SERVER 30
TutField, Permukiman La Brecha, HyperServ
Unggun api marak menyala memberikan sensasi hangat tatkala embun malam menujah-nujah tulang-belulang.Kesejukan disini dirasakan lebih hebat berbanding dunia realiti.Kawasan ini penuh berbatu.Jurang-jurang dalam terdapat di mana-mana menjadikan ia tempat yang sesuai untuk haiwan pemangsa beristirehat.Namun tidak pada mereka berlima.
Elizia banyak mendiamkan diri pada malam ini.Ilyas mengerling sekilas.Dia faham akan kegalauan perasaan gadis itu.Pelbagai rasa bercampur di dalam satu hati menjadikan satu perasaan yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata apatah lagi terluah.Hanya raut wajah yang dapat menggambarkannya.Marshall pula selesa berbual-bual mengenai banyak perkara.
Ingatan Elizia menerjah ke belakang waktu seketika tadi.Mereka dihambat cemas apabila dua susuk tubuh bayang-bayang muncul dari balik semak-samun tidak jauh dari mereka.
Tanpa amaran, kedua-dua susuk tubuh itu berlari pantas ke arah mereka bertiga.Marshall dan Ilyas menjadi tembok pada Elizia yang kelihatan kaget dibelakang.Menunggu musuh menerpa.
Salah satu daripada susuk tubuh itu melompat tinggi di udara manakal satu lagi berlari pantas menuju ke arah mereka.Marshall melangoi ke atas dan Ilyas pula berdiri bersiaga memandang susuk tubuh yang berlari ke arah mereka.
Lompatan susuk tubuh yang melayang di udara ternyata satu kejadian yang luar biasa bagi manusia.Lompatannya menjangkau setinggi pokok dan mendarat betul-betul di atas unggun api yang marak menyala mengakibatkan api terpadam serta-merta dan hanya bara-bara kayu yang bertebaran.Keadaan menjadi gelap gelita.Mereka bertiga kaget.Elizia yang paling ketakutan.Dia menjerit.
Belum sempat Marshall dan Ilyas bertindak, salah satu daripada susuk tubuh bayang itu memeluk Elizia dari belakang dan menutup mulut Elizia sekuat hati.Tidak ubah seperti tawanan.Elizia cuba melawan namun tidak berdaya.Kekuatannya tidak tergugah walaupun sedikit apatah lagi melawan dengan kudrat seorang wanita.
Susuk tubuh bayang yang memadamkan unggun api pantas melompat ke hadapan memaut batang leher Marshall dan Ilyas.Serta-merta mereka terlontar ke hadapan dan terbaring dalam keadaan tertiarap.Susuk tubuh bayang itu menekan tubuh mereka menggunakan tangan kiri dan kanan.Kekuatannya juga bukan lawan bagi mereka.Marshall dan Ilyas tidak berdaya.Mereka berdua terasa sesak nafas.Tekanan di belakang dadanya membuatkan nafas mereka sesak.
“Ssshhhhh...diam kalau tak nak mati.” Susuk tubuh bayang yang menekan Marshall dan Ilyas itu bersuara seakan berbisik pada mereka berdua.Susuk tubuh itu menundukkan badan.
Elizia masih meronta.Mulutnya masih ditekup dengan kuat.Dia mencuba dan mencuba lagi untuk melepaskan diri.Susuk tubuh yang memeluknya mengeratkan lagi pelukan agar Elizia tidak meronta lagi.
“Diam, Elizia.Jangan bergerak.Jangan bersuara.” Elizia terpempam.Dia mengenali suara itu.Dia cuba untuk memandang namun ditegah. “Sshhhhh...diam dulu, Elizia.”
Tiada lagi rontaan antara mereka.Susuk tubuh bayang itu menyarankan agar mereka tidak membuat bising namun langsung tidak diapa-apakan.Sekadar mengunci mangsa dan mententeramkan mangsanya.Agak aneh perlakuan seperti itu.Elizia pula masih mengembur daya ingatannya.Suara itu amat dikenali namun masih kurang pasti siapa pemilik suara itu.Ingatannya berbalam-balam seperti keadaan malam yang pekat gelap gelita.
Tidak semena-mena, satu deraman berdengung-dengung kedengaran.Deraman umpama seekor singa yang kelaparan menerjah suasana.Dengung deraman itu bergema di persekitaran mengakibatkan batu-batu yang rapuh merekah dan ada juga yang pecah berderai.Mereka menyaksikan kejadian itu dengan pendengaran sahaja kerana kepekatan malam menghalang penglihatan.
