri dari program Hyperserv.Membiarkan sahabatnya mengendalikan program pemakan nyawa manusia itu secara bersendirian.Langsung tidak akan dipedulikan walau apa pun terjadi.Ego yang tidak berkesudahan.
“Assalamualaikum.” Satu suara menyapa Fared dari belakang.Dia menoleh sekilas pada suara itu.Kali ini Fared terkedu melihat empunya diri yang menegur dirinya.Hati bergetar kencang.
Perlahan-lahan empunya suara itu berjalan bersebelahan Fared dan menempatkan dirinya berhadapan Fared.Dia duduk bertentangan dengan Fared.
“Eerr…Rozy? Awak buat apa disini?” Tergagap Fared menuturkan bait kata.Terasa sesak pernafasannya.Terbejat urat sendinya.Jantungnya mengepam darah dengan kelajuan yang tidak seperti kebiasaan.
“Untuk berjumpa dengan awak.” Rozy sekadar menguntum senyuman manis.Fared terpempam.Bungkam tidak terkata.
“Untuk apa?” Fared sekadar bersahaja yang dibuat-buat.Cuba mengawal ‘macho’ nya.
“Salah ke untuk saya datang berjumpa dengan awak?” Rozy bijak menangkis pertanyaan sekali gus menghadiahkan sebuah senyuman kedua yang cukup manis pada kaca mata Fared.
“Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan punca.Begitu juga dengan awak.Pasti ada sebab mengapa awak datang berjumpa saya.” Ringkas Fared menyusun bait katanya secara teratur agar tidak keterlaluan sekali gus tidak menzahirkan rasa cemas di dalam hatinya kala ini.
Rozy sekadar tersenyum memandang tepat ke dalam anak mata Fared yang kelihatan berwarna coklat gelap.Sesekali kelihatan Fared mencuri pandang kepada Rozy.Ternyata gadis itu berjaya menambat hatinya sejak pertemuan kali pertama mereka di kedai menjual peralatan digital dan elektronik milik Irfan.Amat sukar bagi hatinya untuk terpaut pada mana-mana gadis.Bukan kerana dia terlalu memilih tetapi pintu hatinya tidak pernah terbuka untuk membenarkan mana-mana gadis singgah mengetuk pintu hatinya.
“Saya terdengar pergaduhan awak dengan kawan awak tadi tu.Macam serius je.Kenapa?” Rozy menyatakan hasratnya.
“Ohh..mamat poyo tu? Biarkanlah..Dia boleh settle semua sendiri.Buatlah!” Ternyata hati Fared masih membengkak teringatkan Yazaid.
“Sejujurnya, saya datang sini untuk pujuk awak.” Rozy menghadiah sebuah senyuman ketiga yang paling manis untuk Fared.Kejujurannya membuntangkan anak mata Fared.
“Pujuk? Ohhhh…Please.Saya bukan budak-budak yang suka merajuk.” Fared memuncungkan bibirnya kehadapan tanda protes.
“Bukan merajuk? Habis yang bibir awak memuncung tu kenapa? Boleh sangkut hanger tu.” Rozy tergelak kecil melihat kerenah Fared yang keanak-anakkan terzahir secara tidak sengaja.Kononnya tidak merajuk sedangkan hatinya meronta mahu dipujuk.
Merah padam riak wajah Fared menyedari reaksi wajahnya ‘terbocor’ menzahirkan rasa hati.
Rozy mendekatkan dirinya pada Fared.Merenung tajam penuh harapan pada anak mata jejaka tampan berkulit sawo matang itu.Fared menelan liurnya sendiri kerana diperhatikan sebegitu.
“Tuan Irfan panggil awak semula ke kedai.Urusan kecemasan.” Rozy berwajah natural.Tidak menunjukkan sebarang emosi.
“Kecemasan?” Dahi Fared berkerut seribu.
“Ya..Kecemasan..Maksudnya, urgent.Now!” Rozy mengubah rentak bualan.Dalam kelembutan ada ketegasan.Melaksanakan amanah majikannya dengan sehabis baik.Irfan mengarahkan Rozy untuk mengekori Fared dan memujuknya semula untuk ke makmal mini milik Irfan.Dia ada tugasan yang melibatkan nyawa dan masa depan Hyperserv.
