Newich (Pintu barat), HyperServ
Keadaan perhutanan disini sedikit berbeza dengan perhutanan di permukiman yang lainnya. Perhutanan di permukiman lain bergeografi biasa dan tiada gunung-ganang yang tinggi melampai. Berbanding di kawasan pintu barat ini dimana lokasinya dikelilingi oleh gunung-ganang yang tinggi melampai yang berada di mana-mana. Bahkan, pintu barat ini juga berada di puncak sebuah gunung yang sangat tinggi. Alangkan siang pun, kedinginan tiupan bayu mampu mencucuk sehingga ke tulang-belulang, inikan pula malam hari menjengah.
Kelihatan sekumpulan bangsa Yaneko cekap dan lincah melompat dari pokok ke pokok menuju ke arah puncak gunung itu. Matlamat mereka hanyalah untuk menjagai pintu barat yang dipercayai akan diekploitasi oleh bangsa Valkazar untuk berpindah ke dunia manusia jika tidak diawasi. Kumpulan bangsa Yaneko yang dikepalai oleh Athelia ini berjumlah sangat ramai. Ianya merupakan barisan ketenteraan di bawah kepimpinan Athelia yang terkuat di Hyperserv. Bangsa Yaneko juga merupakan salah satu daripada gugusan ketenteraan yang diasaskan sendiri oleh Rayfall. Tidak peliklah jika barisan ketenteraan bangsa ini sangat cekap dan handal di dalam medan pertempuran terutamanya sekali di dalam hutan belantara. Pergerakan mereka umpama bayang-bayang. Hanya bunyi desiran angin sahaja yang ditinggalkan namun kelibat jasad mereka tidak kelihatan sama sekali. Pergerakan setiap seorang dari mereka terlalu pantas untuk diekori dengan mata kasar. Pengamatan yang sangat tinggi diperlukan untuk menjejaki pergerakan mereka terutamanya Athelia.
Gerombolan mereka tiba di lokasi yang ditujui. Suasana gelap malam yang pekat dan kedinginan hawa sejuk menjadi asam garam di pergunungan ini. Lokasi pintu barat itu terletak betul-betul di atas puncak gunung yang tinggi. Athelia menempatkan dirinya di atas dahan sebatang pokok yang melampai tinggi. Dia hanya bertinggir di atas dahan itu. Busur panah miliknya langsung tidak dilepaskan dari membidik. Mata panah yang disepuh racun itu sesekali membiaskan cahaya rembulan. Biasan cahaya dari mata panah itu sekali pandang sangat indah dan cantik. Ianya umpama kunang-kunang yang mengitari persekitaran pada waktu malam. Sangat indah untuk dipandang namun tanpa diketahui oleh musuh bahawasanya kelipan cahaya ‘kunang-kunang’ itu adalah sebenarnya biasan cahaya rembulan yang terbias oleh mata panah setiap seorang bangsa Yaneko yang bertinggir di atas dahan pokok. Jumlah mereka yang ramai bertinggir di atas dahan pokok-pokok di situ menjadikan biasan cahaya kecil itu umpama ‘kunang-kunang’ yang berterbangan.
Athelia mendiamkan diri sambil mencampakkan pandangannya jauh ke satu arah. Tidak jauh dari lokasi mereka, ianya sebuah hamparan platform batu yang retak merekah bersaiz seluas padang bola sepak. Tapak platform batu itu diperbuat daripada batu-batuan yang mampu menyala dalam gelap. Ia menjadi platform itu seolah-olah bercahaya. Tanpa bunyi dan suara, salah sorang wirawati bangsa Yaneko mendarat bersebelahan Athelia.
“Athelia, dimana Estrella? Dia tidak menyertai kita?” Soal salah seorang wirawati Yaneko itu. Athelia menarik nafas halus.
“Biarkan mereka. Estrella bukan anak-anak kecil lagi. Dia tahu menjaga dirinya.” Athelia lebih bersifat terbuka dan tidak membawa masalah peribadi ke medan tempur.
“Tapi Athelia, dia dibawa oleh lelaki tu ke satu tempat yang kita sendiri tak ketahui. Mungkin...lelaki tu berniat tidak baik...Aku risaukan Estrella.” Pernafasannya tertahan-tahan seakan menahan beban. Athelia menoleh sekilas.
