Hairuddin dan Irfan tenggelam di dalam lamunan masing-masing mengingati jaluran memori masing-masing. Apa yang disaksikannya amat mustahil untuk dilupakan. Apatah lagi isteri kepada Rayfall iaitu Maisarah kembali ke rahmatullah di hadapan mata mereka. Oleh kerana Ilyas yang juga merupakan anak tunggal kepada mereka berdua tidak mempunyai penjaga sementara ayahnya masih berada di dalam Hyperserv, Hairuddin berhasrat untuk menjaganya buat sementara waktu pada ketika itu.
“Hairuddin!” Hairuddin tersentak dari lamunannya apabila Irfan memanggil namanya. Lantas dia menoleh sekilas. Kelihatan Irfan seolah-olah terpaku memandang ke arah paparan monitor di hadapannya. Hairuddin turut melihat ke arah papan monitor tersebut lantas anak matanya terbuntang.
‘TARGET FOUND’
‘LOCATION ID IDENTIFIED’
‘TARGET ID : 2 ID DETECTED’
‘ID 1 : ZIE (Local occupant)’
‘ID 2 : UNKNOWN (Non-local occupant)’
“Kita…dah jumpa si bacul ni!” Raut wajah Irfan mula menyinga. Hairuddin mengerutkan wajahnya menandakan akalnya ligat memikirkan sesuatu.
“Jangan terburu-buru, Irfan. Kamu cari seberapa banyak maklumat yang boleh. Paling penting, mark mereka berdua. Jangan sampai hilang dari radar. Saya perlu selesaikan perkara ini disana.” Hairuddin pantas mengendalikan beberapa kod rumit pada sistemnya dan lantas mendapatkan Hadif yang sedang memantau tubuh-tubuh sahabat mereka yang dimana minda mereka memasuki ke dalam Hyperserv.
“Hadif, saya perlukan beberapa orang dari pasukan elit untuk bersama saya. Kita dah jumpa lokasi dalangnya.” Hadif kelihatan terkejut.
“Baik! Saya akan minta bantuan dari unit-unit elit berdekatan. Saya akan turut serta.” Sebaik Hadif bangkit, Hairuddin menahan tubuhnya.
“Jangan! Mereka perlukan kamu disini. Selebihnya, biar saya uruskan.” Hairuddin tersenyum tawar. Hadif pula terkedu hilang kata. Bagi Hairuddin, ini mungkin perjuangannya yang terakhir yang melibatkan bioserver Hyperserv rekaan Rayfall yang ternyata mendatangkan mudarat kepada manusia itu sendiri. Dia sendiri akan menamatkan peperangan tidak bermakna ini buat selamanya. Dia telah lama bersara dari melibatkan diri dengan bioserver Hyperserv selepas kehilangan Rayfall namun siapa sangka dua orang pemuda yang juga merupakan legasi terakhir Rayfall berjaya membina data dan mengaktifkan semula dunia digital itu namun masih terlalu mentah untuk menguruskan dunia seluas dan sebuas itu.
Hadif akur dengan permintaan Hairuddin. Mungkin dia mahu berkhidmat buat kali yang terakhir kepada sahabatnya yang telah lama menghilangkan diri. Atau, mungkin Hairuddin berhasrat untuk memadamkan dunia digital itu buat selamanya memandangkan ini adalah situasi kini adalah implikasinya. Buat masa ini, hanya Hairuddin yang mampu memadamkan dunia itu dari pangkalan data induk bioserver. Lelaki bernama Hairuddin itu merupakan salah seorang daripada lagenda perang di dalam Hyperserv pada zaman ketika Rayfall masih ada. Dia jugalah yang menutup keseluruhan sistem Hyperserv suatu ketika dahulu selepas Rayfall menghilang dan bangsa Valkazar berjaya dikurung olehnya. Selepas daripada itu, tiada lagi manusia yang menjejakkan kaki di dalam Hyperserv.
Dia menutupnya bukan kerana menentang perjuangan sahabatnya tetapi untuk mengelakkan bencana sebegini berlaku kepada bangsa manusia memandangkan dia mengetahui keupayaan bangsa Valkazar yang pernah dikenalinya. Bangsa ini sangat bijak di dalam mengeksploitasi dan memanipulasikan kesemua perkara yang dihadapi oleh mereka. Bahkan, siapa sangka mereka mampu menguasai tubuh badan manusia yang berfizikal hanya dengan menggunakan Brainlink sahaja.