“Eerr…ba..baik.” Fared akur tanpa banyak membantah.Sedikit sebanyak dia terasa hati kerana dibentak sebegitu oleh ‘buah hati’ nya walhal tiada keputusan rasmi yang diputuskan sesama mereka mengatakan mereka adalah pasangan sehati sejiwa, sehidup semati.
Rozy menguntum senyuman buat sekian kalinya.Kali ini adalah yang paling manis.Benar-benar meruntuhkan ego Fared sekaligus menuruti kemahuannya.Senyuman gadis itu umpama panahan mantera.Ianya panahan yang cukup halus namun ampuh.Tidak bisa melukakan zahir namun mampu memusnahkan hati menjadi berkepingan yang terawang tidak bertali dan tidak berpaksi.Mampu meruntuhkan tembok ego yang sekukuh Tembok Besar China.
Irfan berkalih pandangan pada Fared ketika melihat lelaki itu menghampirinya.Mereka tiba di makmal Irfan.Rozy hanya menuruti pergerakannya dari belakang.Lantas Irfan kembali mengendalikan panel kawalan digital untuk mengendalikan data Yazaid yang ketika ini sudah berada di dalam Hyperserv.Dia seolah-olah langsung tidak mengendahkan kehadiran Fared disitu.
Fared berdehem beberapa kali apabila menyedari kehadirannya langsung tidak dipedulikan oleh Irfan.Lantas Irfan mengunjurkan telapak tangan kanannya mengisyaratkan kepada Fared untuk tunggu sebentar sementara dia sibuk mengendalikan data Yazaid.
Sesekali Fared memandang sekilas pada jasad kaku Yazaid yang terbaring di atas sofa berhampiran dengannya.Hatinya masih membengkak namun kali ini semakin menyusut.Amarahnya tidak seperti tadi yang panas mengelegak.
“Kau tahu apa beza kawan dan sahabat?” Pertanyaan Irfan memecahkan sunyi bilik itu.Rozy sekadar menjadi pemerhati dari belakang sahaja.
“Eerr..apa beza? Sama sahaja,kan?” Ternyata Fared kurang mengerti.
Jemari Irfan pantas menekan butang Autopilot pada paparan kaca hologram panel kawalannya.Sistemnya akan mengendalikan data Yazaid secara automatik mengikut program yang sudah siap diatur mengikut perancangan.Perlahan Irfan menapak menuju ke arah Fared.Anak matanya kelihatan bercahaya dan jernih.Dia telah lama makan asam garam dunia kehidupan.Ternyata dia lebih bijak mengendalikan emosi yang sentiasa memberontak terutamanya anak muda remaja.
“Kawan..kau boleh jumpa di mana-mana.Tepi jalan, kedai makan, tepi sungai, lorong kecil,dalam bas, tempat awam.Semua tempat mempunyai ramai kawan.Kau masih boleh mencari kawan.Tetapi sahabat…” Irfan memandang sekilas pada jasad Yazaid yang kaku terbaring tanpa minda.Mindanya dipindahkan ke dalam Hyperserv dan sedang dikendalikan oleh sistem komputer secara automatik dan bukannya secara analog atau manual.
Fared mengerti apa yang dimaksudkan oleh Irfan namun memilih untuk berdiam diri.Sekadar menjadi pendengar setia.Umpama kaku termakan sumpahan.
“Aku pernah kehilangan seorang sahabat suatu ketika dahulu.Masa tu, Hyperserv masih belum beroperasi.Sedang di dalam pembinaan.” Ringkas Irfan melanjutkan kisahnya.
“Kehilangannya sebab dia mempertahankan apa yang kau perjuangkan sekarang, Fared.Tapi sayang.Aku tak sempat menyelamatkan dia.Dia pergi dulu.Sanggup menggadai nyawa demi dunia impiannya.Aku terkilan.” Irfan merenung kepada Yazaid yang kaku.Fared juga serentak menoleh kepada Yazaid.Dia terasa bersalah namun ego membenamkannya semula.Bibirnya umpama dipaku.Tidak terluah satu perkataan pun dari bibirnya.Lantas Irfan menoleh sekilas pada Fared.
