Anggota keselamatan dan anggota polis mula memenuhi ruangan halaman teratak Hairuddin lanjutan dari serangan lelaki buas sebentar tadi.Jasad lelaki itu diselubung dengan plastik hitam sebelum ianya diangkat dan akan diuruskan mengikut prosedur keselamatan yang sedang berkuatkuasa.Situasi genting yang melanda ketika ini ternyata amat membimbangkan.Serangan dari manusia yang bersifat haiwan buas itu masih menjadi tanda tanya dan masih di dalam siasatan.Buat masa ini, mereka hanya mengambil langkah berjaga-jaga dan mengukuhkan benteng pertahanan masing-masing disamping membuat rondaan ketat 24 jam tanpa henti bagi memastikan tiada nyawa marga yang tergadai.
Hairuddin bersama Hadif duduk diberanda teratak kediaman Hairuddin sekeluarga.Lengan dan dada Hairuddin yang luka sedang dirawat oleh pegawai kesihatan yang turut serta hadir ke teratak Hairuddin. Lukanya dibersihkan dan dibalut bagi mengelakkan pendarahan semula sekaligus mengelakkan jangkitan kuman pada luka.
“Encik Hairuddin...boleh saya tanya tentang perkara yang berlaku sebentar tadi?” Dua orang pegawai polis menghampiri Hairuddin dan Hadif. Mereka berdua lengkap berpakaian seragam anggota polis dan keselamatan.Hadif juga tidak terkecuali memandangkan ketika ini adalah waktu dia bertugas.
Hairuddin menceritakan setiap perkara yang terjadi secara terperinci memandangkan kesemua maklumat itu amat diperlukan oleh anggota polis dalam menjalankan siasatan.
“Menurut dari maklumat kami, kesemua suspek yang pada asalnya adalah manusia biasa.Perwatakan mereka berubah sepenuhnya menjadi buas dan ganas.Tidak ubah seperti haiwan liar yang mencari mangsa.Ianya berpunca dari penggunaan Brainlink.” Salah seorang pegawai polis menjelaskan secara ringkas.
“Penggunaan Brainlink telah luas digunakan sejak sekian lama.Kenapa tiba-tiba boleh berlaku perkara sebegini, tuan?” Hairuddin pula menyuarakan persoalan.Dia juga tertanya-tanya.
“Perkara itu masih di dalam siasatan kami.Memandangkan situasi sekarang teramat berbahaya.Ramai nyawa yang tidak bersalah maut di tangan mereka.” Jelas anggota polis itu lagi.
“Ada maklumat lain menyatakan, manusia yang normal pada asalnya berubah menjadi ganas dan buas akibat penggunaan Brainlink dalam tempoh yang sangat singkat. Sedangkan, sambungan data ke pengkalan data induk ketika ini masih terputus dan masih belum dapat diperbaiki lagi. Bagaimana Brainlink boleh berfungsi kalau pangkalan induk utama masih down dan tidak beroperasi?” Hadif pula bersuara.
“Itulah yang merumitkan keadaan.Kita tidak tahu mengapa mereka menggunakan Brainlink ketika itu sedangkan alat itu masih tidak dapat berfungsi tanpa sambungan ke sistem induk utama. Mengikut perangkaan saya, mungkin berlaku masalah teknikal pada alat itu.Mungkin ianya adalah glitch pada sistem.” Salah seorang pegawai polis itu menyuarakan pandangannya.
“Mana mungkin, tuan. Glitch hanya berlaku berdasarkan pada sesebuah sistem sahaja atau ianya hanya melibatkan satu peralatan sahaja. Sekarang, kesemua suspek yang memakai Brainlink jadi perkara yang serupa.Ianya berlaku dalam jumlah yang banyak dan serentak.Pada masa yang sama, tiada aktiviti yang aneh pada sistem induk utama.Pakar teknologi kita telah menyemak secara keseluruhan pergerakan data pada sistem induk utama berulang kali dan hasilnya tetap sama.Tiada aktiviti yang aneh berlaku. Kita mendapati tiada glitch yang berlaku pada sistem induk utama juga.” Hadif juga tidak ketinggalan memberikan pandangannya.
