SERVER 29
Bunyi paluan seolah genderang perang dipalu bertalu-talu mengikut rentak dan irama.Alunan lagu tempur berkumandang.Bangsa aneh itu mengerumuni satu kawasan lapang yang dijadikan lapangan tempur.Fared dipersiapkan dengan pakaian laksamana bangsa aneh itu.Dia berdiri ditengah-tengah lapangan.Kirin dan Fared ditambat dan diikat diletakkan di tepi gelanggang namun tidak berada di dalam kurungan.Makhluk tua berbongkok itu duduk di atas singgahsana yang mengangkat darjatnya bagi membezakan penduduk dan penghulu bangsa mereka.Makhluk tua berbongkok mengangkat tangannya.Seta-merta suasana menjadi sepi.Hanya bunyi unggas malam dan percikan api sahaja yang mengitari persekitaran.Fared terkedu.
Makhluk tua berbongkok itu berkata dalam bahasa yang tidak difahami.Fared sekadar mencebik.Penghulu itu sesekali berteriak bersuara lantang.Suaranya yang serak-serak parau bertukar menjadi bergema-gema dan berdengung-dengung.Memang aneh.
“Kau! Kau akan memulakan ritual Crone Naga Batu.Kau akan bertempur sampai mati dengan pahlawan handalan kami.” Makhluk tua berbongkok mengambil tempat duduknya semula.
“Kalau aku menang? Kau akan bebaskan aku dan kawan-kawan aku?” Fared memberanikan diri untuk membuat pertukaran.Terasa tidak adil jika pertempuran ini melibatkan hidup dan mati.Yang menang, terus berdiri.Yang kalah, serta-merta akan mati.
“Kalau kau hidup, semestinya kau yang terpilih.” Makhluk tua berbongkok itu menyembunyikan senyuman muslihatnya.Pembantu-pembantunya yang berada disebelah turut tersenyum sumbing.Mengetahui muslihat penghulu mereka.Sekali lagi paluan genderang perang bangsa itu bergema.Beralun mengikut rentak kepahlawanan suku mereka.
Seekor makhluk masuk ke gelanggang.Bersenjata pedang berantai.Saiznya agak besar dan tubuhnya kekar.Berwajah membengis memandang Fared sebagai musuh.Fared menelan liur.Dia hanya diberi senjata pedang biasa dan bukan seperti pedang-pedang pahlawan mereka yang kelihatan hebat dan unik.Fared memejamkan mata.Semacam aura kepahlawanan meresap perlahan-lahan ke dalam dirinya.Bangkit umpama singa. Mengaum umpama naga. Fared mengambil tempat.Hulu pedang dipegang kemas.Dihayun sekali dua ke kiri dan ke kanan.Menunjukkan keyakinan untuk berhadapan.Malam ini, dia yang menentukan sama ada mereka bertiga mampu untuk melihat mentari semula keesokan harinya atau sebaliknya.Ismail menelan liur yang terasa perit.Kirin memandang tepat ke arah Fared.Bibirnya terkumat-kamit membaca sesuatu.Ismail kehairanan namun tidak menegur.
“Wahai Crone Naga Batu! Aku mempersembahkan sembahan kami.Yang terpilih tidak akan mati.” Lalu makhluk tua berbongkok itu melanjutkannya dengan bacaan mantera yang tidak difahami.Secara tiba-tiba, ruang tengah gelanggang tiba-tiba meruntuh dan membentuk satu lubang di tengah-tengah.Di dalam lubang itu, terdapat lava panas yang menyala dan meletup.Sesekali menghamburkan gas panas.Bau belerang menyusuk hidung.Ismail panik.Jika terjatuh ke dalam lubang itu pastinya maut meragut serta-merta.Fared kekal seperti tadi.Langsung tidak berganjak.Dirinya umpama dirasuk.Satu semangat juang yang luar biasa mula meresap.Pahlawan bangsa itu mula membuka langkah.
