SERVER 33
Red Forest, Fin Del Mundo, HyperServ
Jajahan Red Forest berada di permukiman Fin Del Mundo.Di dalam peta benua yang dikenali sebagai Grand Southgate ini, mukim Fin Del Mundo merupakan jajahan kawasan terbesar bagi benua ini sekali gus ianya merupakan kawasan jajahan yang memanjang ke selatan.Kawasan jajahan Fin Del Mundo juga merupakan kawasan yang paling banyak bukit-bukau dan gunung-ganang.Malahan, gunung-gunung yang terdapat di kawasan itu memiliki ketinggian melangkaui awan sehingga puncak gunungnya tidak kelihatan kerana dilitupi awan.Kristal Master Orb yang perlu dikuasai oleh Kirin dan Leo juga berada di kawasan jajahan ini.Hanya lokasinya sahaja yang tersembunyi tanpa diketahui oleh sesiapa.
Suasana malam ketika berada di Red Forest ternyata menyeramkan.Dua bulat sabit kelihatan berwarna kemerahan.Anehnya, jika berada di dalam kawasan Red Forest sahaja akan kelihatan warna bulan kemerahan sedangkan jika dilihat dari kawasan yang berbeza, warnanya seperti bulan biasa.
Fared semakin tidak bermaya.Tubuh diikat pada sebatang tiang kayu.Selama keberadaannya disini, tiada sesaat pun dia dibiarkan tidak berusik.Setiap masa ada sahaja penduduk kampung makhluk pelik itu mengunjunginya.Kehadiran mereka bukan kerana untuk bertanya khabar tetapi untuk menyeksa tawanan manusia itu.
Wajah Fared kelihatan pucat.Seluruh kudratnya terlucut sama sekali.Nafasnya tercungap-cungap.Tubuhnya banyak luka dan lebam.Matanya kirinya lebam akibat ditumbuk.Darah kering masih melekat pada hidung dan mulut.Ternyata Fared dibelasah dengan teruk.Hanya kerana dendam kepada manusia kononnya pernah mampir ke perkampungan mereka dan memerangi mereka suatu ketika dahulu.
Tidak lama kemudian, penduduk kampung datang berbondong-bondong dengan memegang api jamung setiap seorang.Makhluk tua berbongkok selaku penghulu disitu berada di hadapan sekali.Kelihatan dua orang pahlawan makhluk itu berdiri kiri dan kanan penghulu mereka.
“Malam ini, kau akan ku jadikan korban termulia Crone Naga Batu.Jangan kau bersuara atau meningkah.” Suara parau makhluk tua berbongkok itu kedengaran merengus-rengus kasar.
“Apa...yang kau buat...ni sia-sia.” Fared hilang upaya namun semangat juangnya masih belum terpadam.
Tanpa banyak bicara, satu tumbukan keras singgah tepat ke perut Fared.Terbeliak mata Fared menerima hentakan sebegitu rupa.Salah seorang pengawal tawanan yang bertubuh tegap itu melepaskan tumbukan padu sebagai tanda amaran.
“Kau bernasib baik kerana kau adalah korban termulia Crone Naga Batu.Kalau tidak...sudah lama riwayat kau aku habisi.” Makhluk tua berbongkok itu berpaling ke belakang dan mengangkat kedua-dua tangannya.
“Dengar sini! Malam ini Crone Naga Batu akan menerima korban termulia kita sejak sekian lama tidak merasa hidangan manusia durjana.Kita tidak akan dimurkai lagi untuk seratus tahun mendatang!” Penduduk kampung itu bersorak dan bertempik seperti histeria.
“Selama ini, korban untuk Crone Naga Batu hanya pengkhianat dan penjenayah di kalangan kita.Haiwan-haiwan yang lalu di jajahan kita.Malam ini! Korbannya lebih mulia!Yang ditunggu-tunggu! Manusia penjajah ini!” Tempik sorai penduduk menggamatkan suasana malam di persekitaran hutan itu.Fared hanya sekadar mampu melepaskan keluhan halus.Riwayatnya akan tamat pada malam ini.Hanya menunggu ajal datang penjemputnya.
