Penjajahan bangsa Valkazar telah tercetus sejak sekian lama dan bangsa ini pernah diperangi suatu ketika dahulu oleh bangsa manusia yang bergabung bersama penghuni-penghuni dari dunia Hyperserv sendiri dan pasukan dari Hyperserv pada ketika itu dipimpin oleh Rayfall. Peperangan yang pertama tercetus itu menyaksikan banyak pertumpahan darah dan ramai yang terkorban. Kini, sejarah kembali berulang namun kali ini pihak Hyperserv tidak lagi dipimpin oleh Rayfall seperti mana suatu ketika dahulu.
Setiap bangsa memainkan peranan masing-masing apabila mengetahui bangsa Valkazar telah terlepas dari kurungan abadi mereka. Perlu mereka mengingati bahawa peperangan kali ini lebih rumit berbanding dengan peperangan yang pernah tercetus suatu ketika dahulu. Pada ketika dahulu, Rayfall mengetuai barisan hadapan mewakili Hyperserv namun tidak pada kali ini. Rayfall merupakan pencipta asal dunia buas ini dan namun bangsa Valkazar yang wujud di Hyperserv merupakan salah satu sistem ralat atau kerosakan sistem yang terbesar pernah tercipta secara tidak sengaja oleh Rayfall.
Bangsa ini hanya memperjuangkan satu perkara sahaja. Mengambil alih dunia Hyperserv dan seterusnya mengambil alih tubuh badan manusia berjasad di dunia manusia sebagai membalas dendam terhadap apa yang telah dilakukan oleh Rayfall ke atas bangsa mereka suatu ketika dahulu. Sudah menjadi fitrah bangsa mereka melakukan kerosakan dan kehancuran lalu mereka diperangi oleh Rayfall dan penghuni Hyperserv yang lain.
Kawasan persekitaran persisisran pantai teluk Letrai itu hancur dan berdebu. Pancaran cahaya Realm Bridge telah tiada namun kelihatan dua lagi Realm Bridge di lokasi yang berbeza jauh dari lokasi teluk Letrai itu. Tentera Valkazar pula banyak yang maut bergelimpangan. Tanah-tanah dan rerumput dipenuhi darah yang bertompok-tompok.
Nun di tengah-tengah kawasan lapang, kelihatan dua susuk tubuh yang saling berhadapan antara satu sama lain. Kapten Zayyan berdiri tegap menghadap ke arah satu susuk tubuh yang dipenuhi darah. Master Vanblood kelihatan mengah dan kehilangan upaya. Nafasnya mencungap dan dadanya berombak kencang. Dia langsung tidak menyangka keampuhan Kapten Zayyan tidak seperti yang dijangkakan. Dia mengetahui bahawa Kapten Zayyan merupakan salah seorang lagenda panglima perang tentera Rayfall suatu ketika dahulu namun ianya telah lama berlalu. Dia amat yakin bahawa keampuhan Kapten Zayyan pasti akan memudar dimamah dek zaman. Dia amat meyakini bahawa dia mampu menumbangkan lagenda itu dengan mudah namun sangkaannya meleset sama sekali.
“Vanblood, jangan berhenti. Mari, kita teruskan lagi. Kau juga yang kata yang kau tak akan berhenti sehingga akhir nafas, kan?” Kapten Zayyan yang masih berdiri teguh itu menghunuskan pedangnya ke arah Master Vanblood yang mengah dan luka parah.
“Celaka kau, Zayyan!” Hatinya terbakar mencucuk-cucuk sehingga ke ulu hati apabila disinis sebegitu oleh Kapten Zayyan yang dipandang rendah olehnya sebelum ini.
132Please respect copyright.PENANAikjTpDOelD
Imbas kembali...
