Makmal Hyperserv,Tahun Infiniti 30XX
134Please respect copyright.PENANAoHtB18Bo8t
Hairuddin bingkas berdiri. Matanya membulat apabila mendapat satu panggilan daripada pusat rawatan rapi yang sedang mengendalikan dan menjaga anaknya, Ismail. Irfan, Zie dan Hadif serta-merta memandang ke arah Hairuddin yang kelihatan cemas. Seolah-olah menerima satu panggilan yang mengkhabarkan pemergian anaknya buat selamanya. Takungan mata Hairuddin mula bergenang. Pantas dia mengajak Hadif untuk ke pusat rawatan rapi yang menjaga anaknya.
Tanpa banyak meningkah, Hadif menghantar Hairuddin ke lokasi yang dinyatakan dan dia mengetahui lokasi tersebut. Dialah yang mencadangkan kepada Hairuddin agar menghantar anaknya ke pusat rawatan itu memandangkan pusat itu mempunyai kelengkapan perubatan yang masih beroperasi menggunakan cara konvesional dan masih menggunakan generator untuk memberi kuasa kepada peralatan-peralatan perubatan disini. Kebanyakan pusat perubatan di bandar itu beroperasi menggunakan kuasa digital yang berpusat di pangkalan data induk utama yang terputus itu.
Motosikal Hadif memecut laju membelah laluan jalan raya.Banyak kenderaan berenjin digital tersadai di tengah jalan namun suasananya agak aneh. Tiada satu pun kelibat manusia yang kelihatan sama ada di jalanan mahu pun di bahu jalan.
Setibanya di sebuah bangunan gergasi pusat rawatan rapi itu, Hadif dan Hairuddin menjadi hairan. Keseluruhan kawasan itu berpagar siap berkawat duri serta kelihatan beberapa orang pengawal keselamatan muncul dari dalam bangunan tersebut bersenjata api yang agak canggih.
“Siapa?” Salah seorang pengawal keselamatan bertubuh kekar menghampiri mereka berdua.
“Saya Hadif. Dan ini Hairuddin. Anaknya ada dirawat di pusat ini. Boleh kami masuk?” Hadif menerangkan situasi dengan tenang.
“Boleh saya tahu nama anak encik?” Pengawal itu cuba menghubungi pihak atasan untuk kepastian. Hairuddin lantas memberitahu namanya dan nama anaknya yang dirawat di pusat rawatan rapi ini. Sesekali terdengar bunyi jeritan yang menyeramkan sayup-sayup kedengaran namun tidak kelihatan susuk kelibatnya. Hadif dan Hairuddin berpandangan.
Setelah dapat dipastikan, barulah pengawal tadi membuka pintu pagar besi yang memisahkan antara jalan utama dengan pintu utama bangunan itu. Motosikal di parkir di luar bangunan dan mereka berdua berjalan seiring masuk ke dalam bangunan tersebut.
Apabila mereka naik ke tingkat dua dimana tingkat anaknya dirawat, seorang doktor yang merawat anaknya lantas menuju ke arah Hairuddin setelah terlihat kelibat Hairuddin dan Hadif muncul dari pintu utama.
“Hairuddin! Awak selamat sampai.” Seorang doktor perempuan lantas mendapatkan Hairuddin sambil tersenyum melihat kedua-duanya selamat tiba. Hairuddin dan Hadif kebingungan dengan kenyataan doktor perempuan itu namun tidak disuarakan. Niat mereka hanya mahu menjenguk keadaan Ismail semata-mata. ‘Selamat? Dari siapa?’ Gumam Hadif.
“Doktor Ilyia, macam mana keadaan anak saya? Kondisinya?” Hairuddin tidak sabar hendak menjenguk keadaan anaknya.
“Sabar encik Hairuddin. Mari saya bawakan encik ke sana.” Doktor Ilyia lantas mendahului mereka berdua menuju ke satu bilik yang tidak jauh dari tempat mereka bertemu.
“Ayah!” Panggilan satu suara yang amat dirindui oleh Hairuddin. Hampir tumpah air mata lelaki Hairuddin apabila melihat susuk tubuh kecil yang melompat turun dari katil menerpa ke arahnya. Mereka berpelukan. Tanda ikatan kekeluargaan yang sangat erat.
