SERVER 31
Mentari berada di tengah garisan paksinya tanpa tergugah.Kitaran alam di dunia ini ternyata disalin bulat-bulat daripada dunia realiti namun tiada satupun ciptaan manusia yang mampu menandingi ciptaan-Nya yang secara jelasnya sempurna.Setiap kejadian ada hikmah disebaliknya.Manusia sering kali lupa diri.Merasakan diri mereka mampu mencipta segala-galanya bahkan kononnya mampu mencipta dunia baru sedangkan mereka terperangkap dengan ilusi dan angan-angan sendiri.
Langkah kaki mereka berlima diteruskan tanpa melengah.Panahan mentari menyinari kawasan berbatu ini menyebabkan batu-batu disini mengeluarkan haba yang lebih panas.Masing-masing dibasahi keringat.Elizia tidak tertahan.Dari kejauhan, kelihatan sebuah gua batu tidak jauh dari lokasi mereka.
“Ada gua!” Leo melonjak kegembiraan lalu pantas berlari menuju ke arah gua itu.Yang lain hanya mengekori tanpa sebarang curiga.
“Akhirnya...dapat berehat sekejap pun jadilah.” Leo berbaring terlentang di dalam gua.Mereka turut masuk ke dalam gua dan mengambil tempat masing-masing.Aneh sekali.Suhu di dalam gua itu ternyata dingin.Tidak seperti di luar.Marshall membelek-belek dinding gua yang dirasakan aneh.Batu-batu disini ternyata tidak menyerap haba sebaliknya memantulkan semula haba tersebut.Tidak mustahillah mereka berasa terlalu panas ketika berjalan menapak di laluan berbatu ketika di dalam perjalanan.
Yazaid kelihatan bermenung sendirian.Elizia berasa terpanggil untuk menegur.Perlahan-lahan dia menapak mendekati Yazaid yang duduk di atas tunggul batu yang menghadap ke pemandangan luar gua.
“Yazaid..Apa yang awak fikirkan?” Elizia berdiri bersebelahan Yazaid.
“Saya terfikir.Dimana Fared sekarang?Apa yang dia buat sekarang agaknya?” Yazaid bermenung-menung memikirkan tentang sahabatnya yang seorang itu.
“Saya pasti, dia tentu sedang menuju ke lokasi Master Orb.” Elizia berwajah selamba.
Yazaid memandang sekilas. “Dia ada disini? Di Hyperserv ni?” Yazaid kelihatan terkejut.Elizia tersenyum lantas menganggukkan kepala tanda membenarkan kenyataannya.
“Baguslah.Sekurang-kurangnya ada juga niat untuk membantu.” Yazaid melepaskan keluhan halus.
“Fared tu seorang sahabat yang mengenang jasa, Yazaid. Dia berkawan baik dengan awak bukan dalam tempoh jangka masa yang singkat.Susah senang awak, dia tetap ada memberikan sokongan kan?” Elizia bernada memujuk.Menghilangkan curiga yang bersarang di dalam hati Yazaid.Perasaan curiga itu mampu membunuh pertalian persahabatan yang sejak kian lama terjalin.Mencalarkan permukaan yang licin dan bersih.Yazaid hilang kata-kata.Benar seperti dalam pujukan Elizia.Ternyata pujukannya berhasil.
Marshall kelihatan duduk bersila memandang gelagat Leo yang seperti keanak-anakan.Leo baring terlentang di atas lantai gua sambil menguak-nguakkan tangannya umpama kibaran sayap seekor burung.Dia sedang menikmati kesejukan di lantai gua memandangkan suhu agak panas ketika berada di luar gua.Lalu dia memutuskan untuk menikmatinya sementara kumpulan mereka sedang berehat disini sebelum meneruskan perjalanan namun rehat mereka tidak boleh panjang.Perjalanan ketika waktu malam ternyata berbahaya malahan ianya akan memakan masa yang lebih panjang.
“Leo..Ada apa-apa rintangan dalam perjalanan kita nanti?” Marshall memeluk tubuh.Leo memandang sekilas dengan kening kirinya terangkat.
“Selepas dari laluan berbatu ini, dihujung perjalanan kita akan jumpa teluk.” Leo meringkaskan jadual perjalanan.
“Teluk? Air?” Marshall mengerutkan dahi.Leo sekadar mengangguk.