Keadaan semasa ketika itu, pihak pakar teknologi saling berganding bahu bagi menyelesaikan masalah teknikal pada sistem induk utama sekali gus mengaktifkan kembali sistem server utama yang melumpuhkan kehidupan seharian manusia ketika itu.
“Itulah yang lebih merumitkan keadaan.Ketiadaan teknologi ketika ini melumpuhkan prosedur siasatan kita.Kita terpaksa melakukannya mengikut kaedah lama.” Salah seorang dari anggota polis itu pula bersuara.
Lantas beberapa soalan ditanya kepada Hairuddin sebelum kedua-dua anggota polis itu beredar.Hanya Hairuddin dan Hadif sahaja yang berada disitu ketika ini. Hadif sekadar memandang ke arah anak-anak buahnya yang bertungkus-lumus melaksanakan tugasan mereka sebelum mereka beredar.Keterangan dari Hairuddin sudah pun diambil dan siasatan lanjut akan dilakukan tanpa perlu melibatkan Hairuddin lagi memandangkan dia adalah mangsa yang terselamat dari serangan buas itu.Tanpa mereka ketahui, Hairuddin dan Hadif juga terlibat di dalam siasatan oleh pihak Hyperserv sendiri. Dia amat yakin pihaknya pasti akan dapat merungkai rahsia itu.Sekurang-kurangnya, pihak Hyperserv dapat memudahkan kerja anggota polis pada masa akan datang sekiranya punca serangan itu dapat dikenalpasti.
“Hairuddin, macam mana anak kamu boleh bertindak sehebat itu?” Hadif mengambil tempatnya bersebelahan Hairuddin.
“Saya kurang pasti apa yang berlaku tapi saya yakin.Itu bukanlah tindakan dari Ismail sendiri.Dirinya seolah-olah dikawal oleh sesuatu.” Hairuddin meringkaskan pendapatnya.
“Dikawal sesuatu?” Hadif kurang mengerti.
“Ismail seolah-olah dikawal oleh satu kuasa lain dari dalam dirinya sendiri.Mungkin ianya akan aktif apabila dalam keadaan merbahaya.Atau, dia cuba untuk melindungi seseorang.” Hairuddin sekadar menduga namun ianya hanya pendapat dan pandangan dari seorang veteran.Setakat ini, sangkaannya tidak pernah meleset sama sekali.
“Maknanya, Ismail akan berubah perwatakan menjadi seorang yang handal apabila dia cuba untuk melindungi sesuatu atau dirinya dalam keadaan merbahaya.Begitu?” Hadif dapat menangkap situasi Ismail dengan lebih jelas.
“Nampaknya begitulah.Itu sekadar dari pemerhatian saya.Selebihnya, kita perlu tunggu untuk Ismail sedar semula dan dapatkan keterangan darinya sendiri.” Hairuddin lebih bersikap matang dan berpandangan jauh.Sekadar pendapat dan pandangan dari satu pihak sahaja tidak mencukupi.Dia perlukan bukti yang lebih kukuh atau saksi itu sendiri yang menyatakannnya. Tanpa bukti atau asas yang kukuh, segalanya akan menjadi kabur.Lebih merumitkan keadaan jika tersilap perangkaan yang pasti akan meragut nyawa.
“Mungkin...ini adalah impak dari ‘keberangkatan’ Ismail ke dunia Hyperserv?” Hadif menduga.Ada benarnya juga kenyataan yang diungkapkan oleh Hadif. Mungkin kerana impak Ismail yang secara tidak sengaja masuk ke dunia Hyperserv tanpa rela sekali gus meninggalkan kesan ke atas dirinya.
