Dingin embun pagi seperti kebiasaan.Menusuk sehingga tulang-belulang dan setiap urat sendi. Namun pagi ini tidak seperti kebiasaan.Perkampungan bangsa Yaneko ini kecoh dan riuh-rendah. Pahlawan-pahlawan bangsa ini sedang mempersiapkan peralatan tempur masing-masing. Jasad-jasad kaku para pengawal yang terkorban malam tadi sudah pun diuruskan mengikut cara mereka tersendiri. Athelia sudah pun berbincang dengan Ma’am Rosalind tentang strategi tempur mereka dan tindakan selanjutnya.Kini ianya telah pun diputuskan. Mereka akan dibahagi kepada beberapa kumpulan yang mempunyai misi yang berbeza-beza dan hala tuju yang berbeza-beza. Yang kurang berkemampuan akan tinggal diperkampungan ini bagi mengawasi persekitaran perkampungan sementara sebahagian besar pahlawan yang lainnya keluar melaksanakan misi mereka yang telah ditetapkan.
Athelia menapak masuk ke sebuah rumah yang didiami oleh Kirin. Sebaik sahaja melangkah masuk, Athelia agak terkejut dengan penampilan Kirin yang ternyata berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Pakaian yang dipakai oleh Kirin menampakkan lagi sifat kepahlawanannya disamping masih mengekalkan sifat femininnya. Kirin mengenakan pakaian tempur bangsa Yaneko. Masih kelihatan anggun namun tampak lebih bersemangat.
“Mari! Kita berjumpa dengan Ma’am Rosalind!” Kirin tampak lebih bersemangat.Athelia hilang kata-kata.Dia tidak tahu intipati perbualan diantara Ma’am Rosalind dengan Kirin pada malam tadi selepas kejadian Vanblood datang ke perkampungan mereka namun yang pasti pagi ini Kirin seolah-olah memiliki semangat juang yang tinggi.
Athelia sekadar mengekori Kirin menuju ke sebuah binaan yang jauh lebih besar di sebelah atas puncak pohon Tamashi ini. Disitu merupakan sebuah ruangan yang dijadikan dewan bersidang bagi bangsa Yaneko menghuraikan setiap permasalahan.
“Selamat pagi, Ma’am Rosalind! Boleh saya masuk?” Kirin menguak daun pintu dewan tersebut.Kelihatan beberapa pahlawan bangsa Yaneko sedang membincangkan sesuatu dengan Ma’am Rosalind.Melihat sahaja kehadiran Kirin dan Athelia, Ma’am Rosalind mengarahkan kesemua pahlawan yang berada di dalam dewan itu menangguhkan perbincangan buat seketika untuk memberi ruang kepada Kirin dan Athelia bersidang.
“Kirin! Athelia! Silakan duduk.” Ma’am Rosalind mempelawa mereka dengan berhemah.Mereka berdua tidak banyak kerenah melainkan sekadar menurut sahaja.
“Jadi, apa perancangan kita?” Athelia memulakan perbincangan.
“Mudah.Kita pecahkan pasukan kita kepada beberapa bahagian.Ada kumpulan yang akan berkawal di perkampungan ini.Ada juga kumpulan yang akan mengawasi parameter.Ada kumpulan yang terpecah kepada dua iaitu satu pasukan akan menuju dan berkawal di pintu masuk Hyperserv Newich bahagian barat Grand Southgate ini.Pasukan kedua akan berkawal di pintu masuk Hyperserv bahagian timur Grand Southgate.Ada juga kumpulan yang akan ke Letrai Bay dan kumpulan terakhir akan menuju ke arah paling selatan Grand Southgate untuk mengawal Master Orb.” Hujah Ma’am Rosalind secara ringkas namun padat.
“Secara teknikal, kita akan pecah kepada enam kumpulan keseluruhannya.Satu daripadanya akan terpecah kepada dua pasukan yang akan mengawasi pintu masuk Hyperserv daripada menjadi sasaran bangsa Valkazar.” Tambah Ma’am Rosalind lagi bagi memperincikan kedudukan pasukan-pasukan mereka.
“Pintu masuk Hyperserv? Kenapa perlu berkawal di sana?” Soal Athelia.Dia tahu tentang kewujudan pintu itu namun setahunya ianya tidak pernah digunakan selepas Rayfall menghilangkan diri dan selepas peristiwa peperangan besar menentang Valkazar suatu ketika dahulu.Pintu itu sering kali digunakan oleh Rayfall dan sahabat-sahabatnya untuk masuk ke dunia Hyperserv ini semasa mereka masih aktif bergerak.
Ma’am Rosalind bingkas berdiri mendapatkan sebuah hamparan peta yang agak besar saiznya dan menghamparkannya di atas meja itu.Athelia dan Kirin menjengah.