“Vanblood! Bedebah kau!” Sejujurnya Kapten Zayyan tidak mampu untuk berbuat apa-apa di dalam kurungan ghaib ini. Dirinya terasa semakin lemah seolah-olah kurungan ghaib ini meresap sebahagian besar dari tenaga fizikal dan tenaga dalamannya. Hanya kerana bertempur mengikut amarah, inilah padahnya apabila hilang fokus di dalam medan pertempuran yang semestinya memerlukan konsentrasi yang tinggi.
“Hahahaha.... Zayyan. Kau terlalu naif, Zayyan. Aku tak tahu apa yang kau fikirkan. Kau masih memperjuangkan ideologi Rayfall keparat tu walaupun kau tahu yang dia melarikan diri meninggalkan kamu semua. Langsung tidak bertanggungjawab dan lihat sekarang... kau yang kena tanggung semua benda yang dia dah lakukan. Kau tak rasa... terkhianat ke, Zayyan?” Master Vanblood menjadi batu api yang melagakan.
Kapten Zayyan tidak lekas menyahut ungkapan dari Master Vanblood. Kurungan ghaib ini semakin lama semakin mengecil dan dalam masa yang sama, kurungan ghaib ini turut menyerap tenaga dalaman tahanannya dan dilepaskan keluar untuk diserap oleh Master Vanblood. Akalnya dikerahkan. Dia tahu bahawa Master Vanblood hanya digunakan untuk melengahkan masa sahaja untuk Raja Raa melaksanakan agenda yang seterusnya. Raja Raa telah menuju ke satu lokasi yang tidak diketahui namun Kapten Zayyan menduga bahawa Realm Bridge yang lebih banyak akan diaktifkan oleh Raja Raa di lokasi yang berbeza memandangkan taburan tentera-tentera bangsa Valkazar sudah mula memenuhi kawasan dunia Hyperserv ini. Jumlah mereka terlalu ramai sehingga mencecah ratus ribu jumlahnya atau mungkin lebih dari itu.
“Zayyan, ada baiknya jika kau... bekerjasama dengan Valkazar. Kau bukannya lemah, Zayyan. Aku yakin, Valkazar boleh berikan kau kekuatan dan kuasa yang jauh lebih ampuh dari ini. Sayangnya, bila kau tetap meneruskan perjuangan Rayfall yang telah lama tiada tu.” Master Vanblood menapak perlahan menuju ke arah Kapten Zayyan yang terkurung dan mengitari kurungan ghaib itu. Kurungan ghaib itu tidak kelihatan dek mata kasar. Kapten Zayyan sendiri tidak mampu untuk melihatnya namun tidak pada Master Vanblood. Dia mampu melihat kurungan itu kerana dia yang mencipta kurungan itu untuk memerangkap Kapten Zayyan.
“Apa kata kau, Zayyan? Jangan lewat. Kelak kau akan mati dihimpit di dalam tu.” Vanblood tergelak kecil bersuara parau. Kurungan ghaib itu semakin lama semakin mengecil dan akhirnya akan menghimpit tawanan yang berada di dalamnya sehingga mati.
Kapten Zayyan menyepikan diri. Dia hanya berdiri memandang ke arah Master Vanblood dengan pandangan mata yang berbinar-binar namun disambut oleh Master Vanblood dengan pandangan sinis.
“Mari fikir baik-baik, Zayyan. Kau tengok aku sendiri. Dahulu, bangsa aku adalah antara bangsa yang kuat. Aku, Master Vanblood. Satu-satunya bangsa Vampire yang masih hidup hingga kini selepas kau dan kawan-kawan kau menghapuskan bangsa aku suatu ketika dahulu. Tapi... aku masih berdiri gah disini, Zayyan. Kenapa?” Master Vanblood berjalan menghampiri Kapten Zayyan yang masih mendiamkan diri. Master Vanblood tersengih memandang susuk tubuh lagenda itu yang dianggap suda lemah dimamah zaman yang kian berlalu. Pandangannya lebih kepada sinis dan memandang rendah kepada lagenda perang itu. Kini, dia tidak lagi dianggap sebagai lagenda tetapi hanya sekadar sejarah.
