Jaluran masa tidak menunggu sesiapa pun.Tiada siapa pun dikalangan makhluk ciptaan-Nya dapat terlepas dari jaluran putaran masa. Tanpa sedar, tiga hari sudah berlalu beralih kebelakang waktu. Guliran waktu seakan-akan tidak terasa peralihannya.
Ismail dan Kirin menetap disebuah rumah kayu yang bertunjang di dahan pokok Tamashi. Bagi bangsa Yaneko, pokok ini mempunyai jiwanya tersendiri dan jiwa itulah yang meresap ke dalam setiap jiwa bangsa ini.Seolah-olah ianya menerbitkan satu panduan pada hati dan jiwa masing-masing. Ianya sekadar wujud di dalam dunia digital ini.
Malam ini seperti kebiasaan. Api-api jamung berada di mana-mana menerangi setiap pelusuk perkampungan ini namun nun jauh di bawah perhutanan sana kelihatan gelap-gelita dan haiwan-haiwan pemangsa berkeliaran memburu mangsa-mangsanya demi kelangsungan hidup mengikut kitaran.
Ismail kelihatan bermenung sambil menongkatkan siku pada palang-palang kayu yang menjadi pemisah antara pelantar dan jurang ke bawah. Lelaki itu bermenung sambil menghirup secawan air panas untuk memanaskan tubuhnya.
Dari kejauhan, kelihatan seorang gadis menghampirinya berjalan dengan penuh lembut dan teratur. Kirin muncul dari kanan Ismail. Ismail sekadar menoleh sekilas sambil tersenyum. Senyumannya dibalas oleh Kirin. Gadis itu menempatkan tubuhnya bersebelahan Ismail. Kelihatan seolah-olah dua merpati sejoli sedang dilamun cinta yang tidak terungkap.
“Dah tiga hari Fared tinggalkan kita disini. Apa agaknya perkhabaran mereka?” Kirin sekadar berbasi-basa untuk memulakan perbualan. Ismail melepaskan keluhan halus. Keluhan itu bukanlah satu keluhan yang memberati pundak bahunya tetapi keluhan itu sekadar melepaskan lelah yang terbuku.
“Saya pun tak tahu apa yang akan jadi. Sama ada Fared benar-benar dapat melatih Estrella atau pun tidak. Ikut cerita-cerita yang diceritakan disini, Estrella seolah-olah terkena sumpahan. Langsung tidak diberikan kelebihan untuk memanah sebagai asas bangsa Yaneko. Malahan, Estrella juga langsung tidak boleh dilatih walau sekuat mana pun usahanya. Ianya seolah-olah satu sumpahan yang tidak membunuh namun menyeksakan jiwa Estrella sendiri.” Ismail berhujah panjang.
“Saya risaulah. Awak tau kan, Athelia bukan calang-calang.Dia pemimpin pada bangsa Yaneko. Pasti keampuhan tempur dia sangat hebat dan tak terkalahkan.” Raut wajah Kirin berubah kerisauan. Dia menjadi risau kerana sejak mereka bertiga bertandang di perkampungan ini, Estrella menjadi sahabat baik pada Kirin.
“Jangan risau, Kirin. Fared tahu apa yang dia sedang lakukan.Kita hanya berharap yang terbaik buat mereka.” Ismail lebih berfikiran positif walaupun jiwanya sendiri sedang diamuk resah dan badai. Hakikatnya, dia sendiri tidak mengetahui bagaimana Fared mahu melatih Estrella sedangkan Fared sendiri tidak mengetahui asas-asas memanah yang tepat bahkan langsung tidak menggunakan senjata panah sebagai senjata pertahanan utamanya.
Mereka berdua berdiam diri. Hanya laungan irama unggas-unggas hutan sahaja yang mengitari persekitaran. Hawa dingin mula menerjah menusuk-nusuk ke tulang-belulang. Aliran angin di paras tinggi ini lebih deras berbanding di bawah sana. Sesekali terdengar bunyi haiwan-haiwan pemangsa berteriak memburu rantaian makanan mereka di bawah sana.
