Pinggir Bandar Inderapuri.Tahun Infinity 30XX
156Please respect copyright.PENANAYJfz8OTwJc
Dalam suasana hiruk-pikuk kota sehingga melumpuhkan hampir keseluruhan sistem ekonomi, tidak terkecuali juga dengan sistem ketamadunan manusia. Ramai di kalangan marga kota berubah menjadi “sesuatu” yang sangat ganas dan buas. Ini kerana mereka menyangka bahawa Brainlink sudah boleh digunakan lalu mereka menyarungkan kalung Brainlink milik mereka ke leher mereka untuk digunakan tanpa disedari itu hanyalah sebuah perangkap. Akibatnya, sel-sel otak mereka terbunuh oleh “sesuatu” yang tidak kelihatan dan tubuh badan mereka pula di ambil alih oleh “sesuatu” yang juga turut tidak kelihatan. Dalam erti kata lain, jasad mereka mungkin masih bernyawa namun secara tidak langsung mereka telah pun “mati”. Manusia itu tidak lagi untuk mengawal tindakan tubuh badan mereka.
Pasukan keselamatan dikerahkan dalam skala penuh bagi mengawal situasi yang semakin meruncing. Pertempuran berlaku di mana-mana. Manusia berpewatakan buas itu bukan sahaja menyerang mereka yang masih waras malahan juga turut memusnahkan apa sahaja yang mereka lihat. Tindakan mereka tidak ubah seperti “zombie”.
Jauh dari pusat bandar, kelihatan sebuah rumah klasik berdiri gah di tengah-tengah taman perumahan moden ini namun kawasan taman perumahan ini telah lama dikosongkan tanpa berpenghuni.
Jalan-jalan lengang sama sekali. Perumahan di situ dibiarkan kosong tidak berpenghuni. Kesemua penduduk yang masih selamat dari serangan manusia buas menyelamatkan diri ke kawasan perlindungan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa bagi melindungi mereka yang memerlukan.
Rumah klasik itu juga kelihatan tidak berpenghuni namun itu hanya sekadar penyamaran sahaja. Dibawah rumah klasik itu sebenarnya mempunyai satu ruangan kosong yang dijadikan makmal dan markas tersembunyi.
Kelihatan seorang wanita sedang leka mengendalikan sesuatu di hadapan paparan monitor pandang telus. Pelbagai maklumat terpapar pada kaca monitor. Ianya adalah susunan kod-kod yang tidak diketahui dan amat rumit untuk dimengertikan oleh orang biasa.
“Zie, kod yang aku minta kau sediakan. Telah bersedia atau belum?” Satu suara garau dan parau menegur wanita itu dari belakang.
“95% telah aku siapkan. Tunggu sedikit masa lagi.” Zie menjawab memalingkan wajahnya ke belakang. Dia mengetahui siapakah gerangan lelaki itu.
Dari balik kegelapan, kelihatan susuk tubuh seorang lelaki yang cengkung dan kurus kering sedang duduk di atas sebuah bangku yang diperbuat daripada kayu. Keadaan tubuhnya tidak bermaya dan itu menyebabkannya susuk tubuh itu seakan-akan mayat hidup.
Bersebelahan dengan lelaki kurus kering itu, kelihatan satu lagi susuk tubuh seorang lelaki yang lebih kekar dan tegap sedang terbaring di atas sebuah pelantar batu. Wayar pelbagai warna berselirat pada tubuh lelaki kurus kering itu dan juga tubuh lelaki kekar yang terbaring itu.
“Bagus, Zie. Bagus. Aku tak sabar untuk melaksanakan misi seterusnya yang telah aku rancang sejak bertahun-tahun lamanya tergendala. Kali ini, aku akan pastikan seluruh kesinambungan kau akan pupus dari dunia ini, Rayfall. Aku menuntut dendam ke atas bangsa Valkazar yang kau musnahkan dahulu, Rayfall. Bedebah kau, Rayfall! Hari ini, aku akan pastikan bangsa aku, bangsa Valkazar akan mengambil alih Hyperserv sekali dengan dunia kau, Rayfall! Aku sapu rata, Rayfall! Kau lihatlah sendiri, Rayfall!” Suara lelaki garau itu bergema-gema dan melantun-lantun. Zie hanya sekadar mendiamkan diri. Hanya melaksanakan tugasan yang diarahkan tanpa membantah walau sedikit pun. Penyertaannya di dalam pasukan Blackserv suatu ketika dahulu hanyalah wayang semata-mata.