Mereka yang menyaksikan kejadian itu turut menumpahkan air mata terharu terutama pada kakitangan wanita yang berada disitu. Doktor Ilyia menyeka air mata yang mengalir di pipi dan memaniskan rona wajahnya.
“Kamu selamat, nak. Alhamdulillah.” Hairuddin memeluk erat tubuh kecil Ismail yang teramat dirinduinya. Lantas pelukan mereka terlerai, Hairuddin melakukan sujud syukur ke hadrat Ilahi. Walaupun zaman ketika ini berubah mengikut arus permodenan yang terlalu canggih, Hairuddin masih meneratkan nilai-nilai Islam di dalam sistem kekeluargaannya. Sering kali diperingatkan kepada Asiah dan Ismail bahawa walau sehebat mana pun kita di atas dunia ini, Allah jualah yang Maha Menguasai segala-gala yang ada di dalam dunia ini malahan di seluruh alam.
Setelah semuanya selesai, Doktor Ilyia keluar untuk menyiapkan beberapa laporan dan beberapa urusan dokumen lain. Sementara Hairuddin dan Hadif masih berada di dalam bilik rawatan itu.
“Macam mana pengalaman kamu disana?” Hairuddin teringin mengetahui kisah perjalanan Ismail ketika berada di dalam dunia digital itu.
“Banyak perkara yang terjadi, ayah. Mail belajar macam-macam.Semuanya hutan disana. Mula-mula Mail ingatkan Mail di hutan-hutan disini. Rupanya, Mail di dalam dunia yang berbeza.” Ismail galak bercerita.
“Macam mana kamu boleh..eerr.. ya..sedar semula.” Hadif juga tidak ketinggalan untuk mengetahui lebih lanjut. Dia mengetahui kesemua mangsa koma misteri itu tidak bertahan lama.Mereka akan meninggal dunia setelah beberapa hari berlalu namun tidak pada Ismail. Tubuh kecil itu seolah-olah ‘bertahan’. Ismail satu-satunya pesakit koma misteri yang bertahan hidup dan satu-satunya mangsa koma misteri yang sedar semula. Kerana itulah kes Ismail boleh dikatakan kes yang kejadian luar biasa.
“Mail tak pasti.Mail ingat-ingat lupa kejadiannya.Tapi yang paling Mail ingat sebelum Mail tak sedarkan diri, Mail diserang oleh sekumpulan makhluk pelik..Seram.” Meremang bulu Ismail apabila mengenangkan peristiwa itu.
“Makhluk pelik? Seram?” Hairuddin mengerutkan dahinya.
“Iya, ayah.Makhluk tu seram sangat.Dia masuk rumah tu. Lepas tu serbu dekat Mail. Makhluk tu banyak. Duduk keliling Mail.” Galak Ismail bercerita pengalamannya.
“Macam mana rupa makhluk tu?” Hairuddin dapat menghidu sesuatu.
“Eerr.. seingat Mail bentuknya macam hantu. Berselubung dengan kain hitam satu badan.Terapung-apung. Lepas tu, satu makhluk serang Mail.Dia bungkus Mail. Lemas Mail dibuatnya.” Gelagat Ismail seperti ulah keanak-anakkan. Hairuddin mengerutkan dahinya.
“Hairuddin, kamu tahu makhluk apa itu?” Hadif dapat membaca reaksi wajah Hairuddin seolah-olah lelaki separuh abad itu mengetahui sesuatu. Namun tiada balasan dari Hairuddin. Lelaki separuh abad itu sekadar tersenyum. Hadif mengerti bahawa dia tidak mahu bercerita di hadapan anaknya.
Setelah menyelesaikan segala urusan di pusat rawatan rapi yang diselia oleh Doktor Ilyia, Hairuddin bergegas meninggalkan pusat rawatan rapi disini terus menuju ke teratak milik Hairuddin. Doktor Ilyia menghantar Hairuddin dan Ismail pulang ke rumah manakala Hadif hanya mengekori kenderaan Doktor Ilyia dari belakang.
Setibanya di teratak, Asiah bergegas menuruni anak tangga kayu lantas mendapatkan anak tunggal kesayangannya. Mereka berpelukan tanda kasih dan sayangnya seorang ibu terhadap anaknya. Hairuddin mengucapakan terima kasih tidak terhingga kepada Doktor Ilyia kerana menjaga anaknya di pusat rawatan dengan sebaik mungkin.