“Kita perlu tahu tentang tujuan dan kemaraan tentera Valkazar.Mereka mahu melebarkan empayar jajahan mereka.Bukan hanya tertakluk dunia ini sahaja.Dunia manusia juga tidak terlepas dari rencana mereka.Satu-satunya jalan untuk ke dunia manusia adalah dengan melalui kedua-dua pintu ini. Kita tidak boleh membenarkannya berlaku sama sekali.” Ma’am Rosalind menerangkan kepada mereka berdua tentang perancangan pasukan-pasukan mereka yang akan diketuai oleh Athelia dan Kirin.Memandangkan Fared dan Estrella masih belum tiba diperkampungan ini dari latihan intensif Estrella maka perancangan ini akan diguna pakai sehingga Fared dan Estrella kembali ke perkampungan.
“Bagaimana dengan parameter dan kawalan di perkampungan?” Giliran Kirin pula bertanya.
“Kawalan di perkampungan dan parameter lebih ringan tugasannya berbanding yang lain.Tugas pasukan ini mudah.Hanya sekadar memastikan keselamatan perkampungan tidak terjejas.Kita akan menempatkan beberapa Yaneko elit untuk mengendalikan kumpulan ini.” Ma’am Rosalind membuat bulatan pada permukaan peta yang menunjukkan lokasi-lokasi strategik dan pos-pos pasukan mereka.
“Tadi Ma’am Rosalind ada menyebut tentang Letrai Bay.Mengapa Letrai Bay?” Athelia kurang mengerti maksud Ma’am Rosalind.Dia sendiri tidak tahu mengapa Ma’am Rosalind memilih kumpulan untuk ke sana. Athelia pernah ke sana suatu ketika dahulu ketika bersama-sama Rayfall menjelajah seluruh benua Hyperserv ini.
“Letrai Bay merupakan sebuah perkampungan yang sangat maju dari segala aspek.Itu kita sedia maklum.Dan disana juga tempat menetapnya salah seorang lagenda yang mungkin boleh membantu untuk meruntuhkan bala tentera bangsa Valkazar.Lagenda ini juga pernah bertempur dengan raja Valkazar sehingga raja Valkazar itu lumpuh sepenuhnya ketika itu.” Panjang lebar Ma’am Rosalind menghuraikan.
“Lumpuh?” Kirin kehairanan.Jika raja bangsa itu lumpuh, mana mungkin ketika ini raja itu mengetuai bala tenteranya sendiri sedangkan dirinya sendiri telah lumpuh.
“Kirin, bangsa Valkazar mempunyai imuniti dan sistem penyembuhan diri yang sangat pantas.Jika lumpuh yang menjadi penghalang bukanlah satu perkara besar untuk Valkazar menguruskannya.Amat mudah bagi mereka untuk sembuh bahkan setiap luka pada tubuh bangsa mereka pun hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk sembuh tanpa berparut.” Ma’am Rosalind melabuhkan punggung di atas kerusi miliknya.
“Eerr..ini mungkin jadi satu peperangan yang sengit.” Kirin mula meragui keupayaannya.Sebentar tadi dia mempunyai semangat juang yang tinggi hasil sesi kaunseling oleh Ma’am Rosalind bersamanya pada malam tadi.Dia berupaya untuk memulihkan semangatnya yang telah sekian lama menghilang sejak pemergian Ismail.
“Bukan sahaja sengit malahan mungkin ramai yang akan terkorban.Kerana itu kita perlukan susunan strategi yang paling ideal dan fleksibel.” Layak dengan kelayakan Ma’am Rosalind selaku penasihat Athelia.Ternyata dia lebih arif berkaitan perihal susun atur strategi ketenteraan dikalangan bangsanya. Kirin menganggukkan kepalanya tanda memahami dan mengerti.
“Ma’am Rosalind, adakah lagenda di Letrai Bay yang dikatakan tadi itu adalah…” Athelia terdiam seketika lalu disambut dengan anggukan kepala oleh Ma’am Rosalind seolah-olah dia memahami apa yang dimaksudkan oleh Athelia.
“Ya. Dia adalah Kapten Zayyan! Individu yang berada dibarisan paling hadapan sebaris dengan Rayfall dan beberapa orang lagi sahabatnya.Antara individu terkuat di dalam sejarah peperangan menentang Valkazar.” Ma’am Rosalind menyandarkan tubuhnya yang tua pada penghadang kerusi di belakangnya.
Athelia kelihatan bermenung.Dia cuba meraih semula memori-memori lama ketika dia bersama-sama berganding bahu menentang bangsa pemusnah ini.Dalam samar-samar, dia gagal mengingati wajah Kapten Zayyan yang dimaksudkan namun dia amat mengenali nama lagenda itu.Nama besar itu sering kali menjadi bualan sebagai ikon kepahlawanan yang cukup gah untuk dibanggakan di dalam lipatan sejarah peperangan menentang Valkazar.
“Jadi, dimana posisi kami?” Kirin pula bersuara. Ma’am Rosalind tersenyum.Itulah apa yang diharapkan dari Kirin.
“Kamu berdua mempunyai tugasan yang sangat penting.Athelia akan mengetuai tentera-tentera kita menuju ke pintu barat Hyperserv dan Kirin akan terus ke Master Orb.” Ringkas Ma’am Rosalind menghuraikan.
