Letrai Bay, La Brecha, HyperServ
Suasana tenang pada malam itu tidak melambangkan isi hati masing-masing terutama pada mereka yang terlibat di dalam medan pertempuran. Peperangan suatu ketika dahulu menggamit memori dan kenangan yang terlalu pahit untuk ditelan namun jika diluahkan pastinya sejarah itu sendiri tidak diambil ikhtibar dari kisah sebalik kejadian.
Kapten Zayyan berdiri di tengah-tengah gelanggang tempur yang menyaksikan dua pertempuran sengit baru-baru ini. Sebelum kehadiran Yazaid dan sahabat-sahabatnya yang lain, gelanggang ini digunakan oleh pasukan AST untuk melatih fizikal, mental dan teknik dalaman yang mereka pelajari.
Kapten Zayyan menyoroti pandangan matanya mengitari kawasan. Beberapa struktur bangunan yang runtuh dan rosak sedang dibaik pulih oleh pakar-pakar binaan dari kalangan mereka. Gelanggang pula mengalami kerosakan hampir separuh dari kawasan keseluruhan gelanggang akibat ledakan kuasa dari Yazaid tempoh hari. Jika Kapten Zayyan tidak menghentikan teknik Yazaid tempoh hari, pastinya keseluruhan kawasan itu akan musnah sama sekali. Teknik yang dilepaskan oleh Yazaid itu bukanlah calang-calang teknik melainkan ianya adalah teknik ledakan gergasi atau bigbang. Ia direka bertujuan untuk membunuh musuh yang mengerumuni dalam jumlah yang terlalu banyak dan sukar untuk dikawal. Namun teknik itu mempunyai kesan sampingan yang agak dahsyat.
‘Dari mana dia pelajari teknik tu? Itu teknik rahsia. Mungkin Yazaid pelajari secara sembunyi dari arkib?’ Kapten Zayyan membuat andaian berdasarkan situasi semasa. Dia telah mengarahkan pecahan kumpulan Yazaid berserta pasukan AST bersiap-sedia untuk melanjutkan misi mereka sebelum bangsa pengganas itu terlepas dari kurungannya.
Malam semakin dingin. Embun dan hawa sejuk terasa mencucuk sehingga ke tulang-belulang. Namun ianya adalah perkara biasa bagi Kapten Zayyan. Banyak perkara yang telah dia lalui sepanjang mengharungi liku dalam kehidupan. Meskipun Hyperserv hanya sebuah dunia di alam digital dan ianya binaan manusia itu sendiri namun penciptaan dunia itu sendiri berasaskan konsep dunia manusia. Makhluk yang wujud di dunia itu juga mempunyai kitaran kehidupan tersendiri. Bezanya cuma dari segi fizikal dan rupa bentuknya sahaja yang tidak boleh ditemui di dunia manusia.
Ketika Kapten Zayyan hanyut dalam lamunannya sendiri, dia terasa seolah-olah sedang diperhatikan namun tiada satu kelibat pun yang berada disitu.Seolah-olah mata-mata yang memerhatikannya itu bersembunyi dari balik kegelapan malam sebagai bayangan yang hitam.
“Keluar kamu. Usah kamu bersembunyi lagaknya anak kecil.Bukan aku tidak tahu akan kehadiran kamu disini.” Gerak hati Kapten Zayyan lebih tajam jika mahu dibandingkan dengan mata kasar. Usai sahaja ungkapan itu dilafazkan, satu bayangan hitam muncul dari balik semak-samun tidak jauh dari tempat Kapten Zayyan berdiri lalu membentuk menjadi satu susuk tubuh.
“Zayyan! Seperti yang aku duga sebagai lagenda, kau mampu menghidu kehadiran aku walaupun aku bersembunyi dan mengawal aura aku dari terhidu. Kau masih hebat, Zayyan.” Vanblood memunculkan dirinya berhadapan dengan seorang lagenda perang menentang Valkazar suatu ketika dahulu.