“Hairuddin, makhluk apa yang Ismail cakapkan tadi tu? Saya tahu kamu pasti tahu sesuatu tentang semua perkara tu?” Hadif memulakan bicara sambil menghirup kopi panas yang disediakan oleh Asiah buat tetamu. Mereka berdua duduk beristirehat di pangkin kayu yang berada di bawah rumah kayu milik Hairuddin.
Hairuddin tidak pantas menjawab. Akalnya ligat memikirkan sesuatu yang telah lama ditinggalkan kebelakang waktu.
“Hairuddin, jika kamu tak nak beritahu, tak mengapa. Saya tidak memaksa.Sekadar untuk mengetahui. Saya tahu kamu pernah terlibat dengan Hyperserv suatu ketika dahulu.Itu cerita lama.” Hadif berwajah bersahaja sedangkan Hairuddin memandangkan Hadif sekilas.
“Borthome...” Ringkas Hairuddin menjawab. Hadif kelihatan terpinga-pinga.
“Nama makhluk yang Ismail jumpa tu adalah Borthome.” Sambil Hairuddin lagi.
“Bort...apa?” Hadif menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Dia mengakui bahawa nama-nama makhluk di Hyperserv kedengaran agak pelik dan janggal.
“Borthome. Sejenis makhluk hantu lagenda. Sangat-sangat jarang memunculkan diri melainkan...” Hairuddin terhenti kata-katanya. Hadif tidak memintas malahan menunggu bait bicara seterusnya dari Hairuddin. Dia berasa teruja mendengar kisah-kisah dari dunia digital yang kejam itu meskipun dia masih tidak berkesempatan untuk merasai sendiri masuk ke dunia itu.
Hairuddin terdiam agak lama.Seolah-olah akalnya ligat memikirkan sesuatu sebelum meneruskan bicara. Sudah menjadi prinsip di dalam jati diri Hairuddin untuk berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Ia dapat mengelakkan diri dari berbicara yang sia-sia sekali gus dapat mengelakkan orang lain berkecil hati dengan kata-kata kita sendiri meskipun ianya sekadar gurauan. Bak kata pepatah, lidah lebih tajam berbanding mata pedang. Pedang mampu menguris luka pada kulit namun hanya dengan kata-kata sahaja mampu menguris luka jauh di dalam hati. Bahkan, ianya mungkin berlarutan dan mungkin juga menjadi persengketaan sesama kita.
“Hairuddin.” Hadif menyentuh bahu sahabatnya. Hairuddin seolah-olah tersedar dari lamunan yang panjang. Dia beristighfar berkali-kali. Jaluran memorinya terhanyut jauh ke belakang waktu. Mengimbau kembali saat-saat ketika dia bersama-sama sahabatnya yang lain membina Hyperserv suatu ketika dahulu.
“Itu adalah makhluk hantu lagenda, Borthome. Tujuannya hanyalah satu. Untuk membawa manusia keluar dari dunia Hyperserv dan pulang ke tempat asal kita.Dunia realiti.” Sambung Hairuddin lagi.
“Bawa manusia keluar dari Hyperserv? Bukan ke Hyperserv sedang mengunci sistemnya sendiri sekarang?” Hadif tertanya-tanya persoalan itu.
“Borthome mempunyai akses yang lebih tinggi dari sistem sekuriti Hyperserv. Bahkan, makhluk tu juga sebahagian daripada sistem sekuriti dunia Hyperserv. Makhluk tu akan membawa keluar manusia pulang ke tempat asalnya semula melalui portal gate yang berhampiran dengan lokasinya.” Hairuddin menambah lagi.
“Ok. Jadi apa kena-mengena dengan Ismail?” Persoalan itu bermain-main dibenak Hadif sejak dari tadi.Hairuddin menarik nafas sedalamnya dan dilepaskan perlahan-lahan.
“Itulah apa yang saya risaukan. Borthome takkan bawa pulang manusia yang biasa. Dia akan bawa pulang manusia yang luar biasa di dunia Hyperserv.” Hairuddin mengeluh halus.
“Ismail...manusia luar biasa?” Hadif mengerutkan dahi. Dia kurang mengerti.