“Tempat yang kita nak pergi ni namanya Letrai Bay.Disana, ada penduduk.Mereka semua dinamakan bangsa Letrazie.Bangsa mereka terkenal dengan ilmuwan dan kemajuan.Disana, pasti mereka ada menyimpan risalah atau catatan tentang naga yang kau label sebagai mitos tu.” Leo menerangkan serba sedikit tujuannya ke sana.
“Kita semua ke sana semata-mata untuk mencari kebenaran tentang mitos naga saja ke?” Suara Marshall agak tegang.Leo berwajah selamba.Terasa darah membuak-buak ke kepala.Marshall menganggap perjalanan menuju ke Letrai Bay adalah sia-sia kerana mengharungi perjalanan yang jauh dan panas semata-mata untuk mencari kebenaran tentang naga mitos itu.Lantas Leo bangkit duduk bersila menghadap ke Marshall.
“Bukan itu sahaja.Itu adalah niat sampingan.Tujuan utama kita ke sana adalah untuk meminta bantuan bangsa Letrazie untuk memusnahkan bangsa Valkazar.” Leo menerangkan lebih lanjut.Ilyas kelihatan tertarik dengan penjelasan Leo lalu duduk berhampiran dengan mereka berdua.Yazaid dan Elizia juga mendengari perbualan mereka namun sekadar mendengar dari jauh.
“Bangsa Valkazar?” Marshall agak tertarik.
“Bangsa Valkazar ialah bangsa yang mendiami Grotte Bardtan.Mereka dikurung disana sejak berkurun lama.Sejak penciptaan dunia Hyperserv lagi.Perkara ni dikatakan sejarah.Kita tidak akan dapat duduk bersenang-lenang begini jika bangsa itu tidak dikurung oleh manusia yang mengurung mereka dahulu.Bangsa Letrazie juga membantu.Mereka adalah bangsa yang buas.Membunuh sesuka hati mereka.Tanpa belas kasihan.Melakukan pelbagai kemusnahan memandangkan elemen tubuh mereka adalah dari pelbagai elemen.Ada yang berasal dari elemen api, air, tanah, petir dan angin.Disebabkan kepelbagaian elemen, mereka mampu memusnahkan apa jua yang berada di dalam laluan mereka.Tanah boleh terbakar.Pokok boleh mati.Langit boleh menjadi hitam gemitam.Air laut mampu kering.Kilat sering kali sabung menyabung memanah sesuka hati.Bangsa ini terlalu merbahaya.” Panjang lebar Leo menceritakan penghuni di dalam Grotte Bardtan.Mereka yang mendengarnya tercengang.Ternyata perjalanan mereka tidak semudah yang disangka malah marabahaya yang bakal mereka tempuhi.Tiada siapa diantara mereka yang tahu sama ada mereka akan kembali dengan selamat atau sebaliknya.
Segala-galanya bergantung pada keupayaan mereka sendiri ketika ini.Masing-masing terkedu tidak terkata.Penjelasan ringkas daripada Leo ternyata menghambat degupan jantung.
“Bagaimana rupa bangsa itu, bagaimana untuk masuk ke dalam kurungan itu, aku tak tahu.Bangsa Letrazie mungkin lebih mengetahui.Sebab itu kita perlu ke sana.Untuk mendapatkan maklumat lengkap sebelum masuk ke tempat musuh.Menyelinap masuk ke markas musuh tanpa maklumat yang lengkap tentang mereka sama seperti menjerut tali gantung ke leher sendiri.Kau sanggup? Kalau sanggup, kau teruskan perjalanan ke Grotte Bardtan.Aku akan ke Letrai Bay.” Hujah Leo yang penuh sindiran serta terkandung niatnya.Marshall bertegang wajah namun hujah Leo tidak mampu disanggah.Benar seperti apa yang diperkatakan oleh Leo.Mereka memerlukan maklumat yang lebih lengkap untuk menyelinap masuk ke markas musuh lebih-lebih lagi dalam operasi ‘menyelamat’ seperti ini.
“Kita tak punya banyak masa.Sekarang, berehat secukupnya.Kita akan harungi sedikit sahaja lagi perjalanan untuk sampai ke Letrai Bay.Disana, kita akan berpecah seketika.Sebahagian dari kita mencari maklumat.Sebahagiannya lagi cari bekalan perjalanan kita termasuk senjata dan sebagainya.” Leo bercekak pinggang lagak persis seorang pahlawan merangkap ketua kepada kumpulan kecil ini.Mereka yang mendengar usul Leo hanya sekadar menggangguk.Yazaid mengerutkan wajah.Dia kehairanan melihat personaliti Leo yang sering berubah-ubah.Dia seperti memiliki dua personaliti.Adakala Leo menjadi seorang yang sangat dungu dan suka membuat lawak yang tidak masuk akal.Adakalanya juga, personalitinya berubah menjadi seorang yang berwibawa dan berpengalaman.Yazaid menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Masing-masing mula mengambil tempat sendiri dan Leo kembali baring terlentang di lantai gua itu.Merentangkan tangan dan menghayunkan kedua-dua kakinya ke udara seperti mengayuh basikal.Ulahnya tidak ubah seperti keanak-anakkan.Personaliti anehnya kembali berubah.