Sesekali, kedengaran bunyi guruh dan petir sabung-menyabung di angkasa raya.Awan berkelip-kelip kemerahan apabila kilat menyambar.Penduduk kampung itu mendongak.
“Lihat! Crone Naga Batu mula meminta korbannya.Usung manusia itu! Bawa ke kawah lava korban kita!” Makhluk tua berbongkok itu memberikan arahan.Tanpa berlengah, pengawal tawanan mengangkat kayu yang memasung Fared.Mereka meletakkan hujung kayu pada pundak mereka.Maka, kedudukan Fared tidak ubah seperti binatang yang sedia untuk dipanggang.Terjuntai ke bawah.Terasa seluruh darah mengalir ke kepala.Wajahnya berkeringat dan merah padam.Nafasnya tersekat-sekat.Penduduk kampung makhluk itu mula berarak menuju ke tempat pengorbanan mereka.
Mereka bersorak-sorai seperti meraikan sebuah perayaan.Ada di antara mereka yang terjerit-jerit umpama dirasuk.Keadaan mereka tidak ubah seperti memuja sesuatu.Mempersembahkan korban yang terbaik pernah mereka persembahkan buat Crone Naga Batu.Selama ini, mereka hanya persembahkan korban yang terdiri daripada kalangan penjenayah di kalangan mereka ataupun haiwan yang melintasi kawasan perkampungan mereka.Namun pada kali ini, korban mereka merupakan seorang manusia yang dianggap korban paling mulia.
Pasungan Fared dan perarakan penduduk itu melintasi batang kayu yang memasung Ismail dan Kirin.Demi sahaja melihat kelibat Fared, Kirin menjerit.Air matanya tumpah lagi.Ismail tidak berdaya.Hanya ‘memanggil’ dengan sorotan pandangan matanya sahaja.Untuk menggerakkan jari sahaja sudah tidak berdaya.Makhluk tua berbongkok itu sekadar menjeling hina ke arah Ismail dan meneruskan perjalanan mereka ke tempat korban tanpa mengendahkan Ismail dan Kirin.
“Mereka kejam.Mereka sangat kejam.” Sayu suara Kirin yang terluah.Air matanya membasahi pipi.Dia tidak sanggup melihat Ismail dibelasah dengan begitu teruk.Fared pula akan dijadikan korban yang ternyata akan meragut nyawanya sama sekali.Dia merasakan dirinya bakal kembali berseorangan tanpa sesiapa.Pertemuannya dengan Ismail dahulu menceriakan hari-harinya.Sekurang-kurangnya ada teman untuk berbual dan bergurau-senda.Ismail juga menunjukkan sikap yang baik dan sopan terhadapnya selama perkenalan mereka.Keakraban mereka ditambah dengan kehadiran Fared di dalam perkumpulan mereka.Air matanya menitis semakin melebat.Ismail kelihatan semakin lemah.Kepalanya tertunduk ke bawah meminta nyawa.Sesekali nafasnya mendengus-dengus lemah.Dari kejauhan, dia memandang Fared yang diusung semakin menjauh.Nyawa Fared bakal diragut pada malam ini.Rupanya talian persahabatan mereka tidak bertahan lama.Jauh disudut hatinya, dia mula menaruh hati pada Ismail namun tidak pernah diluahkan selain memendam.
“Aaarrhhhhhhhhh!!” Kirin menjerit sekuat hatinya.Hatinya pedih bagai disiat-siat.Pilu di dalam hatinya rawan.Kehilangan kedua-dua sahabat ternyata amat memeritkan baginya terutama salah seorang daripadanya adalah ‘buah hati’ nya.Ismail tidak memberikan sebarang reaksi.Ternyata tubuhnya semakin lemah.
