Letrai Bay, La Brecha, Hyperserv
Terasa tenang buat seketika di persekitaran teluk itu. Sesekali angin bayu dari arah laut meniup dan menyapu lembut wajah Kapten Zayyan yang sedang berdiri menghadap ke arah lautan yang terhampar luas. Lamunannya panjang. Akalnya ligat memikirkan kejadian alam digital ciptaan manusia yang penuh dengan kekurangan ini. Nafasnya dihembus halus lantas memalingkan wajahnya menghadap ke arah satu mayat yang tidak bernyawa terlantar tertiarap.
“Vanblood. Kau silap langkah sejak dari mula. Kau menyebelahi Raja Raa yang berkehendakkan kau. Mempergunakan kau untuk hari yang dinantikan. Hari pelepasan mereka.” Ternyata mayat Master Vanblood dipandang dengan penuh rasa kesal. Vanblood adalah satu-satunya bangsa Vampire yang masih wujud sebelum kematiannya. Kini, bangsa Vampire pupus buat selamanya tanpa pewaris. Terkubur bersama Master Vanblood.
Imbas kembali...
Master Vanblood memandang ke arah Kapten Zayyan dengan penuh kebencian. Wajahnya berkeringat bercampur darah. Tenaga di dalam tubuhnya semakin terhakis dan seolah-olah diacut keluar dari tubuhnya. Kapten Zayyan hanya berdiri tegap sambil memegang sebilah pedang berkilau miliknya. Kilauannya sahaja sudah cukup untuk menggerunkan musuh apatah lagi apabila dicantas. Sekali cantasan sahaja sudah cukup untuk membelah gunung yang meninggi.
“Vanblood, kau berkebolehan tinggi di dalam pertempuran. Sayang sekali, kau tidak memanfaatkannya di tempat yang betul. Kenapa kau menyebelahi Raja Raa?” Pertanyaan Kapten Zayyan sekadar mahu mengetahui rancangan asal Master Vanblood yang ternyata menyebelahi bangsa Valkazar dan bangsa buas itu terlepas dari kurungannya pun adalah perancangannya.
“Haha..ha..haha...” Master Vanblood ketawa garau dalam keadaan menahan kesakitan.
“Raja Raa menjanjikan wilayah jajahannya kelak untuk aku. Aku...satu-satunya bangsa Vampire yang masih wujud di Hyperserv. Aku...mahu mengembangkan warisan aku. Aku...mahu keturunan aku terus kekal di dunia ni.” Ringkas Master Vanblood. Kapten Zayyan melepaskan keluhan kasar.
“Tapi bukan ini caranya, Vanblood. Kau menyebelahi mereka yang salah.” Kapten Zayyan tidak beralah.
“Jadi, kau nak aku menyebelahi kau? Apa yang aku dapat? Apa aku boleh mendapat kuasa yang ampuh apabila aku menyebelahi kau?...Tidak...kau takkan bagi apa-apa kebaikan pada aku!” Jerkah Master Vanblood sambil menongkat tubuhnya. Dikerahkan segala tenaga berusaha untuk berdiri dalam keadaan yang terketar-ketar.
“Dua manusia tu...sekarang mereka bergelar Zaragas. Kau punya angkara, benar?” Ternyata Kapten Zayyan bukan calang-calang lagenda. Maklumat itu tidak diperolehi olehnya secara langsung melainkan perisik-perisik dari bangsa Letrazie itu sendiri yang menyiasat perkara itu dan memberitahu kepada Kapten Zayyan. Semuanya atas arahan Kapten Zayyan apabila mendengar berita tentang kehadiran susuk tubuh yang setanding kuatnya dengan dirinya atau mungkin melebihinya. Master Vanblood tergelak besar.
“Ya! Segalanya dalam perancangan aku! Batu Valkarie yang dijumpai oleh salah seorang dari mereka juga, aku yang meletakkannya di luar sana. Di luar gua! Salah seorang dari mereka sangat berminat dengan pelbagai barang-barang aneh. Aku yang menetapkan laluan mereka sehingga mereka terjebak masuk ke dalam Grotte Bardtan. Semua perancangan aku! Puas hati kau?!” Master Vanblood memaksudkan Tajima dan Zaidi. Segala apa yang dilalui oleh mereka di luar sana adalah perancangannya untuk mempergunakan kedua-dua manusia tamak itu. Memang sejak dari mula lagi beberapa individu sudah berkomplot dan memulakan rancangan untuk menumbangkan Hyperserv yang kelihatan berpotensi di mata mereka baik dari penghuni di sini ataupun manusia itu sendiri.