Yazaid menapak perlahan ke pintu gua melemparkan pandangan ke luar gua yang kepanasan membahang dipanah mentari.Imej pandangannya seperti beralun-alun dan berombak kerana biasan cahaya daripada bahang yang terpantul dari permukaan batu naik ke udara.Dia mengeluh panjang.Terasa memberat dihujung pernafasan.Dunia yang disaksikan kini bukanlah realiti.Terperangkap di dalam dunia yang berada di bawah seliaannya.Ternyata teknologi yang terlalu canggih itu memusnahkan peradaban manusia itu sendiri.Ianya memakan jiwa melemahkan tubuh manusia sekali gus memerangkap minda manusia di dalam satu alam yang tidak pernah terungkai.Ciptaan Allah jualah yang sebaik-baiknya.
Elizia menapak perlahan mendapatkan Yazaid.Gadis berdiri bersebelahan Yazaid turut bersama-sama berkongsi rasa walaupun tidak terluah secara zahir.
Hutan terpencil jajahan Fin Del Mundo, HyperServ
Fared dipasung di sebatang tiang berhampiran aliran lava yang mengalir dari puncak gunung.Aliran yang membakar itu sesekali mengeluarkan gas-gas beracun.Fared kehilangan tenaga.Pertarungan berat sebelah menghambat keras tenaganya sekali gus dia kehilangan upaya.Kirin dan Ismail di bawa ke satu tempat yang tidak diketahui olehnya.
Pertempuran malam itu agak sengit namun berat sebelah.Sebelum masuk ke dunia ini, Fared membawa kelengkapan senjata yang canggih dan mampu membunuh musuh dalam sekelip mata namun sejak ditawan oleh penduduk makhluk aneh itu, segala senjatanya dirampas dan diletakkan ke satu tempat rahsia.Ianya disembunyikan.Fared hanya bertempur dengan kudratnya sendiri.Mujurlah dia sempat mempelajari seni mempertahankan diri menggunakan pedang dan senjata sebelum ini.Walaupun gerakkannya tidak kekok namun masih belum ampuh berbanding pahlawan makhluk aneh itu.Malam itu sahaja dia bertempur dengan lima pahlawan dan kesemuanya mati di dalam genggaman Fared namun kudrat Fared terbatas.Dia menggagahkan diri semata-mata untuk menyelamatkan nyawa mereka bertiga.Malang tidak berbau.Muslihat dipertontonkan.Setelah menumbangkan kesemua pahlawan makhluk itu, dia dipasung sebegini.Fared mengeluh sendirian.
Tidak lama kemudian, makhluk tua berbongkok itu datang menghampiri.Dibelakangnya kelihatan ramai penduduk yang terdiri daripada pelbagai lingkungan usia.Pahlawan makhluk itu mendampingi ketua mereka kiri dan kanan.
Makhluk tua berbongkok menghampiri Fared yang tertambat di tiang.Wajahnya menyerigai merenung tepat ke wajah Fared yang kelihatan pucat lesi akibat kehilangan tenaga yang banyak.
“Tahniah, wahai manusia.Kau terpilih dikalangan wira kami yang kau tumbangkan.Kau yang terbaik untuk dijadikan korban Crone Naga Batu.” Suara parau makhluk tua berbongkok itu kedengaran seperti merengus-rengus.
“Kau...makhluk bangsat.Kau janji..nak lepaskan aku..dengan kawan-kawan aku...kalau aku menang.” Fared kemengahan.Kemenangan malam itu tidak menjanjikan kebebasan melainkan sebagai pemilihan untuk dijadikan korban terbaik dan terkuat bagi mempersembahkan korban kepada Crone Naga Batu.
Makhluk tua berbongkok itu ketawa berdengung-dengung. “ Aku tak pernah berjanji untuk lepaskan kau kalau kau menang, wahai manusia.Kau antara yang terpilih dan terkuat.Sepatutnya kau berbangga menjadi salah seorang daripada korban terbaik Crone Naga Batu.”
