Dentuman demi dentuman kedengaran. Meletus di sana sini. Bunyi tembakan berdas-das dilepaskan dan bertalu-talu. Situasinya tidak ubah seperti medan peperangan. Pihak ketenteraan berjumlah tidak seramai pihak musuh.
Manusia buas dijadikan benteng pertahanan bagi satu susuk tubuh yang berada di bahagian paling belakang. Sekadar berpeluk tubuh sambil memerhati. Manusia-manusia buas itu dipanggil menggunakan satu kuasa unik. Mungkin ianya satu kuasa telepati yang menghubungkan mindanya dan minda manusia-manusia buas ini. Dia jugalah yang mengawal setiap pergerakan jasad manusia itu serta memberi arahan.
Hairuddin kemengahan. Laras senjata yang digenggam kejap terasa bergetar. Seluruh tangannya terasa menggigil. Usianya kini tidak lagi sesuai untuk mengendalikan medan perang seperti ini. Dia menjeling ke arah hadapan. Kelihatan pihak tentera bertungkus lumus melepaska berdas-das tembakan ke arah musuh berupa jasad manusia yang tidak putus menyerang. Mereka tidak bersenjata langsung sama sekali. Mereka menerpa ke arah pihak tentera dengan terjahan sahaja namun oleh kerana jumlahnya agak ramai, pihak tentera tidak mampu untuk membendung kemaraan mereka.
Hairuddin mengerutkan dahinya. Mana mungkin untuk dia mampu mencederakan ketua mereka yang berada di bahagian paling belakang. Lantas Hairuddin mengeluarkan sejenis alat berbentuk sekeping kaca yang bersaiz sebesar komputer riba. Satu butang ditekan pada bahagian kanan dan paparan kaca itu mengeluarkan paparan hologram.
Hairuddin menyelidik situasi semasa. Dia cuba untuk mengesan sebarang gelombang aneh. Mengikut kajiannya beberapa ketika lalu, dia mengesan gelombang-gelombang aneh yang terpancar dari seorang individu sahaja. Gelombang itu yang mengawal minda-minda manusia buas ini semua.
Hairuddin merencanakan sesuatu. Dalam situasinya begini, ia tidak membataskan pergerakannya. Ditambah pula dengan kerumunan manusia buas ini. Ramai juga di kalangan pihak tentera yang gugur. Kemaraan mereka bagaikan zombie. Tidak mempunyai perasaan sama sekali. Membunuh dengan buas dan rakus. Merobek daging-daging pihak tentera yang gugur dengan lahap. Tidak cukup dengan itu, mereka menyerbu lagi buat sekian kalinya. Begitulah keadaannya yang berulang-ulang. Kudrat mereka seolah-olah tidak berpenghujung sedangkan pihak tentera adalah manusia biasa yang mempunyai kudrat yang terbatas. Lambat laun, mereka akan tumbang jua. Hairuddin perlu merencanakan sesuatu. Nun di bahagian barisan paling belakang di antara manusia buas itu, seorang lelaki berdiri dengan berpeluk tubuh. Seorang perempuan pula muncul dari dalam rumah agam tersebut dan mendapat susuk tubuh itu.
“Apa kita kena buat sekarang, Kreious?” Perempuan itu menyapa lelaki yang berada di sebelahnya. Lelaki bertubuh kekar itu hanya mengeluh halus sambil menderam-deram.
“Tiada apa. Kau berehat dahulu, Zie. Kelak aku perlukan kau. Kau perlukan tenaga yang secukupnya untuk laksanakan tugasan seterusnya.” Kreious memberi arahan mudah kepada Zie, perempuan hacker pengkhianat kepada bangsa manusia itu. Zie melabuhkan punggungnya di atas sebuah pelantar kayu yang berbentuk memanjang yang dijadikan kerusi. Dia hanya memerhatikan sahaja pergerakan manusia-manusia buas itu menyerbu ke satu arah dan berpusat. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Manusia-manusia buas itu datang dari segenap arah. Baik dari belakang, kiri, kanan mahupun dari bahagian hadapan sana. Seolah-olah ada satu gelombang yang memanggil mereka untuk hadir ke sini dan melibatkan diri dengan kancah peperangan. Bahkan, jumlah mereka semakin bertambah ramai bilangannya. Jumlah kematian di kalangan mereka juga boleh dikatakan ramai.
Kreious hanya memerhatikan pergerakan mereka. Zie memandang ke arah lelaki itu yang kelihatan lebih tampan dari penampilan sebelumnya. Jasad yang diguna pakai sebelum ini kelihatan tua dan tidak bermaya. Jasad baru ini lebih kekar dan tampan. Zie tersenyum melihat penampilan baru kesayangannya itu.