“Shae, kau percayakan aku?” Soal ringkas dari Athelia. Gadis bernama Shae itu menganggukkan kepalanya.
“Jika kau percayakan aku, kau harus percayakan Estrella.” Athelia melontar pandangannya ke pintu barat itu semula. Jauh disudut hatinya, dia sebenarnya sungguh tidak mempercayai akan keupayaan Estrella. Dia melatih Estrella bertahun-tahun malahan sejak dari mula lagi. Estrella langsung tidak mampu memanah. Tidak mampu sama sekali.
‘Kau takkan mampu melatih Estrella, Fared. Dia adalah bangsa Yaneko yang berbeza keupayaannya dari kami. Dia tidak mampu memanah sejak azali. Kau takkan mampu mengubah siapa diri Estrella, Fared.’ Gumam Athelia sendirian di dalam hatinya. Dahinya berkerut seribu. Meskipun dia tidak menyenangi akan Estrella sebagai pengikut kanannya namun latihan yang bertahun-tahun lamanya membuatkan hatinya ada sekelumit rasa mengambil berat tentang Estrella. Bahkan dia juga risaukan tentang keselamatan Estrella cuma egonya terlalu tinggi untuk memperakuinya.
Tidak semena-mena, anak telinga Athelia menangkap bunyi sahutan burung. Nun jauh sayup-sayup kedengaran. Athelia menoleh sekilas. Dia sangat mengenali intonasi bunyi kicauan burung itu. Dengan isyarat tangan, Athelia mengarahkan Shae dan pasukannya yang lain bersedia. Sekelip mata tanpa bunyi, Shae hilang dari pandangan. Athelia hanya mendiamkan diri. Bunyi kicauan burung itu sebenarnya bukanlah kicauan burung yang sebenar tetapi ianya sebenarnya adalah bunyian yang dihasilkan oleh bangsa Yaneko sendiri dengan meniru bunyi kicauan burung. Bahkan ianya diubahsuai intonasi dan nadanya untuk menyampaikan mesej-mesej tertentu kepada pasukannya yang lain seperti kemaraan bahaya, bersedia dengan sebarang kebarangkalian, serang, bersedia untuk menyerang dan sebagainya. Ianya intonasi berbentuk kod rahsia yang hanya dapat dicam oleh bangsa Yaneko sahaja.
Setelah agak lama membungkam, dahan tempat Athelia bertinggir terasa bergegar. Semakin lama semakin kuat gegarannya namun gegarannya tidak sekata. Nun dikejauhan, kedengaran semak-samun dan pokok-pokok renek dirempuh kasar oleh ‘sesuatu’ yang berjalan dalam gelap.
Bunyi suara deraman, geseran besi dan seretan benda yang berat di tanah memecahkan kesunyian malam di belantara itu. Pasukan bangsa Valkazar mula menghampiri menuju ke pintu barat yang dijagai oleh Athelia. Bangsa Valkazar ini langsung tidak menyedari keberadaan bangsa Yaneko yang bertinggir di atas dahan pokok. Ditambah pula dengan kepekatan malam menyembunyikan lagi keberadaan mereka. Bangsa buas ini berjalan dengan wajah yang menyinga dan menyerigai. Liur mereka berjejeran. Sesekali mereka bertempik sesama mereka. Berbekalkan beberapa batang jamung yang dibawa oleh mereka hanya mampu menerangi sekelompok kawasan sekitar yang mereka lalui sahaja. Itu pun hanya beberapa sahaja yang dipegang oleh mereka. Ini memberikan kelebihan pada bangsa Yaneko yang semestinya mempunyai penglihatan yang tajam terutama pada waktu malam. Mereka mampu bergerak dalam gelap meskipun tanpa sumber pencahayaan yang cukup.
Apabila jarak gerombolan Valkazar memasuki sempadan penjagaan Athelia, gadis itu memberikan isyarat ‘serang’ kepada ahli pasukannya yang lain dengan hanya bunyi siulan burung. Dalam sekelip mata, hujan anak panah menujah ke sasaran. Bertempik gempitalah bangsa-bangsa Valkazar di bawah sana.
