SERVER 19
Permukiman Viento,HyperServ
Matahari di bumi Hyperserv semakin merunduk ke petang.Kekuatan panahan mentarinya semakin memudar.Perhutanan itu tiada bezanya dengan perhutanan di alam nyata.Nyanyian unggas hutan beriang-ria di sana sini.Sahut menyahut dalam bahasa mereka yang tidak difahami oleh manusia.Sesekali bumi itu digegarkan dengan getaran halus dari bawah tanah seiring dengan bunyian dengungan.Tiada siapa yang mengetahui apakah yang sedang berlaku sehingga menyebabkan fenomena itu.
Yazaid terduduk di atas sebatang kayu pokok mati yang terlentang di atas tanah.Dia berteduh di bawah rimbunan pokok-pokok melindungi dirinya dipanah cahaya mentari yang tidak begitu terik namun bahangnya masih terasa.Anak matanya memandang ke arah Leo terbaring di atas hamparan daun besar bersebelahan dengannya.Dahinya berkerut seribu mengingati peristiwa sebentar tadi.Leo terbaring lesu.Tidak sedarkan diri.
Jaluran ingatan menari-nari dilayar mindanya mengingati kejadian tadi.Yazaid terkocoh-kocoh mengekori pergerakan pantas Leo.Mengahnya terasa mencucuk ulu hati masih belum sembuh.Kini Leo mengajaknya untuk ‘lumba lari’ pula.Sekiranya difikirkan pada aras kudrat manusia, mustahil baginya untuk berlari pantas setelah mengharungi perjalanan yang cukup jauh namun ianya berbeza pada lelaki bernama Leo.
Semak-samun diredah dan dikuakkan secara kasar.Leo mendahului dengan langkah yang cukup pantas.Sedangkan Yazaid cuba menyaingi kelajuan Leo.Dia mahu bertanya apakah yang sedang berlaku.
Leo berhenti mendadak.Yazaid turut mengikuti perlakuan Leo.Kedua-duanya memandang ke dada langit.Awan hitam kemerahan berarak laju ke satu arah seiring dengan arah larian mereka.Kedengaran bunyi kilat menyambar sana sini.Memanah secara rawak.Mana-mana tempat yang terkena panahan kilat itu akan menghasilkan api berwarna hitam kemerahan.Situasi itu agak janggal untuk ditafsirkan.Leo menundukkan badannya sedikit.Bimbang jika terkena panahan petir yang mencari sasaran secara rawak.Yazaid turut mengikuti perlakuan Leo tanpa banyak kerenah.Dia yakin bahawa Leo mengetahui situasi genting ini kerana Leo sememangnya berasal dari dunia ini berbanding dirinya.
Mereka kekal berkeadaan sebegitu tanpa sebutir percakapan sekali pun.Awan hitam kemerahan itu membawa panahan petir yang cukup mengerikan apabila ianya menyambar pada sasaran.Mana-mana yang menjadi sasarannya pasti hancur lebur dimamah api hitam kemerahan itu.Api mula marak di kawasan itu.Gegaran tanah cukup terasa apabila sambaran itu mencecah bumi.Bunyi dentuman disana sini namun tidak disasarkan pada mereka.Leo menjadi kehairanan.Tidak semena-mena, satu bunyi dentuman yang cukup membingitkan gegendang telinga mengitari suasana.Yazaid dan Leo terkejut.Mereka merunduk ke bawah.Anak mata mengawasi persekitaran.Bunyi petir kini tidak lagi kedengaran namun awan hitam kemerahan masih berada di tempatnya tidak berganjak.Mereka berpandangan sesama sendiri.
Setelah agak lama berkeadaan begitu, satu lagi letupan membingitkan suasana namun kali ini berbeza.Ianya disertai dengan deruan angin yang cukup deras sekali gus mengusir awan hitam kemerahan.Leo tidak tertahan gejolak perasaan ingin tahunya.Lantas dia membuka langkah untuk memacu larian ke arah bunyi petir itu.
