Seperti kebiasaannya, mentari yang menyinari tidak akan selamanya kekal.Ia akan kembali ke tempat asalnya dan rembulan mengambil alih.Unggas-unggas hutan riang menyanyikan irama mereka.Haiwan yang memburu pada waktu malam semakin agresif memburu kitaran rantaian makanannya.
Di kawasan kaki pergunungan Fin Del Mundo ini, haiwan buas lebih agresif.Kawasan gunung-ganang yang meliputi seluruh permukiman ini menjadi habitat bagi mereka.
Nun kejauhan di puncak pokok gergasi Tamashi, kelihatan bangsa Yaneko sedang melakukan pekerjaan mereka sehari-hari.Pada siang hari, sebahagian daripada mereka akan keluar berburu untuk juadah pada malam hari.Begitulah rutin mereka saban hari.
Malam ini kelihatan meriah.Hasil buruan mereka kali ini agak lumayan.Juadah makanan dan aroma hidangan menusuk ke rongga pernafasan membangkitkan selera.
Fared sekadar menggalas perutnya alah kadar lalu mengambil minuman.Ismail dan Kirin rancak berbual dengan bangsa Yaneko yang lain.Ismail dihambat kejutan ketika bangun dari tidur pagi tadi.Dia langsung tidak mengetahui dimana mereka berada ketika itu.Akibat terlalu takut dan trauma dengan kejadian yang menimpanya di Red Forest, Ismail bertindak drastik melarikan diri dan hampir-hampir terbunuh kerana dia tersadung lalu melayang jatuh ke bawah dari puncak pokok ini.Mujurlah salah seorang dari bangsa Yaneko cekap menyambut batang tubuh Ismail dan naik semula ke atas.
Fared melangoi pandangan memandang ke arah dua bulan yang menerangi seluruh bumi Hyperserv ini.Dia sendiri tidak tahu bagaimana dunia ini boleh memiliki dua bulan sedangkan di dunia manusia atau realiti hanya ada satu bulan sahaja.Keunikan yang ada pada dunia Hyperserv ini ternyata hasil rekaan Rayfall suatu ketika dahulu yang mahukan dunianya sendiri.Tanpa disedari, walau apa sehebat mana pun ciptaan manusia itu tidak akan mampu menandingi ciptaan-Nya yang lebih sempurna dan tiada satu pun ciptaan-Nya yang disia-siakan.Semuanya mempunyai matlamat dan tujuan.
“Malam ini akan diadakan pertandingan.” Satu suara menyapa.Lamunan Fared berkecai diterbangkan angin malam.Fared menoleh sekilas.Wajah Athelia muncul sambil tersenyum.Estrella kelihatan rancak berbual-bual bersama Kirin dan Ismail.Pasti banyak kisah yang mahu dikongsikan bersama.Malahan mereka kelihatan mesra seolah-olah sudah lama berkenalan.Bangsa ini ternyata bangsa yang peramah dan penuh adab.
“Pertandingan apa?” Fared mengerutkan dahi.Jika difikirkan secara logik, kedudukan mereka berada di puncak pokok gergasi ini.Ruangan di langgar utama ini juga tidak begitu luas.
“Pertandingan memanah.” Ringkas Athelia menjawab.
“Memanah?” Fared semakin bingung.
“Bangsa kami sangat mahir di dalam memanah.Membunuh musuh dari jarak yang jauh.” Athelia memegang busur panahnya yang tersangkut di bahagian kanan pinggangnya dan selambak anak panah berada di kiri pinggangnya.
“Dan kena ada pertandingan?” Fared tergelak kecil.Athelia tersenyum.
“Ianya bukan sekadar sebuah pertandingan sahaja, Fared.Ianya satu teknik untuk menajamkan penglihatan kami ketika membunuh dalam suasana gelap.” Athelia meneguk minuman yang dibawanya tanpa memandang ke arah Fared.
“Eemmm..menarik.Siapa yang boleh menyertai?” Fared kelihatan tertarik.
“Semua yang berada di sini.Jika awak mahu cuba, silakan.Tetapi setiap orang memerlukan pasangan.Pertandingan ini akan melihat di antara dua orang, siapa yang paling banyak menepati sasaran pada waktu malam.” Athelia yang selaku ketua bangsa Yaneko itu sudah arif di dalam teknik memanah dalam apa jua situasi.Tersangat mudah baginya.
