SERVER 13
Sempadan Permukiman Viento,HyperServ
Suasana perhutanan di HyperServ semakin gelap.Malam semakin menjelma.Haiwan berwaktu malam giat melakukan ‘persiapan’ untuk memburu makanan pada waktu malam.Kejadian aneh awan hitam gemitam tempoh hari benar-benar mengejutkan haiwan berwaktu siang.Ia merupakan imbauan ngeri pada sesiapa yang menyaksikan kejadian aneh itu.Semua itu angkara BlackServ, Tajima dan Zaidi terlibat secara langsung.Mereka memuatnaik virus serangan pertama untuk mengaktifkan amaran pertama HyperServ sebelum disusuli serangan kedua.
Sepanjang perjalanan Leo dan Yazaid, Leo bercerita tentang apa yang berlaku pada hari kejadian.Yazaid mengerutkan dahi.Dia langsung tidak menyangka ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kesinambungan ciptaannya ini walau pada hakikatnya HyperServ merupakan idea asal Professor RayFall.
Leo melangoi ke atas.Suasana perhutanan disini semakin gelap.Berjalan pada waktu malam disini bukanlah satu pilihan yang bijak.Setiap permukiman ada habitat haiwannya tersendiri yang semestinya ganas dan buas.Pilihan terbaik adalah berlindung dan berehat.
Mereka berjalan mencari tempat yang agak lapang.Dinyalakan unggun api buat pemanas badan kala kesejukan.Mereka sekadar berehat beralaskan tanah sahaja tanpa melapikkan diri dengan apa-apa.
“Berjalan di hutan ni waktu malam agak merbahaya.Haiwan berwaktu malam gemar memburu mangsa pada waktu begini.” Ringkas Leo menerangkan situasi ketika itu.
Yazaid membungkam.Mendiamkan diri.Dia sekadar berbaring terlentang menghadap dada langit yang semakin kelam dan gelap.Kelihatan taburan bintang-bintang di langit, kewujudan dua bulan menambahkan lagi rasa nyaman pada pandangannya.Satu bulan sabit menghadap ke atas berada di sebelah kiri manakala satu lagi bulan sabit menghadap ke atas berada di sebelah kanan.Kedudukannya selari.Dia sendiri tidak tahu tentang itu.Dia tidak pernah berada di sini pada waktu malam.
“Apa sebenarnya yang terjadi kat dunia ni? Kenapa aku masih tak boleh Log Out?” Yazaid sekadar bertanya.Dia tidak mengharapkan Leo dapat menghurai persoalan itu.Ternyata seolah-olah HyperServ terputus hubungan dengan dunia luar.Bahkan dia sendiri tidak dapat menghubungi Irfan yang menjadi Operator datanya.Apa yang sedang berlaku diluar sana dia sendiri tidak mengetahui.
Leo sekadar memandang sekilas pada Yazaid. “Yazaid, Hacker BlackServ sudah mulakan serangan.Awan hitam tempoh hari salah satu daripada virus yang dihantar oleh BlackServ.Itu yang mengaktifkan amaran pertama HyperServ.”
“Jadi, apa kena-mengena dengan kes aku tak boleh Log Out dari sini?” Yazaid kebingungan.
“RayFall mencipta dunia ni dengan tahap keselamatan yang unik.Dunia ini akan mengunci sistemnya sendiri secara penuh apabila amaran kedua diaktifkan.” Leo menerangkan serba ringkas tanpa memandang ke arah Yazaid.
“Salah seorang daripada ahli BlackServ yang ada diluar sudah melancarkan serangan.Satu program yang dilancarkan boleh memusnahkan keseluruhan sistem di dunia ini.Termasuk HyperServ.” Leo menyambung.
“Program?” Yazaid mengerutkan dahinya.