Hakikatnya, Zie bekerja dengan seorang lelaki kurus kering ini sejak sekian lama. Apabila dia mengetahui wujudnya satu pasukan hacker bergelar Blackserv tertubuh diatas paksi untuk menumbangan Hyperserv, Zie mengambil langkah drastik untuk menyertai pasukan hacker itu hanya semata-mata untuk mengetahui selok-belok dan mencuri maklumat berkaitan Hyperserv sahaja. Pendek kata, pasukan Blackserv yang dianggotai oleh Tajima dan Zaidi suatu ketika dahulu hanya sekadar satu batu loncatan dan dipergunakan oleh Zie untuk melaksanakan agendanya bersama lelaki kurus kering itu.
‘Siap!” Zie memalingkan wajahnya ke arah lelaki kurus kering itu lalu menapak perlahan ke arah lelaki itu. Zie mendekatkan wajahnya ke arah lelaki itu lalu diusap perlahan wajah lelaki itu dengan sentuhan lembutnya. Pandangan matanya berbinar kepada lelaki itu.
“Kau akan pulih, sayang. Kau akan menjadi jejaka yang kekar seperti dahulu. Seperti dahulu kala.” Suara lembut Zie kedengaran meruntun hati rawannya. Terbayang-bayang memori-memori indahnya bersama lelaki itu suatu ketika dahulu. Hanya mereka berdua sahaja yang mengetahui apa yang berlaku suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan jejaka kesayangannya menjadi cengkung dan kurus kering seperti ini.
Lantas, Zie menapak perlahan ke arah susuk tubuh lelaki yang lebih kekar bersebelahan dengannya dan membelek-belek tubuh lelaki itu. Dia memastikan tiada sebarang masalah penyambungan pada tubuh lelaki kekar itu. Dia tidak mahu teknik pemindahan jiwa di dalam jasad kurus kering itu ke jasad lain yang lebih kekar itu mengalami kegagalan. Apabila semuanya telah dipastikan selamat, Zie menapak perlahan menuju ke arah meja kawalan lalu memandang ke arah lelaki kurus kering itu menunggu kebenaran daripadanya.
“Lakukan, Zie. Lakukan. Apabila berjaya, akan aku bawa kau bersama aku mengecapi kejayaan bersama-sama seperti yang telah kita janjikan.” Janji lelaki kurus kering itu ternyata meresap jauh ke dalam sanubari hati wanita Zie. Gadis tersenyum manis. Tanpa berlengah, butang berwarna kehijauan ditekan.
Bunyi ngauman mesin bergema-gema dan melantun-lantun. Wayar yang berselirat pada kedua-dua tubuh lelaki tu kelihatan mengeluarkan cahaya kekuningan. Semakin lama, semakin terang sehingga Zie terpaksa melindungi matanya dari memandang secara terus ke arah mereka berdua. Bunyi ngauman mesin terus bergema memekakkan telinga. Lantai simen tempat Zie berpijak mula bergegar dan bunyi dengungan mula bergema berselang-seli dengan bunyi ngauman mesin yang membingitkan.
Satu letupan meletus membuatkan Zie terperanjat dan terpelanting ke belakang membuatkan tubuh kecilnya terhempas ke dinding. Hentakan di belakang kepalanya membuatkan pandangannya berbinar lalu pengsan. Kepulan asap berkepul-kepul memenuhi ruangan bilik makmal itu. Api mula menyambar dan marak. Membakar setiap peralatan-peralatan yang ada di dalam makmal itu. Zie terbaring tidak sedarkan diri di atas lantas simen makmal itu hanya menunggu maut rentung terbakar.