“Jika begitu, saya nak berpasangan dengan....” Fared melihat-lihat di antara celah-celah keramaian bangsa Yaneko itu.
“Estrella.” Fared menudingkan jari ke arah Estrella.Serta-merta riak wajah Athelia berubah.Wajahnya mencuka.Seolah-olah tidak setuju dengan pilihan lelaki itu.Fared mengesan perubahan itu.
“Kenapa?Ada yang tidak kena?” Fared menduga.Athelia kelihatan serba salah.
“Tidak.Bukan macam tu, cuma Estrella....” Athelia tergagap untuk meneruskan bicaranya.Fared merenung tajam.Dia berasa serba salah.Lalu dia melepaskan keluhan halus yang memberati rengkungannya.Jauh disudut hatinya, dia tidak bersetuju jika Estrella memasuki pertandingan yang akan diadakan sebentar lagi.
“Baiklah.Awak berpasangan dengan Estrella.” Athelia terpaksa akur.Fared kelihatan tersenyum.Tidak sabar rasanya mahu mencuba dan mempelajari teknik memanah dari bangsa Yaneko ini.Dia perlu mempelajari sesuatu disini.Semenjak kehadirannya ke dunia ini, dia dan Yazaid hanya tahu teknik bertempur jarak dekat.Itupun tidak sebegitu ampuh.Sedangkan bangsa-bangsa yang mendiami dunia ini mempunyai kemahiran dan kelebihan tersendiri.Dia perlu membuka ‘kunci’ kekuatannya sendiri.
“Tapi, Fared.Awak jangan terkejut pula nanti apabila awak berpasangan dengan Estrella.Dia...” Sekali lagi Athelia terhenti berbicara.Fared semakin curiga.Pasti ada sesuatu yang tidak kena.
“Tiada apa lah.Semoga berjaya.” Athelia tersenyum dan berlalu pergi mendapatkan bangsanya yang lain lalu membuat pengumuman untuk mengadakan pertandingan memanah sebentar lagi di pelantar paling atas pokok Tamashi ini.Kemudiannya, Athelia mendapatkan Estrella.Dia memberitahu sesuatu pada gadis itu.Seketika, anak mata Estrella memandang ke arah Fared dalam keadaan terkejut dan seolah-olah ketakutan.Riak wajahnya seakan-akan hilang keyakinan namun sesekali kelihatan dia terangguk-angguk.Fared memandang dari kejauhan.Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada gadis itu sehingga Athelia juga seolah-olah tidak menggalakkan Fared untuk bergandingan dengan Estrella.Pasti ada sesuatu yang tidak kena.Fared nekad untuk mencari punca.
Banyak perkara yang dibualkan bersama Estrella.Banyak perkara yang diceritakan oleh Estrella membuka mata Fared berkaitan dunia ini.
Kebiasaannya, bangsa Yaneko ini gemar mengadakan pertandingan memanah ini untuk mengasah keupayaan masing-masing membunuh musuh meskipun di dalam suasana kegelapan.Menajamkan lagi penglihatan.Ianya bukanlah pertandingan yang sia-sia.Melatih setiap kelebihan dan keupayaan mereka menjadi lebih ampuh.Jarang sasaran mereka tersasar.
Mereka berpusu-pusu berkumpul di pelantar paling atas pokok Tamashi ini.Masing-masing bersedia dengan pasangan masing-masing.Busur dan anak panah bersedia untuk beraksi untuk membelah angin terus ke sasaran.Athelia berada di tengah-tengah kerumunan.
“Kita akan mulakan pertandingan.Seperti kebiasaan, setiap hasil buruan perlu dibawa naik ke sini dalam masa tiga puluh minit.Bersedia!” Athelia mengangkat tangan kanannya ke udara.Kirin dan Ismail berada di pelantar bawah menyaksikan pertandingan memanah itu.Mereka berdua mencari-cari kelibat Fared yang dikhabarkan mahu menyertai pertandingan bangsa Yaneko itu.