“Program Pemusnah Sistem.Hasil rekaan BlackServ.Tapi mereka tidak tujukan terus ke HyperServ.Mereka lancarkan pada paksi sistem utama di dunia kau.Dari situ virus akan merebak kepada keseluruhan sistem di dunia kau.” Leo mengeliat bagi melegakan setiap sendi-sendi pada badannya.Terasa lenguh sepanjang hari berjalan tanpa henti.
“Kenapa dia tak tujukan terus ke sini? Kenapa perlu ke paksi sistem utama?” Yazaid bangkit dari pembaringan.Dia bersila menghadap Leo.Tekun mendengar penjelasan.
“Paksi sistem utama merupakan jantung setiap sistem yang ada di dunia kau.Termasuk HyperServ.Dengan menyerang paksi sistem utama, keseluruhan sistem di dunia akan menjadi lumpuh.Ini bermakna HyperServ tidak akan dapat apa-apa bantuan dari luar.” Leo berwajah serius.Yazaid sekadar mengerutkan dahi.
“Dari situlah amaran pertama HyperServ diaktifkan.Ia mengesan ancaman yang bakal berlaku.Pada peringkat ini, User terpilih secara rawak masih boleh termasuk tanpa sengaja ke HyperServ tetapi tidak boleh keluar dari sini.Itu maksudnya ‘mengunci sistem’.Tetapi hanya user sahaja yang boleh masuk.Sebarang senjata atau apa-apa program dari luar tak boleh dimuatnaik ke sini ketika ini.” Panjang lebar Leo menerangkan satu per satu.
“Sekejap. Kau cakap apa-apa program atau senjata tak boleh masuk ke sini.Jadi, macam mana BlackServ nak hancurkan HyperServ kalau…” Leo mengunjurkan telapak tangan kanannya terlebih dahulu.Yazaid terhenti dari berkata-kata.
“Kau lupa siapa yang ada di dalam HyperServ?” Leo memandang Yazaid dengan wajah selamba.Yazaid membulatkan mata.Dia mula memahami situasi.Leo menganggukkan kepala.
“Mereka bijak, Yazaid. Salah seorang ahli memusnahkan dari luar.Mereka berdua disini menghancurkan dari dalam.” Kata-kata Leo agak ringkas namun membejatkan jantung Yazaid.
Yazaid mengerutkan dahinya.Dia langsung tidak menyangka kejadian sebegini benar-benar meruntuhkan egonya.Dia merasakan dia telah menyambung legasi ciptaan manusia paling sempurna tetapi sangkaannya ternyata meleset.
“Dunia ni diserang oleh hacker. HyperServ sudah terbuka jadi Open-World.Terbuka untuk user yang terpilih tanpa sengaja.” Yazaid berbisik.Sekadar bermonolog sendirian.
“Mana mereka sekarang!” Yazaid membengiskan wajahnya.Ternyata darah membuak-buak ke kepala.
“Sabar, Yazaid.Hacker bukan calang-calang.Mereka tak masuk dengan tangan kosong.Mereka mampu mengawal semua elemen ekosistem disini.Bahkan diri kau sendiri pun mereka mampu kawal.” Leo menenangkan Yazaid.Ternyata Yazaid dihurungi amarah.
“Habis, siapa yang boleh hadap dua ekor tu!?” Amarah Yazaid semakin membuak.
Leo sekadar tersenyum. “Hacker.Lawannya hacker.”
Yazaid mengerutkan dahi.Dia kebingungan.
“Kau akan tahu nanti.Tunggu.” Leo membaringkan diri menghadap dada langit malam yang kelam.Ternyata dia lebih arif tentang situasi kini.Angin malam bertiup mendinginkan suasana.Sesekali terasa bayu membawa bahang menyinggah ke persekitaran ini.Mereka sudah hampir dengan Permukiman Fuego.Kawasan yang lebih panas.