“Satu perkara yang aku tak faham. Bagaimana kedua-dua manusia tu boleh terjebak di dalam Hyperserv? Mereka adalah manusia. Bagaimana kau boleh buatkan mereka sampai mahu ke sini dan memusnahkan segalanya dari dalam?” Satu perkara yang menghairankan Kapten Zayyan.
“Hahaha...pertanyaan yang bagus. Memandangkan riwayat aku bakal tamat disini, aku ceritakan pada kau. Aku berhubung dengan bangsa Valkazar yang memang sudah berada di dunia manusia sejak sekian lama. Dia menunggu khabar berita dari dalam Hyperserv. Dialah yang merencanakan segalanya supaya beberapa kumpulan individu hacker tertubuh bagi menghancurkan Hyperserv namun...hanya satu pasukan sahaja yang berjaya menceroboh masuk ke sini. Cukup sekadar dua orang manusia bodoh itu masuk ke sini, itu sudah memadai bagi aku untuk melaksanakan tugasan aku pula. Untuk melepaskan bangsa Valkazar dari penjaranya! Sekali gus, aku tak akan berhenti. Aku juga merencanakan untuk melepaskan Valkazar ke dunia manusia. Menguasai tubuh manusia dan hidup sebagai manusia di dunia realiti. Dan seterusnya, menguasai kedua-dua dunia. Hahahaha...” Master Vanblood ketawa galak bersuara parau.
“Kau licik, Vanblood. Kau memperbodohkan orang lain.” Sindir Kapten Zayyan.
“Kalau mereka tidak bodoh, mereka tidak akan diperbodohkan. Kalau mereka cerdik, mereka tidak akan tergelincir.” Master Vanblood mendepangkan kedua tangannya.
“Kau kata, ada bangsa Valkazar yang berada di dunia manusia sejak sekian lama. Apa yang dia mahu sebenarnya?” Kapten Zayyan sengaja melengahkan masa demi mencari seberapa banyak maklumat yang boleh diperolehi. Master Vanblood ketawa sinis.
“Aku ingatkan, intel kau dah siasat dan beritahu kau segalanya? Rupanya...lemah. Dia adalah bangsa Valkazar purba yang terlepas ke dunia manusia secara tidak sengaja suatu ketika dahulu. Dia tahu, manusia bernama Rayfall telah memenjarakan keseluruhan bangsanya disini dan hanya dia satu-satunya Valkazar yang berlepas diri ke dunia manusia. Walaupun...dia terlepas, tetapi...jiwanya tidak pernah tenang. Dendam kesumatnya dengan bangsa manusia sangat menebal dan setiap hari-hari yang dilaluinya, tiada satu pun yang terlepas dari melaksanakan perancangan terperincinya. Inilah hari-hari yang dinantikan. Silap besar tiga orang peneraju Hyperserv kembali menghidupkan dan mengoperasikan Hyperserv semula selepas dihentikan operasinya dahulu. Hahahaha...” Tubuh Master Vanblood menggeletar. Kapten Zayyan hanya memerhatikan sahaja gelagatnya.
“Aku dengar juga, kau bersengkongkol dengan salah satu dari Valkazar. Draxol...benar?” Kapten Zayyan menghunuskan pedangnya ke arah Master Vanblood.
“Hahahaha....hebat juga rupanya intel kau. Setiap perincian maklumat semua diketahui....Benar! Draxol mahukan kuasa dari Raja Raa. Aku dan Draxol bersengkongkol untuk membawa Batu Valkarie dari luar gua untuk melepaskan bangsa Valkazar. Itu satu-satunya cara untuk melepaskan bangsa itu daru kurungan Rayfall. Jadi, aku gunakan dua orang manusia bodoh itu untuk membawa masuk. Tapi tidak aku sangka, kedua-dua manusia itu tamak dan tidak melepaskan batu itu sewenang-wenangnya. Mereka mahu tawar-menawar. Mahukan kuasa dan kekayaan. Draxol tiada pilihan lain selain hanya menurut permainan mereka. Kini, kedua-dua manusia bodoh itu jadi lebih ampuh! Dijadikan mereka sebagai Zaragas! Makhluk yang taat setianya hanya pada Valkazar. Kekuatannya melebih kau, Zayyan! Ini bukan perancangan asal kami semua tapi...dunia Hyperserv yang kau dambakan diambang kemusnahan. Itu matlamat yang dimahukan!” Kedua-dua telapak tangan Master Vanblood yang didepangkan mengeluarkan cahaya kekuningan dan bunyi berdesing mengitari persekitaran. Deruan angin menjadi pantas akibat daya tarikan dan tolakan kuasa dari cahaya kekuningan itu. Kapten Zayyan hanya sekadar memerhati sahaja.
