Letrai Bay, La Brecha, HyperServ
Di kawasan perairan teluk Letrai itu ternyata nyaman dan tenang sebelum ini. Bayu laut yang menghembus ternyata mendinginkan suasana persekitaran. Hamparan lautan luas tidak bersempadan menambahkan lagi ketenangan di dalam sanubari masing-masing yang menghayatinya namun tidak pada hari ini.
Langit kelihatan kelabu dengan awan hitam gemitam mengelilingi satu pancaran cahaya yang berada berhampiran pinggir pantai Letrai Bay itu. Kelihatan gerombolan bangsa Valkazar berkumpul mengelilingi pancaran cahaya yang menggegarkan tanah. Jumlah mereka ternyata terlalu ramai bahkan mungkin mencecah ratusan tentara berada di situ. Raja Raa adalah salah satu daripada mereka yang tegap berdiri menghadap ke arah pancaran cahaya yang menebak ke langit sambil memerhatikan satu per satu tenteranya masuk ke dalam pancaran cahaya itu.
Pancaran cahaya itu adalah Realm Bridge yang diaktifkan oleh Raja Raa sendiri. Ianya adalah umpama sebuah jambatan yang menghubungkan dunia Hyperserv dengan dunia manusia. Bantuan dari luar memudahkan urusan mereka yang berada disini. Raja Raa amat berterima kasih dengan satu-satunya bangsa Valkazar yang terselamat dari penghapusan bangsa Valkazar oleh Rayfall dahulu dan kini dia berada di dunia manusia sejak sekian lama menantikan saat-saat ini. Raja Raa tersenyum puas. Hari ini tercatat didalam sejarah.
“Raa!” Satu suara bergema lantang menerjah ke anak telinga Raja Raa lalu bingkas dia menoleh ke arah suara itu mencari empunya suara. Kelihatan Kapten Zayyan yang melayang di udara lalu mendarat tidak jauh darinya. Hentakan kaki Kapten Zayyan sahaja sudah cukup menggegarkan tanah dan debu-debu halus bergentayangan di udara. Tambahan pula, aura dari Kapten Zayyan sendiri sudah cukup menggetarkan jantung musuhnya terutama bagi tentera bangsa Valkazar ini namun tidak pada Raja Raa yang tersenyum sinis sambil mengerling tajam ke arah musuh lamanya.
“Kau harus hentikan perbuatan ini, Raa. Apa sahaja yang kau buat, akan aku tentang habis-habisan! Kau sendiri yang hentikan atau aku yang hentikan!” Ancaman dari Kapten Zayyan membuatkan tentera bangsa Valkazar kecut perut lalu sebahagian tenteranya berlari bertempiaran menyembunyikan diri dan sebahagian lagi berada di belakang Raja Raa sambil tubuh mereka menggigil dan dipaksa untuk bertempur meskipun mereka tahu bahawa Kapten Zayyan bukanlah tandingan mereka sama sekali.
“Zayyan! Sahabat lamaku. Kau apa khabar, Zayyan?” Di mana anak gadis kau si cantik manis tu?” Raja Raa menapak perlahan menuju ke arah Kapten Zayyan tanpa mengendahkan ancaman darinya. Setiap hayunan langkah Raja Raa akan meninggalkan kesan renjatan tenaga elektrik yang kecil dan menyambar-nyambar. Sesekali ianya memanah ke arah rerumput yang berada di situ lalu terbakar.
“Kau jangan nak bergurau dengan aku, Raa. Kau tahu apa yang aku boleh buat?” Kapten Zayyan langsung tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Dia hanya berseorangan disitu tetapi Raja Raa mempunyai ratusan tentera di belakangnya pada masa yang sama namun itu bukanlah ancaman yang besar baginya.