“Kau pun apa kurangnya. Sangat licik untuk bersembunyi sehingga langsung tidak ditemui selepas tamat peperangan Valkazar berdekad yang lalu. Baru hari ini kau muncul. Kenapa? Kuasa penyembunyian kau sudah hilang?” Kapten Zayyan langsung tidak gentar berhadapan dengan bangsa Vampire itu. Anak matanya galak memerhatikan susuk tubuh Vanblood yang seakan-akan kabur.Sesekali ianya menjadi kabur dan kemudian muncul dengan jelas semula. Tubuhnya seolah-olah berubah menjadi halimunan dalam sekelip mata. Dia tahu bahawa itu bukan tubuhnya yang sebenar melainkan ianya hanyalah ilusi semata-mata. Ternyata bangsa ini sememangnya pengecut untuk bersemuka secara terang-terangan.
“Hahaha..jangan begitu, Zayyan. Aku terlalu mengagumi kehandalan kau di masa lalu. Dan aku percaya, kau masih ampuh dan sukar untuk terkalahkan.” Vanblood menapak perlahan mengelilingi Kapten Zayyan yang berada di tengah-tengah. Kapten Zayyan hanya mendiamkan diri.
“Tetapi sayang... keampuhan kau dirugikan hanya dengan... menetap di tempat ini sahaja. Tiada kemajuan sama sekali. Tiada pencapaian yang kau capai. Tiada harta yang hendak kau banggakan. Tiada kuasa yang hebat untuk kau perkatakan. Kau hanya mematikan kelebihan kau setakat ini sahaja.” Vanblood sengaja memprovok Kapten Zayyan yang ternyata lebih ampuh darinya namun sikap angkuhnya itu jika melampaui batas pasti akan memakan dirinya sendiri. Selaras dengan prinsip orang terdahulu, yang angkuh dan bongkak itu semestinya menjadi tamak dan akan rugi akhirnya.
“Apa perkhabaran kau bawa untuk aku malam ini, Vanblood. Jika kau tiada apa-apa urusan, jangan kau mampir ke mari sama sekali. Kelak tubuh kau akan bersemadi.Aku tahu dimana jasad kau yang sebenar tersembunyi. Aku bukan anak kecil untuk kau permainkan. Terangkan pada aku. Apa kau mahu?” Kapten Zayyan menjeling tajam ke satu arah yang agak jauh dari lokasinya yang terletak di atas gunung yang terbelah akibat ledakan Yazaid tempoh hari. Ternyata dia dapat menghidu lokasi sebenar tubuh Vanblood yang sering bermain muslihat. Wajah Vanblood berubah menyerigai namun dia tidak berhasrat untuk menyerang. Dia tahu hasilnya pasti dia yang akan terkubur. Dia mempunyai perancangannya tersendiri.
Tidak semena-mena, jasad Vanblood yang berada bersebelahan dengan Kapten Zayyan memudar dan mula menghilang. Nun dikejauhan di atas gunung, terlihat satu susuk bayang hilang terbang melayang ke udara dan menuju pantas ke arah Kapten Zayyan namun kapten langsung tidak berganjak malah menunggu dengan bersiaga.
Bayang hitam itu mendarat berhadapan dengan Kapten Zayyan dan membentuk sekujur tubuh. Vanblood memunculkan dirinya. Dia menapak perlahan ke arah Kapten Zayyan dengan wajah yang sinis.
“Hebat! Kau masih hebat, Zayyan. Mampu meneka lokasi aku bersembunyi dengan tepat. Kau cukup hebat.” Vanblood memuji Kapten Zayyan dengan melambung tinggi. Siapa yang tidak mengharapkan pujian dan sanjungan. Dengan pangkat dan kuasa, sesiapa pun mampu menjadi buta pada hati dan sekali gus membutakan tindakan.
“Aku bukannya anak kecil yang boleh kau permainkan, Vanblood. Setiap kali kedatangan kau tidak pernah sekali pun terselit niat yang baik. Bukannya aku tidak mengenali susur galur bangsa kau.” Kapten Zayyan bersahaja dalam berkata-kata namun terselit sedikit sindiran kepada Vanblood.
“Oh, jika begitu, kau meragui kehadiran aku malam ini? Zayyan, kau sudah lama mengenali aku. Aku datang malam ini dengan hati yang tulus ikhlas. Tanpa berniat apa-apa.” Vanblood tergelak halus menderam-deram.