“Mula!” Demi sahaja perkataan itu disebut, masing-masing terjun ke bawah menuju ke kawasan perhutanan menggunakan tali dan menggelungsur ke bawah lalu hilang di dalam kepekatan malam.Kepantasan mereka sukar dinafikan.Pergerakan mereka umpama bayang-bayang yang tidak mampu dikesan.Kawasan persekitaran kaki gunung ini mempunyai banyak haiwan-haiwan berwaktu malam yang agresif.Itu adalah sasaran mereka.Athelia hanya memantau pergerakan bangsanya itu dari kejauhan.Athelia memiliki kelebihan pada pandangan matanya.Mampu melihat di dalam gelap dan mampu melihat sasaran dalam jarak yang sangat jauh.Jarang sekali sasarannya hidup jika dia yang melepaskan panah.
Fared dan Estrella juga tidak ketinggalan.Estrella pantas menggelungsung ke bawah lalu mendarat di atas dahan pokok dengan cukup kemas.Ditoleh sekilas ke belakang.Dia menjadi kehairanan apabila Fared tidak turun bersama dengannya.Estrella melangoi ke atas memandang ke arah pelantar.Nun dikejauhan, kelihatan Fared teragak-agak untuk menggelungsur turun ke bawah.
Tangan Fared terketar-ketar.Lututnya terasa goyah.Ketinggian sebegini bukan menjadi satu perkara biasa untuknya.Ditelan liur yang terasa pahit menyelusuri kerongkong.Dia menyangkakan pertandingan itu hanya dilaksanakan di atas pelantar ini sahaja dan menebak sasaran dari atas pelantar namun sangkaannya meleset dimana setiap peserta perlu meredah hutan untuk memburu haiwan berwaktu malam yang agresif.
Athelia menghampiri Fared dari arah belakang.Dia memegang kedua-dua tangan Fared dan meletakkan pada pemegang penyangkut yang tersangkut pada tali.
“Jangan pandang ke bawah.Hanya pandang ke hadapan tempat mendarat.Tarik nafas sedalamnya dan hembus perlahan-lahan.Jangan panik.” Athelia mengajarkan teknik untuk mengelakkan rasa gayat.Fared menarik nafas sedalamnya.
Perlahan-lahan, tubuhnya condong ke hadapan.Dalam sekelip mata, tubuh Fared melayang turun ke bawah dalam kelajuan yang agak deras.Fared mengetapkan giginya.Dikejapkan genggaman tangan.Langsung tidak memandang ke bawah.Dia tahu jika terjatuh dari ketinggian itu pasti akan maut.
Apabila melepasi dedaunan pokok, Estrella muncul di hadapan matanya.Pergerakannya turun ke bawah agak laju sehingga dia hilang imbangan untuk mendarat.Kelajuannya tidak dapat dikurangkan.Fared bertembung dengan Estrella dan kedua-duanya melambung ke belakang.Tubuh badan mereka menghempas tanah dari ketinggian aras pokok.Mujur ketinggian pokok tempat mereka mendarat itu tidak terlalu tinggi.Namun terasa bisa menjalar di setiap sendi.Membejatkan pergerakan mereka buat seketika.
Fared tergamam.Pandangan matanya tidak dapat melihat apa-apa langsung.Suasana gelap menguasai.Dia melangoi pandangan.Dua bulan membiaskan cahayanya.Itu sahaja harapan yang dia ada.Berpandukan suluhan cahaya bulan semata-mata.Estrella pantas bangkit dan bersedia dengan busur panahnya.Fared juga mengikut rentak Estrella.
Mereka bergerak dalam perhutanan itu dengan penuh berhati-hati tanpa suara.Hanya kaki menginjak tanah dengan penuh rasa waspada.Disebalik kegelapan malam sebegini, ada sahaja mata-mata buas yang memerhatikan mereka dari balik hijab kegelapan.Menunggu masa yang sesuai untuk membaham.Sepatutnya, mereka perlu menebak sasaran dari atas pokok.Itu teknik yang lebih mudah.Memandangkan Fared bukan dari kalangan bangsa mereka yang mahir dalam melompat dari dahan ke dahan, Estrella terpaksa menggunakan jalan darat untuk bergerak.Tambahan pula, Fared hilang imbangan ketika mendarat menyebabkan mereka jatuh ke tanah. Estrella terpaksa mengikut cara Fared.
Sesekali kedengaran bunyi deraman dari balik kegelapan malam.Fared tertoleh-toleh.Memerhati setiap sudut perhutanan.Matanya mula menyesuaikan pandangan di dalam kegelapan dibantu oleh simbahan cahaya rembulan.Walaupun samar-samar namun sudah mencukupi baginya untuk bergerak.