Kelihatan kerusi kayu di mana tempat lelaki kurus kering itu duduk juga hangus terbakar. Dari balik maraknya api, kelihatan susuk tubuh kurus kering itu juga rentung terbakar. Zie masih tidak sedarkan diri hanya menunggu masa ajalnya. Kelihatan eksperimen yang diusahakan kelihatan seolah-olah tidak menjadi dan menemui kegagalan. Api semakin marak membakar hampir keseluruhan makmal ini. Lama-kelamaan api yang marak itu membaham apa yang berada di situ sekali gus membakar keseluruhan rumah klasik itu.
Dari pandangan luar, asap hitam berkepul-kepul keluar dari rongga-rongga terbuka pada rumah klasik itu. Tidak lama kemudian, satu letupan kuat menggegarkan kawasan perumahan tidak berpenghuni itu. Rumah klasik itu bersepai sama sekali. Serpihan-serpihan kayu dan batu berselerakan. Kepulan asap hitam berkepul-kepul dan api semakin marak membakar sehingga menyambar ke perumahan yang berada di persekitaran.
Tidak mengambil masa yang lama untuk membakar perumahan kejiranan itu. Api yang marak itu membaham segala-galanya yang berdiri berada di dalam laluannya.
Tidak jauh daripada situ, kelihatan satu susuk tubuh lelaki kekar berdiri di atas sebuah bongkah batu sambil melihat maraknya api membakar rumah klasik dan perumahan kejiranan disitu. Kelihatan seorang gadis yang tidak sedarkan diri sedang dipikul olehnya. Wajah lelaki bertubuh kekar itu kelihatan tenang namun pandangan matanya kelihatan berbinar-binar.
“Kau berjaya, Zie. Tahniah. Sekarang, kau berehat dahulu. Aku akan uruskan selebihnya. Terima kasih, Zie.” Lelaki bertubuh kekar itu memandang ke arah wajah gadis kesayangannya itu lalu menapak menuju ke arah yang tidak diketahui. Dia akan melanjutkan agenda yang seterusnya tanpa berlengah. Baginya, Zie telah melaksanakan tugasannya dengan begitu baik sekali.
Beberapan saat sebelum letupan itu meletus, jiwa lelaki itu berjaya dipindahkan ke dalam jasad kekar ini lalu lelaki itu berjaya mengelak dari terkena letupan yang membunuh sekali gus dia segera menyelamatkan Zie yang tidak sedarkan diri sebelum letupan kedua.
Lelaki kekar itu berjalan menuju ke arah satu rumah agam milik penduduk disitu. Rumah itu juga telah ditinggalkan tidak berpenghuni. Lelaki itu mengambil keputusan untuk berehat disitu buat sementara. Batang tubuh gadis yang tidak sedarkan diri itu dibaringkan dan dilentangkan di atas sofa mewah yang berada di ruang tamu rumah agam itu. Lantas lelaki itu naik ke bilik untuk mencari pakaian yang sesuai untuk dipakai memandangkan tubuh lelaki kekar itu tidak terdapat seurat benang sekali pun.
Apabila selesai mengenakan pakaian, lelaki kekar itu turun semula ke tingkat bawah. Lelaki itu melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi mewah milik pemilik rumah agam ini. Pandangan matanya menyoroti persekitaran di dalam rumah ini. Meskipun kelihatan bersepah umpama dilanda garuda namun suasana di dalam rumah itu masih kelihatan agam dan mewah. Pandangan matanya terhenti pada satu gambar potret keluarga yang tergantung di dinding utama ruang tamu. Lelaki bertubuh kekar itu bangkit dari duduknya lalu menuju ke arah gambar potret keluarga tersebut yang menarik minatnya.