Tanpa amaran, pahlawan bangsa itu melompat tinggi dengan tetakan.Fared bersiaga.Tidak sempat kakinya mendarat ke tanah, pahlawan bangsa itu melibas pedangnya menetak Fared.Fared menyanggah dengan pedangnya.Bunyi dentingan besi berlaga amat membingitkan.Penduduk bangsa itu bersorak-sorai.Memberi semangat kepada pahlawan bangsanya.Serangan bertali arus tanpa henti.Fared hanya mampu bertahan dan mengelak sedangkan pahlawan bangsa itu menguasai pertarungan.Dialah yang paling banyak menyerang tanpa henti.Sesekali Fared tersadung namun dapat diimbangi.Libasan pedangnya sekadar membelah angin.Satu tendangan padu tepat mengena dada Fared.Akibat hentakan kuat, Fared terlambung ke belakang dan terseret di tanah.Berhenti pada tebing lubang lava.Fared mengerutkan dahi.Bahangnya terasa mencucuk-cucuk.Serangan dilancarkan lagi.
Tetakan pedang tertacak ke tanah.Fared sempat berguling ke tepi mengelak libasan maut dari mencabut nyawanya.Dengan gerakan sepantas kilat, Fared menyelinap ke belakang pahlawan bangsa itu lantas Fared melompat tinggi lalu meledakkan tendangan sekukuh batu ke belakang tengkuk pahlawan bangsa itu.Pahlawan bangsa itu hilang imbangan dan cuba dikawal.Dihadapannya adalah lubang lava yang mendidih.Apabila kaki Fared mencecah tanah, sekali lagi dia melakukan tujahan namun kali ini dengan menggunakan kedua-dua kakinya.Lonjakan dengan menggunakan momentum tubuhnya menujah belakang badan pahlawan bangsa itu.Kali ini, pahlawan bangsa itu benar-benar hilang imbangan lalu terjatuh ke dalam lubang lava.Jeritan kesakitan bergema-gema.Lava yang panas mendidih mula menceraikan kulit dari tubuh pahlawan bangsa itu dan membakar setiap sendi dan daging.Ismail berkalih pandangan.Terlalu ngeri untuk disaksikan.Pahlawan bangsa itu mati di dalam gelanggangnya sendiri.Bau tengik menerpa.Fared berdiri tegap.Memandang tepat ke arah penghulu yang tua berbongkok itu.Muka penghulu itu kelihatan tegang.Kekalahan pahlawan handalannya ternyata merupakan kekalahan awal yang menghambat.Tiada sorak sorai dari penduduk yang menyaksikan pertarungan itu melainkan dengan muka membengis dan terpancar raut tidak puas hati dengan kekalahan pahlawan mereka.
“Aku menang.Pacal kau mati dalam tu.Sekarang, tunaikan janji kau untuk lepaskan aku dan kawan-kawan aku!” Fared memacakkan pedang ke tanah.Wajahnya berkeringat.Dia banyak kehilangan tenaga ketika berada di dalam kurungan tadi.Jadi, dia terpaksa menggunakan tenaga yang minima untuk bertempur di dalam ritual tidak masuk akal ini.
Penghulu tua itu ketawa garau.Seolah-olah sedang mengejek kemenangan yang telah Fared kecapi.
“Kau tidak bertempur sepenuh tenaga, wahai manusia.Kau hanya menggunakan kelebihan kekuatan pahlawan kami.Kau menggunakan berat tubuhnya sahaja untuk menumbangkannya.Bijak sekali.” Makhluk itu diam seketika.Fared memandang dengan penuh debaran.
“Dengan ini, aku melepaskan...” Ismail terlopong.Kirin mula tersenyum.Terdapat sinar kebebasan.Fared mula menarik nafas lega. “...satu lagi pahlawan yang benar-benar akan membunuh kau, wahai manusia.” Penghulu tua itu ketawa berdekah bersuara garau.Pembantu-pembantunya tersengih.Sorak sorai penduduk mula bergemuruh semula.Ismail dan Kirin terkedu.Hilang kata-kata.Fared melepaskan keluhan kasar.Tenaganya mula menipis dan kian menghakis.