“Sebab... aku bekerjasama dengan bangsa Valkazar yang terkenal hebat, Zayyan. Mereka berikan aku kekuatan dan kuasa luar biasa sehingga aku mampu bertahan sehingga ke hari ini. Pada ketika kau dan kawan-kawan kau menghapuskan bangsa aku suatu ketika dahulu, aku terselamat. Aku memerangi mereka yang memerangi aku. Aku bertahan, Zayyan. Sehingga kini... aku masih bertahan. Hari ini... aku akan membalas jasa Valkazar yang memberikan aku keampuhan luar biasa suatu ketika dahulu.” Master Vanblood menapak mengelilingi Kapten Zayyan yang sedari tadi menyepikan diri. Hanya pandangan matanya sahaja yang tidak terlepas dari memandang susuk tubuh Master Vanblood.
“Jadi.. apa kata kau, Zayyan? Setuju? Jika kau bersetuju...aku akan lepaskan kau dari kurungan maut ni dan... kita akan buat perjanjian.” Master Vanblood tawar-menawar namun disambut sepi oleh Kapten Zayyan. Wajah Master Vanblood menyinga apabila melihat Kapten Zayyan yang langsung tidak menyahut. Dia mengembangkan telapak tangannya dan dilunjurkan ke arah Kapten Zayyan.
“Kau yang pinta, Zayyan. Kau yang menjemput ajal kau sendiri. Selamat jalan, kawan.” Lalu telapak tangannya digenggam seeratnya. Sejurus itu, kurungan ghaib itu mengecil dan menghimpit tubuh Kapten Zayyan dan menghancurkan seluruh tubuhnya termasuk tulang-belulang sehingga tiada yang berbaki. Hanya percikan darah sahaja yang menghiasi persekitaran. Master Vanblood memandang tubuh Kapten Zayyan yang hancur itu dengan pandangan yang sinis. Baginya, Kapten Zayyan sudah terlalu tua dan tidak berupaya untuk menentangnya. Dia bukan lawannya. Di dalam hatinya terbit satu rasa yang sering kali menjadi penyakit kepada hati. Dia berasa riak dan bangga kerana dapat menamatkan riwayat seorang lagenda perang. Master Vanblood ketawa terbahak-bahak sambil kedua-dua tangannya didepangkan ke udara.
“Aku adalah lagenda! Aku adalah lagenda! Zayyan dah mati! Aku adalah lagenda! Hahahaha..” Tawa garau Master Vanblood bergaung-gaung ke udara. Hatinya berasa puas yang teramat. Dia kini bergelar lagenda apabila berjaya menamatkan riwayat Kapten Zayyan.
“Siapa yang kau panggil lagenda?” Satu suara menyapa dari arah belakang Master Vanblood. Oleh kerana terkejut, Master Vanblood menoleh sekilas. Belum sempat dia mengecam wajah empunya suara itu, satu tumbukan padu hingga ke wajahnya. Tubuhnya terpelanting jauh ke belakang. Debu-debu berterbangan akibat impak tumbukan itu. Ternyata tumbukan itu bukan calang-calang. Master Vanblood terseret jauh. Wajahnya menyinga.
Membulat anak mata Master Vanblood apabila melihat susuk tubuh itu. Susuk tubuh itu sangat dikenalinya. Baru sahaja dia melihat susuk tubuh itu hancur di depan matanya namun kini dia melihat susuk tubuh itu masih berdiri tegap. Dia memandang sekilas ke arah tempat dimana tubuh Kapten Zayyan dihancurkan. Darah dan saki bakinya masih berada disitu. Akalnya terbejat. Penuh kekeliruan. Dia cuba merungkaikan kekusutan itu.