Bandar Inderapuri,Tahun Infiniti 30XX
Suasana malam di Bandar Inderapuri menjadi kelam-kabut.Kenderaan yang dipacu oleh penduduk tidak bergerak mengakibatkan kesesakan jalan raya yang sangat teruk.Lampu jalan LED putih yang dihidupkan dengan menggunakan sistem juga tidak berfungsi.Hampir kebanyakan tempat menjadi gelap gelita.Lampu yang menyala hanyalah beberapa sahaja.Itu pun ianya dihidupkan menggunakan solar.Penduduk bandar ini hilang arah tuju.Masing-masing berpusu-pusu berkumpul di kawasan yang lebih terang.Terpancar riak cemas di raut wajah masing-masing.Tidak mengetahui apakah yang sedang berlaku kala ini.Apa yang sebenarnya terjadi.Kegelapan malam menyelubungi bumi itu.Segala sistem digital kebanggaan mereka lenyap sama sekali.Langsung tidak berfungsi seperti kebiasaan.Semuanya lumpuh umpama menunggu mati.Kalung Brainlink masih kelihatan berfungsi namun lumpuh.Anehnya, kalung itu tidak boleh ditanggalkan dari leher pengguna.Ramai dikalangan penggunanya panik dan tidak tentu arah.Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain.Suasana menjadi hiruk-pikuk.
Irfan mengesat titisan keringat di dahinya menggunakan lengan tangannya.Dia bertungkus-lumus cuba untuk menyelesaikan perkara ini.Dia tahu apa yang menjadi punca malapetaka ini.BlackServ melakukan serangan secara global.Hadif dan Hairuddin sekadar menjadi pemerhati.Mereka menunggu arahan dari Irfan.
Hairuddin menapak perlahan menuju ke sebuah sofa bersebelahan sebuah katil di mana jasad Yazaid terbaring kaku di situ.Hairuddin memandang lelaki itu tanpa sebarang reaksi dan emosi.Padanya, penciptaan HyperServ menjadikan ketamadunan manusia menjadi kacau-bilau.Merosakkan hukum alam yang sedia ada.
“Berapa lama lagi perkara ini berterusan?” Hadif memeluk tubuh memerhatikan Irfan melakukan kerjanya.Dia mengendalikan sebuah Program Pemansuh sebagai ‘penawar’ kepada malapetaka ini.Setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali penyakit mati.
“Saya sedang usahakan.Jadi, maafkan saya.Tolong jangan ganggu.” Hadif menjawab ringkas namun terasa pedih di hati.Hadif terpempam.Merah wajahnya diperli sebegitu.Dia melepaskan keluhan kasar.Hairuddin sekadar berdehem sambil menggelengkan kepala.Hadif memahami.Dia sekadar mengerutkan dahinya.Menenangkan hatinya sendiri.
“Semua ni angkara BlackServ.Mereka hantarkan satu gelombang yang mampu melumpuhkan seluruh sistem di dunia.Semua benda atau apa-apa perkasasan digital yang berhubung dengan sistem pastikan akan turut lumpuh.” Irfan menerangkan serba ringkas tentang situasi semasa.Jarinya ligat menekan kod Program Pemansuh yang sedang diubahsuai.
“Jadi?” Hadif masih kurang mengerti.
Irfan memandang Hadif sekilas. “Jadi, mereka yang masuk ke dalam HyperServ tidak akan boleh keluar sehingga sistem beroperasi semula.”
“Dimana markas mereka?” Hadif menyoal Irfan umpama tahanan polis.Riak wajahnya kelihatan serius.
“Siapa tahu? Saya cuba untuk detect lokasi mereka tapi…gagal.” Irfan menjawab pertanyaan Hadif tanpa memandang Hadif.
Hairuddin termenung.Dia lebih menyalahkan dirinya.Dia tidak sepatutnya mengambil risiko dengan memberikan BrainLink kepada Ismail.Ini semua kesilapannya.Cukuplah hanya dia sahaja pernah terlibat dengan HyperServ suatu ketika dahulu.Dia tidak mahu anaknya terlibat sama.
“Tapi…” Irfan berkata sepatah.Hadif dan Hairuddin menunggu bait kata seterusnya.