“Tak sangka. Kau pun tahu cara untuk melepaskan bangsa buas tu. Sedangkan batu-batu Valkarie yang terletak di daerah Sangre Azul kesemuanya telah tertimbus jauh ke dalam tanah dan dikunci untuk mengelakkan dari salahguna makhluk macam kau.” Pedang Kapten Zayyan digenggam kejap.
“Satu-satunya cara melepaskan Valkazar adalah dengan membawa walaupun satu biji Batu Valkarie dari permukaan atas dunia ini masuk ke dalam Grotte Bardtan itu sendiri. Ia menjadi kunci pembuka buat kurungan Valkazar....Ya...aku tahu maklumat tu.” Perlahan-lahan Master Vanblood merapatkan kedua-dua tangannya bersatu di dadanya tetapi masih tidak bersentuhan. Apabila cahaya kekuningan itu berhampiran antara satu sama lain, getaran mula terasa. Tanah tempat berpijak terasa bergegar.
“Kalau begitu, berakhirnya riwayat kau menandakan kurangnya satu musuh ampuh yang harus aku perangi.” Kapten Zayyan bersiaga.
“Hahaha...kau mengakui aku musuh yang ampuh buat kau, Zayyan. Terima kasih...Selamat tinggal, Zayyan.” Master Vanblood melekapkan kedua-dua tangannya. Pertembungan cahaya kekuningan itu semakin meledak. Ianya berfungsi sebagai bom.
Belum sempat kedua-dua cahaya itu bertembung di antara satu sama lain, tubuh Master Vanblood ditembusi pedang Kapten Zayyan. Pergerakan pantas Kapten Zayyan tidak dapat dinafikan. Pergerakannya umpama cahaya. Terbuntang anak mata Master Vanblood. Darah berhamburan dari mulutnya. Cahaya kekuningan itu semakin malap dan menghilang. Tangan Master Vanblood terkulai. Maka tamat sudah riwayat makhluk durjana itu di tangan Kapten Zayyan. Jika terlewat sedikit sahaja, pastinya ledakan yang luar biasa gergasinya akan memusnahkan teluk ini. Kapten Zayyan pernah bertemu dengan pengguna teknik itu sebelum ini di daerah Sangre Azul ketika peperangan bertempur dengan bangsa Valkazar suatu ketika dahulu.
Lamunan Kapten Zayyan bersepai apabila tubuhnya disentuh dari belakang. Sekilas lagenda itu menoleh. Dia terlihat gerombolan tentera pasukannya jauh di belakang seseorang yang menyentuh tubuhnya seketika tadi.
“Kapten, kami telah musnahkan kesemua pintu Realm Bridge. Raja Raa tidak kami temui dimana-mana. Bangsa Valkazar di daerah terdekat dengan kita sudah kami banteras. Saya telah mengarahkan kesemua pasukan elit ke sekitar daerah La Brecha. Hapuskan seberapa ramai Valkazar yang kelihatan. Pintu ke dunia manusia di kawasan timur ini dikawal ketat oleh pasukan kita. Kapten!” Seorang lelaki berpakaian pahlawan pasukan elit tentera bangsa Letrazie menghurai ringkas keadaan semasa.