Namun lebih menghairankan Fared, Estrella kelihatan seperti ketakutan.Kepalanya tertoleh-toleh di sekeliling memerhati persekitaran.Fared mengerutkan dahi.
“Estrella, kenapa awak nampak takut?” Fared bertanya dengan nada berbisik.Cukup sekadar didengari oleh Estrella.
“Saya...eerrr...saya..” Estrella tergagap-gagap.Tindak balas dari Estrella ternyata memberi satu kehairanan kepada Fared.Bangsa Yaneko terkenal hebat dengan kemahiran memanah.Estrella juga pasti mahir dalam menyasar panah ke sasaran.Namun, apa yang diamati oleh Fared kepada Estrella ternyata sebaliknya.Cara dia memegang busur panah juga kelihatan canggung dan seperti tidak biasa melakukannya.
Secara tiba-tiba, seekor harimau berekor dua dan bertanduk runcing muncul dari balik semak.Menerjah secara tiba-tiba.Fared dan Estrella terkejut bukan kepalang namun tindak balas Fared lebih pantas.Dia menolak tubuh Estrella mengelak terjahan.Cakaran kuku harimau itu tersasar membelah angin.Haiwan itu mendarat tidak jauh dari mereka dan berkalih menghadap mangsanya.Estrella menggigil ketakutan.Fared terpaksa menjadi benteng.Busur dan anak panah bersedia.
Sepantas kilat, Fared menarik tali busur dan mengacukan mata panah tepat ke dahi harimau itu lalu dilepaskan.Anak panah yang membelah angin mengeluarkan bunyi berdesing akibat geseran besi dengan angin.
Namun, sasarannya tersasar apabila harimau itu pantas mengelak.Anak panahnya menyasar entah kemana.Fared mengetap giginya.Kelam-kabut dia mengeluarkan anak panah dan meletakkan pada busur.
Belum sempat Fared menarik tali panah, harimau berekor dua itu terlebih dahulu menerjah batang tubuh Fared.Hayunan kaki kanannya terkena pada bahagian dada Fared.Darah memercik.Bisa menjalar di setiap urat sendi.Fared terjelepuk jatuh.Menekap kedua-dua tangannya ke dada.Busur dan anak panah terlepas dari genggaman.Mujurlah lukanya tidak dalam.Kuku harimau itu sekadar mengoyakkan lapisan kulit luar sahaja namun darah pekat tetap mengalir deras.Wajah Fared berkeringat menahan kesakitan.
Estrella menjadi kaget.Harimau itu berdiri tegap di antara Estrella dan Fared.Memandang kedua-duanya bersilih ganti.Malam ini, rezekinya tidak terduga.Seorang dari bangsa Yaneko yang sering memburu spesisnya dan seorang lagi manusia.
Geseran angin dan besi yang berlaga menerbitkan bunyi berdesing dari kejauhan.Dalam sekelip mata, satu anak panah tepat menebak ke dahi harimau berekor dua itu.Anak panah itu tepat menebak di antara kedua-dua tanduk runcingnya.Estrella dan Fared terkejut bukan kepalang.Harimau itu rebah menyembah bumi.
“Athelia.” Estrella berbisik namun boleh didengari oleh Fared.
Estrella melangoi pandang.Dari nun kejauhan di atas pelantar pokok Tamashi, kelihatan Athelia memegang busur panah.Athelia menyelamatkan mereka berdua dari menjadi lauk haiwan buas itu malam ini.Fared menjadi kagum.Jarak di antara mereka dengan Athelia terlalu jauh.Kedudukan Athelia di atas pelantar puncak pokok gergasi Tamashi.Estrella mampu melihatnya dari sini tetapi tidak pada Fared.Dia langsung tidak dapat melihat kelibat Athelia yang dikatakan menyelamatkan mereka.Jarak mereka terlalu jauh malahan kedudukan mereka di atas tanah terhalang oleh dedaunan pokok yang tebal.Jika difikir secara logik, mana mungkin seseorang dapat menebak tepat mangsanya dalam keadaan gelap sebegini dan dalam jarak sejauh ini.Tambahan pula, kedudukan mereka terselindung oleh dedaunan pokok.Ini semua tidak masuk akal namun inilah yang disaksikan oleh matanya sendiri.Fared mengerutkan dahi menahan sakit bercampur kehairanan.