“Saya berseorangan? Ke Master Orb?” Kirin meragui keupayaan tempurnya.
Ma’am Rosalind tergelak kecil.Dia sudah dapat menduga reaksi sebegitu dari Kirin memandangkan gadis itu kurang ilmu pertempuran kombat sama ada dari jarak dekat mahupun jauh. Cuma gadis itu lain dari yang lainnya.
“Kamu berdua tidak akan bersendirian.Kamu akan ditemani oleh beberapa individu dari pasukan elit dan keutamaan cenderung pada kamu, Kirin.Memandangkan kamu kurang ilmu bertempur, jadi kawalan keselamatan ke atas kamu akan diperketatkan lagi.” Kirin menjadi lega apabila mendengar huraian dari Ma’am Rosalind. Athelia menganggukkan kepalanya tanda mengerti tanpa banyak membantah.
“Tetapi perlu diingatkan! Berhati-hati dengan Vanblood! Jika terlihat kelibat-kelibat aneh yang berterbangan mahupun yang menyelinap, jangan teragak-agak untuk menyerang dengan niat membunuh.Ianya lebih baik dari terbunuh.Ingat!” Peringatan dari Ma’am Rosalind ternyata sedikit sebanyak mengetarkan jantung mereka terutama Athelia sendiri yang menyaksikan ketangkasan satu-satunya makhluk berbangsa Vampire yang masih hidup itu.
Dalam ketika mereka bertiga sedang berbincang, daun pintu dewan itu dikuak dari luar.Seseorang masuk ke dalam tanpa berkata apa-apa.Pakaiannya tampak berlainan berbanding bangsa-bangsa Yaneko yang lainnya. Pemakaiannya tampak berlainan sekali malahan ianya didominasi oleh warna hitam. Gadis itu menyandang sebilah pedang dan menempatkan dirinya bersebelahan Kirin tanpa berkata apa-apa.
“Oh ya, kenalkan. Ini adalah Ariana. Cucu sahabat saya dari bangsa Ensis. Mereka handal dalam pertempuran dalam jarak dekat memandangkan senjata utama mereka adalah pedang dan tombak. Bangsa mereka akan membantu kita dalam memerangi kemaraan bangsa Valkazar.” Ma’am Rosalind memperkenalkan gadis yang baru sahaja tiba itu.
“Bangsa Ensis? Penempatannya dimana?” Athelia teringin untuk mengetahuinya. Ariana sekilas memandang ke arah Athelia dan Kirin silih berganti dengan seraut senyuman.
“Penempatan kami berlokasi di kaki gunung Mountain of Guardian atau M.O.G. Dan penempatan ada di satu lagi lokasi di daerah Sangre Azul.”Ariana ringkas menerangkan.
“Ariana dan pasukannya akan membantu bangsa kita memandangkan bangsa mereka juga pernah diperangi oleh bangsa Valkazar suatu ketika dahulu.Kita semua pasti tidak mahu sejarah hitam itu kembali berulang,bukan?” Ma’am Rosalind menyandarkan tubuhnya.
“Saya akan kumpulkan pasukan elit saya.Sebentar lagi Ma’am Rosalind mahu memberikan taklimat, mungkin?” Ariana tampak berkaliber dan sangat tegas.Dia semestinya akan mengetuai pasukan dari bangsa Ensis itu.
Lantas Ma’am Rosalind bangkit dari duduknya serentak itu juga Kirin dan juga Athelia.Wanita tua itu menapak perlahan ke arah rak-rak buku yang menempak pelbagai jenis buku sebagai bahan rujukannya.Athelia sendiri tidak pernah masuk ke dalam dewan ini memandangkan dewan ini hanya dimiliki dan hanya Ma’am Rosalind yang dibenarkan masuk.Dewan ini dijadikan sebagai tempat mengumpulkan pelbagai jenis maklumat-maklumat sulit hasil risikan pasukan bangsa Yaneko dan Ma’am Rosalind adalah individu yang bertanggungjawab untuk menguruskannya.
“Kita akan berkumpul pada malam ini dan misi kita memburu bangsa Valkazar akan dimulakan pada malam ini juga.Sementara hari masih siang, kita akan mempersiapkan persenjataan dan pertahanan kita ke tahap maksimum.Jangan ada sedikitpun ruang kosong! Jika terleka atau alpa walau sesaat, nyawa kita akan tergadai.” Pesan Ma’am Rosalind berulang-ulang kali. Ternyata kehadiran Vanblood malam semalam membawa perkhabaran yang kurang menyenangkan sekaligus membawa amaran tentang peperangan yang bakal meletus di antara mereka dan penhuni-penghuni Hyperserv yang lainnya.Bangsa mereka juga pastinya sedang bersiap-siaga untuk menghadapi kemaraan tentera Valkazar yang kian menghampiri membawa kemusnahan bersama mereka.
113Please respect copyright.PENANAiFioBVfjCD
>>Bersambung Server 57
ns 15.158.61.44da2