“Bagus! Teruskan kawalan, ketatkan pemantauan. Jangan biar ada satu pun terlepas.” Kapten Zayyan lantas memasang kuda-kudanya sekukuh gunung. Hanya dengan satu lonjakan tujahan kaki kanannya, tubuhnya melayang ke udara. Impak dari tujahan itu menghasilkan cetusan gelombang angin yang hampir sahaja mahu menghumban pasukan tenteranya ke belakang. Seorang tentera elit bangsa Letrazie yang melaporkan situasi semasa kepada Kapten Zayyan melangoi ke atas melihat lagenda itu. Sebaik sahaja tubuh Kapten Zayyan tiba ke aras ketinggian yang dikehendaki, satu lagi letusan angin memecahkan kesunyian persekitaran itu dan menghasilkan gema yang bergaung-gaung. Letusan itu memnyebabkan Kapten Zayyan seolah-olah terbang dengan kelajuan super sonik ke arah barat benua ini. Lokasi destinasinya hanya diketahui oleh Kapten Zayyan.
“Balik ke posisi masing-masing!” Lelaki yang bertindak sebagai ketua itu memberi arahan ringkas namun cukup tegas.
Kapten Zayyan melayang di udara pada paras ketinggian yang hampir mencecah awan dunia itu. Deruan angin yang cukup pantas menghasilkan bunyi gema yang bergaung-gaung bunyinya terpantul ke arah tanah. Setiba di destinasi yang dihasratkan, Kapten Zayyan berhenti mengejut di udara dengan menendang kakinya ke hadapan membuatkan cetusan gelombang yang terhasil menahan impak tubuhnya dari terus menujah ke hadapan lantas membiarkan tubuhnya jatuh menjunam laju ke bumi selaras dengan hukum daya tarikan graviti yang wujud di dunia ini.
Beberapa meter sahaja untuk kakinya mencecah tanah, sekali lagi Kapten Zayyan menujah angin untuk menahan tubuhnya dari terus terhempas ke bumi dan mendarat dengan kedua-dua kakinya. Impak pendaratannya menyebabkan gelombang angin yang agak kuat menyelerakkan debu-debu tanah.
“Zayyan! Hahahaha... kau tahu saja aku berada dimana.” Satu suara yang sangat dikenali oleh Kapten Zayyan dan sememangnya dia mengetahui lokasi pemilik suara itu.
“Sudah tentu, Raa. Kau regu warisan aku sejak zaman berzaman. Cuma, aku agak kekok bila bertemu dengan kau semula sekarang. Sejujurnya, aku pun dah hampir lupa wajah kau.” Kapten Zayyan berkata sinis sambil menapak perlahan ke arah satu kawasan yang dahulunya terletak Batu Prasasti Dunia yang kini batu itu telah tiada dan yang ada hanyalah tapaknya yang kosong sahaja.
“Disini... pernah terletaknya Batu Prasasti Dunia yang menjadi tiang kepada Hyperserv. Tapi kini ianya berpecah menjadi dua bahagian yang terserap ke dalam dua orang tubuh A.I di dunia ni. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Mana mereka?” Raja Raa bercekak pinggang. Satu tangannya memegang tombak miliknya dan menongkatkannya ke tanah.
“Untuk apa kau tahu?” Kapten Zayyan berhenti sekitar beberapa kaki jaraknya dengan Raja Raa. Sekilas dia memandang kebelakang Raja Raa. Kelihatan berbondong-bondong bangsa Valkazar mula berkumpul dan mengerumuni mereka berdua dan membuat satu bulatan yang besar seolah-olah membuka gelanggang pertempuran.
“Jangan risau. Aku tak berkehendakkan mereka. Cuma... aku tertanya. Jika tapak batu ni aku jadikan tempat Realm Bridge, pasti kekuatannya dilipat kali gandakan kerana aku masih dapat rasakan aura Batu Prasasti Dunia itu masih ada disini.” Raja Raa mendepangkan kedua tangannya. Serentak itu juga, seluruh marga Valkazar bersorak-sorai bergemuruh.
“Boleh. Selepas kau tumbangkan aku.” Kapten Zayyan tersenyum sinis. Tubuhnya mengeluarkan aura kebiruan. Serentak itu juga, tanah tempat mereka berpijak terasa gegarannya akibat tekanan aura dari Kapten Zayyan yang ternyata sangat kuat. Keseluruhan bangsa Valkazar bersorak-sorai bergempita terlaung-laung. Bulatan kerumunan mereka diluaskan lagi. Mereka pasti akan terjadinya satu pertempuran sengit disini.
