SERVER 5
BlackServ Lab. Tahun Infinity 30XX
470Please respect copyright.PENANANbeVOfDWOj
Cekap jemari Zie mengendalikan panel komputer yang berteknologi tinggi itu. Anak matanya tidak lekang dari memerhatikan setiap data yang terpapar di kaca monitor hologram tersebut. Dia mengetahui bahawa nyawa Tajima dan Zaidi berada di dalam genggamannya. Berkeringat dahinya mengendalikan aliran data kedua sahabatnya itu. Jika terlewat sedikit bermakna maut bakal menjemput Tajima dan Zaidi. Beberapa masalah teknikal cuba diatasi. Sambungan data ke Hyperserv agak lemah. Ada beberapa kesilapan teknikal yang semestinya perlu diatasi oleh kumpulan ini.
Ini merupakan kali pertama baginya mengendalikan server tersebut sebagai Operator. Tugasnya amat ringkas tetapi bukannya mudah. Tugas seorang Operator adalah sebagai pemantau dan pembantu bagi User yang memasuki HyperServ. Operator akan mengendalikan sistem tersebut dari luar. Apa sahaja yang dikehendaki oleh User di dalam HyperServ akan diuruskan oleh Operator. Namun jika ianya melibatkan nyawa, tugasnya menjadi lebih mencabar. Ganjaran yang agak lumayan dijanjikan kepada Zie jika menyertai kumpulan ini untuk melumpuhkan Hyperserv. Oleh kerana desakan hidup dan mengalami miskin bandar, Zie menerima tawaran tersebut tanpa berfikir akan implikasinya sama ada buat dirinya atau pada orang lain. Sifat tamak yang bakal membutakan mata hati.
Sebuah hutan tebal, Hyperserv
Harimau berbelang merah dan bertanduk itu bersedia untuk melancarkan serangan. Menyerigai dan menderam di rengkongan. Membengis melihat hidangan lazat terhidang dihadapan matanya.
Tajima cemas. Dia sesekali menjeling pada senjata yang terlekat di tangan kanannya. Masih tidak boleh digunakan. Senjata itu hanya mampu meledakkan tembakan laser sebanyak dua kali sahaja dan memerlukan masa antara tiga hingga lima minit untuk mengecas kuasa ledakannya semula sebelum ia kembali boleh digunakan. Itu adalah kelemahan paling utama senjata itu yang perlu diatasi.
Harimau buas yang berada dihadapannya hanya beberapa meter sahaja. Ia bersedia untuk melakukan serangan. Bilah-bilah kuku runcing yang tajam mula kelihatan. Taring di rahang hadapan mula memanjang melepasi rahang bawah. Menyerigai buas. Matanya merah menyala bak saga. Harimau itu membongkokkan badannya ke hadapan. Bila-bila masa sahaja serangan dari harimau itu bakal meragut nyawa Tajima.
Secara tiba-tiba, kedua-dua telinga harimau berbelang merah itu tergerak-gerak. Gerakannya terhenti. Deraman direngkongan mengendur namun wajahnya tetap menyerigai. Ia seolah-olah terdengar sesuatu dari jarak yang cukup jauh. Seolah-olah ada sesuatu yang memanggilnya ‘pulang’ semula.
Tidak semena-mena, harimau itu berkalih ke belakang. Tanpa diduga, seluruh tubuh badan harimau itu bercahaya dengan sinar yang sangat menyilaukan dan menghilang dalam sekelip mata. Hilang dari pandangan sepantas kilat.
Tajima terpinga. Akalnya membejat. Sekadar anak matanya sahaja yang menerokai persekitaran untuk memastikan keselamatannya terjamin. Setelah puas menelusuri persekitaran dan terasa yakin dengan keselamatannya, Tajima lekas mendapatkan Zaidi yang masih tidak sedarkan diri. Dia sendiri menjadi hairan. Apa perkaitan kemunculan harimau aneh itu dengan kejadian Zaidi secara tiba-tiba tidak sedarkan diri. Namun Tajima pasti bahawa ianya pasti ada perkaitan. Ada sesuatu tentang harimau aneh itu.
“Zie! Bawa kami keluar! Buat Force Log Out!” Tajima memberikan arahan. Force Log Out merupakan satu teknik untuk keluar dari HyperServ secara paksa terutama ketika ada diantara User yang tidak sedarkan diri dan tidak berupaya untuk Log Out secara manual. Namun, hanya Blackserv yang menemukan sistem dan cara itu.