Setiap kali panah dilepaskan, mereka akan melompat ke dahan yang lain dan berpindah-pindah lokasi persembunyian. Teknik ini untuk mengelakkan diri mereka dari dikesan tempat kedudukan serangannya. Setiap pergerakan bangsa Yaneko ini hanya meninggalkan bunyi desiran angin sahaja tanpa kelibat. Pergerakan mereka terlalu pantas.
Bangsa Valkazar yang berjumlah ratusan itu terjerit bergegak-gempita. Banyak dikalangan mereka gugur apabila panah menembusi jantung mereka dan sejumlah besar dari mereka bertempiaran mencari perlindungan dan ada juga yang mengangkat senjata namun menyembah bumi apabila jantung mereka ditebak sehingga tembus.
Riuh-rendah di daratan namun tangkasnya bangsa Yaneko tidak tersasar sasarannya menebak musuh dalam gelap. Athelia tidak ketinggalan dalam membidik musuh. Bidikan panahnya sesekali menembusi dua bangsa Valkazar serentak. Athelia tersenyum bangga. Jika berterusan begini, bangsa Valkazar yang mara ke daerah ini pasti akan dihabisi oleh bangsa Yaneko yang berkelebihan di dalam pergerakan yang pantas dalam gelap.
Tidak semena-mena, satu dentuman yang mengegarkan gegendang telinga berdentum keras. Ledakan api meruak ke udara seumpama letusan bom. Terdengar juga bunyi kibasan sayap dalam jumlah yang agak banyak. Athelia terkejut bukan kepalang. Anak matanya dipincingkan ke arah gerombolan belakang bangsa Valkazar. Mengenal pasti penyasar serangan itu.
Kelihatan berbondong-bondong bangsa Valkazar yang mempunyai pelbagai kelebihan bukan fizikal mula mara ke hadapan. Ada di antara mereka yang mempunyai sayap dan mampu untuk terbang ke udara. Ada di antara mereka juga mampu mengeluarkan api dari setiap anggota tubuh mereka. Ada juga yang mampu membuatkan apa sahaja yang di pegang olehnya menjadi bom. Letupan itu datangnya dari salah satu bangsa Valkazar yang berkebolehan menukar apa sahaja yang disentuh olehnya menjadi bom walaupun hanya memegang ranting kayu sahaja pun, ia mampu meletuskan letupan yang sangat kuat apabila dilemparkan ke arah musuh. Aneh-aneh sahaja kelebihan bangsa Valkazar ini pada mata Athelia namun ianya mampu meragut nyawanya serta-merta jika terleka.
Jeritan demi jeritan kedengaran memecah kesunyian malam di daerah itu. Ngauman buas bangsa Valkazar yang rakus meragut nyawa mana-mana bangsa Yaneko yang terjatuh ke tanah. Ketangkasan sebahagian bangsa Valkazar pada gerombolan belakang juga tidak boleh dipandang enteng. Bangsa Valkazar yang mengepalai barisan hadapan hanya sekadar pembuka laluan untuk mereka namun tentera-tenteranya berada di bahagian belakang lebih merbahaya. Kini mereka bertukar tempat. Gerombolan tentera Valkazar dibahagian belakang mula bergerak ke hadapan untuk bertempur dengan bangsa Yaneko yang pada mulanya terasa mendahului peperangan.
Athelia melepaskan keluhan kasar. Ramai dikalangan bangsa Yaneko tumpas satu demi satu. Sebilangan besar bangsa Valkazar yang berkeupayaan untuk terbang tangkas menujah musuhnya untuk jatuh ke tanah lantas dirobek seluruh tubuhnya. Tujahan panah bangsa Yaneko seakan tersasar dari sasaran yang jauh lebih licik. Athelia melompat dari dahan ke dahan sambil membidik panah ke arah musuh yang kelihatan. Tiada satu pun musuhnya yang terkena bidikan Athelia mampu hidup. Semua tetap ke jantung dan maut. Ahli pasukan pimpinan Athelia gugur satu per satu. Empat bangsa Yaneko gugur bersamaan satu bangsa Valkazar gugur. Itulah nisbah yang dianggarkan secara congak oleh Athelia. Dia menganalisis corak peperangan kali ini. Kelebihan pada bangsa Valkazar jauh lebih besar.