“Kau sudah bersedia untuk menerima kehilangan seorang sahabat?” Pertanyaan ringkas namun berbisa dari Irfan.Terasa seolah-olah ada tangan ghaib singgah pantas ke muka Fared.Terasa hangat di kepalanya.Perkataan ‘kehilangan’ itu benar-benar meruntuhkan tembok egonya menjadi serpihan-serpihan kecil.Perlahan-lahan Fared mengerutkan dahinya.Terasa bersalah pada Yazaid.Seharusnya dia perlu membantu.Bukannya menentang.Yazaid jugalah merupakan sahabat sejati yang ada didalam sejarah kehidupannya.Yang merubah segala-galanya.Terasa beribu kesalan singgah dihati kecilnya namun penuh dengan persoalan.Dia telah bekerjasama dengan Yazaid sekian lama.Malahan niat asalnya pun dia ketahui dan mereka berkongsi bersama.Rozy tersenyum bersemangat.Sekadar memberi aura positif kepada mereka.
“Tapi…apa yang akan aku dapat?” Ternyata hati Fared masih ragu-ragu.Lebih meminta balasan.
“Yang mana satu menjadi berkepentingan? Keselamatan dunia atau harta semata? Atau maksud sahabat itu sendiri tak wujud dalam diri kau? “ Sindir Irfan sambil melirikkan senyuman sinis pada Fared.Ternyata bait-bait kata itu umpama jampi serapah yang menundukkan musuhnya.Fared terkedu.Persoalan berbalas pertanyaan.Irfan lebih arif.
Irfan menapak perlahan menaiki anak tangga menuju ke atas.Meninggalkan Fared yang masih kebingungan.Rozy berkalih ke belakang mengekori Irfan.Fared sekadar memandang sekilas pada jasad kaku sahabatnya, Yazaid.Akalnya memikirkan situasi.Menghadamkannya sebaik mungkin.Selumat yang mungkin.Ada benarnya.
“Irfan!” Pantas Fared menoleh ke belakang memanggil Irfan semula.Irfan terhenti dari meneruskan langkahannya.Dia menoleh ke belakang memandang Fared.Begitu juga dengan Rozy yang menunggu kata-kata dari Fared.
“Bawa aku Log In!” Tegas Fared.Dia perlu memperbetulkan keadaan semula.
Irfan tersenyum bangga.Kata-katanya agak ringkas namun meninggalkan kesan yang amat mendalam.
“Follow me.” Irfan memberi arahan ringkas pada Fared.Fared tidak banyak meningkah.Dia menapak meninggalkan makmal mini milik Irfan mengekori Irfan dan menuju ke sebuah bilik rahsia yang lain.
“Kau akan Log In disini.” Terang Irfan serba ringkas sambil jemarinya menghidupkan perkakas digital untuk persiapan Fared.
“Eerr..kenapa disini? Kenapa bukan di tempat tadi?” Fared mempersoalkan tindakan Irfan.Namun dia hanya menuruti arahan dari Irfan.Dia berbaring di sebuah sofa panjang berhampiran perkakasan digital Irfan.Ia adalah untuk memudahkan pemantauan datanya kelak.
Irfan tidak banyak bicara.Dia sekadar tersenyum sambil jemarinya ligat menyentuh butang-butang pada paparan kaca monitor hologram bersebelahan Fared.Sepanjang persediaan itu, Irfan tidak banyak bercakap.Menumpukan sepenuh perhatian kepada susunan kod yang sukar untuk difahami.Dia perlu berhati-hati.Tersilap walaupun satu kod, maut menjadi mimpi ngeri sedia menghiasi.
“Ok done!” Irfan menyelesaikan susunan kod rumit itu dengan sempurna.Dia menganggukkan kepalanya kepada Fared tanda sistemnya telah bersedia.Fared mengerti isyarat itu.Lantas jarinya menekan butang pada kalung Brainlink miliknya.
“Log In!” Kelopak mata Fared terpejam secara perlahan-lahan.Data mindanya dipindahkan ke dalam Hyperserv dengan lancar.Irfan sekadar tersenyum.Rozy sedari tadi tidak berkata apa-apa cukup menjadi pemerhati.
Irfan membiarkan kedua-dua sahabat baik itu menyelesaikan tugasan masing-masing.Sistem yang telah diatur kepada Autopilot akan mengendalikan data Yazaid dan Fared secara automatik dan perlu dipantau secara berkala.Kini, data minda mereka berada di ‘dunia’ ciptaan mereka sendiri.Ciptaan manusia yang tidak akan pernah sempurna.
>>Bersambung [Server 16]
ns 15.158.61.17da2