“Saya tak jamin Program Pemansuh akan berhasil.Ini ikhtiar sahaja.Selebihnya bergantung kepada Yazaid dan kawannya seorang lagi. Atau boleh saya katakan, cuba nasib.” Irfan menarik nafas panjang.Jauh disudut hatinya mengharapkan program hasil rekaannya akan berhasil.Hadif dan Hairuddin memikirkan perkara yang sama.Mereka hanya mampu menunggu dan lihat hasilnya.Tiada apa yang boleh mereka lakukan.Jika diturutkan hati, mahu sahaja Hairuddin masuk ke dalam HyperServ dan membantu mereka apa yang mampu tetapi risikonya terlalu tinggi.Jika gagal, HyperServ akan runtuh dan gagal diselamatkan.Itu bermakna sesiapa yang ada di dalamnya ketika itu pasti akan maut.Lebih parah, dunia realiti turut terjejas.
Permukiman Fuego,HyperServ
Suasana malam di perhutanan mukim Fuego agak menyeramkan.Kedengaran suara-suara haiwan berwaktu malam yang berkeliaran bersahut-sahutan.Ismail telah menyalakan unggun api bersebelahan Kirin yang masih tidak sedarkan diri.Kejadian siang tadi masih terbayang-bayang di kepalanya.Dia sendiri tidak mengetahui apakah yang sedang berlaku dan apa yang sedang dilakukan oleh Kirin.Dia sememangnya tidak mengerti.Dia langsung tidak mengetahui dimanakah dia berada ketika ini.Dia masih keliru.Kirin telah menceritakan semuanya kepada Ismail sepanjang perjalanan mereka ke situ tetapi Ismail langsung tidak mengerti dan langsung tidak mempercayai apa yang diceritakan oleh Kirin tentang HyperServ.Baginya, dia berada di satu lokasi hutan yang tidak diketahui lokasinya dan bukan berada di dalam HyperServ seperti yang diceritakan oleh Kirin.Dia tidak mempercayai cerita karut itu, fikirnya.
Taburan bintang di dada langit sangat mendamaikan namun persekitarannya agak panas dan bahang.Embun malam langsung tidak menyejukkan suasana.Ismail berpeluh.Kelihatan keringat mula terbit di dahinya.
“Kkrraaaaakkkkkkk!”
Ismail pantas berpaling ke arah bunyi tersebut.Bunyi ranting patah dipijak oleh seseorang atau mungkin ‘sesuatu’.Ismail bingkas berdiri.Dia tiada sebarang senjata kala ini lalu dia hanya berdiri bersiaga.
Bunyi semak-samun dikuak-kuak semakin menghampiri.Dedaunan kering dipijak.Kedengaran derapan kaki semakin menghampiri kedudukan mereka.Semak-samun yang berhampiran mula bergerak-gerak.Seakan ada sesuatu yang cuba menghampiri.Ismail memincingkan anak matanya.Suasana yang kelam dan berbalam-balam menyukarkan dia untuk mencarup keseluruhan persekitaran.
Secara tiba-tiba, dua orang lelaki yang tidak dikenali oleh Ismail muncul dari sebalik kegelapan malam.Lelaki itu menghampiri mereka berdua.Kirin masih tidak sedarkan diri.Hanya unggun api yang dinyalakan oleh Ismail sahaja yang menerangi suasana persekitaran.Itu pun penglihatannya terhad dan kelihatan berbalam-balam.
“Well..We’re here!” Zaidi menutup paparan hologramnya dan berpeluk tubuh memerhatikan gelagat Ismail yang sedang berdiri kononnya bersiaga dan Kirin yang terbaring tidak sedarkan diri.
“Budak..kau buat apa dekat sini malam-malam? Kau buat apa dekat perempuan tu?” Tajima mengubah riak wajahnya menjadi serius.Sengaja untuk menyakat.Ismail mengetapkan giginya.Wajahnya terasa panas.Dia mengetahui kedua-dua lelaki ini bukan berniat baik.