Tanpa berlengah, Hairuddin beserta pasukan elit menuju ke lokasi yang telah dinyatakan. Ianya agak jauh daripada lokasi mereka memandangkan situasi di luar sangat genting dan kekecohan berada dimana-mana. Sesekali terasa gegaran hasil daripada letupan yang tidak diketahui puncanya yang berlaku diluar sana.
Sementara itu, Irfan pula tidak berputus asa untuk mencari seberapa banyak maklumat yang boleh diperolehi tentang dua sasaran mereka. Irfan meneliti setiap satu maklumat yang diperolehi olehnya.
‘CONSCIOUSNESS STATE ID 1 : UNCONSCIOUS’
‘CONSCIOUSNESS STATE ID 2 : STANDBY’
‘Perempuan tu tak sedarkan diri? Kenapa?’ Irfan bermonolog sendirian. Namun persoalan itu tidak terjawab. Dia mencari maklumat tentang keupayaan sasarannya pula.
‘TACTICAL ID 1 : HACK’
‘TACTICAL ID 2 : UNKNOWN’
Irfan mengeluh keras. Dia sudah mengetahui keupayaan Zie namun dia mahu mengetahui keupayaan sasaran kedua yang tidak diperolehi. Ternyata sasaran kedua itu amat sukar untuk memperoleh maklumat berkaitan tentangnya melainkan dia bukan dari dunia ini. Itu lebih merunsingkan akalnya.
“Apa yang boleh saya bantu, Irfan?” Hadif menawarkan bantuan. Irfan sekadar tersenyum. Dahinya berkeringat memandangkan situasi tidak membenarkan dia hilang fokus pada ketika ini. Dia menghantar kesemua maklumat yang diperoleh kepada peranti milik Hairuddin. Ini bagi memudahkannya untuk menjejaki sasaran tanpa terlepas pandang dari radar. Seterusnya, dia tidak berhenti menggali seberapa banyak maklumat yang boleh diperoleh.
Kali ini, dia juga akan berperang habis-habisan. Meskipun dia tidak mampu menyumbangkan tenaga tempur seperti mana Yazaid dan sahabat-sahabat mereka namun kedudukan Irfan dan Hairuddin sebagai operator juga tidak kurang pentingnya.
‘WARNING : DATA COLLISIONS!’
“What?! Kenapa?!” Irfan terbejat. Paparan monitor bertukar kepada kemerahan memandangkan ianya adalah sistem amaran yang diaktifkan. Perlanggaran sistem data berlaku pada ketika ini.
“Apa yang berlaku, Irfan?” Hadif cuba untuk memahami situasi yang berlaku.
“Perlanggaran data?” Ringkas Irfan menjawab. Jari-jemarinya lincah mengendalikan susunan kod rumit itu.
“Pelanggaran…data?” Hadif kurang mengerti.
“Ini disebabkan sasaran cuba melawan sistem yang kita lancarkan. Apabila kita cuba untuk mencari maklumat mengenai sasaran, secara tidak langsung kita juga mendedahkan maklumat mengenai sistem kita pada mereka. Bezanya cuma antara mereka sedar atau tidak sahaja bahawa mereka sedang diperhatikan. Nampaknya, salah seorang dari mereka telah menyedari bahawa kita sedang mencari maklumat mengenai mereka dan Data Collisions adalah disebabkan mereka menyerang balas semula.” Panjang lebar Irfan menerangkan namun diringkaskan seringkas yang mungkin.
“Maknanya…lokasi kita pun…” Hadif terhenti kata-katanya. Akal bagai dapat mentafsirkan sesuatu yang buruk. Irfan menjeling sekilas ke arah Hadif.
“Ya. Mereka juga dapat mengesan lokasi kita sebagaimana kita dapat mengesan lokasi mereka.” Dahi Irfan berkeringat. Hadif menarik nafas sedalamnya. Dia perlu bersedia dengan sebarang kebarangkalian.