“Macam mana kau mengawal mereka semua secara serentak, Kreious?” Zie tertanya-tanya bagaimana lelaki itu mampu mengawal minda keratus-ratus kemaraan tentera manusia buas itu.
“Ini keistimewaan aku yang tidak ada pada makhluk lain. Dalam bangsa Valkazar, kau pun kenal siapa aku dan aku pernah bercerita pada kau. Apa kau sudah lupa?” Zie tersentak. Buat seketika dia terlupa akan gerangan lelaki bertubuh kekar yang berdiri di hadapannya ini. Dia masih ingat lagi bagaimana titik perkenalan mereka bertahun-tahun yang lalu. Dia masih ingat lagi akan kisah-kisah yang dilalui oleh Kreious sebelum mengambil alih tubuh seorang lelaki saintis terkemuka di bandar itu. Dan kini, lelaki bernama Kreious berbangsa Valkazar itu mengambil alih tubuh seorang lelaki kekar pula sebagai perumah jiwanya.
Pada awalnya, seluruh bangsa Valkazar yang dipenjarakan di Grotte Bardtan tidak tahu langsung bahawa mereka mampu mengambil alih tubuh badan manusia berjasad di dunia manusia kerana mereka hidup di dalam dunia digital yang tidak berfizikal.
Oleh kerana Kreious terlepas ke dunia manusia secara tidak sengaja dalam satu tragedi bertahun-tahun yang lalu, ia memberi peluang kepada Kreious untuk mengkaji dan menyelidik dengan lebih mendalam tentang cara dan teknik yang lebih efisien untuk keseluruhan bangsanya keluar dari Hyperserv dan ‘merampas’ tubuh manusia yang berjasad untuk dijadikan perumah baru bagi diri mereka. Ini secara tidak langsung membolehkan bangsa ini menguasai dunia Hyperserv sekali gus merampas takhkta pemerintahan dunia manusia. Kreious lah bangsa Valkazar pertama yang berjaya ke dunia manusia.
Kini, matlamat mereka hampir tercapai. Kreious tersenyum puas. Jumlah penduduk manusia di bumi ini mempunyai berbillion-billion keseluruhannya da semestinya keseluruhan bangsa Valkazar yang berjumlah jutaan dan mungkin mencecah ke billion dapat dimuatkan ke dalam jasad manusia disini. Segala perancangan, perangkaan dan penelitiannya selama ini membuah hasil yang cukup lumayan baginya. Bagi Kreious, membalas dendam terhadap bangsa manusia, spesis yang sama dengan Rayfall pun sudah memadai baginya meskipun tidak dapat membunuh orang yang paling dikehendakinya secara terus. Ini sahaja sudah memadai. Bahkan, ia lebih memuaskan hatinya kerana mangsa berjumlah tersangat ramai. Ya. Ini sudah memadai baginya.
Setiap jaluran memori itu bergentayangan di minda Zie. Dia masih ingat lagi perbualannya dengan Kreious suatu ketika dahulu.
“Tapi bukan setiap masa kau boleh push telepati ni, Kreious. Ada masa kau kena berhenti dan rehat juga. Kelak nanti ia akan membinasakan tubuh baru kau sendiri.” Ada benarnya kata-kata Zie memandangkan dia banyak membantu Kreious dari segala genap sudut termasuk mengendalikan frekuensi telepati Kreious dalam mengawal minda manusia itu sekali gus membenarkan bangsa Valkazar mengambil alih tubuh badan mereka.
“Aku tahu. Tapi aku tak boleh berhenti sekarang. Pihak tentera manusia semakin ramai di sana. Mereka hantar pasukan bantuan. Aku perlu menguatkan frekuensi telepati. Zie, dapatkan aku Telekinesis Amp yang kau hasilkan. Aku nak tengok keberkesanannya.” Kreious memberi arahan.
“Tapi Kreious...alat tu masih dalam ujian. Kita tak tahu tahap keberkesanannya lagi. Takut-takut... banyak kesan negatif berbanding positifnya.” Zie menjadi bimbang. Kreious tersenyum lebar.
“Kalau tidak dicuba, mana kita tahu hasilnya. Kalau kita tidak mencipta, tidak akan wujud setiap satu perkara.” Kreious berfalsafah ringkas yang mudah untuk difahami. Zie hanya akur. Dia sangat mengenali lelaki itu. Jika katanya hitam maka hitamlah. Jika putih keputusannya maka putihlah.