“Aku tak nafikan kau semakin kuat, Vanblood. Tapi kau masih cukup cerdik untuk menentang aku. Kau masih.... bukan lawan aku.” Kapten Zayyan menghunuskan pedangnya yang mengeluarkan cahaya seakan kemerah-merahan. Master Vanblood menyinga. Darahnya membuak-buak sehingga ke kepala.
“Macam mana... macam mana kau...” Master Vanblood berdiri dalam keadaan terhuyung-hayang. Kapten Zayyan menggenggam erat pedangnya.
“Kau mencipta ilusi dinding ghaib yang memerangkap aku di dalam tu. Tapi kau perlu ingat. Bukan kau seorang sahaja yang mahir bermain ilusi.” Kapten Zayyan tersenyum sinis. Master Vanblood terkejut bukan kepalang lantas memandang ke arah bekas kurungan ghaib itu. Dia meneliti saki-baki tubuh yang hancur itu. Apabila di amatinya, kelihatan seperti salah seorang tentera bangsa Valkazar. Kapten Zayyan telah menukar jasad tanpa disedarinya.
“Kau... menukarkan diri...” Master Vanblood menggigil kemarahan. Ini bermakna sejak dari awal lagi Kapten Zayyan bermain muslihat itu. Apa yang dilihat oleh mata kasarnya ialah susuk tubuh Kapten Zayyan yang diperangkap di dalam kurungan ghaib itu namun hakikatnya tubuh yang berada di dalam kurungan itu adalah salah seorang tentera bangsa Valkazar yang meronta-ronta meminta bantuan. Master Vanblood terperangkap di dalam ilusi ciptaan Kapten Zayyan. Ilusi bertingkah dengan ilusi.
Pada hakikatnya, Kapten Zayyan bertempur dengan Raja Raa dan tenteranya yang berada diluar lingkungan ilusi itu. Akhirnya, Raja Raa melarikan diri lagi dan Realm Bridge terdekat itu dimatikan oleh Kapten Zayyan. Namun Kapten Zayyan mengetahui ada satu lagi musuhnya di luar sana yang mempunyai keampuhan yang sama seperti Raja Raa dan musuh itu juga mampu mengaktifkan Realm Bridge seperti mana Raja Raa. Dari kejauhan, kelihatan 2 atau 3 Realm Bridge di aktifkan.
Di dalam lingkungan ilusi itu, apa yang Master Vanblood lihat dan dengar adalah ciptaan ilusi Kapten Zayyan semata-mata. Itulah apa yang sebenarnya berlaku.
“Kurang ajar kau, Zayyan. Kurang ajar kau!” Pertempuran sengit di antara Master Vanblood dengan Kapten Zayyan ternyata kelihatan seimbang namun kelebihan lebih kepada Kapten Zayyan yang ternyata lebih ampuh.
Tubuh Master Vanblood beberapa kali terhumban jauh kebelakang dek kerana hambatan keras dari Kapten Zayyan. Lelaki dari bangsa Vampire itu beberapa kali cuba untuk melarikan diri dengan mengibarkan sayapnya namun kali ini tidak terlepas. Pantas Kapten Zayyan melakukan teknik-teknik gerakan kilat dan memotong sayap milik Master Vanblood.
Buat sekian kalinya Master Vanblood terhumban ke tanah dan tidak berupaya untuk terbang lagi buat selamanya. Tubuhnya berlumuran darah namun tidak dibunuh oleh Kapten Zayyan. Lelaki lagenda itu sengaja tidak menamatkan riwayat Master Vanblood.
Master Vanblood mengembangkan telapak tangannya dan menghalakannya ke arah Kapten Zayyan. Sejurus itu, satu bebola cahaya muncul dari telapak tangannya. Satu ledakan kuat dilepaskan dan peluru cahaya itu bergerak pantas menuju ke arah musuhnya.
Kapten Zayyan yang tidak berganjak hanya menghayunkan pedangnya menepis peluru cahaya itu. Meskipun ledakan itu cukup kuat untuk memusnahkan sebuah daerah namun tangkisan dari Kapten Zayyan mampu memesongkan laluan peluru itu. Kapten Zayyan menangkis peluru itu ke arah atas dan letupan bergema dari angkasa.
