SERVER 14
Perkampungan Cendrawaseh,Tahun Infiniti 30XX
Asiah duduk di bibir pangkin bawah rumahnya tetap setia menanti kepulangan suaminya.Malam di suasana perkampungan ternyata lebih mendamaikan dan menenangkan.Bunyi cengkerik bersahut-sahutan antara satu sama lain.Seolah-olah ianya sedang berinteraksi dalam bahasa yang tidak mungkin difahami oleh manusia.Air kopi yang dibancuh oleh Asiah mula sejuk.Dia membancuhkan kopi untuk suaminya andai suaminya pulang awal namun sangkaannya meleset.Namun sebagai seorang isteri yang taat kepada suami, Asiah tetap setia menanti kepulangan suaminya sejak suaminya berangkat ke Bandar Inderapuri.Dia mengharapkan jawapan yang positif.
Suasana dingin malam diperkarangan rumahnya langsung tidak melambangkan hatinya yang gundah gelana.Hatinya runsing memikirkan keadaan yang dihadapi oleh Ismail yang langsung tidak sedarkan diri.Dia tidak mengetahui apa yang berlaku pada anaknya.Dia mengharapkan Hairuddin mampu menemui ‘penawar’ untuk penyakit ‘misteri’ anaknya ketika ini.Malahan, satu nyawa telah pergi buat selamanya diperkampungan ini.Kalung Brainlink yang ditanggalkan ketika user berada di dalam Hyperserv akan mengakibatkan kematian nyata kerana mindanya masih berada di dalam server itu.Tanpa minda, matilah jasad.Berkemungkinan, ianya akan melibatkan lebih banyak nyawa.
Dikejauhan, kelihatan sepasang lampu kenderaan menyusuri jalan raya menuju ke rumahnya.Asiah sekadar memandang dari jauh.Lama-kelamaan, sebuah kereta memakirkan kenderaannya di perkarangan rumahnya.Asiah amat mengenali jentera itu.Kereta berwarna merah hati adalah milik suaminya.Hairuddin keluar dari perut kereta.Asiah segera mendapatkan suaminya lalu mengiringi suaminya duduk di pangkin bawah rumah milik mereka.
“Abang..ada apa-apa berita? Apa yang jadi sebenarnya? Saya dengar dekat bandar jalan raya sesak teruk? Kenapa?” Soalan bertalu-talu dari Asiah ternyata mengusutkan kepala Hairuddin yang sedang ligat memikirkan sesuatu tetapi sebagai seorang suami, dia lebih kuat dalam mengawal emosinya.
“Semua yang jadi ada kena mengena dengan musuh HyperServ.” Hairuddin ringkas memberi jawapan.Dahinya mengerut seribu.Asiah kebingungan.Apa kena-mengena dengan anaknya.
“Mail termasuk ke dalam HyperServ ketika tidur.Masa tu HyperServ diserang oleh hacker.Ingat tak anak kawan Tuan Hadif yang meninggal tu lepas ayahnya buka BrainLink?” Hairuddin memandang sekilas pada isterinya.Asiah hanya menggangguk tanda mengingati peristiwa itu.
Hairuddin mengeluh perlahan. “Minda manusia yang masuk ke dalam HyperServ akan tinggalkan jasad yang kaku di dunia realiti.Jika BrainLink di tanggalkan bermakna akan terputus hubungan jasad dan minda manusia yang ada di dalam HyperServ.”
“Jadi?” Asiah mengerutkan wajahnya.Hatinya mula terasa tidak tenang.
“Ketika proses Log In beroperasi, BrainLink tidak boleh ditanggalkan dari jasad.Bila minda dan jasad terputus hubungan.Maknanya, jasad tanpa minda.” Hairuddin mengerutkan dahi.Asiah mula tidak tenang.
“Bila jasad tanpa minda bermakna jasad tu akan….” Hairuddin terhenti dari berkata-kata.Dia tidak sanggup untuk menyebut perkataan ‘mati’ kerana anaknya sedang berhadapan dengan situasi yang sama.Kelopak mata Asiah mula bergenang.Mengenangkan nasib yang sedang dihadapi oleh anaknya.