Tidak sampai sepuluh langkah, satu cahaya kemerahan berdesup laju umpama peluru meredah angin menerpa batang tubuh Leo.Tubuhnya seolah-olah dibanting ke belakang.Yazaid tidak sempat berbuat apa-apa.Kejadian yang berlaku dalam sekelip mata.Leo terhempas ke tanah berguling-guling sehingga beberapa meter jauhnya lantas tidak sedarkan diri.
“Leo!” Pantas Yazaid mendapatkan Leo.
Yazaid mengeluh kasar.Terasa hambatan memori seketika tadi seperti di ulang tayang. Dia tidak mengetahui dimana lokasi mereka ketika ini dan apa yang sedang berlaku.Segala-galanya kelam dan kabur.Tujuan yang kabur.Misi yang kabur.Tidak berupaya untuk melepaskan diri dari hambatan dunia Hyperserv kejam ini.Itu lebih merunsingkan akal Yazaid ketika ini.Terasa membejatkan kewarasan akal.Dahinya berkeringat.Akalnya ligat.
Leo terbaring lemah bersebelahan Yazaid.Bernafas dalam kepayahan.Yazaid cuba menghadamkan situasi yang agak sukar dirungkaikan.Akalnya dikerahkan semampu yang mungkin.Ianya diluar batasan kemanusiaan.
“Yazaid!!” Satu suara keras nadanya menerjah gegendang telinga Yazaid.Pantas dia berkalih ke arah suara itu.Pantas dia berdiri mengukuhkan langkah berpaksikan bumi Hyperserv.
Tajima dan Zaidi muncul dari semak belukar membelakangkan Yazaid dan Leo.Raut wajah mereka agak keruh.Membengis tanpa diketahui usul dan punca.Kelihatan tubuh mereka berdarah luka-luka seperti hirisan objek tajam.Wajah mereka menahan kesakitan yang amat bisa.
“Korang berdua.Memang tak sudah-sudah menyusahkan aku.” Nada Yazaid kendur berbaur dendam.
“Apa yang berlaku,Yazaid? Apa yang kau buat?” Tajima menyuarakan persoalan dimana persoalan itu sepatutnya diungkapkan oleh Yazaid.Dahinya berkeringat.
“Heh..satu perangkap yang baik.Korang yang buat onar.Korang yang hantar virus sampai menyusahkan satu dunia ni.Lagi korang nak tanya macam-macam?” Yazaid mengepalkan genggaman kedua-dua tangannya.Tubuhnya menggigil menahan amarah yang membuak seperti lava berapi yang tidak sabar menunggu masa letusan.
“Yazaid.Sabar..Memang kami yang hantar virus.Tapi kejadian letupan gergasi semua tadi tu kami tak tahu apa-apa.Kami pun luka.Sebab tu kami tanya...” Zaidi cuba menenangkan keadaan.Dahinya berkeringat menahan kesakitan yang menyentap setiap urat dan sendi.
“Kau jangan nak kelirukan aku!Jangan pura-pura jadi malaikat.Aku tahu kegiatan korang berdua!” Yazaid tidak mampu membendung kemarahan.Amarah yang terlalu marak dan sukar untuk dipadamkan.
“Kau jangan cabar kesabaran aku, Yazaid!Cukup dengan kau cederakan aku macam ni!” Tajima juga tidak mengalah.Terasa pergerakannya sedikit terbejat kerana luka yang masih berdarah dan mengalirkan cecair merah.Zaidi ditolak kasar.Walaupun dunia ini bukanlah dunia realiti namun rasa kesakitan yang dialami berlaku secara realiti.Mereka yang tercedera di dalam Hyperserv tidak mengalami kecederaan fizikal di dunia realiti namun isyarat “sakit” itu dapat ditafsirkan ke dalam otak mereka menyebabkan mereka boleh merasai kesakitan yang sama.Begitu juga dengan kematian.Mati disini bermaksud mati disebelah sana.
Tajima menuju pantas ke arah Yazaid.Lonjakan kaki kirinya menerjah ke arah Yazaid.Genggaman kanan siap bertempur.Yazaid berdiri memasang kuda-kuda.Zaidi terkedu.Pergerakan Tajima terlalu pantas.Sekilas angin menderu.