“Sudahlah, Vanblood. Jangan kau buang masa kau disini. Pulang ke tempat asal kau. Atau, kau mahu aku yang menghantar kau pulang? Aku bimbang jika aku yang menghantar kau pulang kelak kau tidak boleh kembali.” Kapten Zayyan memberi amaran keras dalam nada yang rendah. Terbit aura yang menggentarkan musuhnya dari seluruh tubuh Kapten Zayyan. Apabila Vanblood menyedari terbitnya aura pembunuh itu, dia lebih berhati-hati.Anak matanya tidak terlepas dari memandang ke arah Kapten Zayyan. Bimbang nyawanya melayang sebelum sempat dia menyedarinya. Kapten Zayyan bukan calang-calang individu yang boleh diperkecilkan keupayaannya.
“Aku ke sini untuk bertemu kau, Zayyan. Aku sekadar menjenguk sahabat lama. Apa mungkin masih bernyawa atau sudah tidak berjasad. Atau mungkin bernyawa tetapi..sekadar mayat hidup.” Dalam kegentaran, sempat juga Vanblood melepaskan amarahnya menggunakan pendekatan secara sindiran.
“Baik... baik. Aku akan pergi dari sini, Zayyan. Tetapi ingin aku mengingatkan! Kemaraan bangsa Valkazar mula menguasai permukaan dunia ini. Kali ini, jauh lebih ampuh. Jauh lebih berkuasa dari dahulu. Kali ini, kau harus melutut. Tanpa Rayfall, kau bukan siapa-siapa! Mahu atau tidak, kau perlu menerima kekalahan kau, Zayyan. Valkazar bakal menjadi bangsa teragung sepanjang zaman. Aku! Aku sendiri akan memastikannya, Zayyan.” Itu amaran terakhir Vanblood sebelum tubuhnya melesap ditelan kegelapan malam tanpa diketahui kemana arah tujunya. Kapten Zayyan tidak pula mengejarnya malahan dia bermenung panjang. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa hari yang paling ditakutinya telah pun tiba. Bangsa Valkazar telah menembusi perisai dinding yang memisahkan dunia mereka dengan dunia luar. Dan kini, bangsa pemusnah itu sudah pun naik ke permukaan dunia ini. Kapten Zayyan amat mengenali bangsa bedebah itu. Mereka akan memusnahkan apa sahaja yang berada di laluan mereka. Mereka akan membunuh apa sahaja yang bernyawa dihadapan mereka dan semua yang mereka temui tanpa belas ihsan.
Malam masih panjang. Pasukan-pasukannya masih berisitirehat pada waktu begini demi meraih kudrat untuk menempuhi perjalanan yang sangat jauh bermula pada keesokan harinya. Kapten Zayyan tidak berhasrat untuk mengejutkan mereka. Dia akan mengumumkannya pada keesokan pagi. Hatinya semakin resah. Genderang di dalam dada kirinya terasa bergegar dan berentak irama paluang perang seiring dengan situasi semasa ketika ini. Terlepasnya bangsa Valkazar bermakna perang! Perang yang akan memakan nyawa yang tidak terkira jumlahnya. Di dalam konsep peperangan, kekuatan dan strategi adalah segala-galanya. Silap perangkaan, maut menjelma.
Sepanjang malam, Kapten Zayyan tidak dapat melelapkan matanya. Dia lebih banyak bermenung menyaksikan keindahan suasana malam berlalu begitu sahaja disamping akalnya ligat memikirkan pelbagai strategi peperangan.Sesekali jalur memorinya mengimbau kembali kenangan-kenangan masa lalu. Seakan-akan paparan layar putih yang menayangkan setiap bibit-bibit peristiwa yang pernah dilaluinya.
Tanpa dia menyedarinya, nun dikejauhan muncul jaluran putih menandakan fajar. Peralihan waktu tidak terasa baginya. Dia lebih melayan perasaannya sendiri. Meskipun telah meninggalkan dunia peperangan bertahun-tahun lamanya namun kudratnya masih utuh dan kekuatannya masih ampuh. Ianya berbeza dengan manusia biasa yang pastinya akan susut dimamah usia mengikut peredaran waktu. Bangsanya adalah sebahagian daripada program utama di dalam dunia Hyperserv ini. Oleh itu, guliran waktu tidak akan memberi apa-apa kesan ke atas kudratnya termasuk tubuhnya berbeza dengan bangsa-bangsa yang lain. Bangsa Letrazie diberikan keistimewaan itu langsung daripada Rayfall sendiri. Bangsa-bangsa yang lainnya akan terjejas mengikut guliran waktu.
