Gua Grotte Bardtan, Fuego, HyperServ
133Please respect copyright.PENANAJFhAKw6PPe
Seorang kelibat lelaki bersaiz manusia berdiri tegak di atas sebuah bukit memerhatikan pemandangan luas di dalam gua Grotte Bardtan ini. Walaupun pada namanya hanya sebuah gua namun keluasan di dalamnya ibarat sebuah dunia yang lain. Luasnya seluas benua. Pemandangan di dalamnya tidak seindah yang dijangkakan. Di sini tinggalnya satu bangsa yang dikatakan telah pupus dan lenyap sedangkan mereka hanya terpenjara di sini buat selamanya. Namun sangkaan itu meleset sama sekali. Bangsa ini bakal terlepas suatu ketika nanti dan guliran waktu itu semakin hampir.
Lelaki itu berdiri sambil mengepalkan buku limanya. Sesekali kelihatan aura kemerah-merahan terbit dari tubuhnya ibarat kepulan asap yang berwarna merah. Dengusan nafasnya menghembuskan kepulan asap. Matanya galak berwarna kemerahan. Gigi taring yang tidak meruncing namun kelihatan tajam mulai tumbuh. Lelaki itu menyerigai. Akal fikirannya menerjah ke belakang ruang waktu. Dia memutarkan kembali memorinya mengingati saat dirinya bertemu Raja Raa.
“Apa benar kalian ini bangsa manusia?” Suara Raja Raa memetir membelah bumi. Tajima mengimbau kembali saat itu. Zaidi berada bersebelahan dengannya ketika itu. Kedua-dua mereka tertunduk-tunduk sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Raja Raa.
“Apakah kalian sudah bisu? Hanya mampu memberi jawapan dengan anggukan? Aku mahu dengar suara kalian!” Raja Raa membentak keras. Dengan hanya bentakan sahaja, segala yang ada disekeliling Raja Raa melambung seolah-olah ada tangan-tangan ghaib yang menolak kasar. Tajima dan Zaidi tidak terkecuali. Tubuh mereka terlontar ke belakang. Terasa pedih di ulu hati. Perlahan-lahan Tajima dan Zaidi bangkit menunjang tubuh mereka sendiri. Gelagat mereka hanya sekadar dipandang hina oleh bangsa bangsawan Valkazar yang lain. Mereka mencebikkan muka. Pada pendapat mereka, bangsa manusia yang datang ke sini tidak akan bertahan lama. Nyawa mereka bakal dicabut dari jasad apabila berhadapan dengan Raja Raa. Mereka hanya menempah maut.
“Aku..Tajima..Dan ini..Zaidi.Kami dari bangsa manusia.” Suara Tajima tersekat-sekat dikerongkong ketika menjawab pertanyaan Raja Raa. Kesakitan yang menghambat masih berbisa namun digagahkan jua tubuhnya.
“Kalian bangsa manusia yang sangat dibenci oleh bangsa kami. Apa yang kalian bawa untuk aku sehingga kalian berani datang ke sini?” Raja Raa menyandarkan tubuhnya ke kerusi yang berkilau-kilau keemasan. Hampir keseluruhan singgahsana Raja Raa diperbuat daripada emas.
“Eerrr...” Tajima terkedu. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dipersembahkan. Zaidi menelan liurnya. Wajah Raja Raa tidak kelihatan kerana Raja Raa mengenakan topeng besi malahan seluruh tubuhnya ditutup dengan pakaian tempur yang diperbuat daripada besi daripada dalam tanah Hyperserv ini.Tajima memandang sekilas ke arah penjuru ruang singgahsana Raja Raa. Kelihatan Draxol mengepalkan buku limanya tanda mengisyaratkan sesuatu.
“Tiada apa-apa yang kalian mahu persembahkan?” Tangan Raja Raa mencapai tombak miliknya. Tombak itu memiliki tiga mata yang tajam meruncing dan satu mata pada bahagian bawah. Apabila tombak itu dipegang, renjatan elektrik memancar keluar lalu mengalir ke tubuh Raja Raa. Pemerintah Valkazar itu menuruni anak tangga menghampiri Tajima dan Zaidi.