Seluruh tubuh Tajima dan Zaidi bercahaya dan berkecai sedikit demi sedikit berbentuk piksel kecil dan terawang di udara meninggalkan dunia HyperServ untuk kembali kepada jasadnya di realiti.
470Please respect copyright.PENANAVa62fHS3LY
Bandar Inderapuri, Tahun Infiniti 30XX
Di luar deretan kedai itu kelihatan lambakan kenderaan tidak beroda menyusuri jalan raya. Dengungan enjin digital sekali sekala membingitkan telinga. Tidak kurang juga dengan marga kota Inderapuri yang sibuk dengan urusan masing-masing tanpa menghiraukan orang lain. Ini juga salah satu daripada bahana penggunaan gajet yang berlebihan sehingga akal manusia tidak berpijak pada bumi yang nyata.
Yazaid begitu tekun membincangkan sesuatu dengan Irfan. Kelihatannya perkara yang dibincangkan agak serius namun tidak pada Fared. Sedari tadi, Fared sering kali terjengah-jengah ke luar pejabat Irfan. Tumpuannya hanya satu. Gadis yang menyambutnya sebagai pelanggan tadi mula menarik minatnya. Anak matanya melilau persekitaran luar pejabat. Terjengah-jengah sehingga kakinya menginjakkan badannya ke belakang sehingga terjongket kerusi yang diduduknya. Sengaja dipanjangkan batang lehernya menjengah keluar. Baginya, cukup dapat nampak kelibat gadis itu sahaja sudah memadai.
“DUUKKKKKKKK!!” Bunyi sesuatu yang berat terhempas bergema.
Irfan dan Yazaid terkejut dan pantas berkalih. Fared jatuh ke belakang. Hentakan kuat di kepala memberikan ‘sensasi’ berpinau di kepala Fared. Kerusi yang diduduki oleh Fared terbalik ke belakang kerana kakinya menginjakkan badannya ke belakang sehingga dia tidak dapat mengimbangkan badan.
“Fared, Jika kamu tidak berminat dengan perbincangan disini, saya sarankan kamu keluar dan cari Rozy. Perempuan yang sambut pelanggan tadi. Saya pasti awak lebih berminat dengan perbincangan di sana.” Irfan memperbetulkan kedudukan duduknya di kerusi. Dia sekadar tersenyum memerhatikan telatah Fared hari ini. Bukan dia tidak pernah bercinta. Jadi, dia sangat memahami bahawa Fared mula tertarik dengan pekerjanya berdasarkan tingkah lakunya.
Yazaid menepuk dahi sambil mengelengkan kepala. Malunya bukan kepalang. Fared pantas bangun berdiri. Ditepuk-tepuk baju dan seluarnya. Riak mukanya bersahaja umpama tiada apa yang berlaku. Diangkat semula kerusi yang terbalik dan lekas-lekas Fared keluar daripada pejabat Irfan. Malunya bukan kepalang.
Irfan sekadar tersenyum. “Biasalah. Darah muda. Hangat untuk bercinta.”
Yazaid pula tidak menyangka sehingga begitu sekali perlakuan Fared. Selama dia mengenali sahabatnya itu jarang sekali Fared tertarik hati pada mana-mana perempuan terutama yang tidak menepati ciri-ciri idamannya.
Irfan membuka sebuah fail yang berada di sebelah kirinya. Diselak satu per satu setiap helaian muka surat. Fail itu ditutup semula dan diserahkan pada Yazaid.
“Dalam fail tu ada semua maklumat tentang HyperServ termasuk blueprint asal, perkakasan hardware yang digunakan, perisian yang dioperasikan. Semuanya ada dalam tu.” Irfan menerangkan serba ringkas.
Yazaid mencapai fail yang diserahkan oleh Irfan dan dia membelek satu per satu.
“Suatu ketika dulu masa HyperServ baru nak dibina, itu adalah semua rekod yang aku pegang dan aku kumpulkan.” Irfan memperbetulkan kedudukan duduknya di kerusi sambil memandang Yazaid yang sedang tekun membelek setiap helaian fail itu.