Zie mengeluarkan sebuah alat berbentuk mahkota yang diubahsuai bentuknya lalu menyerahkan kepada Kreious untuk diuji. Tanpa berlengah, mahkota itu disarungkan di atas kepalanya dan Kreious memejamkan matanya. Satu gegaran mula terasa dari dalam bumi seolah-olah gempa kecil.
Tidak semena-mena, ribuan manusia berjiwa binatang muncul dari segenap pelusuk daerah tu. Jika dilihat dari udara, gerombolan itu umpama hurungan semut-semut yang menyerang mangsanya. Zie menyarungkan jubahnya dan menutup keseluruhan tubuhnya.
Kematian berlaku lagi. Mayat-mayat bergelimpangan yang majoritinya terdiri daripada pihak ketenteraan. Manusia berjiwa binatang itu sukar untuk ditumbangkan. Nyawa mereka ternyata liat dan ampuh. Tebakan peluru seolah-olah tidak lut pada mereka. Hanya ledakan yang tepat menembusi dahi mereka sahaja mampu melemahkan mereka sekali gus membunuh mereka secara perlahan-lahan. Itu pun kematiannya lambat menjemput mereka. Tiada cara yang benar-benar efektif buat masa ini. Serbuan pihak tentera seolah-olah tiada makna dan tidak berhasil. Jika diperhatikan pada situasi, pihak tentera perlu berundur buat seketika untuk memulihkan mereka yang cedera.
Kreious ketawa terbahak-bahak. Alat ini menguatkan gelombang telekinetiknya sekali gus dapat mencapai ke kawasan yang lebih luas untuk mengawal bangsa manusia yang sudah dikuasai oleh Valkazar. Zie hanya memandang dari belakang sambil tersenyum. Usahanya juga ternyata memberikan hasil yang cukup puas baginya. Kreious adalah individu yang menyelamatkannya suatu ketika dahulu di dalam satu tragedi yang melibatkan hidup dan matinya. Kini, masa untuknya membalas jasanya kepada Kreious. Taat dan setianya hanya pada Kreious. Pandangan matanya bergenang dalam tangis. Air matanya tumpah membasahi pipinya. Dia sama sekali tidak menyangka hari yang dinantikan ini akan tiba dan dia menyaksikannya. Dia terlalu ingin mendengar suara Kreious ketawa gembira sebegini. Seperti dahulu kala meskipun situasinya ternyata berbeza.
Dahulu, Kreious sering kali ketawa dan bergembira disaat Zie berada disampingnya. Banyak perkara yang mereka lalui bersama. Seolah-olah tiada pemisah di antara dua makhluk berlainan dunia ini. Kreious yang berasal dari dunia digital bukan penghalang baginya untuk mencintai lelaki itu sejak sekian lama. Kreious tidak pernah sekali pun melafazkan apa yang mahu didengarinya selama ini namun dari gerak bahasa tubuh Kreious, dia amat meyakini bahawa lelaki itu juga turut merasai perasaan yang sama. Rasa sayang dan cinta yang tidak berbelah bahagi di antara mereka. Hanya terpendam di dalam hati tersimpul mati. Sejak dari itu, Zie bernekad untuk membantu Kreious untuk mencapai matlamat dan tujuannya. Kerana itu juga Zie memahirkan diri dengan bidang perkomputeran dan hacking sistem perkomputeran. Semuanya dilakukan hanya untuk Kreious. Hanya kerana cinta yang membutakan. Benarlah kata-kata pujangga. Cinta itu buta. Hingga buta pada kebenaran.
Pandangan mata Zie semakin berbinar. Penglihatannya semakin kabur. Berkali-kali Zie mengerdipkan matanya namun pandangannya kabur dan badannya hilang imbangan. Zie jatuh terjelepuk ke hadapan. Kreious lantas menoleh lalu mendapatkan Zie yang hilang upaya secara tiba-tiba. Air mata Zie yang membasahi pipinya menambahkan kehairanan kepada Kreious.
“Zie, kau ok ke? Kenapa kau menangis?” Kreious memangku tubuh Zie. Gadis itu sekadar tersenyum.
“Mungkin kurang rehat. Aku...mula rasa penat dan...mengantuk.” Kreious kehairanan. Kesayangannya itu tidak pernah jadi sebegini. Mungkin Zie benar-benar penat dan memerlukan rehat. Kreious membelai wajah Zie dengan penuh kelembutan.