Seolah-olah suara lolongan anjing kedengaran memecah kesunyian di antara mereka namun lolongan itu kedengaran agak aneh. Lolongannya panjang berdayu-dayu dan sayup kedengaran. Bunyi lolongan anjing yang panjang itu seolah-olah bercampur antara bunyi seekor serigala dan bunyi garau bergaung-gaung. Ismail dan Kirin berpandangan. Roma Ismail merinding serta-merta. Bunyi lolongan itu seakan-akan sama dengan cerita-cerita seram yang ditontonnya ketika di dunia realiti. Mereka berdua mengitari pandangan. Suasana perkampungan itu menjadi riuh sedikit berbanding sebelumnya. Dari kejauhan, kelihatan Athelia berlari ke arah mereka berdua.
“Ismail! Kirin!. Mari ikut saya.Sekarang!” Athelia bernada tegas. Ismail dan Kirin tidak banyak meningkah melainkan sekadar menuruti perintah. Mereka bertiga berlari menuju ke pelantar tingkat lebih atas dan lebih tinggi. Sesekali mengah juga dibuatnya. Pernafasan Ismail menjadi lebih deras berbanding Kirin dan Athelia yang kelihatan sudah biasa berlari pantas seperti ini. Maklumlah, Ismail sekadar manusia biasa di dunia digital ini sedangkan mereka memang berasal dari dunia ini.Mungkin atas sebab faktor itu mereka lebih bertenaga.
Setiba di pelantar yang lebih tinggi, Ismail dan Kirin diarahkan untuk duduk berdiam diri di sebuah rumah yang berdindingkan daun rumbia berwarna kehijauan dan pintunyu juga diperbuat daripada daun rumbia berwarna kehijauan.
“Ingat! Walau apa pun terjadi, jangan keluar dari sini. Jangan dibuka pintu ini. Jangan mengintai keluar walau sedikit pun. Jangan bersuara. Faham?!” Athelia memberi amaran tegas.Ismail dan Kirin menjadi menganggukkan kepala namun kehairanan. Keseluruhan binaan rumah diperkampungan ini dibina berasaskan kayu dari pohon Tamashi ini yang dikatakan sangat kukuh dari segi strukturnya namun hanya satu rumah ini sahaja yang binaannya berasaskan daun rumbia berwarna kehijauan. Susunan perabut dan perkakasan lain di dalamnya masih sama seperti sebuah kediaman.Cuma bahan yang digunakan sebagai dinding dan pintunya sahaja yang menggunakan daun rumbia kehijauan. Dari segi pandangan fizikal, rumah ini kelihatan sangat rapuh dan mudah untuk ditembusi.
Ismail tidak senang duduk. Kedengaran riuh diluar sana.Pelbagai suara-suara aneh dan menyeramkan menerawang mengitari persekitaran. Selaras dengan sifat kemanusiaan, lonjakan perasaan ingin tahu mula menerjah fikiran Ismail.
Ismail bangkit perlahan-lahan menghampiri pintu utama. Kirin menarik lengan Ismail namun Ismail melepaskan pegangan tangan Kirin. Dia mengisyaratkan tangannya tanda tiada apa-apa akan berlaku. Ismail menghampiri pintu utama dan menekapkan telinga kanannya pada permukaan daun rumbia kehijauan itu. Dia cuba untuk mencakup bunyi-bunyi yang berada diluar sana. Kedengaran seperti bunyi lolongan anjing bercampur suara garau berada dimana-mana. Sesekali bunyi tebakan panah menebak sasaran namun tidak ada satu pun suara riuh peperangan seperti kebiasaan.
Ismail menjadi lebih kehairanan. Ini membuatkan perasaan ingin tahunya lebih membuak-buak. Dia cuba untuk menguis-nguis susunan daun rumbia kehijauan itu untuk membuat sebuah lubang kecil bagi tujuan mengintai keluar. Kirin menegah berkali-kali.
Usaha Ismail berhasil.Sebuah lubang kecil sebesar jari kelengkeng manusia mula terbuka. Ismail mengintai keluar melihat-lihat persekitaran luar yang kedengaran agak menyeramkan. Namun apa yang dilihat oleh Ismail terasa seperti menghampakan. Dia tidak melihat apa-apa diluar melainkan anak panah yang melayang-layang menebak sasaran yang tidak kelihatan namun suara lolongan anjing bercampur suara garau itu kedengaran agak dekat dan mendayu-dayu.