Dalam kekalutan sebegitu, kelihatan beberapa bangsa Valkazar yang bertubuh lebih besar dan lebih kekar mengegarkan dahan pokok sehingga berguguran bangsa Yaneko yang bertinggir di atasnya. Pantang terjejak kaki ke tanah. Pasti lunyai dikerjakan bangsa Valkazar yang buas. Jumlah bangsa Yaneko semakin mengecil. Athelia berteriak keras. Mengarahkan ahli pasukannya yang lain berkumpul setempat namun tidak berkumpul sekelompok. Tanpa lengah, pasukan Athelia hanya menurut arahan. Dalam tempoh masa singkat, mereka berkumpul setempat dengan bertinggir di atas dahan namun jarak di antara mereka tidak terlalu jauh dan tidak terlalu dekat setiap seorang. Masing-masing tidak berhenti dari membidik musuk.
“Awas! Hati-hati dengan yang bertubuh kekar tu! Jika pokok bertinggir cuba digegarkan, pindah ke dahan pokok yang lain. Jangan leka!” Athelia melaung separuh kuat. Bidikan anak panah bangsa Yaneko menghujani bangsa Valkazar yang berada di bawah. Pasukan tentera bangsa Valkazar kali ini agar sukar untuk ditumbangkan. Tubuh mereka lengkap berpakaian perisai besi menyukarkan lagi tebakan panah Yaneko. Serangan bertali arus. Permukaan tanah disimbahi darah bangsa Valkazar yang pelbagai warna.
Bangsa Valkazar yang berterbangan semakin agresif. Tujahan mereka kali ini tidak lagi menyasarkan pada batang tubuh tentera Yaneko kerana kelibat mereka semakin sukar dilihat tetapi lebih kepada tujahan pada dahan pokok. Gegaran yang kuat akibat tujahan itu membuatkan tubuh tentera Yaneko hilang imbangan lalu terjelepuk ke tanah. Disitulah nyawa mereka akan diragut sebuas-buasnya.
Athelia bertinggir di atas dahan pokok yang lebih besar dan lebih kukuh. Tujahan demi tujahan pada pokok itu namun Athelia cekap mengimbangkan tubuhnya. Gegarannya pun tidak sekuat pokok yang lain. Athelia perlu waspada kerana dia merupakan pucuk kepimpinan bangsanya. Jika dia mati di medan pertempuran, semangat pasukan tenteranya yang lain akan mula luntur dan akhirnya tewas di dalam peperangan. Itu menandakan bangsa Yaneko menghampiri kegagalan. Athelia tidak membenarkan itu berlaku sama sekali.
Salah satu daripada bangsa Valkazar mula menjerit. Ngauman suaranya sahaja berdengung dan bergaung-gaung hasil pantulan bunyi diantara gunung-gunung disini. Gegaran kuat terasa. Athelia terasa telinganya bingit dan berdesing. Fokusnya terganggu.
Tidak semena-mena, satu bunyi desiran angin hasil geseran besi dan angin tertangkap oleh gegendang telinga Athelia. Gadis itu menoleh pantas ke arah bunyi itu. Satu tujahan tombak pantas membelah angin. Nasib menyebelahi Athelia. Dia merundukkan tubuhnya menyebabkan tujahan tombak itu tersasar mengena pada dahan pokok namun tembus ke belakang. Athelia menoleh sekilas. Dahinya berkerut seribu dan berkeringat dingin. Jika tujahan itu terkena tubuhnya, maut sudah semestinya.
Anak matanya ligat mencari si pelancar serangan dan akhirnya ketemu. Kelihatan susuk tubuh kekar bangsa Valkazar yang tersembunyi di antara semak-samun dan pokok-pokok sedang bersiaga untuk melancarkan tujahan tombak yang seterusnya.