“Oh, boleh selepas aku tumbangkan kau? Baik! Aku sahut cabaran kau!” Raja Raa juga tidak ketinggalan melepaskan aura kemerahannya yang ternyata juga sangat kuat tekanannya. Pertembungan kedua-dua aura itu bercampur dan berselisih diantara satu sama lain menghasilkan bahang yang panas dan ada diantara bangsa Valkazar yang menggelupur lantas mati akibat tidak tertahan tekanan aura yang terlalu kuat. Oleh kerana itu, kerumunan banga Valkazar diperluaskan lagi jarak bulatannya.
Tanpa sebarang amaran, Raja Raa melompat tinggi lantas menujah tombaknya ke arah Kapten Zayyan yang sedang melangoi ke atas memandangnya. Tombak Raja Raa mengeluarkan cahaya kekuningan yang sangat menyilaukan pandangan. Satu sambaran petir yang menggegarkan bumi bergema. Sambaran petir yang menyambar ke tanah membuatkan tanah di persekitaran itu merekah dan retak. Bahkan ada di antara pokok-pokok yang berhampiran juga turut terbakar akibat renjatan tenaga elektrik dari panahan petir yang terlalu kuat.
Raja Raa tidak berhenti. Panahan demi panahan dilancarkan bertalu-talu tepat ke sasaran. Dia amat meyakini bahawa Kapten Zayyan tidak akan dapat mengelak dari panahan petir yang bertalu-talu sebegini. Bahkan, pergerakan itu umpama kilat.
“Mati kau, Zayyan! Ini apa yang kau dapat bila kau mencabar raja terkuat di dunia ni! Raja Raa!” Tubuh Raja Raa terapung-apung di angkasa sambil panahan petir berdentum-dentum menghentam bumi tempat Kapten Zayyan berdiri. Kilauan cahaya kekuningan menyilaukan pandangan. Namun disebalik biasan cahaya itu, Raja Raa terlihat kelibat susuk tubuh mengelak dari tujahan panah Raja Raa mengilaskan tubuh ke kiri dan ke kanan. Raja Raa tersengih.
“Lari, Zayyan! Lari! Hahahaha...” Ternyata Raja Raa menikmati pemandangan yang sedang dilihatnya kala ini. Kapten Zayyan mengelakkan diri dari ditujah panahan petir yang pasti membuatkan dirinya maut serta-merta. Meskipun tiada satu pun panahan itu terkena padanya tapi larian Kapten Zayyan membuatkan Raja Raa geli hati melihatnya.
“Laju lagi, Zayyan! Kau akan mati jika tidak lari!Hahahaha...” Semakin galak Raja Raa memanah kelibat mangsanya di bawah sana. Kelihatan Kapten Zayyan mengelak diri dari panahan petir Raja Raa dengan cara menyelinap ke celah-celah gerombolan bangsa Valkazar. Raja Raa berhati kejam. Langsung tidak diendahkan pasukan tenteranya di bawah sana. Raja itu terus melancarkan serangan petir bertalu-talu membuatkan sebahagian besar tenteranya hangus rentung di panah petir dan maut. Apabila hampir keseluruhan tentera bangsa Valkazar hangus rentung, kelihatan kelibat Kapten Zayyan berlari semula ke arah tapak Batu Prasasti Dunia itu yang terletak betul-betul di bawah Raja Raa.
“Kau silap, Zayyan! Mati! Hahahaha... Selamat tinggal, Zayyan” Raja Raa memegang tombaknya dengan kedua tangannya lalu dilepaskan gelombang petir yang dua kali ganda lebih kuat. Sambaran petir kali ini lebih kuat dan menggegarkan bumi serta mewujudkan lubang ke dalam tanah yang agak dalam.
Debu-debu tanah bertebaran. Suasana senyap sunyi. Sesekali terdengar suara beberapa tentera bangsa Valkazar yang masih hidup dan terselamat dari amukan raja mereka sendiri. Raja Raa tersenyum puas apabila melihat sekujur tubuh Kapten Zayyan kaku terbaring di atas tanah. Perlahan-lahan tubuhnya melayang ke bawah menghampiri Kapten Zayyan yang hangus. Debu-debu tanah masih bertebaran.
Sebaik sahaja menghampiri tubuh itu, keadaan tubuh Kapten Zayyan sangat menyayat hati. Hanya mereka yang berhati binatang sahaja yang tergamak membuat perkara sebegini. Tubuh Kapten Zayyan rentung sama sekali.