“Untuk pengetahuan kau, ada beberapa orang yang terlibat dalam pembinaan HyperServ dulu. Orang pertama yang mengasaskan dan idea daripada dia itulah yang mewujudkan sebuah bioserver pertama di dunia iaitu HyperServ dan dia adalah mentor kau sendiri. Professor Rayfall.” Irfan menyambung lagi.
“Kau pun terlibat dalam pembinaan HyperServ? RayFall tak pernah cakap apa-apa pasal kau.” Yazaid keliru.
“Yup... Aku cuma sebagai pembina rangka server HyperServ dan perkakasannya sahaja. Setiap komponen yang digunakan aku yang pasang dan aku yang bekalkan.” Jelas Irfan secara ringkas.
“Prof Rayfall tak pernah beritahu aku tentang kau. Dia cuma pesan untuk cari kau je kalau ada apa-apa permasalahan berkaitan server HyperServ. Aku tak tahu pula kau pun terlibat dalam pembinaan.” Yazaid meneliti setiap helaian fail itu.
“Rayfall suruh kau cari aku sebab aku yang arahkan. Aku tahu Rayfall ni memang gila. Impian dia cuma satu. Untuk membina sebuah dunia dia sendiri yang boleh memberi manfaat pada orang lain juga dalam masa yang sama.” Panjang lebar Irfan memberi penerangan. Irfan bangkit dari kerusinya dan berjalan perlahan ke rak buku membelakangkan Yazaid.
“Aku tahu bila HyperServ siap sepenuhnya, dalam tu akan terhasil sebuah dunia yang cukup luas dan belum diterokai. Masih hutan belantara. Masih liar. Pasti akan berlaku permasalahan tapi aku tak nak melibatkan nama aku secara langsung.” Irfan menarik sebuah buku hasil nukilannya sendiri. Perlahan dia menapak ke arah Yazaid.
“Dalam buku ni, akan terjawab serba sedikit persoalan kau tentang HyperServ. Ini mungkin sekadar sebuah buku cerita atau novel sahaja tapi rentak dan corak ceritanya aku ambil dari kisah pembinaan HyperServ. Mungkin kau boleh jadikan panduan. Kau nak cari peta HyperServ pun ada dalam tu.” Irfan menyerahkan sebuah buku hasil nukilannya sendiri kepada Yazaid. Dia yakin Yazaid tidak mampu menggalas tanggungjawab yang diserahkan oleh Rayfall ke bahu Yazaid untuk meneruskan HyperServ tanpa bimbingan daripada Irfan. Irfan juga salah seorang daripada pengasas pembinaan bioserver pertama di dunia iaitu HyperServ. Semestinya dia lebih arif.
Yazaid tersenyum. Akalnya memikirkan sesuatu. Apa yang terdaya dia lakukan. Nyawa sahabatnya, Samsul ternyata dalam bahaya. Masa tidak mengizinkan sebarang kesilapan pada saat genting sebegini.
Dia harus teruskan usaha pencarian data-data milik Samsul untuk disatukan semula dan harus dipulangkan semula ke jasadnya yang terkaku di dalam makmal HyperServ.
Irfan kembali ke tempat duduknya berhadapan dengan Yazaid. Mata Yazaid melilau ke luar pejabat mencari-cari kemanakah Fared menghilang. Sepatutnya Fared juga perlu turut serta dalam perbincangan penting sebegini.
Keluhan halus dilepaskan oleh Yazaid. Akal fikirannya terbejat memikirkan nasib sahabatnya yang sedang terlantar tidak sedarkan di makmal. Menunggu dua lagi sahabatnya untuk bertindak menyelamatkan datanya yang bersepai dan berkecai-kecai di dalam dunia buas digital itu.
Dimana dia hendak mulakan pun dia sendiri tidak tahu. Semuanya kerana khilaf mereka sebagai manusia. Satu ujikaji yang melanggar hukum alam. Inilah padahnya.
470Please respect copyright.PENANAbY6WhcwoKu
BlackServ Lab. Tahun Infinity 30XX
Tajima terduduk lesu. Zaidi masih tidak sedarkan diri selepas proses Force Log Out yang dilakukan. Zie pula terus melakukan kerjanya sendiri di sebuah bilik lain. Tajima termangu seketika. Dia mengetahui proses Force Log Out amat merbahaya. Proses itu umpama merentap nyawa keluar dari jasad. Kesannya, tubuh badan akan menjadi lesu dan kepenatan melampau. Namun pada saat genting sebegitu itu adalah pilihan terbaik.