“Abang dah ikhtiarkan yang terbaik.Kita tunggu saja.” Hairuddin memeluk bahu isterinya yang menangis teresak-esak.Galau di hatinya hanya dikongsi bersama isterinya.BlackServ sememangnya kejam dan tidak berperikemanusiaan.Tiada perasaan belas ehsan pada sesiapa.Mereka menceroboh HyperServ menjadikan HyperServ dunia yang terbuka untuk semua dan datanya menarik minda manusia yang memakai BrainLink secara rawak untuk masuk ke dalam HyperServ secara tidak sengaja dan kemudiannya BlackServ akan menghancurkan HyperServ.Implikasinya boleh mengakibatkan beberapa nyawa yang tidak bersalah melayang demi kepentingan diri dan keuntungan semata-mata.Hanya kerana kemewahan dan pangkat sedangkan itu hanyalah sementara bahkan amalan jualah bekalan yang akan dibawa ke alam ‘sana’.
Ketika rembulan menjalankan tugasnya sementara menunggu kehadiran mentari hadir untuk mengambil alih tugas, ramai dikalangan penduduk Bandar Inderapuri melayari bahtera mimpi di dalam sinaran lampu LED yang menggunakan bateri.Sistem yang lumpuh secara tiba-tiba membejatkan kebanyakan aktiviti di bandar besar ini kerana hampir keseluruhan bandar ini beroperasi hanya bergantung kepada sistem yang berpaksi pada paksi sistem utamanya sahaja yang terletak di tengah-tengah bandar.Ia merupakan satu server gergasi yang beroperasi sebagai satu sistem induk kepada seluruh sistem.
BlackServ menggunakan kelebihan itu.Apa sahaja yang berhubung dan bersambung antara sistem dengan sistem utama pasti akan lumpuh termasuklah di luar negara dan bukan hanya Bandar Inderapuri sahaja bahkan Bandar Kenawang dan Bandar Kokuro yang berlokasi bersebelahan dengan Bandar Inderpuri juga turut terjejas.Tidak ada yang terkecuali selagi ianya bergantung kepada sistem induk untuk beroperasi.Pangkalan data gergasi yang terletak di tengah-tengah bandar itu merupakan pangkalan data terbesar dan memuatkan bilion data dalam sesaat merangkumi sebahagian benua.
Irfan tetap bertungkus lumus menyiapkan Program Pemansuh untuk dijadikan sebagai ‘penawar’ kepada permasalahan yang ditimbulkan oleh BlackServ.Ia bukan satu perkara yang kecil bahkan ia menjadi masalah global.
Sempadan Permukiman Viento,HyperServ
Yazaid dan Leo sedang lena dibuai mimpi.Yazaid terlelap secara terlentang menghadap dada langit yang gelap dengan taburan bintang-bintang yang bergemerlapan mengindahkan lagi suasana langit malam.
Leo tersentak bangun.Bunyi dentuman yang kedengaran sayup-sayup mengejutkannya bangun dari tidur.Leo terpandang kekiri dan kekanan.Bunyi dentuman disusuli gegaran kecil itu mengejutkan dia dari tidur.Dia berkalih kepada Yazaid yang sedang lena dibuai mimpi.Tidak mustahil bagi Leo boleh terjaga hanya kerana bunyi dentuman sayup-sayup dan gegaran kecil sahaja.Ini kerana Leo sudah terbiasa terlena dalam keadaan berjaga-jaga ketika berada di belantara.Apa sahaja bunyi walaupun jauh sayup-sayup kedengaran, dia boleh terjaga.Dia sentiasa awas dan bersiaga pada sebarang perubahan keadaan yang mengundang sebarang kebarangkalian.
Ikutkan hati mahu sahaja dia bangkit dari pembaringan dan meneruskan perjalanan namun memerhatikan Yazaid terlena dalam keadaan keletihan, terasa tidak sampai hati pula.Lalu Leo kembali meletakkan kepalanya di atas tanah menghadap dada langit.Dia mengelamun jauh sehingga dia terlelap.