Makmal Hyperserv,Tahun Infiniti 30XX
Makmal ini tidak ubah seperti sebuah makmal berteknologi tinggi yang lengkap dengan pelbagai kelengkapan untuk satu uji kaji.Wayar berselirat.Paparan monitor hologram kelihatan berada di merata-rata tempat.Kertas-kertas kajian berselerakan.
Irfan dan Rozy sedang melakukan sesuatu.Cuba untuk menyelesaikan satu permasalahan yang akan meragut nyawa setiap manusia di muka bumi ini jika terlewat atau berlaku kesilapan.
“Berapa lama lagi I.R.I.S boleh disiapkan, Rozy?” Irfan berkalih memandang Rozy yang sedang tekun menyusun atur kod-kod yang unik itu.
“Tidak lama lagi.Cuma saya tidak berani jamin berapa lama ia akan siap sepenuhnya atau berfungsi sepenuhnya.Kita perlukan cebisan kod dari Ilyas.”Rozy kelihatan hampa.Ilyas telah masuk ke dalam Hyperserv dengan menggunakan cara teleport.
“Itu tak menjadi masalah.Saya ada menyimpan memo dari Ilyas.Cebisan kod untuk menyempurnakannya.Selain itu?” Irfan lebih bersikap bersedia.Rozy tersenyum.
“Tiada apa-apa lagi.Dengan cebisan kod dari Ilyas, perisian I.R.I.S lengkap sepenuhnya.” Rozy menyambung tugas.Memo bertukar tangan.Rozy memasukkan cebisan kod untuk melengkapkan perisian keselamatan itu dan hanya dengan satu butang sahaja, perisian ini akan dilancarkan.Rozy memandang sekilas ke arah Irfan.Irfan memberi kebenaran dan jari Rozy menekan butang ‘Enter’.
Sepi.Tiada apa yang berlaku.Rozy mengerutkan wajah.Irfan menjenguk mesej amaran yang terpapar.
“ Corrupted? Kenapa? Semua kod dah lengkap.Tapi kenapa tak berhasil?” Irfan merengus kasar.Jemarinya lincah menekan paparan hologram mengikut kepakarannya.Rozy pula bertindak sebagai pemerhati.Sejujurnya, dia tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya.
“Apa yang berlaku? Kenapa I.R.I.S tak berfungsi?Kenapa!?” Wajah Irfan mula panas.Darahnya membuak-buak.Terbayang-bayang kejayaan berada di muka pintu namun tertutup semula terkatup rapat.Perisian I.R.I.S tidak berfungsi seperti yang diharapkan.Keluhan kecewa dilepaskan.Segala-galanya gagal.
“Perisian I.R.I.S takkan mampu berfungsi.Jika berfungsi pun, ia takkan berhasil.” Satu suara menegur dari belakang.Lantas Irfan dan Rozy menoleh serentak.
Hairuddin muncul dari pintu utama.Diikuti oleh Hadif dan Zie.Irfan mendapatkan Hairuddin.Ingin mengetahui lebih lanjut.
“Macam mana kau tahu? I.R.I.S satu-satunya penyelamat yang kita ada sekarang.Untuk membunuh semua virus-virus tu.Penghuni Grotte apa nama aku pun lupa.Semua tu adalah virus. Hanya I.R.I.S penyelamat.Kita boleh bawa keluar semua orang dengan selamat dan musnahkan semuanya.Lebur!” Dalam hujah Irfan, terselit unsur lucu apabila dia tidak dapat mengingati nama gua itu.
“Irfan, aku pernah ke sana.Aku tahu sejarah dunia itu macam mana.Sebarang perisian rapuh luar tidak akan dapat mengubah apa-apa.Sistem keselamatan Hyperserv terlalu ampuh untuk ditembusi.Hanya dengan beberapa kod protokol yang rumit sahaja membolehkan unsur luar masuk ke sana.” Hairuddin kelihatan lebih banyak pengalaman mengenai dunia kejam itu namun tiada siapa yang mengetahui sejarah hitam itu.
Irfan mengeluh berat.Jika perisian ini tidak mampu membantu maka sia-sialah usahanya bersama Rozy menyiapkan perisian yang diberikan oleh Ilyas.