Hairuddin mendiamkan diri tanpa membalas kenyataan dari Hadif.Sudah menjadi kebiasaan baginya untuk mendiamkan diri dari memberi jawapan yang tidak dia ketahui.Lebih baik berdiam diri dari berkata-kata yang masih kabur jawapan.Kelak menjadi fitnah yang memakan diri.
“Saya teringin untuk ke dunia Hyperserv.Saya nak melihat dunia baru yang dikatakan hebat itu.” Tanpa disangka, Hadif meluahkan apa yang terbuku dihatinya selama ini sepanjang dia menceburkan dirinya ke dalam pihak Hyperserv.
“Jangan! Jangan sama sekali!” Hairuddin bertegas.Nadanya kedengaran agak tegas. Hadif terkedu apabila mendapat bantahan sebegitu rupa dari sahabatnya itu.
“Dunia itu terlalu buas untuk manusia seperti kita.Saya sendiri menyangka bahawa dunia itu telah hilang bersama-sama penciptanya dahulu tetapi sangkaan saya meleset.Saya sangkakan dunia itu ditinggal sepi tidak berpenghuni tanpa sebarang campur tangan manusia. Saya tidak menyangka Rayfall mempunyai anak didik yang berhasrat untuk menyambung projek gila itu semula.Jika saya tahu lebih awal, saya akan membantah sekeras-kerasnya.Mereka tidak tahu apa yang lebih merbahaya di dalam dunia itu.Bangsa yang lebih ganas dan buas menghuni dunia itu.” Hairuddin sekadar mengimbau memori lampau.Hadif yang mendengar kenyataan dari Hairuddin itu tercengang tidak terkata. Pada pendapatnya, dunia itu kedengaran agak hebat namun ianya adalah rekaan manusia semata-mata. Tidak ada satu pun ciptaan manusia yang setanding dengan ciptaan-Nya.Ciptaan Allah S.W.T tidak pernah sia-sia dan setiap kejadian yang dijadikan oleh-Nya mempunyai maksud dan tujuannya tersendiri.Sedangkan ciptaan manusia itu pasti ada kelemahannya yang akan memakan diri manusia itu sendiri.
“Maksud kamu, Yazaid dan Fared?” Hadif menduga.Dia pernah mendengar nama itu dari Hairuddin sendiri dan bercerita tentang perihal mereka.Hairuddin sekadar mengangguk kepalanya.Dia tidak pernah berhasrat untuk membantu Yazaid dan Fared dalam menguruskan dunia Hyperserv yang dianggap buas baginya.Biarlah dunia itu bersemadi tanpa dapat dicapai oleh mana-mana manusia sekali pun.Biarlah dunia itu luput buat selamanya.
“Saya tidak pernah terlintas langsung untuk membantu mereka dalam menyambung projek gila Rayfall tu. Dan silap saya sendiri untuk tidak menghalang mereka.Apa yang terjadi ketika ini, saya yakin.Ianya pasti mempunyai kaitan rapat dengan dunia Hyperserv.” Hairuddin mengeluh halus.Terasa dadanya memberat.
“Apa kaitan dunia Hyperserv dengan dunia realiti kita? Itu dua dunia yang berbeza dan saling tidak terkait mahupun bersentuhan.” Hadif menyuarakan pendapatnya yang kedengarannya logik.Mana mungkin dunia digital yang wujud di dalam server mampu menjejaskan dunia realiti.Ianya satu perkara yang tidak masuk akal.
“Jika saya katakan, dunia Hyperserv itu sendiri adalah ‘hidup’.Apa kamu percaya?” Hairuddin menduga. Hadif kelihatan tercengang.
“Penciptaan dunia Hyperserv itu sendiri direka berasaskan kod asas untuk mencipta sebuah sistem yang boleh beroperasi dengan sendiri. Atau dengan kata mudah, sistem yang berasaskan Artificial Intelligence atau A.I.” Hadif mendengar penjelasan Hairuddin dengan tekun tanpa mencelah.