Pergelutan berat sebelah berlaku didepan mata Zaidi.Tajima menahan kesakitan akibat tujahan tumbukan dan tendangan dari Yazaid.Keadaan Tajima yang sememangnya luka parah yang tidak diketahui puncanya menyebabkan kudratnya separuh hilang.Tajima tersungkur beberapa kaki.Debu tanah terawangan akibat seretan batang tubuh Tajima.Yazaid melompat tinggi menerjah musuh.Mendarat kemas dihadapan Tajima yang terbaring berlumuran darah.Luka-luka hirisan yang masih berdarah menambahkan bisa.Pergerakannya beku.Tajima tidak mampu lakukan apa-apa.Yazaid seperti orang tersampuk.Wajahnya menyinga.Bengis bersedia membaham mangsa.Akalnya mentafsir untuk menghapuskan musuhnya buat selama-lamanya agar tidak lagi menyusahkan hidupnya kelak.Hasutan daripada api amarah yang semestinya membakar diri.Di tangan kanan Yazaid kemas menggenggam sebilah belati tajam.Mata belati merah menyala umpama besi ditempa api.Bersedia untuk merobek daging mangsa dan hanya menunggu saat itu tiba.
“AAAARRHHHHHHHHH!!!” Yazaid meraung kuat.Kedua-dua tangannya menggenggam belati api itu diangkat tinggi.Sasarannya adalah jantung Tajima.Raut wajah Tajima cemas.Maut bakal menjemputnya pulang.
“Cukup!” Satu hambatan keras merentap kasar tubuh Yazaid ke belakang.Bilah belati terlepas dari genggaman.Yazaid terpelanting jauh beberapa kaki ke belakang.
Leo melambung Yazaid untuk meleraikan pergelutan.Lebih parah, ianya pasti akan meragut nyawa sekiranya dibiarkan berlarutan walaupun itulah niat asal tujuan Blackserv.Namun, kali ini mereka berdua parah tanpa mengetahui usul serangan.Zaidi terkedu.Leo telah sedarkan diri dan berdiri di belakang mereka tanpa mereka sedari.
Leo memandang bengis ke arah Tajima yang parah.Sekilas memandang Yazaid yang terlantar beberapa kaki jauhnya akibat hambatan keras darinya.Pandangannya berakhir dengan Zaidi yang bungkam tidak terkata.Sesekali kelihatan tubuh Leo seolah-olah menyala berkelip warna kemerahan namun tidak jelas.
“Kamu berdua.Pergi! Sebelum aku ubah fikiran!” Tegas Leo.
Zaidi terkocoh-kocoh cuba membangkitkan Tajima lalu perlahan-lahan mereka berdua menyusup masuk ke semak belukar sehingga hilang dari pandangan mata.Lantas Leo menapak perlahan ke arah Yazaid yang cuba bangkit.
“Kenapa kau halang aku?!Biar aku bunuh je diorang berdua!” Yazaid cuba mengorak langkah mengejar Tajima dan Zaidi yang semakin menghilang berbalam-balam di dalam perhutanan.
Tidak sampai dua langkah, Yazaid menyembah bumi.Pandangannya kelam.Yazaid pengsan tidak sedarkan diri.Satu hambatan keras dari Leo mengena pada belakang batang lehernya.
“Maaf,kawan. Belum tiba masa untuk kau tunjuk hero.Tenaga kau masih diperlukan.” Perlahan-lahan Leo memikul batang tubuh Yazaid yang kelihatan lebih besar daripadanya namun saiz tubuh tidak melambangkan kudrat yang dimiliki.Ternyata Leo memiliki kekuatan yang jauh lebih ampuh berbanding Yazaid.Di dunia ini, Leo dan Kirin lebih menguasai.Mereka tercipta dari dunia ini.Ini adalah dunia mereka sedangkan Yazaid adalah user sahaja.Sekadar manusia biasa.Dunianya adalah realiti.
Leo menapak perlahan menuju ke satu arah sambil memikul sahabat manusianya yang pengsan.Akalnya mengingati sesuatu namun berbalam-balam.Tidak jelas butirannya.Dahinya berkerut cuba meraih apa yang tidak pasti namun gagal setiap kali percubaannya.Dia pasti ada sesuatu yang tidak diingini berlaku.
>>Bersambung [Server 20]
ns 15.158.61.17da2