Kirin memanggil Ismail dalam bernada berbisik berkali-kali. Dia menjadi risau dengan apa yang dilakukan oleh Ismail. Dia risau implikasi yang bakal diterima apabila melanggar arahan dari Athelia. Athelia lebih mengetahui tentang perihal ini berbanding mereka. Pasti ada sebab dan musababnya apabila arahan ini diberikan kepada mereka.
Secara tiba-tiba, pintu daun rumbia itu seolah-olah ditendang keras dari luar namun tidak pecah.Ismail terkejut bukan kepalang dan terlompat kebelakang. Tendangan keras dari luar berterusan. Situasi itu kelihatan agak aneh. Mana mungkin sebuah pintu berasaskan daun rumbia mampu menahan impak tendangan yang keras. Jika difikirkan secara logik, sekali tendangan keras sahaja sudah memadai untuk memecahkan daun pintu rumbia ini namun apa yang dilihat oleh Ismail dan Kirin adalah sebaliknya. Kekuatan pintu rumbia kehijauan itu seolah-olah tersangat ampuh. Bunyi tendangan keras dari luar jelas kedengaran namun daun pintu rumbia kehijauan itu hanya bergegar sedikit sahaja.
Tendangan bertali arus tanpa henti.Seolah-olah “makhluk” yang menendang pintu itu berjumlah agak banyak dan menendangnya secara bergilir-gilir. Suasana menjadi riuh. Tanpa disengajakan, Kirin yang ketakutan memeluk tubuh Ismail. Ismail terkedu namun tidak berbuat apa-apa.Dia sendiri juga dalam keadaan terkejut dan takut.
Lama-kelamaan, tendangan itu mula mengendur dan berhenti. Suasana menyeramkan seperti tadi kembali semula. Hanya bunyi lolongan anjing bercampur suara garau sahaja kedengaran. Perlahan-lahan Ismail mendekati pintu itu lalu menjengah keluar melalui lubang kecil yang dibuatnya sebentar tadi.
Ismail terkejut bukan kepalang. Kelihatan satu makhluk yang berselubung hitam seluruh tubuhnya terapung-apung tanpa kaki berada betul-betul dihadapan lubang kecilnya yang dibuat olehnya. Matanya berwarna putih bercampur kelabu kelihatan sedang memandang tepat ke arahnya. Ismail terlompat kebelakang akibat terkejut dan ketakutan. Pintu daun rumbia kehijauan kembali ditendang dari luar namun kali ini lebih keras.
Tiada apa pun di atas dunia ini mampu bertahan buat selamanya. Akhirnya, pintu rumbia kehijauan itu pecah dan terlambung ke dalam berdentum ke dinding bahagian belakang. Kirin menjerit ketakutan. Ismail menjadi kaget.
Makhluk berselubung hitam itu terapung-apung memasuki ke ruangan dalam menghampiri Kirin dan Ismail secara perlahan-lahan. Kelihatan kepulan-kepulan asap hitam mengekori setiap tubuh mereka apabila mereka bergerak. Beberapa makhluk lagi masuk menuruti makhluk yang pertama. Pergerakan mereka seolah-olah membuat bulatan mengitari Kirin dan Ismail.
Jumlah mereka terlalu banyak untuk ruangan dalam rumah yang bersaiz sederhana besar. Anehnya, pandangan mata mereka hanya tertumpu pada Ismail. Kirin yang memeluk tubuh Ismail dengan erat tiba-tiba terlambung ke dinding seolah-olah ada tangan ghaib yang merentap kasar tubuhnya. Kirin mengerang kesakitan. Ismail menjadi semakin kecut perut. Inilah akibatnya apabila tidak mendengar arahan dari Athelia. Rasa kesal mula menyelubungi diri. Wajahnya pucat lesi. Titis-titis jernih mula terbit dari dahi. Jantungnya berdetak pantas. Makhluk menyeramkan ini memerhatikan reaksinya sahaja tanpa berkalih. Makhluk yang berselubung hitam penuh dari kepala dan terapung-apung itu seolah-olah semakin merapati Ismail dan mengepungnya. Matanya yang berwarna putih bercampur kelabu itu semakin membesar.