Kelihatan gambar sepasang suami isteri lingkungan 50-an sedang duduk di atas kerusi mewah dan seorang anak lelaki berusia lingkungan 20-an serta seorang anak perempuan lingkungan usia awal 30-an. Riak wajah mereka ternyata kelihatan ceria dan bahagia. Wajah anak perempuannya itu cantik dan anggun. Saling tidak tumpah dari wajah ibunya yang juga kelihatan anggun. Wajah anak lelakinya itu juga kelihatan sangat tampan acuan dari ayahnya yang kelihatan segak dan bergaya.
Lelaki bertubuh kekar itu menyoroti pandangan ke arah gambar potret keluarga bahagia itu. Terbayang di tubir matanya bayangan wajah tubuh lelaki kurus kering yang hangus terbakar ketika berada di dalam makmal seketika tadi. Wajah lelaki kurus kering itu saling tidak tumpah dengan wajah ketua keluarga yang berada di dalam potret keluarga ini bahkan hakikatnya ianya adalah orang yang sama.
Sejak mengambil alih tubuh lelaki ketua keluarga itu berbelas tahun lalu, dia mengalami banyak perubahan drastik dari segi cara kehidupan sebagai manusia biasa di dunia manusia. Dia mempelajari banyak perkara disini di samping untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Masih segar di dalam ingatannya apa yang telah berlaku ke atas dirinya sehingga memaksa dia keluar dari dunia buas itu dan mengambil alih tubuh lelaki ini di dunia manusia. Segala-galanya berubah mendadak serta-merta sehingga menyesakkan rengkungan dada kirinya.
Imbas kembali..
Jam tepat menunjukkan 2.00 pagi. Kelihatan sepasang suami isteri sedang lena dibuai mimpi di atas katil milik mereka di dalam bilik yang serba mewah dan bersaiz besar dan luas ini. Tidak semena-mena, lelaki itu bangkit dari pembaringan dengan mata yang terbelalak. Rintik-rintik peluh dingin memenuhi wajahnya.Tubuhnya terketar-ketar seolah-olah baru terlepas dari “kematian” yang sudah berada di hadapan matanya.
Lelaki itu melihat kedua-dua tangannya yang terketar-ketar lalu melihat-lihat keadaan tubuhnya. Tanpa melengah, lelaki itu bangkit lalu mengamati persekitarannya. Dia memegang lehernya. Kalung Brainlink terpakai kemas. Tindakannya seolah-olah dia sedang berada di satu lokasi yang sangat asing buatnya.
“Abang, kenapa bangun? Abang ok ke?” Satu suara lembut menyapa lelaki itu. Lelaki itu terkejut bukan kepalang sehingga imbangan tubuhnya menghilang menyebabkannya jatuh terduduk.
“Abang! Abang ok tak ni? Abang tak sihat ke?” Wanita itu bangkit dari pembaringan lalu mendapatkan suaminya yang kelihatan agak aneh perlakuannya.
‘Abang? Dia panggil aku abang? Aku...selamat?’ Lelaki itu bermonolog sendirian.Wajahnya berkeringat. Dia dapat melihat wanita itu mengusap-usap rambutnya dan bibir wanita itu sedang berbicara di hadapannya namun dunia dirasakan seolah-olah tanpa suara. Hanya membisu dan tidak sebarang bunyi kedengaran sehinggalah pandangan matanya mula kabur lalu tidak sedarkan diri.
Waktu bergulir tanpa menunggu sesiapa pun. Dari suasana yang gelap gelita beralih ke waktu siang yang cerah mengikut peredaran masa. Panahan cahaya mentari yang menyinar dari balik rongga tingkat membiaskan cahayanya ke mata lelaki itu yang masih terkatup rapat. Dahi lelaki itu berkerut-kerut. Dia cuba membuka kelopak matanya yang memberat. Pandangan matanya masih kelabu dan kelam. Kelihatan beberapa orang sedang duduk berhampiran dengannya yang terbaring di atas katil mewah itu.
“Ayah! Ayah!” Suara seorang kanak-kanak lelaki memanggil-manggil. ‘Ayah?’ Lelaki itu cuba menghadamkan keadaan semasa. Dia mengamati sekeliling dengan pandangan yang berpinau-pinau.
“Ibu! Ayah dah bangun!” Suara seorang anak gadis pula menerjah anak telinganya.