“Hahahahaha...aku menguasai dunia ni! Akulah raja di dunia ini. Aku, Raja Raa! Hahahahaha!” Gelak tawa puas Raja Raa kedengaran bergema-gema. Namun gelak tawanya yang terakhir itu kedengaran seolah-olah mempunyai percampuran bunyi gelak tawa yang lainnya. Raja Raa memandang ke arah bangsa Valkazar yang terselamat dengan wajah yang membengis. Dia mencari kelibat gerangan siapa yang tertawa bersamanya tadi.
“Siapa yang ketawa bersama beta?! Siapa lagi yang ketawa?! Jangan biadap dengan beta!” Raja Raa memberi amaran.
“Hahahahaha!” Suara gelak tawa garau itu kedengaran agak jauh ke belakang. Raja Raa melontarkan pandangan ke arah belakang. Serentak itu kesemua bangsa Valkazar yang lainnya menoleh ke belakang mereka mencari empunya suara tawa itu. Berubah serta-merta wajah Raja Raa. Sekilas dia menoleh ke arah tubuh yang hangus terbakar itu.
Perlahan-lahan tubuh yang hangus terbakar itu pada asalnya berwajah dan tubuh Kapten Zayyan bertukar kepada bentuk asalnya iaitu salah seorang tentera bangsa Valkazar itu sendiri.
“Ilusi?! Atau, pertukaran?!” Raja Raa menahan amarah yang teramat.
“Terima kasih, Raa. Kau memudahkan kerja aku. Lihat! Daripada beribu-ribu tentera kau sekarang hanya tinggal...” Kapten Zayyan menudingkan jari telunjuknya ke arah baki tentera Valkazar. Gelak tawanya terburai.
“Kau menukarkan diri dengan tentera aku?! Berani kau!” Raja Raa menggenggam kejap tombaknya. Kali ini dia tidak boleh bertindak sembarangan lagi. Dia memerlukan perancangan lebih teliti. Persoalannya itu tidak dijawab pantas oleh Kapten Zayyan yang sedang duduk bertinggir di atas satu dahan pokok sambil menikmati buah-buahan dari pokok itu.
Sebermula pertempuran mereka tadi, sebaik sahaja Raja Raa melompat tinggi ke angkasa, sekelip mata Kapten Zayyan menyelinap ke belakang salah seorang tentera Valkazar dan melepaskan satu teknik System Call yang mampu mengawal minda musuh dan sekali gus melepaskan satu lagi teknik System Call yang akan mampu merubah bentuk tubuh mangsanya. Dalam tempoh yang sangat singkat sebelum Raja Raa memandang ke arah bawah, tentera Raja Raa yang bertubuh Kapten Zayyan itu pantas mengambil tempat berdirinya Kapten Zayyan seketika tadi sedangkan Kapten Zayyan yang sebenar menjauhi lokasi itu tanpa disedari oleh Raja Raa.
Dengan pengawalan minda, tentera Valkazar yang menyerupai Kapten Zayyan itu berlari pantas menyelinap di sebalik tentera-tenteranya Valkazar yang lain menyebabkan Raja Raa melepaskan ledakan petir ke atas tenteranya sendiri yang berlari bertempiaran sehinggalah jumlah tentera Valkazar dirasakan berkurangan dalam jumlah yang memadai, barulah Kapten Zayyan mengarahkan jelmaannya itu berdiri semula di bawah Raja Raa. Serentak itu juga, Raja Raa melepaskan ledakan terakhir yang ternyata lebih kuat dan menggegar bumi. Ledakan itu menghasilkan gegaran yang cukup kuat sehingga hampir sahaja Kapten Zayyan terjatuh dari dahan pokok tempatnya bertinggir.
“Kau!....Bedebah, Zayyan!” Raja Raa tertahan-tahan amarahnya apabila Kapten Zayyan menceritakan perincian kejadian itu. Kapten Zayyan tersengih-sengih. Seolah-olah pertempuran kali ini dibuat main-main dan sekadar mengacah.
“Sejujurnya...kau bukan lawan aku. Kau ada mencipta satu makhluk dari manusia bernama Zaragas, benar?” Kapten Zayyan cuba memprovok.