“Macam ada benda yang tak kena.” Tajima sekadar bermonolog sambil akalnya ligat memikirkan sesuatu. Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi menuju ke arah panel kawalan server. Tajima mencari sesuatu. Data yang sangat penting baginya. Mungkin data yang paling berharga.
Isyarat BrainLink yang ditemuinya tadi merupakan kunci kepada Program Pemusnah Sistem yang dihasilkan. Dia perlu mendapatkan BrainLink asal HyperServ untuk mengaktifkan program tersebut dengan sepenuhnya.
Sistem BlackServ telah diubahsuai sejak dari awal lagi. Oleh kerana itu, sistem BlackServ boleh digabungkan bersama sistem HyperServ tanpa disedari oleh pemiliknya. Kerana itulah BrainLink milik BlackServ boleh menceroboh masuk ke dalam HyperServ walau pada hakikatnya server HyperServ masih belum dibuka untuk digunakan secara awam.
Membulat mata Tajima memerhatikan satu isyarat muncul di kaca monitor hologram di hadapannya. Isyarat itu berkelip-kelip tanpa henti. Itu adalah satu isyarat daripada BrainLink yang diburunya sebentar tadi.
Tajima mengetapkan gigi kacip hadapannya. Terasa panas darah membuak naik ke kepala menahan amarah. Yang membuatnya keliru adalah dia tidak menjumpai apa-apa tanda BrainLink yang diburunya itu tetapi isyaratnya ada di situ.
“Ok... Kau nak main-mainkan aku. Get ready!” Jemari Tajima ligat menekan kod komputer di panel server. Dia sedang melakukan sesuatu. Mungkin sesuatu yang lebih merbahaya dan boleh merosakkan keseluruhan sistem. Menghantar beberapa kod virus yang berisiko tinggi. Kali ini, dia cuba bermain-main dengan sistem keselamatan Hyperserv pula. Mahu diujinyanya sejauh mana keampuhan sistem keselamatan dunia itu apabila menerima serangan dari virus yang tidak terzahir dek mata kasar.
Sebuah hutan tebal,HyperServ
Belantara tebal itu tetap sebegitu saban hari. Tiada apa yang menarik. Dunia HyperServ tiada banyak bezanya dengan belantara dunia realiti. Bezanya cuma di dunia realiti terlalu maju sehingga teknologi mengatasi segala-galanya. Melenyapkan kebudayaan dan ketamadunan kemanusiaan. Di dalam HyperServ, ianya masih sebuah dunia yang belum diterokai. Belantara tebal di mana-mana tanpa terusik. Masih belum ada penempatan manusia di sini selain Yazaid, Fared dan Samsul yang pernah masuk ke sini. Tajima dan Zaidi hanya menceroboh masuk tanpa pengetahuan pemilik HyperServ. Dunia ini masih belum dibuka untuk kegunaan awam tetapi sejarah akan berubah dalam masa terdekat. Sejarah ketamadunan manusia di dalam dunia digital.
Marga hutan belantara ini menjalani rutin kehidupan mereka seperti biasa. Haiwan-haiwan unik di sini semua di reka sendiri oleh Professor RayFall. Begitu juga dengan struktur di sini. Kesemua direka sendiri olehnya. Yazaid merupakan anak buah RayFall mengambil alih tugas itu selepas Professor RayFall menghilangkan diri dan Fared berada di bawah seliaan dan bimbingan Yazaid.
Cuaca di sini sangat berbeza. Di sini tiada musim seperti di dunia realiti. Di sini hanya memiliki dua musim sahaja iaitu musim panas dan musim sejuk. Mempunyai dua bulan dan satu matahari. Ianya memang ganjil dan unik.
Cuaca panas di belantara ini menggalakkan lagi marga penghuni hutan ini mencari makanan. Rutin kebiasaan yang dijalani. Tidak kurangnya juga yang beristirehat pada siang hari dan mencari makanan pada malam hari. Namun kebiasaannya haiwan yang mencari makanan pada malam hari lebih ganas berbanding haiwan yang mencari makanan di siang hari.
Tanpa diduga cuaca mula berubah secara tiba-tiba. Awan mendung hitam pekat mula berarak dari arah utara. Besarnya umpama meliputi keseluruhan perhutanan disitu. Awan gemitam mula melabuhkan tirainya di perhutanan itu. Seluruh hutan yang dilitupi bayang awan hitam itu pasti akan berlakunya sesuatu yang tidak diduga.