“Macam ni. Aku tak berminat untuk kacau dua merpati sejoli yang sedang berasmara ni.Aku berminat pada batu belakang tu.Jadi, tolong berambus dari sini.Sebelum aku…” Tajima mengacukan senjata laser di tangan kanannya tepat ke dahi Ismail.
Ismail memandang Tajima dengan penuh kebencian.Dia meyakini kedua lelaki ini berniat jahat dan dia yakin Kirin sedang melakukan sesuatu pada batu itu untuk menghantarnya pulang.Dia tidak akan berganjak dari situ.
“Ohh..budak degil.” Zaidi sekadar tersengih.
“Degil.Ok kalau itu yang kau nak.” Tajima melepaskan senjata laser di tangan kanannya jatuh ke tanah.Dia meregangkan sendi-sendi di badannya.Bersedia untuk melakukan tempur tanpa senjata.Tempur tangan kosong.Tajima menghampiri Ismail.Baginya, Ismail sekadar seorang budak hingusan yang tidak tahu apa-apa.
Ismail bersiaga.Anak matanya memincing ke arah badan Tajima.Dengan memandang ke arah pusat, seluruh pergerakan musuh mampu dibaca dengan mudah.
Lonjakan kaki kanan Tajima menginjakkan tubuhnya ke hadapan.Kepalan genggaman tangan kirinya sekukuh batu terlontar ke sasaran.Ismail menanti serangan.
Genggaman tangan kiri Tajima disambut.Ismail juga bukan calang-calang orang.Lengan kiri Tajima disambut kemas oleh Ismail lalu dipulas ke belakang badan.Tangan kanan Ismail memaut dagu Tajima dari belakang.Dengan sekali rentapan, Tajima terlambung semula ke belakang terhempas ke tanah.Membuntang anak mata Zaidi melihat perkara yang terjadi di hadapan matanya.Ismail memasang kuda-kuda.Mengukuhkan kedudukan.Membuka bunga persilatan yang dipelajarinya di kampung.Sememangnya menjadi satu kemestian bagi anak kampung sepertinya mempelajari seni mempertahankan diri tradisional untuk melindungi diri dan keluarga tercinta.
Tajima bangkit.Wajahnya mengerut seribu.Terasa pedih di kepala akibat hentakan kuat.Terasa darah merah pekat membuak-buak menambahkan lagi rasa amarah pada budak hingusan itu.Sekali lagi Tajima melakukan serangan.
Tajima melompat tinggi separas dada.Dia melonjakkan badan menggunakan kaki kanan sebagai impak lalu memutarkan badan di udara.Dia melibaskan kaki kanannya ke arah Ismail.Ismail cekap membaca gerakan lawan.
Ismail menunduk.Tendangan libas Tajima membelah angin.Belum sempat kaki kanan Tajima mencecah bumi, satu tendangan padu singgah ke dada belakang Tajima.Hentakan tumit kanan dari Ismail bukan calang-calang.Sakitnya bukan kepalang.Buat kali kedua, Tajima jatuh menyembah bumi.Zaidi terpempam.Dia tidak menyangka budak hingusan yang dianggap tidak tahu apa-apa mahir mempertahankan diri.
Tajima termakan dedaunan kering di tanah.Terasa pedih di ulu hati.Sakitnya bukan kepalang.Dia memandang Ismail dengan penuh amarah.Dia membengiskan wajahnya.Ismail tetap tenang menghadapi lawan yang sedang dikuasai amarah.Baginya, musuh yang dikuasai amarah lebih mudah untuk ditumbangkan berbanding musuh yang tenang.Dalam keadaan amarah, akal membejat.Pergerakan akan menjadi tumpul dan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan impaknya.
Tajima cuba berdiri.Terasa pedih di ulu hati membantutkan pergerakannya.Dia memandang Zaidi.Zaidi memahami isyarat tersebut.Secara tiba-tiba, Zaidi menyerang Ismail dari belakang.Kepalan penumbuk kanan membelah angin tepat ke belakang dada Ismail namun Ismail lebih menguasai pertempuran tanpa senjata.Gerakan lawan mampu dibaca dengan mudah.