“Benar! Dan dia taat setianya pada aku!” Raja Raa tidak melepaskan pandangannya ke arah Kapten Zayyan yang penuh muslihat pada matanya. Tentera Valkazar yang terselamat itu mengepung raja mereka sebagai pertahanan. Kapten Zayyan mengeluarkan pedang dari sarungnya sambil berjalan mengitari bangsa Valkazar itu.
“Benar. Zaragas taat setianya pada rajanya. Tapi...” Kapten Zayyan mengerling sekilas ke arah Raja Raa.
“...dia lebih ampuh dari kau. Dan dia....musuh aku yang aku perangi secara kejam.” Kapten Zayyan tergelak kecil. Melihat perlakuan Kapten Zayyan yang seolah-olah memperkecilkan Raja Raa membuatkan raja bangsa Valkazar itu hilang pertimbangan.
“Aku Raja Raa! Aku adalah raja!” Raja Raa bertempik keras bergema. Lonjakan kakinya menujah bumi dan tombaknya terhunus ke arah Kapten Zayyan. Benteng pertahanan tenteranya itu sendiri dirempuh kasar dari dalam. Kapten Zayyan hanya berdiri bersiaga.
Hanya beberapa jengkal sahaja mata tombak mahu mencecah tubuh Kapten Zayyan, lagenda itu melompat tinggi melepasi paras kepala. Telapak tangan kanannya dihunuskan ke arah badan Raja Raa.
“System Call! Percute Terram!” Sebaik sahaja bait kata itu usai disebut, tubuh Raja Raa terhempas ke bumi seolah-olah ada tangan-tangan ghaib yang menghempas tubuhnya. Bersemburan darah dari mulut Raja Raa. Dengan tempoh yang singkat, Raja Raa melonjakkan tubuhnya bangkit semula dan menjauhi Kapten Zayyan yang sudah pun mendarat ke tanah. Raja Raa menongkat tubuhnya menggunakan tombak. Darah yang berjejeran dari mulutnya dikesa dengan lengannya.
Sekali lagi Raja Raa membuat tujahan namun kali ini serangannya mempunyai dua elemen. Tombaknya terhunus di tangan kanan lantas mengeluarkan cahaya kekuningan yang menyilau pandangan. Panahan petir menyambar manakala tangan kirinya pula terhala ke bawah dan mengeluarkan gelombang api yang sangat besar dan luas meraut di kawasan tanah. Maka, maraklah api membakar perhutanan itu sekali gus meragut nyawa baki tenteranya yang terselamat tadi. Kapten Zayyan melonjak tinggi beberapa kali ke udara. Raja Raa bijak membaca gerak Kapten Zayyan.
Dalam sekelip mata, Raja Raa hilang dari pandangan dan muncul di belakang Kapten Zayyan yang sedang berada di ruang udara. Kapten Zayyan menoleh sekilas namun tidak sempat berbuat apa-apa, mata tombak Raja Raa terlebih dahulu mencecah tubuh Kapten Zayyan.
Mengelupur Kapten Zayyan dalam renjatan elektrik yang bervoltan tinggi. Akibat renjatan yang kuat, satu letupan bergema menyebabkan Kapten Zayyan terlambung jauh ke hadapan sehingga terhempas ke tanah. Tubuh Kapten Zayyan mengeluarkan kepulan asap. Nafasnya tercungap. Dahinya berkerut seribu menahan renjatan dari Raja Raa. Jika dia tidak bertahan seketika tadi, pasti jantungnya berhenti berdegup serta-merta. Raja Raa tidak berhenti. Dia meneruskan serangan bertali arus. Panahan petir sabung-menyabung lagi. Kali ini, anak-anak panahan petir berselirat ke mana-mana arah yang tidak tetap dengan jumlah yang sangat banyak. Bunyi desingan membingit telinga.
Kapten Zayyan mengelak serangan. Pedangnya masih digenggam kejap namun masih belum mahu digunakannya lagi. Dia terleka sebentar tadi mengundang padah padanya.
“Mari, Zayyan. Kemari kau! Aku regu kau yang ampuh, Zayyan. Kau akan mengakuinya!” Kali ini Raja Raa mengeluarkan ledakan api yang bergulung-gulung besarnya menujah ke arah Kapten Zayyan. Gema api yang bergulung-gulung menghasilkan bunyi yang menggerunkan. Perhutanan ini musnah terbakar sama sekali.