“Ayah.” Satu suara menyapanya dari belakang. Kapten Zayyan menoleh sekilas. Elsa menapak mendapatkan ayahnya. Dia seolah-olah dapat menghidu kegusaran yang melanda hati ayahnya pada ketika ini.
“Elsa, kamu ada apa-apa tugasan sekarang?” Kapten Zayyan bertanya satu soalan yang menambahkan lagi kebimbangan di dalam hati Elsa. Dengan perlahan Elsa menggelengkan kepalanya. Dia pasti ada sesuatu yang menggugah hati ayahnya.
“Elsa... Kalau ayah dah tak ada nanti, ayah mahu kamu menggantikan tempat ayah untuk mengetuai bangsa kita.” Nada suara Kapten Zayyan kedengaran seakan-akan menahan sebak. Elsa mendakap ayahnya dengan penuh kasih sayang sebagai anak tunggalnya.
“Ayah... jangan cakap macam tu. Elsa sentiasa ada untuk melindungi ayah. Ayah pun pasti akan sentiasa ada untuk melindungi Elsa juga, kan?” Suara Elsa menahan sebak yang tertahan-tahan. Takungan matanya mula bergenang. Dia amat mengenali ayahnya. Kapten Zayyan merupakan pahlawan lagenda dunia Hyperserv ini. Tiada apa yang dapat menggugah hatinya. Tiada apa yang pernah menggentarkannya namun pada pagi ini dia sendiri tidak tahu puncanya. Ayahnya seakan-akan hilang keupayaan untuk bertahan. Seolah-olah memendam sesuatu yang tidak terluah dek kata-kata dalam tempoh yang sangat panjang.
“Ayah tidak akan selalunya ada untuk kamu, Elsa. Begitu juga dengan ibu kamu dahulu. Dia meninggalkan kita hanya kerana untuk mempertahankan kita. Demi kelangsungan hidup kita. Ayah pernah berjanji untuk terus bersama kamu, melindungi kamu sebaik mungkin. Selama yang mungkin. Ayah tidak akan sekali-kali memungkiri janji itu namun janji itu akan terlerai jika...nyawa ayah bercerai dari badan.” Kapten Zayyan menahan sebak apabila teringatkan isterinya yang telah pergi terlebih dahulu meninggalkannya di dalam peperangan suatu ketika dahulu. Pemergian isterinya juga dirahsiakan daripada pengetahuan Elsa dan anak gadisnya itu langsung tidak pernah mendesak untuk mengetahui perkara itu. Dia amat menghormati ayahnya sekali gus menghormati keputusannya.
“Ayah.. jangan cakap macam tu lagi. Kita akan menghalang bangsa Valkazar dari terlepas habis-habisan. Hingga ke titisan darah terakhir. Ayah jangan risau.” Elsa cuba menenangkan kegalauan hati ayahnya. Sekilas Kapten Zayyan memandang anak gadisnya. Elsa terkedu. Dalam seumur hidupnya, dia tidak pernah sekali pun melihat matanya ayahnya bergenang sebegini. Hambatan perasaan ayahnya kali ini terlalu kuat sehingga menumpahkan titisan jernih lelaki yang amat mahal. Ini kali pertama dia melihatnya.
“Valkazar... sudah terlepas dari kurungan. Mereka sudah berada di sini. Berada di permukaan.” Kapten Zayyan melontarkan pandangan jauh yang tidak terjangkau. Elsa terkedu hilang kata-kata. Jantungnya berderau. Wajahnya mula berkeringat. Baru dia mengerti mengapa ayahnya berperangai aneh pada pagi ini. Rupa-rupanya dia telah mendapat perkhabaran perang terlebih dahulu. Mungkin kerana terhambat dengan jaluran memori suatu ketika dahulu. Memori yang terlalu pahit untuk ditelan dan sayang untuk diluahkan.
Kedua-duanya terkedu diam tidak terkata. Sayup-sayup dari kejauhan, kedengaran burung-burung menyanyikan irama lagu berbahasa mereka tersendiri namun sayang. Ianya tidak akan bertahan lama. Suasana itu akan bertukar menjadi sunyi sepi tanpa irama dan lagu bahasa haiwan yang menenangkan itu.
165Please respect copyright.PENANAVMc1oNwQEp
>>Bersambung Server 60
ns 15.158.61.44da2