Tanpa lengah, Athelia melompat jauh ke dahan pokok yang lain untuk membidik penyerang itu dalam jarak yang lebih dekat. Ini kerana tentera Valkazar yang berterbangan itu tidak lepas menujah dahan pokok menyebabkannya sukar untuk membidik sasaran ketika ini. Sesampai ke dahan yang hendak ditujui, Athelia menarik tali busur panahnya dan membidik tepat ke dahi si penyerang itu lalu dilepaskan. Deruan pantas geseran antara besi dan angin mengeluarkan bunyi desingan yang membingitkan. Tanpa diduga, tentera Valkazar bertombak itu tangkas mengelak tujahan panah Athelia dan melepaskan serangan balas tombak ke arah gadis itu. Athelia terkejut bukan kepalang. Dia mengelak tujahan tombak itu.
Ini kali pertama bidikan Athelia tersasar. Beberapa ahli pasukan Athelia juga terlihat kejadian itu dan mereka juga terkejut bukan kepalang. Mereka mengetahui bahawa tidak ada satu makhluk pun terlepas dari bidikan Athelia sebelum ini. Inilah kali pertama baginya dan ini juga kali pertama Athelia merasakan perasaan amarah yang teramat.
Bak kata pepatah, terlalu ikutkan hati, matinya merana. Athelia hilang kawalan. Dia melompat terjun ke arah penyerang Valkazar bertombak sambil melepaskan tujahan panah bertalu-talu. Akibatnya, Valkazar bertombak itu maut akibat tebakan panah yang banyak menebak tubuh dan kepalanya. Namun, kesalan mula merasuki jiwa Athelia. Kakinya kini menginjak tanah dan di tanah ini, bangsa Valkazar membuas. Athelia melangoi ke atas. Baru sahaja mahu melonjak semula ke dahan pokok, batang tubuh kecilnya dirempuh kasar oleh Valkazar mengakibatkan tubuhnya terpelanting jauh dan terseret beberapa meter jauhnya. Busurnya terlepas dari genggaman.
“Athelia! Yang lain, lindung Athelia!” Shae menjerit.
Jumlah mereka kini semakin mengecil sedangkan kini jumlah bangsa Valkazar yang diperangi tiga kali ganda dari jumlah mereka. Bukan jumlah bangsa Valkazar bertambah semakin ramai tetapi jumlah tentera Yaneko yang semakin berkurangan akibat ramai yang gugur di medan tempur berdarah ini.
Sebilangan tentera Yaneko melompat terjun ke bawah dan membunuh beberapa makhluk Valkazar yang cuba menerkam Athelia termasuk Shae. Yang lainnya, membidik musuh di tanah dari atas pokok dan dalam masa yang sama mereka juga perlu bertahan di atas dahan pokok dari terjatuh akibat tujahan bangsa Valkazar yang berterbangan. Keadaan dan situasi yang teramat sukar untuk mereka.
“Shae! Lompat semula ke atas. Kita tak mampu bertempur dengan mereka dalam jarak dekat macam ni!” Athelia mempertahankan dirinya dengan sebilah parang panjang yang dibawanya bersama. Hanya digunakan ketika situasi kecemasan tempur jarak dekat sebegini namun tempur jarak dekat bukanlah kemahirannya.
“Kita gempur bersama, Athelia!” Shae mengarahkan salah seorang dari sebilangan mereka yang terjun ke tanah untuk mendapatkan semula busur panah Athelia. Dalam masa yang sama, bidikan panah Shae dan Yaneko yang lainnya tidak pernah berhenti. Hanya Athelia yang menggunakan senjata parang ketika ini.
Tidak semena-mena, bunyi teriakan Yaneko kedengaran. Athelia dan Shae menoleh serentak ke arah bunyi suara itu. Bangsa Yaneko yang diamanahkan untuk mencari busur panah Athelia terkorban dan busur panah Athelia berada di dalam genggaman salah satu bangsa Valkazar. Bangsa Valkazar itu menyerigai lantas mematahkan busur panah Athelia. Liurnya berjejeran.
“Celaka!” Shae melepaskan bidikan panah bertalu-talu ke arah Valkazar yang menerpa ke arah mereka berdua. Satu demi satu bilangan Yaneko yang berada di atas tanah itu maut sehingga hanya tinggal Shae dan Athelia sahaja. Yaneko yang lainnya berada di atas dahan pokok dengan jumlah mereka semakin berkurangan sedikit demi sedikit namun serangan tujahan panah masih bertali arus. Seolah-olah rempuhan Valkazar tidak luak sama sekali. Seolah-olah bilangan mereka semakin bertambah.