Tajima mengerutkan dahinya. Seluruh tubuh Zaidi mengeletar ketakutan. Ternyata Tajima tidak memahami isyarat yang diberikan oleh Draxol. Sebelum bersemuka dengan Raja Raa, Draxol tidak bertemu dengan mereka berdua untuk perbincangan lanjut tentang rundingan ini. Seolah-olah Draxol sengaja mempermainkan kedua-dua manusia ini.
“Jika begitu, kalian manusia harus pulang tanpa berjasad. Kedatangan tiada maksud bermakna kedatangan yang tidak diundang.” Tombak Raja Raa mula mengeluarkan cahaya kekuningan dengan aliran elektrik yang terasa membahang. Tajima dan Zaidi pasrah. Mereka berdua terkedu tidak terkata. Akal fikiran mereka seolah-olah terbejat apabila berhadapan dengan Raja Raa sedangkan mereka sudah merangka segala-galanya termasuk permintaan yang bakal diusulkan. Namun kini mereka membisu diam seribu bahasa menanti ajal.
Tombak Raja Raa di acukan tepat ke arah mereka berdua. Raja Raa merengus keras. Dengungan nafas mengegarkan singgahsana itu. Bangsa Valkazar lain yang menyaksikan kejadian itu hanya tersenyum memandang dua susuk tubuh manusia yang bakal hancur lebur sebentar sahaja lagi.
“Tuanku. Mohon menghadap, tuanku.” Satu suara menyapa Raja Raa dari belakang. Sekilas Raja Raa menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Draxol tampil merafak sembah.
“Teruskan, Draxol.” Raja Raa berkalih memandang Tajima dan Zaidi semula. Raja Raa tidak memandang Draxol yang menunduk di belakangnya.
“Tuanku. Menurut pengetahuan aku, kedua manusia ini memiliki sesuatu yang dianggap berharga. Aku pasti, barang itu masih ada pada salah seorang dari mereka.” Draxol cuba berhujah. Gaya bahasa istana bangsa ini berlainan dari istiadat istana kebiasaan. Penggunaan ganti diri masih seperti orang-orang kebanyakan walaupun sedang berbicara dengan seorang pemerintah. Cuma perlambangan nama Tuanku itu sahaja yang dikekalkan. Selebihnya, ganti diri ‘aku’ kerap kali digunakan bagi sesiapa yang menghadap Raja Raa.
“Apakah barang itu lebih berharga dari nyawa mereka?” Raja Raa masih memandang ke arah Tajima dan Zaidi tanpa berkalih. Tombaknya sengaja dihalakan ke arah Zaidi yang kelihatan lebih mengeletar. Tajima kelihatan cemas.
“Benar tuanku.” Ringkas Draxol memberi jawapan.
“Tunjukkan pada aku.” Raja Raa memberi arahan. Sekilas Draxol memberi isyarat genggaman tangan seperti tadi. Tajima mula mengerti lalu memandang ke arah Zaidi.
“Batu biru tu. Kau keluarkan batu biru tu.” Tajima berbisik ke arah Zaidi lalu Zaidi mengeluarkan sebiji batu berwarna kebiruan. Apabila batu itu dikeluarkan, bangsa Valkazar yang lain mula menyerigai seolah-olah Zaidi sedang menghina mereka.
“Apa kau fikir aku bodoh?! Kau sedang mempersendakan kami?!” Raja Raa membentak keras. Dengan sekali bentakan, kedua-dua tubuh mereka terpelanting jauh ke belakang. Batu yang dipegang oleh Zaidi terlepas lalu terpelanting berhampiran Tajima. Tanpa lengah, Tajima pantas mengutip semula batu itu dalam keadaan menahan kesakitan.
“Batu itu banyak berada disini. Di tanah perkuburan pejuang lama kami di hujung benua. Bangsa manusialah yang menghantar kami ke sini dan kau! Bawa batu itu berhadapan dengan aku dengan harapan kau akan terus hidup?!” Raja Raa terus membentak kasar. Terasa seolah-olah dirinya dipersendakan. Tubuh Tajima dan Zaidi terpelanting ke belakang buat sekian kalinya. Terasa bisa diseluruh tubuh terhambat sebegitu.
“Tuanku, dengar dulu penjelasan mereka. Pasti ada sesuatu yang menarik perhatian mereka membawa batu itu kesini dan yang pastinya, mereka bukan bertujuan untuk membawa keluar batu itu dari sini.” Draxol seolah-olah cuba untuk mempertahankan mereka walhal makhluk itu mempunyai muslihatnya tersendiri.