Permukiman Fuego,HyperServ
“DDUUUUUMMMMMMMM!!!”
Satu ledakan laser dilepaskan oleh Tajima tepat mengena sasaran.Debu tanah bertaburan membataskan penglihatan.Tajima tersenyum puas.Cukup dia tewas dalam pertempuran tanpa senjata.Kali ini gilirannya membunuh musuh yang menewaskannya.Bara api yang berdekatan berselerakan.Debu tanah yang terawang di udara membatasi penglihatan.Ledakan laser yang mengena sasaran mengegarkan tanah, menyerakkan debu.Tiada sesiapa pun yang boleh hidup apabila ditembak dalam jarak dekat dengan ledakan yang cukup kuat dan mampu mengegarkan tanah.Tajima puas.Nafsu amarahnya membuak.Dendamnya berjaya dilunaskan.Darah di bayar dengan darah, fikirnya.
Dia pasti Ismail tidak dapat terselamat dari ledakan lasernya yang cukup kuat dan mampu membunuh musuh yang berlipat kali ganda lebih besar darinya.Tajima tersenyum puas.Zaidi sekadar mengesot ke tepi.Kesakitannya masih terasa di dalam urat sendi.Penangan Ismail bukan calang-calang walaupun pada hakikat secara zahirnya kelihatan Ismail seperti budak hingusan yang tidak tahu apa-apa.
Debu tanah bertaburan mengaburi pandangan.Ditambah pula dengan kepekatan malam di perhutanan itu.Unggun api yang menjadi bara bertebaran akibat ledakan laser itu memadamkan api yang marak dan menambahkan lagi kegelapan malam.
Namun, disebalik debu tanah yang bertaburan kelihatan seperti ada cahaya malap-malap kekuningan berada di sebalik taburan debu tanah itu.Kelihatan cahaya itu kabur-kabur dan berbalam-balam kerana debu tanah yang terawang menghalang penglihatan.Tajima mengerutkan dahinya.Zaidi pula kelihatan kehairanan.Kedua-duanya tertanya-tanya apakah ‘benda’ bercahaya di sebalik debu tanah yang terawang-awang itu.
Membulat biji mata Tajima dan Zaidi.Ismail dan Kirin masih hidup.Anehnya, mereka berada di dalam sebuah bola cahaya yang berbentuk sfera melindungi mereka berdua.Ismail dan Kirin berda di dalamnya.Ismail tercangkung menutup matanya manakala Kirin masih tidak sedarkan diri.Bebola cahaya sfera itu seolah-olah membentuk perisai yang melindungi Ismail dan Kirin.Tajima membulatkan biji matanya.Ledakan laser yang cukup kuat langsung tidak ‘mencederakan’ perisai cahaya itu.Sedikit retakan pun tidak ada.
Tajima melihat kepada senjata lasernya.Masih tidak boleh digunakan.Ia perlu dicas beberapa minit sebelum ia boleh digunakan semula.
“Apa…apa ni?” Ismail tertanya-tanya.Dia tercengang.Dia dan Kirin berada di dalam sebuah bola sfera cahaya yang menjadi perisai bagi mereka dan melindungi mereka daripada ledakan laser daripada Tajima.Mereka terselamat tetapi dari mana datangnya, gumam hati Ismail.
“Dari…mana datangnya…” Tajima terkedu.Dia tidak menyangka budak hingusan itu terselamat dari ledakan lasernya hanya kerana sebuah bola sfera cahaya yang melindungi mereka berdua.
Zaidi bangkit perlahan-lahan.Bisanya menerjah ke jantung menyerang setiap urat sendi yang menyebabkan pergerakan terbejat.
“Itu adalah Globe Armour.” Satu suara tiba-tiba mencelah di antara mereka.Tajima pantas berkalih ke belakangnya.Suara itu datang dari belakangnya.Zaidi juga turut memandang ke belakang.