Terdengar bunyi kibaran sayap di angkasa.Secara tiba-tiba, petir berdentum di atas sana. Sabung menyabung namun tidak menyambar.Berlegar-legar mengitari persekitaran itu.Suara deraman umpama singa kelaparan itu datangnya dari makhluk itu.Jika diamati dari pendengaran, kibaran sayap itu seperti kibaran sayap yang bersaiz gergasi dan angin hasil dari kibaran itu bertiup kencang.
Tidak kejauhan dari lokasi mereka, kedengaran dentuman tanah.Makhluk bersayap itu mendarat ke tanah.Terdengar pula sayapnya di katup rapat.Deraman umpama singa kelaparan semakin jelas kedengaran.Elizia panik.Tubuhnya terketar-ketar.Dari balik kegelapan, susuk tubuh bayang yang menyanggah Marshall dan Ilyas mengisyaratkan sesuatu agar Elizia dan susuk tubuh bayang yang memeluknya untuk meniarap sepertinya namun arahan itu diberikan tanpa suara.Tanpa banyak membantah, Elizia meniarap dan susuk tubuh bayang itu melepaskan rangkulannya dan meniarap bersebelahan Elizia.
Terasa tanah bergetaran.Makhluk itu berpusing mengitari persekitaran mencari sesuatu yang bersembunyi daripadanya.Deraman semakin bergema.Disebalik deraman bergema itu sesekali kedengaran seperti bunyi aliran elektrik berlaga-laga.Setelah puas berkeadaan begitu, kedengaran sayapnya dikuak dan dikibarkan untuk terbang semula.Angin kencang meredah belantara.Mujur Elizia meniarap kerana aliran angin kencang itu mampu menerbangkannya ke mana-mana arah yang tidak menentu.Ketika kibaran sayap itu semakin menjauh tinggi, kedengaran dentuman petir merata-rata di angkasa bertelingkah sesama sendiri.Semakin lama, semakin sayup dan menghilang.Kini, barulah mereka dilepaskan oleh susuk tubuh bayang misteri itu.Salah satu daripadanya mencari-cari kayu api, dilonggokkan semula dan membuat unggun api.Suasana kembali terang seperti sebelumnya.
Dikesempatan itu, Elizia melihat wajah-wajah dua susuk tubuh misteri yang ‘menyelamatkan’ mereka.Elizia terpempam melihat wajah itu.Ternyata dia amat mengenalinya malah lebih akrab lagi.Cuma seorang lagi dia tidak mengenalinya.Walau bagaimanapun, mereka berdua telah menyelamatkan mereka bertiga dari dibaham makhluk bersayap misteri itu.
“Elizia!” Suara yang memanggilnya umpama merangkul tubuhnya semula kembali.Elizia terkejut lantas berkalih memandang empunya suara lalu dia tersenyum memaniskan rona wajah.
“Jauh melayang fikiran awak.Kemana?” Yazaid mengesot sedikit menghampiri Elizia.
“Tak kemana-mana.Cuma disini.” Elizia memberi alasan.Selepas menerima hambatan ngeri itu, Elizia sering teringat-ingat kejadian itu.Apa yang paling membejat jantungnya ialah susuk tubuh bayang yang merangkul tubuh dan menekup mulutnya itu adalah Yazaid.Lelaki yang pernah mendiami jauh di sudut hatinya.Pernah menakluk keseluruhan jiwa raganya namun tidak menyangka bahawa projek Hyperserv ini diselindungkan daripadanya.Jika dia diberitahu lebih awal tentang projek ini pastinya dia akan cuba membantu apa yang terdaya walaupun hatinya membantah projek gila ini.Bahananya, salah seorang nyawa sahabat Yazaid sendiri terkorban di dalam dunia gila ini.Itulah perkara yang paling besar untuk dikesalkan.Lebih teruk, projek biosains yang melibatkan nyawa manusia ini membelakangkan pendapatnya.Elizia terdetik di dalam hati, siapa dirinya di dalam hati Yazaid.Adakah sebagai sahabat biasa atau teman sehidup sematinya walaupun ianya tidak pernah terluah walaupun sekali.
“Elizia. Maafkan saya kalau saya pernah melukakan hati awak.Sedikit pun saya tidak pernah terlintas untuk membelakangkan awak dalam projek ni tapi..” Kata-kata Yazaid terhenti.Seakan tersekat dihalkum.
“Kenapa awak tak pernah beritahu saya tentang projek awak ni? Kenapa awak membelakangkan saya?” Elizia bermasam muka.Yazaid mengeluh berat.Dia pernah berjanji pada gadis itu bahawa apa pun terjadi, apa pun usahanya, Elizia adalah orang pertama yang mengetahuinya.Elizia akan sentiasa berada disampingnya ketika susah dan senang.