Tidak lama kemudian, seorang wanita yang anggun memasuki ke dalam perkarangan bilik mewah itu lalu mendapatkannya. Rambutnya diusap dengan penuh prihatin dan kasih sayang.
“Alhamdulillah. Abang dah sedar.” Wanita anggun itu memandang ke arahnya namun dia langsung tidak mengenali seorang pun dalam kalangan mereka bertiga.
“Kau...siapa?” Lelaki itu bersuara. Wanita anggun itu kelihatan tergamam seketika.
“Ayah..ayah ok tak ni? Takkan...ayah tak kenal ibu. Ayah...jangan bergurau.” Seorang gadis berusia lingkungan belasan tahun pula menegurnya. Dia mengamati wajah ayu milik seorang anak gadis berusia belasan tahun itu lalu tumpah ke arah wajah seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan awal belasan tahun. Lalu disoroti pandangan ke arah wajah seorang wanita lingkungan 40-an yang duduk di pinggir katil bersebelahan dengannya.
‘Aku...dalam sebuah keluarga?’ Lelaki itu bermonolog sendirian di dalam hatinya. Sesekali terbayang diminda satu lintasan memori yang meragut nyawanya. Kepalanya tiba-tiba menjadi sakit. Lelaki itu menekap kedua-dua tangannya di kepala. Dahinya terasa berdenyut-denyut. Sedikit demi sedikit memorinya kembali bertaut sehingga menjadi satu paparan layar dari balik masa lalu. Anak matanya terbuntang apabila layar mindanya memaparkan memori-memori lalu.
Benar. Dia bukan berasal dari dunia ini. Bukan berasal dari dunia manusia. Dia berasal dari satu dunia yang huru-hara dan buas. Satu dunia tempat kelahirannya yang hanya sekadar hutan belantara berbanding realitinya kini berada di dalam rumah agam ini. Perkara terakhir yang diingatinya adalah susuk tubuh seorang lelaki yang mengeluarkan aura kebiruan yang sedang memburunya. Hanya maut sebagai janji apabila bertemu dengan lelaki itu. Hampir keseluruhan bangsanya pupus sama sekali. Ramai dikalangan bangsanya yang maut di tangan lelaki itu bahkan terdapat ratusan malahan ribuan tentera yang berada di belakang lelaki itu yang menghapuskan bangsanya. Hanya tinggal segelintir sahaja di kalangan bangsanya yang masih berbaki menyelamatkan diri. Dia adalah salah satu daripada mereka.
Ya. Dirinya bukanlah manusia. Desakan untuk hidup memaksa dirinya melarikan diri sejauh yang termampu sehingga lupus tenaga dari dalam tubuhnya. Kaki tersadung pada akar pokok ketika sedang melarikan diri lalu dirinya tersungkur ke tanah. Seimbas lalu dia memandang ke hadapan melihat bangsanya melarikan diri tanpa mempedulikan dirinya.
Aura yang membunuh kian menghampirinya. Dia memandang ke arah belakang. Lelaki pembunuh itu sudah berada di belakangnya. Telapak tangan kanan lelaki itu mengeluarkan cahaya kebiruan pekat dengan diselangi bunyi dengungan. Dia tahu bahawa dia tidak akan selamat dan tidak akan hidup lebih lama. Waktunya berbaki beberapa saat sahaja.
Tanpa terduga, waktu yang masih berbaki beberapa saat itu digunakan sebaiknya. Dia teringatkan satu teknik terlarang yang diajarkan kepadanya oleh salah satu dari bangsanya sebelum “gurunya” itu menghilangkan diri. Mulutnya terkumat-kamit membaca lafaz mantera yang diajarkan. Usai lafaz itu terungkap, satu letupan cahaya kebiruan pekat menghambat tubuhnya lalu warasnya hilang. Dia langsung tidak sedar apa yang berlaku selepas itu. Apa yang pasti ialah kematian yang menjemput dirinya.
