SERVER 27
Perkampungan Cendrawaseh,Tahun Infiniti 30XX
Kasihnya seorang ibu tidak terbalas walau sejuta tahun mendatang.Kasihnya tumpah tidak berbelah bahagi kepada anak yang dilahirkan dengan menggadai nyawa untuk memberi tunjang nyawa buat pewarisnya yang amat dikasihi.Sejak Ismail terlantar koma, Asiah banyak memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak tunggal kesayangannya itu sehingga sedikit sebanyak terabai kesihatan dirinya.Tubuhnya mulai susut akibat banyak kehilangan tenaga dan banyak meratapi nasib yang menimpa anak tunggal kesayangannya.Saban hari, Asiah banyak menemani anaknya yang terlantar di katil bilik.Membasahi umbun-umbun kepala Ismail dengan kain lembap.Mengusap-ngusap rambut Ismail dengan penuh belaian kasih sayang.Saban hari juga Asiah membisikkan kata-kata semangat di telinga Ismail dengan harapan anaknya tabah menghadapi cabaran dan ujian Allah ketika ini.
Hairuddin sekadar menjengah dari balik daun pintu bilik.Rintihan isterinya kedengaran hiba dan sayu menerbitkan rasa sebak yang bertakung dihatinya namun digagahkan jua agar titisan jernih tidak terbit dari kolam matanya.Dia perlu lebih kuat.Menunjukkan contoh terbaik utk keluarganya.Dia menapak perlahan menuruni anak tangga keluar rumah dan menempatkan dirinya di beranda rumah.Merenung jauh melangkau pemandangan.Anak matanya memandang bukit-bukau nan indah ciptaan Allah yang Maha Esa satu-satunya.
Perasaannya bergejolak.Jiwanya merintih menahan sebak.Getar suaranya tertahan-tahan di halkum tidak terluah.Akhirnya dia tewas.Terbit titisan jernih dari kolam mata mengalirkan air mata yang hangat membasahi pipi.Hairuddin gagal membendung perasaan.Suara Asiah mendayu-dayu dan sayu memujuk anaknya supaya bangun dan riang seperti sediakala.Namun, buat ketika ini hanya Hairuddin yang mengerti situasi genting ini.Beberapa hari lalu, ada nyawa yang menjadi taruhan lagi di hujung kampung.Kejadiannya serupa dengan mangsa sebelumnya.Apa yang lebih meresahkan,perkara yang sama bakal berlaku ke atas Ismail.Cepat-cepat Hairuddin beristighfar.Melempar jauh firasat buruk itu dari terus mengasak mindanya yang sudah sedia bercelaru.
Hairuddin mengeluarkan seutas rantai dari poket kanannya.Dia menyentuh dan melihat-lihat sebiji loket berwarna biru gelap yang tergantung pada rantai itu.Pengamatannya teramat dalam.Jauh mengimbau masa silam yang mungkin manis untuk dikenang atau mungkin pahit untuk ditelan.Segala-galanya kabur.Biar dia sahaja yang mengetahui perkara itu.Hanya dia sahaja.Hanya dia dan Allah yang Maha Mengetahui.
Sentuhan Asiah melambung Hairuddin kembali ke alam nyata.Hairuddin tersentak tatkala bahunya disentuh.Sekilas dia menoleh kepada isterinya dan merauti wajahnya dengan senyuman.Asiah sekadar senyum seadanya.Lapisan bawah matanya kelihatan membengkak.Tiada kata-kata terluah diantara mereka.Sekadar menggumam di dasar hati tanpa dizahirkan.Berkongsi rasa yang sama walau tidak terluah.
Lamunan suami isteri itu terhenti apabila sebuah kenderaan berteknologi tinggi memakirkan kenderaannya di halaman rumah.Hairuddin dan Asiah tertinjau-tinjau siapakah gerangan tetamu yang hadir.
“Assalamualaikum.” Salam suci disahut hampir serentak oleh Hairuddin dan Asiah apabila pemandu kenderaan itu keluar dari perut keretanya.Seorang gadis keluar dari pintu sebelah kiri.
Hairuddin menghiasi wajahnya dengan senyuman yang ikhlas walaupun hatinya bergalau.Menapak perlahan mendapatkan tetamunya yang amat dikenali.
“Tuan Hadif.Apa khabar?” Mereka berpelukan tanda persahabatan.