Kelihatan seorang lelaki berpakaian kasual biasa dan hanya bersenjatakan laser yang melekat di tangan kirinya.Di tali pinggangnya terlekat beberapa alat berbentuk bulat dan leper serta bercahaya berkelip-kelip kemerahan.Lelaki itu mengenakan kaca mata inframerah berwarna hijau yang membolehkannya bergerak pada waktu malam dan melihat dengan jelas dalam kegelapan.Di tangan kanannya juga terlekat satu alat yang mempunyai skrin hologram kecil yang merupakan satu alat pengesan dan beberapa fungsi lain.
Lelaki itu mengacukan senjata laser di tangan kirinya tepat ke arah Tajima dan Zaidi.Dia membengiskan wajahnya.Corong senjatanya bercahaya.
“Senjata kau tidak mampu untuk hancurkan Globe Armour aku tetapi senjata aku mampu melumatkannya menjadi sekecil-kecil zarah.Kalau laser aku tepat ke dahi kau, kau rasa apa akan berlaku?” Lelaki itu mengugut Tajima dan Zaidi.Tajima menelan liur.Senjata lasernya tidak berupaya memecahkan bola sfera cahaya itu namun senjata lelaki misteri itu boleh memecahkannya.Jika ledakan itu kena tepat ke dahinya maka tiada lagi salasilah riwayatnya.
Tajima mengerutkan dahinya.Membengiskan wajah.Terasa darah membuak ke kepala.Dendam yang tidak terlunas pasti akan memakan diri.
“Aku akan datang balik cari kau, budak! Kau tunggu bila ‘ayah’ kau ni tak ada dengan kau!” Satu ugutan keras dari Tajima.Zaidi sekadar mengekori Tajima yang melarikan diri ke dalam hutan belantara sambil mereka berlari terhencot-hencot meninggalkan lokasi itu.Lelaki misteri itu sekadar memandang.
Ismail terkedu.Lelaki misteri itu menapak perlahan menuju ke arah bola sfera cahaya itu lalu meletakkan telapak tangan kanannya di atas permukaan bola sfera cahaya itu.
Secara tiba-tiba, bola sfera cahaya itu berkelip-kelip dan menghilang dalam sekelip mata.Ismail terkedu.Dia tidak mengetahui siapa lelaki misteri itu dan apa sebenarnya yang terjadi.Yang dia tahu, Tajima melepaskan ledakan laser ke arahnya dan dia hanya memikirkan maut sahaja.Dia tidak menyangka bahawa dirinya terselamat kerana dilindungi oleh bola sfera cahaya yang dilancarkan oleh lelaki misteri itu untuk melindungi dirinya.
“Kau…kau siapa?” Ismail tergagap.Hatinya gentar.Bimbang yang datang ini merupakan musuh yang lebih ampuh.Lepas dari mulut harimau masuk ke mulut buaya.
“Kau pula siapa? Macam mana kau boleh ada dengan Kirin?” Lelaki misteri itu tidak menjawab pertanyaan Ismail.
Lantas Ismail membelakangkan Kirin.Dia mengepalkan kedua telapak tangannya membentuk penumpuk dan memasang kuda-kuda melindungi Kirin yang masih tidak sedarkan diri. “Kau jangan apa-apa kan dia.”
“Hei..tenang.Aku cuma tanya saja.” Lelaki itu hanya tersengih melihat gelagat Ismail.Walaupun Ismail ampuh dalam seni tempur tanpa senjata namun perangai keanak-anakkannya masih ada.
“Lagi sekali aku tanya.Kau siapa?” Ismail membengiskan wajahnya.Sengaja dikerutkan dahinya memandang tajam pada lelaki misteri itu.
“Aku?” Lelaki misteri itu berjalan perlahan menapak menjauhi Ismail dan Kirin lalu duduk di atas sebatang pokok yang tumbang.
Ismail tetap begitu.Memandang lelaki itu dengan tajam dan berhati-hati.Bimbang itu adalah musuh.
“Nama aku….” Lelaki itu terdiam seketika.
“….Fared.” Lelaki misteri itu memperkenalkan diri.Ismail mengendurkan wajahnya.Dia tidak mengenali siapa Fared tetapi Kirin ada menceritakan perihal Fared sepanjang perjalanan mereka.
>>Bersambung [Server 15]
ns 15.158.61.44da2