“Ya aku tahu, Zayyan. Dan kau pun tahu apa yang aku mampu lakukan juga, Zayyan. Aku mampu musnahkan dunia in hanya dengan satu tombak. Dan, aku juga akan mengambil alih dunia di sebelah sana. Dunia asal Rayfall. Akan aku jadikan bangsa-bangsa Rayfall itu semua menjadi hamba aku. Hamba aku!” Raja Raa menjulang tombaknya lalu tiga bilah tombaknya mengeluarkan panahan petir yang memanah ke langit. Dentuman yang membelah bumi bergetar. Tanah bergetaran dan debu-debu tanah terawangan.
“Kau hanya berkhayal sahaja, Raa. Kau pun tahu ramai yang akan menumbangkan kau walaupun Rayfall sudah tiada. Aku masih ada, Raa. Di dunia sana, lagenda masih ada.” Kapten Zayyan merujuk kepada seseorang berpangkat bekas panglima perang.
“Hahahaha...kau ada nampak aku gentar? Tidak. Tidak sama sekali. Kali ni, aku lebih bersedia, Zayyan. Kau yang akan menyembah tanah hari ini. Kau akan aku kebumikan dan anak gadis kau akan menjadi permainan aku.” Raja Raa mengilaskan tubuhnya memaling ke arah Realm Bridge lalu menapak perlahan menuju ke arah pancahan cahaya itu tanpa mengendahkan Kapten Zayyan. Hati Kapten Zayyan terbakar. Hangat membuak-buak sehingga ke kepala. Ruang rusuk kirinya bergendang hebat. Dia mengetapkan gigi menahan amarah. Aura pembunuhnya mula menyelubungi tubuhnya. Beberapa tentera Valkazar yang tidak mampu menahan impak aura Kapten Zayyan akan termuntah darah lalu mati bergelimpangan. Raja Raa hanya sekadar menjeling sinis sambil tersenyum. Itulah apa yang dimahukannya. Hati yang membara dikuasai amarah dengan niat membunuh.
“Raa, aku tidak tahu kau akan jadi pelupa seperti ni. Aku sendiri tak ingat berapa lama kau sudah terkurung di dalam Grotte Bardtan tapi..” Kapten Zayyan hanya sekadar menunduk. Raja Raa pula menunggu bait kata dari Kapten Zayyan yang selanjutnya.
“..aku juga tak pasti sama ada kau masih ingat tragedi berdarah di Mountain of Guardian atau pun tidak.” Membuntang anak mata Raja Raa apabila Kapten Zayyan mengingatkan kembali memori pahit yang dilihat di hadapan matanya pada ketika itu.
“Kau masih ingat lagi, Raa? Bagaimana bilah tajam pedang aku menusuk ke jantung permaisuri bangsa Valkazar pada ketika itu? Apakah kau masih ingat wajah permaisuri kau pada ketika itu? Apa kau masih ingat, Raa?” Tubuh Raja Raa menggeletar hebat bukan kerana takut tetapi kerana amarah yang membuak-buak yang tidak terbendung apabila Kapten Zayyan sengaja mencurahkan minyak tanah ke arah api yang marak menjulang. Mana mungkin bagi Raja Raa melupakan peristiwa itu apabila permaisurinya terbunuh di hadapan matanya lebih-lebih lagi individu yang meragut nyawa kesayangannya itu ada berada di hadapan matanya ketika ini. Niat asalnya mahu sahaja diragut nyawa Kapten Zayyan apabila terlihat kelibatnya sebentar tadi namun dibantutkan hasratnya terlebih dahulu. Dia mahu memprovok Kapten Zayyan terlebih dahulu sebelum merentap kasar nyawanya bercerai dari tubuh namun apa yang berlaku pada ketika ini adalah sebaliknya.
“Kau tahu, Raa. Waktu tu aku masih ingat lagi wajah permaisuri kau yang aku bunuh. Dan masih segar diingatan aku wajah kau yang bersalut dendam pada aku tetapi sayang…kau tak mampu berbuat apa-apa ketika itu selain melarikan diri. Dasar pengecut.” Kapten Zayyan menambahkan lagi amarah Raja Raa yang sudah sedia membuak-buak dan tertahan-tahan.