Kapten Zayyan mengelak selagi mampu. Namun apabila kakinya mencecah ke tanah untuk mendarat, ketika itulah Raja Raa sudah berada beberapa kaki sahaja di hadapannya.
“Mati kau! Aaaaarrhhhhhhhh!” Tujahan tombak mengalirkan arus elektrik yang bervoltan tinggi berserta bukaan telapak tangan Raja Raa mengeluarkan ledakan api yang bergulung menujah pantas ke arah Kapten Zayyan. Gabungan dua elemen itu bersatu menjadi satu gumpalan api gergasi yang berarus elektrik bervoltan tinggi pasti membunuh musuhnya walau sekuat mana pun musuhnya.
Dalam tempoh masa yang singkat, Kapten Zayyan menghela nafasnya. Genggaman tangannya dieratkan pada pegangan pedangnya lantas pedangnya mengeluarkan aura kebiruan yang menyelaputi seluruh permukaan pedang Kapten Zayyan.
“Selamat tinggi, Raa” Perkataan itu adalah perkataan terakhir didengari oleh Raja Raa sebelum serangan terakhir oleh Kapten Zayyan.
Sebelum tujahan api gergasi bergulung-gulung berarus elektrik yang bervoltan tinggi itu mengena pada tubuhnya, Kapten Zayyan mengangkat tinggi pedangnya lantas mencantas angin.
“DDDUUUUUUUUMMMMMMMM!!” Satu ledakan gergasi dilepaskan berserta bunyi bergema yang memecahkan gegendang telinga. Libasan pedang Kapten Zayyan mengeluarkan gelombang yang teramat kuat sehingga bersepai gulungan api gergasi Raja Raa lantas membelah segala apa yang ada di dalam laluannya termasuk Raja Raa.
Jika dipandang dari ruang udara dengan ketinggian yang tinggi, kesan cantasan Kapten Zayyan seolah-olah membelah bumi Hyperserv menjadi dua. Berpuluh kilometer jaraknya sepanjang laluan itu mempunyai kesan terbelah bermula dari lokasi Batu Prasasti Dunia menyerong ke bawah menuju ke arah selatan sehingga melepasi sempadan daerah Fuego dan Viento sehingga membelah sempadan Sangre Azul terus ke lautan arah selatan. Kepulan asap berada di mana-mana ketika itu akibat ledakan pedang dari Kapten Zayyan.
Kapten Zayyan menapak perlahan arah lokasi terakhir Raja Raa kelihatan. Dia terlihat tombak Raja Raa terpacak di tanah dalam keadaan terpatah dua. Lagenda itu melontarkan pandangan jauh ke hadapan.
Satu lekukan gergasi membelah bumi. Gunung-ganang, bukit-bukau apatah lagi perhutanan yang berada di sepanjang laluan cantasan pedang Kapten Zayyan, kesemuanya terbelah dua. Kepulan asap keluar berkepul-kepul dari kesan cantasan itu. Kelibat Raja Raa tidak lagi kelihatan. Tubuhnya musnah sama sekali tanpa meninggalkan walau secebis daging sekalipun akibat menerima impak secara terus daripada cantasan pedang Kapten Zayyan yang ternyata mampu memusnahkan keseluruhan benua ini.
“Kau mungkin musnah akibat serangan aku, Raa. Tapi aku tak pasti serangan ini berkesan ke atas Zaragas atau pun tidak. Zaragas yang kau cipta, Raa....sebenarnya jauh lebih ampuh... dari aku!” Kapten Zayyan mengakui kekuatan Zaragas walaupun belum pernah bersua. Sedikit sebanyak, terasa gentar juga. Naluri kepahlawanannya kuat mengatakan Zaragas merupakan musuh terampuh Hyperserv ketika ini malahan lebih berkuasa darinya. Bahkan nalurinya mengakui bahawa Zaragas ini berkemungkinan setanding hebatnya dengan... Rayfall!
163Please respect copyright.PENANAwpW0Rx448K
HYPERSERV : BEGINNING
𝐄𝐩𝐢𝐬𝐨𝐝𝐞 𝐜𝐨𝐦𝐢𝐧𝐠 𝐫𝐢𝐠𝐡𝐭 𝐮𝐩 : Server 71
ns 15.158.61.17da2