“Eeemm.. benar. Mereka tidak akan keluar dari sini hidup-hidup. Xeados pasti akan menghancurkan mereka apabila tiba di pintu keluar. Jadi, persembahkan pada aku berkenaan batu Valkarie yang kalian bawa itu.” Raja Raa mengundur setapak dua. Memberi ruang kepada Tajima dan Zaidi untuk tampil ke hadapan. Zaidi menunjurkan isyarat tangan kepada Tajima sebagai tanda Tajima yang akan mempersembahkannya. Tajima menelan liurnya. Batu yang diberi nama Batu Valkarie itu berada di dalam genggamannya. Dia sendiri tidak tahu apa kelebihan batu itu sehinggakan Draxol mempertahankan mereka berdua. Tajima mencuba nasib.
“Batu ini bukan berasal dari sini. Batu ini aku bawa dari luar. Dari luar gua ini.” Tersekat-sekat nafas Tajima ketika cuba untuk berbicara. Sebaik selesai pengakuan dari Tajima, bangsa Valkazar dan Raja Raa seolah-olah terkejut bukan kepalang. Draxol tersenyum penuh muslihat.
“Apakah benar apa yang kau katakan?” Raja Raa menghampiri Tajima meminta kepastian. Tubuhnya yang jauh lebih besar dari manusia itu sedikit sebanyak menakutkan Tajima. Bimbang jika diapa-apakan atau dipijak.
“Eerr.. yaa benar, Tuanku.Batu ini...eeerr.. Batu..Valkarie..aku bawa dari luar gua ini apabila aku masuk ke sini secara tidak sengaja. Aku cuba bersembunyi di dalam gua apabila dikejar oleh binatang buas.” Tajima bercerita ringkas.
“Mana kau jumpa batu itu? Dari daerah mana?” Raja Raa mahukan kepastian yang lebih tepat. Tajima menelan liur. Dia memandang sekilas ke arah Zaidi kerana Zaidi yang menjumpai batu itu.
“Tuanku, batu itu aku jumpa di sebuah daerah dari arah selatan. Berhampiran laut dan ada sebuah teluk di bahagian timur.” Zaidi pula tampil ke hadapan memberi penerangan. Bisanya masih menjalar ke seluruh tubuh.
“Sangre Azul!” Raja Raa menyebut satu perkataan yang tidak difahami oleh Tajima dan Zaidi. Mereka berdua memandang sesama sendiri.
“Jadi benarlah batu ini dari daerah Sangre Azul.Dari luar gua ini. Dan kalian berdua yang membawanya masuk ke sini.” Raja Raa seolah-olah ketawa kecil bersuara garau. Secara tiba-tiba, bangsa Valkazar yang lainnya bersorak-sorai kegembiraan. Tajima dan Zaidi tercengang.
“Baik! Akan aku berikan ganjaran buat kau. Kekayaan seberapa banyak yang kau pinta. Kekuasaan yang kau mahukan. Kau akan aku lepaskan kembali keluar dari sini. Tetapi ada persyaratannya.” Raja Raa kembali duduk di atas singgahsananya. Draxol tersenyum puas. Tajima dan Zaidi menarik nafas lega. Selaras dengan perjanjian syaitan. Tidak ada apa yang diberikan secara percuma. Segalanya pasti ada imbalan yang berat sebelah.
“Hanya salah seorang dari kau berdua sahaja yang akan terus hidup dan menerima ganjaran dari aku. Salah seorang dari kau...harus dikorbankan.” Raja Raa menghentakkan tombaknya tanda keputusannya muktamad.
Membulat anak mata Tajima dan Zaidi. Dia langsung tidak mengetahui tentang perkara ini. Dia langsung tidak tahu bahawa hanya salah seorang sahaja yang boleh meneruskan hidup sedangkan kedua-duanya mahu keluar dari sini.
“Buat keputusan yang bijak. Kalian harus putuskan sekarang.” Raja Raa ketawa terbahak. Bangsa Valkazar yang lainnya turut tergelak melihat ulah ketakutan manusia berdua itu. Draxol sekadar meleretkan senyuman yang penuh muslihat. Dia sudah mengetahui tentang perkara ini namun sengaja menyembunyikannya dari pengetahuan Tajima dan Zaidi.
