SERVER 25
Permukiman Fuego,HyperServ
Leo telah mempersiapkan diri.Bara dari unggun api telah dipadamkan supaya ianya tidak membakar seluruh perhutanan.Sekilas dia memandang Yazaid yang duduk di tengah-tengah tapak Batu Prasasti Dunia itu.Jurang dalam yang memisahkan di antara kedudukan batu prasasti itu dengan tanah permukiman ini telah bercantum sejak letupan batu itu tempoh hari.Yazaid duduk bersila gaya pendekar di tengah-tengah pusat tapak batu itu.Kelihatan bertompok kehitaman.Batu gergasi itu telah tiada di tempatnya.
“Yazaid.Jom kita gerak.” Leo memanggil Yazaid untuk meneruskan perjalanan.Yazaid memandang sekilas.Matanya masih kemerahan menahan air di takungan mata dari melimpah lagi.Yazaid bangkit perlahan-lahan seolah-olah tiada tunjang pada belakang badannya.Terasa memberat dan lemah longlai.
“Sudah tu, Yazaid. Aku faham apa kau rasa.Yang pergi, tetap pergi.Kita yang hidup perlu teruskan hidup.” Leo mendapatkan Yazaid yang kelihatan masih bermuram durja.Cuba untuk menenangkan perasaan Yazaid umpama ombak yang menghempas deras ke daratan.
“It’s ok, Leo.Jom kita gerak.” Yazaid pantas berkalih meninggalkan Leo di belakang.Sekilas dia memandang pada tapak batu itu.Sejarah akan terus menjadi sejarah.
“Leo, mana arah kita?” Yazaid bertanya kepada Leo yang berada di belakangnya tanpa berkalih memandang ke arah Leo.Pantas Leo mendapatkan Yazaid.
“Pergi ke arah sana dulu.” Leo menudingkan ke satu arah mengunjur ke timur.
“Ke mana?” Yazaid bingung.Dia tidak mengetahui selok-belok perjalanan perhutanan disini berbanding Leo.Sememangnya manusia A.I seperti Leo mempunyai kebolehan tersendiri di dunia ini memandangkan Leo berasal daripada dunia ini sejak penciptaan Hyperserv.Tambahan pula, data Samsul telah pun meresap masuk ke tubuhnya.
“Kita akan singgah ke satu tempat dahulu.Aku nak jumpa saudara lama aku.” Leo tersenyum sumbing lalu berjalan pantas meninggalkan Yazaid di belakang.Yazaid membulatkan anak matanya. ‘Dia ada saudara ke kat sini?’ persoalan yang sekadar bergumam di dalam hati kecil Yazaid.
“Wei..lepas tu kita ke mana pula?” Yazaid tidak sabar untuk mengetahui rencana yang dirangka oleh Leo.Leo berhenti mendadak dan menoleh sekilas kepada Yazaid.
“Lepas kita ke satu tempat yang agak jauh ni, kita akan cari Kirin di mukim Fin Del Mundo.Kita ke kawasan Master Orb.Pasti mereka sedang menuju ke sana.So, kita akan jumpa mereka di sana.Then, aku dan Kirin akan kuasai Master Orb lepas tu baru boleh jadi hero untuk bunuh semua penceroboh dan virus tu. Ada apa-apa persoalan lagi?” Leo memeluk tubuh sambil menerangkan panjang lebar tentang perjalanan yang bakal mereka tempuhi.Leo membentuk-bentukkan bibirnya.Dia tidak mahu Yazaid banyak bertanya ketika dalam perjalanan.Pastinya ia akan membejatkan tenaga.
“Eerr..ok.ok.Aku faham.Jom.” Yazaid mencebikkan bibir.Mengajukkan perbuatan Leo yang dianggap berlagak seperti ketua.Leo menggelengkan kepala sambil tersenyum sumbing.
Perjalanan diteruskan dengan meredah semak belukar.Senjata tajam sentiasa kemas tersisip di tepi pinggang masing-masing sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kebarangkalian.Hyperserv masih mengunci sistemnya akibat serangan virus yang dilakukan oleh Blackserv tempoh hari.Ia menyebabkan malapetaka yang melanda bukan sahaja di sini malahan di dunia realiti juga menerima impaknya.Tanpa mereka sedari, dunia Hyperserv kini dilanda gelisah dan di ambang kemusnahan.Penghuni Grotte Bardtan bersedia untuk melihat dan menakluk dunia semula setelah bangsa mereka tewas beberapa tahun terdahulu selepas penciptaan Hyperserv.Kini sejarah bakal berulang kembali.
Sempadan permukiman Viento dan Fin Del Mundo, HyperServ
Malam semakin dingin.Ketika hari siang, Fared sempat mencari dedaunan yang cukup lebar untuk berselubung pada malam menjengah.Dia mengetahui bahawa kawasan Viento yang mempunyai aliran angin yang kuat menambahkan kedinginan malam meresap ke tulang belulang.