Tanpa terduga, dia membuka kelopak matanya dalam keadaan terkejut dan ketakutan yang teramat dan mendapati dirinya berada di atas sebuah katil mewah di sebuah bilik yang juga agak mewah. Suasananya berubah sama sekali seolah-olah terlepas dari ambang maut.
156Please respect copyright.PENANAwW09t8IBjU
“Ayah! Ayah! Ayah ok tak ni?” Suara seorang gadis menyapa dirinya membuatkan lamunannya bersepai. Memori itu seolah-olah benar-benar berada di hadapannya. Wajahnya berkeringat.
“Abang..saya panggilkan doktor ya? Abang sakit sangat ni. Tunggu ya.” Belum sempat wanita itu melangkah pergi meninggalkan bibir katil, dia pantas memaut tangan wanita itu.
“Tak...Aku...eerrr..abang tak..abang tak apa-apa. Abang...ok.” Terasa sangat janggal buat dirinya membahasakan dirinya sebagai ‘abang’.
“Sure? Kalau tak, saya panggil doktor. Kita ambil ubat.” Wanita itu cuba memujuk.
“Kalau ayah tak sihat, ayah rehat saja.” Anak gadis itu pula menyampuk. Kanak-kanak lelaki yang berada bersebelahan dengannya juga hanya sekadar memandang ke arahnya.
“Jangan risau...ayah...ayah ok.” Bukan mudah untuk menukar kata ganti diri dalam sekelip mata. Dia mengingatinya dengan sangat jelas bahawa dia tidak berkeluarga. Apa yang berlaku ketika ini adalah impak daripada lafaz mantera yang dibacanya sebelum dia terbunuh beberapa ketika lalu. Dia berjaya memindahkan dirinya ke satu jasad yang lain yang berada di dalam dunia manusia. Dia berjaya mengambil alih tubuh seorang suami dan ayah ini.
Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Saban hari semakin menjadi kebiasaan baginya untuk menyesuaikan dirinya dengan situasi yang berbeza dari dunianya. Dia mempelajari banyak perkara dalam tempoh ini. Pada peringkat awal, mungkin dia kelihatan agak janggal dan pelik dari mata isteri dan anak-anak bagi tubuh lelaki ini namun lama-kelamaan ianya sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Mereka langsung tidak mengesyaki bahawa ‘jiwa’ ayah mereka dan suami bagi isterinya telah ‘terbunuh’ ketika ‘jiwanya’ mengambil alih tubuh lelaki ini. Kini, dia memiliki tubuh ini. Dia terselamat dari ancaman maut dari lelaki dari dunianya.
Tahun berganti tahun. Dia mula merencanakan rancangannya. Dia sudah mengetahui dunianya berasal dari sebuah dunia digital yang direka oleh bangsa manusia itu sendiri. Jiwanya terlontar ke dunia manusia dengan menggunakan ‘jambatan’ yang menghubungkan dunia digital itu dengan dunia manusia. Jambatan itu adalah kalung Brainlink yang digunakan secara meluas ketika itu. Dia terselamat dari ancaman maut kerana mantera yang dibacanya itu adalah mantera perpindahan jasad digital ke jasad dari dunia yang lain iaitu dunia manusia dengan mengambil alih tubuh manusia yang menggunakan Brainlink dan pemilihannya secara rawak. Namun, peluang untuk mantera itu berhasil adalah dibawah dari 2% keberhasilannya. 98% pula akan menemui kegagalan. Ini bermakna mantera itu masih belum lengkap sepenuhnya dan dia sendiri tidak tahu bagaimana mantera itu boleh berhasil ke atas dirinya. Atau, mungkin ianya dipanggil sebagai bernasib baik sahaja.