“Crone Naga Batu?Itu semua sampah! Benda mengarut apa yang kau bebelkan ni?! Kalau kau berikan korban, apa yang kau dapat?! Nothing!!” Fared menjerkah.Makhluk tua berbongkok itu bertegang wajah.Darahnya membuak-buah sepanas lava yang mengalir.Lantas dilunjurkan telapak tangan kanannya yang mempunyai empat jari dan dikembangkan secara perlahan-lahan.Secara tiba-tiba, Fared menjerit namun jeritannya seolah-olah tersekat dihalkum.Urat pada wajahnya timbul menunjukkan reaksi kesakitan yang teramat.Uratnya terasa seperti ditarik-tarik, dipulas-pulas dan diregang-regangkan.Ototnya mengejang.Wajahnya berkeringat menahan kesakitan yang teramat.Makhluk tua berbongkok itu umpama mempunyai ilmu sakti.Dia merentap setiap urat sendi tanpa menyentuh tubuh mangsanya.Setelah agak puas, barulah makhluk tua berbongkok itu melepaskan ‘genggammannya’ itu.Fared terkulai lemah.Nafasnya tercungap namun wajahnya menyerigai.Api amarahnya membuak-buak namun tidak mampu dizahirkan kerana ditambat sebegini.Rantai yang digunakan seolah-olah meresap tenaganya keluar dari tubuh.
“Kau bernasib baik sebab kau adalah korban Crone Naga Batu.Kalau tidak, lumat kau aku kerjakan.Kau belum kenal siapa aku. Di perkampungan Red Forest ini, aku berkuasa.Faham kamu?!” Fared tidak menjawab.Dia termengah-mengah.Keringatnya berjujuran membasahi wajah.Terasa terseksa yang teramat.Ditambat sebegini rupa melemahkan tenaganya.Bahang dari aliran lava menambahkan lagi sengsara.Panahan mentari membuatkan tekaknya kehausan dan tubuhnya dehidrasi.Anak matanya tertancap tepat ke wajah makhluk tua berbongkok yang dilihat sebagai ketua puak itu.Dendam bersemarak terbakar.Makhluk tua berbongkok itu berkalih meninggalkan Fared diikuti dengan penduduk-penduduk yang lain.Dua orang pengawal berkawal di situ.Mengawasi Fared supaya tidak terlepas.
“Malam nanti, kau akan menjadi sajian kepada Crone Naga Batu.Jika tidak dilaksanakan secepat mungkin, Crone Naga Batu akan murka.Puak kami akan binasa.Kau! Kau yang akan mententeramkannya.Faham kamu?!” Suara makhluk tua berbongkok itu kedengaran parau dan berdengung-dengung.Lantas dia meninggalkan Fared kelelahan disitu.
Kirin dan Ismail terperosok jauh ke dalam hutan.Keadaan mereka juga sama seperti keadaan Fared.Terpasung dan terperangkap.Rantai yang digunakan juga adalah dari segi elemen yang sama.Tenaga seolah-olah diserap keluar perlahan.Ismail dan Kirin kelihatan lemah sama sekali.Ismail memejamkan mata terlelap seketika.Kirin melilaukan pandangan namun tidak bersuara langsung sejak ditangkap oleh makhluk aneh itu tempoh hari.Dia tahu, bersuara hanya akan mengeruhkan keadaan.Namun kini, nasib langsung tidak menyebelahi.Bersuara atau tidak, nasibnya tetap sama.Fikirnya jika tidak meningkah pasti akan dilepaskan namun dia tersilap.
Dua pengawal yang mengawasi mereka tiba-tiba berdiri tegak dan membuat isyarat tangan tanda hormat.Dikepalkan penumbuknya dan dilintangkan merintang pada dada.Kepalan penumbuk kanan berada di dada kiri.Makhluk tua berbongkok itu datang menjenguk Kirin dan Ismail yang kelihatan lemah.Makhluk tua berbongkok itu sekadar melihat-lihat dengan wajah yang mencebik.
“Huhh! Makhluk lemah.Dasar penjajah.” Makhluk itu menghina.
“Lepaskan kami.Tolonglah..Kau tak ada hak untuk pasung kami begini.Kasihanlah pada kami.” Kirin merayu sesungguh hati.Takungan matanya bergenang.Hampir tumpah air matanya merayu supaya tidak diancam lagi.