Fared bertinggir di atas sebatang pokok mati yang melintang di tanah agak meminggir jauh dari Kirin dan Ismail.Tangan kanannya tegap kemas memegang sebilah lembing buatannya sendiri.Tangan kirinya utuh memegang sebilah pedang berwarna merah dengan hiasan dan ukiran unik pada hulunya.Dia menjumpainya ketika di dalam perjalanan tempoh hari tidak jauh dari lokasi mereka.
Kirin dan Ismail lena dibuai mimpi berhampiran unggun api yang tidak jauh dari mereka.Cukup untuk menghangatkan badan dalam kedinginan malam yang mencengkam.Fared sekadar bersengkang mata dan sesekali tidur-tidur ayam.Bersiaga dan berjaga dalam tidur yang tidak lena.Cukup sekadar untuk merehatkan diri dan otot sendi.
Unggas hutan riang-ria menyanyikan lagu rimba yang tidak difahami oleh manusia.Fared sekadar bermenung sendirian apabila tidak dapat melelapkan mata.Tertidur sejenak beberapa minit sudah cukup untuk membuatkan dirinya segar.
Jaluran ingatannya mengimbau masa silam.Mengingati saat-saat ketika dia bersama Samsul ketika mula-mula menyertai Yazaid untuk meneruskan projek dunia gila ini.Kehebatan Samsul tidak dapat dinafikan.Ketangkasannya didalam mengendalikan konsol digital tidak dapat ditandingi malahan Yazaid juga turut mengagumi apa yang mampu dilakukan oleh Samsul.
Pada asalnya, dunia Hyperserv ini tidak berpenghuni sama sekali.Sekadar hutan belantara.Malahan haiwan dan ekosistemnya langsung tidak wujud.Sistem pencahayaan dunia ini hanya matahari yang tidak berganjak seinci pun.Ini bermakna sistem solarnya tidak berfungsi.Yazaid tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut kerana kod sistem pengubahsuaiannya agak rumit dan mengelirukan.Itu bukan bidang kemahirannya.Sejak kehadiran Samsul, dialah yang mengubah kod sistem tersebut.Mengubahsuai dan memasang kod sistem pada dunia ini dan inilah hasilnya.Sebuah dunia menyerupai realiti.
Dunia ini telah mempunyai sistem solar yang lengkap siang dan malam.Haiwan dan kitaran rantai makanan serta ekosistem yang menyamai dunia realiti.Musim dan suhu pada setiap mukim yang berbeza-beza.Aliran udara, awan, hujan dan ribut petir.Semuanya hampir menyerupai dunia realiti.Semuanya adalah hasil kod sistem yang dihasilkan oleh Samsul.
Kini, sahabatnya itu sudah tiada.Sekiranya berlaku perkara yang buruk kepada dunia ini pastinya ia akan terus memusnahkan kerana tiada siapa yang dapat membaikinya bahkan Yazaid sendiri tidak mahir dalam bidang ini.
Fared mengeluh sendirian.Pelbagai warna jaluran ingatan yang mengitari akalnya ketika ini.Dingin malam langsung tidak membejatkan paparan memori yang bergentayangan di mindanya ketika ini.
Secara tiba-tiba, satu hentakan kuat tepat di belakang batang leher Fared.Matanya mula berpinau dan kelam.Tubuh Fared tersembam ke tanah.Pandangannya mula kabur.Dalam kesamaran, Fared sempat terlihat sekumpulan makhluk menghampirinya dalam kabur.Lama-kelamaan, pandangannya gelap.Fared tidak sedarkan diri.Tanpa mengetahui apa yang berlaku padanya.
Kedinginan malam menjadi saksi kejadian itu namun tidak mampu berbicara dan menceritakan kepada sesiapa pun.Sekadar menjadi saksi yang bisu.Unggas terus menyanyikan lagu halwa telinga yang menenangkan berdendangkan irama belantara.
Tirai malam mula disingkap perlahan-lahan.Dua bulan mula meninggalkan bumi Hyperserv secara beransur.Mentari mula mengambil-alih tugasnya bagi menerangi setiap pelusuk permukaan bumi Hyperserv ini.
Sinaran mentari yang menelusuri celah dedaunan pokok membiaskan cahaya.Ismail tersedar dari lena.Bangkit perlahan-lahan dan melihat persekitaran.Longgokan kayu api yang sudah menjadi bara dan berasap namun maraknya api sudah tiada.Kirin masih bermimpi dipagut lena bersebelahannya.
Anak matanya mencari-cari seseorang.Fared tidak kelihatan.Ismail mula bingung.Akalnya meneka-neka dimanakah lokasi tempat beradu Fared.Ismail bangkit perlahan-lahan tanpa mahu mengejutkan Kirin.Anak matanya meliar.Menginjak tanah melangkah perlahan mencari-cari dimana Fared berada ketika ini.Ikutkan hati, mahu sahaja dia menjerit memanggil Fared namun hasratnya dibantutkan.