“Tak apa, Zie. Kau berehat dahulu. Kau terlalu banyak mengerahkan tenaga untuk aku. Sekarang, masa untuk aku membalas apa yang telah kau korbankan. Kau berehat dahulu, ya?” Kreious bernada memujuk. Zie tersenyum. Dahinya berkeringat seolah-olah menahan sakit. Kesakitan yang menjalar dari urat sendi. Pandangan mata Zie tertancap pada wajah Kreious yang ternyata berwajah individu yang berlainan kerana lelaki itu telah menukar jasadnya namun pada pandangan kaca mata Zie, dia tahu akan wajah sebenar lelaki itu dan bayangan itulah yang bergentayangan di tubir kaca matanya. Air matanya tumpah lagi. Hatinya rawan dan menahan sebak. Dia seolah-olah menahan kesakitan yang teramat yang tertahan. Zie membelai wajah Kreious dengan penuh kasih dan sayang.
“Maafkan aku...Kreious...Aku perlukan rehat...sekarang.” Suaranya tertahan-tahan. Mata Kreious mula bergenang namun ditahan sebaik mungkin. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Zie.
“Ya, Zie. Aku benarkan. Kau pun dah janji untuk terus bersama aku, kan? Kita akan berjaya di dunia Hyperserv. Aku menjadi raja dan kau menjadi permaisuri aku. Itu janji kau pada aku, Zie. Aku masih ingat. Masih segar dalam ingatan aku, Zie. Kau rehat sekarang, kejayaan milik kita apabila kau bangun nanti.” Kreious menyeka air mata Zie yang tumpah. Riuh-rendah manusia buas yang bertelingkah langsung tidak menggugat perasaan mereka berdua pada ketika itu. Seolah-olah suasana menjadi sepi. Hanya mereka berdua.
“Aku akan terus bersama...kau...cuma sekarang...mungkin aku...penat...aku cuma...mengantuk saja, Kreious.” Zie meminta keizinan untuk berehat. Suaranya tertahan-tahan. Kreious tersenyum hambar menahan sebak. Dia tersenyum sambil mengganggukkan kepalanya. Dia semakin hairan dengan tingkah laku Zie.
Perlahan-lahan Zie memejamkan matanya. Dia perlukan rehat. Sudah terlalu lama gadis itu bertungkus-lumus untuk memastikan rancangannya berjaya. Kini, dia perlu melaksanakan tugasan seterusnya sementara Zie sedang beristirehat. Apabila hasratnya tercapai kelak, dia telah berjanji pada Zie untuk membawanya ke dunia Hyperserv cuma pada ketika itu suasananya ternyata berbeza. Dia sebagai raja dan Zie sebagai permaisurinya. Itu janjinya. Itu juga janji yang dipegang oleh Zie sehingga ke akhirnya. Mereka pernah berjanji untuk sehidup dan semati. Perjanjian yang termeterai suatu ketika dahulu mengikat janji di antara mereka. Hanya mereka berdua yang mengetahui. Tidak dinafikan, Kreious juga menyimpan perasaannya terhadap Zie selama ini namun hanya dipendamkan.
Kreious mengangkat tubuh Zie untuk dibawa masuk ke dalam rumah agam dan membiarkan Zie beristirehat di tempat yang lebih selesa. Sebaik sahaja kedua tangan Kreious memeluk tubuh Zie, Kreious terasa ada sesuatu yang membasahi tangannya lantas dia melihat ke arah tangannya. Matanya terbeliak. Jantung manusianya berdegup pantas.
‘Darah??’ Kreious bermonolog sendirian. Dia lekas-lekas membawa Zie masuk ke dalam lantas membaringkan tubuh gadis itu. Kreious mengejutkan Zie sambil membelek-belek tubuh gadis itu. Hatinya mula runsing. Jiwanya mula kacau.
Terbeliak matanya apabila mendapati terdapat kesan luka besar akibat tebakan peluru yang menembusi perut gadis itu namun tidak disedari olehnya kerana Zie mengenakan jubah yang menutupi hampir keseluruhan tubuhnya namun Kreious tidak perasan bahawa bahagian belakang jubah itu turut terkoyak akibat tebakan peluru yang menembusi tubuh gadis itu. Mungkin Zie menyarungkan jubah itu dan menutup seluruh tubuhnya untuk menyembunyikan luka tebakan itu dari pengetahuan Kreious. Dia tidak mahu Kreious bimbang akan dirinya. Dia tidak mahu Kreious hilang fokus di dalam melaksanakan misi dan matlamatnya. Dia hanya mahu Kreious gembira dengan apa yang dilakukan dan apa yang diusahakannya. Selama ini, hanya Zie yang tahu betapa pahitnya hari-hari Kreious melalui pengalamannya di dunia asing bagi Kreious. Hanya Zie yang tahu jatuh bangunnya Kreious setiap hari.