“Mana mungkin salah seorang dari kami harus mati! Kami berdua yang menemukan batu ini dan kami yang membawanya kesini.” Tajima cuba untuk mempertahankannya.
“Itu urusan kau. Urusan aku disini ialah aku yang memutuskannya. Dan aku memutuskan untuk kau pilih salah seorang untuk terus hidup dan salah seorang harus dijadikan korban.” Raja Raa memegang tombaknya.
Tajima mengerutkan dahinya. Wajahnya berkeringat. Dia tidak mahu walaupun salah seorang pun dari mereka perlu dikorbankan.Mereka datang berdua, maka pulang harus berdua. Zaidi diam seribu bahasa.Langsung tidak berkata apa-apa seolah-olah sudah pasrah dan bersedia untuk maut.
“Jika kau mahu juga salah seorang dari kami dikorbankan, maka akan aku pecahkan batu ini!” Tajima mengugut kasar. Raja Raa merengus keras. Terasa bahang panas bertebaran. Draxol membulat matanya yang kemerahan.
“Baik. Jika begitu...” Raja Raa bangkit dari singgahsana dan berdiri menghadap ke arah Tajima dan Zaidi. Tombak di halakan ke arah mereka. Tidak semena-mena, tombak Raja Raa mengeluarkan cahaya putih yang menyilaukan mata. Raja Raa membaca mantera yang tidak difahami. Selesai mantera dibaca, cahaya yang keputihan dari tombak itu berubah warna menjadi kemerahan dan pancaran tenaga elektrik mengalir pada tombak itu.
Dengan sekali tujahan, sambaran petir merah menyambar tepat ke arah Zaidi dan Tajima.Dentuman yang sangat kuat menggegarkan keseluruhan binaan istana itu. Pancaran cahaya kemerahan itu sangat menyilaukan. Bahkan bangsa Valkazar sendiri tidak mampu bertahan memandang cahaya itu kecuali Raja Raa sahaja. Tajima dan Zaidi dalam keadaan seperti orang menjerit nyaring namun tiada suara kedengaran. Kesakitan yang teramat mengakibatkan suara mereka tersekat direngkongan. Semakin lama, cahaya kemerahan semakin terang dan menyilaukan pandangan. Raja Raa tidak henti-henti membaca mantera.
Selepas beberapa ketika kemudian, cahaya kemerahan itu mula memudar dan menghilang. Bangsa Valkazar dan Draxol yang berada disitu mula membuka mata masing-masing untuk melihat hasil ritual pengorbanan yang dijalankan oleh Raja Raa. Mereka pasti kedua-dua bangsa manusia itu mati hangus terbakar dan yang tinggal hanya debu dan abu. Dan pasti Batu Valkarie itu juga masih berada disitu kerana batu ini tidak dapat dimusnahkan sama sekali. Kerana itulah batu-batu ini dicampakkan ke dalam gua ini.
Raja Raa menapak perlahan kembali ke atas singgahsananya. Bangsa Valkazar yang menyaksikan kejadian itu tercengang dan terkejut dengan apa yang disaksikan dihadapan mereka ketika ini. Draxol juga terkejut bukan kepalang.
Kelihatan seorang lelaki bangkit dari menunduk dengan tubuhnya penuh dengan kepulan asap kemerahan. Matanya berwarna kemerahan. Gigi taringnya tidak meruncing namun kelihatan tajam. Kukunya kelihatan agak tajam dan memanjang. Di bahagian dahinya kelihatan ada seketul batu berwarna kebiruan yang tertanam di antara dua kening. Batu itu kelihatan seolah-olah berkilau-kilau.