“Tapi saya ada cara lain.” Zie pula bersuara.Irfan memandang Zie dengan dingin.Hatinya masih membengkak.Sekilas dia memandang Hairuddin dan lelaki separuh abad itu menggangguk untuk memberi kebenaran.Irfan menarik nafas sedalamnya dan menunggu bicara seterusnya dari Zie.
“Saya akan menggabung perisian yang saya perolehi dengan perisian I.R.I.S” Zie menapak ke arah paparan monitor dan meletakkan access glass miliknya pada papan pengimbas.Kad kaca itu bercahaya dengan paparan maklumat dan data.
“Macam mana kalau tak berjaya? Dan kalau berjaya sekali pun, macam mana ia akan berfungsi?” Ternyata Irfan masih tidak percaya pada Zie.Padanya, Zie boleh membelot pada bila-bila masa.Sedangkan dia boleh membelot pada pasukannya sendiri.Inikan pula kononnya menyebelahi kebaikan.Satu perkara yang dirasakan tidak masuk akal.
“Sabar, Irfan.Perisian I.R.I.S tidak cukup untuk menembusi sistem keselamatan Hyperserv.Gabungan perisian penggodam dan I.R.I.S pasti membuahkan hasil.” Hairuddin lebih bersifat bersangka baik.Irfan melepaskan keluhan.Dalam keberatan, dia membenarkan.
Zie memulakan tugasnya tanpa disuruh dan tanpa ditegah oleh sesiapa.Hairuddin menapak perlahan mengambil tempat duduk berhampiran papan monitor utama.Irfan dan Rozy kini menjadi pemerhati sahaja.Zie mengambil langkah berjaga-jaga.Sebarang kesilapan di dalam memasukkan kod rumit seboleh-bolehnya perlu dielakkan.Ada dua kemungkinan.Jika bernasib baik, perisian tidak akan berfungsi dan langsung tidak boleh digunakan lagi.Kemungkinan kedua lebih teruk. Jika tidak bernasib baik, dunia Hyperserv musnah sama sekali berserta dengan manusia yang berada di dalamnya sekali gus memusnah rangkaian sistem yang berhubung dengannya termasuk pangkalan data utama yang terletak di tengah-tengah bandar ini.Semuanya akan lumpuh buat selama-lamanya dan kehidupan manusia kembali tanpa teknologi dan segala-galanya kembali seperti zaman dahulu kala.Paling membimbangkan, otak manusia akan menerima impak gelombang dan memusnahkan sebahagian besar sel-sel yang diperlukan untuk kewarasan dalam berfikir.
Hairuddin, Zie dan Hadif tahu akan implikasi itu namun tidak disuarakan kepada Irfan dan Rozy.Bimbang tidak akan dipersetujui.Mereka tiada pilihan lain.Nyawa anaknya berada di dalam genggaman Hyperserv yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa.Penghuni Grotte Bardtan menunggu masa untuk dilepaskan.Dua ancaman berada dipundaknya ketika ini.Dia kini berhasrat untuk menggalas semula ‘jawatan’ yang disandangnya suatu ketika dahulu.Peperangan bakal tercetus lagi dan buat sekian kalinya, dia harus menamatkannya semula.Perbezaannya peperangan kali ini jauh lebih mencabar dan melibatkan banyak pihak dan semestinya melibatkan banyak nyawa.
Dia mengakui bahawa peristiwa kehilangan pada masa lalu ternyata menghambat keras jaluran ingatannya namun demi kelangsungan hidup manusia sejagat sekali gus menjinjit nyawa setiap insan, dia perlu menjerumuskan dirinya semula ke dalam pekerjaan yang telah lama ditinggalkan.Sekali lagi dia perlu mengotorkan tangannya dan pulang dengan membawa seribu khabar gembira.Ini bukanlah satu permulaan yang baik namun harapan menggunung untuk segala-galanya berakhir dengan baik dan tanpa pertumpahan darah.Perjalanan masih jauh.Raja mereka masih belum bangkit namun dalam keadaan bersiaga apabila ‘mereka’ keluar untuk kembali merebut takhta dunia manusia.
>>Bersambung [Server 30]
ns 15.158.61.17da2