Kajian demi kajian dilakukan selama beberapa tahun sehingga menemukannya dengan seorang gadis gelandangan muda yang kematian kedua-dua ibu bapanya. Tuah menyebelahi dirinya apabila dia mengetahui karier tubuh lelaki ini adalah salah seorang daripada saintis di dalam bandar ini. Jadi, sebarang pergerakan dan agendanya sukar untuk dihidu oleh isteri dan anak-anak tubuh lelaki ini memandangkan kajiannya digunakan sebagai alasan sebahagian daripada kerjayanya. Dia berjaya merekrut gadis gelandangan itu dan dijadikan pekerjanya yang sangat setia sehingga dia mendedahkan siapa dirinya yang sebenar. Dia juga berjaya mencipta sebuah sistem yang diimplankan ke dalam kalung Brainlink untuk menunjukkan keadaan dunianya kepada gadis gelandangan itu. Dia mencipta satu kisah tragis yang berlaku ke atas dirinya sehingga gadis itu mula mempercayai bahawa dirinya ditindas di dunia digital itu dan menyebabkan dia melarikan diri ke dunia manusia. Dia mendapat sokongan penuh dari gadis gelandangan yang genius itu. Akal gadis itu cekap serba-serbi. Apa yang diajarkan kepadanya pantas untuk diadaptasi oleh gadis itu.
Beberapa tahun kemudiannya berlalu dengan pelbagai rentetan sejarah yang berlaku. Tubuh lelaki ini pula semakin lama semakin lemah dan tidak bermaya. Anak gadis lelaki itu dan anak bujang lelaki itu juga semakin meningkat dewasa. Isteri bagi tubuh lelaki ini juga semakin berusia. Meskipun sudah terbit rasa sayang kepada mereka yang sudah dianggap keluarga namun dia tidak akan sekali-kali melupakan agendanya dan dalam pada masa yang sama, dia tidak mahu kehilangan anak gadis dan anak bujang bagi tubuh lelaki ini. Dia sudah menganggap mereka berdua sebagai anak sendiri. Dan wanita yang bergelar isteri kepada tubuh lelaki ini juga sudah dianggap sebagai teman sehidup sematinya. Seiring waktu berlalu, tubuh lelaki ini semakin lemah dan tidak bermaya. Tubuhnya semakin kurus dan semakin cengkung. Dia tahu bahawa tubuh manusia ini tidak mempunyai tempoh masa yang lebih panjang. Dia perlu mempercepatkan kajiannya untuk mencapai kejayaan di dalam agendanya. Dia mahu membunuh lelaki yang membunuh bangsanya di dunia itu. Lelaki itu adalah dari kalangan bangsa manusia yang menceroboh masuk ke dunianya! Lelaki itu adalah manusia! Lelaki pembunuh itu berada di dunia ini! Di dunia manusia ini!
Kajian demi kajian dilakukan sehingga dia dan gadis genius itu menemui satu jalan yang membuka peluang agendanya untuk berjaya. Pasukan Blackserv tertubuh dengan agenda mereka mahu menumbangkan Hyperserv.
Ya! Dunia asalnya adalah dari dunia Hyperserv! Lelaki pembunuh dari kalangan manusia itu masuk ke dalam dunia Hyperserv dan membunuh bangsanya dengan kejam. Tanpa belas kasihan. Dia perlu membunuh lelaki itu! Dia perlu menuntut bela ke atas kematian bangsanya. Satu-satunya bangsa kesayangannya.
Kini, jiwanya terlontar ke dunia manusia dengan pengambil alihan tubuh manusia yang lain memudahkan urusannya untuk merangka perancangan yang lebih teliti dan lebih kejam namun bukan mudah untuk membunuh manusia itu disini. Bukan di dunia manusia ini. Dia perlu membunuh lelaki itu di dunia sana. Dunia Hyperserv!
Dia adalah satu-satunya dari kalangan bangsanya yang terselamat dari hambatan maut lelaki pembunuh itu. Dia adalah satu-satunya dari kalangan bangsanya yang akan menuntut bela di atas penghapusan etnik bangsanya di dunia Hyperserv.
Dia! Satu-satunya bangsa Valkazar yang mendiami tubuh lelaki manusia dan terselamat dari hambatan maut dari seorang lelaki penghapus etnik Valkazar, Rayfall!
156Please respect copyright.PENANAG9FAP3nGpe
>>Bersambung Server 63
ns 15.158.61.17da2