“Alang-alang kau dah terlepas dari penjara abadi kau, apa kata kalau kau menuntut dendam di atas kematian permaisuri kau suatu ketika dahulu. Disini orangnya yang meragut nyawa kesayangan kau, Raa. Apa yang kau tunggu lagi?” Kapten Zayyan menapak perlahan menuju ke arah Raja Raa yang membelakangkannya.
Pergerakannya sepantas cahaya. Dentuman kecil diiringi dengan pergerakan angin sepintas lalu. Raja Raa melonjak ke arah Kapten Zayyan dengan tombak yang terhunus tepat di dada kiri Kapten Zayyan. Arus elektrik mengalir mengeluarkan bunyi desingan yang membingitkan.
Belum sempat bilah tajam tombak Raja Raa mencecah bajunya, Kapten Zayyan menghilang dari pandangan. Raja Raa sekilas pandang memandang ke arah atas. Kelihatan Kapten Zayyan melayang beberapa kaki di udara dengan pedang yang digenggam erat yang bersedia untuk membelah musuhnya.
Cantasan pertama dari Kapten Zayyan menyasarkan tepat ke dahi Raja Raa namun ketangkasannya bukan calang-calang. Raja Raa sempat mengelak dan cantasan mata pedang Kapten Zayyan membelah angin lalu mencecah ke tanah. Sebaik sahaja bilah pedang Kapten Zayyan mencecah tanah, dentuman yang berskala besar tercetus menyebabkan gegaran pada tanah umpama gempa bumi. Debu-debu tanah terawang di udara dan tanah-tanah yang berhampiran mula merekah dan bersepai. Gelombang dari impak cantasan pedang Kapten Zayyan menyebabkan ratusan tentera Raja Raa terpelanting jauh ke belakang dan tentera-tenteranya yang berhampiran dengan tempat cantasan pula mati akibat tubuh mereka terputus dua. Darah berhamburan membasahi tanah yang berpasir itu.
Serangan dari Raja Raa juga tidak kurang hebatnya. Raja Raa menghunuskan tombak bermata tiga ke arah Kapten Zayyan sekali gus membuatkan tombaknya mengeluarkan cahaya yang menyilaukan. Satu dentuman meledak. Panahan petir membelah angin tepat menuju sasaran tanpa tersasar. Kapten Zayyan menjadi sasaran. Pergerakan sambaran petir itu bergerak sepantas kilat. Jika manusia biasa atau pahlawan biasa, sudah semestinya mereka akan hangus terbakar namun tidak pada Kapten Zayyan. Kepantasannya bergerak diumpamakan lebih pantas dari cahaya itu sendiri. Panahan petir dari Raja Raa tersasar jauh ke belakang menyasarkan ke arah pokok-pokok yang berada di belakang Kapten Zayyan sebentar tadi.
Lonjakan kaki Kapten Zayyan mengeluarkan bunyi dentuman yang menggegarkan.
Pedang terhunus tepat ke dada kiri Raja Raa namun serangan kedua ini berjaya ditangkis oleh Raja Raa. Besi berlaga besi. Bilah pedang Kapten Zayyan berlaga dengan tombak bermata tiga milik Raja Raa. Geseran besi sesama besi itu mengeluarkan bunyi bingit dan ngilu. Impak dari lagaan itu sekali lagi menghasilkan satu gelombang dentuman kuat yang menggegarkan tanah dan menghamburkan serakan panahan petir yang tidak memanah dan tidak bermata. Tentera Raja Raa yang berhampiran lokasi pertempuran turut terkena tempiasnya. Meskipun sekadar terkena tempias panahan petir namun sesiapa yang terkena panahan petir dari Raja Raa walaupun hanya sekadar tempias sahaja sudah cukup untuk kehilangan nyawa serta-merta. Tentera Raja Raa gugur buat sekian kalinya.