“Bersedia, Hadif. Bila-bila masa sahaja manusia buas itu boleh menerjah ke sini.” Irfan memberi peringatan. Hadif kurang mengerti.
“Mana mungkin! Lokasi sasaran berada jauh daripada sini. Lagipun, manusia buas tu semua seperti binatang. Mana mungkin mereka mampu menerima arahan.” Hadif merumuskan berdasarkan situasi semasa.
“Jangan lupa, Hadif. Manusia buas itu dikawal oleh satu gelombang luar biasa di otak mereka. Ianya mungkin signal wave dari salah seorang dari sasaran ini. Kita…mungkin jadi sasaran mereka.” Hadif menelan liurnya yang terasa pahit mendengar hujah Irfan.
Tanpa berlengah, Hadif mempersiapkan kelengkapannya untuk sebarang kebarangkalian. Dia juga rasa tidak tenang. Lebih-lebih lagi dengan situasi genting sebegini.
“AAAAAAARRHHHHHH!” Jeritan itu memeranjatkan Hadif dan Irfan. Pantas mereka memandang ke arah suara tersebut. Hadif mengacukan senjatanya ke arah bunyi jeritan itu. Irfan juga mencapai senjata api yang tersisip kemas di pinggang kanannya lalu diacukan ke arah bunyi itu. Jari telunjuknya pantas mendapatkan picu pemetik dan bersedia untuk menembak. Dia bimbang jika manusia-manusia buas itu berjaya menembusi ke dalam bilik ini. Namun, apa yang dilihatnya ternyata meleset sama sekali. Irfan lantas menoleh ke arah paparan monitor operator yang mengendalikan minda sahabat-sahabat mereka di Hyperserv. Hadif pula berlari ke arah katil.
Ilyas terbangun lalu terduduk dengan kaki melunjur. Dahinya berkeringat. Matanya terbuntang. Seolah-olah melihat kematian di hadapan matanya. Mulutnya ternganga dan tubuhnya menggigil berkeringat. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah susuk tubuh yang terbaring di sebelahnya.
“Ma...Mar....Marshall...” Tangannya mengigil untuk menggapai tubuh sahabatnya. Hadif dan Irfan lantas menerpa.
“Ilyas! Ilyas! Apa jadi? Kau ok ke tak ni? Apa dah jadi?” Irfan menjadi kaget melihat keadaan Ilyas sebegitu. Irfan menoleh ke arah tubuh Marshall memandangkan tangan Ilyas mahu menggapai sahabatnya. Irfan memberi isyarat kepada Hadif untuk membantunya. Kemudiannya, Hadif merapatkan kedua-dua katil Marshall dan Ilyas lalu meninjau keadaan Marshall.
Bagaikan jantungnya disentap kasar. Hadif membuntangkan anak matanya. Jari telunjuk dan jari hantu dirapatkan dan di letakkan pada lengan Marshall kemudiannya di lehernya. Hadif berkeringat. Dia mengerutkan wajahnya. Irfan tidak mengerti apa yang berlaku.
“Marshall... dia...” Hadif terhenti kata-kata. Irfan menunggu bait bicara seterusnya dengan penuh debar.
“...dia...dah tak ada...” Bagaikan renjatan elektrik mengalir deras ke seluruh tubuh. Irfan seolah-olah tidak percaya. Ianya bagaikan mimpi yang berlaku secara realiti.
“Ilyas! Apa dah jadi?!” Irfan memandang sekilas ke arah Ilyas.
“Irfan...mereka...kuat... terlalu...kuat...” Tubuh Ilyas menggigil dan berkeringat.
“Siapa yang buat macam ni?! Siapa bunuh Marshall?! Biar aku log in?! Celaka!” Irfan terlalu mengikutkan emosinya. Hadif cuba untuk menenangkan Irfan yang mula dikuasai oleh emosi. Beberapa petugas di bawah seliaan Hadif masuk untuk menguruskan tubuh Marshall yang kaku. Jasad yang sudah tidak bernyawa.