Estrella mendapatkan Fared dan membantunya untuk bangkit.Wajah Fared berkeringat.Estrella menjadi serba salah.Mahu atau tidak, dia perlu melindungi bangsa manusia ini.
“Kita balik, ya? Kita tak perlu teruskan pertandingan ni.” Estrella memujuk.
“Jangan! Teruskan.” Fared menarik tali busur panah dan menebak anak panah ke arah dahi bangkai harimau yang telah mati itu.Tebakan anak panah Fared membelah anak panah Athelia sekali gus menyingkirkan panah Athelia dari bangkai haiwan itu.Estrella kehairanan.
“Ini hasil pertama kita.Teruskan pencarian.” Fared melangkah terdengkot-dengkot.Tangannya masih menekap dadanya yang berdarah.
“Tapi awak cedera.Awak perlu segera diubati.Saya takut..luka awak dijangkiti kuman.” Estrella cuba untuk memujuk lagi.Baginya, ini hanya pertandingan biasa dan bukannya peperangan.Tidak menjadi kewajiban baginya untuk meneruskannya memandangkan Fared dalam keadaan tidak mengizinkan.Namun, pujukan Estrella langsung tidak diendahkan.Fared tetap memegang busur panah dan meneruskan pencarian sasaran seterusnya.
Secara tiba-tiba, Fared menarik tali busur dan melepaskan anak panah menyasarkan pada satu arah.Bunyi tebakan mengena.Estrella terkejut.Fared menuju ke arah sasarannya.
Seekor lagi harimau menemui ajal dalam keadaan bersedia untuk menerjah mereka berdua.Haiwan itu terdampar mati.Sebatang anak panah milik Fared melekat di dahinya.Membulat mata Estrella melihat tebakan Fared tepat mengena sasaran.
Seekor lagi harimau muncul dari balik semak.Namun kali ini, haiwan itu menapak perlahan sambil menderam-deram.Fared pantas mengilas pandang.Haiwan buas itu bersedia untuk menyerang.
Belum sempat Fared menarik tali panahnya, Estrella terlebih dahulu menarik tali busurnya dan menyasarkan anak panahnya tepat ke dahi haiwan itu lalu panah dilepaskan.Tindakan Estrella ternyata sepantas kilat.Namun, apa yang disaksikan oleh Fared ternyata mengejutkannya.Bukan sahaja Fared malahan haiwan buas itu juga seolah-olah terkejut melihat tebakan anak panah Estrella.
Pergerakan anak panah Estrella ternyata aneh.Pergerakannya bukan dalam keadaan bergerak lurus tetapi anak panahnya melayang-layang ke serata arah menyasar entah kemana.Estrella tertunduk.Dia bimbang anak panah yang dilancarkannya itu menebak dirinya sendiri.Akhirnya, anak panahnya itu melayang jauh dan menghilang.Menebak ke sasaran yang tidak diketahui.Harimau itu menyerigai.Liurnya menjejes.Sekali lagi Fared menarik tali busurnya.
Buat kali kedua, Estrella melepaskan anak panahnya ke sasaran mendahului Fared.Kejadian yang sama berulang.Anak panah Estrella melayang-layang ke serata arah tanpa sasaran.Seolah-olah anak panahnya dipandu oleh “sesuatu” yang tidak kelihatan.Fared mengecilkan anak matanya memandang ke arah anak panah Estrella yang melayang-layang tanpa tujuan.Aneh sekali.Kebiasaannya anak panah akan bergerak lurus ke sasaran tetapi anak panah Estrella melayang-layang ke serata arah tanpa sasaran yang tepat.Anak panah Estrella berakhir seperti kejadian tadi.Menebak sasaran yang tidak diketahui di kegelapan malam.Fared memandang ke arah Estrella yang kelihatan ketakutan.Fared menjadi simpati.Tanpa disedari, harimau itu menerjah ke arah mereka.
Sepantas kilat, Fared melepaskan panah ke arah dahi harimau itu lalu mati tersungkur di tanah.Terseret hingga ke kaki Estrella.Membulat matanya dan memandang sekilas ke arah Fared.Wajah Fared kelihatan berkerut memikirkan sesuatu.Akalnya berputar ligat.
[To be Continued >> Server 43]
ns 15.158.61.17da2