“Zie...Zie...bangun!.” Hanya itu sahaja ungkapan yang terungkap. Perlahan-lahan Zie membuka kelopak matanya. Dengan saki-baki nyawa yang menunjang tubuhnya, dia berusaha untuk menyentuh wajah lelaki itu. Lantas Kreious mendapatkan tangan Zie dan mencium tangan gadis itu bertalu-talu. Air mata lelakinya tumpah jua. Titisnya bagaikan mutiara hinggap ke wajah Zie yang sedang menahan kesakitan yang teramat namun gadis itu tetap tersenyum. Dahinya berkeringat.
“Maafkan Zie...sebab tak...dapat bersama...” Suara Zie tenggelam timbul di rengkongan. Kreious menahan tangis yang teresak-esak.
“Tak, Zie. Tak! Aku yang bersalah. Aku tak patut bawa kau bersama aku hari ni. Aku nak kau hidup bersama aku nanti di dunia aku. Bangun, Zie. Kau boleh lawan, Zie. Lawan kesakitan tu, Zie! Jangan kau mengalah. Aku ada!” Kreious menggenggam kejap jemari Zie yang halus. Tangan itulah yang membantu sehingga ke hari kejayaannya seperti ini. Namun setelah kejayaan hampir dikecapi, empunya tangan itu mahu meninggalkannya pula.
“Tidak, sayang...Ada perkara yang...kita boleh lawan dan...ada yang tidak boleh kita lawan...Ajal tak akan mungkin...tertangguh.” Kreious menahan tangis. Mendengar setiap bait bicara terakhir kesayangannya. Zie menelan liurnya yang terasa pahit. Kakinya mula hilang rasa. Bahagian pinggang dan ke bawah sudah terasa kebas dan sejuk.
“...kita boleh melawan semua tetapi yang tidak boleh...kita lawan ialah...takdir dan...kematian.” Semakin melebat tangisan Kreious. Air matanya menitis ke wajah Zie. Perlahan-lahan gadis itu menyeka air mata Kreious dengan penuh lembut. Itulah perkara yang terlalu ingin dilakukannya selama ini. Kini, hasratnya tercapai meskipun untuk tempoh beberapa minit sahaja lagi sebelum tubuhnya mencapai ke tarikh luput.
“Aku...manusia biasa...yang tak mampu melawan takdir dan...kematian...Bila tiba masa kita...kita perlu...pergi juga...Itulah perkara...yang tidak boleh kita lawan...” Pandangan Zie semakin berbinar dan kelam. Air matanya tumpah melihat wajah kesayangannya yang semakin kabur.
“Jaga diri, sayang... pastikan kau...berjaya capai...apa yang kau...terlalu hajatkan...Aku cuma mampu menemani kau....sampai disini saja...maafkan, Zie...sayang.” Usai lafaz itu terluah, tangan Zie mula longlai dan menghempas ke bumi. Itulah hembusan nafas terakhirnya. Krenious tersedu-sedu menahan sebak. Selama dia bersama Zie, tidak pernah sekali pun gadis itu membantah bahkan selalu menemaninya setiap masa. Menjadi penyokong setianya dan juga merupakan tulang belakang baginya. Kini, Zie telah meninggalkannya buat selamanya. Dia kini perlu mengharunginya seorang diri tanpa Zie. Tanpa kesayangannya itu lagi disisinya.
“...yang aku terlalu inginkan... bukan menguasai Hyperserv semata-mata tapi...aku terlalu inginkan...kau bersama aku buat selamanya di Hyperserv...” Kreious mencium dahi jasad Zie yang sudah tidak bernyawa. Terbayang di tubir mata Kreious bayangan senyuman Zie yang selalu mengindahkan hari-harinya.
Suasana hiruk-pikuk diluar seolah-olah sepi baginya. Hanya mereka berdua. Wajah Kreious berubah kemerahan. Gelombang aura mula bergema-gema. Wajahnya menyerigai.
“Aku berjanji untuk bunuh siapa yang membunuh kau, Zie. Aku balas kematian dengan darah!” Darah Kreious menggelegak. Amarah di gunung merapinya mula meletus dan bakal meragut nyawa pembunuh kesayangannya.
147Please respect copyright.PENANALpDYbQPyxs
>>Bersambung Server 68
ns 15.158.61.44da2