“Ismail! Ismail, bangunlah! Ismail...tolonglah..bangun.” Tangisan Kirin semakin teresak-esak.Dentuman petir di angkasa raya semakin meriah.Bersahut-sahutan dan sambar-menyambar.Rintik-rintik halus mula turun.Kirin terasa basah pada wajahnya.Tidak semena-mena, hujan turun membasahi persekitaran ini.Tidak terlalu lebat dan tidak terlalu halus.Hujan membasahi permukaan bumi Hyperserv ini seolah-olah memahami isi hati Kirin yang rawan.Wajahnya yang sugul semakin sayu.Air matanya deras mengalir bercampur dengan air hujan yang membasahi wajahnya.Tiada apa yang dapat dilakukan lagi sekarang.Sekilas dia memandang Ismail.Gerak alun dada Ismail semakin lemah.Nyawanya perlahan-lahan meninggalkan jasad Ismail disini.Kirin semakin sebak.
“Ismail!! Jangan tinggalkan saya!!” Jeritan Kirin seumpama halilintar membelah bumi.Seiring itu, petir di angkasa raya sabung-menyabung seolah-olah mengerti isi hati Kirin.
Makhluk tua berbongkok itu menjadi kehairanan.Hujan membasahi permukaan kawasan perkampungan mereka sejak sekian lama tidak dibasahi hujan.Dia melangoi ke atas.Sesekali kilat menyambar di angkasa raya yang gelap hitam gemitam.Sambaran itu menyebabkan awan gelap kelihatan kemerahan berkelip-kelip.
“Lekas! Crone Naga Batu semakin murka.Lihat! Kilat menyambar.Hujan pula turun semakin lebat! Tanda kemurkaan Crone Naga Batu semakin memuncak.Lekas! Lekas!” Penghulu mereka memberi arahan. Mereka bertindak seperti lipas kudung.Mempercepatkan langkah untuk sampai ke lokasi upacara mereka yang tidak jauh dari situ.Kawah lava mula kelihatan.Besarnya umpama sebuah tasik.Bezanya, ianya dipenuhi dengan lava yang membuak-buak kepanasan.Asap dan bau belerang mula menerpa rongga hidung.Fared semakin tidak selesa.Tubuhnya lemah yang teramat.Air hujan membasahi seluruh tubuhnya.Tanah berlecak dan berlumpur.
Setiap pergerakan umpama belati yang membelah setiap sendinya.Dengan tangan dan kaki yang diikat sebegini, ternyata amat menyeksakan dan memedihkan.Pelbagai jaluran kenangan mula bergentayangan di akal fikiran Fared.Dia terkilan tidak dapat menyelamatkan sahabatnya, Samsul yang terbunuh akibat projek gila mereka.Kini, dia menerima imbalannya.
Satu per satu wajah sahabatnya muncul di sebalik tubir matanya.Membayangi fikiran.Wajah Rozy hinggap di fikiran.Fared tersenyum lemah membayangkan wajah ‘kekasihnya’ itu walaupun tidak pernah terluah.Hanya sekadar disimpan kemas dan rapi di dalam hati.Tanpa disedari, air hangat mula terbit dari kelopak matanya.Mengalir dan menitis ke tanah bercampur air hujan yang seolah-olah memahami gelombang hatinya kala ini.Tiada apa yang dapat dilakukan lagi pada ketika ini.Tiada siapa yang mengetahui mereka disini.Tiada siapa yang akan menemui mereka lagi buat selama-lamanya.Segala yang pernah dikenali hanya tinggal kenangan. Nama mereka bertiga kini bakal menjadi sejarah tanpa berjasad lagi.Hatinya terkilan dan pilu.
Fared dicampakkan ke tanah.Tubuhnya terbanting ke tanah yang berlumpur.Kemudiannya, pengawal mencekak lehernya untuk mengelakkan Fared daripada melarikan diri dan meleraikan ikatan yang memasung tubuhnya ke batang kayu lalu diikatnya semula kaki dan tangan Fared ke belakang.Fared dipaksa duduk melutut di pinggir tanah.Perlahan-lahan matanya memandang ke hadapan.Fared mengeluh halus.Resah di hati sekadar didiamkan.Melawan pun sudah tidak berguna.Lautan lava yang panas membuak-buak berada di hadapannya.Hanya perlu ditendang tubuhnya sedikit sahaja maka terjunlah dia ke dalam lava yang pasti akan menyiat-nyiat dan membakar kulitnya sehingga rentung.