“Manusia yang masuk ke dalam dunia Hyperserv tetap akan menjadi manusia yang biasa. Perlu kamu ketahui, di dunia sana banyak perkara-perkara yang mustahil dan tidak masuk akal namun ianya tidak mustahil di dunia itu. Contoh, haiwan-haiwan disana juga aneh-aneh. Mahkluk seperti manusia juga wujud di dunia itu namun mempunyai kekuatan, keupayaan dan kelebihan lebih dari manusia biasa. Sebarang penggunaan kuasa yang dianggap sihir di dunia realiti, apabila di dunia Hyperserv ianya bukan lagi sihir tetapi lebih kepada aturan kod digital yang mewujudkan perkara yang tidak wujud. Maka terhasillah pelbagai jenis kuasa yang aneh-aneh dan pelik.” Panjang lebar Hairuddin cuba untuk memberi penjelasan kepada Hadif namun Hadif masih keadaan bingung dan kurang mengerti.
“Di dalam sana ada sejenis makhluk berupa manusia. Sama seperti manusia dari segi fizikal, mental dan corak pemikiran. Ianya adalah sebahagian dari sistem dunia Hyperserv. Ianya adalah A.I atau singakatan untuk Artificial Intelligence. Dimana ianya sebuah program yang boleh bertindak dan berfikir secara sendiri tanpa perlu diprogram secara spesifik.” Hadif membetulkan duduknya. Dia tekun mendengar Hairuddin bercerita tentang dunia digital itu.
“Mana-mana manusia yang masuk ke dunia itu, tetap akan menjadi manusia yang biasa tanpa ada apa-apa kuasa kecuali...” Hairuddin menarik nafas sedalamnya buat sekian kali.
“...manusia itu sendiri yang mempelajari teknik-teknik di dalam dunia Hyperserv. Atau, manusia itu mendapat sumber kuasa dari sumber yang lain.” Hairuddin mengerutkan dahinya. Hatinya menjadi bimbang apabila memikirkan tentang soal anaknya.
“Jadi, related dengan Ismail?” Hadif bertanya ringkas.
“Kamu ingat tentang Borthome yang saya ceritakan tadi?” Hairuddin memulangkan semula soalan kepada Hadif. Membulat anak mata Hadif apabila mula dapat menangkap keseluruhan penceritaan.
“Borthome akan membawa pulang manusia yang luar biasa.” Hadif menyebut bait perkataan itu dengan nada seakan-akan berbisik namun masih didengari oleh Hairuddin.
“Ini bermakna....Ismail adalah manusia yang luar biasa di dunia Hyperserv?” Hadif dapat menduga sesuatu. Hairuddin mengangguk lemah. Dia tahu, makhluk itu benar-benar ada dan wujud di dunia Hyperserv dan dia juga salah seorang jurutera yang mencipta makhluk tersebut. Kerana itulah Hairuddin lebih arif tentang dunia itu sekarang.
“Manusia biasa yang masuk ke dunia itu tidak akan dibawa keluar oleh Borthome. Mereka bebas untuk tinggal di dunia Hyperserv selama mana mereka mahu. Tetapi Borthome tidak akan membenarkan manusia yang mempunyai sebarang kuasa atau elemen di dalam tubuh mereka untuk terus tinggal di Hyperserv dan meneruskan hidup disana. Manusia luar biasa ini akan dibawa keluar dalam tempoh tertentu bermula dari tubuh manusia itu menerima kuasa atau apa-apa sahaja elemen.” Panjang lebar Hairuddin menerangkan.
“Jadi, apa kuasa..eerrr..elemen yang ada di dalam tubuh Ismail?” Hadif benar-benar mahu mengetahui kisah selanjutnya.
“Saya tidak tahu. Itu akan saya pastikan kemudian.Yang pasti, Ismail tidak boleh lagi masuk ke sana. Saya tidak akan izinkan sama sekali.” Tegas Hairuddin.
Hadif mengurut-urut belakang kepalanya.Masih banyak persoalan yang muncul dibenak fikirannya ketika ini.
Mereka berdua terdiam sejenak. Masing-masing memikirkan tentang dua lagi sahabatnya yang masih berada dan terperangkap di dalam Hyperserv. Sama ada mereka masih hidup atau sebaliknya meskipun semua umat manusia perlu tahu bahawasanya hal hidup dan ajal itu terletak di tangan Allah S.W.T yang Maha Berkuasa dan Maha Menguasai. Dia jualah yang mengkehendakinya berlaku, maka tetap akan berlaku.
134Please respect copyright.PENANAeconi1pcZq
>> Bersambung Server 52
ns 15.158.61.44da2