Haiwan yang memburu pada waktu malam mengekori pergerakan bayang gelap awan. Mereka menyangka waktu malam telah tiba namun sebaliknya yang berlaku. Pelbagai jenis haiwan ganas yang memburu pada waktu malam lebih agresif dan ganas berbanding haiwan yang memburu pada waktu siang lebih pasif dan perlahan.
Apa sahaja haiwan yang berwaktu siang ditamatkan riwayatnya dengan rakus oleh haiwan berwaktu malam. Mereka benar-benar kekenyangan kali ini. Darah membuak-buak. Haiwan berwaktu malam giat memburu sambil mengekori bayang awan gelap yang meliputi seluruh perhutanan. Suasana menjadi begitu suram dan gelap. Perhutanan menjadi gelita. Kedengaran suara-suara haiwan berwaktu siang berteriak kesakitan dirobek dengan ganas dan suara haiwan berwaktu malam bertempik berselera sedang memburu makanan.
Nun jauh di atas sebatang Pokok Ara, kelihatan seorang perempuan duduk di pangkal dahan pokok tersebut sambil memeluk batang pokok utama. Pandangan matanya mengitari persekitaran yang menyeramkan. Suara haiwan yang bertempik kelaparan dan haiwan yang berteriak kesakitan benar-benar menggugurkan jantungnya. Rintik peluh di dahi mula terbit. Berkerut dahinya memaksa akalnya menghadamkan apa yang sedang terjadi. Perkara sebegini tidak pernah berlaku.
Anak matanya memerhatikan nun jauh ke bawah. Kelihatan suasana begitu hingar. Haiwan berwaktu malam berebut dengan rakus dan ganas mengejar haiwan berwaktu siang. Kejadian kejar-mengejar antara haiwan di tanah begitu mengerikan. Percikan darah haiwan merata-rata. Diratah tanpa belas kasihan.
Perempuan itu ketakutan yang amat. Entah bagaimana dia boleh sampai hampir ke puncak Pokok Ara yang sangat tinggi ini. Dia sendiri tidak menyedari apa yang berlaku dan bagaimana dia boleh sampai ke atas dengan ketinggian sebegini. Dia hanya mengingati dia pengsan secara tiba-tiba di pertengahan hutan sebentar tadi dan tersedar ketika dia sudah berada di atas dahan Pokok Ara ini.
Secara tiba-tiba, dahan tempatnya bertinggir mula bergoyang. Berubah raut wajahnya cemas. Matanya melilau mencari ‘apa’ yang membuatkan dahan tempatnya bertinggir itu bergoyang. Anak matanya memandang ke bawah. Terkejutnya bukan kepalang.
Kelihatan seekor harimau kumbang hitam bersayap dan bersiung panjang hinggap ke dahan utama. Saiz badannya sahaja jauh berbeza malahan harimau kumbang hitam bersayap itu sepuluh kali ganda lebih besar daripadanya. Matanya berwarna biru kemerahan menyerigai memandang tepat pada perempuan itu. Liurnya semakin banyak meleleh. Hidangan di depan mata.
Perasaan gementar mula menyelubungi. Perempuan itu cuba bangkit dan berdiri di atas dahan tempatnya bertinggir sambil kedua tangannya tidak lepas dari memeluk dahan utama Pokok Ara. Harimau kumbang hitam bersayap memanjat dahan Pokok Ara untuk mendapatkan mangsanya yang nun jauh ke atas. Pergerakannya lincah. Bilah kukunya terbenam ke dahan pokok menjadi tunggak untuk badannya naik ke atas. Ia semakin menghampiri mangsanya. Lelehan liur harimau itu semakin banyak. Perempuan itu terkaku ketakutan yang amat sehingga dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Jika dibandingkan saiznya sangat berbeza. Harimau itu semakin hampir.
Hanya dengan sekali lompatan, harimau itu mendarat di dahan yang sama tempat perempuan itu bertinggir. Menderam ganas mahu membaham mangsa. Mata yang biru kemerahan berubah warna menjadi lebih kemerahan menandakan ianya tersangat lapar dan bersedia untuk menyerang. Gadis itu kaget. Nyawanya di ambang maut.
..Bersambung >> Server 6
ns 15.158.61.44da2