Makhluk tua berbongkok tampil ke hadapan mendahului penduduk yang lain.Api-api jamung di lindung dengan sehelai daun yang berbentuk lebar untuk menerangi persekitaran ini ketika upacara korban berlangsung.
“Crone Naga Batu! Aku membawa korban yang paling mulia diantara korban-korban yang pernah aku sajikan.Ini adalah bangsa manusia.Yang pernah menginjakkan kaki kotor mereka ke sini suatu ketika dahulu.Malam ini, korban ini aku sajikan menjadi hidangan kau! Juga untuk kau hukum!” Makhluk tua berbongkok itu mengerling tajam ke arah Fared yang sudah tidak berdaya.Hanya menunggu ajal menjemput pulang.Makhluk tua berbongkok itu memberi isyarat tangan tanpa bersuara.Dengan pantas, pengawal-pengawal yang bertubuh sasa memapah Fared untuk berdiri dan di bawa ke arah satu batas batu yang mengunjur ke lautan lava seperti jeti yang diperbuat daripada batu gunung berapi.Ternyata batu itu tidak pecah dimamah suhu yang teramat tinggi.Disitulah tempat mereka mencampakkan setiap korban-korban mereka.Apabila Fared sudah berada di atas batas batu yang mengunjur ke lava itu, kesemua pengawal kembali ke posisi asal kecuali hanya satu pengawal sahaja yang berada disitu.Dia ditugaskan untuk menolak korban jatuh ke dalam lautan lava.
Seiring itu juga, kesemua penduduk berlutut dan melekapkan kedua-dua telapak tangan mereka ke tanah seolah-olah sedang menyembah sesuatu.Makhluk tua berbongkok yang bertindak sebagai penghulu itu memulakan upacara.Jampi serapah dibaca.Tiada satu pun bait katanya dapat difahami oleh manusia.Hujan semakin melebat.Kilat semakin kerap sabung-menyabung.Titisan air hujan yang jatuh ke dalam lautan lava itu mengeluarkan asap yang berkepul-kepul.Jampi serapah semakin rancak.Penghulu mereka seperti diserang histeria.Meloncat-loncat setempat dengan kepala mendongak ke atas sambil kedua-dua tangannya didepangkan melintang kiri dan kanan.Menghayati pemujaan.
“Mulakan!” Penghulu mereka memberi arahan untuk menolak korban ke dalam lautan lava itu.Tanpa berlengah, pengawal yang mengawal Fared menolak Fared ke dalam lautan lava merapi yang panas membara.Tahap kepanasannya begitu tinggi sehingga mampu membakar kulit mangsa sebelum ianya mencecah cecair lava itu.Batas batu seperti jeti ini mempunyai ketinggian yang membolehkan makhluk yang berjalan diatasnya tidak terbakar.
Fared mengimbangkan tubuh.Tolakan yang tidak kuat itu membolehkan Fared mengimbang tubuhnya kebelakang dan terduduk di atas batas batu itu.Pengawal yang bertugas itu cemas.Pucat pada wajahnya lalu sekilas memandang penghulu mereka.Makhluk tua berbongkok menyerigai tanda amarah.Tindakan pengawal itu akan menyebabkan Crone Naga Batu murka.