Ismail mengilas badannya ke kanan mengelak serangan.Pantas lengan kiri Ismail menangkis tumbukan Zaidi lalu telapak kaki kanan Ismail memukul pelipat kaki kanan Zaidi dan dilipatkan tangan kanan Zaidi ke belakang badannya sendiri.Dalam sekelip mata, kedudukan Ismail berada di belakang Zaidi.Satu tetakan tangan singgah ke leher Zaidi.Terasa berpinar kepalanya.Pelipat kaki Zaidi pula dihentak sehingga kedua lututnya mencecah tanah.Ismail mengunci pergerakan Zaidi.Leher Zaidi kemudian disauk dari belakang lalu dihempas ke tanah.Dua kali tumbukan padu singgah ke dada Zaidi membejatkan pergerakan Zaidi.Terasa mahu termuntah.Zaidi tercungap meminta udara.Terasa pedih yang amat.
“Sudah!! Cukup!!” Tajima berdiri membelakangi Ismail.Ismail pantas berkalih ke belakangnya.Tajima memegang senjata laser diacukan kepada Ismail.Ismail membungkam.Zaidi menjauhi Ismail.Dia merangkak ke tepi.
“Aku tak pernah membunuh sebelum ini.Tahniah! Kau orang pertama.” Senjata laser milik Tajima mula mengeluarkan cahaya kemerahan.Bunyi desing membingitkan telinga menandakan senjata itu melakukan persediaan untuk melakukan ledakan.Keringat di dahi Ismail mula terbit.Cemas.
“Kau akan menyesal dengan perbuatan kau, budak! Kau boleh ucap selamat selamat tinggal pada kekasih kau tu.” Tajima membongkokkan badannya.Kakinya mengampu tubuh.Ledakan laser yang cukup kuat mampu memberikan impak yang cukup kuat sekiranya kaki tidak cukup utuh menahan bumi.
Ismail memandang Kirin yang masih tidak sedarkan diri.Kelopak matanya mula bergenang.Dia gagal melindungi Kirin.Dia gagal melakukan tugas.Lebih-lebih lagi dia gagal untuk pulang ke rumah dan bertemu dengan kedua orang tua kesayangannya.Dia tahu ajalnya semakin tiba.Dia tidak mampu melakukan apa-apa.Tempur tanpa senjata adalah kelebihannya namun musuh yang dihadapi memiliki senjata yang mampu membunuh jarak jauh sedangkan dia tidak memiliki senjata sebegitu.Ajalnya pasti akan tiba.Ismail berkalih memandang Tajima.Dia mengerutkan dahinya.Dia pasrah menanti apa yang bakal terjadi.Terbayang wajah-wajah ayah dan ibunya yang tercinta.Ia bakal lenyap sebentar lagi.
Cahaya kemerahan semakin cerah di corong senjata laser Tajima.Bunyi desing yang membingitkan gegendang telinga semakin memekik.
“DDUUUUUMMMMMMMM!!!”
Satu ledakan laser dilepaskan oleh Tajima tepat mengena sasaran.Debu tanah bertaburan membataskan penglihatan.Tajima tersenyum puas.Cukup dia tewas dalam pertempuran tanpa senjata.Kali ini gilirannya membunuh musuh yang menewaskannya.Bara api yang berdekatan berselerakan.Debu tanah yang terawang di udara membatasi penglihatan.Ledakan laser yang mengena sasaran mengegarkan tanah, menyerakkan debu.Tiada sesiapa pun yang boleh hidup apabila ditembak dalam jarak dekat dengan ledakan yang cukup kuat dan mampu mengegarkan tanah.Tajima puas.Nafsu amarahnya membuak.Dendamnya berjaya dilunaskan.Darah di bayar dengan darah, fikirnya.
>>Bersambung [Server 14]
ns 15.158.61.44da2