Athelia mula terasa mengah. Serangan jarak dekat sebegini terasa memenatkan dan menghakis kudrat perempuannya. Shae berusaha sehabis tenaga untuk melindungi Athelia dari serangan rempuhan Valkazar yang tanpa henti. Mereka berdua langsung tiada peluang untuk melonjak naik ke atas dahan pokok. Athelia beberapa kali dirempuh oleh Valkazar yang terbang setiap kali cuba melonjak naik ke atas.
Buat sekian kalinya, tubuh Athelia dirempuh kasar namun kali ini lebih keras acutannya. Athelia terlambung jauh dan tubuhnya menghentak dahan pokok. Hentaman keras itu membuatkan Athelia terbejat sehingga dia jatuh terjelepuk. Wajahnya dipenuhi tompokan darah. Lukanya teramat parah. Parang panjang masih digenggam erat.
“Aarrhhhhhhhhh!” Jeritan suara yang amat dikenali menujah ke gegendang telinga Athelia. Shae maut. Athelia menyeringai. Dia berusaha bangkit berdiri dengan kakinya menggeletar. Kedua-dua tangannya menggenggam erat parang panjang itu dan diacukan ke arah gerombolan Valkazar yang berlari pantas ke arahnya. Tujahan panah seolah-olah tidak lut pada tubuh mereka. Kebanyakan panah Yaneko patah dan tidak menembusi tubuh Valkazar. Bangsa Yaneko mula lumpuh. Tumbang satu per satu.
Athelia menarik nafas sedalamnya. Dia mengetahui kala ini, dia akan gugur dalam pertempuran. Dia akan bertempur sehingga nyawa yang menunjangi tubuh ini diacut keluar dari jasad. Biar namanya dikenang sebagai wirawati yang mempertahankan Hyperserv dan bangsa ibundanya, Yaneko. Genggaman kejap Athelia tidak terlepas kali ini. Athelia membuka kuda-kuda. Bersedia menghadapi rempuhan gerombolan Valkazar.
“Aaaarrhhhhhhhhhhh!” Athelia meraung sekuat hati. Wajahnya berkeringat bercampur darah. Lukanya membuakkan darah. Kakinya memacu pantas ke arah gerombolan Valkazar yang berjumlah lebih ramai sedang merempuh ke arahnya. Wajah Valkazar menyerigai dengan liur berjejeran. Seolah-olah mereka yang kelaparan melihat hidangan lazat di depan mata. Parang panjang yang digenggam Athelia di angkat melepasi paras kepala. Athelia melompat tinggi untuk menetak sasaran secara rawak. Wajah Valkazar diperhatikan dengan hati yang membengkak. Seolah-olah masa terhenti. Pelbagai jaluran memori bergentayangan di akal Athelia kala ini. Dia tahu, inilah pengakhiran riwayatnya. Jauh di sudut hatinya, dia amat merindui Rayfall. Seorang bangsa manusia dan pengasas Hyperserv suatu ketika dahulu yang menjadikannya bangsa wira di dalam Hyperserv sekali gus Athelia mula jatuh hati pada manusia itu. Jaluran memori itu mengitari akal fikiran Athelia kala ini menyebabkan air jernih mula bertakung di matanya.
Tanpa diduga, Athelia dapat mendaratkan kedua-dua kakinya tanpa dapat disentuh oleh satu pun bangsa Valkazar yang menerjahnya. Athelia kebingungan lantas menoleh kebelakang. Alangkah terkejutnya Athelia apabila mendapati kesemua Valkazar yang menerjahnya seketika tadi maut dan bergelimpangan. Athelia kebingungan.
Jeritan demi jeritan kedengaran. Ngauman dan desahan bergema di sana sini. Bunyi seakan-akan lembu disembelih juga turut kedengaran. Bangsa Valkazar tumbang satu per satu hampir serentak. Valkazar yang berterbangan juga maut dan tubuh mereka jatuh menghempas bumi. Bangsa Yaneko yang lainnya menjadi hairan. Sesekali mereka melihat ke arah Athelia yang juga kebingungan. Tiada satu pun di antara mereka melepaskan anak panah ketika ini namun satu per satu bangsa Valkazar maut hampir serentak.