“Tendang saja!” Penghulu mereka memberi arahan keras.Tanpa melengahkan masa, pengawal itu menghampiri Fared lalu didirikan semula.Satu tendangan kasar dilepaskan ke belakang tubuh Fared.Kali ini ternyata ampuh dan sepenuh tenaga.Fared berserah.Tenaganya lumpuh sama sekali.Melawan pun tidak berguna lagi.Tubuhnya condong ke hadapan.Bau belerang menerpa rongga hidung.Matanya dipejamkan.Saat kematiannya ini sudah semestinya menyakitkan.Titisan air hujan mengalir membasahi tubuhnya kala ini.Terasa hujan semakin melebat.Kilat sabung-menyabung tanpa henti malahan semakin rancak.Mati itu pasti, hidup.. In syaa allah.Hatinya redha.Terkilan tidak dapat bertemu sahabat-sahabatnya buat kali terakhir.
“Fared!!” Satu jeritan kedengaran umpama halilintar.Tidak semena-mena, satu sambaran petir yang paling bingit dan mengegarkan bumi menyambar.Sambaran cahaya yang menyilaukan itu membuatkan mereka yang menyaksikan terpaksa melindungi mata masing-masing.Pandangan mereka kabur.Telinga mereka berdesing.
Penduduk-penduduk makhluk itu bertebaran terhumban ke belakang seolah-olah ada tangan-tangan ghaib yang menarik keras tubuh mereka.Pengawal-pengawal juga turut menerima kesan.Satu lagi dentuman yang menggegarkan berlaku.Kali ini, jauh lebih kuat.Sambarannya kali ini menyasarkan di tengah-tengah lautan lava berbanding sambaran pertama tadi yang menyambar ke arah batas batu tempat di mana korban ditolak ke dalam lautan tasik lava itu.
Hujan semakin lebat membasahi kawasan perkampungan mereka.Penduduk-penduduk bergelimpangan entah kemana arah yang tidak menentu.Ternyata sambaran kilat itu mempunyai ‘ekor’ yang memanah sesiapa sahaja yang berdekatan.Penghulu makhluk itu bangkit perlahan-lahan.Tubuhnya seolah-olah direnjat dengan renjatan elektrik yang berarus tinggi.Tubuhnya berasap.Salah satu cabang petir yang menyambar itu mengena tepat ke arahnya namun tidak menghentikan jantungnya.Ternyata nyawanya amat liat untuk diragut.Matanya melilau persekitaran.Melihat penduduk-penduduk yang terpelanting ke belakang.Sebahagian besar dari mereka rentung disambar petir.Kesemua pengawal-pengawal mati disambar petir.Reaksi wajah mereka sangat mengerikan seolah-olah merasai kesakitan yang teramat sebelum nyawa direntap kasar.Wajah penghulu makhluk itu menyerigai apabila memandang ke arah batas batu tempat korban.Ternyata batas batu itu telah runtuh dan korbannya menghilang.Asap berkepul-kepul terbit dari permukaan lautan tasik lava itu.
Anak matanya dipincingkan.Penghulu itu terlihat ada sesuatu di tengah lautan tasik lava itu.Pandangannya kabur akibat tujahan cahaya petir yang amat menyilaukan pandangan.Apabila asap yang berkepul-kepul itu mulai hilang barulah ia kelihatan dengan jelas.
Sesuatu berada di tengah-tengah lautan tasik lava.Kelihatan satu bongkah batu yang terapung di tengah-tengah tasik lava itu namun bukan bongkah batu itu yang mengejutkan tetapi ada ‘sesuatu’ yang berdiri di atas bongkah batu itu.Penghulu itu membuntangkan anak matanya.Dia terkejut yang teramat.Renjatan elektrik mengitari bongkah batu itu.
Kelihatan seekor harimau berbelang merah dan bertanduk berdiri gah diatas bongkah batu itu.Dibelakang tubuhnya, kelihatan Fared terbaring secara meniarap tidak sedarkan diri.Mulutnya menyerigai.Sesekali kelihatan renjatan elektrik muncul pada tubuhnya.Penghulu itu terketar-ketar.Dia pernah menemui harimau ini tetapi anehnya mengapa harimau ini seolah-olah menyelamatkan korbannya.Ia menjadi sebuah tanda tanya dan mungkin juga pengakhiran riwayatnya sebagai penghulu di sini.
[To be continued >> Server 34]
ns 15.158.61.44da2