Dentuman demi dentuman terhasil. Gegaran demi gegaran terasa. Debu-debu tanah berhamburan di udara menyebabkan pandangan menjadi kelam dan terhad umpama ribut pasir. Serangan bertali arus dari Raja Raa dan Kapten Zayyan seolah-olah tidak berpenghujung. Pertembungan di antara dua lagenda perang pastinya membawa lebih banyak keburukan.
Lagaan besi yang terakhir bergema dan berdengung-dengung. Akibat dari geseran sesama besi itu, terhasil satu pancaran cahaya yang menyilaukan meskipun dalam keadaan pandangan yang terhad akibat serakan debu-debu tanah di udara. Kapten Zayyan terlontar ke belakang dan mendarat dengan kedua-dua kakinya yang ampuh manakala Raja Raa pula tersungkur jauh ke belakang namun mengilaskan tubuhnya dari terus terseret jauh. Pandangan mata mereka bertaut. Terselit pandangan membunuh di antara kedua-duanya.
“Kau semakin lemah, Zayyan. Kau tidak secekap dahulu yang aku kenali.” Raja Raa sengaja memprovok. Kapten Zayyan tersenyum sinis.
“Kau apa kurangnya. Keampuhan kau semakin tumpul. Apa kau lebih banyak tidur sahaja ketika di dalam Grotte Bardtan?” Kapten Zayyan membalas provok Raja Raa. Wajah Raja Raa membengis dan menyerigai. Terasa pedih di hati apabila dihina sebegitu.
“Aaaarrrrhhhhh!” Raja Raa semakin marah lalu bergerak sepantas cahaya menerpa ke arah Kapten Zayyan dengan tombak bermata tiganya yang terhunus bersedia untuk merodok musuh.
Hunusan Raja Raa tersasar buat sekian kalinya namun pergerakan Kapten Zayyan kini ternyata berlainan. Kapten Zayyan hanya mengelak sedikit sahaja dan menyelinap pantas ke belakang Raja Raa.
Tanpa berlengah, tusukan bilah pedang Kapten Zayyan terhunus pantas sehingga menembusi tubuh Raja Raa dan pedang Kapten Zayyan yang menembusi tubuh Raja Raa itu terpacak ke tanah lalu terseret mengikut momentom tubuh Raja Raa yang terdorong ke hadapan.
Membuntang anak mata Raja Raa. Terasa pedih di dadanya sambil matanya memerhatikan bilah pedang Kapten Zayyan yang menembusi tubuhnya. Darah pekat mengalir membasari pepasir di pantai itu. Kapten Zayyan hanya sekadar memerhati dari belakang.
“Menyerah, Raa. Kau tetap bukan lawan aku.” Kapten Zayyan menghampiri tubuh Raja Raa yang terbongkok menghadap ke tanah dengan pedang yang masih terpacak dari belakang tubuhnya tertembus sehingga mencecah tanah. Darah berjejeran umpama air yang mengalir deras. Kedengaran suara Raja Raa mendengus-dengus meminta nyawa. Kapten Zayyan amat meyakini dengan kemenangannya kali ini. Dia sendiri akan menutup Realm Bridge yang dibuka oleh Raja Raa itu sebentar lagi dan aktiviti memburu tentera bangsa Valkazar akan dilaksanakan.
“Ha..haha..hahahahahaha!” Tidak semena-mena, Raja Raa tergelak besar. Kapten Zayyan berhenti melangkah. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Seperti yang aku katakan, Zayyan. Kau tidak secekap seperti dahulu yang aku kenali.” Tubuh Raja Raa sedikit pun tidak berganjak. Hanya mulutnya sahaja yang berbicara. Kapten Zayyan mengerutkan dahinya cuba untuk memahami apa yang cuba disampaikan oleh musuh lamanya itu.