“Bukan saya membelakangkan awak tapi projek ni akan memakan nyawa.Saya tak nak nyawa awak terancam.Sekarang, Samsul dah pergi buat selamanya.Saya yang memulakan, saya juga yang perlu tamatkan.Saya bertanggungjawab.” Yazaid menahan sesak didada.
“Habis tu, nyawa awak macam mana? Nyawa awak tak penting ke?” Elizia membalas renungan Yazaid.
“Itu pengorbanan yang perlu saya buat.Dalam hal ini, nyawa saya tak penting lagi.” Yazaid tidak mengalah.
“Tapi nyawa awak penting bagi saya.Seluruh hidup awak, susah senang awak, penting bagi saya.”Elizia merenung tajam tepat ke mata Yazaid.Seolah-olah membongkar setiap rahsia yang terdapat di dalam lubuk hati Yazaid.Renungan itu membuatkan Yazaid terpempam.Sudah terlalu lama dia memendam rasa.Sejak mendapat tahu projek rahsia yang dijalankan oleh Yazaid, dia berasa seperti terpinggir.Galau dihatinya bergelora.
“Yazaid, kita dah lama kenal.Terlalu lama.Saya tahu, tak molek untuk saya luahkan dahulu apa yang saya pada awak.Saya ni perempuan.Sebab tu saya risaukan awak.Lebih dari segala-galanya.” Terbit rona merah pada wajah ayu Elizia.Wajahnya menunduk tidak berani bertentang mata dengan Yazaid.Wajah Yazaid pula terasa hangat.Dia tidak menyangka bahawa Elizia menjadi seberani itu untuk meluahkan perasaannya walaupun tidak sepenuhnya.Hanya sekadar kiasan dan biasan.
“Saya minta maaf, Elizia.Dalam projek ini, saya tak sanggup untuk menggadai nyawa awak.Awak penting buat saya.Untuk seluruh hidup saya.” Yazaid sekadar tersenyum.Hatinya berbunga-bunga kembang mekar.Mendengar luahan Elizia itu sahaja pun sudah membuatkan jantungnya berdetak kencang umpama genderang mahu perang.
“Saya maafkan.Tapi jangan jauh dari saya lagi.Jangan gadai nyawa awak.Pastikan awak selamat.Saya sentiasa ada untuk awak.” Elizia memberanikan diri membalas renungan redup pandangan Yazaid.Mereka bertentang mata.Rona merah terbit di wajah masing-masing seolah-olah dunia hanya ada mereka berdua sahaja.Hanya memori indah bergentayangan di minda masing-masing terkenangkan saat-saat lalu mereka bersama.
“Ehemm..” Satu suara menyapa.Yazaid dan Elizia kembali ke alam semasa.Masing-masing tidak keruan.Leo berdiri di hadapan mereka berdua sambil berpeluk tubuh dan tersengih-sengih sumbing.Anak matanya dilirikkan ke arah Yazaid yang mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Terasa hangat pada wajah.Angin malam seolah-olah tiada rasa sejuk walaupun menerpa wajah.
“Maaf kalau saya mengganggu, tuan dan puan.Tapi masa untuk beradu telah tiba kerana esok kita akan berangkat awal.Simpan tenaga sebaiknya.” Leo bercekak pinggang.Wajahnya sengaja diceriakan dan tersenyum-senyum memerli Yazaid.Elizia malu bukan kepalang lalu bingkas berdiri menuju ke tempat tidurnya berhampiran unggun api.
Yazaid memuncungkan bibir mencebikkan wajah.Leo sekadar tersengih-sengih.Marshall dan Ilyas rancak berbual-bual tentang banyak perkara.
Yazaid bangkit dan menuju ke arah Marshall dan Ilyas.Berhasrat untuk menyertai perbualan mereka yang kelihatan rancak.Leo mengekori dari belakang.
“Makhluk apa yang datang tadi tu, Leo?” Ilyas bertanya kepada Leo yang baru sahaja melabuhkan punggungnya bersebelahan Yazaid.Leo ada bercerita serba sedikit perihal dirinya dan perkaitannya dengan dunia Hyperserv ini.Sudah tentu Leo lebih arif tentang kehidupan yang wujud di dalam dunia ini.
“Aku tak berapa arif tentang makhluk-makhluk yang wujud disini tapi ada satu mitos mengatakan itu adalah...naga.” Leo berwajah selamba.Mereka yang mendengar bait kata dari Leo tercengang terutama Marshall dan Ilyas.Selama mereka pernah berada di dunia itu suatu ketika dahulu, mereka tidak pernah bertemu dengan naga sama sekali.