Ditengah-tengah belantara ini, sebarang bunyi kuat terlalu sensitif terutama bagi haiwan pemangsa.Dia tidak mahu menjadi ‘lauk’.Sekadar anak matanya mengitari persekitaran.
Tidak jauh daripada tempatnya berdiri, Ismail terlihat sesuatu yang menarik perhatiannya.Dengan langkah yang penuh hati-hati dia menghampiri ke arah objek tersebut.Ternyata ianya sebilah pedang berwarna merah milik Fared.Dia masih mengingati bahawa Fared menjumpai pedang ini ketika dalam perjalanan ke lokasi terakhir mereka iaitu dipersekitaran ini.Pandangannya merayap ke seluruh pelusuk persekitaran.Mengitari pandangan.Mencari-cari kelibat lelaki itu.
“Kenapa ni, Ismail?” Ismail terkejut.Dia melompat ke hadapan.Ternyata Kirin berada di belakangnya sambil jarinya mengosok-gosok matanya yang masih dibendung mengantuk.
“Fared.Dia hilang.” Ismail mengutip pedang yang berada di tanah.
“Hilang?” Kirin tidak mengetahui apa-apa.Dia juga bingung.
“Mungkin ada hidupan lain yang berakal disini.” Ismail menduga-duga.Dia mencapai sebilah pedang merah.
“Maksudnya, Fared dah...” Kirin menutup mulutnya.Kata-katanya tersekat direngkungan.Tidak sanggup untuk menghabiskan bait kata dengan perkataan ‘mati’ dipangkalnya.Ismail termenung sejenak.Mengerah akal untuk berfungsi dalam mentafsir keadaan.
Tanpa dapat dikesan atau diduga, tidak semena-mena Kirin dan Ismail diserkup dengan kain hitam yang tidak telus cahaya.Kedengan bunyi hentakan telapak kaki menghentak bumi seperti ada manusia yang melompat dari paras tinggi ke bawah.Dua karung hitam diikat kemas dan ketat.Ismail dan Kirin kaget.Panik menguasai.Terasa seperti diculik.
Mereka diangkat ke satu lokasi yang tidak diketahui. ‘Mereka’ memikul Kirin dan Ismail yang berada di dalam karung diperlakukan seperti haiwan. ‘Mereka’ langsung tidak bersuara namun apa yang pasti ‘mereka’ berkaki dua seperti manusia.Ismail menduga-duga.Ikatan kemas pada karung sukar untuk dirungkai.Mereka berdua pasrah dengan apa yang terjadi.Mungkin ini juga adalah penamat bagi hayat mereka.
Didalam sebuah gua pinggir perhutanan Fuego, HyperServ
Suasana gelap gelita dihujung pandangan.Tajima mendahului perjalanan memandangkan kayu api yang dibawa oleh Zaidi telah habis terbakar sepenuhnya. Kayu api yang dibawa oleh Tajima dipadamkan dahulu untuk menyambung perjalanan yang mungkin jauh ke dalam gua.Kini kayu api yang digunakan untuk menyuluh langkah berbaki separuh daripada keseluruhan kayu.Dirasakan perjalanan semakin jauh ke dalam gua tanpa berpenghujung dan terasa perjalanan seolah-olah menyondong ke bawah seperti menelusuri jauh ke perut bumi.
“Jauh lagi ke ni, Tajima?” Suara Zaidi bergema melantun-lantun ke dinding gua.
“Ini bukan idea aku.Ini idea kau.Sepatutnya kau lebih tahu.” Tajima mencebikkan bibir.
“Tapi sekarang kau di depan.Kau macam tahu je arah nak kemana.” Zaidi membalas.
Tajima meneruskan perjalanan tanpa mengendahkan Zaidi.Pertikaman lidah tidak akan memberikan apa-apa hasil yang positif melainkan keletihan semata-mata.
Nun dihujung pandangan anak mata, Tajima dapat mengesan cahaya yang berbalam-balam.Anak mata Tajima sedikit membuntang.
“Tu. Aku nampak cahaya.Kita dah boleh keluar.” Langkah dipacu pantas.Zaidi sekadar mengekori.
Semakin menghampiri sumber cahaya itu, terasa semakin membahang.Deru angin panas mula menerpa.Bau belerang menyusuk hidung tidak semena-mena.Zaidi menutup hidung dek kerana tidak tahan bau belerang yang terlalu kuat.
“Tajima..Ntah-ntah lava gunung berapi.Bau belerang kuat ni.” Zaidi mengingatkan.Tajima tidak mengendahkan.Langkah kakinya semakin pantas.Zaidi terpaksa mengekori.Hanya Tajima yang memegang sumber cahaya ketika ini.
Akhirnya, kaki mereka berdua memijak tanah dihujung perjalanan.Kedua-duanya membuntangkan anak mata.Tidak mempercayai apa yang dilihat ketika ini malahan mereka tidak mengetahui tentang kewujudan lokasi yang mereka saksikan ketika ini.Mungkin memberi kehidupan yang lebih baik atau maut sebagai ganti.
>>Bersambung [Server 26]
ns 15.158.61.17da2