“Dengan menggunakan kod asas Artificial Intelligence, ini bermakna dunia itu sendiri boleh berkembang dengan sendirinya.Mengoperasikan sistem masanya sendiri.Mengubahsuai cuaca dan musimnya sendiri tanpa perlu program atau campur tangan dari manusia. Menguruskan setiap hidupan di dunia itu dengan sendiri tanpa perlu diprogramkan. Dunia itu mencorakkan rentaknya sendiri mengikut kesesuaian.” Tambah Hairuddin lagi.
“Itu perkara yang bagus juga.Sistem yang beroperasi sendiri tanpa manusia perlu memprogramkannya.” Hadif sekadar meluahkan pendapatnya.
“Benar.Ada bagusnya tetapi pernahkan kamu terfikir. Apa yang bakal terjadi sekiranya sistem Artificial Intelligence itu beroperasi sendiri melebihi dari apa yang sepatutnya? Apa yang bakal terjadi sekiranya terlalu banyak perkara yang telah dipelajari oleh sistem Artificial Intelligence tentang pengurusan dunia dan apa yang bakal dilakukan olehnya selepas itu?” Persoalan Hairuddin dibiarkan tergantung oleh Hadif.Dia sekadar menggelengkan kepalanya.
“Kemusnahan ketamadunan manusia! Itu yang boleh saya katakan.” Nada Hairuddin kedengaran tegas namun terselit nada kecewa dan takut. Bukan kerana takutkan kemusnahan dari manusia itu sendiri tetapi dia takutkan dengan kemusnahan dan azab yang diturunkan oleh Allah S.W.T terhadap kaum yang kufur akan nikmat-Nya.
“Jika sistem Artificial Intelligence itu melebihi dari piawaian yang sepatutnya, sistem itu sendiri akan beralih untuk mempelajari tentang dunia manusia pula.Kalung Brainlink yang digunapakai ketika ini mempunyai sambungan secara tidak langsung kepada dunia Hyperserv. Ini membolehkan dunia itu termasuk hidupannya mempelajari corak ketamadunan manusia itu sendiri sekaligus sampai ke satu tahap, dunia itu sendiri berhasrat untuk bergabung dengan dunia manusia.” Hujah Hairuddin ternyata amat rumit untuk difahami.
“Eerr..saya kurang mengerti. Bergabung?” Hadif menjadi bingung.Hairuddin memandangnya sekilas.
“Gabungan dua dunia diantara dunia manusia dan dunia Hyperserv! Lebih tepat lagi, Hyperserv mampu mengambil alih dunia manusia! Apa yang saya nak katakan adalah berdasarkan situasi sekarang. Lihat sahaja apa yang berlaku. Pada hemat saya, manusia-manusia buas itu berubah sifat dan sikapnya kerana...tubuh mereka sudah pun diambil alih oleh hidupan lain yang berasal dari...Hyperserv!” Tegas Hairuddin ternyata membejatkan akal yang waras.Hadif tercengang.Hanya Hairuddin sahaja yang tahu implikasi negatif yang bakal dibawa oleh dunia kejam itu.Ciptaan manusia pasti akan merugikan manusia itu sendiri tanpa disedari oleh mereka terutama ianya disalahguna.
Ianya menjadi perkara yang tidak mustahil untuk berlaku memandang penggunaan Brainlink yang semakin meluas menjadi jambatan kepada Hyperserv mempelajari corak ketamadunan manusia itu sendiri.Sekaligus, sel-sel otak manusia waras mampu dihapuskan dan juga boleh dimanipulasi oleh Brainlink yang dikawal selia sepenuhnya oleh Hyperserv. Inilah yang dimaksudkan oleh Hairuddin.Gabungan dua dunia.Pengambilalihan Hyperserv terhadap ketamadunan manusia.
152Please respect copyright.PENANARXIKzjU8Of
>>Bersambung Server 59
ns 15.158.61.17da2