“Alhamdulillah.Begini saja lah.” Hadif membalas mesra.Asiah pula turun ke halaman dan menempatkan dirinya bersebelahan Hairuddin.
“Silakan naik, tuan.” Hairuddin mempelawa tetamunya naik ke rumah.Menjadi kemestian baginya untuk memuliakan tetamu seperti saranan Islam dan menjadi sunnah Rasulullah untuk memuliakan tetamu yang hadir tanpa mengira batas usia atau darjat.
Hadif tidak banyak bertingkah.Tetamu yang seorang lagi juga menuruti Hadif dari belakang.Hairuddin dan Asiah kebingungan.Dia tidak mengenalinya namun tidak pula bertanya.Biarlah Hadif sendiri yang memperkenalkannya.Itu lebih molek,fikirnya.
Asiah ke dapur untuk menyediakan hidangan ringan buat tetamunya.Hairuddin melayani mereka di ruang tamu rumah mereka.
“Bagaimana keadaan anak kamu, Hairuddin?” Hadif sekadar bertanya khabar bagi memecahkan kesepian di antara mereka.
“Begitulah saban hari.Tiada apa-apa perubahan melainkan doa yang kami titipkan.” Hairuddin lebih bersikap terbuka dan lebih berfikiran matang.Berupaya mengawal emosinya agar tidak terlalu ikutkan hati.
“Ohh..Kenalkan.Ini Zie.” Hadif memperkenalkan gadis itu kepada Hairuddin.Hairuddin sekadar memandang sekilas namun pandangannya tidak bertapak lama.
“Saya kenal.Dia salah seorang dari ahli Blackserv yang memulakan peperangan di dunia siber, Hyperserv.” Hairuddin sekadar bersahaja.Hadif dan Zie tampak terkejut.Mereka tidak pasti bagaimana Hairuddin boleh mengenali gadis itu.Tidak semena-mena, Zie melutut.
“Maafkan saya.Saya tahu saya buat salah.Tolong maafkan saya.” Ikhlas Zie memohon maaf.
“Dengan kata maaf tanpa tindakan umpama pedang tidak bermata.Apa guna mempunyai senjata namun tidak ampuh memerangi musuh?” Hairuddin berkias namun tampak tegas.Zie menunduk.Kiasan Hairuddin tidak berbalas.
“Hairuddin.Sabar.Dengar dulu.Zie dah mengaku salah dan dia cuba untuk memperbaiki keadaan.Ini angkara Tajima dan Zaidi yang menjadi dalang.Zie hanya mengikut perintah.” Hadif meredakan ketegangan.Wajah Hairuddin tampak kemerahan menahan amarah namun dapat dikuasai dengan baik sekali.
“Kenapa kamu menurut perintah jika sudah tahu mereka berpihak pada yang salah?”Hairuddin menduga.Masih tidak puas hati.Kini, anaknya menjadi galang ganti.
“Hairuddin,dengar penjelasan Zie dulu sebelum membuat keputusan.” Hadif tidak mahu bertelagah.Dia memahami situasi yang dihadapi oleh Hairuddin namun dia perlu berdiri di antara mereka.Mengekalkan jalan kedamaian berbanding bertikam lidah.
“Saya tidak tahu asal usul saya.Dimana saya dibesarkan.Siapa ibu dan ayah saya.Saya dibuang tanpa sempat mengenali mereka.Apa yang saya ingat, ibu dan ayah angkat saya.Mereka dibunuh oleh pembunuh upahan.Saya sempat melarikan diri.” Zie bermukadimah.
“Saban tahun, saya sekadar gelandangan.Mampu meneruskan hidup kerana simpati orang ramai.Saya mengutip sisa makanan untuk menggalas perut.Cukup untuk menguatkan tenaga.Dalam zaman kita sekarang, tiada satu majikan pun yang sanggup untuk menggaji saya sebagai pekerja hanya kerana saya gelandangan hina.Pada mereka, saya bakal menyusahkan mereka dan merugikan perniagaan mereka.Saya pernah berusaha mencari kerja.” Zie menceritakan perjalanan hidupnya yang getir.
“Bertahun-tahun tetap begitu.Sampai satu masa.Dua lelaki datang menawarkan saya pekerjaan dengan hasil bayaran yang lumayan jika berjaya.Tanpa fikir panjang demi kelangsungan hidup, saya setuju.” Zie tetap menundukkan wajah.Air matanya tumpah.