“Kasihan? Kau cakap tentang kasihan? Kau berasal dari dunia ini dan sekarang kau bersekutu dengan manusia ni. Manusia penjajah! Kasihan yang bagaimana kau nak?!” Makhluk tua berbongkok itu menjerkah Kirin sambil jari telunjuknya menuding ke arah Ismail.Terkedu lidahnya dijerkah sebegitu.
“Suatu ketika dahulu..manusia-manusia ini datang ke dunia ini.Spesis mereka datang menjajah kami.Mengarahkan itu dan ini.Aku! Aku salah seorang daripada saksi yang menyaksikan tragedi hitam itu.Puak-puak kami dihabisi.Tak cukup dengan itu.Kami disumpah! Lihatlah diri kami! Adakah penampilan kami kelihatan sempurna seperti kau?!” Makhluk tua berbongkok menderam-deram.Penduduk makhluk aneh itu menundukkan wajah.Masing-masing mengingati detik hitam yang pernah menimpa puak mereka suatu ketika dahulu.Ada diantara mereka yang mengalirkan air mata.Kirin terkedu.Ismail membuka kelopak matanya apabile terdengar suara perbualan mereka.
“Sejak daripada itu..setiap spesis manusia ini yang masuk ke kawasan kami..pasti akan kami tamatkan riwayatnya.” Makhluk tua berbongkok menghampiri Ismail.
“Siapa kalian? Kalian bangsa apa? Apa kena-mengena dengan aku?” Ismail menyoal beberapa soalan serentak.Tiba-tiba, salah seorang pengawal makhluk itu melepaskan tumbukan padu tepat ke bahagian ulu hati Ismail.Terbeliak mata Ismail menerima tumbukan itu namun tidak dapat berbuat apa-apa.Tubuhnya dipasung tanpa dapat bergerak balas.Dia menahan senak yang teramat.Saluran pernafasan seakan-akan sempit dan mengecil.Jumlah udara yang masuk menerusi rongga pernafasan seolah-olah tertutup sama sekali.Ismail menahan sesak nafas.
“Ismail! Kau! Jangan apa-apakan dia!” Air mata Kirin tumpah jua.Titik jernih itu mengalir membasahi kedua-dua pipinya. Tanpa disangka, satu tamparan yang cukup mendesingkan telinga pantas menyinggah ke pipi Kirin.Kepala Kirin tertoleh ke kiri.Pipinya merah akibat tujahan tidak disangka itu.
“Diam! Kau pembelot! Manusia ini berhak rasa apa yang kami rasa.Kami sebagai bangsa Piel Roja tidak akan menyerah kalah kali ini.Kami akan berjuang habis-habisan! Bangsa manusia tidak patut wujud di dunia ini! Mereka berhak untuk mati!” Teriakan Makhluk tua berbongkok itu disahut dengan sorak-sorai penduduk bangsa itu.Kawasan itu menjadi bergemuruh dengan gegak-gempita umpama laungan perang.Pahlawan bangsa Piel Roja itu mengangkat senjata masing-masing dan mengibaskannya di udara.Mereka tampak bersemangat juang namun hakikatnya tiada apa yang hendak diperjuangkan ketika ini malahan mereka bukannya dalam situasi peperangan.Kisah pahit bangsa mereka dijadi sandaran untuk membunuh setiap manusia yang menghampiri kawasan Red Forest itu.Kawasan itu diselubungi warna merah keseluruhannya termasuklah penduduk bangsa Piel Roja itu sendiri.
“Sebelum ada makhluk manusia lain masuk ke sini lagi,lebih baik aku membunuh kau terlebih dahulu, wahai manusia.Sekurang-kurangnya kurang satu makhluk penjajah seperti kau.Dendam kami tidak pernah terpadam.Korban Crone Naga Batu akan menyemarakkan semangat juang Crone Naga Batu.Kalian semua akan mati! Pembelot pula akan mati dalam sengsara.” Makhluk tua berbongkok mencekak leher Ismail yang sudah kebiruan akibat kekurangan oksigen lalu berkalih memandang Kirin yang masih menangis.Air matanya umpama air hujan yang lebat membasahi bumi.Kemudian mereka ditinggalkan dalam sengsara menunggu ajal masing-masing.Ismail mencuba mengawal pernafasannya.Wajahnya berkeringkat.Kirin hilang kata-kata.Tangisannya semakin melebat.Terasa nyawanya juga sudah berada di kerongkong menunggu masa untuk dilupuskan buat selamanya.
[To be continued >> Server 32]
ns 15.158.61.17da2