“Dahulu…walau selicik mana pun muslihat yang aku mainkan, kau akan dapat menghidu permainan aku. Hari ini, aku dapat melihat kau alpa, Zayyan. Aku dapat melihat kau semakin lemah dan leka!” Raja Raa mengerling tajam ke arah Kapten Zayyan sambil tersenyum sinis. Kapten Zayyan merenung tajam.
Tidak semena-mena, tubuh Raja Raa berubah bentuk dan umpama mencair dengan cecair yang berwarna kehitaman sehinggalah yang tinggal hanyalah sebilah pedang milik Kapten Zayyan. Jasad Raja Raa telah menghilang. Hanya gema suara ketawa garaunya sahaja yang melantun-lantun tanpa dapat dikesan dari mana datangnya suara itu. Kapten Zayyan terasa diperdaya. Sudah lama meninggalkan medan tempur menyebabkannya alpa.
Lantas tanpa berlengah, Kapten Zayyan mencabut pedang miliknya dan memalingkan tubuhnya sekilas ke arah Realm Bridge. Kelihatan susuk tubuh Raja Raa berada berhampiran pancaran cahaya Realm Bridge itu sambil tergelak besar. Kapten Zayyan tidak menunggu lantas melonjakkan kakinya untuk mendapatkan Raja Raa dalam kelajuan sepantas cahaya.
Namun pergerakannya terbantut apabila Kapten Zayyan terpelanting semula ke belakang seolah-olah ada dinding ghaib yang memerangkap Kapten Zayyan dari keluar dari lingkungan kawasan tersebut.
Dahi Kapten Zayyan berdarah. Dia seolah-olah terhantuk pada dinding dengan impak yang sangat kuat. Dia cuba lagi namun gagal. Dahinya berkerut seribu. Kapten Zayyan mengamati persekitaran. Membulat anak mata Kapten Zayyan apabila mendapati dirinya seolah-olah berada di dalam sebuah kurungan yang bertembok ghaib. Dia mengetapkan giginya menahan amarah. Amarahnya bukan kepada Raja Raa tetapi lebih kepada dirinya sendiri apabila dia terleka dan alpa tentang muslihat Raja Raa.
“Hahahahahaha! Mereputlah kau dalam tu, Zayyan. Aku ada urusan lain lagi yang lebih penting. Aku tinggalkan kau dengan sahabat aku disini untuk bermain. Jumpa lagi, Zayyan. Kalau kau masih panjang umurlah. Hahahahaha!” Raja Raa berkalih dan berjalan meninggalkan Kapten Zayyan yang masih terperangkap di dalam kurungan ghaib itu.
Sebaik sahaja kelibat susuk tubuh Raja Raa menghilang dari pandangan mata Kapten Zayyan, muncul pula satu kelibat lain dari arah belukar. Sekilas Kapten Zayyan memandang ke arah empunya tubuh tersebut.
“Kau!!” Wajah Kapten Zayyan membengis melihat susuk tubuh yang menapak perlahan semakin menghampiri ke arahnya.
“Apa khabar, Zayyan? Kita berjumpa lagi. Hari ni aku akan hiburkan kau sementara Raja Raa pergi menyelesaikan tugasan dia. Boleh kan?” Susuk tubuh itu semakin menghampiri Kapten Zayyan sehinggalah wajahnya jelas kelihatan.
“Vanblood! Bedebah kau!” Sejujurnya Kapten Zayyan tidak mampu untuk berbuat apa-apa di dalam kurungan ghaib ini. Dirinya terasa semakin lemah seolah-olah kurungan ghaib ini meresap sebahagian besar dari tenaga fizikal dan tenaga dalamannya. Hanya kerana bertempur mengikut amarah, inilah padahnya apabila hilang fokus di dalam medan pertempuran yang semestinya memerlukan konsentrasi yang tinggi.
195Please respect copyright.PENANA5n5orO6Jl4
>>Bersambung Server 64
ns 15.158.61.17da2