“Mereka adalah Tajima dan Zaidi.” Hairuddin berkata seakan berbisik.
“Ya..Mereka berhasrat untuk menjatuhkan Hyperserv ketika itu dan membolot segala kelebihan yang ada pada Hyperserv.Pasti mereka akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda dengan bersandarkan pada nama Hyperserv yang mereka tumbangkan.” Hadif menerangkan ringkas.
“Tidak.Bukan itu tujuan mereka sekarang.” Hadif tampak tercengang.
“Pada asalnya, mereka mahukan Hyperserv untuk dijadikan tunggangan menjadi kaya-raya.Sekarang, impian mereka semakin menggila.” Zie menarik nafas sedalamnya.Dia tidak mampu untuk membendungnya lagi.Hadif membetulkan duduknya.Resah secara tiba-tiba.
“Mereka mahu disanjung sebagai wira di mata manusia.Mereka mengetahui rahsia tersembunyi yang bakal memusnahkan ketamadunan manusia.Itu yang mereka cari.Tapi saya tidak sangka mereka menjumpainya secara tidak sengaja.Penghuni Grotte Bardtan itulah yang bakal menjadi punca.” Zie menerangkan serba sedikit.Hadif mengerutkan dahinya.
Membulat mata Hairuddin mendengar nama “Grotte Bardtan”.Dahinya berkeringat.Benar.Penghuni di dalamnya bakal menjadi pemusnah bagi manusia sejagat dan buat selama-lamanya.Hadif mengesan perubahan itu.
“Tajima dan Zaidi mahu disanjung tinggi.Mahu nama mereka disebut sebagai wira.Memang mereka mencari Grotte Bardtan namun tidak diketahui lokasinya.Saya tak sangka...mereka jumpa...secara tidak sengaja.” Zie menitiskan air matanya buat sekian kali.Dia tidak sanggup membunuh jutaan nyawa.Manusia akan hilang pendirian dan hilang minda.Sedikit demi sedikit, jiwa penghuni Grotte Bardtan akan meresap ke dalam minda manusia sekali gus akan membunuh jiwa kemanusiaan.Apa yang diperlukan oleh penghuni Grotte Bardtan cumalah hos yang hidup.Tubuh badan manusia untuk dirasuki dan dihuni.Jambatan antara dua dunia itu hanya Brainlink!
“Ini kes berat, Hadif.Kamu tahu apa yang makhluk tu boleh buat pada kita?Mereka pemusnah.Pemakan minda manusia!” Hairuddin hilang pertimbangan.Dia bangkit berdiri.Asiah segera menghampiri suaminya dan memaut lengan kanan untuk menenangkan suaminya.
Hadif kehilangan hujah.Dia tidak diberitahu tentang perkara ini.Sepanjang menemani Zie di makmal Blackserv untuk membuat kajian, Zie tidak banyak bercerita.Sekadar membuat kajian yang diperlukan dan dia hanya sebagai pemerhati.
Hairuddin duduk semula.Dahinya berkerut dan berkeringat.Kemusnahan ketamadunan manusia bakal berakhir pada bila-bila masa.
“Mana mereka sekarang?” Hairuddin menyoal tanpa memandang mereka berdua.Pandangannya terlontar ke luar rumah.
“Eerr..mereka dah berada di dalam Grotte Bardtan.” Zie memberitahu secara ringkas.Masih enggan memandang Hairuddin yang kelihatan tegas.Hairuddin mengeluh berat.Inilah perkara yang paling dirisaukan ketika dia masih muda dalam sama-sama membina dunia maut itu.Dia mengetahui penghuni gua itu ibarat pemangsa yang kecil namun mampu membunuh hos untuk hidup.Ia ibarat api dalam sekam.Makan tuan secara dalam diam.Jika itu berlaku, tamatlah salasilah kehidupan manusia di muka bumi ini.Tiada lagi wajah isteri tercinta dan anak yang dikasihi.Tiada lagi jiran tetangga dan sanak saudara.Tiada lagi mereka yang dikenali.Mereka akan berubah serta-merta umpama mayat hidup yang sentiasa dahagakan darah.Terlalu ngeri untuk difikirkan implikasinya.Hairuddin terbejat.
SAMBUNGAN >> SERVER 28
ns 15.158.61.44da2