“Ilyas... ceritakan pada kami secara ringkas, apa yang berlaku?” Hadif pula cuba memujuk Ilyas yang kelihatan dalam keadaan trauma. Irfan pula berjalan mundar-mandir. Hatinya runsing yang teramat. Seorang lagi dari sahabat mereka meninggalkan mereka buat selamanya. Semua berlaku hanya kerana dunia gila ini. Dunia yang kononnya menjanjikan kesempurnaan dan kedamaian namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mungkin ini juga adalah salah satu sebab mengapa Hairuddin menutup dunia itu dari gapaian tangan manusia. Hairuddin seolah-olah mampu melihat implikasinya yang akan berlaku apabila manusia kembali menguruskan dunia digital yang gila itu.
“Za...Zaragas! Dia...terlalu kuat...sangat...kuat...” Membuntang anak mata Irfan mendengar nama itu. Dahinya berkerut seribu.
“Zaragas? Aku tak pernah dengar nama tu.” Irfan berpeluk tubuh memandang ke arah Ilyas. Hadif mengambil sehelai selimut tebal dan menyelubungkan tubuh Ilyas yang menggigil lantas mengarahkan beberapa orang seliaannya untuk membantunya menguruskan Ilyas yang dalam keadaan trauma. Ruangan ini digunakan oleh mereka sebagai lokasi selamat untuk mereka dive-in atau log in ke dalam dunia Hyperserv sekali gus menamatkan perang digital ini. Lebih merumitkan, dunia manusia juga menghadapi situasi perang dengan manusia-manusia buas dan Hyperserv juga sedang menghadapi perang dengan bangsa Valkazar. Tiada tempat yang benar-benar selamat.
“Zaragas...seorang sahaja yang...membunuh...semuanya...terlalu pantas...dia bergerak terlalu pantas.” Ilyas melafazkan bait katanya dalam keadaan terketar-ketar.
“Tak apa, Ilyas. Kau rehat dulu. Good job. Kau dah lakukan yang terbaik.” Hadif memujuk. Lantas Irfan menuju ke arah paparan monitornya. Dia cuba untuk mencari maklumat mengenai Zaragas yang dikatakan terlalu ampuh itu seberapa banyak yang boleh. Jari jemarinya ligat. Matanya tertancap pada kaca paparan monitor itu. Hadif pula menguruskan Ilyas dan kemudiannya berdiri bersebelahan Irfan.
“Jika kita dah jumpa maklumat yang kita perolehi, aku akan cuba salurkan maklumat ini pada mereka bertiga yang masih berada di dalam Hyperserv. Mereka perlu berhati-hati.” Irfan berkata seolah-olah menyatakan pada Hadif sedangkan dia hanya mengingatkan dirinya apa yang perlu dilakukannya.
“Seberapa kuatnya Zaragas tu? Aku yakin...Marshall bukan calang-calang warrior di dunia Hyperserv.” Hadif berpeluk tubuh. Irfan mengganggukan kepalanya.
“Marshall Wan adalah anak didik terawal Rayfall yang menerima teknik kombat secara langsung dari Rayfall. Erti kata lain, teknik Marshall Wan hampir sama kuat seperti Rayfall. Kalau Marshall boleh tewas di tangan Zaragas, ini bermakna...” Irfan terkedu apabila satu maklumat terpapar jelas di paparan monitornya. Anak matanya terbuntang. Hadif juga melihat ke arah yang sama namun dia tidak memahami susunan kod rumit itu. Lantas dia menoleh ke arah Irfan untuk mendapatkan penjelasan yang lebih baik.
“...Zaragas...” Hadif menunggu bait bicara Irfan seterusnya dengan debar.
“...mungkin Zaragas...” Irfan menoleh sekilas ke arah Hadif.
“...musuh terkuat di dalam Hyperserv!” Hadif menelan liurnya. Irfan terdiam seribu bahasa.
“...the last big boss!” Irfan menelan liurnya yang terasa pahit. Dia hanya mengetahui bahawa bangsa Valkazar adalah musuh terkuat mereka di sana namun kini hanya satu susuk tubuh sahaja sudah memadai untuk menumbangkan seluruh batalion ketenteraan bahkan mampu menumbangkan sistem ketenteraan itu sendiri jika susuk tubuh itu dibawa keluar ke dunia manusia. Zaragas adalah musuh yang paling ampuh di dalam Hyperserv.
154Please respect copyright.PENANAsG5tDiGfSk
>>Bersambung Server 67
ns 15.158.61.44da2