“Ismail! Lari!” Kirin cuba berteriak namun tidak terdaya. Kesakitan yang mencengkam tulang belakangnya terasa perit dan pedih.
Secara tiba-tiba, salah satu makhluk berselubung hitam itu menerkam Ismail dan membaluti tubuh Ismail sehingga Ismail lemas dalam ikatan kain hitam berbau hamis itu. Akhirnya, Ismail tidak sedarkan diri.
‘Ismail!!” Kirin menjadi kaget. Ismail diselubungi oleh salah satu makhluk berselubung hitam itu. Makhluk itu tidak ubah seperti hantu yang bergentayangan. Bezanya cuma kain yang menyelubunginya berwarna hitam pekat dan kelihatan kepulan-kepulan asap hitam mengekori setiap satu daripadanya.
Apabila dapat apa yang dihajati, makhluk-makhluk berselubung hitam itu keluar dari kediaman itu dan terbang menjauh ke angkasa. Kirin cuba mengejar namun tidak berdaya. Dia hanya berlari anak keluar dari kediaman melangoi pandangan ke arah makhluk yang terbang itu semakin menjauh.Kesakitan yang dialami olehnya membejatkan pergerakan. Kirin terkejut bukan kepalang melihat makhluk yang berterbangan itu.
Kelihatan ruangan angkasa seolah-olah penuh dengan makhluk berselubung hitam itu. Jumlah mereka terlalu banyak sehingga memenuhi ruang angkasa pada malam itu. Ditambah pula setiap satu daripadanya diekori oleh kepulan-kepulan asap hitam yang berbau hamis. Jumlahnya dianggarkan beribu-ribu makhluk itu berada di angkasa sedang terbang menjauhi kediaman bangsa Yaneko ini.
“Kirin!!” Athelia mendapatkan Kirin yang hampir jatuh terjelepuk. Athelia menahan tubuh Kirin. Mata Kirin bergenang dengan air mata. Ismail telah dibawa pergi di hadapan matanya namun dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.Hanya sekadar menjadi pemerhati yang dungu. Air jernih itu mengalir deras di pipinya. Esakan tangin Kirin semakin melebat. Athelia sekadar memeluk tubuh Kirin cuba untuk mententeramkan jiwa Kirin. Beberapa bangsa Yaneko menghampiri mereka berdua sambil memegang busur panah.
Athelia termenung menghadap angkasa raya yang gelap gelita. Kirin sudah dibawa ke kediamannya untuk proses pemulihan. Anak mata Athelia yang berbinar memandang tepat ke arah perjalanan makhluk berselubung hitam walaupun sudah tidak kelihatan lagi.
Akal fikirannya bercelaru bercampur kesal. Dia sudah memberi amaran kepada Ismail dan Kirin supaya tidak melakukan empat perkara apabila makhluk berselubung hitam itu menghampiri. Namun, satu daripadanya dilakukan oleh Ismail iaitu mengintai keluar.
Hakikatnya, Athelia sedar bahawa dia tidak mempunyai hak untuk melindungi Ismail kali ini namun demi menjaga amanat dari Fared supaya menjaga Ismail dan Kirin, dia terpaksa melakukannya. Athelia dilanda resah dan kesal yang teramat. Perasaan sedih juga menyelubungi jiwanya ketika ini. Tanpa sedar, air jernih mula bertakung di takungan kelopak matanya. Terbit rasa sayu dan sedih. Simpati ke atas kedua sahabatnya kini iaitu Fared dan Kirin. Ismail telah dibawa pergi dan tiada sesiapa pun dari dunia ini mampu untuk mengambilnya kembali.
“Maafkan aku, Fared. Ismail telah dibawa pulang.” Suara Athelia kedengaran tersekat-sekat direngkongan dan tertahan-tahan. Sedu menahan tangis cuba dikawal sebaik mungkin namun gagal. Air matanya tumpah jua.
82Please respect copyright.PENANAz4MNB29iw9
>>bersambung Server 50
ns 15.158.61.17da2