“Bangkit, wahai manusia.Bangkit kau. Mulai hari ini, akan aku gelarkan kau sebagai Zaragas.” Raja Raa bercekak pinggang menghadap seorang lelaki yang digelar Zaragas itu.Wajahnya menyerigai. Kepulan asap merah keluar dari tubuhnya berkepul-kepul lalu menghilang. Bangsa Valkazar mula tidak berpuas hati. Mereka mencebik dan ada yang cuba untuk menyerang susuk lelaki bersaiz manusia yang digelar Zaragas itu. Draxol diam tidak terkata. Segala-gala perancangannya kini seolah-olah memudar. Dia melihat pada pangkal lengan kanan Zaragas. Kelihatan ada jalur kain kemerahan masih berada disitu. Ini bermakna perjanjian antara mereka masih termeterai tanpa terungkai. Cuma yang menghairankan Draxol ialah hanya seorang lelaki sahaja yang berdiri dihadapan Raja Raa. Dia sendiri tidak tahu sama ada lelaki bergelar Zaragas itu adalah Tajima atau pun Zaidi. Atau, mungkin kedua-duanya sekali didalam satu jasad yang sama.
Tidak semena-mena, beberapa bangsa Valkazar yang berada disitu pantas bangkit menyerang Zaragas. Perasaan tidak puas hati di antara mereka hanya kerana lelaki itu muncul dari balik serangan Raja Raa seolah-olah lelaki itu tidak lut pada serangan Raja Raa dan menganggap itu adalah wajah sebenar salah seorang dari manusia itu tadi.
Serangan dari segenap penjuru. Bangsa Valkazar bertubuh lebih besar itu menerpa ke arah Zaragas dengan bersenjatakan pelbagai jenis. Malahan ada di antara mereka hanya bersenjatakan kuku runcing mereka sahaja. Wajah mereka menyinga dan liur mereka mengalir keluar seolah-olah kelaparan.
Zaragas mengangkat kepala memandang Raja Raa secara tiba-tiba. Matanya mengeluarkan cahaya kemerahan. Tidak semena-mena, serangan bangsa Valkazar terhenti. Tubuh mereka kaku dan mengeras lalu tumbang ke tanah menjadi bangkai yang semakin mereput dengan pantas. Draxol terkejut bukan kepalang. Tubuh bangsa Valkazar yang mereput itu semakin mengecut dan menjadi kecil. Proses pengecutan itu berlaku dalam masa yang sangat singkat. Pengecutan itu dikatakan luar biasa. Bangkai Valkazar mengecut semakin mengecil sehingga terbentuk menjadi seketul batu berwarna kebiruan. Itulah kejadian asal Batu Valkarie. Ia terbentuk daripada bangkai Valkazar yang mengecut.
“Aku telah satukan kedua-dua manusia di dalam satu jasad supaya kuasa yang aku berikan itu dapat ditampung oleh kau. Batu Valkarie yang kau bawa aku letakkan di dahi kau supaya kuasa itu mampu menunjang jasad kau dan kau berkuasa. Dengan berbekalkan Batu Valkarie dari luar gua yang dibawa masuk oleh manusia, kami bangsa Valkazar mampu untuk bebas semula. Bebas!” Raja Raa mendepangkan kedua tangannya ke udara. Serentak itu juga semua bangsa Valkazar yang ada disitu tunduk hormat kepada Raja Raa termasuk Draxol yang hatinya masih membengkak.
“Zaragas! Kau akan memimpin bangsa Valkazar untuk keluar dari sini dan menakluk dunia termasuk dunia manusia. Sebahagian kekayaan aku akan serahkan pada kau dan kau gunakannya untuk berperang. Kau adalah pemimpin tentera bangsa Valkazar untuk menakluk dunia. Kuasa yang kau miliki ini lebih gah dan hebat dari bangsa Valkazar yang lainnya. Faham?!” Raja Raa memerintah Zaragas agar bersiap siaga. Zaragas hanya mengangukkan kepala lalu berpaling keluar dari singgahsana raja itu. Draxol terkedu. Wajahnya menyerigai. Hatinya panas membara. Terasa seolah-olah dikhianati oleh Tajima dan Zaidi namun dia tidak mampu melakukan apa-apa. Mereka berdua telah berubah menjadi Zaragas yang jauh lebih berkuasa dan hebat untuk ditentang. Dia perlu mengatur strategi lain untuk membolot semula harta dan kuasa yang didambakannya selama ini dari Zaragas. Segala milik Zaragas ketika ini sepatutnya milik dia sahaja. Dia menahan amarah sambil matanya mengerling ke arah tubuh kecil manusia itu menapak keluar dari singgahsana Raja Raa. Dendamnya terbuku tidak terungkai.
133Please respect copyright.PENANArUpliGmcWf
>>bersambung Server 51
ns 15.158.61.17da2