“Naga? Dragon? Seriously?” Marshall mengurut-ngurut dahinya.Memikirkan sesuatu dengan caranya tersendiri.
“Yaa..naga.” Ringkas Leo membalas.
“Ok sekejap.Ini sekadar dongeng atau apa?” Ilyas pula mencelah.
“Ada sebahagian daripadanya mengatakan ianya adalah mitos dan ada yang mengatakan mereka ini adalah lagenda.Atau...mungkin dongeng?.” Leo mengerutkan dahi sambil jarinya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Dia sendiri pening dengan apa yang diperkatakan.
“Aku rasa..itu bukan naga.Mungkin makhluk bersayap bersaiz gergasi yang mencari makan.Memburu pada waktu malam disini.Naga? Tak mungkin.Aku tak pernah jumpa sama sekali dan makhluk tu tak pernah wujud disini.” Ilyas menegakkan fakta berdasarkan pengalamannya di dalam penglibatan secara langsung ketika sama-sama membina Hyperserv suatu ketika dahulu.
“Mungkin juga.Tapi ada kisah-kisah yang mengatakan naga-naga itu wujud.Kalau aku tak salah..eerr..ada empat..oohh..lima ekor ke semuanya.Secara spesifik, empat.Dulu ada lima.Sekarang ada empat..Maaf.. tinggal empat.” Leo menggelabah.Yazaid menepuk dahi. Dia sudah masak dengan perangai Leo yang kurang arif berbicara di khalayak ramai terutama apabila dia menjadi tumpuan.Dia cepat menggelabah.Fakta yang diketengahkan langsung tidak akan difahami.Marshall menggelengkan kepala.Elizia tergelak kecil melihat gelagat Leo umpama kera kena belacan.Langsung tidak senang duduk.
“Ok tak mengapalah.Sama ada naga itu mitos atau apa-apa pun, sekarang kita berehat.Esok perjalanan kita amat jauh.” Marshall mengusulkan cadangan untuk beristirehat.
“Jadi, betul ke kau dan Ilyas nak ke Grotte Bardtan?” Yazaid masih diasak pelbagai tanda tanya.
“Ya.Cadangnya macam tu.Kami bertiga termasuk Elizia.” Marshall menjelaskan secara terperinci.
“Nanti dulu.Kita semua perlu ke satu tempat sebelum ke destinasi masing-masing.” Leo membantah.Kali ini, semua perhatian teralih kepadanya memohon penjelasan.
“Aku tahu kalian nak pergi ke Grotte Bardtan untuk menyelamatkan sahabat kalian tapi ingat! Penghuni disitu bukan calang-calang musuh yang boleh digempur tanpa persediaan dan tanpa peralatan yang benar-benar lengkap.” Leo lengkap berhujah tanpa disanggah oleh sesiapa.Mereka menunggu bait kata seterusnya.
“Kita akan ke satu kawasan berdekatan perairan disini.Tidak jauh dari sini.Disana nanti, kita akan jumpa dengan mereka yang lebih arif tentang makhluk penghuni di dalam Grotte Bardtan.Selepas daripada itu, kalian bertiga akan kesana dengan kelengkapan penuh.Aku dan Yazaid akan terus ke Master Orb.” Leo selesai berhujah.Kali ini hujahnya berupa strategi dan kali ini kedengaran agak masuk akal.Tidak seperti sebelum ini.
“Baik.Aku setuju.Malam ini kita beristirehat dahulu.Elizia tidur berhampiran unggun api tapi jangan dekat sangat.Lain ceritanya nanti.Yang lainnya, tidur dalam kepungan.” Marshall memberi saranan.Yang lainnya sekadar menuruti.
Mereka mengambil tempat masing-masing mengikut arahan Marshall kecuali Leo.Dia lebih gemar meminggir memandangkan saban malam dia berkeadaan begitu.Tidur yang tidak lena.Dalam keadaan berjaga-jaga dan peka terhadap sebarang bahaya serta ancaman.Malam semakin berganjak.Langsung tidak menunggu sesiapa pun malahan kehidupan yang perlu mengejar waktu.Embun malam mula membasahi persekitaran.Suasana sejuk dan nyaman menambahkan lagi lena setiap marga yang berbumbung di bawahnya.
Lena mereka langsung tidak terpagut.Langsung tidak terganggu sehingga tidak menyedari bahawa bunyi kibaran sepasang sayap berlegar-legar diruang angkasa tempat mereka beradu.Matanya mengintai-intai perlakuan mereka namun tidak mengganggu.Sekadar diperhatikan dalam jarak yang jauh.Tiada siapa yang tahu apakah makhluk bersayap itu.
[To be continued >> Server 31]202Please respect copyright.PENANAB4qGdFa0zA