Jeritan mereka yang bertali arus menandakan jumlah mereka yang terlalu ramai tumbang satu per satu sehingga perhutanan itu menjadi sunyi sepi. Dalam tempoh masa yang sangat singkat, kesemua tentera Valkazar maut hampir serentak. Menambahkan lagi kehairanan Athelia apabila ketika kesemua Valkazar dibunuh oleh ‘sesuatu’, anak telinga Athelia menangkap bunyi berdesing hasil geseran besi dan angin namun tidak kelihatan kelibat panah itu menujah. Athelia tercari-cari namun tidak kedapatan. Akhirnya, perhutanan itu menjadi sepi.
Apabila dipastikan selamat, baki tentera Yaneko mula terjun ke tanah dan menghampiri Athelia dalam bersiaga. Athelia tercegat dan kebingungan melihat persekitaran.
Sesekali kedengaran bunyi berdesing yang berterbangan ke mana-mana arah yang tidak tetap. Bunyi desingan itu hasil geseran besi dan angin. Bunyi yang sangat dikenali oleh bangsa Yaneko ketika melepaskan anak panah di udara. Namun mereka kehairanan apabila bunyi tujahan panah itu seolah-olah mengitari mereka yang berbaki hanya beberapa orang sahaja. Athelia mengerah fikiran. Mana mungkin tujahan panah menjadi sebegitu rupa. Tujahan panah hanya bergerak lurus ke arah sasaran dan tidak mengitari persekitaran seperti ini. ‘Panah terbang? Tak mungkin!’ Gumam Athelia bermonolog sendirian.
Secara tiba-tiba, tujahan panah yang dicari-cari itu pantas menuju ke arah Athelia dari sebalik kegelapan malam. Baki tentera Yaneko lainnya tidak sempat berbuat apa-apa. Athelia terkedu apabila mata panah yang pantas membelah angin itu berhenti betul-betul tepat di dahinya tanpa bilah tajam itu mencalarkan kulitnya dan panah itu terapung-apung seolah-olah dikawal oleh ‘sesuatu’. Athelia menelan liurnya. Dia tidak pernah melihat perkara seperti itu seumur hidupnya. Ini kali pertama dia melihat anak panah bidikan terhenti di udara. Ianya seolah-olah dikawal oleh ‘sesuatu’ yang bersifat ghaib. Athelia dan Yaneko yang lainnya memerhatikan anak panah yang terapung-apung itu mula menjauhi Athelia secara perlahan-lahan. Anak panah yang terapung itu mengeluarkan cahaya kebiruan yang sangat malap.
“Athelia.” Satu suara menyapa Athelia. Serentak bangsa Yaneko lainnya menoleh ke arah suara itu. Serentak itu juga, dua susuk tubuh keluar dari selubungan gelap malam. Hanya menampakkan wajah mereka apabila biasan rembulan menyimbahkan cahayanya. Wajah dua susuk tubuh itu kelihatan. Serentak itu jugalah, anak panah yang terapung itu bergerak pantas ke arah salah satu susuk tubuh itu dan ‘lembaga’ itu menangkap panah itu. Seolah-olah susuk tubuh itu yang mengawalnya. Seolah-olah panah terapung itu dijinakkan olehnya.
“Maafkan aku kerana lewat, Athelia. Jika aku awal sedikit...pasti kawan-kawan kita tak akan....” Belum sempat ayat itu dihabiskan, Athelia pantas berlari dan memeluk tubuh susuk manusia yang amat dikenalinya itu. Air mata rawannya mengalir. Perasaannya bercampur baur di antara sayu, gembira, sedih dan kesemua bersatu menjadi satu rasa yang tidak terungkap.
“Maafkan aku, Estrella... Maafkan aku...” Athelia menangis semahunya. Estrella memeluk tubuh Athelia yang dipenuhi luka dan darah. Fared tersenyum. Bangsa Yaneko yang berbaki menghampiri mereka. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Fared dan Estrella. Jika mereka berdua terlewat sedikit, pasti Athelia sudah bertukar menjadi jasad tidak bernyawa.
155Please respect copyright.PENANAML3d7m3p2y
>>Bersambung Server 69
ns 15.158.61.44da2