Tanpa berlengah, Kapten Zayyan bergerak pantas ke arah hadapan Master Vanblood yang tidak mampu berbuat apa-apa. Pergerakan Kapten Zayyan dalam sekelip mata. Telapak tangan Kapten Zayyan dilunjurkan tepat ke dada kiri Master Vanblood.
“System Call! Giga Fluctus Tormento!” Sejurus kalimat itu terlafaz, satu ledakan gergasi meletus. Gegaran tanah bagaikan gempa bumi. Gelombang ledakan tercetus menyebabkan beberapa pokok dan tumbuhan yang berada di persekitaran terbang dan tumbang. Teknik yang digunakan oleh Kapten Zayyan adalah ledakan angin seperti mana yang pernah digunakan oleh Elsa ketika bertempur dengan Yazaid suatu ketika dahulu di dalam perlawanan persahabatan namun versi kali ini lebih kuat daripada itu. Ianya mampu merobekkan tubuh lawan jika terkena lawannya atau menepis dengan tenaga yang tidak mencukupi. Tubuh Master Vanblood terlontar jauh ke belakang dan terseret beberapa meter. Tubuhnya berdarah dan luka parah. Tanpa lengah, Kapten Zayyan pantas mendapatkan tubuh Master Vanblood yang masih terseret. Pergerakannya umpama kilat.
Kapten Zayyyan menahan tubuh Master Vanblood dari terus terseret dan dilemparkan ke udara. Buat seketika, tubuh Master Vanblood yang lembik terawang di udara. Dalam pada ketika itu juga, Kapten Zayyan mengepalkan tumbukannya dan dihalakan ke arah tubuh Master Vanblood.
“System Call! Interfectorem Animea!” Lantas tujahan bertalu-talu dalam kelajuan yang cukup tinggi menujah keras ke arah tubuh Master Vanblood. Akibat tujahan ghaib bertalu-talu itu membuatkan debu-debu tanah berterbangan dan gema yang bergaung-gaung terlantun di udara.
Buat sekian kalinya, tubuh Master Vanblood tercampak jauh ke belakang dan terseret. Tubuhnya cedera parah. Kudratnya terlucut sama sekali. Tubuh menggigil menahan kesakitan yang teramat.
Kapten Zayyan mendarat berhadapan dengannya. Pedangnya berkilau namun tidak sekali pun digunakan untuk mencantas tubuhnya. Ianya baru digunakan sekali. Itu pun untuk membelah kedua-dua sayapnya. Selain daripada itu, Kapten Zayyan hanya menggunakan tangannya sendiri. Itu pun sudah cukup parah. Dia tidak dapat membayangkan jika Kapten Zayyan menggunakan pedangnya. Pasti dia sudah lama mati jika itu berlaku. Dia amat mengenali cara lagenda itu bertempur. Dia gemar menggunakan serangan dari tangannya berbanding pedangnya meskipun tangannya memegang erat pedang itu namun ianya hanya bertujuan untuk menggentarkan musuh sahaja. Bilah pedang itu akan digunakan jika musuh terlalu ampuh baginya.
“Vanblood, jangan berhenti. Mari, kita teruskan lagi. Kau juga yang kata yang kau tak akan berhenti sehingga akhir nafas, kan?” Kapten Zayyan yang masih berdiri teguh itu menghunuskan pedangnya ke arah Master Vanblood yang mengah dan luka parah.
“Celaka kau, Zayyan!” Hatinya terbakar mencucuk-cucuk sehingga ke ulu hati apabila disinis sebegitu oleh Kapten Zayyan yang dipandang rendah olehnya sebelum ini.
132Please respect copyright.PENANAcfTZX2TmTq
>>Bersambung Server65
ns 15.158.61.17da2